Selasa, 6 September 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Mat Indera Popularkan Mat Sabu

Posted: 05 Sep 2011 11:25 PM PDT

SHAH ALAM 6 SEPT : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Mat Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menganggap pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dikenakan ke atasnya berhubung isu Mat Indera tidak sama sekali menjejas kedudukannya dalam bidang politik, sebaliknya lebih meningkatkan popularitinya.

Menurut beliau, sejak isu Mat Indera yang disifatkannnya sebagai pejuang sebenar kemerdekaan, beliau menerima pertambahan sokongan dari kalangan blogger yang menyokong pendiriannya itu.

Menyentuh mengenai gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein agar sesiapa yang merasa tersinggung dengan kenyataan Mat Sabu berhubung tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong lebih 60 tahun lalu, Mat Sabu berkata, beliau sedia menerimanya.


" Tak ada masalah, kalau mereka nak saman itu hak mereka, kita pun sudah menawarkan peguam untuk mereka kalau mereka nak tuntut pampasan dari kerajaan British. Kita sanggup menyediakan peguam.

"Ada peguam yang sanggup membela mereka tuntut pampasan daripada kerajaan British , mereka dulu bukan dalam kerajaan Malaya, kerajaan British,"katanya kepada Tv Selangor.

Hishamuddin semalam berkata, tindakan saman di mahkamah mungkin antara yang boleh dilakukan oleh pihak yang tersinggung terutamanya anggota keluarga pejuang kemerdekaan negara serta persatuan-persatuan bekas polis.

"Saya rasa pihak yang berkepentingan perlu mengambil tindakan kerana kadangkala nak tunggu siasatan dari pihak polis dan Peguam Negara mengambil masa.

"Ramai yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu, dan saya sendiri sebagai cucu Datuk Onn (Jaafar) terasa terhadap dakwaan-dakwaan yang berunsur politik, tapi ada had dan batasan dalam nak politikkan sesuatu. lebih-lebih lagi bila ianya bersandarkan kepada sejarah," katanya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu, muka tujuh Utusan Malaysia hari ini turut menyiarkan berita bertajuk "Persatuan Bekas Polis Malaysia Kuantan labelkan Mat Sabu sebagai komunis era baru".

Mengulas laporan akhbar itu, Mat Sabu menerimanya dengan hati terbuka dan sekali lagi menegaskan, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

Bahkan katanya, PAS sendiri pernah dicop sebagai komunis oleh mantan Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

" Mereka cop (PAS), tak ada masalah, Tuan Guru Bakar Bakir dulupun dicop komunis. Dr Burhanudin mereka tuduh komunis. Itu bukan perkara baru,ulang siaran daripada British,"tambah beliau.

Menyentuh soal debat berhubung isu ini, Mat Sabu berkata, beliau hanya mahu berdebat dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya pun tak tau kalau (saya kena) debat dengan Khairy (sebab) selama ini Khairy bukannya maki saya,tetapi yang maki saya Timbalan Perdana Menteri, kalau nak debat pun biarlah dengan dia,"tambah beliau lagi.

Ujarnya, Umno kini menggali lubang sendiri dan akhirnya akan memakan diri sendiri dalam usaha menguburkan karier politiknua.

" Makan diri.. mereka sedang gali lubang. Macam dalam kes Mat Indera dia telah kalah. Mat Indera diiktiraf sebagai pejuang oleh negeri Johor.

" Memanglah, Umno itu pengampu British. Orang menghentam British duduk dalam penjara, orang Umno tidak dipenjarakan kerana dia pengampu,"katanya lagi. - tvs


Fitnah Mamak Umno P. Pinang Gagal

Posted: 05 Sep 2011 09:31 PM PDT

Hentikan fitnah, pembangkang digesa tunjuk kesemua resit perubatan Mat Sabu

GEORGETOWN – Pihak pembangkang Pulau Pinang dinasihatkan supaya menghentikan fitnah ke atas kerajaan negeri serta digesa mendedahkan kesemua resit pembayaran kos perubatan Mohamad bin Sabu yang dikeluarkan oleh Hospital KPJ Selangor, kata Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian sebagai respons pada fitnah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas Datuk Seri reezal Merican bin Naina Merican kononnya kerajaan negeri bersubahat dengan Mohamad menyeleweng lebih RM3,000 dana Perbadanan Bekalan Air (PBA).

"Sebenarnya ada dua resit, tapi dia (Reezal) hanya tunjuk satu resit sahaja sebab berhati busuk…saya yakin ini semua telah diatur (dan) ini semua fitnah (pihak pembangkang)," ujar beliau.


Berdasarkan kedua-dua resit berkenaan (lihat gambar di bawah) , kos hospitaliti keseluruhannya sebanyak RM5,060.54. Manakala kos perubatan dan konsultansi berjumlah RM3373.50.

Jumlah keseluruhan kos perubatan Mohamad yang juga Ahli Lembaga PBA adalah berjumlah RM8,434.05.

Lim berkata, Reezal tidak wajar menuduh Mohamad menyeleweng dana PBA kerana transaksi pembayaran perubatan Mohamad melibatkan PBA dan Hospital KPJ Selangor sahaja.

Bercakap dalam sidang akhbar yang sama, Pengurus Besar PBA Ir Jaseni Maidinsa pula berkata, pihaknya wajar berlaku profesional membiayai kos perubatan ahli lembaga pengarahnya.

Ditambah dengan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PBA yang dijadualkan pada 19 Ogos lepas, beliau berkata pihaknya wajar melakukan tanggungjawab korporat kepada Mohamad.

"Inilah keprihatinan kami (PBA), inilah 'manfaat perubatan'. Ini adalah keputusan korporat.

"Sesetengah syarikat korporat ada yang menghantar ahli lembaganya pergi bercuti, tetapi ini tidak berlaku (dalam PBA)," ujar beliau.

Sambil menegaskan bahawa PBA tidak pernah menyeleweng dana rakyat, beliau berkata manfaat yang disumbangkan kepada Mohamad adalah rekod pertama bagi tahun ini.

Beliau turut menjelaskan mengenai status sebenar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu yang sengaja dicetuskan oleh pihak pembangkang.

"Tidak ada sebarang siasatan ke atas saya. Sebab itu, mereka (SPRM) datang ke pejabat kami (PBA). Kalau tidak (jika saya disiasat), saya ke pejabat mereka," ujar beliau lagi.

Lim dalam reaksi spontan turut mengalu-alukan SPRM untuk mengesahkan kedua-dua resit pembayaran yang didedahkan oleh Hospital KPJ Selangor dengan kerjasama PBA.

Pada 9 Julai lepas, Mohamad mendakwa kenderaan polis melanggarnya sehingga mengalami kecederaan serius di bahagian lutut.

Dalam pembedahan di Hospital KPJ Selangor, lututnya menerima skru sepanjang 2.5 inci.

[Caption: Resit perubatan yang didedahkan oleh pembangkang]


[Caption: Resit perubatan yang seakan cuba disembunyikan oleh pembangkang]


notamerah.wordpress.com



Bukan Dengan Beruk Tapi Muhyiddin.. Ada Brani??

Posted: 05 Sep 2011 08:16 PM PDT

Debat: PAS pusat sokong Mat Sabu hanya mahu jumpa No 2 Umno

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Kepimpinan pusat PAS mempertahankan pendirian Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang memutuskan untuk berdebat dengan pemimpin yang setaraf dengan kedudukanya dari Umno, bukan dengan Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin.

"Ya, kami sokong pendirian Mat Sabu (Mohamad). PAS mencadangkan... kita lihat peringkat parti, jadi timbalan presiden berdebat dengan timbalan presiden, yang sama jawatan dalam parti," kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi The Malaysian Insider mengenai isu debat dan wacana yang muncul di sebalik kenyataan kontroversi mengenai tragedi Bukit Kepong.

"Saya melihat kalau timbalan presiden bertemu dengan timbalan presiden baru kuat," katanya lagi.


Tuan Ibrahim (gambar) berkata kemungkinan itu sebabnya Mohamad juga memutuskan untuk memberitahu bahawa biar Pemuda PAS yang mengambil tindakan susulan apabila Khairy dilaporkan menerima tawaran berdebat anjuran kerajaan negeri Kelantan.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam, Muhamad berkata beliau hanya bersedia berdebat dengan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan kontroversi berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong dan gesaan agar fakta sejarah diteliti semula.

Ekoran perkembangan itu, Khairy pula mengecam Mohamad sebagai seorang pemimpin politik "bacul dan tiada bermaruah" kerana tidak sanggup bertemu dengannya.

Menerusi media sosial Twitter berterusan hari ini dengan Khairy menegaskan, "yang pasti, saya sedar hari ini PAS pilih Timbalan Presiden yang bacul dan tiada maruah. Takut sebab salah. Tewas sebelum tempur."

Dalam satu lagi mesej Twitter, Khairy yang pernah muncul di pentas dengan Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa, yang juga Exco Kerajaan Kelantan beberapa tahun lalu berkata, "sekurang-kurangnya Husam 'anak jantan'. Ini Mat Sabu... dengan Ketua Pemuda Umno sudah lari. Adakah ini timbalan presiden yang anda pilih? Malu."

Mohamad yang lebih dikenali "Mat Sabu" berkata "Timbalan Presiden Umno, OK" - apabila ditanya sama ada bersedia berdebat dengan Muhyiddin yang juga anak jati Johor. Muhyiddin juga timbalan perdana menteri dan bekas menteri besar Johor.

Ditanya di mana lokasi debat itu boleh diadakan, Mohamad hanya menjawab: "Terserah."

Khairy seterusnya berkata biar sejarah akan menunjukkan beliau telah menerima jemputan untuk mengupas isu semasa ini, tetapi ditolak oleh Mohamad.

"Jadi, biarlah rekod sejarah jelas. Saya setuju dengan jemputan kerajaan PAS Kelantan lawan Mat Sabu. Tapi dia takut dan lari. Jangan putar sejarah ini," katanya lagi.

Semalam, Dewan Pemuda PAS pusat juga melahirkan hasrat mahu berdebat dengan Pemuda Umno berhubung kenyataan kontroversi Mohamad Sabu, yang menyentuh tragedi Bukit Kepong selain mahu sejarah kemerdekaan negara ditulis semula.

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan berkata, pihaknya bersedia bila-bila masa untuk berdebat demi mencari kebenaran sebenar kemerdekaan negara.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia pada bila-bila masa untuk menyertai debat ilmiah dengan Pemuda Umno demi sebuah kebenaran dan masa depan yang diasaskan oleh pembacaan sejarah yang betul dan benar.

"Debat ini bukan bertujuan untuk mencetus persengketaan walau melibatkan Pemuda PAS dan Pemuda Umno, tetapi bermaksud membedah sejarah, mencari ketulenan peristiwa yang pernah berlaku dalam sejarah kemerdekaan negara tercinta," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan kelmarin, Tuan Ibrahim berkata pihaknya bersedia untuk berbahas dengan Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan fakta sejarah negara — yang kini menjadi senjata terbaru parti Melayu itu untuk menyerang kepimpinan Mohamad.

Tuan Ibrahim berkata, ramai pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah termasuk Muhammad Indera atau Mat Indera, salah seorang yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong.

Mengulas mengenai perkembangan sejak dua hari lalu ini, Tuan Ibrahim berkata, apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri Kelantan adalah perkara berbeza daripada apa yang diambil oleh PAS.

"Usaha kami di peringkat PAS lebih bersifat wacana. Kami memanjangkan kepada Umno... kepada Ketua Penerangan Umno, untuk mengadakan wacana atau perbincangan mengenai fakta sejarah," katanya.

Tambah beliau, surat pelawaan kemungkinan dikeluarkan minggu depan selepas mengadakan satu perbincangan di peringkat PAS pusat hari ini.

"Jawatankuasa khas mengadakan mesyuarat hari ini. Salah satu perkara yang akan dibincangkan ialah perkara ini. Jadi, kami akan memutuskan perkara ini... kemungkinan surat akan dikeluarkan minggu depan," katanya.


Pelbagai versi status Mat Indera

Posted: 05 Sep 2011 08:09 PM PDT

Pelbagai rekod menunjukkan versi berbeza tentang status dan aliran perjuangan penyerang balai polis Bukit Kepong Muhammad Indera, kata penyunting buku biografi tokoh pejuang Johor Prof Datuk Abu Bakar A Hamid.

Sehubungan itu, penyunting buku Pengukir Nama Johor itu berkata beliau tidak pasti sama ada pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) itu seorang pejuang atau komunis.

Abu Bakar mencadangkan supaya ahli akademik supaya terus membuat kajian berhubung perkara itu kerana banyak tulisan lain lagi memaparkan bentuk penulisan yang sama.


Oleh itu, beliau yang juga karyawan Tamu di Universiti Malaya (UM) menasihatkan agar ahli politik tidak mempolitikkan perkara itu.

"Isu ini belum selesai, saya meminta orang politik tidak mempolitikkannya. Serahkan kepada ahli akademik buat penyelidikan, (walaupun) akan ada dua pendapat sama ada menyokong (sebagai wira) atau tidak.

"Isu ini dibangkitkan oleh orang-orang politik, (sehingga) jadi heboh tak tentu pasal. Buktikan (berdasarkan) penyelidikan," ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

Menurutnya lagi, berdasarkan rencana dalam Pengukir Nama Johor oleh Ismail Adnan, Muhammad Indera atau lebih dikenali sebagai Mat Indera bukan komunis.

Katanya, hasil penyelidikan Ismail menyebut Mat Indera seorang Islam yang kuat beragama, termasuk menghafal al-Quran, maka "tidak mungkin beliau menjadi seorang komunis".

"Itu garis yang diambil Ismail Adnan," katanya sambil menambah Mat Indera juga pernah menjadi penolong guru besar di Sekolah Agama Parit Setongkat di Muar sekitar tahun 1940-an.

Ayah Abu Bakar merupakan guru besar di sekolah tersebut pada waktu itu dan mengenali Mat Indera secara dekat.

Bagaimanapun, satu lagi tulisan dalam buku tersebut - diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada 2004 - menyifatkan Mat Indera seorang komunis.

Abu Bakar berkata, dalam buku lain pula seperti biografi bekas pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD merakamkan Mat Indera sebagai komunis kerana menanggotai satu platun dalam PKM.

"Itu kata dia (Abdullah CD)... Masing-masing buat penyelidikan dan tulis tentang hasil penyelidikan itu. Orang politik tak payah masuk campur soal ini," katanya lagi. - mkini


Misi Somalia Putera 1 Malaysia Yang Malang

Posted: 05 Sep 2011 06:05 PM PDT

Kematian saudara Noramfaizul, seorang jurugambar Bernama ketika menyertai misi bantuan di Somalia menjadi satu lagi berita hangat di seluruh negara. Seperti biasa setiap kali berlakunya kemalangan yang meragut nyawa maka berduyun-duyunlah kenyataan demi kenyataan dikeluarkan mengulas kejadian yang berlaku.

Kelemahan perancangan dan pelaksanaan misi didedahkan satu demi persatu. Ayat-ayat seperti sepatutnya mereka perlu buat itu dan ini akan mula kedengaran. Kegiatan mencari salah siapa mula bergerak aktif mencari mangsanya.

Orang itu tak buat ini dan orang ini tak buat itu akan diulang-ulang sehingggalah ke suatu masa yang isu tersebut menjadi sejuk. Akhirnya tiada satu bendapun berjalan, dan semua orang diam kembali menantikan satu lagi kemalangan meragut nyawa berlaku untuk memulakan kembali kegiatan mencari kelemahan.


* Patutkah ia dipolitikkan - secara asasnya isu ini memang telah menjadi isu politik sejak hari pertama Kelab Putera 1 Malaysia ditubuhkan kerana ia ada kaitan dengan Umno dan ketuanya merupakan salah seorang pemimpin Umno yang sedang mencari tapak bagi menaikkan dirinya semula. Oleh itu tidak hairanlah ia menjadi isu politik dan akan terus begitu sampai bila-bila. Kebaikan akan dijulang Umno dan keburukan akan dibelasah pembangkang.

* Patutkah kita menyesali apa yang berlaku - sudah tentu semua orang kesal setiap kali ada keburukan berlaku. Tapi yang paling baik sekali adalah mengkaji kelemahan dan memperbaikinya untuk masa yang mendatang. Setiap keburukan didatangkan berpasang dengan kebaikan. Keburukan yang datang membuatkan kita menganalisa dan memperbaiki diri yang mana akhirnya timbullah kebaikan.

* Perlukah kita saman Putera 1 Malaysia - Itu eloklah diserahkan kepada waris serta keluarga si mati yang lebih layak membuat keputusan samada untuk saman atau tidak. Tak payahlah kita hendak mencucuk dan menjadi tukang bisik kecuali jika diminta waris si mati akan pandangan kita.

* Perlukah Putera 1 Malaysia menganjurkan lagi misi seperti itu - Kegiatan kebaikan tidak sepatutnya dihalang oleh sesiapapun. Niat melakukan kebaikan samada untuk menunjuk-nunjuk tak ada siapa yang dapat membacanya. Adakalanya menunjuk-nunjuk kebaikan dengan niat mengajak orang lain ikut, bukanlah menjadi satu kesalahan. Cuma cara perlaksanaannya perlu dikaji semula apabila ia melibatkan misi yang bahaya yang bukan menjadi kepakaran kelab itu mengendalikannya. Menggunakan agensi yang lebih pakar seperti Medicine Sans Frontiers adalah lebih bijak.

* Misi yang seperti mana sesuai untuk Putera 1 Malaysia - Mereka lebih sesuai melakukan misi menyelamatkan kerosakan moral remaja serta menjadi agen pencari remaja yang lari dari rumah.Tapi terlebih dulu pastikan moral para ahlinya hebat untuk dijadikan contoh ikutan. Misi meronda sekeliling negara mencari rumah orang miskin yang hampir roboh untuk dibantu juga amat sesuai dan tidak bahaya.

Dipetik dari sini


Balu 'PEJUANG' Bukit Kepong Tunggu Pencen Sampai Tua

Posted: 05 Sep 2011 04:21 PM PDT

Sharifah Aminah Syed Ali, 83, balu kepada seorang anggota polis yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong selepas berlakunya tragedi serangan komunis, memohon supaya dipertimbangkan untuk menerima pencen suaminya yang meninggal dunia semasa bertugas di Balai Polis Kulim pada 1962.

Sharifah Aminah, yang kematian suami Syed Omar Syed Yasin hampir 50 tahun lepas, memohon agar dipertimbangkan bayaran pencen kerana sepanjang kematian suaminya, dia tidak pernah menerima imbuhan itu.

"Selepas kematian suami, tok hanya menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800 dan selepas itu dah tak dapat apa-apa duit dah. Duit pencen pun tak dapat juga sampai hari ini," katanya dipetik Bernama Online.

Dia berkata bahawa selepas berkahwin dengan Syed Omar, mereka menetap di Kota Tinggi, kemudian berhijrah ke Johor Baru sebelum ditukarkan ke Bukit Kepong.

"Masa mula-mula sampai di Bukit Kepong, rusuhan memang sudah reda tetapi keadaan masa itu sangat menakutkan. Selepas 6 petang, kami perlu tutup semua pintu dan tingkap dan tidak boleh keluar rumah. Nak ambil air dari telaga (perigi) pun tak boleh sebab komunis humban mayat-mayat dalam telaga.

"Kami terpaksa menggunakan air Sungai Bukit Kepong untuk kegunaan seharian," kata Sharifah Aminah.

Katanya, dia terkilan kerana pengorbanan suaminya yang manggunakan nombor pengenalan polis 10568 semasa berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia, tidak dihargai.

Suami beliau, yang ketika itu berusia dalam 40-an, meninggal dunia setelah terjatuh basikal ketika dalam perjalanan ke balai.

"Tok bukannya nak minta banyak tetapisekurang-kurangnya dapat pencen suami kerana dia meninggal pun semasa bertugas. Sekurang-kurangnya duit tu boleh tok guna untuk tanggung kos rawatan kira-kira RM500 sebulan," kata Sharifah Aminah yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit tulang belakang yang menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Sharifah Aminah berkata kehidupannya susah selepas suaminya meninggal dunia kerana dia terpaksa mengambil upah menjahit baju untuk menyara enam orang anaknya yang masih kecil.

"Kini semua kos rawatan dan kos sara hidup ditanggung oleh menantu saya yang menerima pencen RM400 sebulan. Dia pun susah sebab kena tanggung anak yang cacat. La ni (sekarang) dia berniaga surat khabar dan nasi lemak bagi menambah pendapatan untuk tanggung kami sekeluarga," kata Sharifah Aminah yang tinggal bersama anak, menantu dan cucunya di Taman Nakishah, Jalan Datuk Kumbar di sini.


Tiada ulasan: