Ahad, 18 September 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Dear Najib Razak (sila baca dengan loghat utara)

Posted: 18 Sep 2011 01:27 AM PDT

Mamu dengan rasa rendah diri menulis warkah ini untuk tatapan tuan Perdana Menteri, dan juga sebagai rekod bahawa apabila sejarah negara ini berdepan dengan perubahan, Mamu telah turut bersuara dan memberikan pandangan. Mamu berharap agar warkah yang tidak seberapa ini boleh diambil sebagai iktibar untuk kemaslahatan kita bersama.

Terlebih dahulu Mamu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya kepada tuan Perdana Menteri, memandangkan haritu Mamu tak berkelapangan nak pi makan briyani di Permatang Pauh. Hujan lebat, Mamu semput, tak tahan sejuk. Maka ucapan maaf zahir batin Mamu titipkan untuk Tuan Perdana Menteri, isteri tercinta dan anak-pinak sekalian. Semoga Tuhan menerima amal ibadat kita semua di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu.

Najib, my dear;


Mamu telah menonton pengumuman besar yang telah dibuat pada malam ambang sambutan Hari Malaysia, yang telah disiarkan secara langsung di media arus perdana. Mulanya Mamu tak berapa berkenan nak tengok, memandangkan media arus perdana mempunyai reputasi yang agak buruk. Namun menyedari bahawa amanat daripada pihak Perdana Menteri perlu ditekuni, maka Mamu pun pi lah duduk depan televisyen, sambil-sambil mengadap twitter, menantikan analisa dan komen secara langsung oleh penduduk Twitterjaya.

Secara am, Mamu ingin mengucapkan tahniah seraya berkata, "Syabbashh mere betey!" sambil menepuk tengah belakang, kepada Tuan Perdana Menteri atas keberanian menongkah arus mengambil langkah berisiko tinggi untuk menyatakan apa yang telah dinyatakan dalam ucapan tersebut. Mamu melihat wajah Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri kelihatan begitu riang gembira. Mamu tumpang berbangga dengan keberanian yang telah dipertontonkan dengan mengenepikan sekalian juak-juak yang begitu lantang menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri. Mamu sangat berharap untuk mendengar respon mereka yang dahulu begitu terkinja-kinja melaungkan slogan pro ISA, dan melabel pakatan pembangkang sebagai pengkhianat dan punya agenda menjual negara. Tidak dilupakan juga label komunis dan sosialis yang diberikan kepada mereka yang berjuang untuk memansuhkan ISA sejak dulu.

Tuan Perdana Menteri,

Akta Keselamatan Dalam Negeri sudah berusia 51 tahun sejak 1 Ogos 1960. ISA telah digunakan secara meluas untuk menutup mulut sekalian ahli politik yang bersilang arah dengan ideologi dan kebijakan kerajaan sekian lama. Kita tidak lupa Ops Lalang 1987 yang telah menyaksikan ratusan ahli politik ditahan tanpa bicara hanya kerana melontarkan ide politik yang berbeza selera dengan kerajaan.

Kita juga telah melihat dan membaca tulisan mereka yang ditahan di Kamunting, perihal penyeksaan dan pelanggaran hak asasi manusia yang telah diterima. Mamu masih ingat tulisan Dr Syed Husin Ali di dalam bukunya 'Dua Wajah' tentang penderaan yang (didakwa) dilakukan terhadap para tahanan. Kecut perut Mamu apabila membaca cerita tersebut. Itu belum lagi mengambil kira kisah Malik Husin yang ditahan ISA sewaktu Reformasi 1998. Bagaimana kemaluannya (didakwa) ditusuk dengan dawai besi. Trauma beliau berbulan, apabila terdengar bunyi gemerincing jambak kunci.

Justeru, Mamu yakin bahawa Tuan Perdana Menteri juga setuju bahawa ISA adalah akta zalim, yang telah digunakan untuk menutup mulut dan mengurung mereka yang berani bertingkah dengan ego kerajaan tanpa perlu melalui lunas undang-undang normal, seperti yang termaktub dalam Perkara 5, Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga halnya dengan Ordinan Darurat, yang tanpa pengetahuan ramai, masih lagi terpakai sehingga ke hari ini. Paling kelakar, Ordinan ini turut digunakan untuk menangkap dan mengurung mereka yang mencuri motorsikal atau paling tidak disyaki mencuri motorsikal. Kemudian dari itu boleh pula diperas ugut keluarganya agar membayar sejumlah wang sebelum dibebaskan anak remaja yang ditahan tanpa bicara itu.

Mamu agak-agak, benda yang dipanggil Ordinan Darurat ini, digunakan khas untuk mengawal aktiviti subversif gerila komunis, di zaman Darurat 1948; yang sehingga hari ini ramai juga tidak tahu kenapa ia disebut 'Darurat' menentang komunis, dan bukannya 'Perang' terhadap komunis. Barangkali pihak insuran tidak akan membayar pampasan untuk sebarang kerugian dalam pelaburan pihak British pada waktu itu, kalau Malaya diisytihar kawasan perang. Mungkinlah. Mamu mana lah tau.

Justeru, Mamu menyambut baik cadangan pihak Tuan Perdana Menteri untuk memansuhkan perkara-perkara drakonian ini, yang telah sekian lama diperjuangkan oleh badan-badan seperti SUARAM, Gerakan Mansuhkan ISA dan juga pihak-pihak dalam parti-parti pembangkang. Nyatanya, UMNO selama ini, tidak pernah pun kedengaran sebarang usaha atau niat untuk memansuhkan ISA. Apatah lagi untuk membatalkan perisytiharan darurat. UMNO, pada pandangan Mamu, pastilah suka bila ia mempunyai suatu aparat atau alat untuk mengurung pihak lawan yang berani menentang tanpa perlu pun diseret mereka itu ke muka pengadilan.

Maka tahniah untuk Perdana Menteri kerana berani melanggar adat, dan mendengar suara rakyat, serta tunduk patuh kepada kehendak hati nurani rakyat yang telah sekian lama berteriak dengan air mata darah memohon serta merayu supaya akta-akta drakonian ini dimansuhkan, dan orang tersayang yang terkurung di Kamunting dibebaskan. Terima kasih banyak kerana memberi harapan baru dan rasa menang di hati sekalian pejuang hak asasi manusia.

Namun begitu, Mamu sedikit kecil hati kerana Tuan Perdana Menteri tidak sekali pun menyebut atau memberi kredit kepada mereka yang selama ini berhempas pulas menuntut keadilan ditegakkan dan akta zalim ISA ditongsampahkan. Mungkin Perdana Menteri berasa bahawa hati nurani sendirilah yang memujuk agar undang-undang ini dihapuskan. Mungkin Perdana Menteri segan untuk mengakui bahawa tindakan dan cadangan untuk memansuh ISA ini adalah hasil daripada tekanan dan desakan rakyat jelata yang telah turun ke jalan raya dan mendesak perubahan. Mungkin Perdana Menteri tidak ingin mengulangi episod malam 8 Mac 2008, ketika Barisan Nasional terpana dan terdiam dengan tindakan rakyat menafikan dua pertiga dewan, dan memberikan kemenangan kepada pakatan pembangkang di lima buah negeri.

Ayuhai Perdana Menteri,

Mamu melihat gelagat Tuan Perdana Menteri berucap dengan penuh tekun. Dari warna tali leher, sehingga postur badan pun, Mamu ambil kira untuk menyukat keikhlasan dan kejujuran yang cuba dipertontonkan kepada khalayak umum. Satu perkara yang harus disebut ialah, teleprompter itu sedikit tinggi, dan Najib telah tidak berjaya menggunakan benda alah itu dengan penuh gaya. Hanya Tun Mahathir sahaja setakat ini yang berjaya menggunakan benda itu dengan bergaya seolah-olah beliau tidak langsung membaca teks.

Tuan Perdana Menteri kelihatan begitu kekok dan tertekan. Bahasa badan yang dipertunjukkan memperlihatkan bahawa ayat-ayat yang diucapkan tidak langsung di'raptai' mahupun ditulis sendiri secara ikhlas. Mamu paham, Najib sibuk. Pastilah ada tukang tulis yang membuat kaji selidik tentang maqasid syariah segala, untuk dimuatkan ke dalam ucapan itu. Gaya dan bahasa badan yang begitu kekok dan kaku, telah gagal menarik minat Mamu untuk percaya atau menaruh harapan tinggi kepada isi kandungan ucapan Perdana Menteri.

Dan kemudian, tali leher itu. Kenapalah warna jingga yang dipilih? Mungkin ini terlalu remeh, tetapi memandangkan pihak pakatan pembangkang telah terlebih dahulu mengumumkan kempen Buku Jingga mereka yang antara lain mengandungi agenda memansuhkan ISA dan undang-undang tahan tanpa bicara; maka pemilihan warna tali leher agak lucu dan seakan ironik. Sama keadaannya seperti Ratu Elizabeth memakai baju kuning tatkala menyambut Tuan Perdana Menteri ketika musim perhimpunan Bersih 2.0. Ya, kami telah menonton video dan gambar tragedi tersebut. Wajah Ratu Elizabeth begitu sarkastik. Seolah-oleh mengulang sorak teriak mat saleh di Downing Street, 'Kuning, kuning; Najib pening'.

Walaubagaimanapun, Mamu tetap positif dengan pengumuman yang telah dibuat. Walaupun Mamu turut sedar bahawa ucapan tersebut mempunyai beberapa kaveat atau ayat-ayat manis yang mungkin tidak dapat ditangkap dengan sekali dengar. Maka kelihatanlah di garis masa Twitterjaya, beberapa komen yang membuatkan Mamu geli hati, rupa-rupanya ada udang di sebalik kuey tiaw.

Pengumuman Tuan Perdana Menteri antara lain menyebut tentang niat untuk mengusulkan di Parlimen agar ISA dimansuhkan, namun tidak berapa dapat ditangkap niat untuk memperkenalkan undang-undang baru yang masih lagi bersifat preventif. Sekali dengar, bunyi macam esok juga Kamunting itu tutup, dan tahanannya lepas bebas begitu sahaja. Hakikatnya jauh berbeza. Prosedur untuk memansuhkan undang-undang tersebut akan tetap mengambil masa untuk dibentangkan pula alternatifnya, yang masih lagi belum nampak bayang rupa mahupun konsepnya. Sebelum ISA mahu dimansuh, penggantinya harus digubal dahulu. Maka ISA mansuh dengan peng'gazet'an undang-undang baru. Bukankah begitu?

Itu belum lagi mengambil kira kesan sosial yang telah diakibatkan oleh ISA terhadap masyarakat khususnya bekas tahanan. Mamu menanti di sepanjang ucapan, kalau-kalau ada ucap minta maaf kepada mereka yang telah dizalimi akta itu. Kalau-kalau tahanan politik seperti enam orang ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditangkap bawah Ordinan Darurat tempoh hari akan menerima sejambak bunga, bakul berisi kuih muih dan sekeping kad dengan gambar anak kucing comel menyatakan permohonan maaf dari kerajaan Malaysia kerana menjadikan mereka mangsa undang-undang yang melanggar hak asasi. Pegawai-pegawai imigresen yang tempoh hari begitu gembira memuji ISA juga pastilah akan berasa sedih dengan langkah Tuan Perdana Menteri. Mereka juga wajar menerima bakul hadiah atas tindakan yang telah diambil terhadap mereka.

Perdana Menteri yang saya sayangi,

Mamu melihat, ucapan tersebut sebagai ucapan 'public-relations'. Tidak ada sebarang kesan legislatif atau undang-undang yang lahir daripada ucapan tersebut. Sekadar menabur janji politik sepertimana yang biasa dilakukan oleh sekalian ahli politik yang biasanya akan berusaha sedaya upaya untuk kekal berkuasa. Mamu amat memahami keadaan politik Tuan Perdana Menteri sehingga sanggup berucap sedemikian di saat banyak perkara di Malaysia ini dilihat bermasalah.

Malang bagi Perdana Menteri, rakyat tidak muda lupa dengan masalah-masalah yang melanda negara ini. Bahkan, pada tengah malam 16 September 2011, sebuah video nasihat awam telah dilancarkan yang menyeru rakyat supaya mengundi, membuat pilihan bijak, demi mengubati negara yang sedang dilanda masalah. Ucaptamanya dibacakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau sendiri menyebut bahawa negara kita punyai banyak masalah. Rakyat tidak boleh dan tidak akan lupa akan masalah-masalah ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya yang begitu hebat, tidak menyentuh masalah-masalah yang menular di kalangan hamba rakyat, marhaen lagi terpinggir. Rakyat barangkali berharap, sepertimana Mamu juga turut berharap, bahawa akan ada pengumuman dari pihak Perdana Menteri tentang masalah-masalah kami itu yang sering dipaparkan oleh media alternatif.
Antara perkara-perkara yang tidak disentuh atau mungkin bakal disentuh ialah, sistem elektoral, daftar plilihanraya yang kotor, korupsi dan integriti, komisyen Scorpene di mahkamah Perancis, skandal Altantuya, harga barang, subsidi petrol, subsidi gula, GST, cukai prepaid 6%, Akta Universiti dan Kolej Universiti, politik perkauman, politik ketakutan, ekstremis kaum, defisit belanjawan, bebanan tol, gaji minima, gaji munasabah, pengundi warga asing, hak berhimpun tanpa diganasi pihak polis, salah laku polis, keganasan polis, rasuah polis, isu murtad, isu kesedaran agama, akhlak terpuji, sekularisme di masjid-masjid, pentadbiran wang zakat, skandal PKFZ, undi pos tentera, penipuan dan rasuah pilihanraya, pengundi hantu, bil elektrik rumah Perdana Menteri, bil air rumah Perdana Menteri yang seakan punya akuarium buat bela ikan paus, PPSMI, isu Malaya tidak pernah dijajah dan beberapa lagi isu yang masih lagi tidak terjawab mahupun dapat diselesaikan dengan sekadar menyebut niat untuk memansuhkan beberapa akta drakonian.

Perdana Menteri,

Rakyat tidak mudah lupa. Namun terima kasihlah untuk usaha murni yang cuba ditunjukkan untuk memenangi hati rakyat.

Rakyat berharap ada tindakan tangkas dari pihak Perdana Menteri untuk melakukan cabinet reshuffle memandangkan dinosaur-dinosaur yang ada sekarang tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru ini nanti. Mungkin Dato Saifuddin Abdullah seorang sahaja yang mampu bertahan dan tersenyum.

Sebelum Mamu mengakhiri warkah ini, izinkan Mamu berpesan sedikit kepada Tuan Perdana Menteri, seperti mana Hosni Mubarak pernah dinasihati oleh Sheikh Al-Sha'rawi suatu ketika dahulu. Videonya boleh di'acces' di Youtube. Beliau berpesan bahawa kekuasaan itu berada di tangan Allah, dan Dia beri kepada siapa sahaja yang Dia mahu. Maka janganlah berkejar kearahnya, dan janganlah berkonspirasi jahat demi mencapainya. Di zaman Nabi Ibrahim, Raja Namrud juga diberikan kuasa oleh Allah, seperti yang termaktub di dalam Al-Quran. Manusia merancang, Allah juga merancang. Maka pada ketikanya Tuan Perdana Menteri menguasi kami, moga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada tuan. Namun apabila ketikanya kami menguasi Tuan, moga Allah membantu Tuan dalam menghadapi kami.

Kirim salam kepada sekalian ahli keluarga, moga mereka semua sihat sejahtera.

Tiadalah lagi yang mampu dilakukan selain berpesan-pesan kepada kebaikan.

Oleh Mamu Tanjung

Dipetik dari anwaribrahinblog



Mansuh ISA - Pakatan Rakyat Bukan Rakyat Negara Ini Ke??

Posted: 18 Sep 2011 01:23 AM PDT

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuh bukan kerana tuntutan Pakatan Rakyat, sebaliknya bagi mendengar luahan hari rakyat.

"Hairan saya, (angggota) Pakatan Rakyat bukan rakyatkah?" soalnya yang juga menteri besar Kelantan.

Najib semalam dilapor menegaskan, keputusan memansuhkan ISA dibuat kerajaan BN mendengar isi hati rakyat yang inginkan perubahan sedemikian.


Justeru, katanya, jangan ada pihak yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman itu hasil perjuangan mereka.

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Nik Aziz berkata, baginya perkara baik tidak salah untuk ditiru.

"Bukankah Rasulullah SAW memerintahkan supaya mengambil apa jua hikmah (kebijaksanaan) di mana saja ia ditemui?" katanya.

Dalam perutusan Hari Malaysia beliau pada Khamis lepas, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Najib menjelaskan keputusan itu selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan perdana menteri dua tahun lepas.



Belit.. Jangan Tak Belit..

Posted: 17 Sep 2011 11:28 PM PDT

Muhyiddin nafi Putrajaya beri pekerja Bangladesh kerakyatan, hak mengundi

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dengan keras dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi pekerja-pekerja Bangladesh status kerakyatan penuh bagi membolehkan mereka mengundi memihak perikatan itu pada pilihan raya umum ke-13.

"Ia tidak benar. Saya tidak tahu sama ada sumber (maklumat) itu benar atau tidak, tetapi sangat jelas (ia) sesuatu yang tidak betul," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Makkal Sakti hari ini.

Katanya, kerajaan menguatkuaskaan prosedur yang ketat apabila mempertimbangkan status kewarganegaraan kepada rakyat asing dan oleh itu, tiada pertimbangan istimewa diberikan kepada rakyat Bangladesh.


Muhyiddin juga berkata BN tidak begitu terdesak untuk mendapatkan undi rakyat Bangladesh dalam pilihan raya umum akan datang.

"Meskipun mereka mengundi, apabila ia dimasukkan ke dalam peti undi, tidak siapa yang tahu siapa yang mereka akan mengundi," kata Timbalan Pengerusi BN ini.

Sehubungan itu kata Muhyiddin, kerajaan akan mendapatkan penjelasan daripada Kedutaan Malaysia di Bangladesh berhubung isu terbaru ini.

Dalam laporan dibawa oleh Keadilan Daily kelmarin, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya yang bekerja di Malaysia mudah memperoleh status kewarganegaraan dan layak mengundi.

"Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini. Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan," kata Fuziah yang juha Ahli Parlimen Kuantan memetik pengakuan Sheikh Hasina, yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd — laman rasmi hal ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Maklumat laman itu mendakwa Sheikh Hasina berkata pekerja-pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu.

Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam reaksinya semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan itu sebagai sesuatu yang serius.

"Ini satu dakwaan yang serius. Saya minta rakan-rakan agar membantu menentukan kesahihan kenyataan itu sama ada benar atau tidak," kata beliau.

Laporan itu muncul ketika pembangkang membuat siri dakwaan bahawa rakyat asing yang bekerja di negara ini mudah mendapat taraf kerakyatan dengan syarat mengundi kerajaan Bn dalam pilihan raya umum.

Malah ia juga dikaitkan dengan langkah urusan pemutihan warga asing di negara ini yang berakhir akhir bulan lalu.



Selangor Anti Islam Ke??

Posted: 17 Sep 2011 11:20 PM PDT

Halang Ahli Politik Beri Kuliah Agama, Tindakan Tidak Masuk Akal

SHAH ALAM 18 SEPT : Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman menegaskan tindakan menghalang mana-aman ahli politik dan wakil rakyat daripada menyampaikan kuliah agama di masjid mahupun surau adalah langkah "tidak masuk akal."

"Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung," katanya.

Dr Rani yang juga ADUN Meru itu berkata, beliau kesal dan tidak berpuas hati kerana tauliahnya untuk mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah ditarik balik.


Khamis lalu, Pengarah Jais Marzuki Hussin dipetik berkata ahli politik tidak lagi diberi tauliah untuk berceramah di semua 2,081 surau dan 380 masjid di seluruh Selangor.

"Mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah sebelum ini tidak boleh memperbaharuinya sebaik ia tamat dan mereka tidak lagi dibenarkan memberikan ceramah di semua surau dan masjid di negeri ini," kata Marzuki.

Marzuki berkata, larangan terhadap ahli politik itu adalah bagi mematuhi titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat pekeliling bertarikh 22 Jun lalu.

Menurutnya lagi, Sultan Selangor tidak berkenan untuk memberikan tauliah kepada semua ahli politik untuk berceramah di semua surau dan masjid di seluruh Selangor.

Dr Rani yang dilantik sebagai ketua PAS negeri Jun lalu menambah, pentauliahan diadakan bagi mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang tidak dikenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

"Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.

"Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki," tambah beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Dr Rani memberitahu, sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.

Katanya, jika dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di surau mahupun masjid, malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.

"Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah Jais hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.

"Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau," tambah Dr Rani.

Beliau juga menjelaskan, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.

"Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.

"Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong," kata wakil rakyat penggal pertama ini.



Klip Seks - Umno Terbelit Dengan Fitnah Ciptaan Sendiri

Posted: 17 Sep 2011 06:21 PM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan tindakan menyiarkan satu lagi sedutan klip, menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan lif apartmen lokasi didakwa melanggani pelacur asing, sebagai perbuatan terdesak Umno-BN berterusan dan terancang dengan bantuan pihak berkuasa.

Naib Presiden PKR N Surendran berkata, pihaknya yakin tindakan sedemikian akan dipertingkatkan ketika pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sambil menegaskan orang ramai sudah bosan dengan perbuatan sedemikian, peguam ini menambah, beliau yakin Umno-BN akan meneruskan serangan sedemikian selepas ini.


"Saya hendak sebutkan dengan ringkas ... ini kerja terdesak musuh politik Datuk Seri Anwar, mereka merancang dan adakan klip-klip rekaan, dan saya yakin setiap bulan akan ada terbitan macam ini ... ini dilakukan oleh Umno-BN, dengan kerjasama pihak berkuasa, saya berani untuk mengatakan yang ini," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

"Sebagaimana kami katakan sejak timbulnya klip rakaman sebelum ini, dalam dunia teknologi yang canggih pada masa sekarang, bukan sukar untuk mengadakan bahan-bahan macam ... saya yakin mereka akan terus dengan perbuatan mereka sehingga pilihan raya," kata beliau yang turut mengakui bahawa warna pakaian dikenakan oleh ahli perniagaan Datuk Shahzryl Eskay Abdullah dalam video yang dipertontonkan pada Mac lalu dan disebarkan menerusi Internet kemudian berbeza dengan dalam sedutan klip terbaru dilihat semalam.

"Ya, kedua-duanya jauh berbeza ... ini sudah cukup untuk mengatakan bahawa ada unsur rekaan dan manipulasi, yang penting untuk dikatakan di sini ialah pihak terbabit mereka cipta bahan macam ini," katanya lagi sambil menambah, biar rakyat menilai perbuatan mereka.

Kata beliau, musuh politik seharusnya berani untuk berhadapan isu-isu dasar daripada menggunakan taktik dan serangan macam ini.

Selepas mendedahkan klip rakaman video seks, didakwa pelakunya Anwar awal tahun ini, semalam blog pro-Umno menyiarkan sedutan klip menunjukkan Ketua Pembangkang itu memasuki lif premis lokasi kejadian.

Sedutan yang dibawa blog papagomo menunjukkan Anwar memasuki lif sebuah apartmen dengan diiringi Shahzryl Eskay, dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ia menunjukkan Anwar memakai baju ungu dan berselipar manakala Shahzryl Eskay sut berwarna hitam.

Dua sedutan klip dimuatkan iaitu masing-masing satu ketika masuk ke dalam lif dengan Anwar di depan dan satu lagi ketika keluar dari lif. Ketika keluar lif, Shahzryl Eskay berada di depan.

Butiran pada sedutan itu menunjukkan mereka masuk ke dalam lif pada pukul 10.09 malam dan keluar pada pukul 10.52 malam, 21 Februari lalu.

Tarikh itu sama dengan tarikh kejadian hubungan seks dengan pelacur dari China didakwa diadakan, yang didedahkan oleh "Datuk T" pada 21 Mac lalu.

Sedutan ini berwarna manakala klip rakaman yang didedahkan pada 21 Mac lalu pula berwarna hitam. Sedutan klip rakaman hitam putih telah pun didedahkan kepada umum melalui blog-blog Umno sebelum ini.

Kata blog papagomo, "rakaman yang mana dirakam oleh CCTV dengan warna jelas dan muka Anwar juga jelas kelihatan. Waktu rakaman juga selari dengan apa yang dilakukan oleh Dato Seri Anwar bersama pelacur China tersebut."

Blog itu juga mendakwa waktu yang dicatatkan pada video seks tersebut seiring

dengan rakaman CCTV yang menunjukkan Anwar masuk ke dalam lif dan kemudian keluar.

"Malah sebelum ini juga kita semua telah didedahkan dengan kehilangan Datu Seri Anwar Ibrahim dalam Twitter dan Facebook waktu hubungan seks tersebut berjalan," kata blog tersebut.

Anwar sebelum ini telah menafikan 'kehilangan' yang dimaksudkan dan beliau juga bukan lelaki yang didakwa dalam video itu.

Beliau membuat laporan polis pada 22 Mac lalu iaitu sehari selepas Shahzryl Eskay mendedahkan klip rakaman itu.

Shahzryl dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim - mengelar diri mereka "Datuk T'mengaku bertanggungjawab atas tindakan mendedahkan klip itu kepada wakil media terpilih pada 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara.

Pada 24 Jun, trio "Datuk T" itu mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks Mac lalu dan dikenakan denda total RM5,500.



Bala Allah Telah Turun Di Melaka

Posted: 17 Sep 2011 06:13 PM PDT

Sekolah Mengandung Ali Ketam Perlukan Dana Tambahan

ALOR GAJAH - Seramai 34 orang ditahan kerana kesalahan dadah dalam satu parti persendirian di sebuah banglo di sebuah resort terkemuka di sini, awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Md Azmi Othman berkata, serbuan kira-kira 2.30 pagi itu membabitkan empat pegawai dan 14 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik, Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka yang diketuai oleh Cif Inspektor Mohd Hisham A.Rahman.

Beliau berkata 87 orang terdiri daripada 70 lelaki dan 17 perempuan yang berumur antara 18 dan 35 tahun diperiksa dalam serbuan tersebut.


"Menerusi pemeriksaan yang dilakukan, sembilan orang iaitu lima lelaki dan empat perempuan didapati memiliki syabu beramai-ramai dalam sebuah bilik," katanya ketika dihubungi Bernama.

Md Azmi berkata tujuh lelaki dan tiga perempuan turut ditahan kerana memiliki ganja dalam sebuah bilik lain.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, 12 lelaki ditahan kerana didapati positif ganja, dua lelaki positif ecstacy dan seorang perempuan positif syabu.

Katanya semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Alor Gajah sementara menunggu perintah tahanan reman.- Bernama



Anwar Kena Sahut Cabaran Najib Untuk Berdebat

Posted: 17 Sep 2011 07:57 AM PDT

SELEPAS mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan dan beberapa akta dan undang-undang lain akan dikaji yang boleh disifatkan satu langkah berani Najib Razak, hari ini dia menunjukkan satu lagi keberanian apabila mengatakan tidak gentar dengan Anwar Ibrahim.

Katanya dia sedia berhadapan untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim ala-ala pemilihan presiden. Perdebatan itu berasaskan dan ruang demokrasi yang sedia ada.

Saya rasa bukan saja saya gembira dengan perkembangan ini tetapi orang lain juga. Saya tidak mahu soal siapa akan menang dalam perdebatan ini tetapi kalau peristiwa itu berlaku ia merupakan satu lagi perubahan politik di negara ini. Ia juga satu sejarah yang dicatat di era Najib selaku Perdana Menteri.


Sepatutnya semua pemimpin parti berdebat di antara satu sama lain mempertahankan hujah masing-masing dan dalam masa sama cuba menyakinkan rakyat dengan apa yang mereka hendak lakukan. Dalam perdebatan itu mereka boleh membantah agenda parti yang menjadi lawan mereka.

Sudah sampai masanya pendekatan politik dengan menyerang atau memiankan isu peribadi yang meloyakan dihentikan. Pendekatan dan stail politik demikian tidak membangunkan mida rakyat.

Selama ini ahli politik kita banyak menyerang seseorang dengan isu-isu peribadi yang meloyakkan tetapi bukan idea dan wawasan di antara satu lain. Negara sudah merdeka selama 54 tahun, elok kalau pendekatan secara profesional seperti debat itu dilaksanakan. Apa yang menjadi amalan Amerika Syarikat sewaktu hendak memilih presiden mereka diambil sebagai contoh.

Untuk tujuan itu biarlah rakyat mendengar dan membuat kajian. Selepas masing-masing membentang ageda untuk membangun negara serahkan kepada rakyat membuat pilihan. Berikan kebebasan akal dan fikiran kepada rakyat dan jangan tekan dan paksa rakyat dengan berbagai tektik yang busuk.

Kalau pun dalam perdebatan itu Najib ditakdir kalah, ia tetap akan dianggap satu keberanian dan seorang politik yang profesional. Najib tidak perlu merasa gerun dan menghadapi kekalahan kerana Anwar seorang yang cekap dan pintar memutar hujah. Rakyat selaku pengadil akan dapat membuat penialaian yang rasional.

Sebaliknya kalau dalam perdebatan itu kalau Najib dapat mengemukakan wawasan dan ideanya untuk membangun negara yang lebih baik, praktikal dan dapat diterima rakyat maka Najib akan disanjung oleh rakyat negara ini. Jangan takut kepada kekalahan kalau kalah dijalan yang benar atau landasan yang benar. Tidak guna menang tetapi kalau kemenangan itu di atas jalan yang palsu dan salah ia tidak memberi apa-apa makna.

Rakyat Malaysia marilahkan kita berdoa semoga jadi perdebatan di antara Najib dengan Anwar. Najib pula kalau selepas ini Anwar menyahut terimalah jangan berdolah dalih, terima saja. Apapun kenyatan dan cabaran Najib itu sedang dinilai oleh umum. Najib tidak akan dapat berdolak dalih selepas ini kecualilah sebelum tiba hari perdebatan itu Anwar dikirimkan ke penjara. Mungkin itu dijadikan alasan.

Mungkin juga Najib sudah tahu 'usia kebebasan' Anwar tidak berapa panjang kerana minggu depan perbicaraan Anwar dalam kes liwat sudah ke penghujungnya. Kalau begitu, ah Mat Maslan tahulah apakah natijah dan tektik Najib itu. Selamat. [wm.kl.9:00 pm 17/09/11] - mso



24 jam selepas pendedahan, pengakuan PM Bangladesh dipadam

Posted: 17 Sep 2011 05:36 AM PDT

KUALA LUMPUR: Laman web yang memapar pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi, dipadamkan hari ini.

Semakan Keadilan Daily pada jam 7 malam ini mendapati laman itu tertera: No item to show (tiada paparan kandungan) tetapi tiada alasan diberi. (Untuk lihat paparan halaman depan, klik ini)

Cetakan (print screen) semalam yang kini dipadamkan

Semalam, portal ini mendapati Sheikh Hasina dilapor berkata pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.


Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu, selain diberi hak mengundi.

Berikutan itu, Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan berkenaan.

"Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini.

"Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan," katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=20443



Najib: Saya tak takut hadapi Anwar Ibrahim

Posted: 17 Sep 2011 05:15 AM PDT

SHAH ALAM, 17 Sept — Hanya dua hari selepas mengumumkan pembaharuan beberapa undang-undang termasuk mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) — langkah dilihat bertujuan mengekang pengaruh Pakatan Rakyat — Datuk Seri Najib Razak hari ini mengisytiharkan beliau tidak takut untuk menghadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata sementara Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen dengan parti lebih penting daripada orang perseorangan, beliau tidak keberatan jika perlu berhadapan dengan Ketua Pembangkang itu dalam mana-mana debat ala pemilihan presiden.

"Saya tidak takut dengan Anwar Ibrahim," kata Najib ketika berucap menutup Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini petang ini.


Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib yang juga Pengerusi BN mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Terdahulu Najib berkata, inisiatif untuk memansuhkan ISA adalah keputusan dibuat kerajaan BN dan bukan perjuangan mana-mana pihak lain.

Justeru Perdana Menteri mengingatkan jangan ada pihak atau individu yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman beliau untuk memansuhkan ISA itu adalah hasil perjuangan mereka.



Fitnah Terbodoh Blogger Umno Muncul Kembali..

Posted: 17 Sep 2011 04:31 AM PDT

Kantoi: Pakaian Anwar Dalam Video Seks II Tak Sama Dengan Video Seks I

Saga video seks Datuk T muncul semula di Internet hari ini ekoran muat-naik rakaman CCTV yang dikatakan menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat berlaku aksi seks, serta ancaman penyiasaran seks video baru bertarikh 13 Januari 2011.

Penulis blog Papa Gomo menyiarkan apa yang disebutnya, rakaman "eksklusif" yang menunjukkan dua lelaki yang didakwa ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Anwar, masuk dan keluar lif bangunan Apartmen Ampang, yang dikatakan tempat berlaku aksi seks tersebut.


Dalam blog tersebut, klip rakaman itu disunting untuk memautkan rakaman CCTV itu dengan video seks di Carcosa, yang menunjukkan minit-minit akhir lelaki, yang dikatakan Anwar, mengenakan pakaian dan beredar, dengan tanda masa yang menunjukkan ianya urutan peristiwa tersebut.

Bagaimanapun, pakaian kedua-dua lelaki dalam CCTV itu, tidak kelihatan sepadan dengan kedua-dua lelaki yang ditunjukkan dalam video seks berkenaan.

Dalam CCTV itu, lelaki yang dikatakan Eskay memakai pakaian yang berwarna gelap, manakala dalam video seks, lelaki yang ditunjukkan, berbaju dan berseluar cerah (kanan).

Lelaki itu yang dikatakan Anwar juga berseluar gelap dalam rakaman CCTV itu, tetapi seluar dalam video seks itu kelihatan cerah.

Rakaman CCTV itu sebelumnya disebut dalam fakta kes apabila Eskay dan dua orang lagi anggota trio 'Datuk T' dihadapkan di mahkamah atas tuduhan menyiarkan video lucah itu Jun lalu. -mk



Di Kelantan Sambutan Hari Malaysia Disabotaj Oleh Pengarah Pelajaran Yang Bodoh

Posted: 17 Sep 2011 02:58 AM PDT

Machang 17 Sep: Konsep 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri kini dianggap semakin malap apabila diskriminasi agensi-agensi kerajaan pusat terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat semakin menjadi-jadi.

Terbaru terbukti semalam apabila sebanyak 20 kontinjen yang mewakili sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran difahamkan diarah menarik diri di saat-saat akhir bagi menyertai perbarisan sempena Hari Malaysia.

Sebelum ini akhbar Harakah mendedahkan Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang dilaporkan secara terang-terangan meminta guru-guru dan keluarga mengundi BN pada pilihan raya umum akan datang.


Permintaan dibuat ketika beliau berucap pada majlis makan colek di Gua Musang dan beberapa tempat lain pada Ramadan lalu.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perbarisan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia sepatutnya turut disertai kontijen dari sekolah di bawah Jabatan Pelajaran.

Katanya, biar pun difahamkan 20 kontinjen dari sekolah terbabit menarik diri di saat-saat akhir, namun kemeriahan sambutan ulangtahun merdeka tetap terasa apabila 75 kontinjen lain mengambil bahagian.

"Sebelum ini beberapa program kerajaan negeri yang melibatkan portfolio penerangan disabotaj pihak tertentu dengan menyekat pelajar sekolah kementerian daripada turut serta.

"Perbuatan tersebut seolah-olah menggambarkan hari kemerdekaan hanya milik Umno, sedangkan majlis sambutan diadakan serentak di seluruh negara.

"Kami kesal terhadap tindakan tidak profesional tersebut kerana ia tidak mencerminkan semangat 1Malaysia seperti dilaungkan Perdana Menteri," katanya di sini semalam.

Dr Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi berkata, sebagai rakyat yang cintakan tanah air, sepatutnya tidak ada pihak cuba menggagalkan program sambutan Hari Merdeka di Kelantan.

Oleh itu beliau berharap semua pihak perlu memerdekakan diri daripada kongkongan kefahaman politik sempit kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak yang cuba menggagalkan sambutan ulangtahun kemerdekaan di sini.

"Mereka seperti tidak ada semangat kemerdekaan. Sedangkan sambutan ini dibuat dengan kerjasama erat kerajaan negeri dan pusat," katanya.



Nama lain tapi ‘maksudnya’ ISA – Anwar

Posted: 17 Sep 2011 02:45 AM PDT

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu ghairah dengan pengumuman mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana undang-undang baru bakal menyusul.

Ketua Pembangkang itu berkata, langkah Datuk Seri Najib Razak itu wajar dibimbangi kerana Perdana Menteri bakal menggantikan akta yang sama dengan nama berbeza.

"Langkah Najib membatalkan ISA, kita alu-alukan, cuma kita harus waspada sebab pembatalan itu berlapik kerana Najib akan perkenalkan dua undang-undang baru dan tidak diketahui secara terperinci.


"Menteri Dalam Negeri (KDN) mengatakan dia akan kaji undang-undang sedia ada yang ada dalam negara lain, maknanya mungkin perkenal beberapa cara tahanan tanpa bicara.

"Kalau ada undang-undang baru, mempertahankan prinsip yang sama, namanya mungkin lain tapi maksudnya ISA," katanya pada sidang media di ibu pejabat hari ini.

Pada 15 September lalu, Najib yang terdesak untuk mengekalkan kuasa akibat tekanan pembangkan dan puak dalaman Umno membuat pengumuman untuk memansuhkan ISA yang akan diganti dengan dua akta baru tetapi tidak memberi perincian.

Anwar berkata, dua akta baru itu tidak akan mengubah sistem autokrasi yang sedia ada, malah meneruskan amalan penindasan terhadap rakyat.

"Bahayanya kerana undang-undang baru yang akan diperkenalkan dan ini hanya satu sudut sistem penindasan autokrasi ada.

"Kita minta batalkan ISA, timbulkan suasana yang lebih lunak menghormati prinsip demokrasi, maka ia harus ada ruang yang lebih terbuka," kata Ketua Umum KEADILAN itu.

Berkaitan isu sama, Anwar menyebut tanpa menghalang pihak lain menuntut ganti rugi, tidak akan menuntut pampasan walaupun dua kali tahan mengikut ISA.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=2043



Rupanya Hasan Ali Bawak Geng Untuk Sertai UMNO

Posted: 17 Sep 2011 01:06 AM PDT


Baca selanjutnya disini





Tiada ulasan: