Blog-list Malaysia |
- Isu gereja: PAS Selangor akan panggil Hasan Ali, tuntut penjelasan
- Bersihkan Daftar Pemilih : Putrajaya Perlu Ikut Langkah Selangor Sedia Dana
- Hadir di gereja bukan makna murtad
- Raja-Raja usah dengar cakap Umno saja
- Pendedahan Bagaimana Proses Kewarganegaraan Berlaku
- Pengundi P Pinang tambah 32,000 dalam 3 bulan
- 'Buka puasa di gereja cubaan murtadkan umat Islam'
Isu gereja: PAS Selangor akan panggil Hasan Ali, tuntut penjelasan Posted: 04 Aug 2011 11:38 PM PDT SHAH ALAM, 5 Ogos — PAS Selangor menuntut penjelasan Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali berhubung dakwaan ada usaha mahu memurtadkan orang Islam pada satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya kelmarin. Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Khalid Samad berkata, selain itu pihaknya juga mahu menunggu laporan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai serbuan itu yang turut disertai polis. "Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita simpan komen akhir sehinggalah dapat laporan Jais dan mesyuarat dewan (harian) bersama Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi. "Kita nak tengoklah apa bukti yang dia (Hasan) kata ada itu," katan beliau pada sidang media di pejabatnya di sini. Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu setakat ini, hanya Hasan yang mengaitkan program anjuran Harapan Komuniti dengan tujuan mahu memurtadkan umat Islam. "Jais sebelum ini memberi alasan terdapat bukti penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam. "Setakat ini , 'kecuali satu' tiada mana-mana pihak yang mengaitkan persoalan pengembangan agama bukan Islam terhadap penganut Islam," tambah Khalid. Kelmarin, kira-kria 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam. Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum. |
Bersihkan Daftar Pemilih : Putrajaya Perlu Ikut Langkah Selangor Sedia Dana Posted: 04 Aug 2011 09:55 PM PDT KUALA LUMPUR 5 OGOS : Dewan Pemuda PAS Selangor menyarankan kepada Putrajaya supaya mengikut langkah kerajaan negeri itu yang bersedia menawarkan geran RM 1 juta bagi membiayai usaha menfailkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap senarai daftar pengundi baru yang mencurigakan. Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam kenyataan medianya berkata, tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu adalah satu tindakan bijak dalam usaha membersihkan rang daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan SPR. "Sepatutnya pihak kerajaan pusat mengambil inisiatif mencontohi tindakan kerajaan negeri Selangor dengan menggunakan kuasa eksekutif yang ada pada mereka bagi memastikan pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pilihan raya yang lebih baik, telus daripada sebarang penyelewengan. "Kami merasakan ini adalah satu tindakan bijak dan murni kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam menyemarakkan rasa tanggungjawab rakyat negeri ini untuk bersama-sama membersihkan rang daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan SPR untuk suku ketiga bagi tahun 2011 daripada sebarang perkara yang meragukan," katanya. Rabu lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri bersedia menawarkan geran RM 1 juta berikutan pihaknya memandang serius aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi sedia ada dan pengundi baru. "Aduan dan tuduhan termasuk rakyat negera jiran yang mendapat taraf pemastautin tetap dan disenarai sebagai pengundi amat merungsingkan dan perlu diatasi dengan segera. "Kami berpendapat bahawa rakyat berhak menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka laluan kepada sistem pilihan raya yang bersih dan adil," katanya. Menurut Abdul Khalid, geran itu terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan parti politik. Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai pertukaran status kewarganeraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan hebat daripada kepimpinan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR. Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergembar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia. Tambah Hasbullah, jentera sayap Pemuda PAS di negeri itu perlu membuat persediaan rapi selain mengambil tindakan proaktif jika terdapat keraguan dalam daftar pemilih yang akan dipamerkan Oktober ini. "Sebarang kecuaian dan kelekaan di dalam mempastikan daftar pemilih di kawasan masing-masing dibersihkan daripada unsur-unsur manipulasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab akan menyebabkan 'tumbangnya' pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," katanya. - TVS |
Hadir di gereja bukan makna murtad Posted: 04 Aug 2011 09:33 PM PDT Khalid Samad menjauhkan kepimpinan PAS Selangor daripada kenyataan Exco Kerajaan Negeri Datuk Hasan Ali yang mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sambil berkata majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara Utara bertujuan memurtadkan sekumpulan orang Islam. Ahli Parlimen Shah Alam itu menegaskan pandangan Hasan yang dikeluarkan petang semalam bukan pendirian PAS Selangor, sekali gus memperlihatkan perpecahan yang mendalam dalam hubungan kepimpinan parti itu di peringkat negeri itu. "Apakah penganut Kristian tidak boleh menggunakan kalimah al-Quran dan doa? Ini bukan pendirian PAS. Ia pendirian beliau sebagai Exco yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama," katanya lagi. "Muslim hadir di gereja bukan petanda murtad. Datuk Seri Najib Razak menemui Pope di Vatican. Adakah ia menunjukkan murtad?" kata Khalid (gambar) yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor. Jais dan polis dilaporkan telah mengadakan serbuan ke atas gereja itu yang terletak di Petaling Jaya malam kelmarin ekoran satu aduan yang tidak spesifik. Serbuan itu dibuat kira-kira tiga minggu selepas Najib mengunjungi Pope di Vatican untuk menjalin hubungan diplomatik. Hasan merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor sehingga awal Jun lalu. Beliau digantikan dengan Adun Meru dan Khalid turut dilantik semula sebagai salah seorang timbalannya. Khalid menegaskan, tidak kira apa juga undang-undang, Jais seharusnya hormat premis gereja dan mendapatkan waran sebelum mengambil tindakan. Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu seringkali memperlihatkan perbezaan pendapat dengan Hasan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008. Dalam kenyataannya dikeluarkan lewat petang semalam, Hasan mempertahankan tindakan Jais yang menyerbu majlis makan malam Gereja Methodist Damansara Utama atas alasan ada bukti mahu memurtadkan umat Islam. Hasan menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan. Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan "al-Quran" dan "doa" diselitkan pada majlis itu. Hasan menambah, seramai 12 orang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Kenyataan itu berkata kesemua 12 mereka telah diarah untuk hadir di Jais bagi siasatan lanjut. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Malam satu kenyataan semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri Selangor memandang serius tindakan Jais dan polis menyerbu majlis makan malam muhibbah itu. Khalid berkata beliau secara peribadi telah menghubungi Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden tersebut. Ho berkata, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam kelmarin. Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum. "Ini adalah majlis makan malam bagi orang ramai datang atas semangat 1 Malaysia. Kebanyakannya beragama Kristian... ada juga (hadirin), kira-kira 15 orang Melayu," katanya lagi. |
Raja-Raja usah dengar cakap Umno saja Posted: 04 Aug 2011 07:14 AM PDT MINGGU ini Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah menekankan dalam titahnya betapa perlunya Raja-Raja Melayu mempunyai penasihat yang berani menyatakan kebenaran. Berucap dalam Wacana Ilmu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertema "Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga" di Shah Alam baru-baru ini, Raja Nazri mahu Raja-Raja disembah maklumkan secara berterus terang mengenai cerita sebenar dan sama sekali tidak dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri sehingga Raja tergamak diperalatkan. "Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar," titah baginda seperti yang dilapor Bernama. Menurut baginda, Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun, kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran. Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Raja tidak dapat berperanan secara bermakna sekiranya Raja sentiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran. "Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja, menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggungjawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga," titah baginda. Baginda bertitah adalah benar persaingan politik semakin sengit dan juga benar isu agama dan isu kaum amat sensitif tetapi persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum serta mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati rakyat yang lebih rencam. "Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua tetapi kaedah mencari kemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama," titah Raja Nazrin. Baginda bimbang jika suhu politik semakin panas, impian untuk membina perpaduan akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan. Raja Nazrin bertitah untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas polemik politik tetapi Raja juga ada amanah, ada tanggungjawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun secara damai. "Tetapi Raja tidak memiliki lampu ajaib yang boleh memupuk perpaduan dalam sekelip mata apatah lagi jika suasana sudah terlalu berkecamuk," titah baginda. Menurut Raja Nazrin, sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberi nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara mengenai tanggungjawab masing-masing supaya Raja tidak disalahtafsir mencampuri secara langsung urus tadbir negara. Baginda bertitah bahawa perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang selepas pilihan raya umum ke-12 di mana perlu ada penerimaan kepada realiti dan pemahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam. "Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan," titah baginda. Raja Nazrin Shah juga bertitah bahawa dalam dinamik politik yang sedang berlaku, adalah bertambah penting Raja selaku tonggak kestabilan dan payung penyatuan rakyat, bersifat berkecuali supaya semasa berlakunya krisis, Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak. Meneliti apa yang ditekankan Raja Nazri, pada hemat saya, saranan baginda harus diimplementasikan dari kalangan golongan istana terlebih dahulu. Ini kerana Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam. Raja-Raja juga harus memerintah yang adil dan bijaksana. Raja-Raja juga harus menjadi contoh dan teladan terbaik untuk diikuti oleh rakyat jelata. Ada dua elemen penting yang menentukan sama ada saranan Raja Muda Perak diambil kira atau tidak. Pertamanya ialah sikap Raja-Raja Melayu itu sendiri, yang harus kekal berkecuali. Kedua, Raja-Raja tidak seharusnya bergantung bulat-bulat kepada penasihat-penasihat sebelah pihak, khususnya Umno-Barisan Nasional sebagaimana yang dilihat rakyat kebanyakan. Jika Raja-Raja tidak mempunyai sifat yang selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Raja Nazrin, jangan sesekali dipersalahkan, jika rakyat mempunyai persepsi yang negatif terhadap institusi Diraja. Raja-Raja harus membuka minda untuk mendengar pandangan semua pihak sebelum baginda memutuskan tentang sesuatu perkara. Yang menjadi punca di sini ialah Umno-BN. Kerakusan mereka di Perak pada Februari 2009 misalnya, menjadi antara punca utama rakyat semakin tidak selesa dengan institusi istana. Dalam soal masa depan Melayu misalnya, kebimbangan Raja-Raja Melayu adalah amat wajar ditujukan kepada kegagalan Umno selama lebih 60 tahun berkuasa dalam negara, tetapi kedudukan ekonomi bangsa Melayu terhakis, bahasa Melayu semakin terancam dan sebagainya. Begitu juga dalam soal Perhimpunan Bersih 2.0. Sepatutnya Raja-Raja Melayu tidak boleh campurtangan dan bersikap adil sebagaimana contoh yang ditunjukkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Namun, rakyat boleh melihat dan membaca dengan jelas terdapat kenyataan pihak istana yang menghentam Bersih 2.0 berikutan eksploitasi yang diadu-domba oleh media talibarut Umno-BN. Oleh kerana itu, jika Raja-Raja Melayu hendak bersikap adil dan dilihat adil serta bijaksana, jika Raja-Raja mahu negara aman dan damai, mereka tidak harus mendengar nasihat Umno-BN secara bulat-bulat dalam isu berkaitan agama, politik, perkauman dan sebagainya. Raja-Raja harus mendapat pandangan kedua tentang sesuatu isu yang dianggap sensitif terutamanya daripada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat mewakili suara rakyat yang besar. Raja-Raja tidak perlu menunggu memorandum daripada rakyat. Pada bila-bila Raja-Raja boleh memanggil pemimpin Pakatan Rakyat ke istana. Pakatan Rakyat akan memberikan sepenuh kerjasama kepada institusi Diraja kerana, kami mahu mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti dengan aman, tiada kekacauan. Pakatan Rakyat mahu kerjasama semua pihak termasuk istana, tentera, polis dan jentera kerajaan, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat dipelihara sebaiknya. Daulat Tuanku. Harakahdaily |
Pendedahan Bagaimana Proses Kewarganegaraan Berlaku Posted: 04 Aug 2011 05:45 AM PDT Seorang penjenguk blog Merah Tinta telah mengirim emai seperti dibawah ini. Saya tidak mahu mengulas email ini tetapi para penjenguk semua dapat menilai dan mengkaji sendiri serta mengambil iktibar atas apa didedahkan ini. Atas permintaannya saya tidak akan dedahkan nama penjenguk ini, sebagai penghormati etika journalisme. Assalamualaikum tuan hj mso, Saya ingin berkongsi maklumat tentang isu ini. Sememangnya di kawasan kampung saya iaitu di Sungai Buloh Selangor, keadaan ini sudah menjadi amat parah. Saya anggarkan tidak kurang daripada 200-400 orang diberi taraf warganegara Malaysia dengan begitu mudah. Saya mengetahui cerita ini daripada ayah saya sendiri. Dia berjaya mendapat taraf warganegara setelah 20 tahun memohon dan hampir 30 tahun berhijrah ke Malaysia daripada Kemboja akibat perang saudara di sana. Apa yang mendukacitakan, ada yang baru sahaja beberapa tahun tiba juga turut diberikan taraf warganegara. Mereka dihimpunkan secara teratur dan 'misteri' di beberapa tempat untuk menguruskan hal ini. Antaranya ialah di sebuah dewan orang ramai di Kuala Selangor dan juga sebuah kem motivasi juga di sana. Apa yang mendukacitakan, ada yang baru sahaja beberapa tahun tiba juga turut diberikan taraf warganegara. Mereka dihimpunkan secara teratur dan 'misteri' di beberapa tempat untuk menguruskan hal ini. Antaranya ialah di sebuah dewan orang ramai di Kuala Selangor dan juga sebuah kem motivasi juga di sana. Memang terbukti bahawa pihak JPN, Polis dan beberapa agensi kerajaan lain terlibat dalam projek ini. Di dalam dewan, mereka diberikan ceramah seperti birotatanegara, angkat sumpah, mengambil gambar dan diuruskan proses pendaftaran SPR secara 'amat sistematik'. Baca seterusnya disini |
Pengundi P Pinang tambah 32,000 dalam 3 bulan Posted: 04 Aug 2011 04:19 AM PDT Berikutan dakwaan bahawa lebih 1,500 penduduk tetap dibenarkan mendaftar dalam senarai tambahan pemilih terbaru, Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini mendakwa jumlah pengundi di negeri itu telah melonjak dengan mendadak sebanyak 32,000 orang dalam hanya tiga bulan. Seramai 1,400 undi pos dimasukkan ke dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Maung, yang kini diwakili oleh exco kerajaan negeri itu, Abdul Malik Kassim dari PKR. Antara 2008 hingga 2010, kerusi majoriti Melayu itu menyaksikan peningkatan sebanyak 2,200 pengundi. Kebanjiran pengundi itu didedahkan hari ini dalam sidang akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang turut dihadiri oleh Abdul Malik dan Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman. Pada masa lalu, kata Lim, biasanya akan ada pertambahan kira-kira 10,000 pengundi baru, tetapi peningkatan tiga kali ganda itu "mencurigakan" dan menimbulkan kebimbangan "mungkin berlaku penipuan". "Pilihan raya umum semakin hampir. Jika pertambahan pengundi adalah 200 hingga 400, ia boleh diterima, tetapi kini terdapat pertambahan sebanyak tiga kali ganda (jumlah tersebut). Macam mana nak menang?" soalnya. Hantu lapar undi Lim berkata pertambahan jumlah pengundi berlaku dalam tempoh tiga bulan, sambil menyentuh tentang dakwaan mengenai 'Mismah' dan lebih 1,500 penduduk tetap yang didaftarkan sebagai pengundi. "Dalam dunia ini, kita telah mi segera, tetapi di Malaysia, kami mempunyai pengundi segera," kata Lim berseloroh. "Bulan ini adalah bulan hantu lapar untuk orang Cina, tetapi apa yang kita lebih takut ialah pengundi hantu," katanya. Lim mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana keengganannya untuk menyiasat kes-kes tersebut atau mengambil tindakan. Malaysiakini |
'Buka puasa di gereja cubaan murtadkan umat Islam' Posted: 04 Aug 2011 04:08 AM PDT Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, malam semalam kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam, kata ahli exco hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali. Menurut beliau, berdasarkan maklumat bahawa terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan, Jais menghatar anggota penguatkuasaannya bersama polis bagi menjalankan siasatan. "Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut. Tiada serbuan dan tiada tangkapan dibuat. "Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan," kata Dr Hasan dalam satu kenyataan media. Menurut beliau, anggota penguatkuasaan Jais bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di bangunan gereja itu walaupun cuba dihalang oleh pihak penganjur. "Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai," katanya. Beliau berkata pada majlis itu, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam, di mana ucapanya ada diselitkan perkataan "Quran" dan "pray". "Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan bagi menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti. Larikan diri "Pegawai penguakuasa Jais dan polis mendapati ada percubaan di kalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang," katanya. Menurut Dr Hasan berdasarkan siasatan awal, 12 penganut Islam yang terbabit dengan majlis itu akan disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan. Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Semua mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di bahagian penguakuasaan Jais untuk siasatan lanjut. Sebelum ini, paderi kanan gereja itu, Daniel Ho dalam satu kenyataan akhbar berkata majlis makan malam yang diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO yang menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan. Menurutnya, majlis itu bertujuan bagi meraikan usaha NGO berkenaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam beberapa projek komuniti, termasuk kerja-kerja amal dengan wanita dan kanak-kanak, mangsa HIV/AIDS dan penyakit lain. |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan