Jumaat, 5 Ogos 2011

sesemut emas ™

sesemut emas ™


Fadhilat-fadhilat Sahih Bagi Solat Tarawih

Posted: 04 Aug 2011 02:04 AM PDT

Saban tahun bila menjelangnya Ramadhan selalu kita mendengar dan terbaca akan tentang kelebihan solat tarawih yang diriwayatkan dari Sayyidina Ali R.A yang cukup popular. Barangkali kerana tersebarnya kitab Durrah an-Nasihin dan terjemahan Melayunya yang memuatkan hadith tersebut di dalamnya.

Antara teksnya; daripada Sayyidina Ali R.A beliau telah menanyakan kepada Rasulullah S.A.W tentang fadhilat Solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Jawab Rasulullah S.A.W tentang fadhilat tarawih sebagai berikut, mulai dari malam pertama sampai malam 30 Ramadhan:

1. Malam Pertama: Diberi balasan seperti bayi baru dilahirkan.
2. Malam Kedua: Diampuni Allah dosanya dan bagi ibu-bapanya jika keduanya mukmin.
3. Malam Ketiga: Diseru oleh malaikat di bawah Arasy dan dengan solat tersebut diampuni Allah dosanya yang telah lalu.
4. Malam Keempat: Dibalas Allah seperti membaca kitab Taurat, Injil, Zabur, dan Quran.
5. Malam Kelima: Kemudian dikurniai Allah seolah-olah sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah, dan Masjidil Aqsa.
6. Malam Keenam: Dikurnia Allah seolah-olah dia tawaf di Baitul Makmur dan dipintakan ampun oleh segala batu dan pasir.
7. Malam Ketujuh: Dikurniai Allah seolah-olah ia berjumpa dengan Nabi Musa AS dan membantu Musa melawan Fir'aun dan Haman...
8. ...demikian seterusnya hingga akhir malam ke-30.

Pengarang Durrah an-Nasihin hanya menyebut sumber petikannya daripada kitab Majalis. Bagaimanapun, hadith ini adalah hadith palsu, malah tiada sumber asal yang muktamad bagi hadith ini sebagaimana yang disebutkan oleh pakar-pakar hadith. Antaranya seperti yang disebut oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam tesisnya (Ph.D.), Takhrij Hadith-hadith Durrah an-Nasihin. Dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei (1999) juga menyatakan ianya tiada di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah, namun ada diriwayatkan seumpamanya di dalam kitab-kitab Syiah seperti kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi dan Wasa'il al-Syi'ah oleh al-Hurr al-'Amili. Dan rujukan mereka tidak dapat dipegang oleh kita.

Maka bagi menggantikan hadith palsu tersebut saya telah menemukan empat buah hadith yang sabit mengenai kelebihan solat tarawih ini. Iaitu sepertimana berikut;


1. Diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.


عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمرهم بعزيمة ثم يقول : من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه. رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائي.


Daripada Abu Hurairah R.A katanya: "
Rasulullah S.A.W pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadhan tanpa menyuruh mereka dengan kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabdanya: Barangsiapa yang berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu". - Hadith Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, at-Tirmizi dan an-Nasa'i.

2. Kembali sepertimana hari ibunya melahirkannya.

حديث عبد الرحمن بن عوف: من صامه وقامه إيمانا واحتسابا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. رواه النسائي في الكبرى (11،295) والصغرى (2199)، وأحمد (1618، 1645) وابن خزيمة (2015) وابن ماجه (1331) والبيهقي في الشعب (3462).

Daripada 'Abdur Rahman bin 'Awf, sabda Nabi SAW: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya" - Hadith Riwayat an-Nasa'i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Baihaqi.

3. Ditulis dari kalangan para siddiqin dan syuhada'.

عن عمرو بن مرة الجهني رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن شهدت أن لا إله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وأديت الزكاة وصمت رمضان وقمته، فممن أنا ؟ قال : من الصديقين والشهداء. رواه البزار وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما واللفظ لابن حبان.

Daripada 'Amru bin Murrah al-Juhani RA katanya: "Datang seorang lelaki kepada Nabi S.A.W lalu katanya: Wahai Rasulullah, apakah pendapat tuan sekiranya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya tuan adalah utusan Allah, dan saya bersolat lima waktu, menunaikan zakat serta berpuasa bulan Ramadhan dan berqiam Ramadhan, maka dari golongan siapakah saya ini? Jawab baginda: Dari kalangan para siddiqin dan syuhada'." - Hadith Riwayat al-Bazzar, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban.

4. Ditulis baginya pahala seumpama berqiamullail.

حديث أبي ذر : من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة. رواه الترمذي وقال : هذا حديث حسن صحيح 791.

Hadith Abu Zar R.A, sabda Nabi S.A.W: "Barangsiapa berqiam (Ramadhan) bersama-sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamullail". - Hadith Riwayat at-Tirmizi.

Demikianlah fadhilat-fadhilat yang besar bagi orang yang mengerjakan solat tarawih ini. Kelebihan-kelebihan tersebut tidak tertentu pada malam tertentu sahaja, bahkan ianya adalah umum bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan. Semuanya dapat diperolehi dengan kemurahan rahmat Allah S.W.T bagi mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakannya. Mudah-mudahan fadhilat-fadhilat solat tarawih ini dapat tersebar secara lebih luas menghapuskan hadith palsu mengenainya.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Adab Berpuasa Dan Solat Sunat Tarawih

Posted: 04 Aug 2011 01:45 AM PDT

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama' silam pernah berpesan:

"Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?"

Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW:

"Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga." - Hadith Riwayat an-Nasaei.

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah S.A.W, Puasa itu adalah 'perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: "Saya sedang berpuasa." - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis L.A. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah S.W.T, kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W yg bermaksud;

"Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya." - Hadith Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi.

Terdapat ulama' yang mengungkapkan kata-kata berikut:

"Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang."

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah S.W.T dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi S.A.W berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda S.A.W:

"Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur." - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda S.A.W:

"Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)." - Hadith Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah.

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat tarawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan 'wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan tarawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi ma'mum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat tarawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun 8 rakaat. Sabda Rasulullah S.A.W;

"Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (ma'mum) pahala qiam semalaman." - Hadith Riwayat an-Nasaei.

-ibnumustafa-

Tiada ulasan: