Sabtu, 13 Ogos 2011

PERAKITE

PERAKITE


Najib mengelak daripada disoal bicara

Posted: 13 Aug 2011 04:22 AM PDT


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datik Seri Rosmah Mansor akhirnya mengelak juga dari disoal bicara mengenai satu dakwaan yang mengaitkan mereka dengan dalang di sebalik tindakan Mohd Saiful Bukhari Azlan mengaku diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Mereka berdua berdalih bahawa mereka hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam sekadar menghormati ketetapan Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah pada Isnin lepas membenarkan permohonan Anwar memanggil 13 saksi untuk disoal bicara secara sukarela ooleh pihak pembelaan.
"Saya menghormati keputusan hakim. Sebagai rakyat Malaysia, saya hormat, tidak kira apa juga jawatan saya. Sebab itu saya hadir ke majlis itu dan telah menyatakan pendirian saya.


"(Persoalan mengapa saya mengelak) itu tak payahlah. Saya telah sampaikan mengikut hak dan saya tahu apa hak saya.


"Saya telah sampaikan kepada barisan pihak peguam bela Anwar. Anwar pun ada di sana sekali dan saya dapat peluang berjumpa dengannya," beliau berdalih kepada wartawan.


Peguambela utama Anwar, Karpal Singh bagaimanapun berkata Najib, Rosmah serta saksi-saksi lain sebenarnya nyata mengelak dari dikaitkan dengan Saiful yang juga bekas pembantu peribadi kepada Anwar.


"Najib masuk dahulu dan apabila kita tanya, beliau kata tak mahu jadi saksi pembela dan tidak mahu ditemubual," dedah Karpal.


Kemudian tiba giliran Rosmah dan beliau memberitahu perkara yang sama, dan diikuti pula oleh bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.


Ketiga-tiga mereka (Najib, Rosmah dan Rodwan) berada di dalam bilik dan mereka tidak ditemani peguam.


Najib dan Rosmah tiba kira-kira jam 2.55 petang dan beredar kira-kira jam 3.28 petang.


Pembantu mereka menunggu di luar semasa mereka menghadiri temubual ringkas itu.


Karpal berkata mereka terkejut kerana tiada tanda-tanda yang Najib dan Rosmah akan datang hari ini.


"Biasanya, mereka akan memberi notis terlebih dahulu," kata peguam kanan itu.


Karpal menyifatkan Rosmah dalam keadaan 'teramat tegang' ketika diajukan soalan dan pada satu ketika, beliau (Rosmah) berkata, "jangan buli saya, Encik Karpal".


Kata Karpal, beliau tidak tahu mengapa Najib dan Rosmah takut untuk datang ke mahkamah, ketika mengulas keengganan mereka untuk menjawab soalan.

Saifudin tak setuju BERSIH dibanding dengan rusuhan di London

Posted: 13 Aug 2011 04:16 AM PDT


Saifudin sangkal pimpinan Umno-BN berkenaan BERSIH 2.0
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah tidak sependapat dengan sebahagian besar pemimpin BN dan Umno bahawa Himpunan BERSIH 2.0 boleh bertukar menjadi rusuhan seperti yang berlaku di kota London awal minggu ini.


"Saya tidak bersetuju dengan demonstrasi yang menyalahi undang-undang, tetapi saya tidak akan tidak bersetuju dengan tuntutan BERSIH dan saya juga tidak bersetuju bahawa BERSIH dibandingkan dengan rusuhan London," katanya kepada kira-kira 100 orang pada satu forum.
Menurut Saifuddin, kerajaan telah gagal menangani tindakan BERSIH untuk berarak pada 9 Julai dengan mempertimbangkan kemungkinan satu perhimpunan aman seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).


"Kita sepatutnya membincangkan cadangan Suhakam mengenai cara untuk mengadakan perhimpunan secara aman," katanya pada forum bertajuk "Reformasi Pilihanraya dan Pemurnian Demokrasi" anjuran Pergerakan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kajang.


Katanya, sesetengah orang tidak seharusnya begitu takut dengan perkataan "demonstrasi" sehingga mendapati bahawa walaupun ada pihak yang mengadakan demonstrasi tetapi ia diberi nama atau labelkan dengan perkataan lain.


Walau bagaimanapun, Saifuddin mempertahankan hujah bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa berhasrat mahu membenarkan perhimpunan itu mengambil tempat di dalam stadium.


"Tetapi ia tidak berlaku. Dan saya tidak akan mengulas lebih dari itu," katanya.


Saifuddin juga menyarankan agar satu kerangka diwujudkan untuk membolehkan pendaftaran pemilih secara automatik bagi belia yang berusia 21 tahun ke atas.
Beliau juga menyokong idea agar usia layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun sekarang kepada 18 tahun.


"Walaupun ia mungkin tidak dapat dilakukan pada pilihan raya ke 13, namun satu 'road map' perlu diwujudkan untuk merealisasikan perkara itu. Untuk mematangkan demokrasi kita memerlukan seberapa ramai rakyat untuk keluar mengundi, jadi kita perlu memudahkan proses tersebut agar mereka boleh berbuat demikian," katanya.

Tiada ulasan: