Rabu, 5 Oktober 2011

Addin

Addin


Hudud : Pemuda PAS Jawab Sisters In Islam

Posted: 05 Oct 2011 03:00 PM PDT

Bagi pihak Pemuda PAS, kenyataan Zainah Anwar (dari Sister In Islam) dalam The Star Online pada 2 Oktober 2011 merupakan kekeliruan yang nyata dari seorang pemimpin NGO Islam yang kurang memahami falsafah hukum dalam syariah Islam. Islam merupakan agama Allah yang diturunkan kepada seluruh manusia sehingga akhir zaman. Ia merupakan agama yang membawa rahmat, agama kasih-sayang, agama yang halus dan lemah-lembut agama yang membawa kejayaan untuk dunia dan akhirat. Kekeliruan dalam melihat hukum Islam dengan gambaran salah seperti membesar-besarkan tentang potong tangan, potong kaki, rejam sampai mati dan sebagainya samalah seperti memberi gambaran salah kepada bukan Islam bahawa masuk Islam nanti kena potong anunya (berkhatan). 


Apakah itu caranya kita melihat Islam dan memberi penjelasan tentang Islam? Kenyataan itu hanya menakut-nakutkan manusia yang belum Islam tentang Islam. Kenapa kita tidak menjelaskan bahawa berkhatan itu adalah untuk mencegah dari kekotoran dan boleh membawa kepada penyakit kanser yang merbahaya, sebab itu Islam mahukan umatnya bersih dan bebas dari segala penyakit. Bukankah amalan berkhatan itu juga wujud sebelum Rasulullah SAW diutuskan membawa Islam lagi? Ia juga menjadi amalan biasa kepada kaum India yang menganut agama Hindu di Malaysia. 

Begitulah juga halnya dengan hukuman-hukuman yang terdapat dalam syariat Islam. Gambaran yang salah seperti hukuman sebat seratus rotan dan rejam sampai mati juga tidak harus menjadi bahan untuk menakut-nakutkan sedangkan hukuman rotan dan bunuh dengan cara yang lebih kejam juga terdapat dalam sistem perundangan penjajah. Kenapa rakyat Malaysia boleh terima?

Menjelaskan tentang kebaikan akan hukum Islam secara akademik dengan sokongan statistik seharusnya menjadi keutamaan kerana Islam merupakan agama kesejahteraan. Sudah tentulah hukum-hakamnya untuk memelihara dan memberikan kesejahteraan kepada manusia sejagat. Selain itu Islam juga merupakan agama fitrah. Syariat dan hukum-hakamnya merupakan sesuatu yang selari dengan jiwa manusia. Sebagai contoh, apabila barang anda dicuri dengan jumlah yang besar (yang melayakkan hudud dilaksanakan), apakah hukuman yang anda harapkan dari pemerintah? 

Apakah anda berharap agar si pencuri itu hanya didenda dan dipenjara? Sudah tentu anda sangat gembira jika tangan si pencuri itu dipotong sahaja. Bagi seorang pemimpin masyarakat yang perihatin pula, apakah yang mereka harapkan akan hukuman yang patut diberikan kepada si pencuri itu? Sudah tentu potong tangan juga agar si pencuri itu tidak melakukannya lagi dan menjadi pengajaran kepada masyarakat agar takut dengan perbuatan yang mengganggu keharmonian itu. 

Tapi perlu diingat, bukan semua perbuatan curi terpaksa dipotong tangannya. Tempat simpanan, nilai yang rendah, orang yang miskin, bukan terpaksa, isteri yang mengambil barang suami dan banyak lagi faktor akan diambil kira sebelum hukuman dijalankan. Malah, jika si pemilik barangan tersebut memberi maaf sebelum dilaporkan kepada pihak pemerintah, hukuman itu juga tidak perlu dilaksanakan.

Oleh itu, semua kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh Zainah Anwar itu akan terjawab dengan sendiri apabila kita memahami bahawa Islam itu adalah agama yang adil, agama pemelihara, agama kasih sayang, agama fitrah di mana segala hukum-hukumnya termasuk hukum jenayah (Hukum Hudud) juga adalah untuk keadilan dan kesejahteraan masyarakat. Melihat hukum Islam dari sudut kekerasan perlaksanaan hukumannya adalah satu kekeliruan yang hanya akan menjauhkan manusia dari Islam sedangkan hakikat sebenarnya adalah ia suatu keadilan yang tiada taranya dan membawa manfaat serta pengajaran yang besar kepada masyarakat seluruhnya.

Sejarah telah membuktikan jumlah jenayah yang sangat rendah dengan perlaksanaan syariat Allah itu.



Dalam keadaan jenayah di Malaysia tidak terkawal, Pemuda PAS menyokong penuh agar perlaksanaan Hukum Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan sebagai negeri pemula bagi mengembalikan keharmonian negara dan rakyatnya. 

Justeru, seorang Islam yang mukalaf, malah beliau sedar bahawa kenyataannya itu merendah-rendahkan Islam seperti yang dilakukan oleh Zainah Anwar, ("It's okay to implement the hudud law because it doesn't affect non-Muslims." So it's okay for Muslims to be brutalised? Ertinya : Tidak mengapa untuk melaksanakan hukum hudud sebab ia tidak melibatkan non-muslim. Jadi tidak mengapalah untuk umat Islam dizalimi?) boleh menjejaskan akidah. Oleh itu, Pemuda PAS menyeru agar Zainah Anwar kembali bertaubat. Malah kita juga bersedia untuk bermuzakarah secara terbuka atau tertutup jika beliau inginkan penjelasan tentang hukum Islam (Hukum Hudud)./hrkh

Addin :

Inilah manusia yang jahil tetapi tidak mahu mendalami ilmu agama.. Cakap pasal agama menggunakan lojik akal sahaja. Spesis manusia yang sesat lagi menyesatkan.. Mudah-mudahan kita di lindungi oleh Allah S.W.T daripada fitnah akhir zaman ini..


Gempar!! Inspektor Polis Dituduh Membunuh?

Posted: 05 Oct 2011 08:55 AM PDT

Bapa mangsa bunuh, Borhan Bin Sulaiman, 52, akhirnya dapat membuat laporan polis di Balai Polis Keningau setelah menunjukkan laporan Sabahkini.net dan mendesak polis menjalankan siasatan rapi kerana mengesyaki anaknya, Kartini, 22, telah dibunuh oleh Inspektor Ahmad Rizal Omar pada 29 September 2011 di Taman Adika, Keningau. "Saya terpaksa membuat laporan polis kerana tidak ingin ada pihak lain yang menjadi mangsa dan sangat sedih dengan layanan polis terhadap keluarga kami yang masih berduka. Lagipun polis melakukan siasatan ala kadar dan cuba melindungi Inspektor berkenaan," kata Borhan yang kesal kerana usahanya untuk membuat laporan polis sejak tarikh kematian anaknya dihalang polis yang bertugas.

Akibatnya, beliau terpaksa menghubungi Sabahkini.net untuk menyiarkan kekesalannya dan bercadang untuk membuat laporan di Balai Polis Karamunsing; tetapi akhirnya beliau dibenarkan membuat laporan polis setelah menunjukkan berita yang dipaparkan Sabahkini.net. Dalam laporan polisnya, Keningau/RPT/4523/2011 Borhan menyatakan bahawa;

"Saya, Borhan Bin Sulaiman, NRIC 590525-12-5467, di sini membuat satu laporan kes bunuh, Kartini Bte Borhan, merupakan anak saya sendiri telah dibunuh dengan kejam. Kejadian berlaku pada 29.9.11 di sebuah Perumahan No 7, Taman Adika, Keningau, di mana mangsa tinggal menyewa sebuah bilik tersebut. Saya selaku ayah mangsa minta siasatan lanjut, bukan semata-mata berkait rompakan dan saya selaku ayah dan keluarga mangsa mengesyaki Ahmad Rizal Omar selaku pegawai polis berpangkat inspektor yang menghantar mayat anak saya, Kartini Bt Borhan pada tarikh 29.9.11, kira-kira jam 5.30 pagi ke Hospital Keningau terlibat disebabkan alasan-alasan keraguan yang kami kumpul."

Dalam pada itu, Borhan turut kecewa dengan sikap seorang wartawan yang 'dihantar' Polis Keningau yang memfitnah Allahyarhamah anaknya mempunyai kaitan dengan seorang penjenayah, Samsuddin Abu @ Buyong yang bakal dijadikan 'Kambing Hitam' dalam kes berkenaan; semata-mata untuk menakutkan mereka.

"Anak kami tidak pernah mempunyai hubungan dengan Samsuddin dan kami kesal kenapa anak kami dibabitkan? Kami tidak gentar menghadapi penjenayah di mahkamah, tetapi kami kesal kerana polis cuba memujuk kami bersetuju dengan teori mereka," kata Borhan yang tidak gentar memberi kenyataan kepada Sabahkini.net sekalipun dilarang Polis Keningau.

Borhan turut mengadu bahawa pada 30 September 2011, ketika jenazah anaknya dibawa ke Kota Kinabalu untuk bedah siasat menggunakan land rover, beliau dan isterinya serta keluarga ketakutan kerana pemandu land rover polis, Jerome, memandu terlalu laju dan tidak menghormati jenazah yang terlontar ke kiri kanan.

"Kami bertolak dari Keningau jam 7.30 pagi dan sampai ke Queen Elizabeth Hospital, Kota Kinabalu jam 8.30 pagi. Memang terlalu laju kerana biasanya dua jam baru sampai," kata Borhan yang menggesa agar polis tidak terus menakutkan keluarga beliau kerana mereka telah melantik peguam untuk mendapatkan inkues daripada mahkamah./sabahkini

Sila baca di sini.


Liwat 2 : Keterangan Rakan Sekampus Saiful Bukti Konspirasi Terancang

Posted: 05 Oct 2011 07:14 AM PDT

Keterangan rakan sekampus Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam kes Fitnah II jelas menunjukkan pengadu itu berniat jahat dan terlibat dalam konspirasi terancang untuk memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, keterangan itu juga menjelaskan identiti dan watak sebenar Saiful yang rapat dengan pimpinan Umno-BN, sebelum memohon bekerja di pejabat Anwar. "Saya percaya Saiful merupakan individu yang terlatih dan boleh menyesuaikan diri dengan keadaan (sebagai alat kosnpirasi).

Keterangan rakan sekampus Saiful yang berani tampil sebagai saksi membuktikan Saiful individu yang diberi peranan untuk menyempurnakan konspirasi terancang," kata Shamsul.

Menurutnya lagi, sejak di universiti lagi Saiful telah memperlihatkan dirinya berniat jahat dengan Anwar, berdasarkan keterangan saksi berkenaan. "Ini menguatkan lagi andaian kita konspirasi dilakukan dan motifnya untuk menjatuhkan Anwar," katanya yang turut mengaitkan pertemuan Saiful dan pimpinan Umno, termasuk Pegawai khas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Khairil Anas Yusof sebelum membuat laporan polis terhadap Anwar pada 28 Jun 2008.

Semalam, Mohd Najwan Halimi, bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mendakwa Saiful membenci Anwar dan menyokong Barisan Nasional pada kempen Pilihanraya Umum 2008. Najwan yang mengenali Saiful sejak 2003 dan tinggal berdekatan biliknya di Uniten, turut menyatakan pengadu itu suka mencari publisiti ketika menjadi Timbalan Presiden pemimpin pelajar.

Malah Najwan juga mendedahkan bahawa Saiful pernah menggelar Anwar sebagai 'munafik' dan meletakkan gambar bersama pemimpin Umno-BN di laman sosial Friendster miliknya. Sebelum ini, Mohd Saiful, 26, yang juga saksi utama dalam perbicaraan kes Fitnah II dalam keterangannya berkata Anwar merupakan pemimpin idola yang diminatinya sejak kecil lagi.

Di mahkamah, beliau turut mengaku bertemu Datuk Seri Najib Razak pada 24 Jun 2008, empat hari sebelum membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar, selain bertemu pembantu khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Mumtaz Jaafar dan menghubungi Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Musa Hassan.

Anwar sebelum ini berkata, kes Fitnah II yang sedang berlangsung adalah konspirasi politik yang diteruskan Najib dan isterinya, Rosmah, mengulangi skrip sama digunakan pada 1998./kd


E-mel 1Malaysia Gagal, Hanya 3,000 Pelanggan Sejak Di Lancarkan 14 Sept

Posted: 05 Oct 2011 06:37 AM PDT

Sistem pembayaran dalam talian dan perkhidmatan Myemail – yang membabitkan kos RM50 juta – telah mengumpulkan 3,000 pelanggan sejak dilancarkan pada 14 September lalu, kata penyedia perkhidmatan tersebut – Tricubes Berhad.Dalam taklimat media di Kuala Lumpur hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar berkata, angka itu jauh daripada sasaran 5.4 juta pelanggan yang ditetapkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU). 

"Kami mensasarkan seramai mungkin pelanggan, dan kami yakin dengan sasaran kami itu walaupun PEMANDU telah menetapkan sasaran 5.4 juta pelanggan menjelang akhir tahun ini," katanya.Apabila ditekan lanjut, Khairun berkata, ramalan dalaman telah disemak semula kepada 2 juta pelanggan pada tahun 2012. Sebelum ini dikenali sebagai perkhidmatan 'e-mel 1 Malaysia', Myemail dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 April, dan terus menjadi sasaran kritikan orang ramai.

Terdapat kebimbangan mengenai aspek privasi dan sama ada jumlah wang yang dibelanjakan itu wajar, memandangkan kebanyakan perkhidmatan emel, adalah percuma. Terdapat juga persoalan mengenai status GN3 Tricubes. Sebelum ini adanya satu gesaan supaya rakyat negara ini tidak mengguna atau melanggan khidmat Emel 1Malaysia kerana ia tidak menjamin keselamatan dan maklumat peribadi diceroboh pihak berkuasa. 

Sebuah blog menyatakan, rakyat Malaysia perlu menolak perkhidmatan emel berkenaan meski ia diberi secara percuma oleh kerajaan."Ia tidak menjamin keselamatan dan hak keperibadian anda. Rakyat mempunyai ruang untuk memilih penggunaan email percuma seperti Yahoo, Hotmail dan Gmail. Kenapa diri anda perlu menanggung risiko yang tinggi akibat penggunaan email 1Malaysia?," soal penulis blog tersebut, Pian Kia Liao.

Beliau memberi sebab bahawa kemungkinan maklumat menerusi emel yang dihantar akan mudah diakses Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Tricubes Berhad mengaku khidmat e-mel 1 Malaysia yang bakal disediakannya adalah hayat kewangan bagi syarikat itu, yang sebelum ini berhadapan dengan risiko dibatalkan penyenaraian di Bursa Malaysia.

Sasaran Tricubes adalah mendapatkan purata 900,000 pengguna setiap bulan dan mendapatkan semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun menyertainya menjelang tahun 2015. Perkhidmatan myemail.my dipercayai akan mengancam perkhidmatan Pos Malaysia Berhad yang digunakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). KWSP mempunyai 12.72 juta anggota sehingga 31 Disember 2010 tetapi ahli yang aktif dianggarkan 6.04 juta./KL-Today.com

Forum Awam Bajet 2012 PR Malam Ini

Posted: 05 Oct 2011 03:53 AM PDT

Pakatan Rakyat akan mendakan forum mengenai Bajet yang mereka bentangkan semalam untuk difahami oleh khalayak umum. Forum ini akan diadakan di Hotel Quality, Shah Alam bermula jam 8 malam ini (5 Oktober).Ahli penal forum yang bakal dipengerusikan oleh Nurul Izzah Anwar (anggota parlimen Lembah Pantai) adalah Dr Dzulkefly Ahmad (anggota parlimen Kuala Selangor – PAS), Liew Chin Tong (anggota parlimen Bukit Bendera – DAP) dan Rafizi Ramli (Pengarah Startegik PKR). Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan cadangan belanjawan Pakatan Rakyat 2012 di bangunan Parlimen.

Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK. Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini. Ekoran belanjawan itu, pelbagai komen diberikan oleh pihak BN terhadapnya termasuk dari bekas PM, Tun Dr Mahathir."(Duit) yang kita tak kawal (memang) senang mahu belanja," kata Dr Mahathir kepada wartawan selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Kelapan 2011 hari ini.

"Kita boleh buat apa pun (seperti) janji mahu bagi 20 peratus royalti minyak. Memang boleh janji sebab tak jadi kerajaan. Janjilah asalkan menang (pilihan raya)," katanya. "Ini biasa malah Obama (Presiden AS Barack Obama) berjanji untuk menutup Guantanamo Bay (Pusat Tahanan) tetapi sampai sekarang tak tutup lagi. Tetapi beliau dipilihlah," kata Dr Mahathir yang pernah menjadi Menteri Kewangan.

Antara janji Pakatan dalam belanjawan itu adalah Perdana Menteri tidak lagi akan menjadi Menteri Kewangan. Turut dijanjikan adalah akan memberikan lesen dan permit teksi terus kepada pemandu teksi dan tidak lagi secara konsesi sebagaimana yang diamalkan sekarang. 

Kerajaan Pakatan juga akan mengesyorkan gaji minima RM1,100. Di samping itu, elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan akan diberikan sebagaimana yang dijanjikan dalam Buku Jingga sebelum ini. Ekoran janji dan teguran itu, forum malam ini dijangka akan merungkai segala persoalan itu.



Rakyat Yakin Bajet 2012 Pakatan Realistik

Posted: 05 Oct 2011 03:00 AM PDT

Rakyat memberi pelbagai pendapat dan reaksi terhadap bajet Pakatan Rakyat yang dibentangkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam. Ketika beberapa ahli politik dan persatuan nelayan mendakwa ia bajet bohong, orang ramai melihat ia bajet realistik dan boleh dilaksanakan. Bajet Pakatan Rakyat memberi fokus kepada usaha membantu rakyat "mengharungi suasana ekonomi yang semakin menghimpit." Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan membentangkan bajet 2012 kerajaan di Dewan Rakyat Jumaat ini.

Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo berkata, bajet Pakatan Rakyat mirip kepada bajet negeri itu tetapi banyak janji yang tidak dapat dilaksanakan.

Ibu tunggal

"Mereka janji nak beri suri rumah dan ibu tunggal RM1,000 seorang tetapi tidak buat. Begitu juga dengan rawatan percuma kepada warga emas tetapi sehingga sekarang belum ditunaikan. "Kalau kepada negeri Selangor yang mempunyai rakyat lima juta orang tidak dapat dilaksanakan mana mungkin ia boleh dibuat kepada rakyat Malaysia yang berjumlah 28 juta. Ini yang dinamakan bohong atas bohong," kata Dr Khir.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Selangor Omar Abdul Rahman pula berkata, golongan nelayan tidak percaya bajet Pakatan boleh ditunaikan. Katanya, "jika kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara berpuluh tahun sukar memberi bantuan dengan jumlah yang banyak mana mungkin Pakatan boleh melakukannya. Ini cakap politik kerana Anwar orang politik."

Anwar boleh

Bagaimanapun, seorang pekerja kontrak binaan yang ditemui berkata, bajet Pakatan boleh dilaksanakan. Menurut Afandi Anuar, 54 tahun, orang ramai kecewa dengan bajet kerajaan BN kerana terlalu menyusahkan hidup rakyat terutama kenaikan harga makanan dan barangan keperluan sepanjang masa. "Saya harap Anwar boleh memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat bawahan," katanya.

Peniaga kecil, Ahmad Karim menambah, kalau dilihat dari pengurusan ekonomi Selangor, ianya lebih baik berbanding beberapa negeri lain yang diperintah BN. "Kalau Selangor dijadikan contoh bermakna Pakatan boleh melaksanakannya di seluruh negara," katanya dengan yakin./fmt

Presiden PAS Akan Melawat Kubu Kuat Umno?

Posted: 05 Oct 2011 01:09 AM PDT

Membaca pendedahan Sabahkini.net berhubung isu rampasan surau Kg. Lamak Bukit, Silam yang bertajuk 'Pati Halau Imam, Rampas Surau?' serta mengamati Klip Video 'Tuhan UMNO Hanya Dapat Surau PPRT!'; membuatkan kita terpanggil untuk turut sama merasai episod malang yang menimpa jemaah di surau tersebut. PAS Negeri Sabah menyeru pemimpin UMNO tempatan yang pernah mempelopori apa yang mereka sifatkan sebagai Islam 'moderate' yang mereka jenamakan sebagai Islam Hadhari, bertindak segera bagi memperbaiki kepincangan agar Islam tidak terus tercemar!

Sekiranya pemimpin UMNO kelahiran Islam Hadhari yang kini berkonsepkan 1Malaysia gagal untuk menangani episod yang mengaibkan Islam ini, maka PAS Negeri Sabah akan meminta PAS Kawasan Silam melawat surau ini dan seterusnya berusaha menjernihkan situasi yang boleh membawa kepada wujudnya perpaduan di kalangan sesama umat Islam di sana.

Insyaallah dalam lawatan kerja Presiden PAS ke Sabah pada bulan Oktober ini, PAS Negeri Sabah akan menganjurkan pertemuan dengan masyarakat Islam Kampung Lamak Bukit. Juga termasuk dalam jadual lawatan kerja Presiden PAS ke Sabah ialah melawat peneroka di kawasan Kg. Koyah 'A' dan Koyah Bersatu yang terus menerus ditindas dan dizalimi./sabahkini
  

Rosmah Adalah "Sugar Mummy" Jutawan Jho Low?

Posted: 04 Oct 2011 10:39 PM PDT

Penafian Jho Low 'hartawan muda' Malaysia bahawa Wanita Pertama Rosmah Mansor adalah "mak angkat" atau "sugar mummy" telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat Malaysia, yang kecewa terhadap pasangan itu yang sering menonjolkan gaya hidup mewah mereka. Di saat rakyat terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi dalam landskap ekonomi negara sekarang, rakyat Malaysia berasa kurang senang dengan cara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya menjalani gaya hidup mewah ibarat orang-orang terkaya dan ternama dunia serta menjadikan tempat-tempat seperti Monte Carlo, Dubai dan New York taman permainan mereka.

"Najib datang daripada keluarga yang kaya dan dia tidak tahu keperihan hidup rakyat. Kemewahan adalah sebahagian daripada hidupnya," Keadilandaily memetik Ahli Parlimen PKR Indera Mahkota; Azan Ismail sebagai berkata.

Saya perkenalkan banyak pelabur, itulah sebab saya sentiasa menemui PM

Azan mahu Ketua Audit Negara untuk menyiasat perbelanjaan pasangan pertama yang sering dilaporkan dalam akhbar. Meskipun aduan telah dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pihak berkuasa telah memilih untuk menutup mata. Malah, cincin berlian besar berharga RM24.4 juta milik Rosmah yang di bawa dari New York walaupun telah disokong oleh gambar skrin yang diambil daripada pangkalan data Jabatan Kastam juga diketepikan.

Khabarnya baru-baru ini media New York melaporkan Jho telah membeli sebuah penthouse bernilai USD31 juta untuk kegunaan Rosmah di Time Warner Centre. Menurut New York Post, Jho yang berusia 29 tahun telah membayar lebih daripada USD6, 400 bagi setiap kaki persegi bagi unit berukuran 4825 kaki persegi tersebut.

Dan mungkin kerana menyedari perasaan tidak puas hati orang ramai ke atas kemewahan Rosmah, Jho yang bersekolah dengan anak Rosmah dari perkahwinan beliau yang pertama beliau dengan pantas memberitahu sebuah akhbar Cina dalam satu wawancara baru-baru ini bahawa Rosmah adalah sekadar "kawan baik saya" dan bukan "sugar mummy" atau "Godmother".

"Saya kenal anak-anak Perdana Menteri dulu sebelum saya kenal Perdana Menteri. Saya memperkenalkan banyak pelabur asing ke Malaysia dan sebab itulah saya selalu bertemu dengan Perdana Menteri," Merdeka Review melaporkan Jho sebagai berkata.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu telah terlibat dalam penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu yang bernilai RM10 bilion, yang kemudiannya telah ditukar kepada 1Malaysia Development Berhad bernilai RM15 bilion dan UBG, bekas cabang perbankan yang dikawal dan dicemari rasuah oleh Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud. Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa 1MDB terlibat dalam pembangunan semula lapangan terbang tentera kontroversi di Sungai Besi, Kuala Lumpur, yang sebenarnya adalah dana Najib.

Kemewahan sama di Putrajaya

Pusat pentadbiran Najib di Putrajaya juga berlaku pembaziran dan ia semakin berleluasa walaupun Najib cuba menunjukkan bahawa dia berjiwa rakyat. Dalam majlis baru-baru ini untuk kitaran amal di Pulau Pinang, Najib memberitahu bagaimana dia sering berbasikal untuk pergi ke gerai nasi lemak kegemarannya di Tanglin untuk bersarapan.

Tetapi menurut Azan, jika dia benar-benar bersimpati dengan orang ramai, dia akan menyedari bagaimana harga 'nasi lemak' untuk sarapan itu kini semakin melonjak dan menyusahkan pekerja biasa yang tidak pernah mengalami kenaikan gaji sejak kebelakangan tahun ini. Ia juga tidak menjelaskan mengapa beliau membelanjakan beratus-ratus juta wang negara untuk pembersihan dan ubahsuai kediaman rasminya yang masih baru - Sri Perdana.

"RM200 juta telah dibelanjakan untuk membina kediaman dan mengapa pada akhirnya, ia masih disewa daripada Putrajaya Holdings merupakan satu misteri. Penyelenggaraan elektrik dan air tidak harus lebih daripada 10% daripada kos sebenar bangunan itu. Tetapi ia mencecah RM10 juta setahun, satu angka yang tidak munasabah, "kata Azan.

Menurut Azan, kos mengekalkan kedua-dua kediaman rasmi Najib dan timbalannya itu mencecah sehingga RM50 juta setahun. Satu jawapan bertulis daripada pejabat Perdana Menteri pada bulan Jun (jarang diperoleh) menunjukkan bahawa sebanyak RM48.8 juta telah dibelanjakan di Sri Perdana dan ini termasuk sewa, pembaikan, elektrik dan bil air. Sewa untuk kedua-dua kediaman telah dinyatakan berjumlah RM33 juta, sementara penyenggaraan adalah RM3.6 juta.

Lebih teruk, bil elektrik Perdana Menteri dan timbalannya mencecah RM10 juta, manakala bil air mencecah RM1.9 juta bagi tahun yang sama. Secara perbandingannya, sebelum Najib, Abdullah Badawi hanya membelanjakan kira-kira RM4.15 juta di Sri Perdana pada tahun 2008, manakala RM2.74 juta telah dibelanjakan di Seri Satria, kediaman TPM.

Berbelanja berjuta-juta untuk hartanah yang disewa

Yang peliknya, kedua-dua kediaman tersebut dimiliki oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd. Dalam erti kata lain, kerajaan Malaysia mencurahkan beratus-ratus juta wang rakyat kepada hartanah yang tidak dimiliki negara.

Ahli Parlimen PAS Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, telah membangkitkan isu ini di Parlimen tetapi sehingga kini, Najib gagal untuk memberikan apa-apa jawapan.

"Selepas kami buat sidang akhbar, tiada pihak yang berkenaan kembali kepada kami untuk menjelaskan mengapa kos yang dibayar begitu tinggi seolah-olah isu itu disapu di bawah tikar. Itulah realiti pentadbiran Najib, tetapi beliau pula memberitahu rakyat untuk mengurangkan perbelanjaan, "kata Mariah.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan perlu menyewa daripada Putrajaya Holdings.

"Seperti yang kita tahu, Putrajaya disewa, ini bermakna kerajaan mempunyai satu komitmen bulanan yang besar kerana ia bukan aset kerajaan. Jika satu analisis jangka panjang untuk kos dilakukan, saya berpendapat kerajaan menangung kerugian kewangan yang besar," kata Mariah./mc

Tiada ulasan: