Kelab Greenboc |
- Macam-macam Atas Dunia: Coli Digantung Untuk Timbulkan Kesedaran Barah Payu Dara
- Ugut Mat Sabu: PAS Mahu Polis Siasat Perkasa (UMNO Juga)
- Masa Depan Perniagaan Penyewa Empire Gallery Kabur
- Iktibar: Ambil Nama & Nombor Polis Yang Menahan Anda
- [Bergambar & Video] Taufan Nesat Membadai China Pula
- Jimmy Shanley Teruskan Kes Nusyuz Terhadap Isteri
- Statistik PDRM Buktikan Jenayah Johor Lebih Tinggi Dari Pulau Pinang
- Apa Barang Mahu Takut Dengan Perkasa?
- Isu Kg. Baru: 93.8% Pemilik Setuju Penubuhan PPKB? Penduduk Bantah Nong Chik
- Kereta Terjunam Ke Dalam Laut - 4 Selamat, Pemandu Masih Hilang
- Isu Video Klip "UNDILAH": Rais Yatim Sudah Tidak Hormat Ku Li & Pak Lah Lagi?
- Kesemua 18 Mangsa Nahas Pesawat Dikhuatiri Maut
- [Video] Loji Penapis Minyak Shell Singapura Terbakar
Macam-macam Atas Dunia: Coli Digantung Untuk Timbulkan Kesedaran Barah Payu Dara Posted: 30 Sep 2011 01:16 AM PDT Pittsburgh, Amerika Syarikat (AS) - Sebanyak 4,000 helai coli digantung di sepanjang sebuah jambatan di sini dalam kempen meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit barah payu dara, lapor sebuah akhbar kelmarin. Coli berbagai saiz dan beraneka warna itu berkibar ditiup angin selepas digantung di atas wayar jambatan Hot Metal Bridge yang menghubungkan sungai Monongahela dengan pusat bandar raya ini, negeri Pennsylvania. Semua coli tersebut akan digantung selama tiga minggu bermula kelmarin sebelum pakaian dalam itu dicuci dan didermakan ke beberapa rumah perlindungan wanita. Coli-coli itu dibekalkan oleh pihak pengurusan syarikat pakaian tempatan, American Eagle Outfitters yang bertanggungjawab mencetuskan idea untuk mengadakan kempen tersebut. Selepas coli-coli itu digantung kelmarin, ia berjaya menarik perhatian para pengguna jambatan berkenaan serta pihak media. "Saya langsung tidak menyangka akan melihat sebegitu banyak coli. Kempen ini hebat. Saya berhenti untuk merakam pemandangan unik ini," kata seorang pengguna jambatan tersebut, Monica Minetola. - Agensi |
Ugut Mat Sabu: PAS Mahu Polis Siasat Perkasa (UMNO Juga) Posted: 30 Sep 2011 12:10 AM PDT PAS mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan pendesak Melayu, Perkasa ekoran ancaman terbuka mereka untuk 'menyerang' Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Sambil menyifatkan ancaman itu boleh mencetus ketegangan, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata pihak polis sepatutnya sudah boleh memanggil Perkasa. "Sepatutnya pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap Perkasa yang membuat ancaman secara terbuka. "Mereka boleh cakap apa yang mereka nak cakap, tetapi jangan pulak sampai bertindak menghalang hak orang lain berceramah," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kepada Harakahdaily. Beliau berkata demikian sebagai mengulas amaran Perkasa Negeri Sembilan bahawa mereka akan menganjurkan lebih banyak protes ke atas Mohamad Sabu jika timbalan presiden PAS itu berani menjejakkan kakinya di negeri berkenaan untuk menyampaikan ceramah. Amaran itu dilontarkan ketuanya Mohd Noor Nordin Abdullah yang dengan angkuh berkata beliau sendiri akan mengetuai protes terhadap Mohamad, jika timbalan presiden PAS itu enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai peristiwa Bukit Kepong. Sabtu lalu satu pergaduhan tercetus pada ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban. Pada kejadian itu dua penyokong PAS cedera selepas bergelut dengan ahli Perkasa yang menyerbu pentas ceramah ketika timbalan presiden PAS sedang berucap. -hd
|
Masa Depan Perniagaan Penyewa Empire Gallery Kabur Posted: 29 Sep 2011 09:32 PM PDT Penyewa pejabat dan lot kedai Empire Gallery yang rosak teruk akibat letupan awal pagi semalam dibenarkan masuk mengambil harta benda mereka hari ini. Namun ramai daripada kalangan mereka mengharapkan penjelasan rasmi dari pemilik bangunan berhubung status bangunan dan masa depan perniagaan mereka. TVSelangor difahamkan pihak Suruhanjaya Tenaga menemui sisa gas yang tertinggal di bawah runtuhan dan kerja-kerja menghapuskan sisa gas sedang giat dijalankan. Tinjauan TvSelangor mendapati hari ini mendapati semua penyewa ruang beli belah Empire Soho dan ruang pejabat Menara Empire dibenarkan untuk mengambil harta benda mereka di bangunan tersebut sambil diiringi pihak berkuasa polis dan pengawal. Kaunter dibuka seawal jam 8.30 pagi tadi sehingga 6.00 petang bagi membolehkan dua wakil untuk setiap unit sewaan mengambil harta benda mereka. Pengurus Besar kompleks membeli-belah Empire Gallery, May Woo menerusi kenyataan medianya hari ini berkata pihaknya berusaha keras bagi membolehkan para penyewa menyelamatkan harta benda mereka dan menjanjikan pertolongan sebaik mungkin kepada para penyewa. "Izinkan saya menekankan bahawa keselamatan tanpa ragu-ragu adalah utama kami. Kami akan melakukan apa jua keperlauan berhubung kemalangan ini bagi memudahkan penyewa kami", katanya. Salah seorang pemilik unit di Empire Gallery, Lee Kwong Seng mengharapkan satu kenyataan berhubung status bangunan segera dimaklumkan kepada para penyewa. "Apa yang penting buat masa ini, pemilik dan pelabur harus diberitahu tetang status bangunan ini, masih boleh digunakan atau tidak" Sementara itu, Ke Tung Chen, pekerja yang berkhidmat di salah sebuah syarikat yang menyewa di bangunan tersebut, turut mengharapkan satu penjelasan yang rasmi berhubung keadaan bangunan untuk memikirkan perancangan akan datang. "Sekurang-kurangnya kenyataan dikeluarkan dahulu dan kita sudah boleh lakukan perancangan akan datang." Kejadian letupan Kompleks membeli-belah ini dilaporkan berlaku 3.30 pagi semalam dan pihak polis dan pasukan bomba dan penyelamat tiba 15 minit kemudian. Hasil siasatan polis setakat kini bagaimanapun menolak unsur sabotaj dan keganasan sebagai punca letupan yang menggegarkan kompleks tersebut. Sebaliknya, pihak berkuasa mengesahkan letupan disebabkan kebocoran gas yang kemungkinan ada kaitan dengan elemen kecuaian. Kompleks Empire Gallery terletak tidak jauh dari Lebuh Raya Persekutuan dan turut menempatkan hotel. Kompleks itu juga menempatkan menara pejabat 12 tingkat, pusat membeli-belah lima tingkat, ruang pejabat kecil 9 tingkat. Kawasan yang mengalami kerosakan akibat letupan ialah aras letak kereta, dua aras ruang kedai dan restoran, dan juga block A bangunan itu. Blok pangsapuri dan pejabat bersebelahan bangunan itu turut mengalami kerosakan. Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika ditemui TvSelangor hari ini menjelaskan pihaknya bersama Bomba dan penyelamat sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca letupan. "Siasatan masih giat dijalankan dan kita tutup kompleks ini untuk orang ramai." -tvsnews |
Iktibar: Ambil Nama & Nombor Polis Yang Menahan Anda Posted: 29 Sep 2011 08:50 PM PDT Tak catat nama, nombor punca gagal saman polis Seramai 57 ahli PAS gagal mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tidak mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka dalam himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Kegagalan mereka berbuat demikian kerana sebahagian daripada polis yang menangkap mereka itu hanya meletakkan nama, tetapi tidak meletakkan nombor keahlian polis pada uniform yang dipakai oleh mereka ketika melakukan tangkapan terhadap orang awam pada hari itu. Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi (gambar) menjelaskan, selain itu, sesetengah daripada mereka sememangnya terlupa untuk mencatat nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada hari itu disebabkan tidak terfikir, akibat kekalutan, tertekan atau terlalu hairan dengan tangkapan yang dilakukan ke atas mereka. Menurut beliau, disebabkan kegagalan itu, pihaknya turut gagal membantu mereka memfailkan saman terhadap kerajaan dan pihak polis berhubung kejadian itu, walaupun di dalam senarainya terdapat 60 orang ahli PAS yang berhak berbuat demikian. Katanya, sehingga kini, hanya 3 orang sahaja peserta himpunan aman Bersih 2.0 yang ditangkap polis yang boleh dibantu oleh pihaknya untuk menyaman kerajaan dan PDRM kerana berjaya mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada himpunan itu. "Saman pertama yang telah difailkan menerusi syarikat guaman saya dilakukan oleh Razman Zakaria, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini. Manakala saman kedua dan ketiga, menurut beliau, akan dilakukan oleh kepimpinan PKR Cabang Tambun, dengan satu daripadanya Cina dan satu lagi India pada minggu depan. Katanya, kegagalan ahli-ahli PAS mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada himpunan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana seminggu sebelum himpunan itu dilangsungkan telah pun diadakan taklimat mengenainya. "Taklimat itu diadakan oleh saya sendiri di Markas PAS Bukit Gantang, Perak dengan dihadiri ratusan ahli-ahli PAS khususnya yang tinggal di Perak," jelasnya. Sungguhpun begitu, beliau tidak menyalahkan sepenuhnya ke atas ahli-ahli PAS terbabit ekoran kegagalan itu kerana mereka mungkin terlupa berbuat demikian ekoran kekalutan yang berlaku. "Tambahan pula, pada uniform yang dipakai oleh sebahagian polis yang menangkap mereka itu hanya terdapat namanya sahaja tetapi tidak terdapat nombornya. "Anggota-anggota polis terbabit seolah-olah telah diberikan taklimat supaya berbuat begitu pada hari itu, walaupun sepatutnya setiap uniform yang dipakai oleh setiap anggota polis mestilah lengkap dengan catatan nama dan nombor pada baju masing-masing," katanya. Selain itu, tegasnya, sebahagian anggota polis terbabit sememangnya tidak memakai uniform, tetapi hanya memakai jaket, manakala sebahagiannya lagi menutupi uniform mereka dengan jaket di luarnya sehingga langsung tidak terdapat catatan nama dan nombor keahliannya. Sebahagian tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis pada hari itu, jelasnya, bukannya dilakukan pada himpunan tersebut, malah sebahagian daripadanya dilakukan di luar himpunan berkenaan. "Orang awam atau sesiapa sahaja yang hendak ditangkap oleh pihak polis tidak perlu takut untuk mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka, malah untuk tujuan itu, mereka juga berhak meminta angota polis terbabit menunjukkan autoriti kadnya kepada mereka untuk pengesahan dan memudahkan mereka mencatatkan nama dan nombor polis terbabit. "Anggota polis itu pula tidak boleh keberatan untuk menunjukkan autoriti kadnya kepada sesiapa sahaja yang hendak ditangkapnya itu kerana individu itu sendiri sememangnya berhak berbuat demikian. "Itulah juga yang telah dilakukan oleh dua kepimpinan PKR Cabang Tambun yang akan memfailnya saman mereka pada minggu depan. Itulah sebabnya mereka berjaya mencatatkan nama dan nombor polis terbabit dengan betul sehingga boleh diambil tindakan undang-undang ke atas polis itu," katanya. Beliau yang cukup kesal dengan kejadian itu menasihatkan setiap ahli PAS supaya mengambil iktibar terhadap kegagalan mereka mencatatkan nama dan nombor keahlian polis yang menangkap mereka pada setiap himpunan yang diadakan pada masa akan datang. Katanya, catatan nama dan nombor polis itu amat penting kerana jika tidak mempunyai catatan itu, tindakan saman tidak boleh dilakukan kerana keperluan itu telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. -HD |
[Bergambar & Video] Taufan Nesat Membadai China Pula Posted: 29 Sep 2011 06:24 PM PDT Hong Kong: Taufan Nesat tiba di selatan China semalam selepas lalu dekat Hong Kong selain menjadi punca kematian serta banjir di Filipina awal minggu ini. Nesat melanda kawasan paling timur Pulau Hainan pada jam 2.30 pagi waktu tempatan, kata pegawai agensi berita Xinhua. Pihak berkuasa Hainan menutup sekolah, menghentikan khidmat feri dan memanggil pulang bot nelayan ketika Nesat menyeberangi Laut China Selatan dari Filipina selepas menyebabkan 35 maut dan 45 lagi masih hilang. Sebanyak 67 penerbangan dibatalkan di dua lapangan terbang pulau itu. Ribut melanda Hong Kong awal pagi, memaksa urusan pasaran saham dihentikan manakala kedai serta tempat perniagaan ditutup meskipun hanya mengakibatkan sedikit kerosakan. Kawasan sekitar tengah kota pusat kewangan Asia itu yang biasanya sibuk menjadi sunyi dan kosong kerana tidak ramai berani meredah hujan lebat dan angin kuat. Dua cedera apabila perancah buluh tercabut dan menimpa teksi manakala seorang lelaki cedera ditimpa pokok, kata televisyen tempatan RTHK. Cable TV pula menunjukkan sekumpulan pelancong dari tanah besar China terperangkap selepas perkhidmatan feri ditunda. "Di lapangan terbang Hong Kong, 245 ditangguh, 20 dibatalkan dan 22 lagi dialih ke lapangan terbang lain. Ribut tiba di kawasan 350 kilometer di Hong Kong pagi semalam sebelum bergerak," kata agensi pemantau Hong Kong. Pusat Meteorologi Nasional melaporkan, bot nelayan di pelabuhan dan sekolah sepanjang pantai ditutup berikutan kemaraan taufan kali ke-17 dan dianggap paling kuat melanda Hainan tahun ini. – AP |
Jimmy Shanley Teruskan Kes Nusyuz Terhadap Isteri Posted: 29 Sep 2011 05:16 PM PDT Pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh,25, pada Khamis, membuat keputusan untuk meneruskan permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy,32. Gambar: Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, (kiri) bersama peguam Syarie, Mohd Noor Aizan Mohd Idrus ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam hari ini untuk sebutan kes permohonan perintah kembali taat dan nusyuz terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur. - Foto Chan Wai Yew Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus pada prosiding sebutan semula kes yang diadakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini. Menurut Mohd Noor Aizan, pihaknya juga telah memfailkan jawapan kepada pembelaan yang difailkan oleh Nursuhaila, pada prosiding terdahulu. Jimmy, yang mengendalikan program 'Gala TV Plus' seterusnya memberitahu, dia juga telah memasukkan pelbagai bukti setebal 100 halaman termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga rakaman video dan audio yang akan dikemukakan pada perbicaraan tersebut. Pada prosiding itu, Hakim Syarie Shaharuddin Selamat turut menegur Jimmy apabila dia mengatakan 'lakonan' isterinya semakin menjadi-jadi selepas berpantang. Shaharuddin: Kamu juga seorang pelakon? Jimmy: Ya. Shaharuddin: Kamu jangan berlakon di dalam mahkamah saya. Pengacara itu seterusnya memohon agar mahkamah dapat memberikan tarikh perbicaraan segera dan Shaharuddin menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh pendengaran permohonan tersebut. Sementara itu, semasa ditemui di luar mahkamah, Jimmy memberitahu dia memilih untuk berdiam diri selepas Nursuhaila membuat kenyataan media yang mendakwa keretakan rumah tangga mereka disebabkan oleh sikapnya yang pernah memukul dan terlalu mengongkong. "Saya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak. Tetapi saya mengumpulkan semua bukti yang akan dikemukakan di mahkamah kelak," tambahnya. Jimmy dan Nursuhaila yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya tersebut bernikah di rumah kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dekat sini pada 1 Oktober 2010. Ketika itu, Nursuhaila menerima wang hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahirnya pada 31 Januari 1986. Bagaimanapun, pasangan itu hanya sempat tinggal bersama selama 20 hari menyebabkan Jimmy memfailkan permohonan menuntut Nursuhaila agar kembali taat pada 3 Januari lalu manakala permohonan nusyuz difailkan pada 27 Januari lalu. Bagaimanapun, pada 15 Julai lalu, Jimmy memberitahu dia sedang berkira-kira sama ada mahu meneruskan kes itu atau tidak selepas dimaklumkan Nursuhaila bersedia untuk kembali semula apabila tamat tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka, Zahrah pada 24 Jun lalu. Nursuhaila pada 25 Julai lalu akhirnya 'membuka mulut' mengenai permasalahan rumah tangga mereka dalam sidang media yang diadakan di pejabat syarikat keluarganya di Damansara Damai, dekat sini. Pada sidang media itu, Nursuhaila mendakwa Jimmy sebagai seorang yang berperangai pelik dan enggan membenarkan dia keluar bersama rakan-rakan selain pernah dipukul. klik untuk baca Ulasan GB GB pernah ulas dulu. Petikan: "Saya tidak hisap rokok, tidak pernah minum arak walau seteguk, tidak berjudi, bukan kaki disko dan bukan kaki perempuan. Saya hanya pernah bersama dengan seorang sahaja perempuan." |
Statistik PDRM Buktikan Jenayah Johor Lebih Tinggi Dari Pulau Pinang Posted: 29 Sep 2011 10:45 AM PDT Media massa kawalan pemerintah UMNO-Barisan Nasional menjadi haru-biru apabila Lim Guan Eng, selaku Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa menghina negeri Johor, negeri kelahirannya, dalam satu wawancara radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC). Laporan itu yang dibuat oleh agensi berita nasional Bernama dan disebarkan oleh media kawalan BN rupa-rupanya silap dan berbentuk berita palsu yang jelas bermotif politik. Walau pun pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang menuntut permohonan maaf, media kawalan UMNO-BN begitu bongkak enggan berbuat demikian walau pun fitnah itu telah luas tersebar. Untuk menutup malu atas perbuatan fitnah mereka, dicungkil pula sumber kononnya "penghinaan" terhadap Johor berhubung kadar jenayah negeri itu dikatakan dibuat oleh Guan Eng sewaktu berada di Singapura. Sama ada benar atau tuduhan itu, ia mungkin akan dijelaskan kepada umum tidak lama lagi. Tetapi isu yang lebih utama, sama ada benar atau tidak tuduhan media kawalan UMNO-BN itu, ialah adakah bercakap benar tentang sesuatu keadaan itu dianggap satu penghinaan? Pelabur mahu diyakinkan Memang benar Guan Eng selaku Ketua Menteri melawat ke Singapura dalam usaha menarik pelaburan ke Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya. Bukan sahaja Singapura, malah banyak negara telah dan sedang dilawatinya untuk membantu memulihkan ekonomi negara yang agak malap sekarang. Lawatan Lim Guan Eng itu adalah atas dasar lawatan untuk menarik pelabur Singapura datang melabur /berdagang di Pulau Pinang. Ini bukan jemputan ke Pulau Pinang untuk sekadar merasa semangkok cendol atau sepinggan char kue tiaw. Ini jemputan yang akan membawa masuk wang, kepakaran dan teknologi yang ianya berjumlah berjuta-juta ringgit, malah billion ringgit. Pelaburan ini akan memberi impak kepada ekonomi negeri khususnya anak watan yang akan berkerja di situ. Laba ini untuk seluruh rakyat Pulau Pinang. Justeru, modal Lim Guan Eng untuk meyakinkan pelabur datang ke Pulau Pinang harus 'besar' dan 'convincing' dengan jaminan keselesaan dan keselamatan pelaburan itu. Ini termasuklah dengan kestabilan politik di Pulau Pinang dan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri yang terkenal menerusi urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT). Maka tidak hairanlah jika mana-mana Ketua Menteri, Menteri Besar atau Menteri termasuk Perdana Menteri akan bersungguh-sungguh meyakinkan bakal pelabur untuk menanam modal di negara kita. Statistik jenayah Jika benar Guan Eng dikatakan membandingkan kadar jenayah yang berlaku di negeri seberang Singapura, iaitu Johor dengan Pulau Pinang, ia hanya sekadar perbandingan statistik rasmi yang disediakan oleh pihak kerajaan Malaysia. Bukankah statistik dan data yang ada dikeluarkan sendiri oleh Polis Diraja Malaysia? Ini bukan laporan statistik yang dibuat oleh badan asing tanpa tauliah berbanding PDRM. Sila semak data statistik itu sendiri yang tertera di laman web PDRM. Malah, laporan-laporan akhbar kawalan UMNO-BN sendiri telah menyatakan bahawa kes-kes jenayah yang dicatatkan di Johor pada tahun lalu adalah 20,648 kes berbanding 12,161 kes di Pulau Pinang. Adakah menjadi kesalahan bagi negeri-negeri seperti Perlis yang mempunyai kadar jenayah paling rendah untuk menggunakan statistik itu sebagai daya penarik untuk pelabur datang ke negeri Indera Kayangan? Lagi pula, pelabur bukannya jenis manusia yang tidak berakal. Walau pun Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai kadar jenayah yang paling tinggi (kerana jumlah penduduk yang besar), pelaburan tetap tinggi di Lembah Klang kerana banyak faktor-faktor lain turut diambil kira oleh usahawan antarabangsa seperti infrastruktur, kemudahan asas dan lain-lain. Jadi, menyatakan apa yang benar bukan soal menghina mana-mana negeri, termasuk Johor atau pihak polis. Malah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sendiri telah memuji pihak polis yang berjaya mengurangkan kadar jenayah di pulau mutiara itu. Malah, polis Johor sendiri tidak perlu emosi atau kecewa. Mereka pegawai yang profesional dan mereka telah berusaha gigih menurunkan kadar jenayah. Daripada beremosi, adalah lebih baik mereka terus menggembleng tenaga dalam menurunkan kadar jenayah di negeri Johor. Itu lebih praktis dan baik demi kesejahteraan rakyat Johor. Siapa burukkan siapa? Kedua, istilah "memburuk-burukkan" negeri Johor digunakan oleh media massa milik UMNO-BN hanya bertujuan memomokkan Guan Eng yang mereka lihat mewakili kejayaan Pakatan Rakyat. Jelas ia bermotif politik. Sudah menjadi lumrah, jika fakta yang baik, akan dikenal dan mengharum wangi baunya. Jika buruk, tidak perlu kita heboh-hebohkan kerana, bau busuknya itu tetap akan terhidu oleh jiran kita. Menuduh Guan Eng menghina Johor adalah perbuatan terdesak. Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dilahirkan di Johor dan dibesarkan di banyak tempat termasuk di Batu Pahat dan di Melaka. Kehidupannya perit kerana menerima tempias perjuangan politik bapanya Lim Kit Siang yang sentiasa dijadikan mangsa oleh kerajaan BN. Guan Eng sepatutnya menjadi kebanggaan Johor kerana beliau adalah anak jati Johor yang diterima baik oleh warga Pulau Pinang untuk menjadi Ketua Menteri mereka. Tidak mungkin beliau sanggup menghina negeri kelahirannya sendiri. Karenah Mahathir dan UMNO-BN Malah, dalam soal hina-menghina ini, bukankah pemimpin agung UMNO Tun Mahathir Mohamad terkenal dengan penghinaannya terhadap Kelantan sejak PAS mengambil alih kerajaan negeri lebih 20 tahun lalu? Adakah orang-orang UMNO sudah lupa dengan sindiran yang menghina kepada isu 'janggut nabi' suatu masa dahulu? Atau, semua juak-juak UMNO sudah lupa bagaimana Mahathir menghina Raja-Raja Melayu? Isu-isu yang sekadar untuk menimbulkan emosi orang-orang Melayu khususnya, tidak perlu diambil serius. Apa yang penting, kita jelaskan kepada khalayak, apakah dasar kita yang sebenar. Jangan tertipu dengan mainan sentimen UMNO-BN. Dalam soal kritik-mengkritik, ia adalah amalan biasa dalam demokrasi yang matang. Jika kritikan dan teguran dianggap penghinaan, maka gelap masa depan anak-anak Malaysia yang akan menjadi terlampau manja sehingga sentiasa mahu menangis apabila ditegur sedikit. Permainan kotor UMNO-BN boleh memandomkan generasi akan datang. Sekejap main isu hudud, sekejap main isu Ketuanan Melayu, sekejap main isu Perlembagaan, lepas itu main isu komunis. Hakikatnya, semua isu-isu ini tidak pernah dijelaskan oleh UMNO secara lengkap untuk memberi kefahaman rakyat. UMNO-BN amat mengharapkan rakyat gelap tanpa ilmu yang cukup di dada. Di padang yang tiada helang, maka belalang menjadi raja. – Roketkini.com |
Apa Barang Mahu Takut Dengan Perkasa? Posted: 29 Sep 2011 10:04 AM PDT Saya tak gentar amaran PERKASA' Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau tidak gentar dengan amaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Negeri Sembilan yang mahu mengadakan protes sekiranya beliau berceramah lagi di negeri itu. Sebaliknya, tokoh yang dikenali sebagai 'ayam sabung PAS' itu, akan terus berceramah termasuk di negeri itu sekiranya menerima jemputan. "Saya tidak rasa apa-apa (dengan amaran itu). Sebenarnya mereka yang gelisah. Saya telah didakwa, (jadi) tunggu mahkamah (buat keputusan). "Saya akan terus berceramah kalau dapat jemputan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini. Menurutnya, beliau akan menghadiri satu lagi ceramah di negeri tersebut, yang dijadual pada 6 Oktober ini di DUN Paroi. Mohamad mengulas kenyataan Yang Dipertua PERKASA negeri itu, Datuk Mohd Noor Nordin Abdullah yang dilapor akan mengetuai protes terhadap Mohamad jika pemimpin PAS itu enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai peristiwa Bukit Kepong. Amaran itu dikeluarkan selepas kekecohan tercetus di ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban Sabtu lalu sehingga menyebabkan dua penyokong PAS cedera selepas mereka cuba menghalang ahli PERKASA mara ke pentas ceramah. Mat Sabu mencetuskan kontroversi tersebut ekoran ucapannya pada 21 Ogos lalu yang didakwa memuji Mat Indera, seorang pemimpin yang mengetuai serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950, sebagai pejuang kemerdekaan. Mengulas mengenai keselamatan yang pada ceramahnya akan datang, Mohamad menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk berbuat demkian termasuk ceramah yang dibuat dalam kawasan persendirian yang tidak memerlukan permit. Sementara itu, amaran PERKASA tersebut mengundang reaksi balas, khususnya dari pemimpin Pemuda PAS yang mengecam dan menyelar "kenyataan amaran dan ancaman" pemimpin PERKASA itu. Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menganggapnya kenyataan kurang cerdik dan dangkal yang "hanya dilakukan oleh puak-puak yang tidak mempunyai keberanian untuk berhujah secara ilmiah dan beradab." Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan berkata PERKASA sepatutnya mengadakan protes terhadap akhbar Utusan Malaysia yang didakwanya "memutarbelitkan dan menyalahtafsirkan" kandungan sebenar ucapan Mohamad. Sehubungan itu, beliau meminta polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kenyataan PERKASA yang didakwanya berbaur ancaman dan hasutan untuk mendatangkan kecederaan ke atas Mohamad. "Kenyataan PERKASA ini juga menunjukkan mereka ini sebenarnya kumpulan 'samseng' yang tidak menghormati undang-undang, tetapi sebaliknya berselindung di atas nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya. Mohd Sany juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil sebarang langkah yang membelakangkan undang-undang untuk memudaratkan pimpinan PAS. Sementara itu, ketua penerangan Pemuda PAS pusat, Riduan Mohd Nor juga kesal dengan PERKASA yang didakwanya "sengaja membiarkan ahli dan penyokongnya bertindak liar bagi menghangatkan suasana supaya penyokong PAS bertindak balas" sewaktu kekecohan itu berlaku. "PAS telah lama bergelumang dalam politik, dan tahu asam garam serta sepak terajang politik tanahair. Ahli-ahli PERKASA tidak perlu mencetuskan provokasi seumpama itu. "PAS telah lama mentarbiyah ahlinya supaya bersabar dan bertenang dalam situasi seperti ini sebagaimana PAS juga mentarbiyah ahlinya agar berjihad dan tidak gentar kepada sesiapa juga," kata ketua penerangannya Riduan Mohd Nor. Dengan nada menyindir, Riduan menyifatkan tindakan PERKASA mengganggu dan didakwa memukul penyokong PAS sebagai "tindakan penakut bagi mereka yang tidak mahu mencari kebenaran". -mk
|
Isu Kg. Baru: 93.8% Pemilik Setuju Penubuhan PPKB? Penduduk Bantah Nong Chik Posted: 29 Sep 2011 08:25 AM PDT Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) didesak mendedahkan butiran mengenai jumlah borang soal selidik berhubung cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampungh Baru (PPKB), yang telah dipulangkan oleh penduduk. Ketika membuat desakan tersebut, Dewan Pemuda PAS kawasan Titiwangsa (DPPKT) ingin tahu, daripada jumlah itu, berapakah jumlah keseluruhan penduduk asal Kampung Baru yang perlu diserahkan borang soal selidik berhubung cadangan penubuhan PPKB. Timbalan ketua DPPKT, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, kenyataan bahagian komunikasi KWPKB semalam menyebut 93.8 peratus pemilik setuju dengan penubuhan PPKB. "DPPKT mempersoalkan adakah jumlah ini menggambarkan majoriti penduduk menyokong penubuhan perbadanan tersebut, sedangkan daripada maklumat yang diperolehi, hanya 30 peratus penduduk memulangkannya," katanya dalam satu kenyataan. DPPKT, tegasnya berpendapat, kementerian perlu mendedahkan jumlah keseluruhan borang soal selidik yang diterima. "DPPKT juga berpendapat kementerian sepatutnya berusaha mendapatkan persetujuan penduduk, paling tidak 80 peratus daripada penduduk keseluruhannya. "Ini kerana mereka adalah pemilik asal tanah Kampung Baru dan kerajaan berhasrat membangunkan tanah tersebut. Amat wajar kerajaan mendapatkan persetuju mereka dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. "Jika tidak ia dianggap sebagai mengambil hak penduduk tanpa kebenaran," tegas Mohd Shahir. Menurutnya, pihak kementerian sendiri mengakui bermasalah untuk menghubungi pemilik kerana pelbagai faktor seperti pemilik yang telah meninggal dunia, pewaris yang tidak membuat tuntutan pusaka kecil, pemilik berada di luar Kuala Lumpur, pemilik sukar dihubungi serta kesukaran mendapatkan persetujuan sesama pemilik dalam satu lot. "Jika demikian, apa perlunya rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru dibacakan kali kedua di Parlimen pada bulan Oktober nanti? "Bukankah ini menggambarkan cadangan kerajaan dibuat dalam keadaan terburu-buru sedangkan masih ramai pemilik belum dihubungi. "Sepatutnya kerajaan bersabar sehingga majoriti penduduk dihubungi dan seterusnya mendapatkan persetujuan mereka dahulu, baru dibentangkan cadangan rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru," katanya. Mohd Shahir berkata, DPPKT tetap berpendirian bahawa kerajaan perlu membatalkan atau setidak-tidaknya menangguhkan usaha membawa rang undang-undang tersebut ke Parlimen Oktober nanti. "Berikan ruang secukupnya buat penduduk Kampung Baru memberikan keputusan berhubung cadangan pembangunan ini," tambahnya. -mk PAS bawa isu Kg Baru ke global jika Putrajaya 'berdegil' |
Kereta Terjunam Ke Dalam Laut - 4 Selamat, Pemandu Masih Hilang Posted: 29 Sep 2011 07:27 AM PDT Butterworth -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki bersama empat rakannya menjunam ke dalam laut ketika cuba mengelak daripada ditahan kerana menceroboh Penang Port Sdn Berhad (PPSB) di Dermaga Dalam, di sini awal pagi Khamis. Gambar: Sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima mangsa dibawa naik selepas dipercayai terjunam ke dalam laut awal pagi tadi di Pelabuhan Pulau Pinang Dermaga Dalam di sini, hari ini. Empat daripada mangsa tersebut berjaya diselamatkan manakala seorang lagi masih hilang. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Zulkifli Alias berkata kejadian itu berlaku apabila kereta Proton Wira yang dinaiki lima lelaki terbabit memecut laju ketika melalui pintu masuk dermaga sebelum terus menjunam ke laut pada pukul 12.45 tengah malam. "Polis menerima panggilan daripada pengurusan PPSB memaklumkan kejadian itu dan sepasukan anggota kita bergegas ke tempat kejadian sebelum menahan empat lelaki yang berjaya diselamatkan daripada lemas. "Empat lelaki terbabit bernasib baik kerana berjaya diselamatkan pekerja sebuah kapal yang berlabuh di pelabuhan itu manakala seorang lagi rakan mereka berusia 24 tahun tenggelam bersama kereta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Zulkifli berkata siasatan awal mendapati lima lelaki yang berusia antara 24 dan 53 tahun itu berasal dari Kedah berada dalam keadaan mabuk selepas pulang berhibur di George Town dekat sini, sebelum tersilap jalan ketika mencari laluan ke lebuh raya. Zulkifli berkata kereta dipandu lelaki yang masih hilang itu dikatakan berhenti di hadapan pintu masuk pusat pemeriksaan keselamatan PPSB sebelum tiba-tiba memecut laju ke arah dermaga yang terletak di belakang pusat berkenaan. "Mereka dikatakan berjaya melepasi pusat pemeriksaan kerana ketika itu palang penghadang laluan dinaikkan berikutan sekumpulan pekerja syarikat pembinaan sedang menjalankan kerja-kerja menyelenggara pusat terbabit," katanya. Sepasukan anggota polis dibantu Unit Scuba Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Marin terlibat dalam operasi mencari lelaki terbabit. "Selepas empat jam usaha mencari dan menyelamat, kita hanya menemui kereta Proton Wira, lelaki itu bagaimanapun gagal dikesan," katanya. Beliau berkata semasa operasi berkenaan, pihaknya menemui mayat seorang lelaki lain yang identitinya masih belum dikenal pasti. "Polis membawa rakan mangsa ke tempat kejadian untuk mengenal pasti mayat yang ditemui, bagaimanapun mereka menafikan itu rakan mereka," katanya. Zulkifli berkata empat lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. -- BERNAMA |
Isu Video Klip "UNDILAH": Rais Yatim Sudah Tidak Hormat Ku Li & Pak Lah Lagi? Posted: 29 Sep 2011 06:35 AM PDT Rais dakwa video 'Undilah' tak disenangi rakyat Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata klip video "Undilah" tidak sesuai ditayangkan kerana ia mengandungi babak yang tidak disenangi segolongan masyarakat. "Klip video itu juga mengandungi iktibar yang tersirat yang mengelirukan beberapa pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni bagi kawasan Parlimen Pasir Salak di Kampung Gajah hari ini. Katanya penarikan semula penyiaran klip video 'Undilah' sebelum ini dibuat kerana ia tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem. "LPF bukan terletak di bawah tanggungjawab kementerian saya sebaliknya terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang akan menentukan kedudukan penayangan klip video itu sama ada boleh ditayangkan atau tidak,"katanya. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum ini menyatakan klip video "Undilah" belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen. Mengenai program merakyatkan seni, Rais berkata tujuannya untuk memberi peringatan kepada orang Melayu agar tidak lupa akar umbi budaya, seni dan bahasa dalam konteks membina negara. "Kaum-kaum lain pula cuba berazam mengekalkan budaya mereka sementara orang Melayu mengetepikan soal perpecahan menerusi siasah dan bersatu di bawah panji-panji seni budaya kita,"katanya. Rais berkata 180 program Merakyatkan Seni yang diadakan setiap tahun akan diselitkan dengan pengertian 1Malaysia dan penterjemahan transformasi kerajaan ke arah pembaharuan yang positif. - Bernama Pak Lah: Tiada sebab SKMM wajar sekat klip Undilah Ulasan GB Pertama klip video berkenaan memaparkan Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang yang satu ketika pernah menjadi Presiden Parti Semangat 46 dan Rais Yatim adalah Timbalan Presidennya. Kerana Rais kini sudah menjadi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di bawah panji UMNO BN, maka beliau sudah tidak lagi menghormati Ku Li? Apakah salah besar bagi pemuzik Peter Teo memaparkan wajah Ku Li di dalam video klip berkenaan semata-mata kerana Ku Li kini menjadi pemimpin yang diketepikan di dalam UMNO pimpinan Najib? Kedua, Pak Lah sendiri merasakan ia (klip video) baik dan beliau seronok mendengar (klip video itu). Apakah Rais terlupa bahawa beliau terhutang budi, maruah dan jasa Pak Lah yang telah mengenepikan tuduhan terhadapnya di dalam isu "rogol amah"? Dan Pak Lah juga yang bertindak mengekalkan Rais Yatim sebagai anggota kabinet sekalipun pada ketika itu nama Rais sudah pudar ekoran skandal tersebut? Amat tidak patut bagi Rais Yatim untuk tidak berterima kasih kepada kedua-dua bekas pemimpin tersebut dan amat tidak wajar hanya semata-mata kerana video klip berkenaan telah membariskan beberapa tokoh yang tidak disenangi oleh UMNO yang ada kini maka diharamkan penayangan video klip berkenaan. Jahatnya kamu Rais! GB sudah mengulas sebelum ini. Petikan: Apakah di dalam video klip itu ada ajakan kepada permusuhan dan pertentangan ras, atau ada adegan bogel dan seks sepertimana video seks yang sebelum ini disiarkan secara meluas di dalam berita-berita televisyen? |
Kesemua 18 Mangsa Nahas Pesawat Dikhuatiri Maut Posted: 29 Sep 2011 05:30 AM PDT Medan (Indonesia): Sebuah kapal terbang membawa 18 orang penumpang dalam satu penerbangan domestik terhempas di kawasan pergunungan pada Khamis, demikian menurut sumber rasmi. Beberapa kumpulan mencari dan menyelamat dilaporkan bergegas ke tampat kejadian. Pesawat CASA C-212 buatan Sepanyol sudah terbang separuh jalan dari Sumatra Utara dan wilayah Acheh apabila ia hilang perhubungan dengan pusat kawalan tarfik udara, kata jurucakap Kementerian Pengangkuatan, Bambang Ervan. Beberapa minit kemudian juruterbang pesawat menghantar isyarat kecemasan dan kapal terbang itu kelihatan jatuh dalam radar Tentera Udara, beritahu seorang marsyal tentera, Bonar Hutagaol kepada media. Penduduk kampung melaporkan pesawat malang itu terhempas di kawasan perkampungan mereka, Bahorok dan para penyelamat berjaya mengesan bangkai pesawat. Pesawat membawa empat kenak-kanak dan 14 dewasa dalam penerbangan tersebut. -AP Inilah Titik Koordinat Jatuhnya Cassa 212 |
[Video] Loji Penapis Minyak Shell Singapura Terbakar Posted: 29 Sep 2011 04:00 AM PDT Singapura -- Satu letupan kuat kedengaran di kilang penapisan minyak Shell di Pulau Bukom kira-kira tengah hari Rabu ketika operasi memadamkan kebakaran dijalankan di kilang penapisan itu. Kebakaran di kilang penapisan itu dipercayai membabitkan produk petroleum daripada paip dalam tangki di kawasan kilang itu. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam kenyataan Khamis berkata keadaan kini adalah terkawal. Operasi penyejukan masih dijalankan bagi mengelak bahang panas merebak ke tangki simpanan berhampiran. Dalam operasi memadamkan kebakaran itu, tiga jentera bomba SCDF mengalami kerosakan dengan dua daripadanya rosak teruk. Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan. Sehingga pukul 8 pagi, sebanyak enam jentera dan 11 kenderaan bantuan dengan 80 anggota terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran itu. Kira-kira 250 kakitangan utama Shell juga berada di Pulau Bukom bagi membantu operasi itu. Shell, dalam kenyataan berkata pihaknya percaya kebakaran itu adalah kemalangan dan siasatan penuh akan dijalankan selepas api dipadam sepenuhnya. Semua petugas dari Pulau Bukom dipindahkan dari pulau itu. -- BERNAMA |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan