Ahad, 28 Ogos 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Polis akan ambil tindakan terhadap Azmil

Posted: 28 Aug 2011 08:57 PM PDT

SHAH ALAM – Polis akan mengambil tindakan terhadap seorang pelakon yang kini menjadi pendakwah bebas, Azmil Mustafa, didakwa mengkafirkan kerajaan dan sistem diguna pakai ketika menyampaikan tazkirah di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, Petaling Jaya, 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada Azmil Rabu lalu dan dia disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang akan dikenakan terhadap Azmil.

"Saya tidak boleh beritahu tindakan yang akan kita ambil selepas ini. Sampai masanya, kita akan ambil tindakan ikut undang-undang sedia ada," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Azmil didakwa mengkafirkan kerajaan dan mengecam sistem pemerintahan sekarang dalam satu ceramah di hadapan 300 jemaah.  - SH

Bos saya (Pengerusi/Ketua Eksekutif ExxonMobil) telah berbincang dengan Najib Razak mengenai penjualan ini : Naib Presiden ExxonMobil

Posted: 28 Aug 2011 08:02 AM PDT

ExxonMobil: Tawaran San Miguel beli Esso terbaik, Putrajaya sudah dimaklum
KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Cadangan penjualan pegangan kepentingan 65 peratus Exxon Mobil Corporation dalam Esso Malaysia Bhd dan perniagaan lain dalam sektor petroleum hiliran Malaysia kepada San Miguel Corporation dari Filipina adalah adil dan wajar, kata Naib Presiden ExxonMobil Stafford T. Kelly.

Beliau berkata bida berkenaan pada dasar persaingan dengan 20 syarikat, termasuk tujuh firma tempatan, yang pada mulanya berminat dan tawaran SMC merupakan yang terbaik ditawarkan.

San Miguel, selain memberikan nilai terbaik bagi ketiga-tiga entiti dalam Esso Group, merupakan satu-satunya syarikat yang melibatkan rancangan untuk mengambil alih dan memperluaskan loji penapis minyak berusia 48 tahun di Port Dickson, katanya dipetik Bernama Online hari ini.

"Pembina yang lain (termasuk dari Malaysia) tidak berminat dalam loji penapis dan mahu menutupnya," kata beliau.

Kelly berkata langkah berkenaan menunjukkan komitmen ExxonMobil untuk tidak membiarkan tenaga kerja di loji penapis itu begitu sahaja.

ExxonMobil International Holdings memeterai perjanjian dengan San Miguel Corporation bagi ExxonMobil menjual 65 peratus pegangan dalam syarikat dagangan petroleum tersenarai, Esso Malaysia Bhd dan syarikat milik penuhnya ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd dan ExxonMobil Borneo Sdn Bhd pada AS$610 juta atau RM3.50 sesaham EMB.

Semasa ditanya sama ada Boustead Holdings Bhd atau subsidiarinya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merupakan antara syarikat yang membuat tawaran, beliau mengiakannya tetapi menjelaskan bahawa bukan pada RM5.20 sebagaimana yang dinyatakan dalam media.

Beliau mengulangi yang tawaran San Miguel Corporation merupakan yang terbaik dan syarikat itu merupakan satu-satunya syarikat di kalangan 20 yang mahu membeli juga loji penapis Port Dickson.

Kelly berkata, San Miguel Corporation menawarkan 25 peratus premium terhadap harga purata saham Esso Malaysia selama enam bulan lepas pada RM2.80.

Hanya selepas spekulasi mengenai perjanjian jual beli yang menjadikan harga naik kepada RM4.95 daripada masa sebelum rehat tengah hari pada RM4.33 pada 17 Ogos lalu.

Beliau berkata ExxonMobil bersetuju dengan San Miguel Corporation bahawa syarikat Filipina itu tidak akan memberhentikan pekerja tetapi sebaliknya memperluaskan modal insannya dengan memberi keutamaan kepada warga tempatan.

Semasa proses pembidaan, beliau berkata, setiap pihak diberikan ruang yang mencukupi untuk mengadakan perbincangan dan penilaian terhadap ExxonMobil, dan akhirnya tiga pihak yang kukuh diperakui dan dimuktamadkan.

"Hanya San Miguel syarikat asing," katanya.

Penjualan berkenaan yang dijangka selesai dalam masa enam bulan, tertakluk kepada kelulusan tiga kementerian utama.

Kelly berkata beliau telah bercakap dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung perkara itu.

"Bos saya (Pengerusi dan Ketua Eksekutif ExxonMobil Corp Rex Tillerson) telah berbincang dengan Perdana Menteri (yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak) mengenai penjualan itu," katanya.

Sehingga kini, respons daripada menteri-menteri dan pihak berkuasa menggalakkan, memandangkan urusniaga adalah daripada syarikat asing kepada entiti asing yang lain, dan diharapkan proses penjualan dapat dijalankan dengan lancar.

"Kami kini dalam proses memuktamadkan dokumen untuk dikemukakan kepada ketiga-tiga kementerian," katanya.

Kelly menolak dakwaan bahawa ExxonMobil akan membuka semula proses bida disebakan oleh tekanan daripada kerajaan Malaysia dan syarikat tempatan.

"Pertimbangan yang adil dan sewajarnya telah dilaksanakan dan San Miguel muncul sebagai pemenang," kata beliau dan menambah yag kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian jual beli.

Mengenai isu yang syarikat Malaysia akan jatuh ke tangan syarikat yang mengeluarkan bir, Kelly berkata situasi berkenaan benar beberapa tahun lepas.

"Syarikat itu kini merupakan sebuah konglomerat dan perniagaan mereka pelbagai ke dalam banyak segmen.

"Pada masa ini, syarikat memperoleh hasil kebanyakannya daripada perniagaan bukan makanan dan minuman yang jelas mencerminkan hasrat syarikat membersihkan imejnya sebagai syarikat pengeluar bir," katanya  - TMI

PAS akan panggil Dr Che Rosli

Posted: 28 Aug 2011 07:25 AM PDT

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — PAS akan memanggil Ahli Parlimen Hulu Langat dari PAS Dr Che Rosli Che Mat, yang menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dekat Kuantan, untuk membuat penjelasan mengenai pendiriannya selepas cuti sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun pucuk pimpinan tidak menganggap kenyataan wakil rakyat itu sebagai satu tindakan melanggar disiplin parti walaupun bercanggah dengan pendirian PAS.

"Kami akan minta YB Che Rosli (gambar) agar memberi penjelasan kepada pucuk kepimpinan kerana apa yang dikatakan oleh beliau bercanggah dengan pendirian parti," kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sambil menambah, "setakat ini apa yang dikatakan oleh beliau tidak boleh dianggap sebagai isu disiplin."

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, Che Rosli kemungkinan memberi pandangannya mengikut kepakaran beliau dalam bidang nuklear, tetapi pendirian parti adalah berlainan iaitu tidak bersetuju dengan loji Lynas didirikan di Gebeng.

"Saya bukan pengerusi jawatankuasa disiplin, tetapi apa yang boleh dikatakan ialah setakat ini, ia bukan kes disiplin. Tetapi sekretariat ibu pejabat akan memanggil beliau untuk memberi penjelasan," katanya lagi.

Katanya, tindakan susulan akan diputuskan sebaik sahaja setiausaha agung parti mengemukakan laporan hasil penjelasan Che Rosli nanti.

Akhir minggu lalu, pemimpin Pakatan Rakyat Pahang membidas TV3 ekoran pengakuan Che Rosli yang menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

 
Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, yang mendesak agar loji bernilai RM700 juta itu dihentikan, mahu TV3 menarik balik dan meminta maaf termasuk Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker yang telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap dirinya.

PAS Pahang juga meminta kepimpinan pusat agar memanggil Che Rosli untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad memberitahu The Malaysian Insider tindakan Che Rosli itu tidak boleh diterima kerana beliau sepatutnya menyatakan sokongan melalui akhbar rasmi parti, Harakah.

"Kita tahu beliau menyokong loji itu semasa kali pertama kita bincangkan isu ini pada 2009. Tetapi selepas berunding dengan pakar lain, pendirian PAS adalah membantah projek itu. Tetapi sekarang beliau telah masuk ke musuh untuk serang parti sendiri," katanya.

TV3 menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh Walia mengatakan Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan Dr Ahmad Termizi Ramli dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear.

Che Rosli bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau "malu" dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik.

Fuziah berkata, Che Rosli hanya bercakap tentang soal bahaya radiologi sedangkan beliau dan penduduk di sekitar loji itu telah berunding dengan ramai pakar dalam beberapa bidang termasuk kesihatan awam, kejuruteraan kimia, fizik nuklear dan undang-undang alam sekitar - TMI

Tiada ulasan: