Sabtu, 17 September 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Perasuah Negara, Pengkhianat Moden

Posted: 17 Sep 2011 01:00 AM PDT

Telok Kemang: "Ketirisan sebanyak RM28 bilion setahun menurut Laporan Audit Negara 2009 jelas menunjukkan bahawa pengurusan negara berada dalam bahaya dan membimbangkan", kata Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Beliau berkata dalam situasi rakyat asyik membincangkan kemelut Parti Komunis Malaya (PKM) mereka lupa tentang persoalan ini.

"Signifikan persoalan rasuah yang mahu kita bincangkan dengan perbandingan isu komunisme adalah merupakan persoalan masa depan negara dan rakyat keseluruhannya.

"Sejarah boleh dibincangkan secara ilmiah dan intelektual namun perdebatan kolot oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam isu sejarah menutup ruang perbincangan dan analisis sejarah secara saintifik dan holistik ", ujar Kamarul.

Kamarul yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan menambah kegagalan pimpinan Umno-BN dalam memahami kupasan dan isu sejarah menunjukkan bahawa mereka sudah semakin hilang upaya dalam mentadbir negara.

Sejarah yang benar dan tepat adalah penting buat negara dan rakyat. Jika isu sejarah pun gagal diuruskan dengan baik oleh kerajaan sudah pasti ini menjadi satu lagi bukti bahawa pimpinan Umno-BN sudah tidak relevan untuk diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat.

"Jika isu sejarah tidak mampu lagi diurus dan difahami dengan baik oleh pimpinan Umno-BN, apatah lagi dengan kemelut isu rasuah, kelemahan pentadbiran Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan salah urus tadbir negara yang parah seperti yang dibuktikan oleh Laporan Audit Negara sehingga negara kerugian berbilion ringgit".

"Ini tidak termasuk oleh pinjaman Felda sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh ndipersoalkan kewajarannya.

"Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 juga telah meningkat kepada RM362.39 bilion atau 53.7% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion juga telah kerajaan bebankan ke atas rakyat dengan melancarkan 19 program jualan bon pada tahun 2010", jelas Kamarul lagi.

Justeru itu Kamarul berkata perasuah dan pembuat hutang negara yang telah menggelapkan wang rakyat secara haram dan jijik termasuk oleh pimpinan Umno-BN haruslah ditentang oleh rakyat habis-habisan.

Inilah perjuangan rakyat masa kini dalam menentang pengkhianat moden yang berselindung disebalik dinding kekuasaan di Putrajaya.

Masa depan negara terletak di tangan rakyat untuk membuat keputusan secara serius menolak dan memerangi pengkhianat moden negara.

Laporan Audit Negara untuk tahun 2010 dijangka akan dikeluarkan sebelum hujung tahun ini. -FMT

WASPADA: Batu Ladung Diikat Untuk Beratkan Timbangan Sotong Kering

Posted: 16 Sep 2011 10:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Sotong batu ladung. Itu kejutan diterima seorang kakitangan sebuah sekolah di sini, selepas mendapati lebih 10 kilogram (kg) sotong kering yang dibeli bagi majlis kenduri kahwin anak keduanya mengandungi bahan tambahan berbentuk ketulan timah, seberat 2kg yang dijahit pada beberapa bahagian sotong itu.

Mohd Shukri Taib, 56, berkata dia membeli sotong kering berkenaan secara borong di sebuah kedai pemborong makanan kering di Selayang, di sini, pagi kelmarin.

"Menurutnya, selepas membawa pulang makanan kering itu, dia bersama isteri mula menyiang sotong itu menjadi kepingan kecil dan terkejut apabila mendapati beberapa bahagian sotong yang bersaiz besar sukar dikerat terutama pada bahagian ekor dan kepala.

"Selepas membelek sotong itu, saya terkejut apabila menjumpai dua biji batu ladung (pemberat yang digunakan untuk memancing) terselit di celah ekor manakala dua lagi di kepala.

"Lebih mencurigakan, ketulan itu seolah-olah sengaja diletakkan kerana ia dijahit dengan rapi menggunakan tali tangsi,
" katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Selepas menjumpai 'bahan tambahan' itu, Mohd Shukri dan isteri memeriksa semua sotong yang belum disiang dan mendapati semuanya mengandungi ketulan timah.

Mohd Syukri berkata, sebelum ini keluarganya sudah biasa membeli barang makanan kering di kedai berkenaan, tetapi dalam kuantiti yang kecil.

"Boleh dikatakan saya pelanggan tetap kedai itu dan kerap membeli barang makanan kering seperti sotong, ikan masin atau udang kering, namun ini kali pertama saya membeli dalam kuantiti yang banyak.

"Saya mengesyaki ketulan timah itu hanya diletakkan pada makanan kering yang dijual secara pukal bagi mengelak taktik itu dikesan pembeli yang hanya menyedari perkara ini selepas pulang ke rumah," katanya yang turut membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Katanya, boleh dikatakan setiap sotong kering bersaiz sederhana dan besar mengandungi tiga hingga empat ketulan timah dan tidak dapat dilihat pembeli sekiranya tidak dibelek dengan teliti.

Menurut Mohd Shukri, dia membeli makanan kering itu pada harga RM44 sekilogram dan nilai keseluruhan bagi satu bungkusan besar yang dibeli berjumlah RM455 dengan berat lebih 10 kilogram.

"Saya enggan menuduh, namun musykil dengan tindakan menyelit ketulan timah itu pada sotong kering berkenaan. Saya mengesyaki ia mungkin sengaja dijahit bagi menipu berat sebenar sotong kering itu yang mungkin tidak mencecah nilai yang tertera," katanya.

Katanya, selepas ditimbang semula, berat sebenar sotong itu kira-kira lapan kilogram manakala berat ketulan batu yang ditemui dianggarkan dua kilogram.

Mohd Shukri berkata, dia bukan sahaja tertipu, malah terpaksa berbelanja lebih untuk membeli sotong tambahan untuk kenduri anaknya.

Sementara itu, Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima bagi mengenal pasti punca ketulan batu itu diselit pada sotong berkenaan.

"Kita akan menyiasat kes itu kerana berdasarkan maklumat kemungkinan wujud unsur penipuan timbangan bagi makanan kering yang dijual," katanya. -hm


Dasar Penjajah Pisahkan Politik Dengan Agama

Posted: 16 Sep 2011 09:03 PM PDT

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan bahawa perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah berteraskan Islam sekaligus menolak sebarang usaha yang bertujuan mematahkan agenda politik parti itu dengan menyekat ahli politik memberi tazkirah dan ucapan berunsur keagamaan.

"Bagi PAS, sememangnya teras perjuangan politik kita adalah Islam, lalu kita tidak memisahkan antara politik dan agama, bagaimana kami mahu pisahkannya, ahli politik tidak boleh menyebut pasal islam sedangkan PAS adalah parti Islam," katanya ketika dihubungi Tv Selangor, hari ini.

Khalid sebelum ini didakwa menyampaikan tazkirah tanpa tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Surau Taman Seri Sementa, Kapar Klang pada 16 Ogos lalu.

Namun menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu, beliau hanya menyampaikan ucapan Ramadan dan bukannya memberi tazkirah atau mengajar agama seperti yang didakwa.

Menurut Khalid, tindakan Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyimpulkan bahawa ucapannya sebagai melanggar enakmen 119(1) Jenayah Syariah Selangor 1995, iaitu mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan, tidak relevan dalam kes beliau.

Walau bagaimanapun jelasnya, insiden seperti ini mudah berlaku apabila badan-badan yang sepatutnya bebas seperti Jais dan Mais diperkudakan oleh pihak berkepentingan dalam kes ini seperti Umno.

"Ini memang perancangan yang ada pada Umno selama ini, mereka berusaha untuk pintas kerana selama ini kita berjaya bertemu dengan masyarakat di masjid dan surau, jemaah suka dan terus menjemput kita untuk terus berucap.

"Sememangnya ini usaha Umno menggunakan Jais dan Mais, dan inilah yang saya lawan dan tentang kerana saya sayangkan kedua-dua badan ini yang mana telah banyak berkhidmat untuk orang Islam dan kita tidak mahu ianya terus diperkuda oleh Umno untuk kepentingan politik mereka,"
jelasnya.

Tambah beliau, Umno menggunakan kuasa yang dimiliki mereka ke atas jabatan agama di Selangor untuk memisahkan politik dan agama yang menjadi kekuatan seteru politik mereka.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pengarah Jais, Tuan Haji Marzuki Hussin bertegas bahawa pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana ahli politik dari mana-mana parti untuk berceramah dan berpolitik sejajar dengan titah Sultan Selangor yang tidak mahu masjid dijadikan gelanggang politik.

"Ekoran daripada surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Istana, telah menyatakan bahawa ahli-ahli politik tidak dibenarkan untuk berceramah di masjid dan surau," ujar Marzuki.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media Jais berhubung penjelasan pemberian tauliah mengajar dan memberi ceramah bagi ahli politik di negeri Selangor, di bilik Mesyuarat Pateh Akhir Bangunan Jais, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Marzuki menjelaskan sekiranya ahli politik dipanggil untuk mana-mana upacara mahupun perasmian yang bertempat di masjid dan surau, maka ia haruslah dibuat di perkarangan premis tanpa ucapan berunsur politik dan lambang parti.

"Kita telah mengeluarkan surat edaran dan peraturan masjid, ianya hanya dibenarkan di luar perkarangan masjid tanpa sebarang lambang mana-mana parti politik, banner mahupun risalah politik dan ucapannya bebas dari unsur politik,"katanya.

Susulan daripada itu, pihak Jais tidak akan memperbaharui sijil tauliah kepada mana-mana ahli politik yang sebelum ini memiliki sijil tersebut daripada pihak Jais.

Sekurang-kurangnya Jais telah mengeluarkan 2,601 sijil tauliah seluruh Selangor setakat ini.

Daripada jumlah itu, kurang daripada 100 sijil sahaja dikeluarkan untuk ahli politik di Selangor.

Bagaimanapun pihaknya tidak mampu memantau semua pergerakan ahli politik yang berceramah tanpa tauliah kerana kekurangan penguatkuasa.

"Jais hanya ada lebih kurang 100 sahaja penguatkuasa jika mahu dibandingkan dengan jumlah masjid yang beribu dan ratusan surau di Selangor,"katanya lagi.

Selangor sekurang-kurangnya memiliki 2,081 masjid dan 380 surau.




Ulasan GB

Inilah yang UMNO warisi dari penjajah - pemisahan agama dengan politik.

Sekularisma yang ditinggalkan oleh penjajah yang berasaskan kepada doktrin "Render unto Caesar the things which are Caesar's, and unto God the things that are God's" (berikan hak Caesar kepada Caesar dan hak Tuhan kepada Tuhan) merupakan doktrin yang suci - maka dengan itu sewaktu penjajah menduduki Tanah Melayu, mereka menjadi pentadbir negara dengan tidak menyentuh hal-ehwal berkaitan agama.

Diujudkan Majlis Agama Islam di setiap negeri yang dengannya menyebabkan Islam bukan agama yang dijadikan tempat rujukan untuk memerintah neggara tetapi sebaliknya perlu tunduk dan patuh kepada keputusan pemerintah. Islam menjadi agama yang diperintah bukan agama yang memerintah. Itu kejayaan penjajah yang diwarisi UMNO saat ini.

Itu sebabnya di dalam UMNO, memang tidak ada nilai-nilai agama seperti pahala dan dosa. Untuk mendapat dan mempertahankan jawatan dan kuasa, boleh berbuat apa saja - berbunuh pun tak apa!

Zainal Kling Sudah Gigil, Kini Pusing Kata Kehadiran British Sebagai Penjajahan

Posted: 16 Sep 2011 06:40 PM PDT

Saya lihat kehadiran British sebagai penjajahan

"Ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain," kata Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Namun, jelasnya terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang), Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS.

Katanya, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'.

Menurutnya, pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu.

"Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar," ujarnya dalam tulisan yang diemel kepada Harakahdaily, petang ini.

Tambahnya, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan.

Oleh kerana itu, ujarnya para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah).

Katanya lagi, para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung).

"Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga," jelasnya.

Berikut tulisan penuh beliau.

YBhg. Saudara Editor Harakah Daily,

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Doa agar saudara dan rakan-rakan di Harakah sentiasa dalam barakah dan sihat sentosa.

Sukacita saya merujuk kepada penerbitan Harakah, Edisi Jumaat, 18-20 Syawal 1432 bersamaan 16-18 September 2011 berkaitan pelbagai berita, ulasan dan pandangan pada halaman N1, N2, N4, N11, N13, N14, F3, F4, F11, F17, N21, N26, N29, yang terdapat di dalam penerbitan pada hari itu.

Saya amat berterikasih dan syukur jika Saudara dapat menyiarkan petikan dari apa yang dirakam dan diedarkan dalam 'Kenyataan Akhbar' dalam persidangan media Majlis Profesor Negara pada Hari Jumaat September 2011 itu. Tujuannya sekadar menjelaskan dan memaklumkan catatan sebenar agar perselisihan pandangan mungkin dapat dibetulkan. Saya akan mengutip edaran Kenyataan Akhbar yang dimaksudkan itu.

Berkaitan isu Tanah Melayu ukan Koloni tetapi Naungan, Kenyataan Akhbar itu ditulis, antara lain, seperti berikut:

"Negeri-negteri Melayu (B- FMS- atau tidak Bersekut - UFMS) tidak pernah menjadi colony atau tanah jajahan British .... Tanah Melayu tidak pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk 'penjajahan' (colonialism)...Penilaian pengkaji sejarah kolonialsme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'Breach of trust' (R. Braddell) dan 'indirect rule' (R.Emerson)...Mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih (illegitimate)."

Dua perkara yang ditegaskan di situ. Pertama, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'. Pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara penbtadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu. Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan. Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah). Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung). Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga.

Dengan demikian, ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain. Namun terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) , Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS. Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah colony maka institusi raja itu terhapus begitu sahaja. Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah 'protectorate' maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini. Perbezaan 'tipis' (seperti kata Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana, kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang.

Diharap sedikit penjelasan ini dapat mengurangkan jurang pendapat yang telah muncul. Salam bahagia dan terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah.


Profesor Datuk Dr Zainal Kling.


Pemuda PAS buat laporan terhadap Zainal Kling

Pemuda PAS hari ini membuat laopran polis terhadap Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Professor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling berhubung kenyataannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

Ketua dewan itu Nasrudin Hassan berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.30 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi oleh setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Menurut salinan repot yang dihantar kepada media, Pemuda PAS mendakwa kenyataan itu mengganggu-gugat kestabilan dan mengelirukan masyarakat yang sekian lama diajar bahawa British penjajah.

"Kenyataan ini juga sekaligus menafikan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Dol Said, Rosli Dobi dan lain-lain," laporan itu dipetik.

Kenyataan ini juga sekali gus menafikan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Dol Said, Rosli Dobi dan lain-lain.

Pemuda PAS juga mengesyaki terdapat agenda tersembunyi yang dirancang pihak tertentu di sebalik kenyataan itu, bertujuan menggugat keharmonian dan mewujudkan kegusaran masyarakat bagi mengalih perhatian terhadap isu-isu lain, tambah pengadu.

Sayap kanan PAS itu menuntut Dr Zainal disiasat dan didakwa di mahkamah kerana didakwa jelas melakukan kesalahan bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Seskyen itu meliputi kesalahan mengeluarkan kenyataan atau berita menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam yang boleh mendorong dan/atau mengapikan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.

Pelajar IPT Sambut Merdeka Dengan Pesta Dadah Dan Seks

Posted: 16 Sep 2011 05:19 PM PDT

Pesta dadah, seks diserbu

ALOR GAJAH: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dari Selangor serta negeri ini antara 87 ditahan ketika menyertai parti liar membabitkan pengambilan dadah di sebuah banglo dua tingkat di sebuah resort di sini, yang disewa kononnya bagi meraikan sambutan Hari Malaysia, malam kelmarin.

Difahamkan ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri diketuai Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan JSJN negeri, Cif Inspektor Mohd Hisham A Rahman menyerbu banglo terbabit kira-kira jam 2.30 pagi, ramai peserta pesta itu berhibur dalam keadaan khayal.

Menurut sumber, dalam serbuan itu, polis menahan 87 orang termasuk 17 perempuan dan sebahagian daripada mereka pelajar IPT awam dan swasta berusia 18 hingga 35 tahun.

Katanya, ketika serbuan, ada antara mereka berada di kawasan kolam renang dan ruang tamu, manakala sebahagian lagi dalam tiga bilik di tingkat atas dan lebih mengejutkan ada peserta tidur berpelukan tanpa menyedari kehadiran polis.

Penyertaan untuk pesta 'private party' itu dikatakan percuma, tetapi jemputan melalui laman sosial, facebook dan SMS daripada kenalan masing-masing. Malah, ada antara peserta tidak mengenali antara satu sama lain.


DITAHAN...sebahagian remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.

Harian Metro difahamkan, banglo itu turut dilengkapi sistem audio yang dikendalikan seorang DJ yang dipercayai kenalan kepada penganjur pesta berusia 30-an bagi menghiburkan pengunjung mulai jam 10 malam.

Menurut sumber itu, beberapa peserta yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun gagal kerana banglo terbabit dikepung.

"Polis merampas dadah jenis syabu dan ganja dipercayai digunakan peserta," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke balai polis berdekatan untuk menjalani ujian air kencing dan hasilnya 15 suspek didapati positif dadah.

Seramai 19 suspek termasuk tujuh wanita ditahan kerana memiliki dadah manakala selebihnya dibebaskan tanpa syarat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Azmi Othman yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Difahamkan, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang wanita yang sudah bertunang didapati memiliki dadah, manakala tunangnya dibebaskan tanpa syarat.

Kebanyakan pelajar yang menyertai parti berkenaan berasal dari Johor, Kuala Lumpur, Perlis serta Terengganu dan mereka terdiri daripada pelajar IPT, mekanik, penganggur dan jurujual.

Difahamkan, ketika siasatan awal, peserta parti itu cuba menyembunyikan identiti penganjur yang didakwa berada di Ipoh, Perak.

Malah, serbuan dianggotai empat pegawai dan 14 anggota JSJN IPK negeri itu dilakukan selepas mendapat maklumat risikan sejak awal Jun lalu dan penganjur didapati menggunakan facebook untuk menjemput peserta.

Tinjauan Harian Metro di banglo terbabit mendapati ia dipenuhi botol minuman keras selain penemuan kondom di luar pekarangan banglo itu. -hm

Mansuh ISA: Apa Kata TG Nik Aziz?

Posted: 16 Sep 2011 04:00 PM PDT

PM mansuh ISA di saat terdesak – TG Nik Aziz

MACHANG, 16 Sept: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai langkah di saat-saat terdesak.

"ISA sepatutnya dihapus sejak lama dulu dan bukan di saat-saat terdesak seperti sekarang. Zaman komunis sudah lama berlalu, lagi pun tidak ada lagi fahaman komunis kecuali sekular di Malaysia.

"Sejak dahulu ISA telah membuat jenayah kepada alim ulama di Kelantan. Sebab itulah saya menyertai PAS kerana melihat pengkhianatan Umno terhadap alim ulama.

"Ulama PAS dikenakan ISA sedangkan kita ada mahkamah, hakim dan peguam," katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia di padang Majlis Daerah Machang di sini, hari ini.

Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan dan Hari Malaysia diserikan pelbagai persembahan antaranya kebudayaan melibatkan Melayu, India dan Cina.

Selain itu pertunjukan mempertahankan diri dan tempur tanpa senjata oleh Rejimen Askar Melayu Diraja yang memukau hadirin.

Perdana Menteri malam tadi mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Buang Negeri 1959 dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia.

"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," kata Najib.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, apa tujuan diwujudkan sistem kehakiman kalau rakyat disekat membela diri daripada tuduhan tertentu.

"Alim ulamak adalah golongan yang mengajar supaya manusia taat kepada Allah dan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dilarang Islam,"
tambah beliau.

Menurutnya juga Nabi Muhammad saw memerdekakan manusia daripada syaitan kepada mentaati Allah SWT seperti sering disebut dalam permulaan solat setiap hari.

Katanya, Nabi Muhammad saw ialah penganjur kemerdekaan yang sebenar di dunia, berjuang memerdekakan umat Islam daripada gangguan nafsu syaitan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap sebelum itu berkata, kedatangan Islam ke alam dunia membawa mesej dan sifat kemerdekaan bagi menyeru manusia membebaskan diri daripada belenggu jahiliah serta syirik.

"Konsep kemerdekaan komprehensif dilaksanakan di Kelantan melalui dasar 'Membangun Bersama Islam' iaitu mengemudi manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah SWT," katanya.

Beliau juga Pengerusi Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kekantan dan Sambutan Hari Malaysia.

Sambutan kali ini disertai 75 kontinjen jabatan-jabatan negeri dan persekutuan, badan-badan beruniform dan sekolah.

Sementara itu kontinjen terbaik dimenangi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI), naib johan UITM Machang, manakala tempat ketiga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Zainuddin Ibrahim anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan. -HD

Jika Berita Ini Benar, Pengerusi & Timb Pengerusi SPR Perlu Dibawa Ke Muka Pengadilan

Posted: 16 Sep 2011 08:20 AM PDT

PM Bangladesh akui rakyatnya dapat hak mengundi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi.

"Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini.

"Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan," katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.


Keratan laman web rasmi Pejabat PM Bangladesh

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas pengakuan Sheikh Hasina yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd - laman rasmi Hal Ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Mengikut laman itu, Sheikh Hasina berkata pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu
.

Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. -KD

Bicara Kes Khalwat Salim Parlan - Nur Diyana Diteruskan

Posted: 16 Sep 2011 06:09 AM PDT

Georgetown - Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan perbicaraan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, dengan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan, 30, diteruskan.

Salim dan Nur Diayana ditangkap di sebuah hotel tiga bintang di Batu Feringghi April lalu oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang sedang melakukan operasi pencegahan maksiat kira-kira jam 4 pagi.

Hakim Syarie, Mohammad Zamri Roslan membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie, Mohd Zulkhairi Aziz supaya semakan dan penggantungan yang dibuat mahkamah itu terhadap prosiding perbicaraan kes khalwat itu yang berjalan di mahkamah rendah dibatalkan.

Mohd Zulkhairi berkata, ia berikutan satu notis yang diterimanya daripada Salim pada 9 September lalu melalui peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang memaklumkan mereka sudah menarik balik semakan berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh serta peguam tidak hadir ke mahkamah semalam.

21 Jun lalu, Salim mengemukakan semakan itu setelah tidak berpuas hati keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya yang membenarkan perbicaraan kes khalwat diteruskan walaupun dia mempunyai kes lain di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Mohammad Zamri kemudian menetapkan semalam untuk mendengar hujahan Zainul Rijal dan Mohd Zulkhairi sebelum menentukan sama ada keputusan mahkamah rendah itu betul atau tidak mengikut undang-undang.

Beliau berkata, semakan yang ingin dibuat tertuduh ditarik balik dan dengan itu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk membatalkan semakan berkenaan.

Selain itu, mahkamah membenarkan permohonan mereka untuk membatalkan penggantungan yang dibuat oleh mahkamah ini terhadap prosiding perbicaraan di mahkamah rendah terhadap kedua-dua tertuduh.

"Oleh demikian, perbicaraan kes khalwat ini akan diteruskan," katanya.

Mohd Zulkhairi kemudiannya memaklumkan bahawa pihaknya akan menulis surat kepada Mahkamah Rendah Syariah dalam waktu terdekat bagi mendapatkan tarikh perbicaraan kes itu.

Salim yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana didakwa di bawah Seksyen 27 (b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Zainul Rijal ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghantar satu notis ke Mahkamah Rendah Syariah di sini untuk memaklumkan penarikan dirinya daripada menjadi peguam bela Salim.

"Saya tidak akan menjadi peguam belanya lagi. Notis pemberitahuan saya hantar ke mahkamah hari ini (semalam)," katanya. -SH

Mansuh ISA : Waspada Dengan Dua Akta Baru - Bekas Tahanan

Posted: 16 Sep 2011 04:51 AM PDT

Bekas Tahanan ISA yang dianggap subversif oleh Kerajaan Pusat menyambut baik pengumuman memansuhkan akta 'kejam' itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Bagaimanapun mereka memberi amaran agar berwaspada dan berhati- hati terutamanya dengan pengumuman dua lagi akta yang bakal digubal yang bakal menjadi 'alternatif' kepada ISA - Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang digunakan saban tahun untuk menahan tanpa bicara sesiapa sahaja mengikut perkenan Menteri Dalam Negeri.

ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim menyatakan kemungkinan Najib melakukan hal ini sekarang setelah 3 tahun mengambil alih jawatan Perdana Menteri adalah untuk memancing sokongan rakyat bagi Pilihan Raya Umum ke 13, yang boleh berlaku bila-bila masa dari sekarang.

"ISA telah digunakan berpuluh tahun untuk menunduk dan menganiaya mangsa. (Persoalannya) mengapa sekarang? Ini mungkin berkaitan Pilihan raya dan (Sokongan) Mungkin lemah. Beliau (Najib) nak dapat sokongan rakyat, kena buat sesuatu," kata beliau ketika ditemui TV Selangor semalam.

Pengumuman Najib memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 mengejutkan khayalak rakyat namun boleh dijangka lantaran khabar angin bertiup kencang sebelum ini menyatakan Najib bakal menarik kembali akta ini bagi meningkatkan populariti dan sokongan terhadap pentadbirannya.

Najib turut menyatakan kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Dr Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia ditahan selama 15 Bulan dibawah akta yang disifatkan beliau sebagai 'zalim' itu semala Operasi Lalang pada tahun 1987.

Dalam Operasi Lalang yang berlaku pada 27 Oktober 1987 itu, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan menyaksikan pembatalan dua akhabar harian dan dua akhbar mingguan.

Selain Dr Nasir, turut ditahan ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Suhaimi Said, Kua Kia Soong, Chandra Muzaffar, Ibrahim Ali dan Mohamed Fahmi Ibrahim.

Menurut beliau walaupun dimansuhkan, jentera yang digunakan untuk ISA masih boleh digunakan sebagai tujuan lain seperti penggunaan Ordinan Darurat terhadap 6 ahli PSM beberapa bulan lalu yang dianggap Dr Nasir sebagai tindakan ISA yang dinamakan di bawah undang-undang berlainan.

Justeru, beliau melahirkan kerisauan mengenai undang-undang baru yang dikatakan bakal menggantikan ISA serta meminta orang ramai mengkajinya terlebih dahulu.

"Apa yang kita risau ialah kerana mereka guna ISA dengan sempurna untuk memusnahkan musuh mereka, mereka akan ada alternatif..ini kontradiksi. Bermakna ia (hanya) wayang. Tidak ikhlas.

"Hanya kita berharap rakyat tak dipengaruhi gula-gula seperti ini. ISA, kena kaji adakah masih dijaga 'jentera-jentera' yang digunakan. Apa jenis (undang-undang) alternatif mereka ada. Adakah alternatif itu akan turut menganiaya rakyat?" kata beliau.

Seorang lagi bekas Tahanan ISA Hishammudin Rais mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai 'alternatif' kepada ISA yang bakal digubal kelak.

"Adakah ISA ini telah dimansuh keseluruhannya. Jika dimansuhkan keseluruhannya, ia keputusan baik, tanda proses pendemokrasian telah berlaku di Malaysia. Dan apakah satu lagi perundangan akan dibuat, kita akan bincangkan kemudian," kata beliau.

Hishammudin ditahan ISA dua kali, pertama pada 1994 dan kedua pada April 2001 atas tuduhan merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan dan keganasan.

Beliau mengajak rakyat melihat betapa suara mereka mampu didengari jika mereka bersatu menentang kezaliman.

"Kita juga harus memahami latar belakang yang melahirkan suasana ini, latar belakang ini ialah kerana ketika ini pimpinan UMNO lemah. Kerana kelemahan ini mereka perlukan sokongan. Ini tunjukkan rakyat kuat. Tuntutan mansuhkan ISA berjaya, tuntutan PPPA semua beraya. Ini tunjukkan rakyat kuat bila kerajaan lemah.

Sementara itu Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr Rohana Ariffin pula menyatakan betapa hal ini merupakan pencapaian positif yang patut dibanggakan golongan pembangkang dan progresif yang telah sedaya upaya menentang akta ini.

"Pemansuhan ISA satu tindakan positif dan ini bermakna tiap-tiap orang itu akan dapat pembelaan jika dituduh subversif. Tapi di sini, ada pula undang-undang baru seperti di England dan seterusnya seperti Anti Terrorist Act. Ini juga akan beri kuasa kepada Kerajaan. Pemansuhan ISA telah lama diperjuang golongan Pembangkang dan Progresif di Malaysia. Dan ini merupakan satu pencapaian positif kepada rakyat Malaysia," kata beliau. -tvsnews



Ada Penagih Gila Di Kulim, Berbogel Depan Jiran

Posted: 16 Sep 2011 03:05 AM PDT

Kulim Di Kulim Ad- Akibat menghidu gam keterlaluan, seorang lelaki berusia 20-an bertindak agresif dengan memanjat pagar rumah jirannya di Taman Selasih dengan hanya memakai seluar dalam kira-kira jam 6.30 petang, semalam.

Perbuatannya itu dilihat mangsa dan menjerit kerana ketakutan.

Suspek kemudiannya melarikan diri masuk ke rumahnya yang terletak di hadapan rumah mangsa.

Apabila mangsa melihat gelagat suspek, lelaki itu kemudiannya menanggalkan seluarnya. Mangsa yang ketakutan kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, beliau sudah mengarahkan ahli PPKM yang berada di tempat kejadian ke rumah mangsa sebaik sahaja dimaklumkan.

"Ini adalah kes pertama berlaku di Taman Selasih, di mana seorang lelaki penghidu gam berkelakuan agresif sehingga membuka seluar di hadapan jirannya.

"Suspek ditahan PPKM kira-kira jam 9 malam dan akan diserahkan kepada polis," katanya.

Menurutnya, sehingga kini masih ramai dalam kalangan penduduk tidak mengetahui fungsi PPKM dan beranggapan tindakan yang dilakukan adalah keputusan sendiri.

Katanya, setiap kejadian jenayah berlaku, PPKM akan memaklumkan kepada polis dan atas arahan mereka, maka PPKM akan memberikan bantuan.

Kenyataan ahli PPKM bersikap kasar pada penjenayah juga adalah tidak benar.

"PPKM tidak pernah bersikap kasar terhadap mana-mana penjenayah walaupun mereka memang bersalah. Kami tidak dibekalkan dengan sebarang senjata ketika bertugas melainkan alat perhubungan.

"Saya hairan ada kumpulan yang tidak menyenangi kewujudan PPKM, tetapi mereka tidak mengambil inisiatif melakukan kebajikan sepertimana dilakukan PPKM. PPKM merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan aktif dalam membasmi perlakuan jenayah di Kulim," katanya. -SH

Tiada ulasan: