Datuk Durjana Upah Ayam Goreng Selepas Merogol Cucunya Posted: 12 Oct 2011 02:03 PM PDT
Saya petik: [SH] KULIM - Tidak serik dipenjara kerana kesalahan merogol, seorang datuk sanggup melakukan perbuatan sama terhadap cucunya yang juga murid tahun tiga dan masih bersekolah.
Lebih menyedihkan mangsa hanya diberi upah ayam goreng setelah suspek memuaskan nafsunya.
Mangsa dikatakan sering tidak ke sekolah menyebabkan gurunya bertanya tentang masalah yang dihadapinya.
Mangsa kemudiannya menceritakan apa yang berlaku dan guru berkenaan yang terkejut dengan pengakuan itu membawa mangsa menjalani pemeriksaan di hospital. Doktor menasihatkan supaya laporan polis dibuat.
Kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada waris mangsa dan suspek datang ke balai polis bersama mangsa untuk membuat laporan polis dengan menuduh bapa mangsa melakukan perbuatan tidak bermoral itu.
Polis yang menjalankan siasatan ke atas datuk dan bapa mangsa berasa curiga lalu meminta mangsa menceritakan kisah sebenar. Barulah kanak-kanak itu mengaku dia diarahkan oleh datuknya untuk menuduh bapanya.
Setelah menjalankan siasatan terhadap datuk mangsa, akhirnya suspek mengaku melakukan perbuatan itu terhadap cucunya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, sebelum ini suspek pernah menjalani hukuman penjara kerana kesalahan merogol.
"Dia pernah menerima hukuman 12 sebatan dan dipenjarakan sebelum ini. Suspek juga baru dibebaskan dari penjara. Apa yang dilakukan oleh suspek adalah satu kesalahan serius dan kes akan disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.
|
RHB: Risiko Kemelesetan TINGGI, Pertumbuhan Malaysia 2012 Dijangka "PERLAHAN" Posted: 11 Oct 2011 09:31 PM PDT
Saya petik: [TMI] KUALA LUMPUR, 12 Okt — Pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun depan kemungkinan perlahan setakat 3.6 peratus berbanding paras 4.3 peratus dianggarkan tahun ini ekoran risiko kemelesetan global berganda yang mendalam, kata RHB Research Institute.
Anggaran pertumbuhan unit RHB yang dikeluarkan semalam jauh lebih rendah berbanding anggaran lima hingga enam peratus diramalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012 dengan dana RM232 bilion Jumaat lalu.
Unit itu juga berkata bahawa risiko kemelesetan global berganda yang mendalam sangat tinggi dan semakin meningkat memandangkan kedua-dua Amerika Syarikat dan Eropah tidak boleh menerima satu lagi kejutan meskipun boleh mengelakkannya jika pemimpin-pemimpin mereka bertindak dengan segera untuk menangani krisis hutang dan menghindari penularan yang boleh menjejaskan terus keyakinan.
Malah penyelidikan itu juga menjangkakan sektor bisnes akan memotong perbelanjaan ekoran persekitaran tidak menentu, meskipun sebahagian pertumbuhan akan datang hasil pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Pertumbuhan pelaburan swasta dijangka menurun lagi sehingga 4.6 peratus pada 2012 selepas perlahan ke paras anggaran 5.7 peratus tahun ini, kata laporan itu lagi.
Dalam pada itu, eksport dijangka akan mengalami pertumbuhan sekitar 1.1 peratus berbanding 3.4 peratus tahun ini ekoran penurunan permintaan luar bagi barangan elektrik dan elektronik. Permintaan domestik dianggarkan akan mengalami pertumbuhan pada kadar rendah 5.1 peratus pada tahun depan berbanding anggaran 5.8 peratus pada 2011. Bagaimanapun RHB berkata bahawa perbelanjaan pengguna dijangka kekal pada kadar mudah pulih yang munasabah dan bertumbuh sekitar 5.3 peratus pada 2012 berbanding enam peratus tahun ini ekoran simpanan yang tinggi, peningkatan penggunaan dan kenaikan gaji. Kebanyakan unit penyelidikan telah menurunkan anggaran pertumbuhan tahun depan masing-masing bagi Malaysia meskipun Najib yakin menerusi cadangan bajetnya, yang pengkritik berkata ia disediakan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13. |
Tidak Perlu Lagi Buat Laporan Polis Jika Kehilangan Sijil, Lesen, Geran, Pasport Selepas Ini Posted: 11 Oct 2011 08:28 PM PDT
Saya petik: [Bernama] Orang ramai tidak perlu lagi membuat laporan polis bagi sebarang penggantian berhubung kehilangan dan kerosakan sijil kelahiran, pasport Malaysia, sijil perkahwinan, sijil akademik, perakuan pendaftaran kenderaan dan lesen memandu serta geran tanah.
Perkara itu terkandung dalam Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2011 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 29 Sept lalu.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata kerajaan membuat keputusan berhubung pemansuhan keperluan mengemukakan laporan polis itu pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam (JKTPA) Bilangan 2, 2011 pada 6 April lalu kerana ia sebenarnya merupakan amalan pentadbiran yang tidak diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang.
Beliau berkata pada 2010, sejumlah 2.8 juta laporan polis diterima, dengan 1.1 juta atau 40 peratus daripada jumlah itu termasuk dalam kategori 'Rujuk Lain-Lain Agensi'.
"Ini menunjukkan sebahagian besar laporan polis yang dibuat tidak memerlukan tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Perkara ini bukan sahaja menyusahkan orang awam, malah tidak melambangkan imej perkhidmatan awam yang cekap dan mesra pelanggan.
"Di pihak PDRM pula, amalan ini turut menyebabkan tambahan beban kerja dalam mengendalikan urusan pelaporan polis.
"Keperluan ini juga mengakibatkan peningkatan kos operasi PDRM di samping tidak memberi nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan PDRM," katanya.
Berikutan pemansuhan itu, Mohd Sidek meminta semua agensi kerajaan mengenal pasti urusan yang memerlukan orang awam mengemukakan laporan polis kepada agensi kerajaan terbabit mengikut keperluan yang diperuntukkan dalam undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, Pekeliling itu tidak menghalang orang awam daripada membuat laporan polis, dan agensi kerajaan juga tidak boleh menghalang orang awam membuat laporan kepada PDRM.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan