Isnin, 3 Oktober 2011

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Kerajaan Membodohkan Mahasiswa Seperti Mereka

Posted: 02 Oct 2011 07:56 PM PDT

Kerajaan dilihat cuba menafikan hak mahasiswa untuk berpolitik dengn mengenakan Akta Universiti Kolej Universiti kepada mahasiswa sedangkan dalam perlembagaan membenarkan pelajar yang genap 21 tahun untuk mengundi.

Jika umur pelajar pada ketika dia belajar adalah umur 21 tahun dan pada masa yang sama berlaku pilihanraya umum atau pilihan raya kecil adakah dia akan dinafikan hak sedangkan hak mengundi terletak ditangan mahasiswa tersebut. Bukankah kerajaan mencanangkan parlimen belia kepada yang berumur bawah 25 tahun?


KUALA LUMPUR, 3 Okt — Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan perlu meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selari dengan usaha Putrajaya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dua akta lain yang berkaitan.

Sehubungan itu kata Saifuddin, beliau mengalu-alukan kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam, yang menyarankan agar undang-undang itu dipinda bagi membolehkan mahasiswa dan pensyarah terlibat dalam politik.

"Ini kenyataan pertama daripada seorang presiden parti komponen BN. Kenyataan ini penting dan selari dengan kenyataan Datuk Seri Najib yang telah mengumumkan akan memansuhkan ISA. Kalau boleh memansuhkan ISA, apalah sangat meminda AUKU. Meminda AUKU adalah susulan yang semula jadi selepas memansuhkan ISA," kata beliau dalam satu kenyataan menerusi SMS.

Semalam, dalam ucaptama Perhimpunan Agung Tahunan MCA di ibu negara, Dr Chua mengesyorkan agar Seksyen 15 dan 16 AUKU dipinda bagi membolehkan pelajar dan pensyarah mengambil bahagian dalam politik bagi menghormati hak mereka sebagai pengundi.

Saifuddin (gambar) yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menambah, pada tahun lalu beliau telah membentangkan kertas berkenaan idea membenarkan mahasiswa berpolitik pada mesyuarat MT Umno.

"Pada saya, benarkan mahasiswa berpolitik ada dua matlamat utama iaitu untuk memenuhi haknya sebagai rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan untuk meningkatkan partisipasinya dalam struktur dan proses membuat keputusan.

"Dalam kertas itu, saya senaraikan 30 isu yang tak bersetuju dengan cadangan saya itu dan membidas setiap satu daripadanya. Setakat ini, saya belum jumpa bidasan balik yang baik," kata Ahli Parlimen Temerloh ini sambil menambah, "ini kerana semua alasan yang tak bersetuju untuk membenarkan mahasiswa berpolitik boleh disimpulkan sebagai tak percaya kepada mahasiswa dan memperlekehkan mahasiswa."

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual membawa usul untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959 — dibentang untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat.

Usul berkaitan ISA dijangka akan dibawa pada sidang Parlimen Mac depan.

Dalam perutusan khas Hari Malaysia 15 September lalu, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dalam perutusan itu juga, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967.

M/Insider

Gempar Pocong Di Kawasan Bukit Berdekatan Perumahan

Posted: 02 Oct 2011 04:14 PM PDT

SENAWANG: Beberapa penduduk di Taman Jasmin Indah, di sini, dikejutkan dengan kemunculan kelibat makhluk berbalut kain kapan dipercayai pocong di atas sebuah bukit di kawasan perumahan berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, kemunculan lembaga itu disedari seorang penduduk, Ahmad Surathi, 41, yang mendakwa melihat kelibat makhluk itu sekitar jam 12 tengah hari.

POCONG...imej makhluk didakwa pocong oleh penduduk dirakam di sebuah rumah yang terbiar.

Menceritakan detik menakutkan itu, Ahmad berkata, kelibat pocong yang berdiri tanpa bergerak di kawasan atas bukit berhampiran rumahnya sering dilihat sedang 'bermain' dan merenung tajam ke arahnya.

Menurutnya, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah pocong itu yang gelap selain ia didakwa hanya merenungnya saja.

"Sejak saya pindah di kawasan perumahan itu sejak enam tahun lalu, ini bukan kali pertama saya melihatnya, malah sudah lali hingga menganggapnya seolah-olah 'penduduk' kawasan perumahan ini juga," katanya .

Katanya, pernah dia membawa rakannya pulang ke rumah kira-kira jam 12 tengah malam semata-mata untuk melihat pocong itu.

"Pocong itu menunjukkan diri hingga menyebabkan rakan saya itu serik untuk datang ke rumah saya lagi dan demam selepas melihat makhluk itu," katanya.

Ahmad berkata, dia sebenarnya seorang yang sukar mempercayai benda pelik sebegitu tetapi selepas melihat dengan mata sendiri berasa ada kebenarannya.

"Malah, beberapa penduduk di sini, selalu melihat kelibat berkenaan sedang meloncat di kawasan bukit itu dan tangki air," katanya.

Katanya, sebelum ini, rakan sering mengusik dan bercerita mengenai pocong biarpun mereka sendiri tidak pernah melihat sebelum dia menyaksikan secara terbuka.

Malah dakwanya, anak saudaranya berusia tujuh tahun pernah merakamkan gambar pocong sedang berdiri di pekarangan rumah tinggal yang terbiar di kampungnya di Tampoi, Johor, baru-baru ini.

"Ketika itu, anak saudara saya bermain menangkap gambar menggunakan kamera telefon bimbit ibunya, dan secara kebetulan menangkap gambar makhluk itu sedang berdiri merenung rumah tinggal itu," katanya.

"Kebetulan, rumah itu sudah lama ditinggalkan dan berdekatan dengan kawasan perkuburan, terkejut anak saudara saya dan terus demam apabila melihat makhluk itu," katanya.

Ahmad berkata, dia melihat semula rakaman gambar itu dengan jelas sebelum terlihat tubuh putih memandang ke arah rumah lalu menunjukkan rakaman gambar itu kepada keluarga dan jiran.

"Namun, tidak dapat dipastikan sama ada makhluk berkenaan adalah betul atau ia perbuatan segelintir remaja nakal," katanya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Datuk Mohd Yusof Ahmad menyifatkan penemuan pocong didakwa muncul di Taman Jasmin Indah, di sini, sebagai makhluk Allah Taala.

"Makhluk ditemui lelaki itu mungkin golongan jin yang boleh ghaib serta bertukar rupa bentuk. Bagaimanapun, saya menasihatkan umat Islam tidak mudah tergoda makhluk sedemikian mungkin boleh menyesatkan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tiada ulasan: