SIASAH |
Ubah bendera Malaysia: Manoharan bebal dan biadap Posted: 17 Sep 2011 09:04 PM PDT Kenyataan wakil rakyat DAP, Manoharan Malayalam menghina bendera Malaysia memperlihatkan satu kelemahan besar Pakatan Rakyat dalam menangani debat berhubung pembinaan negara. Sehingga kini, selain usaha DAP menyelamatkan diri dengan menjarakkan diri daripada kenyataan Manoharan, tidak kelihatan satu sikap yang jelas daripada pemimpin-pemimpin parti PR. Hal ini mendedahkan bagaimana politik kelompok yang sempit semakin menjadi satu ciri yang kukuh politik negara yang wacananya dikuasai pandangan hitam putih dua gabungan parti terbesar negara. Pemimpin-pemimpin parti PR boleh menghabiskan masa dan tenaga yang banyak mengkritik, menyindir, malah menghina sebarang kenyataan atau tindakan pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang salah atau sekadar tidak sehaluan dengan mereka. Dalam hal ini, pemimpin-pemimpin PR gagal melihat isu penghinaan oleh Manoharan itu sebagai satu isu yang menyentuh isu yang asas kepada sebuah negara, yang kepentingannya jauh mengatasi politik kepartian. Walaupun dilapor sudah meminta maaf, ahli DAP yang aktif dalam pertubuhan rasis Hindraf itu telah mendedahkan satu sentimen yang memecah-belah, dan wajar menarik reaksi lebih tegas daripada partinya dan PR. Ketiadaan kenyataan tegas PR dalam isu ini memberi implikasi gabungan pembangkang itu membenarkan, memaafkan atau mengambil mudah sebarang tindakan melampau sekiranya ditujukan kepada Umno dan pemerintah. Manoharan memperlihatkan sikapnya yang bebal, kurang ajar dan juga rasis apabila mengaitkan bendera negara dengan BN, yang dikuasai oleh parti Melayu Umno, dan mengatakan bendera sedia ada tidak layak digunakan dan perlu ditukar. Lebih buruk lagi, dia mengedarkan bendera parti politik untuk sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, sebagai ganti kepada bendera Malaysia yang ditentangnya itu. Dia turut mendakwa PR - melibatkan kesemua PAS, PKR dan DAP - akan menggantikan bendera sedia ada dengan bendera lain sekiranya berjaya memerintah Malaysia. Perkembangan ini, yang bukan kali pertama wakil pembangkang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia, turut mendedahkan satu risiko ekoran keahlian pengikut pelbagai fahaman ekstrem dalam parti-parti PR. Sekiranya PR berjaya menguasai Putrajaya, elemen-elemen ini tidak akan dapat dielakkan daripada menjadi sebahagian kerajaan pusat, dan mempunyai lebih keupayaan untuk mempengaruhi haluan baharu negara nanti. PR perlu dengan serius bertindak dan mengambil pelajaran daripada episod ini, menjadi peserta politik nasional yang lebih konstruktif dalam pembangunan bangsa dan bukan menjadi penyebar kebencian melalui politik murahan. Sikap yang tegas dan jelas berhubung hal ini perlu ditunjukkan oleh PR. Sekiranya tidak, PR jelas belum lagi layak untuk memimpin negara ini. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan