Ahad, 9 Oktober 2011

pemuda cheh

pemuda cheh


Bajet Morfin One-off

Posted: 08 Oct 2011 06:39 PM PDT


Oleh: ruhan

"Pakatan telah mengemukakan bajet alternatif mereka lebih awal daripada UMNO/APCO-BN. Pakatan memperuntukkan sebanyak RM220 bilion. UMNO/APCO-BN memperuntukkan sebanyak 232.8 bilion. Dr. M kata bajet Pakatan tidak realistik. Anwar kata bajet UMNO/APCO-BN tidak realistik. Reaksi yang diberi oleh Najib terhadap komen tersebut menampakkan sikap bongkaknya kerana menganggap Pakatan mati akal untuk menyerangnya. Dia menganggap dirinya terlalu hebat. Yang sudah bertalu-talu dikomen dan dihentam setakat ini dia tak baca ke? Tinggi sangatkah darjah ujub dalam kalangan pemimpin UMNO/APCO-BN? Itu belum lagi serangan di Dewan Rakyat nanti.  Rugikah kalau merendah diri? Tambah memalukan ialah UMNO/APCO-BN menciplak banyak benda dari Pakatan demi menunjukkan bajet mereka lebih baik daripada Pakatan.



Najib tempelak Pakatan. Kalau betul ditiru, maknanya bajet Pakatan tu tak realistiklah. Alahai! Senangnya dia berhujah. Macam budak sekolah rendah. Bajet 2012 yang ditiru daripada bajet Pakatan itu jadi tidak realistik kerana kaedah dan pendekatan yang dipakai tidak selari.  Nak bentang bajet pun dijadikan satu perlawanan!!! Mari sama-sama kita tengok perkara yang sebenarnya.
Bajet Pakatan memberi fokus kepada merakyatkan wang negara yang sepatutnya menjadi milik mereka. Bajet ini juga tidak mesra IPP dan syarikat tol. Bajet UMNO/APCO-BN memberi fokus kepada pemberian dalam bentuk one-off, tidak sentuh langsung tentang penghapusan subsidi untuk kedua-dua institusi tadi yang berjumlah RM25 bilion, dan tiada pernyataan mengenai PERMATA yang dinaungi Rosmah.

Rakyat mungkin rasa gembira dengan pemberian-pemberian yang diumumkan itu. Walau bagaimanapun, kita perlu bersedia dengan amalan curang kerajaan ini seperti yang telah berkali-kali berlaku. Mereka akan mengemukakan bajet tambahan apabila terdesak. Hal ini boleh dilakukan sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum yang akan datang tidak lama lagi. Hati-hatilah rakyat Malaysia. Andalah yang akan terbeban.  Berapa banyak yang akan diperoleh golongan marhaen melalui bajet ini?  Segala-galanya tidak pasti.  Mana dia transformasi yang diwarwarkan itu? Akibatnya, rakyat akan terus dibebani kos sara hidup yang bertambah tinggi.

Banyak persoalan yang ditimbulkan oleh bajet 2012 itu. Apakah GST akan tetap dilaksanakan? Mengapa subsidi kepada 4 IPP dan syarikat tol yang berjumlah RM25 bilion tidak disentuh? Mengapa kaedah pengurusan bajet itu tidak dinyatakan? Dari mana sumber kewangan untuk bajet itu akan diperoleh? Mengapa sifatnya tertumpu kepada one-off? Mengapa tiada kepastian tentang kedudukan subsidi minyak dan barang keperluan lain? Anda perlu ingat, pengurangan subsidi untuk komoditi-komoditi itu akan menyebabkan harganya naik!!!

Jika sekiranya rakyat Malaysia terpedaya dengan gula-gula bajet ini, UMNO/APCO-BN akan kembali berkuasa selepas pilihan raya umum nanti. Ketika itu kita akan diseksa oleh GST.  Ketika itu jugalah kita akan lihat mereka memberi peruntukan kepada PERMATA.  Dan terpulanglah kepada mereka untuk merangka apa-apa pun.

Mereka sengaja memilih teknik one-off bukan sahaja kerana tidak perlu memberi secara berulang dan kelihatan banyak serta pelbagai [ ini taktik lama UMNO/APCO-BN ] tetapi juga dapat dihimpunkan kembali wang tersebut dengan mudah.  Di samping itu, peruntukan seperti ini boleh ditarik balik bila-bila masa. Masih ingat lagikah pemberian untuk cukai jalan satu ketika dulu? Amalan seperti ini tidak dilakukan oleh negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan. Guan Eng membantu golongan yang memerlukan secara berterusan. Di Selangor, skim TAWAS berjalan sepanjang tahun. Contoh-contoh yang diberikan itu telah dilaksanakan tanpa mengambil kira ada pilihan raya ataupun tidak. Anda sendiri boleh menilai pihak mana yang lebih ikhlas membantu rakyat.

Satu hal lagi yang perlu disemat dalam hati ialah ketirisan yang sudah membarah dalam kerajaan UMNO/APCO-BN.  Peruntukan berjumlah RM232.8 bilion. Jika kita berpegang kepada ketirisan yang berjumlah RM28 bilion seperti yang telah dibuktikan oleh Ketua Audit Negara, peruntukan itu tinggal RM204.8 bilion sahaja. Siapa ambil yang tiris tu? Mereka dan kroni merekalah jawabnya. Akan wujudlah golongan yang dapat habuk saja nantinya. Beranikah Najib menyatakan ketirisan tidak akan berlaku dalam peruntukan Bajet 2012? Hal ini tidak akan berlaku dalam bajet Pakatan yang berjumlah RM220 bilion itu kerana pegangan mereka yang anti-rasuah dan anti-penyelewengan.  

Harus diingat bahawa Najib bercakap tidak serupa bikin dalam pembentangan Bajet 2012. Menurut Transperency International Malaysia Chapter (TI-M), Najib yang mengumumkan pembaharuan undang-undang  untuk menjadikan Malaysia "demokrasi terbaik" dunia baru-baru ini tidak menunjukkan komitmen dan keikhlasannya ketika mengumumkan Bajet 2012.

Alasannya ialah bajet itu gagal menangani isu ketelusan dalam perbelanjaan pertahanan, tidak sentuh langsung cara menangani aliran haram dana keluar dari negara ini, tiada pindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi, dan tidak memasukkan isu reformasi dana politik dalam Bajet 2012.

Hakikatnya, perolehan peralatan pertahanan perlu lebih telus berdasarkan peristiwa buruk masa lalu. Global Financial Integrity (GFI) menyatakan bahawa aliran haram dana dari Malaysia meningkat dari RM67.7 bilion dalam tahun 2000 ke RM208 bilion pada tahun 2010.  Tidakkah ini semua menjatuhkan imej negara di mata dunia? Ketiadaan pindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi pula mengundang pengurangan akauntabiliti, terutamanya bagi projek-projek yang diswastakan dan diberi konsesi.  Sudah pasti bala besar sedang menanti. 

Gunakanlah pemikiran yang rasional untuk menilai pernyataan-pernyataan di atas. Realistikkah jika tiada kaedah pengurusan bagi sesuatu bajet yang dibentangkan? Realistikkah jika tiada pengumuman tentang sumber kewangan bagi melaksanakan semua yang tercatat dalam sesuatu bajet? Jangan sekali-kali lupa bahawa UMNO/APCO-BN telah membentangkan bajet defisit untuk tahun yang ke-14. Pandai sungguh mereka mengurus wang rakyat dan memerintah!!! Andalah yang sebenarnya menjadi penentu dalam membuat pilihan sama ada terus dibodohkan oleh UMNO/APCO-BN atau mendapat peluang merasa sesuatu yang baharu dan lebih bermakna daripada Pakatan.  Berilah harapan baharu kepada hari muka anda. Usahlah terbuai dengan wang ratus-ratus dan ribu-ribu yang diberikan sekali dalam masa lima tahun itu, sedangkan pemberi dan kroni mereka merompak berbilion-bilion ringgit wang rakyat setiap kali projek berjalan.

Tiada ulasan: