Blog-list Malaysia |
- Saya Bukan Lembu Dan Saya Tak Kenal Lembu Tu..
- Najib: Sanggup pecah penjara, kenyataan politik
- Muhyiddin Jangan Mimpi Nak Jadi PM
- Retorik Terkini Dari Najib Dan Umno
- DAP: Tiada bukan Melayu bercita-cita jadi PM
- Hapuskan Pengkhianat Dalam PKR
- Teruskan Perjuangan Walaupun Saya Di Sebalik Tirai Besi
Saya Bukan Lembu Dan Saya Tak Kenal Lembu Tu.. Posted: 28 Nov 2011 12:51 AM PST Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menegaskan beliau tidak ada kena-mengena dengan isu berkaitan dengan projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC). Justeru kata Ketua Wanita Umno itu, beliau tidak akan menggunakan perhimpunan agung Umno minggu ini untuk menjawab sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang berkaitan NFC. "Saya tidak akan jelaskan (isu NFC) tetapi ada satu, dua mesej yang nak saya jelas kepada pihak di luar sana semasa persidangan Wanita Umno nanti. Tunggulah. Sebagai pemimpin, kita kena banyak bersabar, tenang dan jangan cepat melatah. "Saya tidak akan jawab. Kalau nak bertanya mengenai NFC, tanyalah kepada orang NFC. Saya hanya akan tumpukan pada Pergerakan Wanita Umno," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2011, di Kuala Lumpur. Bagaimanapun Shahrizat berkata beliau tidak akan menghalang mana-mana perwakilan untuk berbahas isu berkenaan NFC pada perhimpunan agung sayap itu Rabu ini. Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC, yang mana suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail menjadi pengerusi eksekutifnya. "Dalam politik (parti) mana tidak ada masalah, tambahan pula pembangkang, dia takut kerana Wanita Umno kukuh bersatu padu dan dia cuba untuk menggoyahkan Wanita Umno tetapi Alhamdulillah, Umno dan Wanita Umno tetap kental. "Keimanan kita, keikhlasan kami tidak akan berganjak dan kita tak akan mudah melatah walau apa pun pembangkang nak buat sebabnya kita ikhlas dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara," kata Shahrizat. - Bernama |
Najib: Sanggup pecah penjara, kenyataan politik Posted: 27 Nov 2011 09:32 PM PST Kenyataan pembangkang yang mahu memecahkan penjara sekiranya pemimpin mereka dipenjarakan hanyalah kenyataan politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. "Negara kita ada undang-undang. Siapa boleh pecah penjara?" katanya pada sidang media selepas merasmikan forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno 2011, di Kuala Lumpur hari ini. Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada Jumaat lalu, bahawa parti itu akan "merobohkan tembok penjara" jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, bagi membebaskan Ketua Pembangkang itu. Najib yang juga presiden Umno berkata semua pihak termasuk pembangkang tertakluk kepada undang-undang negara ini. "Kita ada undang-undang, kita mesti hormati undang-undang. Kalau tak hormati undang-undang jadi huru-haralah negara kita," katanya. Perbicaraan kes liwat Anwar kini berada pada peringkat akhir dan Mahkamah Tinggi dijadual mendengar penggulungan akhir hujah pembelaan pada 8 dan 9 Disember ini. - Bernama |
Muhyiddin Jangan Mimpi Nak Jadi PM Posted: 27 Nov 2011 09:08 PM PST JOHOR BAHRU 27 Nov: Sejarah membuktikan hanya seorang sahaja Perdana Menteri dari Johor meskipun Umno di negeri ini dianggap sebagai yang terkuat, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution. Katanya, sejarah persaingan di peringkat kepimpinan tertinggi negara membuktikan pemimpin Umno dari negeri itu dipinggirkan seperti yang berlaku kepada Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Musa Hitam. "Jadi belum tentu Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menjadi Perdana Menteri. Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri kerana kebetulan Tun Razak meninggal dunia dan lihat bagaimana dia kemudiannya disingkir Dr Mahathir kerana dikatakan kesihatan tidak baik," katanya ketika berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Pulai, Johor. Saifuddin merujuk perkembangan KEADILAN di Johor yang dianggap lebih baik berbanding pengalamannya ketika mengadakan ceramah lima tahun dahulu. "Sekarang sambutan lebih baik. Ribuan yang hadir," kata beliau. Beliau memberi contoh ceramah yang dihadirinya di sebuah rumah di kampung Bendahara, semalam apabila tuan rumah berkenaan tidak gentar meskipun berdepan dengan ugutan pihak polis. "Nampaknya sekarang ketakutan rakyat Johor sudah hilang," katanya optimis. Sementara itu, Saifuddin mengucapkan tahniah kepada perwakilan yang sanggup hadir sejauh dari Kelantan dan Kedah. Malah katanya, ada perwakilan yang terpaksa bersesak dalam kereta dan mengambil cuti untuk hadir ke Kongres bagi mendengar amanat pimpinan parti. "Mana lagi tempat kita nak muhasabah diri kalau bukan sewaktu Kongres. Kalau nak ubah kepada budaya kena mula dari sekarang. Ambil pengajaran dan bawa balik resipi perjuangan," kata Saifuddin. |
Retorik Terkini Dari Najib Dan Umno Posted: 27 Nov 2011 08:48 PM PST Najib: Umno perlu reform atau hadapi Arab Spring Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Umno mesti terus melakukan reformasi, khususnya setelah memegang kuasa begitu lama atau menghadapi apa dinamakan oleh pihak Barat sebagai Arab Spring atau Musim Bunga Arab. "Apabila kita berkuasa sebegitu lama, kita rasa kita kebal dari segi politik, kita mungkin berfikir bahawa tidak kira apa yang berlaku, kita akan tetap berkuasa. "Tetapi tidak kira betapa berjayanya kita atau begitu banyak kejayaan di negara ini kerana usaha kita, landskap hari ini berbeza. Rakyat dan pengundi hari ini mahu mengetahui tentang hari ini dan masa depan," katanya semasa mesyuarat pra perhimpunan agung Umno di Kuaal Lumpur. Sambil merujuk Arab Spring yang melanda di negara-negara di Asia Barat, Najib mengulangi mesejnya bahawa Umno perlu menukar atau akan ditukar. "Ini adalah hakikat. Lihatlah apa yang berlaku dalam konteks Spring Arab. Di Afrika Utara, empat rejim telah ditukar." Perdana Menteri juga melahirkan keyakinan bahawa kerajaan telah merangka jalan perubahan dengan program transformasi. |
DAP: Tiada bukan Melayu bercita-cita jadi PM Posted: 27 Nov 2011 06:34 PM PST Tidak pernah ada seorang pun pemimpin bukan Melayu yang bercita-cita menjadi perdana menteri kerana rakyat Malaysia menerima realiti politik di mana jawatan itu harus disandang oleh pemimpin berbangsa Melayu, kata setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng. Justeru, katanya, ura-ura untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan orang Melayu sahaja untuk menjadi perdana menteri bukan sahaja tidak diperlukan, malah bersifat perkauman kerana menganggap rakyat bukan Melayu sebagai rakyat kelas kedua. "Selama ini Umno telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi pengancam kepada hak dan kepentingan mereka," katanya dalam satu kenyataan media. Katanya lagi, ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan tentera semuanya dikawal Melayu manakala sektor-sektor kritikal dalam ekonomi seperti insuran, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan lebuh raya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau syarikat-syarikat Melayu. Dalam politik pula, kata Lim, jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri disandang oleh orang Melayu. Begitu juga dengan jawatan semua menteri besar dan ketua menteri kecuali di Pulau Pinang sahaja. Oleh itu, kata Lim, tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) untuk mempertahankan agenda perkauman Umno dan pengakuannya bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1Malaysia adalah slogan kosong. Justeru, menurut beliau yang juga adalah ketua menteri Pulau Pinang, slogan berkenaan hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas pilihan raya umum yang akan datang. "Malah, Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan cauvinis Cina walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan. "Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah dipenjarakan dan kehilangan kerusi parlimen kerana memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol," katanya. Malah, lebih mengejutkan, menurut Lim, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu. Tegasnya, ancaman kepada orang Melayu sebenarnya bukan DAP adalah Umno kerana sikap parti itu yang menggunakan serta mempertahankan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. "Dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, Umno mengaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit seperti pendedahan terkini Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion tanpa apa-apa hukuman dikenakan. "Selain itu, berlaku juga kontroversi di mana dana awam yang telah diberikan kepada sebuah syarikat yang berkaitan dengan seorang menteri telah digunakan bukan untuk tujuan yang sepatutnya, iaitu untuk penternakan lembu, tetapi sebaliknya telah digunakan untuk pembelian dua kondominium mewah," katanya. |
Hapuskan Pengkhianat Dalam PKR Posted: 27 Nov 2011 04:36 PM PST Kongres Keadilan (Dari MalaysiaKini) Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran kepada "pengkhianat" dalam parti yang perlu dibersihkan menjelang pilihan raya umum akan datang. Katanya, langkah itu penting memandangkan pilihan raya umum ke-13 merupakan penentu kepada PKR dan juga lanskap politik negara. Anwar juga berkata proses berkenaan juga penting memandangkan parti itu kini sudah dua kali ganda lebih kuat berbanding ketika memasuki gelanggang pilihan raya 2008. "Dari awal saya kata kita akan saksikan pengkhianatan. Setiap pilihan raya kecil (ada wakil rakyat PKR) lompat. Dekat pilihan raya umum lagilah, harga kian naik," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR Kelapan di Pulai, Johor. Memetik ucapan setiausaha agung, Saifuddin Nasution sebelumnya, Anwar berkata Nabi Muhammad SAW sendiri tidak akan memaafkan pengkhianat walau tetap memaafkan orang kafir Quraisy yang diperanginya sebelum itu. Anwar membangkitkan perkara itu dalam latar kongres yang kali pertama diadakan di Johor – kawasan yang tidak pernah dimimpikan untuk dijelajahi PKR pada pilihan raya 2008, katanya. Namun, dengan keterbatasan pengaruh itu, PKR dan Pakatan Rakyat tetap berjaya menawan lima negeri pada 2008, katanya yang turut memberi amaran kepada golongan yang mahu mencari peluang dalam parti. "Kalau khianat, terajang awal-awal. Jangan tolak ansur dengan pengkhianat. Kekuatan Umno hanya beli orang sebab dia ada wang. Wang apa? Wang rasuah. Kalau (semangat) kuat tak ada apa yang dapat patahkan kita. "Kalau PKR kekal mantap, tiga parti ini (PAS-PKR-DAP) tetap bersatu, kita akan tawan Putrajaya," katanya lagi disambut tepukan para perwakilan. Anwar bagaimanapun mengakui bahawa tindakan seorang demi seorang wakil rakyatnya yang berpaling tadah sebelum ini merupakan kesilapannya sendiri kerana salah memilih calon. Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada anggota jentera partinya yang kelihatan terlalu "lumayan" selepas memenangi pilihan raya 2008. "Saya setuju, ada percubaan untuk meronyeh dan merosak cita-cita ini. Ada ahli majlis nampak terlalu lumayan. Ini buka ruang untuk kita tegur. "Saya beri ingatan, setuju dengan lontaran setiausaha agung, jangan andaikan kerana mahu ke Putrajaya kita sanggup bertolak ansur di kalangan jentera," katanya lagi. Malah, beliau turut memberi amaran untuk tidak memberi peluang lagi kepada "orang yang tak layak" dan yang tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. Terdahulu, setiausaha agung Saifuddin Nasution dalam ucapannya dengan berang menempelak wakil rakyat tertentu parti itu yang tidak dapat menghadirkan diri ke program berkenaan. "Saya kecil hati sebab ada wakil rakyat yang tak dapat datang. Kita tak boleh jadi wakil rakyat, ahli parlimen atau apa sekalipun tanpa platform parti. "Ada 365 hari setahun, bloklah tiga hari untuk kongres. Apa alasan tak dapat datang? Tak ada duit? "Kalau PKR nak mulakan budaya baru, mulakan sekarang. Tak ada tempat untuk oportunis dalam parti," katanya lagi. |
Teruskan Perjuangan Walaupun Saya Di Sebalik Tirai Besi Posted: 27 Nov 2011 04:27 PM PST Penjara bukan menjadi halangan untuk meneruskan reformasi dalam parti sebaliknya harus dijadikan semangat untuk meneruskan perjuangan membela rakyat. "Saya tidak takut dan tidak gentar kalau pun saya dipenjara kerana agenda mereformasikan negara ini dari cengkaman kezaliman pemimpin-pemimpin Umno-BN merupakan agenda rakyat yang didokong oleh Keadilan," kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menyampai ucapan di sesi penggulungan dan ucapan penangguhan Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-8 di sini hari ini. Mengulas lanjut Anwar berkata usaha kerajaan pemerintah memburukkan politik negara dengan fitnah dan serangan pribadi ketas dirinya tidak mematahkan semangat beliau malah ia menyedarkan rakyat dari terus dizalimi. "Saya dipenjarakan enam tahun, adakah harga minyak turun? Adakah politik antara kaum bertambah baik? Adakah negara semakin sejahtera? Jadi apa yang berlaku selama ini adakah kerana Anwar?" tegas Anwar . Anwar berkata pertemuan dengan rakyat bawahan untuk mendengar keluh kesah mereka adalah ubat mujarab yang menjadi formula kepada karier politiknya yang sering dihimpit pelbagai dugaan dan cabaran pihak lawan. "Saya belajar semua ini dengan siapa? Dengan pak lebai dan semangat saya datangnya dari mana? Dari mak cik tua. Golongan ini yang memberi api kepada obor perjuangan kita. "Setiap kali saya bersua muka dengan rakyat bawahan, saya renung mata mereka, saya nampak derita dan harapan mereka," katanya. Menyedari kekuatan perjuangan Pakatan Rakyat berpunca dari gerakan rakyat bawahan, Anwar menjelaskan Umno-BN menjadikan golongan ini sebagai sasaran untuk menyebarkan fitnah bagi memburukan dan menyemai benih kebencian kepada Pakatan. "Strategi penting mereka (Umno-BN) ialah menyebarkan fitnah dan khabar angin supaya membenci kita." |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan