Isnin, 10 Oktober 2011

PERAKITE

PERAKITE


Tiada dalam Bajet: Bohong semata-mata janji sebelum ni

Posted: 10 Oct 2011 07:45 AM PDT

Kami mendesak kerajaan agar mengotakan janji untuk mempersiapkan saliran khusus ke laut dari empangan ini demi keselamatan dan ketenteraman seluruh warga Perlis.

Ternyata apa yang di war-warkan sebelum ini bahawa kerajaan negeri Perlis akan memulakan projek 'Saliran Khusus Empangan Timah Tasoh' seawal tahun 2012 setelah proses pengambilan tanah selesai adalah bohong semata-mata.

"Ini kerana dalam pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan Jumaat lepas menyebut dengan jelas peruntukan hanya melibatkan kerja menaik taraf Empangan Timah Tasoh dan mendalamkan Sungai Arau sahaja, lihat muka surat 45 Bajet 2012 versi online.

Demikian menurut satu kenyataan media semalam daripada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Rakyat Perlis Atasi Masalah Banjir, Mohammad Faisol Abd Rahman.Justeru katanya, ini memberi gambaran bahawa kestabilan rakyat Perlis khususnya penduduk di sekitar kawasan yang pernah terlibat dengan banjir masih lagi berada dalam keadaan dirundung rasa gelisah.

"Persoalannya apakah hanya cukup sekadar dengan mendalamkan sungai yang sedia ada mampu mengatasi limpahan stok air Empangan Timah Tasoh yang akan di naik taraf? Sudahkah kajian terperinci dibuat untuk tujuan tersebut ataupun hanya sekadar mahu menunaikan janji sahaja?

Persoalan yang selama ini menghantui para penduduk negeri Perlis mengenai tahap keselamatan Empangan Timah Tasoh masih belum terjawab," terang beliau.

Menurutnya, banjir besar yang melanda Bangkok sehingga mengorbankan ratusan nyawa di antara puncanya adalah saliran sungai yang sedia ada tidak mampu menampung pembuangan air empangan akibat hujan lebat.

"Natijahnya hampir seluruh kota Bangkok ditenggelami air sekaligus melumpuhkan segala aktiviti penduduk di kota tersebut. Kejadian yang menimpa Bangkok sekarang ini wajar diambil iktibar oleh semua pihak," katanya.

Faisol berkata, Empangan Timah Tasoh yang terletak lebih kurang 20 km dari bandar Kangar dan Arau kini dianggap sebagai "Time Bomb". Mungkin ada yang menganggap hal ini sebagai lucu dan tidak masuk akal.

"Namun siapa sangka gegaran gempa bumi di Jepun baru-baru ini telah menyebabkan bencana kerosakan reaktor nuklear hingga menimbulkan keresahan masyarakat Jepun," jelas beliau.

Katanya lagi, walaupun Malaysia bebas dari lingkaran kawasan gempa bumi, namun Malaysia tidak terkecuali dari merasakan gegaran hasil dari gempa bumi di negara jiran seperti Indonesia dan Myammar.

"Sesungguhnya warga Perlis amat bimbang seandainya Empangan Timah Tasoh retak, pecah dan runtuh akibat faktor luar jangka seperti gegaran gempa bumi dan apakah kerajaan negeri Perlis sudah bersiap sedia dengan pelan kecemasan sekiranya hal ini terjadi?

"Malaysia juga tidak terlepas dari potensi masalah tanah gelungsur akibat peningkatan projek dan aliran air dalam tanah yang tidak diurus dengan sempurna," tambahnya.

Beliau menerangkan kenyataan tentang projek menaik taraf Empangan Timah Tasoh yang kapasiti simpanan air semasa 33.3 juta meter padu kepada 87 juta meter padu sudah pasti akan menambahkan lagi ancaman keselamatan kepada lokasi-lokasi popular banjir seperti Beseri, Kampung Syed Omar, Bintong, Kampung Jarak, Kangar, Repoh, Santan, Arau dan sebagainya.

"Dijangkakan sekiranya Empangan Timah Tasoh pecah akibat faktor luar jangka, maka ia akan hanya mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja untuk menenggelamkan seluruh bandar Kangar dan Arau dengan bukan sahaja membawa air tetapi segala apa yang ada.

"Sehubungan dengan itu kami mendesak kerajaan agar mengotakan janji untuk mempersiapkan saliran khusus ke laut dari empangan ini demi keselamatan dan ketenteraman seluruh warga Perlis," katanya.

Tiada ulasan: