BRIGED MP SEGAMBUT |
- Malaysia, Hudud dan saya
- SIAPA YG MENGGANTUNG HUKUM HUDUD?
- MAHKAMAH TAKUT DS NAJIB DAN ROSMAH?
- Bajet Pakatan: Bantuan tak akan disalahguna
Posted: 06 Oct 2011 06:31 AM PDT Saya seorang rakyat Malaysia bukan beragama Islam. Negara saya sekian lama diperintah sebuah rejim bernama Barisan Nasional yang berideologi etno-nasionalis. Dari kecil, saya dididik supaya menerima sebagai hakikat keadaan masyarakat saya yang majmuk memerlukan pengorbanan daripada semua golongan, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari kumpulan minoriti. Sesiapa yang cuba mengubah hakikat ini, saya diberitahu, ialah penderhaka yang ingin merosakkan kemakmuran masyarakat berbilang bangsa dan agama ini. Negara saya unik, kerana rakyatnya, walaupun berbeza kepercayaan, bersikap sederhana dan saling hormat-menghormati. Pemimpin kita tidak pernah leka. Mereka gemar memperingatkan kita tentang detik hitam peristiwa Mei 13 1969, semasa rakyat berpecah-belah. Kata mereka, semua itu sudah berlalu dan harus diambil sebagai iktibar dalam perjalanan kita menuju masa depan yang lebih aman, lebih sentosa. Tetapi kita disaran berwaspada, jangan biar mereka yang ingin memecah-belahkan anda mengancam keselamatan negara. Kerana, di bawah perancangan dan pengaturan pemimpin kita yang arif lagi bijaksana, rakyat boleh hidup senang. Maka, saya pun boleh tidur lena. Namun, tiap kali saya terbangun, saya berhadapan dengan ribuan persoalan. Antaranya, di manakah duit rakyat dibelanjakan semasa saya terkantuk? Kenapa ramai lagi rakan-rakan saya yang tak bersekolah? Sebab apakah pemuda di desa tak kerja? Sementara kelas kapitalis menjadi kaya-raya, apakah nasib ribuan lagi yang papa kedana? Harga barang yang naik, kenapa tidak diikuti gaji yang naik? Mereka yang kelaparan, mengapa tidak diberi makan? Mereka yang sakit, mengapa tidak diberi ubat? Mereka yang tiada tempat tinggal, mengapa masih diusir? Mereka yang ingin bersuara, mengapa masih tidak didengari? Lantas, soalan-soalan tersebut hilang relevannya kerana pemimpin memerintah supaya rakyat bersatu melawan musuh kita. Musuh kita tiada rupa, tiada wajah. Tapi dia bernama. Namanya seringkali berubah; "sosialis", "komunis", "anasir Barat", "Yahudi", "pendatang", "pelacur", "peliwat", "kafir", "Bersih", "Hindraf", "pembangkang", "penindas Melayu", "pencabar Islam" dan sebagainya. Namun, tujuan musuh kita tetap dan tidak berubah, mereka yang cemburukan kejayaan kita akan berusaha menghuru-harakan negara kita. Mereka yang tidak memahami keunikan kita akan cuba menghilangkan tradisi dan kepercayaan kita. Rasa takut, tidak tentu, dan keliru pun menyelubungi tanah ini. Penyelesaiannya? Pemerintah akan bersorak, "Mari kita perkasakan gagasan 1Malaysia! Hak anda untuk berasa selamat terjamin di bawah pimpinan saya!" Cukup menyedihkan apabila wacana politik tanahair dikuasai kekeliruan kerana mereka yang menguasai media massa dan saluran-saluran maklumat jugalah mereka yang terus memegang kuasa politik negara saya. Baru sahaja rakyat sedar buat seketika; baru sahaja anak-anak Malaysia turun ke jalan raya, kini kita sekali lagi diseret masuk dunia gelap. Dalam masa beberapa bulan sahaja, saya diberitahu komunis masih ada dalam masyarakat kita dan undang-undang Hudud akan digunapakai sekiranya pemimpin Barisan Nasional hilang kuasa. Apakah saya akan terlena dalam buaian yang dijamin Barisan Nasional lagi? Saya terfikir saat kita sebagai satu rakyat bangkit melawan ketidakadilan. Mengapa tidak teruskan semangat waktu itu? Pada ketika pemerintah gunakan propaganda, perjuangan rakyat perlu disemarakkan lagi, kerana itulah penentu takdir negara kita dan bukan kekeliruan yang berasaskan dasar pecah dan perintah. Pada saat kesatuan kita cuba dipecahkan lagi oleh kelas pemerintah yang ingin terus berkuasa, menjadi penting untuk kita kukuhkan semula komitmen perjuangan rakyat supaya penindasan diberhentikan dahulu. Jadi, di manakah titik mula kontroversi terkini? Di manakah pula noktah akhir pergelutan antara yang mahukan Hudud dan mereka yang tidak? Seorang kolumnis dalam akhbar Berita Harian 4 Oktober 2011 menulis, "Kita sudah tentu menyedari bahawa undang-undang hudud ini menjadikan Islam sebagai pusat hentaman pihak pejuang hak asasi seluruh dunia. Bukan kerana buruknya hukuman hudud, tetapi kerana kedangkalan pengetahuan mereka mengenai Islam dan syariatnya." Tidak dinafikan, saya agak dangkal mengenai Islam. Tetapi, harapan saya sebagai seorang anak bangsa Malaysia adalah supaya kita boleh berubah menjadi sebuah masyarakat yang berasaskan kepercayaan yang sama dalam prinsip-prinsip keadilan dan kebebasan sejagat. Kita harus bersetuju untuk menjadi masyarakat yang lebih berkemanusiaan. Tanpa idealisme sebegitu, apakah makna slogan perubahan yang dilaungkan? Apakah perubahan yang benar-benar diperlukan segera juga? Situasinya bagi saya begini, atas nama Hudud dan undang-undang Islam, suatu peluang dihasilkan untuk menjadikan Pakatan Rakyat bertelagah. Senjata Barisan Nasional melawan agenda perubahan cukup mudah, pecah dan perintah melalui ancaman, ketakutan dan kekeliruan. Golongan bukan Islam berhadapan dengan dilema palsu, kerana seolah-olah terpaksa memilih antara Hudud dengan tiada Hudud. Dalam keadaan demikian, di manakah harapan untuk saya? Adakah mereka yang masih menantikan kebebasan daripada penindasan perlu menunggu lebih lama lagi? PAS boleh buktikan "PAS untuk semua" bukan kata-kata sahaja. Untuk agenda perubahan rakyat berjaya, PAS perlu bersedia melibatkan semua anak Malaysia dalam agendanya. Sama juga dengan DAP, sekaranglah masa untuk menunjukkan retorik yang lebih inklusif supaya sempadan-sempadan palsu yang didirikan Barisan Nasional boleh direntasi. Kontroversi Hudud muncul kembali pada waktu genting sebelum Pilihanraya Umum ke-13, mengapa? Pastinya, PAS dan DAP kenal taktik Barisan Nasional. Akhbar bahasa Melayu, Cina, dan Inggeris masing-masing mendorong pembaca mereka hilang kepercayaan terhadap Pakatan Rakyat. Penulisan Bahasa Melayu arus perdana cenderung melabel DAP sebagai anti-Islam. Manakala penulisan Bahasa Cina arus perdana melabel PAS sebagai extremis. Justeru, kedua-dua parti berkongsi satu ciri, iaitu mereka bersifat keterlaluan. Sementara mereka berbalah, Barisan Nasional terus bertopengkan 1Malaysia, tanpa perlu menangani percanggahan dan kontradiksi yang wujud dalam gabungan mereka sendiri. Oleh itu, perselisihan PAS dan DAP tiada gunanya selain menghalalkan dasar pecah dan perintah Barisan Nasional, bahkan memaksa rakyat terima pemerintahan parti bersifat perkauman atas alasan rakyat Malaysia tidak mungkin menemui konsensus dalam Pakatan Rakyat. Ancaman dan kekeliruan adalah taktik biasa bagi mereka yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Sesungguhnya, Malaysia kini di ambang perubahan. Tentunya, mereka yang menerajui misi ini juga perlu mencari persetujuan demi mewakili suara rakyat yang sebenar. Tidak cukup sekadar menolak kebimbangan mereka yang menentang gunapakai Hudud, PAS perlu melibatkan semua dalam pembentukan persetujuan baru. Tidak cukup sekadar mengancam untuk letak jawatan, DAP pula boleh mendekati Hudud secara inklusif supaya tidak, dengan sewenang-wenangnya dicop "dangkal mengenai Islam". Lebih penting lagi, pejuang perubahan harus kembali memfokuskan perjuangan demokrasi. Kerana di antara Malaysia, Hudud dan saya, perkara yang perlu dijadikan paling asas ialah keadilan dan kebebasan. *Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang. |
SIAPA YG MENGGANTUNG HUKUM HUDUD? Posted: 06 Oct 2011 01:29 AM PDT Perundangan Islam termasuk hudud yang menjadi polemik di kalangan sesetengah pihak sekarang sebenarnya bukan perkara baru, malah ia sudah dilaksanakan di Kelantan pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah. Ketika itu sudah ada hukuman rejam bagi kesalahan zina dan potong tangan pesalah yang didapati mencuri. Malah pada zaman awal kegemilangan Islam di Kelantan, hukuman mencuci kolah dikenakan bagi kesalahan kecil sebagai pengajaran kepada orang ramai. Menurut banyak catatan dalam sejarah lama Kelantan hasil pelaksanaan hukum tersebut kehidupan rakyat aman dan damai. Maka tiada sebab ada pihak menolak pelaksanaan hukum tersebut terutamanya pemimpin-pemimpin politik yang mengaku beragama Islam. Bagi Gabungan NGO Kelantan (GNK) kenyataan pelbagai pihak mengeksploitasikan hukum hudud dilihat semata-mata bermotifkan politik sempit. Pengerusi Gabungan NGO Kelantan, Dr Abdul Halim Yusof berkata, sikap kurang bertanggungjawab dalam menangani isu hudud cukup membimbangkan di mana ia menjadi tajuk utama media arus perdana kebelakangan ini. "Menginsafi hakikat bahawa Islam adalah al-din yang mesti diterima secara menyeluruh dari segi aqidah dan syariatnya, pelaksanaan hukum hudud adalah suatu tanggungjawab agama. "Sebagai seorang yang mengaku beragama Islam dan berimankan al-Quran, kita tidak mempunyai pilihan selain daripada patuh menerima hukum-hakamNya. "Dan mengakui bahawa ia adalah hukum terbaik dan teradil tanpa sebarang berdolak-dalihk lagi," katanya di sini. Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) dilulus di persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 selepas digubal melibatkan pakar tempatan dan luar negara. Bagaimanapun perundangan Islam tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat kerjasama kerajaan pusat, lebih-lebih ada surat amaran daripada Perdana Menteri. Dr Abdul Halim berkata, pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan Kelantan dan kalangan ilmuan Islam secara konsisten memberi penerangan mengenai hukum hudud kepada rakyat. Katanya, kefahaman rakyat secara lebih jelas penting bagi membolehkan pelaksanaannya dibuat secara bijaksana dan memberi keadilan kepada masyarakat. Oleh itu beliau menyarankan semua pihak termasuk pemimpin politik, gerakan sivil, rakyat dan media alternatif memberikan sepenuh perhatian terhadap isu tersebut. Selain itu katanya juga penggemblengan tenaga semua pihak bagi menuntut pelaksanaan pilihanraya umum ke-13 lebih adil dan telus perlu diteruskan. "Janganlah kita mudah teralih arah jika terdapat isu-isu yang cuba ditimbulkan pihak-pihak tertentu. "Isu hudud dipolemik dalam suasana setiap kali datangnya musim pilihanraya. Ia juga berlaku dalam suasana pembongkaran satu demi satu bukti penyelewengan pengendalian pilihanraya termasuk pendaftaran pengundi yang meragukan," ujarnya. Menurutnya kewujudan pengundi berganda, undi pos dan terdedahnya pemberian kewarganegaraan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi begitu membimbangkan |
MAHKAMAH TAKUT DS NAJIB DAN ROSMAH? Posted: 05 Oct 2011 11:12 PM PDT Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan tampil ke mahkamah sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan kes liwat II. Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang hari ini menolak sepina yang menuntut mereka hadir sebagai saksi pembelaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika membenarkan permohonan Najib dan Rosmah bagi mengketepikan sepina itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, memutuskan mereka adalah tidak relevan dan bukan saksi utama dalam perbicaraan itu. "Justeru, saya benarkan permohonan itu dan arahkan perbicaraan disambung," katanya. Najib dan Rosmah diwakili oleh peguam Ghazi Ishak, Hisyam Teh Poh Teik, Salehuddin Saidin, M Athimulan dan Affifuddin Mohd Afifi. Pihak pembelaan telah cuba mewawancara Najib dan Rosmah pada Ogos lalu tetapi mereka enggan menjadi saksi pembelaan dan berkata akan hanya tampil jika disepina. Namun apabila sepina dikeluarkan, mereka memilih untuk mengketepikannya pula. Sepina meminta perdana menteri tampil itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung mesyuarat pada 24 Jun 2008, berikutan satu pertemuan yang diaturkan oleh pembantu Najib, Datuk Khairil Annas dengan pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan. |
Bajet Pakatan: Bantuan tak akan disalahguna Posted: 05 Oct 2011 10:19 PM PDT Bantuan terus yang ditawarkan dalam bajet alternatif Pakatan Rakyat dijangka tidak akan membesarkan lagi bajet berjumlah RM220 bilion itu, menurut anggota jawatankuasanya. Program bantuan berkenaan juga tidak akan disalahguna kerana ia disasarkan kepada kumpulan khusus dengan kriteria yang ketat, kata pengarah stretegi PKR, Rafizi Ramli. Katanya, bantuan berkenaan – termasuk bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1.7 bilion setahun dan kepada surirumah sebanyak RM2 bilion setahun – akan disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan bantuan. "Kriteria khusus disenaraikan dalam dokumen bajet tersebut," kata Rafizi (kanan) ketika bercakap dalam satu program untuk menjelaskan intipati tawaran Pakatan itu di bangunan parlimen semalam. Selain warga emas dan surirumah, Pakatan turut menawarkan bayaran tambahan kepada golongan miskin tegar supaya setiap keluarga berkenaan menerima pendapatan sekurang-kurangnya RM550 sebulan. Pakatan juga menawarkan untuk membayar elaun sebanyak RM500 kepada golongan guru dan juga memperuntukkan sejumlah RM5.7 bilion untuk meningkatkan bayaran gaji kakitangan awam. Beliau yang terlibat dalam jawatankuasa merangka bajet bayangan itu juga berkata, bantuan berkenaan berbeza dengan dasar bantuan oleh BN yang didakwa telah disalahguna dan memberi keuntungan kepada golongan yang tidak sepatutnya. Tegasnya, Pakatan akan berjaya mendapatkan wang untuk menunaikan janji berkenaan dengan mudah kerana bajet tersebut lebih kecil daripada bajet kerajaan BN pada 2011 yang berjumlah RM227 bilion. Pakatan menjangkakan bahawa Bajet 2012 yang akan dibentangkan perdana menteri esok mungkin akan mencecah RM238 bilion – RM18 bilion lebih banyak daripada bajet Pakatan. "Kalau mereka kata tiada wang untuk biaya bajet kami, saya kata ini lucu dan tidak masuk akal kerana BN akan mengemukakan bajet yang lebih besar," katanya yang menambah, bajet berkenaan dibentuk untuk kepentingan majoriti rakyat Malaysia yang boleh dikategori dalam kumpulan miskin. Jelasnya lagi, Pakatan bukan berhasrat untuk membelanjakan wang yang tidak dipunyainya demi mendapatkan undi tetapi berdasarkan objektif ekonomi. Tambahnya, Pakatan berhasrat untuk memperkukuhkan ekonomi demi kepentingan kumpulan sasar golongan 60 peratus terbawah itu dengan meningkatkan kuasa beli mereka. Pengarah strategi PAS, Dr Dzukefly Ahmad pula berpendapat pembelian oleh golongan itu akan meningkatkan permintaan dalam negeri dan seterusnya membantu ekonomi, tidak seperti projek mega yang sering diusahakan BN. Malang sekali, projek mega tersebut hanya menyalurkan wang ke dalam poket kroni mereka, kata Dr Dzulkefly lagi. Kritikan ke atas bajet Pakatan telah disuarakan pemimpin BN termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabelkan bajet itu sebagai satu imaginasi dan tidak dapat dibiaya secara praktikal |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan