Jumaat, 30 September 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Benarkah wujud tali barut dalam agensi k'jaan?

Posted: 30 Sep 2011 02:00 AM PDT

Umar Zain

Merujuk kepada artikel Malaysiakini 'Utusan: Orang Anwar Resapi Badan Kerajaan?' yang mengulas artikel Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia 28 September 2011, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM) tertarik untuk memberikan beberapa pandangan.

Isu ini sekiranya benar wujud perlu diberikan satu perspektif yang betul, komprehensif dan perlu diambil tindakan dengan segera setelah proses pengenalpastian dilakukan.

Dari penerangan yang diberikan saudara Zaini, apa yang beliau maksudkan ialah sikap berpura-pura pegawai-pegawai dalam agensi strategik kerajaan yang pro-Anwar menyalurkan maklumat sulit dan maklumat yang tertakluk kepada klasifikasi tertentu kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Dalam bahasa spy dan propaganda ia dirujuk sebagai musang berbulu ayam, talam dua muka iaitu tali barut atau 'agen' yang berjaya menyusup masuk sehingga ke peringkat tertinggi dalam sesebuah pengurusan organisasi.

Namun begitu elok sekiranya dilihat latar belakang gejala ini terlebih dahulu. Fenomena talam dua muka merupakan satu perkara biasa dalam situasi perang. Ia mencapai kemuncaknya sewaktu era Perang Dingin di mana kedua-dua pihak Amerika Syarikat dan Russia saling memasang agen masing-masing untuk mencuri dan mendapatkan maklumat strategik musuh dengan pelbagai kaedah.

Yang penting ialah matlamat boleh dicapai. Manakala istilah 'double agent' lahir apabila seseorang agen yang digaji satu pihak mula dipengaruhi oleh pihak musuh dan memberikan maklumat secara terpilih-pilih, mengikut kepentingan mana yang menjadi prioritinya.

Menarik untuk diperhatikan apa yang menentukan seseorang agen ini boleh bersikap talam dua muka. Sesuatu yang agak pasti ialah bayaran yang lumayan atau dorongan tertentu seperti wanita, namun jarang diperhatikan bahawa proses penyusupan berlaku secara terancang.

Perancangan dilakukan sesebuah organisasi dengan amat halus (very subtle) yang tidak mungkin disedari oleh organisasi yang menerima seseorang agen bekerja sekiranya aspek tapisan yang juga amat teliti tidak dilakukan.

Organisasi penerima selalunya hanya akan melihat aspek kelayakan seseorang, pengalaman kerja dan kejayaan tanpa melihat aspek yang maha penting dalam sesebuah agensi strategik- iaitu aspek ideology seseorang.

Sering terjadi aspek ideologi ini yang mengikat seseorang untuk tunduk patuh kepada arahan pemimpin utama atau mullah, yang terhasil dari satu proses pengkaderan yang berlangsung dalam tempoh amat panjang.

Tidak mustahil proses itu bermula dengan menjejak bakat seseorang sejak di peringkat sekolah menengah, lalu dilanjutkan di universiti. Untuk seseorang agen yang dikira bijaksana, karisma danberkelayakan, mereka akan didaktate secara halus dengan penekanan bahawa sepanjang masa keutamaan tetap diberikan kepada ideologi walau apa keadaan atau di mana mereka bekerja sekali pun kemudian hari.

Kepada kebanyakan orang Melayu, ideologi berteraskan agama memainkan peranan yang amat besar, dengan itu ideologi ketaatan kepada 'perjuangan asal menegakkan dan memperkasa islam' khususnya islamisasi dan membentuk islam tamadun (islam madani) dilihat mengatasi semua ideologi dan matlamat lain yang kesemuanya dianggap sekular.

Dengan melihat latar belakang ini, tidak lah terlalu mustahil untuk menjangkakan bahawa telahan saudara Zaini dijangka akan berlaku. Malahan, ianya dipercayai telah dan sedang berlaku melihat kepada beberapa laporan yang tersiar melalui blog-blog tertentu.

Blogger ini amat berbangga jika mereka berjaya menyiarkan berita dan informasi yang mendahului pengumuman penting kerajaan menyebabkan pengumuman yang dianggap utama, serius dan boleh menarik sokongan awam itu menjadi sesuatu yang tawar kerana telah berjaya dijangkakan atau dipintas terlebih dahulu.

Jika dalam perang sebenar, pintasan maklumat mungkin akan menyebabkan kematian beberapa ratus nyawa tentera.

Selain dari kecuaian pegawai kerajaan yang secara tidak sengaja membocorkan maklumat, boleh dibuktikan bahawa kebanyakan info yang disiarkan dalam sebuah blog adalah hasil daripada permainan double agent ini.

Ini disebabkan penyiaran maklumat strategik kerajaan secara berterusan (konsisten) seolah-olah mereka merupakan media utama pejabat tertinggi negara sedangkan pendirian mereka jelas membelakangi kepentingan nasional dan dilihat dipengaruhi (dan didanai) oleh pihak asing.

Contohnya jelas dalam pengumuman pelantikan CEO GLC-GLC dan jawatan utama, dan mencapai kemuncaknya sewaktu mendahului pengumuman Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA.

Maklumat melalui blog tersebut menyebabkan pengumuman amat penting Perdana Menteri itu telah dijangkakan rakyat, dan kesannya pasti berbeza jika tidak dibocorkan.

KPPM membayangkan, jika akses kepada pejabat tertinggi berjaya dilakukan, dan mungkin telah disalurkan kepada pihak tertentu yang menjadi 'ketua sebenar' pegawai tersebut, maka nampaknya tiada lagi rahsia yang mungkin boleh disembunyikan.

Tanpa mahu menuduh sesiapa, namun melihat kepada petanda-petanda yang jelas dan konsisten, elok sesuatu dilakukan, sebaik-baiknya serta merta.
Penulis adalah ahli jawatan kuasa Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM)

Menfitnah Orang Mati - Malaysia Boleh?

Posted: 30 Sep 2011 12:00 AM PDT

MEMFITNAH ORANG MATI- MALAYSIA BOLEH ?

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu akhirnya didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth dengan pertuduhan di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Sepertimana yang semua tahu Mahkamah telah menetapkan wang jaminan sebanyak RM 15,000-00 . Pihak pendakwa pula pada asalnya menawarkan jaminan sebanyak RM 50,000-00. Saya membantah tawaran pendakwa tersebut yang saya sifatkan sebagai tidak masuk akal kerana tujuan jaminan hanya sekadar untuk memastikan tertuduh hadir di mahkamah .

Saya hujahkan jaminan RM 50,000-00 adalah terlalu tinggi dan boleh dikira bersifat menghukum tertuduh sedangkan prinsip undang-undang jenayah adalah seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah. Saya juga hujahkan Mohd Sabu bukanlah "flight risk" ( orang yang berisiko akan melarikan diri ) kerana terbukti meskipun beliau dihentam habis-habisan selama lebih kurang 17 hari tanpa henti oleh Utusan dan pihak-pihak lain beliau tidak melarikan diri. Saudara Aminuddin Zulkifli yang turut membantu saya juga berhujah bahawa Mohd Sabu juga telah berkerjsama dengan pihak polis apabila diminta hadir ke Balai Polis sehari sebelum beliau didakwa.

Isu sama ada Mohd Sabu benar-benar memfitnah polis-polis di Bukit Kepong masih awal untuk ditentukan . Namun apa yang menarik untuk dilihat nanti adalah bagaimana sistem kehakiman negara ini akan mendepani isu tuduhan memfitnah polis-polis di Bukit Kepong pada tahun 1950 tersebut..

Pihak pendakwa yang berketuakan Peguam Negara yang penuh kontroversi, Tan Sri Ghani Patail memilih untuk mendakwa Mohd Sabu kerana dikatakan memfitnah polis-polis dan keluarga mereka di Bukit Kepong. Kini semua orang tahu isu Bukit Kepong juga tidak dapat lari dari seorang individu yang bernama Mat Indera .

Dalam perbahasan yang kita boleh baca di media-media massa dan juga alam siber timbul polemik adakah benar polis-polis di Bukit Kepong tersebut benar-benar wira sebenar atau mereka juga boleh didakwa sebagai petualang bangsa kerana berkhidmat dengan penjajah British ? Timbul juga polemik yang sama iaitu sama ada Mat Indera yang diburu dan digantung oleh Penjajah British adalah seorang wira atau seorang petualang kerana melawan British ?

Dalam keadaan polemik yang timbul dan masih belum selesai itu memang susah untuk akal kita menerima bagaimanakah dan kenapakah hanya orang yang dikatakan memfitnah polis-polis di Bukit Kepong dan keluarga mereka sahaja didakwa di Mahkamah sedangkan mereka yang mendakwa Mat Indera seorang yang berfahaman Komunis yang dikatakan kejam dan ganas ( seperti dakwaan Menteri Besar Johor ke atas Mat Indera ) tidak pula didakwa oleh Ghani Patail ? Inilah risko yang Najib dan Kerajaan BN tanggung apabila mereka membawa isu pentafsiran sejarah ke dalam dewan Mahkamah .

Ramai yang mungkin pernah menonton filem Titanic. Di dalam filem tersebut digambarkan First Officer William McMaster Murdoch ( tokoh bangsawan yang kaya raya ) yang berkahwin dengan wanita biasa yang dilakonkan oleh Kate Winslet adalah orang yang kejam dan telah menembak para penumpang kapal Titanic yang karam itu . Apa yang berlaku selepas kematian William McMaster Murdoch didapati bahawa bukan sahaja tiada kejadian tembakan berlaku pada malam kapal Titanic karam malahan William McMaster Murdoch adalah hero sebenar di dalam tragedi tersebut kerana beliaulah yang telah memberikan jaket keselamatannya kepada penumpang dan akhirnya beliau sendiri yang mati bersama-sama kapal Titanic yang karam. Bagaimanapun Pengarah dan Penerbit filem Titanic , James Cameron bernasib baik kerana tidak tinggal di Malaysia . Jika tidak, tidak mustahil beliau juga mungkin akan didakwa seperti Mohd Sabu.

Sebagai peguam yang mengetuai pasukan pembela Mohd Sabu ini saya masih tertanya-tanya di dalam hati bagaimanakah orang yang sudah meninggal dunia boleh difitnah ? Saya juga tertanya bagaimakah mereka akan dipanggil menjadi saksi-saksi untuk memberi keterangan di Mahkamah bahawa mereka difitnah ? Seram sejuk setiap kali saya memikirkan hal tersebut .

Pengetahuan undang-undang saya yang terhad terhadap undang-undang fitnah mengajar saya bahawa di bawah sistem "common-law" peraturan yang terpakai di dalam kes fitnah adalah "reputasi seseseorang itu adalah bersifat rapuh ( perishable ) sepertimana rapuhnya seseorang manusia itu . Peraturan atau prinsip tersebut dinyatakan di dalam doktrin yang dinyatakan dalam bahasa Latin " actio personalis moritur cum persona (" hak peribadi seseorang di dalam kes fitnah mati sebaik matinya seseorang itu )

Seorang hakim Inggeris iaitu Sir James Stephen telah seawal tahun 1887 menyatakan "The dead have no rights and can suffer no wrongs." ( orang yang mati tidak ada hak dan tidak akan menederita sebarang salah laku ke atas dirinya ).

Bagi mereka yang menekuni sejarah hidup orang-orang ternama di dunia ini seperti Elvis Presley, Queen Victoria , Abraham Lincoln dan Winston Churchill misalnya mereka pasti akan menemui tuduhan-tuduhan yang berbaur fitnah ke atas tokoh-tokoh ternama tersebut.

Sebagai contoh Elvis Presley dituduh seorang yang mempunyai keinginan seks ke atas kanak-kanak ( pedophile ). Queen Victoria pula dituduh seorang lesbian. Abraham Lincoln pula dituduh sebagai seorang penzina gay ( gay adulterer ) dan Winston Churchill pula didakwa konspirator pembunuh.

Kesemua tuduhan tersebut yang diterbitkan beberapa tahun kebelakangan ini adalah secara jelas fitnah per se ( maksudnya fitnah yang terlalu serius sehingga tidak perlu dibuktikan mereka telah menanggung kerugian akibat fitnah tersebut ). Bagaimanapun tuduhan-tuduhan tersebut juga berkongsi elemen yang sama iaitu kenyataan-kenyataan tersebut dibuat selepas tokoh-tokoh ternama tersebut meninggal dunia. Oleh yang demikian pihak penerbit yang menerbitkan kata-kata atau tuduhan-tuduhan tersebut tidak dibawa ke Mahkamah kerana mereka dilindungi oleh satu peraturan yang telah lama bertahan " kamu tidak boleh memfitnah orang mati".

Tidak dinafikan ramai dari kita dibesarkan dengan ajaran jangan bercakap perkara tidak baik ke atas orang yang sudah mati namun undang-undang yang masih terpakai sehingga kini adalah undang-undang yang tidak menyalahkan orang yang berbuat demikian ( memfitnah orang yang mati ). Adakah undang-undang di Malaysia menyimpang dari prinsip undang-undang yang saya sebut tadi sama-sama lah kita tunggu dan lihat !!!

UMNO Kedah Bergelora Di Peringkat Bahagian

Posted: 29 Sep 2011 09:19 PM PDT

Wanita UMNO Kedah minta bahagian selesaikan kemelut

ALOR SETAR 30 Sept. - Wanita UMNO Kedah hari ini mengingatkan UMNO bahagian di negeri itu agar menyelesaikan segera kemelut dalaman yang dikatakan berlaku jika tidak mahu dikecewakan lagi pada pilihan raya umum kelak.

Ketuanya, Datuk Maznah Abdul Hamid berkata, kemelut yang dihebohkan berlaku di beberapa bahagian, boleh menjadi beban kepada Barisan Nasional (BN) Kedah dalam usaha merampas kembali negeri itu.

"Parti lawan khususnya Pas sememangnya suka perebutan dan pergaduhan ini berlaku dalam UMNO supaya mudah bagi mereka mempertahankan Kedah. Segala masalah yang menjadi punca hendaklah diselesaikan dari akar umbi," katanya kepada pemberita, di sini. - Bernama

Kenyataan Media PAS Pusat

Posted: 29 Sep 2011 09:09 PM PDT

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011

Tiada ulasan: