BRIGED MP SEGAMBUT |
- AntaraPos usaha Umno kekang populariti Khalid'
- Anwar: Mandat penuh kepada Khalid
- Hu nafi ugut bawa DHPP tinggalkan PAS
- PKR mahu Khalid disingkir sebagai MB Selangor?
- Tahanan lelaki ditemui mati di lokap mahkamah
AntaraPos usaha Umno kekang populariti Khalid' Posted: 10 Oct 2011 09:53 AM PDT Dakwaan dan cubaan untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor adalah cara Umno bagi mengekang lonjakan populariti pemimpin itu yang mutakhir ini begitu memberangsangkan, kata setiausaha politiknya, Faekah Husin. Faekah berkata usaha itu bertujuan menjejaskan populariti dan kredibiliti Khalid yang kini mengatasi pimpinan Umno mahupun pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. "Blog (AntaraPos.com) yang diterajui bekas Pengurus Besar CCSB (anak syarikat kerajaan negeri) yang ditamatkan kontrak Jun lalu digunakan untuk melaksanakan perbuatan hina ini. "Dari maklumat yang kita terima laman web tunggangan Umno ini juga ditubuhkan khas untuk mempertahankan Datuk Seri Najib (Razak) yang kini dikatakan mendapat tentangan terang-terangan dari timbalannya Tan Sri Muhyidin (Yassin)," kata Faekah dalam kenyataannya malam ini. CCSB adalah syarikat yang mengendalikan TVSelangor dan buletin negeri Selangorkini yang diterbitkan setiap bulan. Faekah mengulas dakwaan yang dibuat dalam blog itu berhubung beberapa wakil rakyat PKR yang mahu Khalid dipecat. Faekah bagaimanapun mengakui terdapat sesetengah pemimpin dalam Pakatan yang tidak biasa dengan cara Khalid mentadbir negeri seperti mengurus syarikat korporat. "Golongan ini sangat kecil jumlahnya namun bersuara agak lantang mungkin kerana kedudukan mereka dalam parti dan mungkin juga di dalam masyarakat," katanya. Menurut beliau, rakyat mahukan pentadbiran yang berlandaskan ketelusan, kebertanggungjawab, bebas rasuah dan adil yang tidak pernah dipraktikkan BN sepanjang memerintah Selangor. Pemimpin baik Faekah juga berkata beliau ada mendengar mengenai memorandum yang disebarkan dengan tujuan mengugat kedudukan Khalid.Katanya, sebagai setiausaha poltik, sudah pasti beliau akan mempertahankan kedudukan menteri besar jika Khalid diserang oleh mana-mana pihak tak kira lawan mahupun kawan. Beliau juga menyifatkan Khalid sebagai seorang pemimpin yang baik, bersih, telus serta komited terhadap kehendak rakyat. Menurut Faekah, dakwaan bahawa program yang dilaksanakan kerajaan Selangor sebagai remeh dan hanya untuk populariti Khalid adalah tindakan terdesak. "Kita telah membelanjakan lebih RM500 juta untuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor dan setakat Ogos 2011 seramai 1,181,109 rakyat Selangor telah menikmati hasil program-program yang kita laksanakan. "Bantuan-bantuan ini diturunkan ke pejabat DUN untuk memastikan wakil rakyat dapat berhubung terus dengan pengundi di kawasan mereka," katanya. Justeru, menurut Faekah, wakil rakyat juga meraih populariti dari program kerajaan kecualilah bagi wakil rakyat yang 'segan' dan 'banyak mengelat' dari turun padang bagi menyelesaikan masalah rakyat. Selain itu, katanya, dalam tempoh kurang lima tahun, menteri besar telah menambah simpanan rezab kepada RM1.1 bilion malah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menanggung kerugian sejak ditubuhkan, buat pertama kali dalam sejarah, mencatatkan keuntungan RM11 juta. "Jika tiada pemimpin yang berpegang kuat pada prinsip, masih mengamalkan gaya politik Umno, amalan kronisme, kerajaan Pakatan Selangor tidak mampu mencapai kejayaan ini," katanya lagi |
Anwar: Mandat penuh kepada Khalid Posted: 10 Oct 2011 08:53 AM PDT Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berhubung tuntutan untuk mengganti Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor telahpun diselesaikan secara "demokratik." "Kita beri mandat penuh kepada Tan Sri Khalid sebagai menteri besar," katanya kepada wartawan di bangunan parlimen hari ini. Tambahnya, beliau juga sering mendengar rungutan demi rungutan untuk menukar ketua umum dan juga menteri besar. "Tapi kita tidak boleh ketepikan pandangan mereka. Kita dengar dan keputusannya adalah untuk menyokong Khalid," katanya lagi. Ditanya bilakah keputusan itu dibuat, Anwar berkata perkara itu merupakan satu "isu lama" tetapi timbul semula "baru-baru ini." Isu berkenaan timbul apabila dilaporkan satu laman web bahawa hubungan antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan ADUN dan ahli parlimen PKR dilaporkan semakin rapuh. Malah, lapor laman AntaraPos.com, terdapat kumpulan wakil rakyat parti itu mahu pimpinan parti menggugurkan Khalid daripada jawatan menteri besar. AntaraPos.com diasaskan sekumpulan bekas editor TVSelangor yang juga bekas kakitangan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Incorporated. Laman web itu juga mendakwa Anwar Ibrahim akur dengan desakan itu dan telah meminta supaya presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjalankan tuntutan pimpinan itu. Bagaimanapun, lapor laman web itu lagi, Wan Azizah enggan berbuat demikian, menyebabkan timbul keresahan di kalangan wakil rakyat yang semakin tidak berpuas hati dengan prestasi Khalid. |
Hu nafi ugut bawa DHPP tinggalkan PAS Posted: 10 Oct 2011 01:41 AM PDT Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chaw menafikan berita yang mendakwa sayap itu enggan menyokong parti itu jika hukum hudud dilaksanakan. Sehubungan itu, beliau juga menafikan membuat ancaman untuk meninggalkan PAS seperti yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Melayu, Sinar Harian hari ini. "Sebagai salah seorang pengasas kelab penyokong PAS yang kini menjadi DHPP, tidak ada sebab saya buat demikian. "Ia umpama rumah yang dibina dengan duit, masa dan tenaga saya tiba-tiba dibakar oleh saya sendiri atas sebab bocor sikit di dapur," kata Hu (kanan) yang dipetik oleh Harakahdaily, hari ini. Sinar Harian hari ini menyiarkan di halaman utama dengan laporan kononnya 20,000 ahli DHPP akan meninggalkan PAS jika hukum hudud dilaksanakan. "Saya bukan nak cabar parti. Kalau saya tak suka pada Pas, saya sudah lama keluar dan tubuh parti baru. Saya juga bukan tolak hudud tetapi saya mahu kepimpinan Pas beri perhatian kepada perkara-perkara lain sebelum fikir nak laksanakan hudud," katanya. Hu juga dipetik berkata, beliau sudah menjelajah ke banyak negeri dan rata-rata penyokong pembangkang yang bukan Islam bertegas menolak hudud. "Jadi PAS tidak boleh buat main-main dengan perkara ini. Selama ini, orang bukan Islam sokong PAS kerana sangka parti ini adalah yang terbaik, serasi dengan mereka. Tiba-tiba mahu buat hudud pula. Ini yang mereka tak boleh terima," katanya. |
PKR mahu Khalid disingkir sebagai MB Selangor? Posted: 09 Oct 2011 08:27 PM PDT Hubungan antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan ADUN dan ahli parlimen PKR dilaporkan semakin rapuh sehingga ada kumpulan wakil rakyat parti itu mendesak pimpinan parti supaya memecat Menteri Besar Selangor itu. Portal berita AntaraPos.com melaporkan, ketua umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah, akur dengan desakan itu dan telah meminta supaya isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti melaksanakan tuntutan pimpinan itu. Bagaiamanapun, difahamkan Wan Azizah enggan berbuat demikian. Tindakan beliau itu sehingga menimbulkan keresahan di kalangan wakil rakyat berkenaan yang semakin tidak berpuas hati dengan prestasi Khalid. Memetik beberapa sumber dalaman, AntaraPos.com melaporkan kemelut berkenaan telah mencetuskan krisis dalaman parti yang memberi kesan kepada bukan sahaja PKR tetapi juga Pakatan Rakyat. Ini juga dikatakan sedang menghakis peluang gagasan itu untuk mengekalkan kuasa di Selangor pada pilihanraya umum akan datang. Rungutan utama wakil rakyat PKR terhadap Khalid adalah bahawa prestasi kepemimpinan PKR di Selangor tertinggal jauh berbanding dengan kerajaan negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang. Keghairahan Khalid Manakala di Kelantan dan Kedah, kerajaan negeri pimpinan PAS bergerak atas landasan sama dengan telunjuk parti dan memastikan dasar-dasar PAS dilaksanakan di peringkat negeri. "Apa yang jelas di Selangor ialah keghairahan Khalid mengumumkan program-program rakyat dengan begitu gah namun pelaksanaan ibarat melepaskan batuk di tangga sepanjang tiga tahun yang lepas," kata sumber-sumber dalaman parti. Contohnya program seperti Skim Mikrokredit yang dibeban dengan birokasi keterlaluan untuk mendapatkan kelulusan, manakala tahap pelaksanaan projek pembersihan Sungai Klang yang dalam program memacu ekonomi Selangor bernilai RM60 bilion masih jauh daripada memuaskan walaupun ia diumum hampir tiga tahun lalu. Sebaliknya, Khalid memberi tumpuan kepada "projek-projek remeh yang jelas tidak mendatangkan sebarang kesan jangka panjang untuk kebaikan penduduk Selangor tetapi hanya sekadar untuk meraih populariti," tambah sumber itu. Menurut sumber itu lagi, pada Mei lalu, wakil rakyat PKR mengemukakan memorandum kepada Anwar meminta beliau memecat Khalid sebagai menteri besar demi memelihara kedudukan PKR sebagai paksi Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor. Singkir MB Memorandum itu disampaikan kepada Anwar pada Kongres Pilihanraya PKR. Difahamkan bahawa apabila menyedari perkara itu, Khalid bergegas meninggalkan kongres berkenaan sebagai tanda protes. Susulan memorandum itu, ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik PKR turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi Khalid, baik sumbangannya kepada parti atau pun selaku Menteri Besar. Mereka juga merujuk kepada tindakan Khalid untuk mencantas beberapa program kemasyarakatan yang diatur oleh parti tetapi meluluskan program-program di peringkat negeri yang berupaya meningkatkan populariti beliau secara peribadi. Kata sumber itu lagi yang dipetik AntaraPos.com, sebagai respon kepada rungutan dan memorandum itu, Anwar selaku ketua umum PKR meminta Wan Azizah selaku presiden untuk melaksanakan ketetapan yang diambil oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat bagi menyingkir Khalid. Penyingkiran itu memerlukan PKR mendapat persetujuan daripada DAP dan PAS sebelum menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan usul berkenaan selain mengemukakan calon MB baru. Dalang Bagaimanapun usul itu dikatakan "mati begitu saja" di tangan Wan Azizah yang bertegas mahu mengekalkan Khalid walaupun membelakangi mandat Majlis tertinggi PKR dan suaminya sendiri. Sumber-sumber juga memberitahu keputusan Wan Azizah untuk menempelak kehendak wakil-wakil rakyat parti, didalangi oleh Faekah Husin (kiri), setiausaha politik Khalid yang sebelum ini menjadi pegawai khas presiden PKR itu. Walaupun berpejabat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Faekah masih bertindak penasihat utama Wan Azizah, malah banyak menghabiskan waktu untuk urusan Presiden PKR. "PKR kini berdepan dengan masalah dalaman yang amat serius kerana ia membabitkan tiga personaliti tertinggi iaitu Anwar, isterinya dan Khalid," kata sumber itu. "Wakil rakyat dan akar umbi yang mengetahui masalah ini kini menunggu untuk melihat apakah langkah seterusnya Anwar - sama ada bertegas untuk memaksa Khalid berundur atau tunduk kepada kemahuan isterinya yng jelas dipengaruhi oleh orang kanan Khalid |
Tahanan lelaki ditemui mati di lokap mahkamah Posted: 09 Oct 2011 06:56 PM PDT Seorang tahanan lelaki ditemui mati di dalam lokap Mahkamah Kota Baharu, semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar berkata tahanan berumur 43 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dalam lokap berkenaan pada pukul 3 petang, semalam oleh seorang anggota polis yang bertugas. "Seorang anggota polis pergi ke lokap tahanan itu untuk membawa tahanan itu ke Penjara Pengkalan Chepa setelah dituduh di mahkamah melihat tahanan itu terbaring tidak sedarkan diri. "Melihat keadaan tahanan itu, anggota polis berkenaan menghubungi pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Baharu dan hasil pemeriksaan pihak hospital di lokap itu mendapati tahanan terbabit telah pun meninggal dunia," katanya kepada pemberita di Kota Bharu. Beliau berkata mayat tahanan itu kemudian dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya. Tahanan itu yang berasal dari Kampung Badang, dekat Kota Bharu disyaki penagih dan penghidap HIV. Dia ditahan Rabu lalu dan dibawa ke mahkamah semalam untuk dituduh kerana disyaki melakukan kesalahan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan