Ahad, 28 Ogos 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


'Burukkan' MP, TV3 Digesa Mohon Maaf

Posted: 28 Aug 2011 12:30 AM PDT

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Saleh menuntut TV3, wartawannya dan seorang ahli politik yang didakwa memburukkannya dalam siaran berita berhubung pusat pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan segera memohon maaf.

Peguam Fuziah menghantar tiga notis tuntutan itu semalam dengan menamakan wartawan alam sekitar Karam Singh Walia dan TV3 sebagai responden pertama dan kedua, sementara dua lagi surat dialamatkan kepada Ketua MCA Kuantan Datuk Ti Lian Ker.

Dalam surat yang dialamatkan kepada Karam dan TV3, Fuziah mahu penarikan balik dibuat terhadap beberapa siri siaran berita itu yang disiarkan antara 28 Jun dan 30 Jun serta pada 24 Ogos lalu, yang mana beliau mendakwa ia "tidak benar dan kandungannya dilihat untuk memburukkan" Fuziah.

Fuziah yang juga naib presiden PKR menuntut Tv3 agar tidak berterusan menyiarkan siaran berita itu pada masa akan datang dan membuat permohonan maaf berdasarkan syarat yang telah disahkan oleh peguamnya.

Dalam kes Ti pula, Fuziah menuntut kepada bekas ADUN itu menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf terhadap kenyataan yang disiarkan syarikat televisyen swasta itu.

Dalam siaran berita itu, Ti didakwa memetik Fuziah sebagai berkata "pegawai-pegawai kita, pakar-pakar Melayu, pakar-pakar rakyat Malaysia semua tak boleh dipercayai".

Dakwaan Fuziah terhadap Ti dinyatakan dalam dua notis tuntutan yang berasingan, yang merujuk kepada dua insiden yang berasingan masing-masing pada 30 Jun dan 24 Ogos apabila Tv3 menyiarkan siri laporan beritanya berhubung plan yang bernilai RM700 juta itu.

Ketiga-tiga notis tersebut turut meminta jaminan bahawa tidak ada lagi pengulangan dakwaan demikian terhadap Fuziah dan menuntut kerugian dan tanggung kos guaman. -tvsnews





PUDU SENTRAL : Najib Dah Siapkan Untuk Pakatan. Cakaplah Terima Kasih!

Posted: 27 Aug 2011 11:15 PM PDT

Terminal Bas Puduraya di sini yang mula beroperasi pada 1976 dan baru sahaja dinaik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.

Beliau berkata penukaran nama terminal bas itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.

Najib berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut twitternya, selepas beliau tweet setelah bersahur awal pagi tadi bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya.

"Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan wajah baru bas terminal itu di sini hari ini.

"Selepas berbincang dengan pihak pengurusan tadi, kita telah bersetuju untuk menukar namanya kepada Pudu Sentral," katanya.

Terminal Puduraya ditutup sementara pada Mac tahun lepas, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu sangat dinaik taraf dan ubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambilkira keselamatan awam setelah ia beroperasi lebih tiga dekad.

Ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV).

CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang. - Bernama


Puduraya jadi Pudu Sentral

NAJIB berbual dengan pelancong asing ketika lawatan beliau ke Pudu Sentral, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Hentian Puduraya di sini yang mula beroperasi pada 1976 dan baru sahaja dinaik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan nama baru terminal bas itu semalam berkata, penukaran nama itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut twitternya selepas beliau tweet setelah bersahur awal semalam bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya.

"Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan wajah baru bas terminal itu di sini semalam.

Menurutnya, selepas berbincang dengan pihak pengurusan hentian itu, beliau telah bersetuju untuk menukar namanya kepada Pudu Sentral.

Hentian Puduraya ditutup sementara pada Mac tahun lepas, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu sangat dinaik taraf dan diubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambil kira keselamatan awam setelah ia beroperasi lebih tiga dekad.

Kemudahan itu kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV).

CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang.

Najib turut meluangkan masa melawat sekitar terminal baru tersebut dan berinteraksi dengan para pengguna serta memberikan sumbangan kuih raya kepada penumpang bas ekspres yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Ini merupakan lawatan ketiganya ke terminal bas tersebut sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009, di mana tiga minggu selepas itu Najib turun padang melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, termasuk Hentian Puduraya.

Berikutan dengan lawatan itu beliau mengarahkan supaya Hentian Puduraya dinaik taraf dengan segera, memandangkan keadaan bangunannya yang daif serta tidak memberi keselesaan sama sekali kepada para pengguna.

Kerja-kerja menaik taraf itu dijalankan oleh UDA Holdings Berhad dalam dua fasa dengan kos RM52 juta.

Sementara itu tinjauan Bernama di terminal bas tersebut turut mendapati pengguna sangat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan.

Seorang warga emas, K.P Lim, 66, berkata, persekitaran di Pudu Sentral sekarang sangat berbeza berbanding dahulu memandangkan ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa dan tidak bising.

"Dahulu (Puduraya) sangat panas, sangat bising. Orang tua seperti saya sangat tidak selesa keadaan seperti itu. Saya sangat berpuas hati dengan penambahbaikan kemudahan di sini. Memang sangat berbeza kalau dibandingkan dengan yang dulu," katanya.

Bagi Maimunah Ahmad Pardi, 55, persekitaran Pudu Sentral yang bersih dan nyaman membolehkan orang ramai menunggu bas dalam keadaan yang selesa walaupun penumpang terpaksa menunggu lama. -kosmo



Ulasan GB

PUDU SENTRAL dah siap. Kurang sedikit kerja Pakatan Rakyat apabila memerintah nanti. Najib sudah lakukan untuk Pakatan Rakyat. Terima kasih Perdana Menteri!

Dr Rosli Hentam YB PKR, Harakah & Lajnah Penerangan PAS Depan Kaca TV3. OK?

Posted: 27 Aug 2011 09:45 PM PDT

Isu Lynas yg panas? : Dr.Rosli yg ku kenal

...Isu YB Ahli Parlimen PAS Hulu Langat, Dr.Che Rosli Che Mat nampak meng'gegar'kan politik tanah air khususnya di Gebeng dan amnya di Malaysia.

Ada suara-suara sumbang kononnya Dr. Che Rosli telah dibeli oleh BN.

Saya berani mengatakan di sini, Dr.Rosli bukan orangnya yang boleh dibeli dengan tidak bermaruah begitu.

Saya telah mengenalinya selama 21 tahun kerana kami berkongsi surau yang sama. Beliaulah yang menarik saya ke dalam kumpulan usrahnya.

Ketika itu beliau masih menjadi pensyarah di UKM dengan pangkat Profesor Madya, tapi kerana aktifnya beliau dalam PAS beliau di'nafi'kan mendapat Profesor penuh.

Beliau melepaskan jawatannya untuk bertanding di DUN Perlis pada tahun 1999 dan 2004 dan kalah tipis kepada BN.

Pada PRU12 2008, beliau bertanding di Parlimen Hulu Langat dan menang.

Beliau adalah sorang pemimpin yang tegas dan kami amat 'takut' untuk bergurau ber'lebih-lebih'.

Beliau selalu marah-marahkan kami kalau lambat memulakan usrah kerana menunggunya......beliau selalu berkata, "Jangan tunggu naqib.....jangan buang masa."

Petang tadi beliau sempat meluangkan masa memberi penerangan kepada sahabat sebaik saja solat zohor berjemaah.

Terlalu teknikal untuk dicerita di sini......tapi beliau menegaskan beliau terpanggil pergi ke TV3 setelah dipujuk oleh Karam Singh Walia kerana beliau terpaksa menceritakan perkara sebenar tentang isu Lynas hanya dari aspek sains dan teknikal semata-mata dengan tidak berniat untuk menjatuhkan nama baik sesiapa samada dari kalangan Pakatan Rakyat atau PAS sendiri.

Kami semua amat berpuashati dan merasa lega dengan penjelasan beliau petang tadi.

Jika anda ada mendengar suara-suara sumbang serta tuduhan melulu......buangkan jauh-jauh......jauhilah fitnah kerana fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh. -albrangi


Lynas: PAS Pusat akan panggil Dr Che Rosli

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: PAS Pusat akan memanggil Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat berhubung kenyataannya mengenai isu Lynas yang disiarkan di TV3, malam tadi dalam Buletin Utama.

Selain itu, PAS Pusat akan turut mendapatkan keterangan berhubung kenyataan beliau yang mengatakan Lajnah Penerangan PAS Pusat melarang beliau mengeluarkan kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kekusutan yang timbul ekoran kenyataan Dr Che Rosli mengenai perkara itu.

Menurut beliau, sehingga kini beliau selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan sebarang kenyataannya tentang nuklear termasuk berhubung dengan isu Lynas.

Katanya, jadi kenyataan Che Rosli itu ternyata tidak berasas dan sehubungan itu pihaknya perlu memanggil Che Rosli bagi mendapatkan penjelasan daripada beliau sendiri mengenai perkara itu.

"Saya selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan halangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan kenyataan berhubung dengan nuklear. Jadi kita akan panggil Dr Che Rosli untuk mendapatkan penjelasannya," katanya pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Dr Che Rosli dalam laporan Buletin Utama TV3 semalam mengatakan beliau sudah lama bersabar dalam perkara itu sebab Penerangan PAS Pusat melarang beliau membuat kenyataan berhubung nuklear termasuk mengenai isu Lynas.

Selain itu, Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya.

Kenyataan Dr Che Rusli itu amat mengejutkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS kerana ia jelas bertentangan dengan pendirian PAS mengenai isu Lynas.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS dan Pakatan Rakyat tetap menolak projek nuklear Lynas di Gebeng, Kuantan kerana memikirkan risiko yang terpaksa dihadapi oleh penduduk negara ini terutama penduduk di kawasan itu.

Risiko yang dikenalpasti bukanlah hanya daripada pancaran radiasi, katanya, malah terdapat banyak potensi risiko yang cukup tinggi ketika pengangkutan bahan mentah yang tiba dari Australia di pelabuhan Kuantan ke tapak kilang LAMP milik Lynas di Gebeng Kuantan.

"Selain itu, risiko yang tinggi juga akan dialami ketika kerja-kerja pemprosesan, simpanan dan pengurusan sisa buangan (pepejal, air sisa dan gas) yang dikenalpasti mempunyai elemen radioaktif di dalamnya," katanya.

Menyedari hakikat itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menegaskan, PAS Pahang tetap konsisten dengan keputusannya sejak dulu yang bersama-sama penduduk di kawasan Gebeng, Kuantan menolak projek nuklear Lynas.

"Malah berdasarkan kenyataan penduduk di kawasan itu, sekiranya Dr Che Rosli yang bersetuju dengan projek itu, jangan sekali-kali dibina di kawasan mereka, tetapi bawalah projek nuklear Lynas itu ke tepi rumah Dr Che Rosli sendiri.

"Kenyataan penduduk di kawasan Gebeng itu perlu difahami dengan jelas oleh Dr Che Rosli. Mereka menentangnya bukan kerana tidak memahami kepentingan nuklear, tetapi tidak yakin dengan pengawalan dan pemprosesannya.

"PAS dan Pakatan Rakyat amat faham perkara itu dan ia juga amat perlu difahami oleh pelbagai pihak. Itulah sebabnya PAS bersama-sama penduduk di kawasan itu konsisten menentangnya sejak dulu," ujar beliau. -harakahdaily


Ulasan GB

Al-brangi menulis: tapi beliau menegaskan beliau terpanggil pergi ke TV3 setelah dipujuk oleh Karam Singh Walia kerana beliau terpaksa menceritakan perkara sebenar tentang isu Lynas hanya dari aspek sains dan teknikal semata-mata dengan tidak berniat untuk menjatuhkan nama baik sesiapa samada dari kalangan Pakatan Rakyat atau PAS sendiri.

Cerita mengarut apa yang disebutkan oleh YB Dr. Rosli menyatakan beliau dipujuk oleh Karam Singh Walia?

Ertinya beliau boleh dipujuk oleh pihak musuh kemudian disiarkan melalui TV itu, yang kita tahu bahawa setiap sesuatu yang disiarkan oleh media arus perdana akan sentiasa diputarbelitkan dan dimanipulasikan? Bebal tahap berapa seorang YB PAS dan seorang pemegang ijazah kedoktoran di dalam sains nuklear tentang hal itu.

Kita sentiasa mengingatkan supaya berhati-hati terhadap mikrofon wartawan dari media arus perdana, tetapi yang kali bukan sekadar mikrofon, siap dengan paparan kaca TV lagi!

Dan yang aneh beliau berdalih menyatakan hendak dicakapkan adalah hal-hal teknikal sedang yang berlaku ialah serangan sesama ahli parlimen di kalangan Pakatan. Bukankah itu pendustaan namanya di bulan puasa?

TV3 menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh Walia mengatakan Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan Dr Ahmad Termizi Ramli dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear.

Che Rosli bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau "malu" dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik. -TMI


dan tanpa segan silu beliau menghentam akhbar Harakah melalui kaca TV3:

Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya. -Harakahdaily


Selain itu, PAS Pusat akan turut mendapatkan keterangan berhubung kenyataan beliau yang mengatakan Lajnah Penerangan PAS Pusat melarang beliau mengeluarkan kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Kekesalan Ketua Penerangan PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Pahang ada sebabnya. Sila baca:

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kekusutan yang timbul ekoran kenyataan Dr Che Rosli mengenai perkara itu.

Menurut beliau, sehingga kini beliau selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan sebarang kenyataannya tentang nuklear termasuk berhubung dengan isu Lynas.

Katanya, jadi kenyataan Che Rosli itu ternyata tidak berasas dan sehubungan itu pihaknya perlu memanggil Che Rosli bagi mendapatkan penjelasan daripada beliau sendiri mengenai perkara itu.


Walaupun begitu GB tidak menyatakan YB Dr. Rosli itu telah dibeli BN tetapi ayat GB menyatakan begini:

Isi kandungan wawancaranya menampakkan beliau seorang yang terlebih sudu dari kuah. Tiada ada disiplin dan adab jemaah apabila menggunakan platform TV3 merendah-rendahkan wibawa pimpinan Pakatan Rakyat yang PAS adalah anggota komponennya.

Jika bersuara melalui blog atau twitter, walau betapa keras sekalipun disuarakan, mungkin boleh diterima ia sebagai perbezaan pandangan dan pendapat, dan parti pun bukan jenis mengongkong ahli mengeluarkan pandangan dan pendapat. Tetapi apabila disiarkan melalui TV3, itu sudah lain maknanya.

GB rasa berduyun pemimpin UMNO BN bertepuk tangan dan esok lusa akan datang (atau telah datang?) tawaran lumayan kepada Ahli Parlimen PAS itu untuk tinggalkan parti. Dan siapa tahu sebelum pilihanraya umum ini akan muncul anak katak sulung dalam PAS?


Baca ayat yang GB tebalkan. GB kata "berduyun pemimpin UMNO BN bertepuk tangan dan esok lusa akan datang" ertinya selepas dah tersiar TV3 beliau akan ditawarkan dengan lumayan untuk menyertai BN. GB tak kata sudah dibeli BN! Dan kemudian letakkan dalam kurungan "(atau telah datang?)" ertinya GB menyoal kepada DR. Rosli apakah terdapat kemungkinan mereka telah pernah menawarkan beliau sedemikian?

Dan ayat terakhir perenggan itu sebagai satu amaran: Dan siapa tahu sebelum pilihanraya umum ini akan muncul anak katak sulung dalam PAS?

Kerana tiada siapa tahu kecuali Allah, apa yang berlaku esok. Nakhaei, bukan sekadar YB tetapi seorang Naib Presiden PAS Pusat boleh ke seberang, apa besarnya pangkat seorang YB untuk tidak boleh diperingatkan?

Membaca semula tulisan AL-Brangi, maka terdedah satu kebenaran:

Beliau selalu marah-marahkan kami kalau lambat memulakan usrah kerana menunggunya......beliau selalu berkata, "Jangan tunggu naqib.....jangan buang masa."


Nak cepat tapi tak beradab sehingga Naqib pun boleh ditinggalkan. Syariatnya bagus: kerana bertindak pantas dalam bekerja, namun hakikatnya tak dapat diterima kerana tarbiyah mengajar kita supaya "naqib" tidak dilanggar begitu saja. Kalau tak jangan panggil naqib, panggil mas'ul sahaja. Bagi yang belajar secara berguru, ada bezanya hak Naqib dengan hak mas'ul. Dan begitulah akibat jika belajar agama tak berguru.

GB pun selalu berbeza pendapat dengan "Naqib" malah dengan Presiden PAS sendiri. GB pernah menentang gagasan Kerajaan Perpaduan TG Haji Abdul Hadi. Tetapi ruang lingkup tentangan adalah berbeza. Kerana berbeza pendapat itu, GB pernah dipanggil untuk diwawancara oleh media arus perdana (media eletronik dan media cetak), GB jawab: Terima kasih, cari blogger lain sahaja. Tuhan dah bagi saya cukup glamour sebenarnya. Tak perlu kepada pendedahan tuan-tuan semua!

InsyaAllah GB juga amat yakin dengan apa yang GB tulis selama ini adalah kebenaran. Kerana GB tidak menulis sebelum membaca doa ini:

Allahumma arinal haqqan, haqqa, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathilan bathila, warzuqnajtinabah


dan alhamdulillah, sungguh banyak kebenaran telah TERBUKTI hasil dari tulisan-tulisan GB sebelum ini. Gali di arkib jika tak percaya.

Tulisan GB sebelum ini



[Bergambar] Sekitar Munajat Pilihanraya Kelantan. Doa, Senjata Akhir Hadapi Kezaliman BN

Posted: 27 Aug 2011 07:15 PM PDT

Senjata doa atasi muslihat BN guna projek IC

KOTA BHARU, 27 Ogos: Biar pun tanpa nasi bungkus percuma untuk bersahur, namun ribuan anak-anak muda memenuhi Qaryah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV awal pagi tadi bagi mengikuti munajat pilihan raya.

Malah ada membawa beg galas besar, kemungkinan baru kembali ke kampung halaman, bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri dua hari lagi. Ada juga yang keletihan tidur di belakang khemah solat tarawih.

Khemah gergasi tempat solat dan munajat itu penuh sesak dengan orang ramai. Khemah tersebut boleh memuatkan sehingga 3,000 orang. Sebahagian lagi terpaksa solat dan munajat di bahagian luar khemah.

Jumlah kehadiran itu dianggap luar biasa memandangkan bulan Ramadan sekarang lebih ramai memilih bersahur bersama keluarga. Malah program agak sendat apabila amanat pimpinan yang disiarkan secara langsung menerusi internet berakhir jam 12 malam tadi, disambung pula dengan munajat.

Sebahagian peserta yang hadir rata-rata golongan muda. Program bermula jam 3 pagi diimamkan Ustaz Hussin Ibrahim Masri dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Bacaan zikir dan munajat pula dikepalai Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak. Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Program munajat berakhir kira-kira jam 4.50 pagi, bagi memberi peluang orang ramai yang hadir bersahur. Jualan nasi bungkus disediakan berhampiran Qaryah Ramadan.

Mubarak Kafe di sebelah khemah tarawih kelihatan penuh sesak dengan pelanggan. Beberapa kedai makan dan restoran di Dataran Usahawan juga masih beroperasi.

Berucap ringkas sebelum itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan terus memancak Islam dalam segenap aspek kehidupan sejak mengambil alih pentadbiran negeri ini pada akhir 1990.

"Usaha itu berterusan dilakukan sehingga ke saat ini. Ketika ini merupakan saat yang paling baik bagi umat Islam beribadat di akhir Ramadan bagi membersihkan diri kita daripada segala dosa," katanya.

Menurutnya, hanya doa sebagai senjata akhir bagi orang Islam ketika berdepan dengan kegentingan bagi menghadapi pilihan raya bila mana pihak lawan cuba menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengekalkan kuasa.

Ketika ucapan yang disiarkan secara langsung di 19 lokasi di seluruh negara termasuk boleh diikuti di Sabah dan Sarawak malam tadi Menteri Besar berkata, taktik buruk pihak lawan bagi mengekalkan kuasa hanya dapat dihadapi dengan munajat kepada Allah Taala.

Katanya di negara lain tentera digunakan bagi mempertahan kuasa pemimpin sedia ada, namun di negara kita pendatang diberi kad pengenalan bagi membolehkan pemerintah mengekalkan kuasa.

Kata beliau senjata doa tiada hijab yang boleh menghalang kerana ia akan terus sampai ke Allah Taala, lebih-lebih lagi kalau berkebetulan pula dengan Lailatul Qadar.

"Kita luahkan segala isi hati. Malam ini berkebetulan pula 27 Ramadan, iaitu malam-malam ganjil yang kemungkinan besar berlaku Lailatul Qadar. Allah Taala membuka pintu langit bagi membolehkan menerima terus doa daripada hambaNya," ujarnya pada program yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad , pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Program itu bermula jam 10 malam di mana siaran internet dipancarkan dari dua lagi lokasi iaitu Rusila, Terengganu dan Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Sebanyak 19 tempat pemimpin dan penyokong PAS berkumpul bagi mengikuti program berkenaan. Siaran itu boleh diikuti dengan jelas gambar dan audionya. Pengerusi program, Ustaz Idris Ahmad berada di Taman Melewar.

Di Rusila dua pemimpin berucap iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Ahmad Ghazali.-HD




















Kredit foto: Facebook Khiruddin Tok Ngulu


Pembongkaran BERS✔H: Belum Daftar Tapi Nama Tersenarai Dalam Sistem SPR

Posted: 27 Aug 2011 04:26 PM PDT

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendakwa berlaku kepincangan baru dalam daftar pemilih ekoran aduan bahawa ada rakyat yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, namun nama mereka sudah terdapat dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, rakyat disarankan agar melakukan semakan bagi memastikan maklumat peribadi dalam daftar pemilih lengkap dan betul.

"Akhir-akhir ini, Bersih 2.0 telah menerima beberapa kes di mana individu-individu yang belum mendaftar mendapati mereka dimasukkan dalam daftar pemilih. Terdapat juga kes di mana kawasan mengundi telah ditukar tanpa diberi notis," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru itu, Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevasan meminta semua rakyat sentiasa peka dan mengambil langkah bagi mengelakkan kepincangan berlaku.

"Oleh itu, Bersih 2.0 menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah-langkah ringkas berikut untuk memastikan setiap warga Malaysia memastikan hak anda kepada pilihan raya yang bersih, bebas dan adil tidak dicabuli.

"Semak nama anda dalam daftar pemilih untuk memastikan maklumat anda dalam daftar pemilih adalah tepat, semakan boleh dilakukan di laman web SPR, Kami berharap kepada semua warga Malaysia tidak kira di dalam atau di luar negera untuk menyemak nama dalam daftar pemilih," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.

Selain itu, jawatankuasa Bersih 2.0 juga meminta agar "Individu yang belum mendaftar untuk mengundi juga digalakkan untuk menyemak nama."

Kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, sekiranya maklumat peribadi dalam daftar pemilih tidak betul, pihaknya meminta agar dikemukakan aduan kepada badan itu.

"Sekiranya anda mendapat tahu kawasan mengundi anda telah ditukar tanpa pengetahuan atau nama anda dilampirkan dalam daftar pemilih walaupun belum mendaftar, sila berikan maklumat terperinci kepada kami di info@bersih.org atau faks kepada 03-77844978.

"Sekiranya anda masih belum mendaftar untuk mengundi, sila mendaftar di pejabat-pejabat pos yang terdekat selepas Hari Raya Aidilfitri, jangan mengabaikan hak mengundi anda! Pastikan anda mengundi ketika pilihan raya nanti," katanya.

Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Untuk memastikan pembaharuan sistem pilihan raya, pentadbiran Najib memutuskan untuk membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang akan dianggotai wakil daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat dan Bebas.

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan dibentuk rangka kerjanya berdasarkan lapan tuntutan Bersih 2.0.



Remaja Hilang Dibawa Lari Kawan

Posted: 27 Aug 2011 01:35 PM PDT

Seorang gadis berusia 16 tahun hilang tanpa berita selepas mengikuti seorang kawannya ke sebuah pasar raya di Alor Setar pada 22 Julai lalu.

Siti Noor Atikah Abu Bakar dipercayai mengikuti seorang kawan perempuan dikenali sebagai Shiela oleh kakaknya, Siti Noor Hasfinas Nurain, 17, yang ketika itu bersamanya.

Siti Noor Hasfinas berkata, dia dan adiknya pergi ke Alor Setar kira-kira jam 5 petang sebelum adiknya bertemu dengan Shiela.

Menurutnya, selepas itu, Siti Noor Atikah mengikuti Shiela dengan sebuah motosikal manakala dia menunggu adiknya di pasar raya berkenaan.

"Saya menunggu dia sehingga larut malam dan kelibatnya tidak muncul-muncul," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Panchur, dekat sini.

Bapanya, Abu Bakar Mat Desa, 44, berkata, sehingga hari ini khabar berita dan nasib mengenai anak ketiga daripada lapan beradik itu tidak diperoleh mereka.

Menurutnya, Siti Noor Atikah yang bersekolah di sebuah sekolah di daerah ini berperwatakan baik dan apabila ditegur sekiranya melakukan kesalahan, dia mendengar kata dan patuh dengan nasihat mereka.

"Saya cuba menghubungi telefon bimbit tetapi tidak dapat sehingga hari ini, saya minta sekiranya dia berkecil hati dengan kami, baliklah, kami minta maaf.

"Saya bimbang dengan keselamatannya, bagaimana dia hidup, tempat macam mana dia duduk dan bagaimana makan minumnya," katanya.

Ibunya, Haironi Abul Rahman, 43, berkata, anaknya yang bercita-cita mahu menjadi seorang model selepas tamat persekolahan juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kehilangannya.

Menurutnya, sambutan hari raya pada tahun ini tidak memberikan sebarang makna kepada mereka kerana sepanjang masa sentiasa memikirkan tentang nasib dan keselamatan anaknya itu.

"Bagaimanalah nasib anak kami sekarang," katanya.

Susulan kehilangan tersebut satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pokok Sena dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi keluarga berkenaan di talian 012-4594148 atau balai polis berhampiran.

Ulasan GB

Kata ibunya:

anaknya yang bercita-cita mahu menjadi seorang model selepas tamat persekolahan

Mungkin itu boleh menjadi clue kepada kehilangannya.

Isu Malay Basin: Petronas Curi Minyak Dari Perairan Kelantan

Posted: 27 Aug 2011 09:53 AM PDT

Kerajaan Kelantan menyelar tindakan Petronas yang mahu melaksanakan projek huluan baru bernilai RM15 bilion tanpa membuat sebarang rundingan dengan negeri itu.

Projek itu dikenali sebagai North Malay Basin.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Paduka Husam Musa menegaskan, projek untuk membangun dan mengeluarkan simpanan gas dari kelompok medan gas yang ditemui di luar pesisir pantai Semenanjung turut melibatkan Kelantan yang telah dinafikan hak mendapatkan royalti.

"Suka diingatkan bahawa projek North Malay Basin dengan blok-blok yang disebut iaitu PM 301, PM 302 serta telaga Bergading adalah sepenuhnya berada dalam perairan Kelantan," kata Husam dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, ia juga tidak bertindih dengan mana-mana negeri atau negara lain, malah 50km lebih dekat dari Terengganu.

"Adalah tidak wajar Kelantan tidak dirundingi dalam hal ini. Juga adalah tidak wajar sekali lagi Kelantan dipinggirkan dari mendapat faedah secara langsung daripada pembangunan hasil mahsul yang dianugerahkan Allah tersimpan di perut buminya," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Petronas dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa projek pembangunan pengeluaran gas di Utara Malay Basin akan disalurkan dengan paip lautan yang baru sejauh 200km ke Kerteh, Terengganu.

Husam yang juga pengerusi jawatankuasa tuntutan royalti Petroleum Kelantan menggesa Petronas meneliti semula dokumen cadangan kerajaan negeri supaya gas itu didaratkan di Bachok, Kelantan.

"Kerajaan negeri bersedia memberikan segala kemudahan bagi tujuan itu termasuk teknologi terkini yang mampu memproses gas dengan kandungan karbon yang tinggi dengan kos lebih murah dan dengan itu loji pemprosesan dapat ditempatkan di sini," kata Husam.

Katanya, kerajaan negeri akan berbuat apa sahaja supaya hasil mahsul Kelantan tidak sekali lagi diangkut keluar tanpa memberikan apa-apa faedah kepada rakyat dan negeri Kelantan.


Gigit Kemaluan Isteri: Peniaga Diarah Bela Diri

Posted: 27 Aug 2011 07:55 AM PDT

Ayer Keroh - Seorang peniaga diarahkan Mahkamah Majistret di sini, semalam, membela diri 5 September depan selepas didapati bersalah kerana melakukan hubungan seks tanpa kerelaan isterinya, dua tahun lalu.

Keputusan dibuat Majistret Muzila Mohamed Arsad terhadap tertuduh, Tengku Shaiful Nizam Tengku Abd Jalal, 31, selepas meneliti hujah pihak pendakwaan dan keterangan enam orang saksi yang tampil ke mahkamah.

"Saya mendapati laporan perubatan konsisten dengan keterangan mangsa yang digigit pada kemaluan.

"Oleh itu pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan tertuduh diarahkan untuk membela diri," katanya.

Tengku Shaiful Nizam yang tidak diwakili peguam ketika di akhir kes pendakwaan memilih untuk memberi keterangan bersumpah, selain akan turut memanggil dua saksi pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dari Taman Melaka Baru, melakukan perbuatan itu terhadap isterinya berusia 29 tahun di rumahnya di Jalan Melaka Baru 2/3 kira-kira jam 5 pagi pada 3 Jun 2008.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan menyatakan`mana-mana lelaki dalam suatu perkahwinan sah menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian atau kecederaan kepada isteri atau mana-mana orang lain untuk mengadakan persetubuhan hendaklah dipenjara maksimum lima tahun'.

Pada 8 Disember tahun lalu, Tengku Shaiful Nizam dituduh buat pertama kali dan Majistret Muhamad Hazri Hanafi membenarkan dia diikat jamin RM6,000. -SH

Ulasan GB

Berwaspada semasa menjalinkan perhubungan suami-isteri. Anda mungkin mangsa seterusnya. Mangsa kena gigit atau mangsa kena heret ke mahkamah kerana menjadi penggigit.

Bukankah di dalam Islam semua itu ada peraturannya? Bukankah sudah ada doa yang telah diajar oleh Rasulullah sebelum melayari bahtera? Walaupun boleh datang ke "kebun" dengan cara mana yang kamu suka mengapa diikut gaya Iblis dalam bersenggama?

بِسْمِ اللهِ اَللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا.


"Dengan Nama Allah, Ya Allah! Jauhkan kami dari syaitan, dan jauhkan syaitan untuk mengganggu apa yang Engkau rezekikan kepada kami." ( HR. Al-Bukhari 6/141, Muslim 2/1028.)



Gangguan Seksual TV3 - Bukan Tidak Benar, Cuma Tidak Tepat

Posted: 27 Aug 2011 02:55 AM PDT

TV3: Laporan ganguan seksual tidak tepat

Sistem Televisyen Malaysia Berhad, TV3 dalam satu kenyataan media hari ini berkata laporan 'Wartawan TV3 dakwa kena ganguan seksual' yang disiarkan pada 24 Ogos lalu sebagai tidak tepat.

"Merujuk kepada tajuk berita berikut: "Wartawan TV3 dakwa kena ganguan seksual' di laman portal Malaysiakini pada 24 Ogos lalu, pihak TV3 mengambil langkah untuk menyiasat perkara tersebut selaras dengan polisi integriti syarikat.

"Hasil siasatan mendapati ia tidak tepat, malah tiada aduan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak mengenai dakwaan tersebut.

"Kami berharap kenyataan ini dapat menjelaskan kedudukan sebenar laporan berkenaan," petik kenyataan yang difakskan hari ini.

Pada Rabu lalu, memetik sumber, TV Selangor melaporkan empat wartawan termasuk seorang pembaca berita TV3 mendakwa menjadi 'mangsa' gangguan seksual seorang editor kanan setesen televisyen swasta itu.

Menurut TV Selangor, empat orang yang mendakwa diri mereka mangsa ganggual seksual itu tampil baru-baru ini memberi kenyataan kepada pihak pengurusan.

Antara lain, mereka mengemukakan mesej sistem pesanan ringkas (SMS) berunsur lucah yang dihantar oleh editor berkenaan sebagai menyokong dakwaan gangguan seksual yang dialami mereka sejak beberapa bulan itu.

Menurut sumber berkenaan lagi yang dipetik oleh TV Selangor, editor tersebut menggunakan pangkat dan jawatannya untuk "menggoda" mereka secara licik. -mk

Ulasan GB

Demikian jawapan TV3. Ungkapan "tidak tepat" bermaksud - penafian yang tidak putus. Bererti juga, hal yang dilaporkan itu ada kebenarannya cuma kurang ketepatannya.

Mungkin jika ada laporan rasmi dibuat, barulah tepat, pada pandangan TV3.

Jika perlu, TV3 boleh adakan inkuiri awam. Dedahkan siapa Editor Kanan tersebut dan kesemua mangsa dipanggil untuk berikan keterangan. Ia lebih baik untuk kebenaran dan keadilan.

Ada berani?

Pendirian Harussani Bukti UMNO BN Lemah

Posted: 27 Aug 2011 01:30 AM PDT

Pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung perpecahan Melayu disifatkan sebagai mempunyai asas dan keadaan itu akan terus berlaku sekiranya pentadbiran Najib tidak berusaha memperbaiki keadaan itu.

Ketua Penerangan Pas Perak, Ahmad Nuri Al-Amin berkata, tiga perkara asas yang dibangkitkan Harussani mengenai perpecahan orang Melayu perlu menjadi intipati rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti kelmarin, Harussani berkata, perpecahan Melayu yang berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

"Kenyataan tersebut sewajarnya perlu dijadikan intipati dan teras pertimbangan rakyat dalam memilih pemimpin yang benar-benar layak untuk memelihara amanah rakyat dalam ruang dan peluang yang ada semasa pilihan raya umum ke-13.

"Peringatan itu jelas membawa mesej agar jika pemimpin yang lemah, tidak amanah dan rasuah masih dipilih untuk memerintah maka ia akan hanya menjadikan bangsa Melayu makin berpecah dan sentiasa mundur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nuri berkata, merujuk pula kepada kes penyelewengan yang berlaku di Perak gejala rasuah dalam kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak dapat dibendung lagi.

"Kenyataan Harussani bertepatan dengan apa yang telah didedahkan oleh PAS Perak sejak dari dulu lagi. Antaranya apa yang dinyatakan oleh Dewan Pemuda PAS Perak Februari lalu berkaitan seorang exco kerajaan negeri Perak yang telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Hal yang sama juga dapat diperhatikan dari pendedahan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak April lepas berkenaan satu dokumen membabitkan penyalahgunaan kuasa yang berunsur rasuah oleh seorang exco kerajaan negeri Perak," katanya.

Tambah beliau, pendedahan penyelewengan yang berlaku di Perak membuktikan kesahihan kenyataan Harussani.

"Gambaran-gambaran ini jelas menunjukkan kesahihan kenyataan Tan Sri Harussani tentang kelemahan, pengkhianatan dan amalan rasuah kerajaan BN yang tidak mampu dibendung oleh ulama kerajaan dari terus berleluasa.

"Gejala rasuah ini masih menular di dalam BN yang memerintah termasuk di Perak. Kami yakin rakyat boleh menilai dan melihat sendiri sepertimana yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Harussani," katanya.


Harussani: Saya hanya nasihat Najib, tak dipengaruhi sesiapa

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Tan Sri Harussani Zakaria menjelaskan beliau hanya memberi nasihat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menyatukan kembali orang Melayu dan langkahnya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk dari dalam Umno sendiri.

Mufti Perak ini berkata, teguran terhadap pentadbiran Najib berhubung perpecahan orang Melayu dibuat berdasarkan realiti dan persekitaran politik semasa.

"Saya hanya beri nasihat kepada Najib supaya perbetulkan semula perkara ini, sebab perpecahan Melayu memang berlaku sekarang.

"Kita mesti pertahankan bangsa kita dan Najib perlu cari jalan untuk satukan semula orang Melayu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beberapa blog pro-Najib dan mesej-mesej menerusi Twitter mempersoalkan kenyataan terbuka beliau semalam. Ada yang mendakwa kenyataan beliau itu seolah-olah cenderung dan memihak kepada timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam komennya kepada The Malaysian Insider hari ini, Harussani (gambar) juga mengakui ada menerima teguran dan kritikan mengenai kenyataannya itu.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan pihak yang membuat teguran.

Apabila ditanya sama ada kenyataan beliau ada kaitan dengan Umno atau memihak Muhyiddin, Harussani berkata: "Itulah bila saya bercakap, orang hentam saya."

"Perpecahan Melayu memang berlaku, anda sendiri boleh tengok sendiri. Saya tidak akan berhenti daripada memberikan nasihat kepada sesiapa termasuk perdana menteri, apa yang perlu saya akan sampaikan," katanya.

Justeru jelas Harussani, beliau kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang bertindak menghentam apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak menyokong kerajaan.

Semalam dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti, Harussani berkata, perpecahan Melayu yang berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.

Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Ditanya kembali mengenai pendedahan itu, Harussani berkata perpecahan Melayu berlaku disebabkan tiga faktor itu.

"Najib tanya kepada saya mengapa jadi macam ini (perpecahan Melayu), saya kata ia berlaku sebab kerajaan sekarang cukup lemah, tidak amanah dan rasuah.

"Sebab itu saya minta Najib perbetulkan, cari jalan... bukan hanya Najib, kerajaan dan rakyat juga perlu cari jalan untuk bersatu," katanya.

Justeru beliau meminta Najib supaya mencari jalan untuk menyatukan semula perpaduan orang Melayu yang semakin parah.

Tegas Harussani, perpecahan Melayu yang berlaku sejak sekian lama berpunca dari pentadbiran negara yang lemah selain terlalu banyak penyelewengan yang berlaku.

Justeru beliau menasihatkan Presiden Umno itu agar melaksanakan pentadbiran negara mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan jadi lemah kerana tak jaga Perlembagaan Persekutuan dengan betul, kalau jaga insya-Allah rakyat akan jadi kuat.

"Kerajaan yang lemah, tidak jujur berlaku sebab tidak ikut Perlembagaan dan rasuah itu kita tak perlu sebutlah, dari dulu heboh orang kata... perlembagaan ada tapi kerajaan tak laksanakan dengan betul,"
katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, sekiranya pentadbiran Najib melaksanakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan orang Melayu akan kembali bersatu.

"Kalau ikut Perlembagaan, orang Melayu tidak akan berpecah, keistimewaan Perlembagaan perlu dijaga.

"Jadi Najib kena fikirkan jalan untuk satukan semula orang Melayu, kalau orang India, orang Cina boleh bersatu, mengapa tidak orang Melayu," katanya.

Sebelum ini isu perpecahan Melayu acap kali dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk Perkasa yang diketuai Datuk Ibrahim Ali. -TMI




Tiada ulasan: