Isnin, 1 Ogos 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Najib terperangkap soalan mahasiswa

Posted: 01 Aug 2011 12:07 AM PDT

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terperangkap dengan soalan yang dikemukakan mahasiswa ketika menghadiri Persidangan Tahunan Pemimpin Pelajar Malaysia ke-5 di Kuala Lumpur, semalam.

Tindakan Najib mengelak dari menjawab persoalan 'Melayu dahulu, Malaysia kemudian' oleh mahasiswa yang hadir persidangan itu, menunjukkan beliau tidak mempunyai gagasan pemikiran yang jelas, kata Pengarah Biro Mahasiswa, Angkatan Muda KEADILAN,Saifullah Zulkifli.

Saifullah berkata, Najib cuba mengelak dari menjawab soalan itu dengan alasan tidak mahu ia dikaitkan dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedangkan rakyat pada umumnya tahu hubungan yang renggang antara mereka.


"Najib cuba 'playsafe' tentang soal 'Melayu dahulu, Malaysia kedua'. Sepatutnya Najib wajib menjawab persoalan yang dilontarkan. Anak muda mahu tahu pandangannya tentang itu,"

"Dalam masa yang sama, Najib cuba menunjukkan kononnya tiada konflik yang ketara di antara mereka. Sedangkan semua orang tahu tentang itu. Pemimpin Umno sekarang berusaha untuk menaikkan Muhyiddin," kata Saifullah.

Dalam pada itu katanya, Najib juga terperangkap dengan soalan mahasiswa apabila ditanya mengenai perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), 9 Julai lalu.

Saifullah berkata, jawapan Najib bahawa beliau menawarkan Stadium Shah Alam dan bukan Stadium Merdeka kepada gabungan itu, menunjukkan sikapnya yang diumpamakan seperti 'lidah bercabang'.

"Dia sendiri yang menyatakan – jika mahu berhimpun pergi ke stadium. Ini diucapkan oleh Najib sendiri semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) 4 Julai lalu.

"Sedangkan, dia tidak kata mana-mana stadium secara spesiifik. Mungkin benar kata orang-orang Umno. Sikap seperti ini yang menyebabkan mereka mahu cepat-cepat menurunkan Najib," kata Saifullah.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?


Pilihan raya olok-olok: BN boleh hilang Perak, Negeri Sembilan

Posted: 31 Jul 2011 10:57 PM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Barisan Nasional (BN) boleh kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13, demikian menurut keputusan pilihan raya olok-olok melainkan parti-parti komponennya meletakkan muka-muka popular yang berpotensi dan memastikan jentera di peringkat akar umbi menjana sokongan pengundi.

The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya latihan yang diadakan baru-baru ini menunjukkan BN boleh kehilangan sehingga 15 daripada 56 kerusi di Johor, dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

Persekitaran itu tidak pernah diduga tetapi BN telah hilang enam kerusi di Johor pada pilihan raya umum 2008.

Daripada enam kerusi itu PAS menguasai dua manakala DAP pula empat.


Difahamkan Perlis, di mana BN menguasai 14 daripada 15 kerusi, kemungkinan akan kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan salah satu daripada tiga bahagian Parlimen di tangan Pakatan Rakyat disebabkan kemarahan penduduk negeri itu mengenai isu Wahabi termasuk tindakan meletakkan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dalam senarai pengganas.

"Pilihan raya olok-olok ini menunjukkan banyak kelemahan. Dan, isu Wahabi tidak membantu," kata satu sumber Umno kepada The Malaysian Insider.

Seorang pemimpin Umno yang semakin meningkat juga memberikan sentimen yang sama sambil menegaskan, BN perlu meletakkan muka-muka baru untuk menyegarkan kedudukan perikatan itu sementara memastikan jentera peringkat bawah peringkat aktif bagi mendapatkan sokongan menyeluruh.

"Masalahnya ialah jentera Umno boleh bekerja jika diberikan motivasi, tetapi ahli parti komponen kelihatan tidak diberikan motivasi," kata pemimpin Umno itu.

Beliau mendedahkan bahawa Umno hanya boleh menang 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak meskipun BN memerintah semula negeri itu sejak awal 2009 ekoran tindakan melompat parti melibatkan tiga wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Pada Jun lalu, Umno negeri itu yakin boleh menang 33 kerusi dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menolak laporan The Malaysian Insider bahawa kemenangan hanya boleh dipastikan jika calon yang betul dipilih kali ini.

Difahamkan beberapa pemimpin Umno bahagian di Perak keberatan untuk berkempen atau mendaftar pemilih baru melainkan mereka pasti akan menjadi calon pilihan raya umum ke-13.

"Umno Perak kuat dan boleh menang 33 kerusi negeri tetapi pemimpin-pemimpin bahagian tidak mahu bergerak kecuali mereka atau calon pilihan mereka diturunkan," kata sumber Umno ketika itu.

Pada Mac 2008, Umno bertanding di 34 daripada 59 kerusi Dewan Undngan Negeri di Perak dan menang 27 kerusi manakala MCA pula satu. Pakatan Rakyat memperoleh 31 kerusi.

"Keadaan tidak berubah di Perak dan kini keadaan yang sama wujud di Negeri Sembilan memandangkan pembangkang menjadi semakin kukuh, melihat pada kemungkinan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan kekal sebagai menteri besar," kata sumber Umno.

Mohamad disebut-sebut akan bertanding kerusi Parlimen.

Kata sumber itu, mereka melobi dengan kuat untuk mendapatkan kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan.

"Tetapi mereka lupa bahawa kemenangan ketika pilihan raya umum 2008 adalah tipis," katanya lagi.

Di negeri itu, BN menguasai 21 daripada 36 kerusi manakala 15 dimenangi Pakatan Rakyat, yang yakin untuk mengambil alih negeri itu kali ini.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS kini menguasai kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selain memperoleh 82 kerusi Parlimen.

Perikatan itu menyasarkan akan memperoleh lebih banyak kerusi kali ini dan mengurangkan lagi majoriti BN pada pilihan raya umum ke-13.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memberi bayangan bila pilihan raya umum akan diadakan tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberitahu BN agar bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum dalam waktu terdekat.

Kebanyakan penganalisis dan pemimpin pembangkang menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini tetapi ada juga mengatakan ia kemungkinan diadakan seawal November ini selepas Bajet 2012 dibentangkan di Parlimen awal 7Oktober dan sebelum perhimpunan agung tahunan Umno.


Ku Li Ganti Anwar - Lawak Paling Bodoh Ciptaan Umno

Posted: 31 Jul 2011 10:00 PM PDT

Saya nasihatkan sempena bulan Ramadhan ini, tulislah perkara-perkara yang betul dan benar," kata Mursyidul Am PAS.

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan wujudnya perbincangan tertutup antara dirinya dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengenai isu pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Nik Aziz dalam responnya terhadap laporan akhbar New StraitsTimes (NST) semalam berkata dakwaan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Omar Salleh yang mengatakan dirinya yang mahu Ku Li menggantikan Anwar dalam sebuah pertemuan sulit itu 'kelakar'.

"Lawak jenaka! Itulah saja yang boleh saya sifatkan kepada khabar angin yang mengaitkan saya dengan perbincangan rahsia untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pakatan Rakyat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya nasihatkan sempena bulan Ramadhan ini, tulislah perkara-perkara yang betul dan benar.


Ingatlah, apa yang ditulis dan diucap akan menjadi bahan untuk dihisab (disoal) oleh Allah di akhirat kelak," katanya dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan dalam laman sosial Twitter dan Facebook miliknya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan turut mempersoalkan mengenai spekulasi Anwar akan dipenjara sedangkan keputusan mengenai kes liwat II masih belum diputuskan mahkamah dan masih diperingkat pembelaan.

Putar belit

Katanya, ini hanyalah satu isu tidak benar yang diputarbelitkan oleh media massa milik Umno-Barisan Nasional (BN).

"Apa yang peliknya, ada akhbar yang boleh membuat cerita bahawa cadangan ini timbul kerana dijangka Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke penjara ekoran kes liwatnya yang sedang dibicarakan.

"Adakah benar keputusan mahkamah di negara ini sudah boleh dijangka atau sememangnya keputusan tersebut sudah bocor?

"Setakat itulah sahaja saya ingin memberikan respon tehadap 'lawak jenaka' media massa terbaru milik Umno-BN ini," katanya.

Spekulasi mengenai beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang mahu Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) tercetus sejak minggu lalu apabila Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim mendakwa mendapat maklumat tersebut daripada rakannnya yang juga pemimpin dalam PKR.

Zahrain mendakwa tindakan Pakatan Rakyat kini terdesak mencari ketua pembangkang yang baru bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memandangkan peluang Anwar dikenakan hukuman kerana kes liwatnya terhadap bekas pembantu peribadi Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah tinggi.


Prof Shamsul : Ia bukan sekadar daftar pemilih bersih

Posted: 31 Jul 2011 09:02 PM PDT

Seorang ahli akademik kanan hari ini mengingatkan bahawa perubahan positif seperti proses pilihan raya yang bersih tidak akan bermakna jika ianya tidak disertai dengan satu sistem sokongan urustadbir.

Prof Shamsul Amri Baharuddin, pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membayangkan bahawa isunya bukanlah sangat mengenai menangani masalah yang ada sekarang, tetapi juga memikirkan masalah masa depan yang boleh dan tidak dapat dielak akan timbul ekoran penyelesaian yang dilaksanakan.

Setakat yang beliau tahu, tegasnya, negara masih mengamalkan demokrasi berperwakilan (representative democracy).


"Kita mempunyai wakil rakyat dan kita mengundi memilih mereka. Kita boleh mempunyai pilihan raya yang bersih, tetapi bolehkah kita jamin bahawa wakil rakyat akan mewakili kita, atau partinya?" soalnya kepada kira-kira 500 pelajar yang menghadiri sidang kemuncak pemimpin pelajar Malaysia di Kuala Lumpur.

Shamsul, yang merupakan salah seorang daripada empat ahli panel mengenai pilihan raya umum ke-13, menegaskan bahawa Malaysia juga terjebak dengan masalah lama dalam memisahkan kerajaan daripada politik.

Beliau mengakui bahawa ia adalah sukar untuk mengubah pemikiran - yang menurutnya menjadi sebab mengapa BN mahu rakyat supaya berterima kasih kepada mereka kerana "membawa pembangunan" dengan wang pembayar cukai tetapi menekankan bahawa perubahan adalah perlu.

Dengan mengambil contoh mentaliti "Perang Dingin" dalam cara
pihak berkuasa melaksanakan undang-undang, Shamsul berkata ia merupakan satu isu yang mempunyai implikasi yang jauh terhadap masyarakat Malaysia hari ini.

Katanya, ini merupakan isu yang amat serius disebabkan Perang Dingin, banyak undang-undang yang ada hari ini telah digubal pada zaman darurat.

Beliau berkata, kita telah melewati Perang Dingin dan apa yang perlu kita lakukan ialah mentakrif semula siapakah musuh kita, atau apakah sasaran kita.

Bagaimanapun, tegasnya, itu tidak pernah dilakukan.
Mengenai pilihan raya umum umum ke-13, Shamsul berkata pengundi semakin kecewa dengan kaedah lama urustadir atas-bawah yang digunakan, yang menurutnya, telah dikuatkuasakan sejak zaman darurat dalam tahun 1960-an.

Beliau berkata ini akan menjadi perkara utama di kalangan pengundi, ekoran semakin meningkatnya keperluan untuk menyatakan pandangan mereka.

Dengan itu, tambahnya, apa yang wujud ialah jurang antara apa yang mereka "fikir kita mahu dan apa yang kita mahu".
Katanya, ini merupakan situasi umumnya di seluruh negara, di mana apa yang kerajaan, parti pemerintah atau pihak berkuasa "fikir kita mahu, sebenarnya bukanlah apa yang kita mahu".

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula mengakui risiko jika
mengenepikan pendapat umum - khususnya kesedaran yang semakin meningkat mengenai kebebasan awam.

Katanya, manakala dua pertiga daripada 222 kerusi Parlimen terletak di kawasan luar bandar, lebih 50 peratus pengundi berdaftar di negara ini tinggal di bandar dan ianya dijangka meningkat kepada 75 peratus menjelang tahun 2020.

Oleh itu, tegasnya, ia adalah satu kesilapan jika partinya tidak memperdulikan isu-isu ini dan menumpukan kepada isu-isu pembangunan dan kempen populis.

Naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa pemimpin politik perlu menyedari hakikat bahawa isu-isu asas masih kekal prominen, walaupun optimis dengan peningkatan penyertaan orang awam seperti yang dilihat pada perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

Isu-isu global, katanya, seperti keadaan ekonomi yang semakin buruk akan memberi kesan kepada Malaysia, yang turut akan memberi kesan kepada keadaan kehidupan dan keadaan itu akan membawa kepada isu-isu lain.

Akhirnya, tegas beliau, pengundi akan melihat sama ada ia akan memberi kesan kepada mereka.

Bridget Welsh, seorang profesor bersekutu dalam bidang sains politik di Universiti Pengurusan Singapura pula percaya bahawa keputusan pemilihan yang akan datang, akan ditentukan oleh golongan atas pagar, yang beliau ganggarkan kira-kira 40 peratus daripada pengundi berdaftar.

Beliau berkata ia juga akan bergantung kepada trend mengundi di kalangan pengundi Melayu dan India dan juga trend di Sabah dan Sarawak - yang dianggap sebagai 'deposit tetap' BN.

Welsh juga menegaskan perlunya reformasi sistem pilihan raya,
yang menurutnya, tidak memberi peluang yang sama rata untuk pengundi berdaftar menjalankan hak-hak mereka.

"Terdapat masalah yang jelas dalam proses pilihan raya. Ianya bebas di mana anda boleh mengundi siapa yang anda mahu, tetapi ia tidak adil... ramai di dalam bilik ini tidak boleh mengundi kerana anda berada di luar negara, dan ini adalah salah," katanya kepada peserta sidang kemuncak.

razali01.blogspot.com


Pakatan janji henti permit teksi pada syarikat

Posted: 31 Jul 2011 08:45 PM PDT

Pakatan Rakyat sedia meluluskan sepuluh tuntutan bagi memperbaiki taraf hidup pemandu teksi, termasuk menghentikan pemberian permit kepada syarikat, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, golongan pemandu teksi juga perlu berusaha bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan, kata Anwar yang diuar-uarkan sebagai "bakal perdana menteri" dalam pertemuan pemandu teksi dengan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Saya tidak boleh janji nak beri mahligai kepada setiap orang, tapi saya boleh janji kereta yang saudara pandu itu, saudara ada hak ke atasnya.


"Saya beri komitmen, saya akan laksanakan. Tapi saudara saudari juga perlu pastikan perubahan berlaku.

"Kena teguh bekerja, barulah agenda kita akan berjalan," katanya lagi kepada hampir 500 orang yang hadir di majlis perhimpunan pemandu teksi Kuala Lumpur dan Selangor.

Jelasnya, pemandu teksi perlu menjadi ejen Pakatan dengan menjelaskan dasar-dasar gagasan itu dan mengedarkan lidah parti Pakatan – Harakah, Suara Keadilan dan Roket – kepada pelanggan mereka.

Sepuluh resolusi yang diluluskan dalam pertemuan itu termasuk tuntutan supaya kerajaan meluaskan skim keselamatan sosial pekerja (Perkeso), meminda perjanjian sewa beli antara pemandu dan syarikat teksi.

Turut dinyatakan dalam resolusi berkenaan ialah tuntutan supaya kerajaan merangka skim insurans dan pencen serta skim pinjaman perumahan persendirian khas bagi golongan pemandu teksi.

'100 permit untuk bekas menteri'

Kumpulan pemandu teksi berkenaan turut menuntut supaya kadar premium insurans bagi kenderaan teksi juga disemak semula supaya sesuai dengan kemampuan pemandu teksi.

Anwar berjanji bahawa beliau akan menyemak semula perjanjian yang dibuat antara syarikat teksi dan pemandu supaya syarikat berkenaan tidak dapat lagi menyewakan teksi mereka kepada kira-kira 30,000 pemandu berkenaan.

"Kita nak tengok datuk-datuk dan tan sri-tan sri ini pula kerja bawa teksi," kata bekas timbalan perdana menteri itu lagi yang menambah, isu berhubung permit teksi sememangnya menjadi masalah sejak beliau masih di dalam kerajaan.

Tanpa menamakan sesiapa, Anwar mendakwa seorang bekas menteri juga telah diberikan sebanyak 100 permit teksi walaupun individu berkenaan telahpun menerima saham dalam syarikat bumiputera.

Keadaan itu memeritkan golongan pemandu teksi yang terpaksa menyewa teksi daripada syarikat berkenaan.

"Tapi menteri suruh (pemandu teksi) senyum. Macam mana nak senyum, bini duduk gaduh barang makan tak cukup. Senyum hotak kamu," katanya lagi yang disahut dengan "laungan hidup datuk seri" daripada hadirin.

Turut berucap dalam majlis anjuran Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor itu ialah penasihat DAP Lim Kit Siang, exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dan juga ADUN Kampung Tunku Lau Weng San.

Sepuluh tuntutan berkenaan dirangka oleh penasihat undang-undang bagi majlis berkeanaan yang juga peguam bagi kumpulan pendesak Hindraf – R Kengadharan dan V Ganabatirao.


Selangor Bakal Dirampas Dengan Bantuan Pendatang Asing

Posted: 31 Jul 2011 09:48 AM PDT

Sebelum baca artikel ini, dipersilakan pergi ke blog "AMENO WORLD". Lihat sendiri bagaimana seorang bernama MISMAH yang mempunyai IC Merah, namun nama beliau terdaftar sebagai pengundi yang sah.

TUlang Besi mendapat banyak laporan bahawa aktiviti memberi IC kepada pendatang asing serta mendaftar mereka menjadi pengundi telah berjalan lebih 2 tahun kebelakangan ini.

Jumlah mereka ini sudah mencecah puluhan ribu dan nama-nama mereka sekarang berada di dalam senarai daftar pemilih.

Mengikut maklumat Tulang Besi dapat, perkara yang sama juga berlaku di negeri2 lain seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Perlis dan Penang.


Pendek kata negeri2 yang Barisan Nasional dalam bahaya, aktiviti mendaftar pendatang asing berjalan dengan begitu aktif.

Maka, pada Pakatan Rakyat di Selangor dan terutamanya kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid, kalau perkara ini tidak dibenteras sekarang, bersedialah untuk mengosongkan bangunan SUK kerana tidak mungkin pendatang2 asing ini akan mengundi PAkatan Rakyat.

Berhenti buat program2 yang berbentuk syok sendiri dan buat sesuatu untuk membersihkan Daftar Pemilih dengan kadar segera.

Selangor negeri kaya dan Selangor ada rekod setiap rumah yang ada di dalam negeri Selangor ni. Tiada masaalah bagi kerajaan Selangor melakukan operasi membersihkan daftar pemilih dari sekarang.

Kalau tak percaya, silalah rujuk artikel terdahulu Tulang Besi berkaitan aktiviti pemberian IC kepada pendatang asing yang bertajuk "Pembantu Shaberry Chik Ditangkap Memberi IC kepada Pendatang Asing?"

Tulang Besi


Marhaban Ya Ramadan..

Posted: 31 Jul 2011 05:29 AM PDT

SALAM RAMADAN DARI BLOGLIST MALAYSIA SEMOGA IBADAH KITA DITERIMA ALLAH SWT..

Najib komited tangani isu pengundi hantu

Posted: 31 Jul 2011 05:15 AM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Julai — Datuk Seri Najib Razak berkata beliau juga komited untuk menangani isu pengundi hantu menjelang pilihan umum ke-13 — salah satu aspek yang ditekankan oleh pembangkang selama ini.

Tegas Perdana Menteri sistem biometrik yang akan diperkenalkan olehSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjadi kaedah terbaik mengatasi perkara itu yang sentiasa dibangkitkan oleh pembangkang.

Justeru kata Najib (gambar), pentadbirannya juga mahu memastikan agar transformasi pilihan raya dilakukan SPR.

"Kita komited mahu lakukan transformasi pilihan raya, kita juga mahu tangani isu pengundi hantu.

"Dengan adanya sistem biometrik kita boleh lakukan," katanya pada majlis perasmian penutup Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia Summit (MSLS) Kelima di sini.


Sebelum ini SPR mengumumkan akan menggunakan sistem biometrik pada pilihan raya namun tidak memberi jaminan ia boleh digunakan pada pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevesan tetap mendesak agar SPR menggunakan dakwat kekal bagi menangani isu pengundi hantu pada pilihan raya umum ke-13.

Dalam ucapan di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan mahasiswa, Najib juga menyentuh pentadbiran PAS di Kelantan sambil menegaskan Barisan Nasional (BN) boleh menawan negeri itu pada pilihan raya umum 2004 sekiranya diadakan dengan tidak adil.

Jelas beliau, mudah untuk BN memanipulasikan undi namun tidak mahu berbuat demikian kerana berpegang kepada prinsip pilihan raya bersih dan adil.

"Kerajaan PAS di Kelantan sebelum pilihan raya umum 2004, mereka hanya menang dengan majoriti satu kerusi, jika anda rasa kita boleh manipulasi undi tak mustahil untuk kita dapatkan tiga undi.

"Jika kata SPR tidak telus... tuduh kita manipulasi undi, kita boleh buat tapi kita tidak mahu lakukan," kata Najib.

Pada pilihan raya umum 2004, daripada 45 kerusi DUN, BN memperoleh 21 kerusi manakala PAS 24 kerusi.

Kerajaan Kelantan yang dipimpin Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mentadbir negeri Cik Siti Wan Kembang itu sejak 21 tahun lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, PAS menang 38 kerusi, PKR satu kerusi dan BN hanya enam kerusi.

Jelas Najib, beliau menghormati amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan dalam sistem pentadbiran negara.

Kata beliau, semua calon yang akan bertanding dalam pilihan raya pasti akan bimbang kerana kemenangan bergantung kepada undian rakyat.

"Saya nak tegaskan adakah tiada demokrasi berparlimen di Malaysia? Kita boleh berdebat, bercakap pasal pilihan raya bebas.

"Bila tiba pilihan raya semua orang rasa takut, saya sendiri takut kerana bukan jaminan kita boleh menang, mustahil kita boleh memanipulasikan undi . . . mustahil kita boleh lakukan," katanya. - TMI


Harian Malaysia terbitan bekas wartawan Utusan dilancar esok

Posted: 31 Jul 2011 05:09 AM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Julai — Akhbar online Harian Malaysia diterajui bekas wartawan kanan Kumpulan Utusan, Mohd Hata Wahari, yang dipecat kerana mengkritik syarikat milik Umno itu, akan muncul secara rasmi esok.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Hata berkata, akhbar elektronik dengan slogan "Beretika dan Bertanggungjawab" akan memberi fokus kepada permasalahan rakyat selain membongkarkan setiap isu yang dialami.

Beliau juga berkata akhbar Bahasa Malaysia demi memudahkan informasi disampaikan kepada rakyat.

"Buat masa sekarang, kita memang sudah ada portal Harian Malaysia tapi ia hanya kerangka yang mana ia sudah mula sejak 1 Julai lalu.

"Dan, sekarang kita sedang mengatur akhbar elektronik, yang akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Ogos (esok) bersama dengan portal rasmi kita," katanya.


"Buat masa ini, kita akan buat akhbar elektronik sebab belum dapat permit untuk cetak akhbar.

"Kita punya berita yang disiarkan nanti adalah secara percuma," katanya.

Ditanya lebih lanjut mengenai liputan akhbar itu, Hata berkata "seratus peratus adalah tentang masalah rakyat."

"Kita fokus kepada masalah rakyat, kalau ada politik itu tidak banyak . . . kita nak fokus kepada masalah rakyat di bawah dan kita akan bongkarkannya.

"Kita tahu apa banyak masalah rakyat di luar sana, saya sudah berbelas tahun bekerja dengan Utusan Malaysia dan saya tahu apa yang berlaku," katanya.

"Media arus perdana tidak telus dan cuba menyembunyikan apa yang berlaku, sebab itu kita mahu membongkar apa yang berlaku di bawah," katanya yang memegang jawatan sebagai ketua editor.

Beliau juga berkata pihaknya akan membuat liputan di seluruh negara yang mana setiap negeri akan ada seorang wartawan.

Sebarang maklumat atau informasi yang ingin disalurkan boleh terus melawat www.harianmalaysia.my.

Menurut portal rasmi Harian Malaysia, akhbar elektronik itu adalah berbayar dan pembaca dikenakan bayaran RM10 untuk langganan sebulan, RM60 untuk enam bulan dan RM120 untuk setahun.

Bagaimanapun, kata Hata, pembaca boleh akses secara percuma buat sementara waktu.

Turut membanganunkan Harian Malaysia ialah Mohd Laile Wahari selaku Pengarang (Pengurusan) dan Mohd Shawal Wahari yang bertindak selaku Pengarang (Editorial).

Selain itu, penasihat editorial Harian Malaysia membariskan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pemimpin veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan.

"Kita juga akan meminta mereka untuk menulis dalam Harian Malaysia," kata Hata.

Harian Malaysia mempunyai beberapa kolum seperti mana yang akhbar-akhbar tempatan lain termasuk politik, berita semasa, pendapat dan kolum, komuniti, wawancara, isu, hiburan dan sukan.

Selain itu, ia juga turut mempunyai satu ruang khas dinamakan "Awang Sulung" yang akan mengulas isu-isu semasa. - TMI


Tiada ulasan: