Ahad, 7 Ogos 2011

shalehudin

shalehudin


Maut dibaham beruang kutub

Posted: 07 Aug 2011 11:00 AM PDT

BEBERAPA petugas penyelamat mengangkut bangkai beruang kutub yang membunuh seorang remaja Britain.

KEPULAUAN SVALBARD, Norway - Seorang remaja lelaki, Horatio Chappleon, 17, mati dibaham beruang kutub ketika dia tidur di khemahnya di sebuah glasier di sini, dekat Norway, lapor sebuah akhbar semalam.

Beruang berbulu putih dan bertaring panjang itu menyerang sekumpulan peserta kembara Britain pada Khamis lalu dan turut mencederakan empat yang lain.

Seorang saksi, Terry Flinders berkata, semasa kejadian anak lelakinya, Patrick, 16, sedang berbaring di khemahnya apabila beruang lapar itu menyerbu masuk dan menggigit kepala Horatio yang tidur di sebelahnya lalu membunuh mangsa.

Horatio Chappleon

"Ia kemudian menerkam Patrick. Anak saya menumbuk hidung beruang kutub itu untuk menyelamatkan diri. Dia sempat berlari ke keluar khemah tetapi mengalami kecederaan di kepala dan tangan akibat dicakar," kata Terry.

Tiga lagi mangsa serangan beruang lapar itu berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di sebuah hospital berdekatan.

Binatang buas itu akhirnya ditembak mati oleh anggota kumpulan pelancong berkenaan.

Mereka kemudian menghubungi pihak berkuasa yang tiba di lokasi dengan menaiki sebuah helikopter tidak lama kemudian.

Beberapa hari sebelum kejadian, seorang peserta kembara itu memberitahu, mereka termasuk Horatio berasa gembira apabila ternampak seekor beruang kutub tidak jauh dari tapak perkhemahan mereka.

Mangsa-mangsa terselamat berkata, kejadian berlaku kerana sistem kawat penggera di keliling tapak perkhemahan tersebut gagal berfungsi.

Sistem itu sepatutnya melepaskan letupan bunga api ke udara untuk menakutkan beruang kutub yang tersadung kawat dawai berkenaan.

Terdapat sekitar 27,000 ekor beruang kutub di dunia dengan 60 peratus haiwan itu tinggal di Kanada.

Beruang kutub yang berbulu putih turut ditemui di Alaska, Rusia, Greenland dan Norway. - Agensi

Sekoq ikan RM 7,560

Posted: 07 Aug 2011 09:00 AM PDT

Kerapu gergasi 168kg dijual RM7,560

GERGASI. Lapan nelayan terpaksa memerah keringat untuk menaikkan ikan kerapu sepanjang dua meter dan berat 168 kilogram sewaktu ia masuk ke dalam pukat di perairan Teluk Bahang, Pulau Pinang kelmarin.

Ikan itu kemudian dijual oleh peniaga, Tan Kah Seng di pasar Lebuh Cecil, George Town semalam kepada pemilik restoran, Che Kean Ghee dengan harga RM7,560. - Bernama

Tragedi tanah runtuh di Tanah Rata

Posted: 07 Aug 2011 08:00 AM PDT

Seorang maut, ramai terperangkap dalam tanah runtuh di Tanah Rata

CAMERON HIGHLANDS: Lima rumah di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Tanah Rata di sini, ditimbus tanah runtuh dalam kejadian jam 5.45 petang tadi.

Sumber polis mengesahkan setakat ini satu mayat ditemui manakala dua lagi cedera dan kini dirawat di Hospital Hajah Kalsom, Tanah Rata.

Dipercayai lebih ramai mangsa terperangkap berikutan tiga daripada lima rumah berkenaan ditimbus sepenuhnya dan nasib penghuninya belum diketahui.

Pasukan penyelamat kini bertungkus lumus mencari mangsa.

Hang ni cari pasai ngan sapa Hassan oiii...

Posted: 07 Aug 2011 07:00 AM PDT

Hasan Tidak Patut Jinakan Diri Dengan Utusan
Oleh Mohd Sayuti Omar

HARI ini ada dua berita yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia (MM) yang saya merasakan penyiarannya bermotif politik yang sangat jelas, bukan atas semangat kebebasan bersuara ataupun menempati prinsip-prinsip journalisme. Dua berita itu ialah, penegasan Exco Selangor Hasan Ali yang mengatakan dia rela dipecat demi kepentingan akidah umat Islam. Berita berkenaan disiarkan di muka hadapan di jadikan headline dengan judul "Saya rela dipecat."

Berita kedua di sebelah dalam mengenai kenyataan Timbalan Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Antara lain berita itu melaporkan Nik Abdul menggesa supaya pemimpin Islam sepakat dalam isu akidah. Berita itu dibawah tajuk "Pemimpin Melayu perlu bersatu dalam isu akidah."

Kalau dibaca kepada tajuk laporan itu tidak menyeleweng ia merupakan pendirian dan sikap yang terpuji dan hasanah. Misalnya Hasan sedia untuk dipecat oleh parti dan juga digugurkan dari jawatan Exco kerana tindakannya itu. Ini bermakna beliau yakin dengan apa yang dilakukan. Laporan itu juga memberi gambaran Hasan adalah hero dalam membela Islam di Selangor.

Saya setuju atas ketegasan dan tanggungjawab Hasan. Sesiapa pun dan pada bila-bila masa tidak boleh bertolak ansur dalam soal agama atau akidah. Bila ada unsur cuba merosakkan keimanan orang Islam ia hendaklah diperangi habis-habisan. Apa lagi kalau orang itu mempunyai kuasa. Dalam konteks ini peranan dan tanggungjawab menjaga kesucian agama lebih penting dari menjaga kuasa politik.

Benar begitu. Kerana Allah dan Nabi menuntut menjaga kesucian dan maruah itu. Tahap penjagaan bukan saja setakat kena pecat dari jawatan hatta walaupun terpaksa menggadai nyawa sekalipun. Kerana mati di dalam agama adalah amti syahid. Kebanyakan para tabin dan sahabat Rasulullah s.a.w. syahid kerana mempertahankan kesucian agama Islam. Dan semua kita merindui syurga akhirat.

Bagaimana pun di sini satu perkara yang Hasan kena fikirkan dan orang lain juga; dalam konteks Hasan itu bukankan dia bersuara itu dari kuasa politik? Maksudnya kedudukkanya itu terhasil dari kuasa politik. Setelah partinya menang kemudian membentuk kerajaan PR Selangor lalu melantik beliau sebagai Exco? Kuasa politiklah yang melantik beliau dan beliau berada di situ adalah kerana politik.

Kita faham perlantikan itu amanah yang perlu dipikul. Satu tanggungjawab yang bukan boleh dimain-mainkan. Tetapi apa yang perlu diawasi ialah beliau harus bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawab menerusi kuasa itu. Tanggungjawab Exco dalam membela agama bukan setinggi tanggungjawab Mufti yang dilantik khas oleh Sultan yang mempunyai bidang kuasa mutlak ke atas agama. Perlantikan Hasan adalah perlantikan menerusi instrumen politik.

Di sini kepentingan politik (kuasa) itu tidak kurang peri mustahaknya. Hasan tidak boleh bercakap seperti hari ini dan nilai suaranya tidak sehebat hari ini kalau beliau tidak seorang anggota Exco. Kalau tidak percaya cuba.. Hasan bercakap atas kapasiti dan kediriannya sebagai Hasan atau sebagai seorang fasilitator atau moderator yang handal. Nescaya kenyataanya tidak ada nilai langsung. Dia tidak pun akan diberikan ruang prime di akhbar berkenaan.

Apa yang saya hendak katakan di sini, maslahat mendapat kuasa politik (seperti hari) ini dan maslahat hendak menjaga agama itu sama penting. Jadi apabila Hasan mengatakan dia sanggup digugur atau dipecat adalah satu kenyataan yang merugikan dirinya dan merugikan umat Islam seluruhnya kandati pemecatan demi agama. Dari sudut lain kenyataan itu ada nada angkuh dan sombong.

Untuk menunjukkan keberanian dalam menegakkan kebenaran Hasan tidak perlu menjawab pertanayan soalan wartawan yang dipetik dari satu andaian direka-reka oleh manusia yang rosak akidah politik itu. Wartawan MM itu melontarkan pertanyaan itu setelah mementik andaian dibuat oleh seorang bloger yang juga ahli Parlimen yang kini demam akan kehilangan kerusi.

Sepatutnya Hasan tidak melayani persoalan itu dengan mengeluarkan pengakuan sejujur itu. Beliau boleh berhenti setakat mengatakan sekiranya parti merasakan tindakannya tidak benar dan bertentangan, terserah kepada parti. Tetapi apabila beliau meluahkan pengakuan begitu seolah beliau mencabar partinya dan meletakkan beliau dalam keadaan 100 peratus betul. Sikap merasakan kita betul, hebat dan tepat adalah bukan sifat mazmumah.

Kita memahami perasaan pejuang seperti Hasan. Dia mahu membela Islam dan bangsa. Mungkin luahan itu dilayani kerana kekecewaannya kepada parti yang tidak menyokongnya. Itu tidak menjadi masalah, sebagai pemimpin dan orang mukmin Hasan sudah terlepas dari dosa. Mempertahankan kesucian agama dalam bentuk itu adalah kewajiban umum (fardu kifayah). Hasan harus merasa senang kerana usaha itu telah memerdekakan orang lain dari menanggung dosa. Tindakannya sudah mendapat pahala.

Hasan tidak boleh mengharap segala masalah selesai dalam satu malam saja. Kain tidak akan kering kalau disidai di hari senja. Kuasa politik yang ada kepadanya adalah sedikit saja. Beliau sangat mengharapkan keberanian dan conscience beliau terhadap Islam beliau disokong oleh umat Islam lain. Tetapi apabila ada rakan sendiri yang skeptikal dengan usahanya inilah menyebabkan beliau kecewa dan sanggup untuk diambil tindakan oleh parti.

Semua yang Hasan lakukan itu betul, dari nawaitu kepada syariahnya. Cuma silapnya Hasan di sini menggunakan wadah milik parti lawan untuk meluahkan kekecewa dan membela diri. Sepatut beliau sedar akan realiti itu. Hasan boleh berkawan dengan wartawan atau penerbit, tetapi Hasan tidak boleh menerima atau berkawan dengan akhbar berkenaan yang ada agendanya sendiri. Inilah yang saya nampak satu kesilapan Hasan.

Apa yang hendak saya huraikan dan persoalkan di sini kenapa Hasan dan juga Nik Abduh memberi ruang kepada akhbar berkenaan untuk memberi semangat dan membela kepada mereka. Iya, mungkin kerana akhbar lidah parti tidak bersedia berkerjasama, memberi siaran kepada Hasan. Tetapi Hasan harus pandai menilai mana lebih menguntungkan dirinya dan politiknya dari MM yang menyiarkan kenyataan bersifat adu domba dengan akhabr lidah parti yang tidak menyiarkan kenyataanya, dan terlepas dari adu domba?

Kenyataan atau berita Hasan hari ini sudah tentu akan menjadi perhatian. Saya sangat merasakan tindakan MM memberi ruang begitu besar adalah untuk memerangkap Hasan dan juga Pas. Akhabr itu sudah tahu yang Pas akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa hari ini. Mesyuarat itu tidak akan terlepas membincangkan soal serbuan gereja oleh Jais itu. Jadi apa yang diharap akhbar berkenaan mesyuarat Pas itu akan menghimpit Hasan. Kemuncak harapannya ialah Hasan akan terpelanting dan kalau itu berlaku maka berjayalah akhbar berkenaan mencaing-caingkan Pas agar memudahkan Umno merampas Selangor.

Sama ada sedar atau tidak cara Hasan itu telah membantu musuhnya sendiri. Kalau kebetulan pula ada ahli jawatankuasa yang berkepala panas, mereka akan mengusulkan apa-apa cadangan yang boleh membawa kepada kemusnahan Hasan dalam politik dan juga Pas. Tetapi saya berdoa berkat Ramadhan al Mubarak ini tidak adalah apa-apa yang tidak baik dalam mesyuarat itu kelak.

Saya lihat kemesraan Hasan dengan akhbar Umno itu bukan hari ini saja, tetapi sudah lama. Beberapa isu-isu lain sebelum ini memperlihatkan akan kejinakan Hasan dengan akhbar itu. Hasan senang dan selesa menggunakan wadah berkenaan. Sikap Hasan ini bertentangan dengan partinya yang kurang selesa dengan akhbar itu.

Kemesraan inilah yang memberi liabiliti kepada Hasan. Menyebabkan parti mencurigai beliau. Betapa baik, ikhlas dan molek hasrat Hasan dan kenyataannya dalam akhabr itu, ia tetap akan diprejudis kerana ia disiarkan oleh akhbar itu. Walhal sepatutnya itu hak Hasan, tetapi itulah hukum alam yang patut diketahui oleh Hasan. Selagi beliau berada dalam jelumun politik beliau tidak akan terlepas dari hukum dan peraturan klasik itu. Politik itu penuh dengan persepsi dan sedikit sangat realitinya.

Untuk tidak terus dibaham delima dan rasa serba salah dan berdosa, elok kalau Hasan membuat mahabsah. Istikharah. Kalau sudah tidak betah untuk mengikut lenggang lengguk perlarian politik, bersaralah dengan baik. Undur saja secara sukarela dan carilah wadah yang lebih harmoni dan bukannya meminta parti untuk bertindak ke atas kita.

Tetapi saya percaya, kehandalan dan kehebatan Hasan dalam pancak mempertahankan agama selepas ini tidak sebesar kuasa yang dimilikinya kini. Tidak percaya cubalah buat. Sudah banyak sejarah pejuang-pejuang agama (mujihidin) yang berada atas landasan politik, yang sebelum ini tersebut, tersohor tetapi setelah terkehel dari rahang politik mereka diam membisu menjadi ular air yang kesirnaan bisa.

Sesungguhnya hukum karma dalam buana politik sangat menakutkan. Tepatlah kata bidalan, politik itu membeliti seluruh sendi-sendi kehidupan. Politik itu bagaikan ular sawa yang sentimental menjerut dan mematahkan tulang temulang mangsanya sehingga lemah longlai. Wahalahu'alam.
http://msomelayu.blogspot.com

Kena ada ilmu baru orang tak boleh tipu...

Posted: 07 Aug 2011 05:00 AM PDT

Berilmu Akan Memacu Ibadah Ramadhan
Oleh Ust Idris Ahmad

Alhamdulillah sudah seminggu Ramadhan telah berlalu. Beruntunglah mereka yang berjaya merebut setiap detik daripada Ramadhan dengan melakukan ibadah kepada Allah SWT tanpa membiarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja. Mereka menjadikan Ramadhan sebagai tapak untuk menanamkan bekalan akhirat sesuai dengan hadis nabi SAW "Dunia ialah ladang akhirat".

Persoalannya berapa ramai pula yang melepaskan "bulan emas" ini begitu sahaja tanpa peningkatan amal yang sepatutnya. Antara puncanya ialah kerana kecetekan ilmu dan sikap umat Islam sendiri.

Mereka menganggap bahawa Ramadhan sama seperti bulan lain, sedangkan Ramadhan ialah penghulu segala bulan. Pada mereka tiada apa istimewanya Ramadhan, sedangkan di kalangan para sahabat dan ulamak salaf mereka bergembira dengan saat yang dinantikan. Inilah doa yang dibaca "Ya Allah berkatilah bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke dalam bulan Ramadhan"

Oleh itulah Allah SWT menurunkan ayat yang pertama di dalam surah al Alaq" Bacalah dengan nama tuhan kamu". Ayat ini menggesa supaya umat Islam membaca dan mengkaji. Disinilah pentingnya kita disuruh untuk menuntut ilmu supaya kesempuranaan ibadah terjaga dengan baik. Hanya mereka yang berilmu sahaja, yang mampu menghayati Ramadan dengan semaksimanya.

Berlaku satu fenomena di dlam masyarakat kita apabila, ibadah Ramadan hanya ikutan sahaja maka kesannya masjid dan surau sudah kelihatan lenggang dengan penghuninya. Akhirnya yang tinggal berbaki ialah mereka yang menjadi pelangan tetap surau dan masjid sahaja. Ahli jamaah yang datang bermusim sudah tidak bermaya untuk menghabiskan solat tarawih hingga akhir Ramadan. Semuanya ini berpunca daripada buat ibadah, tetapi tidak ada ilmu. Mereka merasa berat untuk menunaikan ibadah tarawih,walaupun hanya 30-40 minit untuk menghabiskan masa tarawih dan witir, pada mereka seperti 40 jam. Mereka ini lebih selesa lepak di kedai kopi tanpa menghiraukan masa yang berharga di dalam bulan Ramadhan dengan meninggalkan ibadah yang tidak ada pada bulan lain.

Benarlah Sabda Rasulullah SAW "Akan datang satu masa nanti manusia hendak beribadat kepada Allah, tetapi di dalam keadaan jahil dan muncul qari yang fasiq (membaca tanpa beramal)"

Sebaliknya mereka yang memiliki ilmu akan merasa lazat dengan ibadat Ramadhan yang tidak ada pada bulan lain. Kadang-kadang mereka merasa lazat dengan alunan ayat yang dibaca oleh imam hafiz ketika bertarawih.
Langkah yang diambil oleh surau dan masjid yang mengadakan siri tazkirah adalah satu langkah yang bijak. Inilah peluang untuk ahli jamaah mendengar mutiara yang berharga sewaktu mereka menunaikan ibadah tarawih. Majlis yang memberi kefahaman ilmu aqidah yang mempunyai kaitan dengan orang yang menunaikan puasa. Menjelaskan sifat taqwa yang sebenar kepada ahli yang hadir, kerana inilah matlamat puasa.

Beberapa amalan yang perlu ditekankan ketika berada di dalam bulan Ramadan khususnya merebut malam 10 terakhir.

Tazkirah yang dibuat di malam Ramadan mempunyai kebaikan yang banyak. Antaranya ialah memberi peluang kepada mereka yang selama ini hadir ke surau setahun sekali dapat mendengar majlis ilmu, dengan harapan selepas Ramadan mereka akan hadir lagi ke surau. Selama ini mereka tidak berminat untuk datang ke surau mungkin kerana mereka tidak memahami tentang ilmu dan kaitan dengan ibadah. Berapa ramai ahli kariah yang dulunya liar dengan surau dan masjid, sudah mula berjinak selepas daripada bulan Ramadan hasil daripada tiupan semangat dan pemahaman yang betul setelah mereka mendengar majlis tazkirah sepanjang Ramadhan.

Oleh itu mereka yang anti majlis tazkirah kerana bimbang jika kefahaman agama sudah berlubuk dihati maka mereka juga akan meninggalkan ajaran dan perjuangan sekular di negara ini

Malaysia for sale... kahkahkah...

Posted: 07 Aug 2011 03:52 AM PDT


Malaysia for sale... kahkahkah...

Hampa tak rasa malu ka...

Posted: 07 Aug 2011 02:00 AM PDT

Asri berkata semua pihak tidak patut menyalahkan penganut Kristian yang menghulurkan bantuan. — Foto fail

Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan "bukan sesuatu haram" jika umat Islam menerima bantuan daripada mana-mana penganut agama lain termasuk Kristian sekiranya terpaksa berbuat demikian.

"Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak Muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.

"Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu," kata beliau sambil menambah, mana-mana bantuan dibenarkan selagi mengikut peraturan dan undang-undang.

Tegas Asri, beliau difahamkan umat Islam yang hadir dalam satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu adalah untuk mendapatkan bantuan yang gagal dilaksanakan agensi agama Islam melalui pemberian zakat.

Jelas beliau, kemungkinan umat Islam yang hadir itu "terpengaruh" dengan agama Kristan disebabkan sikap baik penganutnya membantu mereka.

"Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin.

"Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa 'jatuh hati' dan 'terhutang budi'," katanya.

Pasai ni la kot orang marah sangat kat Dr Asri... haha...

Posted: 07 Aug 2011 12:00 AM PDT

'Serangan JAIS' Ke Atas Gereja: Tanya Diri Kita Dulu!

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya belum ingin mengulas tentang 'serangan' atau serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan 'serangan' itu. Cumanya, seperti mana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah. Saya ingin menyentuh tentang orang-orang Islam yang hadir ke majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka. Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa 'jatuh hati' dan'terhutang budi'. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;

1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta'sedekah' kepada orang lain?

2. Mengapa kerenah birokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM 100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?

3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!

4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang muslim menerima bantuan daripada bukan muslim. Apatahlagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.

5. Jika dibincangkan disudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap orang untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu. Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa. Janganlah jika kita gagal membantu –sedangkan kita mampu- kita menyalahkan orang lain yang membantu.

6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?

Maka, banyak persoalan perlu masyarakat muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita!

Ada ujian baru matang...

Posted: 06 Aug 2011 11:30 PM PDT

Kontroversi gereja: PAS berdepan ujian terbaharu
by paktam

PAS berdepan ujian terbaharu berhubung isu hubungan antara agama melibatkan Kristian ekoran kontroversi tercetus selepas siasatan Jabatan Agama Islam Selangor, Jais ke atas sebuah gereja Metodis di Damansara, Selangor minggu lalu.

Di peringkat dalaman, PAS Selangor menyaksikan pertembungan antara bekas pesuruhjaya, Datuk Dr Hasan Ali dengan timbalan pesuruhjaya yang dilantik semula selepas muktamar, Khalid Abdul Samad.

Di peringkat nasional, PAS berdepan kempen negatif terbaharu pesaing politiknya, terutama Umno sekiranya parti Islam itu menunjukkan pendirian rasmi yang boleh dilihat sebagai apologetik atau tunduk kepada tuntutan politik pilihan raya.

PAS telahpun berada dalam kedudukan defensif ekoran laporan-laporan media propembangkang yang memberi tafsiran sangat negatif terhadap tindakan ke atas majlis di gereja itu, perkembangan yang sangat menguji pragmatisme parti berasas agama itu.

PAS sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 dikritik Umno sebagai tunduk kepada kepentingan politik pilihan raya untuk memenangi undi bukan Melayu dan kepada PKR dan DAP, dua lagi parti anggota Pakatan Rakyat.

Isu berkaitan Kristian semakin menjadi perhatian dalam politik negara kebelakangan ini, dan menjadi satu isu kritikal dalam pilihan raya Sarawak bulan April lalu.

Selain isu melibatkan Kristian, PAS juga dikritik secara berterusan oleh Umno berhubung isu penjualan arak, pusat hiburan, rumah urut dan pelbagai aktiviti maksiat di negeri-negeri ditadbir parti PR.

Terbaharu, PAS didakwa Umno sebagai tunduk kepada tekanan DAP di Kedah, berhubung sekatan operasi pusat hiburan pada bulan Ramadan.

Umno - yang menguasai kerajaan pusat tanpa sokongan kuat komponen bukan Melayu - walau bagaimanapun tidak memperlihatkan sikap yang jelas dalam isu-isu tersebut.

Parti utama gabungan Barisan Nasional itu turut bersikap pragmatik dengan pemimpin-pemimpin tertinggi mengelak daripada menyatakan pendirian jelas dalam isu terbabit.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri mohd Najib Abdul Razak mengadakan lawatan bertemu pemimpin agama Katolik dunia tidak lama dulu, sebagai satu usaha menarik sokongan Kristian dan minoriti agama menjelang pilihan raya umum.

Umno memperolehi peluang lebih luas untuk mengkritik PAS dalam isu berhubung kedudukan Islam selepas pilihan raya pada Mac 2008 apabila PAS dilihat sebagai berkompromi dalam hal-hal melibatkan hubungan antara agama dan kedudukan agama Islam.

Isu-isu melibatkan Kristian, seperti lawatan wakil rakyat PAS ke gereja, penggunaan kalimah Allah oleh Katolik dan pelbagai isu lain membuka peluang kepada Umno untuk meningkatkan kempen negatif terhadap PAS.

PAS memberi persetujuan bersyarat terhadap penggunaan kalimah Allah oleh Kristian, pendirian yang dilihat sebagai berkompromi oleh sesetengah pihak, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Muslim dan sekumpulan ilmuan agama Islam berpengaruh.

Kontroversi terbaharu melibatkan Jais, yang didakwa melibatkan usaha memurtadkan orang Muslim menjadi bahan terbaharu untuk Umno menyerang PAS dan menjejaskan kredibiliti parti itu yang bersaing dengan Umno untuk undi Melayu-Muslim.

PAS juga dilihat berdepan cabaran untuk mengekalkan imej lebih liberal atau "progresif" dalam menangani pelbagai isu sensitif, terutama ketika kepimpinan tertinggi parti dikuasai golongan yang dinilai sebagai progresif selepas pemilihan muktamar lalu.

Perkembangan melibatkan kontroversi gereja di Selangor itu menjadi cabaran terbaharu terhadap PAS menjelang pilihan raya umum akan datang. Cabaran ini, yang menyentuh politik dalaman dan nasional PAS, menambahkan lagi isu kritikal yang akan perlu ditangani dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
http://siasahdaily.blogspot.com

Duit dah banyak sampai tak tau nak buat apa...

Posted: 06 Aug 2011 10:46 PM PDT

Nombor Pendaftaran KDA Catat Tawaran Tender RM762,601

ALOR SETAR: Nombor pendaftaran kenderaan 'KDA' mencatat jumlah tender tertinggi dalam sejarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah iaitu RM762,601 sejak dibuka kepada orang ramai pada 12 Jun lepas.

Pengarah JPJ Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman, berkata pihaknya menerima 851 tender untuk nombor tersebut.

"Bagi nombor emas, KDA 1, ia ditender sebanyak RM112,200 dan nilai itu adalah yang tertinggi pernah diterima JPJ Kedah," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata bagi nombor pendaftaran dalam kategori nombor menarik, tender tertinggi yang diterima ialah RM18,480 bagi nombor KDA 11 manakala dalam kategori nombor popular KDA 212 sebanyak RM11,100.

KDA bererti Kedah Darul Aman dan menjadi rebutan penduduk negeri ini kerana telah memberikan sambutan luar biasa dan dijangka habis dalam masa dua minggu lagi, katanya.

Beliau berkata dalam tempoh lima hari selepas nombor KDA dibuka Isnin lepas, sebanyak 4,300 kenderaan telah didaftarkan berbanding purata 200 kenderaan sehari bagi nombor pendaftaran sebelum ini.

Ahmad Musadad berkata pendaftaran bagi KDB telah dibuka 3 Ogos sehingga 17 Ogos ini.BERNAMA

Malapetaka Ogos

Posted: 06 Aug 2011 08:41 PM PDT

Anak semua bangsa & Malapetaka Ogos
Oleh Hishamuddin Rais

Setiap 15 Mei, warga Palestin akan menyambut Nakba. Tarikh ini bukan disambut dengan pesta-pestaan. Tarikh Nakba ini - 15 Mei 1948 - adalah tarikh entiti yang dipanggil Israel dipacakkan ke atas bumi Arab. Justeru, pada tarikh ini warga Palestin di seluruh dunia akan mengingati kembali hari musibah ini.

Semenjak 15 Mei 1948 warga Palestin berhadapan dengan segala macam kesengsaraan. Tanah mereka dirampas, rumah mereka diroboh. Mereka hilang harta benda, hak demokrasi dan kampung halaman. Rakyat Palestin diserang, dibunuh dan dihalau dari kampung halaman. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara.

Nakba 15 Mei adalah Malapetaka untuk warga Palestin. Nakba 31 Ogos adalah Malapetaka untuk Semenajung Tanah Melayu. Nakba ialah Malapetaka.

Saban tahun semenjak 31 Ogos 1957 Hari Malapetaka telah di rayakan di Tanah Melayu ini. Malapetaka yang menimpa warga Persekutuan Tanah Melayu ini tidak jauh bezanya dari yang sedang dialami oleh Nakba di Palestin.

Untuk memahami kembali sejarah kelahiran Malapetaka ini, biar saya bawa kembali para pembaca kepada pensejarahan kelahiran hari Malapetaka ini. Hendaknya dapatlah kita semua memahami makna Malapetaka ini, yang dieja dengan huruf M besar ini.

Awalnya, Perjanjian Anglo-Dutch 1824 telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti - Semenanjung Tanah Melayu di bawah British dan Batavia di bawah Belanda. Pejanjian Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula lima wilayah Melayu - Pattani, Jala, Setul, Singgora dan Menara. Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam hinga ke hari ini. Pada tahun 1874, melalui Perjanjian Pangkor, kuasa kolonial Britsh telah memasukkan jarumnya untuk menjajah Semenanjung Tanah Melayu.

Perjanjian Pangkor ini akhirnya membolehkan British menguasai seluruh Semenanjung Melayu. Akhirnya Tanah Melayu menjadi tanah jajahan British bawah jagaan England dan bukan lagi East India Company.

Penjajah Barat datang untuk mencari harta kekayaan. Di Tanah Melayu British telah bertemu dengan bijih. British juga membuka ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi begitu penting sekali untuk perkembangan ekonomi kolonial British.

Setiakawan melawan penjajah

Untuk terus melipat gandakan keuntungan, kaum penjajah British telah membuka bumi Melayu kepada pendatang baru dari Cina dan India. Mereka telah dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh kuasa kolonial British. Dengan kehadiran buruh Cina dan buruh India ini maka lanskap Tanah Melayu berubah untuk selama-lamanya.

Dunia ini bergerak dengan hukum hakam alam. Hukum alam bergerak dan tidak berubah-ubah. Hukum ini menetapkan, di mana ada penindasan, di sana pasti akan ada penentangan. Hukum alam ini mula menapai dan mengampuh di Tanah Melayu. Hasilnya, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuh pada tahun 1938. Ini adalah gerakan politik paling awal yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British.

Pada ketika ini Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura. PKM pada ketika itu sedang menyusun kaum buruh Cina di kota-kota seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Penentangan terhadap penjajah British dan kuasa modal penjajah ini telah melahirkan setiakawan diantara KMM dengan PKM. Ikatan setiakawan ini adalah kerjasama antara kaum tani Melayu dengan kaum buruh India dan Cina. Inilah bibit-bibit kelahiran negara bangsa.

Kesampaian Jepun pada tahun 8 Ogos 1941 telah meruntuhkan empayar British. Dalam masa yang sama ikatan setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan telah diperkukuhkan. Perjungan bersenjata Tentera Rakyat Malaya Menentang Jepun atau Malayan People Anti Japanese Army telah memperkukuhkan lagi setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu.

Apabila Jepun kalah perang pada bulan Ogos 1945 sekali lagi pentadbiran ketenteraan British masuk untuk mengambil alih pentabiran Tanah Melayu. Tetapi semuanya telah berubah. Tanah Melayu kini bukan lagi Tanah Melayu sebelum perang Jepun.

Kini gerakan nasionalisma telah mengampuh dan laungan kemerdekaan kedengaran di sana sini. Telah wujud Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS). Semua ini adalah gerakan nasionalis kiri yang bangun berjuang untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

British secara licik dan terancang telah mewujudkan apa yang dipanggil hingga ke hari ini United Malay National Organisation. Ini adalah organisasi yang ditelur, yang dieram dan dinetaskan oleh penjajah British. Tarikh munculnya gerombolan United Malaya National Organisation pada tahun 1946 agak lewat. Ia muncul sebagai reaksi terhadap gerakan nasionalis Melayu kiri yang mahu menghalau British. Dari segi sejarah, cukup jelas bahawa gerombolan ini diwujudkan untuk menjadi tali barut dan budak suruhan British.

Setiakawan antara bangsa-bangsa yang bangun menentang penjajah British telah melahir setiakawan yang baru. Perlembagaan Rakyat telah dilahirkan pada tahun 1947 oleh AMCJA-PUTERA. Ini adalah kerjasama setiakawan antara All Malayan Council Joint Action dengan organisasi massa Melayu bernama PUTERA.

Semua bangsa dipanggil Melayu

Perlembagaan Rakyat 1947 ini cukup penting dalam sejarah pembentukan negara bangsa. Dalam Perlembagaan Rakyat ini sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu akan dinobat sebagai Melayu. Ertinya anak semua bangsa yang lahir di Tanah Melayu adalah Melayu. Ini adalah garis politik kiri yang paling radikal. Garis politik ini dan setiakawan anak semua bangsa telah mengoncang kekuatan kuasa kolonial British.

Untuk menumpaskan agenda kelahiran negara Bangsa Melayu ini, secara licik British melalui gerombolan United Malay National Organisation telah melaungkan slogan "Hidup Melayu". Para pembaca yang budiman, perhatikan betul-betul slogan ini. Slogan ini bukan laungan untuk menghalau British tetapi untuk menunjukan bahawa orang Melayu kurang oksigen.

Gerombolan United Malay National Organisation dengan kerjasama British telah memulakan dan menanamkan garis politik Melayu-Melayu, China-China dan India-India. Maka lahirlah PERIKATAN. Politik perkauman ini amat baik untuk British. Ini adalah dasar pecah dan perintah. Dalam pertubuhan PERIKATAN masih lagi Melayu, Cina dan India. Berbanding dengan AMCAJA-PUTERA, badan ini adalah gabungan anak semua bangsa yang memanggil diri mereka Melayu.

Projek Perlembagaan Rakyat 1947 telah digagalkan British. Akhirnya, pada 20 Jun 1948 pecahlah perang kolonial menentang British. Perang kolonial kali ini telah disertai oleh API, AWAS, Hisbul Musliminin, Malayan Democratic Union, PKM, KMM, PKMM dan ratusan patriot dan nasionalis anak semua bangsa. Mereka mengangkat senjata untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

Saya harap hingga ke tahap ini para pembaca telah dapat memahami pejalanan sejarah Tanah Melayu. Saya harap para pembaca telah dapat memahami dari mana munculnya gerombolan United Malay National Organisation, Malayan Chinese Association dan Malayan Indian Congress. Kesemua badan-badan ini adalah boneka British. Dari namanya kita telah tahu bahawa badan-badan ini dibentuk dan ditaja oleh penjajah British.

Mari kita lihat apakah yang telah dibuat oleh United Malaya National Organisation apabila rakyat Tanah Melayu pada thun 1948 bangun mengangkat senjata melawan British. Apa agaknya yang telah dilakukan oleh United Malay National Organisation? Sejarah membuktikan bahawa mereka bukan bangun menentang British tetapi bangun berjuang menentang orang yang menentang British.

Jjika tidak percaya apa yang saya tulis ini, sila bersabar. Pada bulan Ogos ini nanti, media milik United Malay National Organisation akan membuka kisah-kisah bodoh di mana puak-puak gerombolan tanpa segan dan malu akan membuktikan bahawa mereka dengan bangga telah menjadi suruhan British. Mereka akan mendabik dada mengatakan bagaimana mereka berjuang menentang komunis. Walhal, gerila parti komunis ketika itu sedang melawan British.

Ketika Shamsiah Fakeh, Abdullah Sidi, Rashid Maydin, Chin Peng bangun mengangkat senjata, apa yang dilakukan oleh United Malaya National Organisation?

Tidak berkesudahan

Sejarah jelas membuktikan gerombolan United Malay National Organisation telah bersubahat dengan British untuk menumpaskan gerakan bersenjata melawan British ini.

Ketika anak semua bangsa bangun melawan British untuk mencapai kemerdekaan, gerombolan United Malaya National Organisation bangun berjuang melawan orang yang berjuang untuk merdeka.

Justeru, sebagai balasan menjadi budak suruhan yang setia, pada 31 Ogos 1957 penjajah British telah mengagihkan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Tarikh 31 Ogos inilah yang menjadi Hari Malapetaka untuk Tanah Melayu. Tarikh ini adalah Nakba untuk anak semua bangsa di Tanah Melayu. Semenjak dari tarikh ini kita telah melihat satu demi satu musibah telah menimpa Tanah Melayu.

Saya menobatkan 31 Ogos sebagai Hari Malapetaka untuk menilai kembali pensejarahan Tanah Melayu. Kita tidak perlu berselindung. Nakba di Palestin membolehkan tanah-tanah Palestin dirampas oleh kaum Zionis. Malapetaka di Tanah Melayu memperlihatkan ribuan hektar tanah rizab Melayu hilang dirampas oleh Zionis tempatan.

Pelentong, Chu Badak, Tasek Utara, Berembang, Kerpan hanyalah beberapa nama tanah asal Melayu yang dilupus. Paling akhir tanah Keretapi Api Tanah Melayu di Singapura lupus. Dan yang akan datang ialah tanah Kampung Baru dan Kampung Banda Dalam.

Malapetaka ini tidak berkesudahan. Lihat pula berapa ratus ribu anak semua bangsa menjadi mangsa ditahan tanpa bicara semenjak British mewujudkan akta ISA pada tahun 1948. Paling akhir kita melihat enam warga penyokong BERSIH ditahan tanpa bicara bawah Ordinan Darurat.

Berapa ribu pula warga yang telah gugur dan mati dibunuh dalam tahanan? Pernah saya terdengar suara dari parlimen menyatakan lebih dari satu ribu orang telah gugur semenjak sepuluh tahun dahulu. Nama seperti Altantuya, Beng Hock, Kugan, Francis, Aminulrashid dan Sarbaini akan terus bertokok tambah. Malapetaka ini masih berterusan.

Bulan Ogos kelihatan amat ironi untuk Tanah Melayu kerana 500 tahun lalu, pada 10 Ogos 1511 Portugis telah mendarat di Melaka. Pendaratan Portugis 500 tahun dahulu hanya akan dilihat sebagai satu titik dakwat hitam dalam sejarah Tanah Melayu berbanding dengan Malapetaka 31 Ogos.

Untuk pembaca yang muda biar saya ditunjukan di sini bahawa Nakba di Palestin pada 14 Mei adalah hasil dari perancangan British. Manakala Malapetaka di Tanah Melayu pada 31 Ogos adalah juga hasil perancangan British. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini. Malapetaka di Tanah Melayu ini juga tidak akan reda-reda selagi gerombolan United Malay National Organisation tidak dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.M/kini

Mengapa Wajah Tidak Berseri Ketika Solat?

Posted: 06 Aug 2011 04:00 PM PDT

Oleh: BayangDiAir

Ya Allah, baru kusedari bahawa wajahku tidak pernah senyum apabila sedang berhadapan dalam majlis-Mu. Sedangkan solatku ini adalah berhadapnya aku dengan-Mu, Kekasihku. Adakah aku tidak ikhlas dalam berhadapan dengan-Mu dalam solat ini, wahai Tuhanku?

Ya Allah, beratnya wajahku BAGAI aku menanggung beban yang sangat hebat. Tiada seri dan ceria pada air muka ini. Bagai air kolam yang bertakung begitu lama. Tiada riak, bagai angin tak pernah sampai di sini. Mengapa jadi begini?

Ya Allah, bukankah aku sedang berdiri, rukuk dan sujud. Menyerahkan diri ini kepada-Mu. Kerana Engkaulah Tuhan Yang Maha Indah. Sewajarnya aku sedang menikmati keindahan-Mu ya Zul-Jalal Liwal Ikram. Bukankah wajah ahli syurga akan berseri-seri di syurga kerana dapat memandang Zat-Mu?

Ya Allah, apakah hambamu ini belum mencapai martabat ihsan? Aku belum mampu beribadat seolah-olah aku yakin Engkau melihatku atau aku seolah-olah sedang melihat Engkau? Kalau benar aku ini ihsan ya Allah, tentulah wajahku berseri-seri di dalam solat. Bukankah begitu wahai Kekasihku?

Ya Allah, sewajarnya wajahku ceria ketika patah-patah ayat suci bermesra di lidahku. Sewajarnya air mukaku kelihatan gembira ketika aku qiam, rukuk dan sujud kepada-Mu. Aku sewajarnya tersenyum dan berwajah permata kerana Engkau-lah yang sedang berada di majlis amalan cintaku.

Ya Allah, kalau hamba-Mu akan gembira dapat melihat Zat-Mu di syurga kelak, apakah aku tidak patut gembira dalam solat ini? Bukankah solat ini telah menemukan aku rapat dengan-Mu, ya Allah. Bukankah yang sedang berada di depanku sekarang ialah Engkau, wahai Kekasihku?

Ya Allah, aku tidak pernah menunjukkan wajah senyumku kepada-Mu ketika solatku. Aku takut kepada-Mu ya Allah kerana dosa-dosaku. Namun, hati ini sangat gembira sebenarnya kerana Engkaulah di depanku. Sebagaimana Engkau janjikan ahli syurga gembira berhadapan dengan Kekasih di dalam syurga, izinkanlah di dunia ini, dalam solat yang singkat ini, aku merasai pengalaman syurga ya Allah. Biarlah manusia lain berwajah berat menanggung beban solat, namun aku lebih rela berwajah ceria kerana kegembiraanku dapat berada dalam majlis-Mu telah mengatasi rasa takut dan berat bebanku.

Ya Kekasih para mukmin, kurniakanlah kepada kami wajah berseri-seri dalam solat ini. Kurniakanlah kami ihsan yang menjadikan kita bukan lagi sekadar rapat dengan kata-kata tetapi telah rapat menyelinap di dalam jiwa. Dunia solat yang singkat ini adalah pancaran dunia syurga. Di mana sahaja kami berada, izinkan kami melihat dengan haqqul yakin kewujudan-Mu Yang Terindah. Sesungguhnya, gembira kami telah mengatasi rasa takut ini kerana kami sedar betapa melimpah-ruahnya kasih sayang dan keampunan-Mu. Perkenankanlah cita-cita kami wahai Zat Yang Maha Suci.
http://dakwahkemaman.blogspot.com

Tiada ulasan: