Isnin, 17 Oktober 2011

PERAKITE

PERAKITE


Jam di Mekah hasil sentuhan anak Malaysia

Posted: 16 Oct 2011 08:51 PM PDT


MENARA Abraj Al-Bait mercu tanda utama kota Makkah. Gambar kecil, Wan Nazri Wan Aria.
MENARA Abraj Al-Bait mercu tanda utama kota Makkah. Gambar kecil, Wan Nazri Wan Aria.
MAKKAH: Rakyat Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Makkah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai 'sentuhan anak Malaysia'.

Wan Nazri Wan Aria, 31, adalah jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.
Katanya, menara itu memerlukan 'struktur keluli tidak berat' untuk menyokong jam gergasi itu, dan kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar Syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawab berkenaan.
Uniknya, 14 tenaga pakar Premier Composite Technology itu juga adalah daripada kumpulan anak muda Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia mengerjakan haji dan umrah.

Dengan ketinggian 601 meter, ia adalah menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

"Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London," kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.

Nazri bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui kumpulan media Tabung Haji yang menikmati teh tarik di Restoran Felda D'saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini. 
Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian tenaga pakar yang melakar sejarah di Makkah, apabila dibabitkan dalam kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di Tanah Suci itu.

Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.

Selain itu, 90 juta kaca mozek keemasan digunakan menghiasi keempat-empat permukaan jam berkenaan.

Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai RM9 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya, Kumpulan Binladin pada Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar Premier Composite Technology akan terus berada di Makkah bagi memantau dan menyelia kerja akhir pembinaan menara jam itu.

Sementara itu, menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata, beliau mengambil masa lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu.

Rakannya, jurutera Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata, bahan komposit adalah satu bidang baru dan tidak banyak syarikat dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu.

Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama menjadi satu kelebihan, dan menurutnya, beliau bersama kumpulannya turut terbabit dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu.

Beliau bersama kumpulan rakannya juga terbabit dalam pemasangan kubah bergerak di Masjid Al-Nabawi di Madinah dan juga kubah di Masjid Putrajaya. – BERNAMA

Rumah YDP PAS disimbah cat merah oleh puak yang merasa tercabar

Posted: 16 Oct 2011 08:47 PM PDT


Rumah Yang Dipertua PAS Segamat, Firdaus Masood, telah dilontar cat merah dipercayai dilakukan pihak-pihak yang begitu marah setelah merasakan pengaruh mereka tergugat dan tercabar berikutan kehadiran dua tokoh Pakatan Rakyat, baru-baru ini.
Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 10 Oktober dan diikuti dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dua hari kemudian (12 Oktober), mungkin telah menimbulkan kemarahan pihak-pihak terbabit sehingga bertindak di luar batas moral.
Terdahulu dari itu Firdaus turut mendakwa menerima ugutan melalui telefon termasuk membakar pejabatnya jika meneruskan hasrat untuk mengadakan ceramah oleh Mohamad Sabu pada 10 Oktober lalu.
Firdaus ketika ditemui di rumahnya kelmarin memberitahu, beliau tidak akan lemah semangat dengan ugutan-ugutan itu sebaliknya akan meneruskan perjuangan untuk menjatuhkan Umno BN Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Ugutan dan simbahan cat ini adalah petanda bahawa Umno BN memang dalam keadaan yang sangat terdesak sekarang ini, sebab itu mereka cuba menghalang pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendedahkan segala kepincangan mereka selama ini.
"Mereka cuba menghalang program ceramah kita kerana menyedari Segamat adalah kawasan hitam bagi mereka" katanya.
Firdaus yang juga pengamal undang-undang seterusnya menyifatkan, tindakan itu merupakan permulaan kepada cabaran-cabaran yang mungkin lebih besar lagi selepas ini, namun terus bertekad untuk meneruskan perjuangan.
"Perjuangan ini akan tetap diteruskan bahkan insiden yang berlaku ini akan menambahkan lagi semangat juang setiap pendukung PAS dan Pakatan Rakyat khususnya di Segamat ini," ujarnya.
Ekoran insiden itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Segamat, kira-kira jam 1.00 petang kelmarin.
Pada satu majlis di Labis, 7 Oktober lalu, seorang petugas Jabatan Amal Johor, Shahril Sulaiman, tercedera dan menerima tujuh jahitan setelah dilontar dengan objek keras ketika cuba menghalang kira-kira 50 penunggang motorsikal yang cuba membuat bising untuk mengganggu majlis tersebut.
Sementara itu cubaan untuk mengganggu ceramah Mohamad Sabu di Kampung Tahang Rimau Segamat pada 10 Oktober lalu berjaya digagalkan, kehadiran ratusan petugas Jabatan Amal dan Angkatan Muda Keadilan yang mengawal lalu lintas menyebabkan taktik sama yang cuba dilakukan kumpulan penunggang motosikal untuk membuat bising bagi mengganggu ceramah, tidak menjadi.

Tiada ulasan: