Jumaat, 30 September 2011

SharpShooter

SharpShooter


Mabuk - Kereta terjunam ke laut di Penang Port

Posted: 30 Sep 2011 12:51 AM PDT

Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki bersama empat rakannya menjunam ke dalam laut ketika cuba mengelak daripada ditahan kerana menceroboh Penang Port Sdn Berhad (PPSB) di Dermaga Dalam di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Zulkifli Alias berkata kejadian itu berlaku apabila kereta Proton Wira yang dinaiki lima lelaki terbabit memecut laju ketika melalui pintu masuk dermaga sebelum terus menjunam ke laut pada pukul 12.45 tengah malam.

"Polis menerima panggilan daripada pengurusan PPSB memaklumkan kejadian itu dan sepasukan anggota kita bergegas ke tempat kejadian sebelum menahan empat lelaki yang berjaya diselamatkan daripada lemas.

"Empat lelaki terbabit bernasib baik kerana berjaya diselamatkan pekerja sebuah kapal yang berlabuh di pelabuhan itu manakala seorang lagi rakan mereka berusia 24 tahun tenggelam bersama kereta," katanya dipetik Bernama Online.

Zulkifli berkata siasatan awal mendapati lima lelaki yang berusia antara 24 dan 53 tahun itu berasal dari Kedah berada dalam keadaan mabuk selepas pulang berhibur di George Town dekat sini, sebelum tersilap jalan ketika mencari laluan ke lebuh raya.

Zulkifli berkata kereta dipandu lelaki yang masih hilang itu dikatakan berhenti di hadapan pintu masuk pusat pemeriksaan keselamatan PPSB sebelum tiba-tiba memecut laju ke arah dermaga yang terletak di belakang pusat berkenaan.

"Mereka dikatakan berjaya melepasi pusat pemeriksaan kerana ketika itu palang penghadang laluan dinaikkan berikutan sekumpulan pekerja syarikat pembinaan sedang menjalankan kerja-kerja menyelenggara pusat terbabit," katanya.

Sepasukan anggota polis dibantu Unit Scuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Marin terlibat dalam operasi mencari lelaki terbabit.

"Selepas empat jam usaha mencari dan menyelamat, kita hanya menemui kereta Proton Wira, lelaki itu bagaimanapun gagal dikesan," katanya.

Beliau berkata semasa operasi berkenaan, pihaknya menemui mayat seorang lelaki lain yang identitinya masih belum dikenal pasti.

"Polis membawa rakan mangsa ke tempat kejadian untuk mengenal pasti mayat yang ditemui, bagaimanapun mereka menafikan itu rakan mereka," katanya.

Zulkifli berkata empat lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.


Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Keputusan kes fitnah 2 penentu tarikh PRU 13

Posted: 29 Sep 2011 09:43 PM PDT

SUNGAI PETANI: Keputusan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara faktor penentu tarikh pilihanraya umum akan datang, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Setakat ini katanya, keputusan mahkamah dilihat masih berpihak kepada pendakwaraya, termasuk jangkaan menolak keterangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya sebagai saksi.

"Walau apapun cara, saya yakin Anwar akan dijatuhkan hukuman bersalah. Objektifnya mudah iaitu untuk memastikan Anwar tidak dapat bertanding," kata beliau.

Namun begitu, kata Johari, sukar untuk meramalkan tarikh pilihan raya ekoran pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat masih kabur dan teragak-agak untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, Najib sebelum ini mengumumkan beberapa langkah pembaharuan, termasuk mengingatkan penghapusan kuota bumiputera melalui Model Ekonomi Baru yang diperkenalkannya tahun lalu.

"Jadi untuk laksanakan pilihanraya, Najib perlu sesuatu yang kuat dan ada objektif yang jelas sebagai modal berkempen. (Tetapi sekarang ) Ini dengan ekonomi yang murung ditambah dengan masalah dalaman Umno (sukar bagi Najib membuat keputusan)," katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata sebarang keputusan samada Anwar didapati bersalah atau tidak akan mengambil kira keadaan politik semasa.

"Kalau (sekiranya) Anwar dibebaskan ia dapat meraih keuntungan politik kepada Kerajaan BN, tidak mustahil mereka akan melaksanakannya. Ini kerana Najib akan memberitahu rakyat bahawa mahkamah sebenarnya bebas dan negara mengamalkan demokrasi sekaligus menafikan konspirasi," katanya.

Menurut Shamsul isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah Anwar sebagai warganegara berhak mendapat perbicaraan adil.

"Kita lihat hampir keseluruhan masyarakat antarabangsa melihat kecacatan yang serius dalam kes ini khususnya untuk perbicaraan yang adil"

"Apa saja keputusan akan berkait dengan Najib bersama kabinetnya dan ia akan memberi kepada implikasi terhadap ekonomi dan politik negara," kata beliau.

Sharpshooter - PRU 13 dijangka berlaku pada bulan November...Ayuh bersatu tumbangkan umporno b-end...

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Tiada ulasan: