Ahad, 7 Ogos 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Mahfuz, Salahuddin saman KPN dan kerajaan

Posted: 07 Aug 2011 10:50 PM PDT

Naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar hari ini memfailkan saman ke atas kerajaan persekutuan dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kerana "salah tangkapan" semasa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

Turut dinamakan sebagai responden adalah Ketua Polis Daerah Brickfields Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dan pegawai polis yang menangkap mereka Inspektor Mohd Zaid Madzizat.

Dalam saman sivil berasingan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mereka mendakwa tangkapan itu telah memfitnah dan memalukan mereka.


Saman itu difailkan menerusi syarikat guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co bersama peguam Zulhazmi Sharif.

Kedua-dua naib presiden PAS itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Selain itu, mereka juga menuntut faedah pada kadar 8 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh.

Gambaran buruk

Pada sidang medianya, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena memberitahu saman itu dibuat sebagai memberi peringatan dan pengajaran kepada pihak kerajaan agar tidak melakukan sesuatu sesuka hati di luar undang-undang.

"Kami anggap tangkapan ini telah memberi gambaran buruk kepada kami seolah-olah kami melakukan kesalahan.

"Jumlah tuntutan gantirugi kita akan bincang dengan peguam," katanya.

Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian pula turut sependapat bahawa tindakan saman itu sebagai teguran kepada kerajaan dan pihak polis.

"Ini bukan untuk diri kami tetapi sebagai teguran agar kerajaan bertindak secara adil," katanya.

Mereka sebelum ini mendakwa penahanan mereka di KL Sentral ketika perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu adalah tidak sah.

Katanya, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.

Mereka ditangkap kira-kira pukul 11.50 pagi sebelum ditahan hampir 10 jam di lokap polis di Balai Polis Jinjang.

Sepanjang dalam tahanan juga, pihak polis tidak mengambil apa-apa keterangan daripada mereka dan juga tidak diberitahu sebab-sebab penahanan mereka.

Mereka juga tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.

Berikutan tindakan di luar undang-undang itu, kedua-dua merekatelah membuat laporan polis pada 11 Julai lalu. - malaysiakini

Pakatan Rakyat utara umpama keluarga harimau

Posted: 07 Aug 2011 10:26 PM PDT

Oleh Amaluddin Zhafir

8 OGOS – Semangat Pakatan Rakyat di utara Semenanjung umpama keluarga harimau, mesra menjaga anak-anak, garang menentang musuh. Di Kedah, Pakatan adalah kerajaan, di Perlis pula Pakatan sedang menanti mandat rakyat.

Dalam kunjungan Roketkini ke dua negeri tersebut baru-baru ini, pimpinan utama gabungan Pakatan bersependapat bahawa kunci untuk memenangi pilihan raya umum yang mendatang terletak kepada usaha berterusan membantu dan menangani isu-isu rakyat.

Negeri Jelapang Padi

Menurut Laporan Ketua Audit Negara pada 2009, yakni setahun selepas Barisan Nasional disepak rakyat Kedah, kerajaan negeri Pakatan telah berjaya meningkatkan hasil negeri, khususnya balak sehingga 205 peratus berbanding pada 2007.

Kejayaan ini dicapai berikutan langkah kerajaan Pakatan Kedah melaksanakan pemberian kontrak secara telus dan adil melalui tender secara terbuka.

Dalam pada itu, ekoran dari perancangan strategik yang dilaksanakan, defisit belanjawan 2010, iaitu sebanyak RM16 juta telah berjaya diatasi. Dan hutang kerajaan Kedah dengan Kerajaan Persekutuan juga berjaya dikurangkan sedikit demi sedikit.

Exco Kanan Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, melalui tinjauan oleh sebuah badan bebas yang diadakan di Kedah, semenjak perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan, sokongan rakyat Kedah melonjak dengan drastik terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.

Apa yang dijelaskan Phahrolrazi dapat dirasai sendiri oleh penulis itu ketika bersama beberapa penduduk Alor Setar, yang rata-ratanya di bawah lingkungan umur 30 tahun sudah tergerak dengan gelombang rakyat seluruh Malaysia akan kepentingan perubahan politik di peringkat kebangsaan.

Seorang pereka grafik, yang tidak mahu namanya disebut berkata, perubahan yang dilakukan kerajaan Pakatan Kedah semenjak mengambil alih kuasa dari BN sudah menampakkan hasil.

Beliau yang mengaku sebelum ini tidak ambil peduli tentang perihal politik di peringkat negeri atau kebangsaan menjelaskan: "Barisan Nasional dah tak boleh buat apa dah… PAS punya kempimpinan lagi bagus dari BN sebelum ini. Budak-budak muda pun dah ramai sedar."

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Kedah Lee Guan Aik pula menjelaskan penuh yakin peranan DAP sebagai rakan baik PAS dalam usaha menambahkan lagi keyakinan rakyat melalui anjuran ceramah yang diadakan bersama.

"Perkara tabu seperti sentimen perkauman yang digunakan ketika era pemerintahan BN sudah dipecahkan sama sekali," katanya.

Mungkin ada yang menganggap kata-kata Lee hanya sebagai penaik semangat, tetapi ketika penulis berada di pejabat perkhidmatannya di Mergong, Alor Setar, tidak putus-putus kunjungan dari rakyat pelbagai lapisan kaum.

Di sini jelas sekali, walau pun penulis hanya berada di pejabatnya dalam beberapa jam, apa yang dikatakan Lee memang ada benarnya.

Bagaimana pun, Pemuda DAP Kedah lebih berhati-hati dalam mencongak sokongan rakyat terhadap DAP di negeri itu, terutamanya untuk memastikan diri tidak terperangkap dengan sikap terlalu yakin atau 'over confident.'

Wakil Pemuda DAP Kebangsaan Kedah, KB Teoh berkata, walau pun Pakatan Kedah pimpinan PAS dijangka mendapat mandat sekali lagi untuk penggal akan datang, beliau gusar kerana penjaja-penjaja di Alor Setar dikatakan telah "dibeli" oleh MCA.

Memang mengikut sejarah DAP dan melalui apa yang dikatakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Liew Chin Tong, semenjak penubuhan DAP, kaum penjaja adalah tunjang utama kepada kekuatan DAP.

Namun realiti semasa menunjukkan rakyat dari pelbagai lapisan kaum dan status di Kedah tidak begitu mempedulikan hal-hal "kecil" sebegitu lagi kerana rata-rata, khususnya golongan muda, sudah bosan dan meluat dengan dasar-dasar BN yang tiada tiang seri.

Mereka juga sedar UMNO sebagai tonggak BN yang berangan-angan mahu merampas kembali Kedah masih tenggelam dalam kemelut rebutan kuasa dan persoalan tentang siapa mahu jadi Menteri Besar.

Jawapan untuk bukti-bukti kebencian golongan muda terhadap UMNO dan BN sudah terlampau berlambak di laman-laman Facebook.

Negeri Indera Kayangan
Berlainan dengan Kedah yang telah menyaksikan kehadiran DAP sejak 1970-an, DAP di Perlis secara rasminya mula bertapak pada 2009 dan semenjak itu dengan cepat membangun di mana sehingga sekarang sudah mempunyai tujuh cawangan.

Rekod Pakatan Rakyat atau mana-mana parti pembangkang sebelum ini di Perlis kurang cemerlang berbanding negeri-negeri lain.

Bagaimana pun, itu cerita lama. Realitinya, tahap penerimaan rakyat Perlis, seperti juga di Kedah, terhadap gelombang perubahan politik peringkat kebangsaan sudah terkesan di sanubari mereka yang tercerah hatinya.

Menurut Naib Pengerusi DAP Perlis, Abdul Manan Abdul Razak, orang sudah tidak takut lagi melihat logo Roket berbanding dahulu.

Ini kerana, menurut Manan, ketika banjir besar di utara Semenanjung baru-baru ini, anggota DAP bersama rakan-rakan dalam Pakatan banyak membantu mangsa-mangsa banjir.

"Oleh itu, logo Roket bukanlah dilihat sebagai hantu lagi," ujarnya, merujuk kepada propaganda UMNO-BN selama setengah abad memburukkan DAP.

Ia juga membuktikan apabila sesiapa sahaja berjuang dan berkhidmat untuk rakyat dengan hati yang ikhlas, semangat budi baik dikenang juga akan timbul.

Beliau yakin Pakatan Perlis bersama rakan-rakan di Kedah akan mendapat keputusan yang lebih cantik pada pilihan raya akan datang.

Kesimpulan

Diam-diam Pakatan berisi

Diam-diam UMNO-BN buta tuli

Diam-diam rakyat tajam memerhati

Diam-diam PRU, UMNO-BN tinggal lidah dan gigi

Serbu gereja : Dewan Ulama pertahan JAIS

Posted: 07 Aug 2011 09:36 PM PDT

SHAH ALAM – Tiada gunanya kewujudan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) seandainya jabatan terbabit tidak dapat melaksanakan tanggung jawab mencegah umat Islam di negeri itu daripada melakukan perkara bertentangan dengan ajaran Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, beliau menyokong sekiranya tindakan Jais (menyerbu gereja di Damansara Utama) berdasarkan peraturan dan undang-undang Islam kerana Jais berhak bertindak sedemikian.

Menurutnya, sebelum berlaku insiden tidak diingini, tindakan itu adalah pencegahan awal sepatutnya dilakukan.

"Kegiatan berkaitan dengan agama Islam adalah di bawah jabatan agama itu sendiri (Jais). Kalau Jais tidak dapat bertindak di atas maklumat yang diberikan orang ramai. Maka tidak ada guna adanya jabatan berkenaan.

"Jais bertindak mestilah mendapat maklumat orang ramai, itu adalah peringkat pertama dalam usaha pencegahan. Hendak mendapatkan maklumat daripada polis, itu bukan kerja polis," katanya.

Mengulas mengenai umat Islam yang berada di gereja pada malam itu katanya, umat Islam sepatutnya memilih berada di masjid atau surau untuk bertarawih dan mengerjakan amalan dituntut Allah.

"Mereka sepatutnya berada di rumah, masjid atau surau. Bukan di rumah ibadat orang bukan Islam kerana itu boleh mendatangkan kecurigaan dan keraguan," katanya.

Beliau berkata, walaupun diizinkan berbilang agama tetapi sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam sebagai: agama rasmi.

"Ada pihak tidak faham makna kebebasan beragama, sebab itu mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya. Jadi perlu diperjelaskan kepada pemimpin masyarakat dan umum mengenainya," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyokong tindakan dan kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Datuk Hasan Ali berhubung isu itu kerana beliau berhak berbuat demikian. - SH

Najib Rosmah wajib ke mahkamah

Posted: 07 Aug 2011 08:25 PM PDT

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor disapina ke mahkamah sebagai saksi dalam kes perbicaraan fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada awal perbicaraan yang menyaksikan hari pertama Anwar dipanggil membela diri.

Zabidin dalam keputusannya berkata apabila pendakwa raya menawarkan saksi maka pendakwaraya bertanggungjawab memastikan saksi hadir ke mahkamah.

Hakim juga bersetuju peguam bela berhak menemubual saksi dengan syarat saksi sedia ditemubual di mahkamah.

Tragedi Cameron Highlands : 8 jam untuk keluarkan 9 mayat

Posted: 07 Aug 2011 06:44 PM PDT

CAMERON HIGHLANDS: Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa lapan jam untuk mengeluarkan semua sembilan mangsa dalam tragedi tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, di sini Ahad.

Pengarah Bomba Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata operasi bermula 6.15 petang dan ditamatkan pada 2.15 pagi tadi selepas mangsa terakhir ditemui kira-kira 1.20 pagi.

Operasi melibatkan 248 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pasukan Smart dan Majlis Perbandaran Cameron Highlands, katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata sebanyak tiga jentolak digunakan untuk mengalih timbunan tanah, selain anjing pengesan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu mengesan kedudukan mangsa.

Tragedi itu mengorbankan tujuh nyawa termasuk empat wanita manakala dua lagi cedera parah.

Mereka yang maut ialah Normadiah Lasik, 69, Ali Hassan, 50, Jaafar, 49, Mohd Ikbal Jaafar, 15, Sara Gunung, 37, Norma Gunung, 51, dan Yusnizan Yusof, 22, dan kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata untuk bedah siasat.

Sementara dua yang cedera iaitu Bah Anjang Besar a/l Anjang, 39, dan Serry Priary a/p Suri, 15, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan lanjut. - mStar

Tanah runtuh di Cameron Highlands - 1 terkorban 2 parah

Posted: 07 Aug 2011 07:11 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang wanita cedera parah dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang pada Ahad.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands berkata kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu membabitkan lima buah rumah penduduk kampung.

"Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. - BERNAMA

Hasan Ali kekal Exco. PAS tidak ada masalah dengan beliau.

Posted: 07 Aug 2011 05:17 AM PDT

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Ekoran kontroversi membabitkan serbuan ke atas sebuah gereja Rabu lalu, PAS menegaskan parti Islam itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan beliau akan kekal di jawatan itu.

Hasan merupakan pengerusi yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam.

Selain itu tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menyifatkan kontroversi yang berlaku adalah "masalah negeri."

"Ia masalah negeri, kita juga sebahagian daripada negeri, kita tidak terima teori kemungkinan (masalah dengan Hasan)... kemungkian dah banyak, ada juga kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggantikan (Datuk Seri) Najib (Razak).

"Beliau (Hasan) akan terus jadi Exco, kita tidak bincang dalam mesyuarat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di sini.

Hasan juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Dalam mesyuarat itu, Hasan telah memberikan penjelasan berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu.

Pada kejadian malam Rabu itu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Namun Hasan mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.

Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan "al-Quran" dan "doa" diselitkan.

Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam telah menghadiri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Khalid memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.

Hasan dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini berkata, beliau sanggup dipecat demi mempertahankan Islam. - TMI

Najib diberi 7 hari ....

Posted: 07 Aug 2011 04:01 AM PDT

Daftar pemilih: Pakatan beri Najib tujuh hari panggil sidang Parlimen khas
Oleh Syed Mu'az Syed Putra
 Salahuddin: Kita mahu isu pemastautin tetap bertukar kepada warganegara dengan cepat dibahaskan sebelum kita membuat tindakan selanjutnya.

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Pakatan Rakyat akan menyerahkan satu surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta agar diadakan sidang tergempar Parlimen bagi menyelesaikan Isu berkaitan pengurusan pilihan raya — didakwa pemastautin tetap diberikan hak untuk mengundi.

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada Najib untuk memanggil sidang tergempar Parlimen.

Surat rasmi itu akan diserahkan esok di Parlimen dan akan diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

"Kita beri tempoh tujuh hari untuk adakan sidang tergempar Parlimen.

"Kita mahu isu pemastautin tetap bertukar kepada warganegara dengan cepat dibahaskan sebelum kita membuat tindakan selanjutnya," kata Salahuddin sambil menambah, tindakan itu akan mengancam keselamatan negara.

Sebelum ini Pakatan Rakyat juga mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi "MyDaftar".

Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak untuk pastikan pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil.

"Kita akan jumpa dengan siapa sahaja untuk pastikan pilihan raya yang bersih dan adil," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di sini.

Tambah Hadi, tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap bertujuan untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum ke-13.

"Kita bincang mengenai daftar pemilih yang kita mahu ia dibersihkan terutamanya yang melibatkan pendatang asing, yang mana ia melibatkan jentera kerajaan untuk memberikan kemenangan kepada BN," katanya. - TMI


Baitulmal macamana ni? Chegu Bard mungkin boleh tolong ... kita tak nak Nur (40) dan anak-anaknya dimurtadkan

Posted: 06 Aug 2011 11:42 PM PDT

NUR mendakwa kerap dihubungi gereja untuk diberikan bantuan. Ibu tunggal tak dapat bantuan Baitulmal dalam dilema

SEREMBAN: Seorang lagi mangsa mendedahkan bagaimana dia dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan yang dihulurkan gereja terbabit di Rahang, dekat sini sejak Disember lalu.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Nur, 40, berkata pada mulanya dia sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja terbabit bagi memastikan empat anak perempuannya berusia lima hingga 12 tahun meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan berterusan daripada Baitulmal. Katanya, pada mulanya dia berat hati tetapi selepas memikirkan nasib anak-anak yang masih bersekolah, dia menerima bantuan dihulurkan dalam bentuk makanan keperluan harian setiap bulan sejak April tahun lalu. "Setiap bulan pihak gereja itu akan telefon dua hingga tiga kali untuk bertanyakan khabar. Mereka juga tidak lupa bertanyakan masalah dihadapi.

"Mereka turut menawarkan supaya saya dan anak-anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan kami anak beranak termasuk keperluan persekolahan tapi saya menolak.

"Bagaimanapun, sejak Januari lalu, saya turut menolak semua bantuan yang diberikan setiap bulan memandangkan jiran sudah memandang serong," katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampangan, di sini, semalam.

Nur berkata, sejak berhenti kerja sebagai pembantu akaun pada 2008 akibat masalah kesihatan, antaranya asma yang teruk, darah tinggi dan kencing manis, dia masih perlu mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak memandangkan suami lalai memberi nafkah.
Katanya, selain meminta ihsan saudara mara, dia turut menjalankan beberapa pekerjaan seperti membantu rakan menjual makanan kesihatan, makanan segera dan juga buku sekolah tadika.

"Namun sejak pengsan beberapa kali bulan lalu ketika menghantar buku ke sekolah tadika, saya tidak lagi bekerja. Saya cuba mendapatkan bantuan Baitulmal sekali lagi namun mereka memberi pelbagai alasan, antaranya saya pernah mendapat bantuan sebelum ini.

"Saya mengaku memang pernah dapat bantuan sebelum ini tetapi sekali saja. Kini saya sedang memikirkan sama ada mahu menerima sekali lagi tawaran daripada pusat ibadah itu atau tidak memandangkan mereka kerap telefon bertanyakan khabar dan menawarkan apa saja bantuan yang diperlukan," katanya - BH

ARTIS : Jojie (kakak Ella) manis bertudung

Posted: 06 Aug 2011 11:09 PM PDT

RAMAI yang memuji penampilan dan hijrah kakak kepada penyanyi rock Ella, Jojie Aminuddin. Sebaik sahaja gambar-gambar kemunculan Jojie bertudung dimuat naik di laman sosial Twitter dan Facebook, ramai yang bertanyakan Diva tentang kebenaran hijrah tersebut.

Sambil tersenyum, Diva hanya dapat mengucapkan Alhamdulillah dan bersyukur dengan kemanisan Ramadan yang dibawakan Jojie.

Diva cuma mahu sampaikan pesanan dan salam teman-teman yang rata-rata sangat gemar dengan hijrah Jojie. Memang waktu Diva tenung-tenung gambarnya, sangat manis Jojie berimej sebegitu dan harap berkekalan. Diva tumpang bangga dan senyum.

Tiada ulasan: