Khamis, 13 Oktober 2011

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


HIMPUNAN SEJUTA UMAT BERTUKAR DEMO TERHADAP MAIS, JAIS

Posted: 13 Oct 2011 12:49 AM PDT

Semua manusia akan menerima bahawa sebarang masalah hendaklah diselesaikan pada puncanya. Sakit kepala, caranya makan ubat sakit kepala. Sakit perut, caranya makan ubat sakit perut. Jika sakit perut, makan ubat sakit kepala, makanya sakit kepala tetap berlaku dan sakit perut pula tidak dapat diubat.

Isu murtad di Malaysia ini, didakwa berpunca dari empat sasaran, iaitu orang miskin, anak muda, pesakit kronik dan golongan intelek. Dari keempat sasaran ini, kita akan dapati ia berpunca dari dua perkara penting, iaitu kewangan dan pendidikan.

Ekoran itu, penyelesaian yang paling baik adalah dengan menyelesaikan kedua-dua perkara ini. Ternyata, perkara ini boleh diselesaikan oleh orang islam itu sendiri. ini kerana, di Malaysia badan-badan agama Islam mendapat pembiayaan dari dana kerajaan, tidak seperti persatuan-persatuan agama selain Islam.

BOB LOQMAN KENA TANGKAP

Hampir seminggu yang lepas, Negeri Selangor digegarkan dengan penangkapan seorang artis yang sedang hebat giat dalam dakwah, iaitu saudara Bob Loqman. Seperti yang diketahui ramai, beliau antara tokoh yang mendapat sambutan anak muda. Makanya dengan kehadiran beliau, sedikit sebanyak memberi kesan dalam usaha mendekatkan anak muda kepada Islam.

Sedihnya, ketika kelebihan ini dimanfaatkan oleh umat Islam di Selangor, iaitu menerusi ceramah dan tazkirah yang beliau sampaikan di surau dan masjid, pihak JAIS pula telah mengambil keputusan untuk menangkap beliau dan menyekat beliau dari meneruskan usaha dakwah ini. Jika difikirkan dengan tenang dan jiwa yang dingin, pasti kita akan menilai betapa tidak selarasnya usaha jabatan agama Islam itu dengan tanggungjawab yang diwajibkan oleh islam kepada umatnya.

AGENDA LAWAN AGENDA

Di Malaysia juga dibisingkan dengan isu sebilangan umat Islam yang telah hadir di salah sebuah gereja di Damansara Utama. Dakwaan yang masih lagi dalam kesamaran adalah, didakwa bahawa umat Islam yang hadir itu diusahakan untuk dimurtadkan. Tetapi secara pasti, umat Islam yang hadir itu adalah untuk menerima jemputan pihak gereja dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh mereka.

Mengadakan majlis makan malam adalah satu amalan yang baik. Ia tidak boleh dilarang dari sesiapa sahaja dari melakukannya. Malahan, Islam amat menekankan kepentingan melakukan amalan baik ini. Penekanan islam itu, tidak tertumpu kepada orang islam sahaja, malahan ditumpukan juga kepada orang bukan Islam.

Menghalang orang bukan Islam dari melakukan kebaikan merupakan satu kesalahan yang cukup dibenci dalam Islam. Ini kerana, Islam amat melarang umat Islam menyuruh manusia lain dari melakukan kejahatan dan keburukan. 

Namun begitu, ada dakwaan yang masih lagi kesamaran bahawa pihak gereja mengadakan majlis makan malam itu mempunyai agenda untuk memurtadkan umat Islam. Makanya, isu ini dibesarkan.

Secara logiknya pun, mana mungkin sesebuah pergerakan itu tidak mempunyai agenda untuk keuntungan mereka. Seseorang yang berniaga, mempunyai agenda untuk mendapat keuntungan dalam perniagaan. Seseorang yang bekerja di jabatan kerajaan, mempunyai agenda untuk mahu mendapat gaji. Begitulah seterusnya.

Begitujuga bagi mereka yang menganut agama. Penganut kristian mengadakan majlis makan malam, sudah pasti mempunyai agenda untuk menarik penganut-penganut lain kepada agama mereka. Peliknya, agenda menarik non muslim kepada islam ini tidak difikirkan oleh sebilangan besar penganut Islam, khususnya pihak MAIS dan JAIS. Makanya tidak hairan, mereka tidak mengadakan majlis seperti yang dilakukan oleh pihak gereja tersebut. 

GEREJA ATAU MAIS YANG SALAH?

Diberitakan bahawa umat Islam yang hadir dalam majlis makan malam anjuran pihak gereja itu adalah mereka yang sememangnya berada dalam kesusahan kewangan dan sakit. Dikhabarkan juga bahawa sebelum mereka berkawan dengan pihak gereja, mereka telah berusaha dengan sesungguh yang mungkin untuk mendapat bantuan dari pihak MAIS dan JAIS. 

Namun menyedihkan, usaha mereka hampa. Ekoran itu, apabila pihak gereja menghulur bantuan, mereka terus menyambutnya dengan hati yang cukup terbuka.

Jika ini yang berlaku, adalah satu perkara yang cukup menyedihkan bagi setiap penganut yang beragama Islam. Jika difikirkan balik, sekiranya pihak MAIS dan JAIS memudahkan urusan ini, sudah pasti mereka tidak akan menyambut huluran bantuan dari pihak gereja. Malahan, jika pihak JAIS dan MAIS menunaikan tugas dengan baik, sudah pasti mereka tidak akan ke gereja, sebaliknya tidak hairan, golongan non Muslim pula akan berkawan rapat dengan jabatan agama Islam itu, seterusnya sedikit demi sedikit, mereka akan melihat kebaikan Islam.

PENZINA MENYALAHKAN SYAITAN

Apabila menilai perkara ini, amat memelikkan jika ada pihak hendak mengadakan himpunan sejuta umat untuk mempertahankan aqidah umat Islam. Sepatutnya, himpunan itu perlu bertukar kepada demonstrasi di hadapan pejabat MAIS dan JAIS yang tidak serius hendak selesaikan punca-punca kepada berlakunya murtad.

Ekoran itu, menyalahkan pihak gereja dengan sebab berusaha memurtadkan orang Islam, walhal orang Islam itu hendak ke gereja disebabkan mereka tidak mendapat bantuan dan layanan yang selayaknya dari pihak MAIS dan JAIS, sama seperti seseorang yang menyalahkan syaitan apabila dia berzina. 

Sekian


Tiada ulasan: