Isnin, 1 Ogos 2011

sesemut emas ™

sesemut emas ™


Antara Yang Palsu dan Yang Benar: 'Doa Jibril A.S diaminkan Nabi Muhammad S.A.W.'

Posted: 01 Aug 2011 12:37 AM PDT

Saban tahun menjelangnya Ramadhan, akan berlegar email-email memohon maaf dengan bersandarkan pernyataan yang dikatakan doa daripada Jibril A.S iaitu:

Doa Malaikat Jibril A.S menjelang Ramadhan,

"Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad S.A.W, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami & isteri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang di sekitarnya."

Maka Rasulullah S.A.W pun mengatakan Amieen sebanyak 3 kali..

Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa itu adalah Malaikat Jibril A.S dan yang meng-amieenkannya adalah Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat, dan ianya dilakukan pada hari Jumaat yg penuh barakah..

Namun, ketahuilah bahawa ianya tidak diketahui asal-usulnya. Bila para pengkaji hadith mengkajinya, ia didapati palsu, suatu cubaan untuk berdusta atas nama baginda Nabi Muhammad S.A.W. Para pengkaji hadith menemui hadith lain yang mirip kepada kata-kata di atas iaitu:

Dari Ka'ab Bin 'Ujrah R.A katanya:

Rasulullah S.A.W bersabda:
"Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini."

Lalu Baginda S.A.W menjawab:

"Sesungguhnya Jibrail A.S telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.
"

Hadith Riwayat Bazzar dalam Majma'uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka'ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)

Maka, nasihat saya.. Berhati-hatilah bila disampaikan sesuatu kepada kita yang dikaitkan dengan baginda Nabi S.A.W. Cuba teladani kisah bagaimana para sahabat bersikap terhadap sesuatu yang dikaitkan dengan baginda Nabi S.A.W seperti yang diriwayatkan dalam Shahih Bukhari (no: 5891) di bawah:

Daripada Abu Sa'id al-Khudri, dia berkata: Aku (Sa'id al-Khudri) sedang menghadiri majlis yang diadakan oleh kaum Ansar, kemudian Abu Musa datang mendekatiku, dia berkata: Aku (Abu Musa) telah mengucapkan salam tiga kali di hadapan pintu rumah Umar namun tidak mendapati jawapan, lalu aku pun pulang, kemudian aku ditanya orang: "Mengapa engkau pulang?" Aku telah mengucapkan salam tiga kali namun tidak mendapati jawapan, oleh sebab itu aku harus pulang, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

"Apabila kamu mengucapkan salam sebanyak tiga kali dan tidak mendapat jawapan maka hendaklah kamu pulang"

Abu Sa'id berkata: Demi Allah engkau telah mengeluarkan satu penjelasan, adakah diantara kamu sekalian yang pernah mendengarkan apa yang telah didengar oleh Abu Musa daripada Rasulullah S.A.W? Lalu Ubay bin Ka'ab berkata: Demi Allah tidak ada yang turut mendengarnya melainkan orang yang lebih muda diantara kami dan aku adalah orangnya, aku bersamanya semasa itu dan aku juga telah mengkhabarkan kepada Umar bahawa bahawa Rasulullah S.A.W bersabda sedemikian.

Namun, saya akui tidak ramai yang mampu untuk menilai setiap apa yang disampaikan kepadanya. Jadi, saya sarankan agar kita memilih antara dua pilihan di bawah:

1. Berdiam diri daripada menyebarkannya sehinggalah jelas diketahui bahawa ianya benar shahih daripada Nabi Muhammad S.A.W, atau;

2. Menyampaikannya kepada mereka yang dipercayai sebagai ahli dalam bidang hadith untuk memintanya agar membuat semakan terhadap hadith itu.

Apabila telah dijelaskan kepalsuan sesuatu hadith, sebaiknya kita berhenti menyebarkannya dan seboleh-bolehnya maklumkan semula kepada mereka yang pernah mendengarnya daripada kita bahawa ianya adalah palsu. Ini kerana Rasulullah S.A.W telah memberi ancaman kepada pendusta atas namanya:

"Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka." - Hadith Shahih Mutawattir, Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain.

Akhir kata, sama-samalah kita menyambut bulan Ramadhan ini dengan penuh kegembiraan, seperti mana gembiranya kita dapat bonus gaji, sepatutnya begitulah (atau lebih daripada itu) kita gembira dengan bonus pahala berlipat ganda dalam bulan Ramadhan ini.

Dalam hadith Rasulullah S.A.W mengaminkan doa Jibril A.S itu, disebut salah satu yang diaminkan ialah "Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni." Cubalah kita muhasabah diri, bagaimana agaknya dosa tidak diampun itu? Yang utama ialah jauhilah mensyirikkan Allah dan jagalah iman kita. Berpuasalah atas sebab iman, bukannya berpuasa kerana ianya budaya sebelum berhari raya. Disebut dalam hadith shahih yang maksudnya:

"Barang siapa yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu" - Hadith Riwayat Bukhari : 38 dan Muslim : 175.

Teruskan mempelajari ilmu Islam untuk memperkuatkan lagi iman kita dan perbanyakkan doa memohon keredhaan Allah SWT ke atas kita. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua yang membaca. Salam maaf dan sekian, wassalam.

Ramadhan al-Kareem!

-ibnumustafa-

Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikom Ya Ramadhan Al-Mubarak..

Posted: 31 Jul 2011 11:33 PM PDT





Perkara yang baik sempena bulan yang penuh barakah Ramadhan al-Mubarak ini, marilah kita sama-sama bermaaf-maafan terutamanya dengan kedua orang tua kita (jika masih ada), antara suami & isteri dan dengan orang-orang di sekitar kita dan jauhkanlah dari kita sifat sombong dan bakhil.. maka perbanyakkanlah amalan sedekah di bulan mulia ini..

Oleh itu saya dengan penuh rasa rendah diri memohon ampun & maaf jika saya ada berbuat kesalahan, dari segi perilaku, perbuatan, perkataan @ apa jua yg menyinggung perasaan, baik yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna sepanjang Ramadhan al-Mubarak ini..

Awalnya Rahmat,
Pertengahannya Keampunan,
Penutupnya Bebas Dari Neraka..

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." - Surah Al-Baqarah; ayat 183.

Hadith Rasulullah S.A.W: Ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An-Nasa'i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah R.A, yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga kita sama2 mendapat barakah & ma'firah dari-Nya..
Rebutlah peluang sebaik mungkin di setiap saat dalam bulan yg penuh mulia ini..
Amieen..

Kullu 'Am Wa Antum Bikhair..

May Allah Bless You..
Have a Nice day..
..:: You'll Never Walk Alone, Allah Is Always By Your Side ::..

-ibnumustafa-

Tiada ulasan: