sesemut emas ™ |
- Kadar Zakat Fitrah Seluruh Negeri Di Malaysia 1432H / 2011M
- Ramadhan, Bulan Kurniaan Allah S.W.T Kepada Orang-orang Yang Beriman
- Ramadhan Peluang Terbaik Mengislah Diri..
- Bersedekahlah Tanpa Mengira Agama, Bangsa Dan Negara..
Kadar Zakat Fitrah Seluruh Negeri Di Malaysia 1432H / 2011M Posted: 27 Aug 2011 03:32 PM PDT "Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk." - Surah Al-Baqarah; ayat 43. Jadual di bawah adalah jadual kadar zakat fitrah bagi tahun 1431H / 2010M untuk semua negeri-negeri di Malaysia. Kadar zakat fitrah bagi setiap negeri dikeluarkan oleh pusat zakat negeri masing-masing. PENGERTIAN ZAKAT FITRAH Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. SYARAT WAJIB ZAKAT Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah: i) Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. ii) Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari. iii) Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya. iv) Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan. KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud: "Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah S.A.W sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha' (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya" – Hadith Riwayat Muslim KADAR FITRAH Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri. WAKTU MENGELUARKAN FITRAH Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5: i) WAKTU WAJIB Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya. ii) WAKTU YANG PALING AFDHAL Sebelum sembahyang Hari Raya iii) WAKTU SUNAT Sepanjang bulan Ramadhan iv) WAKTU MAKRUH Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal v) WAKTU HARAM Selepas terbenam matahari satu Syawal Ingat-ingatkanlah.. Selamat beribadah.. -ibnumustafa- |
Ramadhan, Bulan Kurniaan Allah S.W.T Kepada Orang-orang Yang Beriman Posted: 27 Aug 2011 02:56 PM PDT Kita sedang berada di penghujung bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan kurniaan Allah S.W.T kepada orang-orang yang beriman. Apabila tibanya bulan Ramadhan Al-Mubarak, Rasulullah S.A.W menyampaikan ucapannya, yang bermaksud: "Telah tiba kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang mulia, padanya satu malam yang kelebihannya lebih baik daripada 1,000 bulan (Lailatul Qadr), bulan yang pada awalnya kerahmatan, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka." Pada bulan ini, kita dijemput menjadi tetamu Allah Taala untuk menghadiri majlis hidangan-Nya. Disediakan untuk kita hidangan yang terdiri daripada makanan roh dan jasad, kerana Allah Taala menjadikan manusia dengan dua fitrah iaitu unsur roh dan unsur jasad, kedua-dua unsur ini memerlukan makanan. Makanan ini penuh dengan kelebihan, makanan roh ialah iman, ilmu, taqwa dan segala sifat dan akhlak yang mulia manakala makanan jasad ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Allah S.W.T telah menentukan tugas manusia yang berbeza dengan tugas Malaikat di alam roh dan berbeza dengan binatang yang hanya menjaga kepentingan jasad. Manusia mempunyai kedua-dua unsur iaitu unsur Malaikat dan binatang. Sekiranya manusia menunaikan tuntutan roh dengan sebenarnya dan dalam masa yang sama berjaya menghadapi hawa nafsu kebinatangan, maka manusia akan menjadi makhluk yang lebih mulia daripada Malaikat seperti para Nabi dan orang-orang yang soleh. Di sana ada manusia yang lupa kepada makanan roh dan mengendalikan jasadnya seperti binatang, maka manusia itu menjadi lebih jahat daripada binatang. Allah S.W.T melatih, mendidik dan memberi tarbiah kepada kita pada bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan hidangan menunaikan kewajipan berpuasa pada waktu siang hari, memberi sedekah, menjamu makanan kepada saudara-mara dan sahabat handai, jiran dan orang-orang yang memerlukan pertolongan, menghidupkan malam dengan sembahyang tarawih, bertahajud, tadarus al-Quran dan sebagainya. Semuanya ini dijanjikan kelebihannya lebih besar daripada bulan-bulan yang lain. Ibadat puasa sahaja dijanjikan Allah S.W.T dengan pahala yang tidak terhingga banyaknya. Seseorang manusia yang melakukan kebaikan akan diberikan dari tiap-tiap satu kebaikan itu 10 pahala. Adapun puasa, Allah Taala berfirman, yang bermaksud: "Sesungguhnya puasa itu untuk Aku, maka terserahlah kepada-Ku untuk menentukan pahalanya." Betapa besarnya pahala kepada orang-orang yang berpuasa, betapa ruginya mereka yang tidak berpuasa. Sesiapa sahaja yang tidak berpuasa satu hari dengan tiada sebarang keuzuran yang membolehkannya berbuka, walaupun diwajibkan kepadanya menggantikan puasa itu pada hari yang lain, namun dia tidak akan dapat menggantikan pahala puasa yang ditinggalkan satu hari itu walaupun dia berpuasa sepanjang umurnya. Itulah kelebihan yang dijanjikan Allah Taala. Jaga diri daripada perkara menghilang pahala puasa Marilah kita menunaikan ibadat yang diwajibkan Allah Taala itu dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang diwajibkan serta dengan adab-adab puasa yang menambahkan kelebihannya supaya kita menyedari bahawa puasa itu bukan sekadar menjaga diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa pada waktu siang hari iaitu tidak makan, minum, bersetubuh dengan isteri, tidak memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka tetapi seseorang itu juga perlu menjaga dirinya daripada perkara yang menghilangkan pahala puasa walaupun tidak membatalkan puasa. Seseorang itu perlu memelihara anggota dan pancainderanya daripada melakukan perkara-perkara dosa dengan memelihara lidah, mata dan telinga supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menghilangkan pahala puasanya. Itulah pendidikan puasa yang merupakan makanan rohani yang dihidangkan oleh Allah S.W.T pada bulan Ramadhan. Kita juga dijanjikan fadhilat iaitu diberikan pahala pada makanan jasad. Kita makan dan minum pada bulan puasa bukan sahaja untuk kenyang tetapi diberikan pahala. Begitu juga kelebihan mereka yang bersahur. Allah S.W.T menjadikan kelebihan orang yang makan sahur sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat berselawat kepada orang-orang yang bersahur." Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja ibadat puasa, bukan sahaja perkara-perkara kebaikan yang dilakukan diberi pahala, bahkan makan dan minum kita pada bulan puasa juga diberi pahala oleh Allah Taala. Itulah keistimewaan pada bulan Ramadhan Al-Mubarak dan banyak lagi keistimewaan yang lain yang disediakan oleh Allah Taala supaya kita mencapai natijah puasa yang baik. Kita menerima kerahmatan daripada Allah S.W.T pada awalnya, mendapat keampunan pada pertengahannya dan dimerdekakan daripada api neraka setelah kita meninggal dunia sekiranya kita menunaikan puasa dengan sebaik-baiknya. Itulah di antara hidangan yang disediakan oleh Allah Taala. Marilah kita menyahut jemputan Allah S.W.T di bulan yang penuh dengan kemuliaan itu. Firman Allah Taala yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." - Surah al-Baqarah; ayat 183. -ibnumustafa- |
Ramadhan Peluang Terbaik Mengislah Diri.. Posted: 27 Aug 2011 03:36 AM PDT Umat Islam seluruh dunia wajib bersyukur kerana masih lagi berkesempatan pada tahun ini menikmati kehadiran bulan Ramadhan yang sudah masuk fasa ke-3 ini, kerana kedatangannya membawa seribu makna yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Apapun Ramadhan memang benar-benar menjanjikan yang terbaik berupa amalan-amalan, yang bukan sahaja tidak dijanjikan pada bulan-bulan lain selainnya, malah setiap amalan itu pula diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia bertujuan untuk menggalakkan umat agar suka beribadat untuk mencari keredaan Allah S.W.T. Ditambah pula dalam Ramadhan terdapat 'Lailatul Qadr', tadarus al-Quran, tazkirah, sesi berbuka puasa dan sahur, qiamullail, iktikaf, pengeluaran zakat fitrah, sedekah, penyediaan juadah berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, bersolat jemaah pada solat lima waktu, bersegera melakukan kebaikan dan banyak lagi merupakan amalan-amalan yang boleh melonjakkan prestasi seorang individu Muslim itu kepada Allah S.W.T. Bayangkan, bahawa Rasulullah S.A.W ada menegaskan dalam sebuah hadithnya yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi maksudnya, "Setiap amalan sunat seseorang Muslim itu pada bulan Ramadhan dianggap sebagai satu amalan fardhu, dan amalan fardhunya pula diganjari hingga 700 pahala, ia bertujuan menggalakkan kepada semua agar bersungguh melakukannya dan meraih pahala daripada allah SWT." Kaedah bagi melakukan pengislahan diri pada bulan Ramadhan * Iringkan diri anda sentiasa bersama niat yang suci untuk melakukan pengislahan diri sepanjang bulan Ramadhan. * Persiapkan diri anda dengan perancangan rapi untuk berubah dan sentiasa raikan perancangan tersebut. * Paling utama yang perlu anda lakukan ialah pulihkan hubungan baik dengan Allah S.W.T, jadikan Ramadhan tahun ini sebagai langkah permulaan ke arah itu dengan sentiasa memerhatikan segala kekurangan yang telah anda lakukan terhadap-Nya dalam segenap tindakan beribadat sebelum kehadiran Ramadhan. * Jadikan Ramadhan tahun ini untuk bertekad melakukan solat fardhu pada awal waktu secara berjemaah di masjid atau surau, sama ada ketika berada di rumah atau di pejabat. * Mulakan tekad untuk bertadarus al-Quran, bukan sahaja dalam bentuk bacaan, malah meneliti ayat-ayatnya yang terdiri daripada arahan, larangan, janji syurga dan neraka, pahala dan dosa, mengenai hukum-hukum Allah S.W.T yang wajib dilaksana, ayat-ayat gembira, sedih, ancaman dan sebagainya bagi membangkitkan rasa tanggungjawab untuk menjadikan diri sebagai hamba Allah S.W.T yang kerdil di sisi-Nya, kerana al-Quran adalah kitab Allah S.W.T yang abadi hingga ke akhir zaman. * Berjanji di hadapan Allah S.W.T untuk menjadi hamba-Nya yang baik, dengan melakukan amar makruf dan nahi mungkar. * Menjadikan pelaksanaan solat fardhu lima waktu sebagai pemangkin kepada meninggalkan perkara-perkara terlarang, sepertimana yang ditegaskan Allah S.W.T dalam al-Quran, ia dapat dilakukan melalui penghayatan terhadap segenap bacaan yang terkandung dalam ibadat tersebut. * Bertekad untuk melakukan 'taubat nasuha' iaitu dengan niat dan berazam untuk meninggalakan segala kejahatan, tidak mahu mengulanginya semula, bersahabat dengan orang-orang yang boleh meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T, kerana setiap satu kesalahan walaupun kecil bentuknya, jika ia dilakukan, sesungguhnya ia telah mengundang kemarahan Allah S.W.T, menggembirakan syaitan, menjauhkan diri anda daripada syurga, mendekatkan diri kepada neraka, menyebabkan Rasulullah S.A.W sedih di dalam kubur, menyakiti para Malaikat, mengkhianati seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini. * Layani kedua-dua ibu bapa dengan baik dan sopan khususnya pada bulan Ramadhan, ia juga termasuk menghormati golongan yang lebih tua daripada diri anda seperti abang, kakak, para guru dengan ungkapan yang boleh membangkitkan rasa hormat terhadap mereka. * Berbuat baik terhadap jiran tetangga, kawan-kawan, saudara mara, mohonlah kemaafan atas kesalahan yang pernah anda lakukan terhadap mereka, bukan tunggu menjelangnya awal Syawal. * Hadiri majlis-majlis tazkirah yang boleh membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama. * Carilah keaiban diri sendiri untuk melakukan pengislahan dengan bersungguh-sungguh, kerana sepanjang Ramadhan adalah waktu yang paling sesuai untuk melakukannya, janganlah biarkan Ramadhan berlalu tanpa melakukan perkara yang terbaik buat diri anda sendiri. * Tinggalkan tabiat buruk dalam menjalani madrasah Ramadhan seperti suka melewatkan solat fardhu, melepak, tidak suka berkunjung ke masjid atau surau. * Hormati bulan Ramadhan dengan menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslimah, kerana orang yang tidak menghormati bulan Ramadhan dengan menjaga maruah dan harga dirinya tidak mungkin akan diberi syafaat (recommendation) Rasulullah S.A.W untuk masuk syurga pada hari Kiamat. Yang penting, pengislahan diri yang mahu anda lakukan itu pada bulan Ramadhan, janganlah terhenti dengan kedatangan bulan Syawal, kerana Allah S.W.T bukan sahaja ada pada bulan Ramadhan, malah sepanjang bulan, sepanjang masa Dia memerhatikan kita. Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita persembahkan ke hadrat Allah S.W.T. Ingatlah saudara-saudari, umur kita semakin hari semakin meningkat tua, perhatikan sepanjang kita hidup yang sudah pun mencecah puluhan tahun dengan memakan rezeki Allah S.W.T. Apa yang telah kita lakuan untuk agama-Nya dari sudut sumbangan, jasa bakti seperti yang pernah ditonjolkan oleh pasa sahabat Baginda S.A.W sebelum mereka meninggal dunia. Sama-samalah kita fikirkan. -ibnumustafa- |
Bersedekahlah Tanpa Mengira Agama, Bangsa Dan Negara.. Posted: 27 Aug 2011 02:13 AM PDT SEMPENA bulan Ramadhan yang mulia ini, umat Islam digalakkan bersedekah di dalam kerangka menambah amal ibadah. Tafsiran sedekah itu sendiri amat luas. Sedekah wang ringgit dan tenaga dalam bentuk amalan kebajikan seperti membantu orang lain dalam kesusahan, memberi apa-apa khidmat yang diperlukan oleh sesiapa sahaja, mengajar ilmu dan sebagainya. Alhamdulillah dalam masyarakat, kita lihat umat Islam dan pelbagai organisasi Islam dilihat berlumba-lumba mengadakan bermacam-macam program terutamanya memberi bantuan berbentuk makanan dan kewangan. Namun ini nampaknya semarak hanya di kalangan orang Islam. Ada juga orang Islam yang mengadakan jamuan berbuka puasa dan dijemput sahabat dan kenalan bukan Islam. Islam tidak melarang malah amalan ini dilihat boleh meningkatkan persahabatan dan perpaduan anggota masyarakat. Namun saya ingin melihat sedekah kewangan atau makanan ini tidak dihadkan kepada umat Islam sahaja. Yang miskin dan yang lapar bukan daripada kalangan orang Islam sahaja. Lihatlah di sekeliling kita, pasti terdapat orang bukan Islam yang menderita. Agama Islam tidak pula mensyaratkan sedekah ini hanya dikeluarkan kepada orang Islam sahaja. Malah sesetengah ulama' berpendapat zakat itu sendiri boleh diberi kepada kalangan bukan Islam yang miskin untuk menjinakkan mereka kepada Islam. Masjid-masjid yang memberi makanan kepada orang ramai hendaklah juga membuka pintu sedekah mereka kepada orang bukan Islam yang miskin. Biarlah mereka juga merasai nikmat dan rahmat Allah S.W.T pada bulan Ramadhan yang berkat ini. Orang Islam yang beratur untuk mengambil makanan seperti bubur lambuk di Masjid Kampung Baru dan masjid-masjid lain bukannya semua daripada kalangan yang tidak mampu, malah yang ramai datang hanya untuk merasa bubur lambuk yang masyhur itu dan malah mungkin lebih daripada mampu untuk layak mendapat makanan percuma. Pelbagai majlis dianjurkan oleh korporat untuk anak-anak yatim yang boleh dikatakan semuanya anak-anak yatim Islam. Bagaimana pula dengan anak-anak yatim yang bukan Islam dan memang banyak terdapat rumah-rumah anak yatim agama-agama lain. Mereka juga perlu perhatian daripada masyarakat Islam. Mungkin lebih berkesan kalau peruntukan-peruntukan korporat-korporat tersebut disampaikan kepada pengurusan rumah anak yatim untuk mengurus kehidupan mereka sepanjang tahun daripada berhabis dengan acara berbuka puasa yang ada unsur pembaziran dan kadangkala maksiat (acara hiburan sehinggakan waktu solat tidak dihormati). Selamat berpuasa dan semoga amalan pada bulan Ramadhan berkekalan sepanjang tahun. -ibnumustafa- |
You are subscribed to email updates from sesemut emas ™ To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan