Rabu, 3 Ogos 2011

sesemut emas ™

sesemut emas ™


Fadhilat-fadhilat Sahih Bagi Solat Tarawih

Posted: 02 Aug 2011 09:24 PM PDT

Saban tahun bila menjelangnya Ramadhan selalu kita mendengar dan terbaca akan tentang kelebihan solat tarawih yang diriwayatkan dari Sayyidina Ali R.A yang cukup popular. Barangkali kerana tersebarnya kitab Durrah an-Nasihin dan terjemahan Melayunya yang memuatkan hadith tersebut di dalamnya.

Antara teksnya; daripada Sayyidina Ali R.A beliau telah menanyakan kepada Rasulullah S.A.W tentang fadhilat Solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Jawab Rasulullah S.A.W tentang fadhilat tarawih sebagai berikut, mulai dari malam pertama sampai malam 30 Ramadhan:

1. Malam Pertama: Diberi balasan seperti bayi baru dilahirkan.
2. Malam Kedua: Diampuni Allah dosanya dan bagi ibu-bapanya jika keduanya mukmin.
3. Malam Ketiga: Diseru oleh malaikat di bawah Arasy dan dengan solat tersebut diampuni Allah dosanya yang telah lalu.
4. Malam Keempat: Dibalas Allah seperti membaca kitab Taurat, Injil, Zabur, dan Quran.
5. Malam Kelima: Kemudian dikurniai Allah seolah-olah sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah, dan Masjidil Aqsa.
6. Malam Keenam: Dikurnia Allah seolah-olah dia tawaf di Baitul Makmur dan dipintakan ampun oleh segala batu dan pasir.
7. Malam Ketujuh: Dikurniai Allah seolah-olah ia berjumpa dengan Nabi Musa AS dan membantu Musa melawan Fir'aun dan Haman...
8. ...demikian seterusnya hingga akhir malam ke-30.

Pengarang Durrah an-Nasihin hanya menyebut sumber petikannya daripada kitab Majalis. Bagaimanapun, hadith ini adalah hadith palsu, malah tiada sumber asal yang muktamad bagi hadith ini sebagaimana yang disebutkan oleh pakar-pakar hadith. Antaranya seperti yang disebut oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam tesisnya (Ph.D.), Takhrij Hadith-hadith Durrah an-Nasihin. Dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei (1999) juga menyatakan ianya tiada di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah, namun ada diriwayatkan seumpamanya di dalam kitab-kitab Syiah seperti kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi dan Wasa'il al-Syi'ah oleh al-Hurr al-'Amili. Dan rujukan mereka tidak dapat dipegang oleh kita.

Maka bagi menggantikan hadith palsu tersebut saya telah menemukan empat buah hadith yang sabit mengenai kelebihan solat tarawih ini. Iaitu sepertimana berikut;


1. Diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.


عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمرهم بعزيمة ثم يقول : من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه. رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائي.


Daripada Abu Hurairah R.A katanya: "
Rasulullah S.A.W pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadhan tanpa menyuruh mereka dengan kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabdanya: Barangsiapa yang berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu". - Hadith Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, at-Tirmizi dan an-Nasa'i.

2. Kembali sepertimana hari ibunya melahirkannya.

حديث عبد الرحمن بن عوف: من صامه وقامه إيمانا واحتسابا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. رواه النسائي في الكبرى (11،295) والصغرى (2199)، وأحمد (1618، 1645) وابن خزيمة (2015) وابن ماجه (1331) والبيهقي في الشعب (3462).

Daripada 'Abdur Rahman bin 'Awf, sabda Nabi SAW: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya" - Hadith Riwayat an-Nasa'i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Baihaqi.

3. Ditulis dari kalangan para siddiqin dan syuhada'.

عن عمرو بن مرة الجهني رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن شهدت أن لا إله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وأديت الزكاة وصمت رمضان وقمته، فممن أنا ؟ قال : من الصديقين والشهداء. رواه البزار وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما واللفظ لابن حبان.

Daripada 'Amru bin Murrah al-Juhani RA katanya: "Datang seorang lelaki kepada Nabi S.A.W lalu katanya: Wahai Rasulullah, apakah pendapat tuan sekiranya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya tuan adalah utusan Allah, dan saya bersolat lima waktu, menunaikan zakat serta berpuasa bulan Ramadhan dan berqiam Ramadhan, maka dari golongan siapakah saya ini? Jawab baginda: Dari kalangan para siddiqin dan syuhada'." - Hadith Riwayat al-Bazzar, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban.

4. Ditulis baginya pahala seumpama berqiamullail.

حديث أبي ذر : من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة. رواه الترمذي وقال : هذا حديث حسن صحيح 791.

Hadith Abu Zar R.A, sabda Nabi S.A.W: "Barangsiapa berqiam (Ramadhan) bersama-sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamullail". - Hadith Riwayat at-Tirmizi.

Demikianlah fadhilat-fadhilat yang besar bagi orang yang mengerjakan solat tarawih ini. Kelebihan-kelebihan tersebut tidak tertentu pada malam tertentu sahaja, bahkan ianya adalah umum bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan. Semuanya dapat diperolehi dengan kemurahan rahmat Allah S.W.T bagi mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakannya. Mudah-mudahan fadhilat-fadhilat solat tarawih ini dapat tersebar secara lebih luas menghapuskan hadith palsu mengenainya.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W

Posted: 02 Aug 2011 08:45 PM PDT

Adab-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W, iaitu Al-Quran dan Sunnah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata', Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

"Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: Aku melihat Rasulullah S.A.W di al-'Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda S.A.W ketika Baginda S.A.W berpuasa disebabkan dahaga atau panas."


Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:


"Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebah
agian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah S.A.W di al-'Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda S.A.W ketika Baginda S.A.W berpuasa disebabkan dahaga atau panas."

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadhan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunnah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadith:

1. Membaca doa yang thabit daripada Nabi S.A.W.

Ibn 'Umar RA berkata:

"
Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca: Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala. (Dzahabaz zhoma u wabtallatil 'uruuqu wa thabatal ajru insyaallah)" – Hadith Riwayat Abu Dawud.

Abdullah Ibn 'Umar R.A berkata:

"Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku. (Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi'ta kulla syai inan taghfirali)" - Hadith Riwayat Ibn Majah.

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa.

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka."
– Hadith Riwayat Ibn Majah.

2. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar.

Ini berdasarkan hadith-hadith yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa'ad bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa." - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi S.A.W, iaitu Baginda S.A.W menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

"Barangkali sebab Allah S.W.T menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya."

(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

3. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air.

Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu'jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadith daripada Anas R.A katanya:

"Bahawa Rasulullah S.A.W berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air." - Hadith Riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi, katanya hadith ini hasan) Ad-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini.

(lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda S.A.W, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

"Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi S.A.W telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda S.A.W menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air."

(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut).

Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi S.A.W.

4. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Hadith yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi S.A.W berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum
dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadith-hadith baginda Nabi S.A.W antaranya: Daripada Anas bin Malik R.A.: Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu." - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalam hadith yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda S.A.W bersabda:

"Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa." - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar R.A. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama' menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

"Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk."

(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadith-hadith Nabi S.A.W, lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi S.A.W ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

"Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah S.W.T agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah."

(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

5. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka.

Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T maksudnya:

"Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan." - Al-Quran, Surah al-`Araf; ayat 31


Di dalam hadith Baginda S.A.W menyebut:

"Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan." - Riwayat at-Tirmizi, katanya: hadith ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan.

Hadith ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi S.A.W menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda S.A.W menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

6. Berdoa ketika berbuka.

Ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W:


"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka." - Hadith Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin 'Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur'ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif.

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

"Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota." (Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

"Adalah Rasulullah S.A.W apabila berbuka, Baginda S.A.W bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah." - Hadith Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan.

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

7. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka.

Telah berkata Anas R.A:


"Baginda S.A.W pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat." - Hadith Riwayat Abu Daud, ad-Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunnah Nabi S.A.W ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.

-ibnumustafa-

Adab Bersahur Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W

Posted: 02 Aug 2011 08:41 PM PDT

Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda SAW:

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani RA:

"Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur."

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur." - Hadith Riwayat Imam at-Tarmizi.

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah S.W.T melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi S.A.W amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air.

Sabda baginda S.A.W:

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." - Hadith Riwayat Imam Ahmad.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit." - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Hadith ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah S.W.T sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

"Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)." - Surah al-Baqarah; ayat 187.

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa'ad R.A berkata:

"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah SAW." - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Qadi Iyadh RA berkata:

"Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar." - Dinukil dari Fathul Baari.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas R.A, Zaid bin Thabit R.A berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi S.A.W, kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?" Beliau menjawab: "Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Hadith ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadith tersebut adalah Rasulullah S.A.W langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi S.A.W memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

-ibnumustafa-

Tiada ulasan: