Isnin, 22 Ogos 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Bertekad Untuk Memurtadkan Lebih Ramai Muslim

Posted: 22 Aug 2011 12:49 AM PDT

Shah Alam - "Ya Tuhan, kalau benar agama Kristian adalah jalan saya, kuatkanlah saya, untuk terus mengkristiankan orang Islam di Ar-Arqam ini, dengan nama Jesus, Amin", itu antara doa harian Mohammad Arabi Abdullah, 50.

Walaupun ketika itu, beliau sudah hampir empat tahun memeluk Islam, beliau masih mengamalkan agama Kristian.

Tujuannya untuk mengetahui tentang Islam tetap diteruskan dan saban hari, beliau menunaikan solat lima waktu dan berdoa, "Ya Allah kalau benar agama Islam adalah jalan saya, kuatkanlah saya untuk terus mencintai Islam, Amin."

Menurut Arabi, tujuan asal memeluk Islam adalah untuk memurtadkan lebih ramai orang Islam.

"Saya masuk Islam, setelah menjadi anak angkat sebuah keluarga di Sarawak. Saya juga mengkaji tentang Islam supaya mudah menarik orang Islam masuk Kristian.

"Ketika itu, usia saya 15 tahun, keluarga angkat mahu menyekolahkan saya kerana sebelum ini, saya tidak pernah bersekolah sejak kematian ibu, saya tinggal dan dibesarkan di gereja sejak berusia tiga tahun.," katanya.

Sebelum bertemu dengan keluarga angkat, Arabi dimasukkan ke Hospital Kuching disebabkan penyakit misteri.

"Setelah sembuh, saya terus tinggal di hospital menjadi sukarelawan, saya mengkristiankan empat orang pesakit.

"Walaupun saya masih belasan tahun, semangat mengkristiankan orang kuat kerana perkara itu, sudah tertanam sejak kecil ," katanya yang dilatih menjadi paderi sejak kecil.

Arabi berkata, dia dilatih mendekati orang supaya disenangi setiap gerinya dan apabila orang tanya siapa mengajarnya, dia akan katakan Kristian mengajarnya.

Menurutnya, itu sebahagian pendekatan digunakan untuk memurtadkan orang, iaitu dengan berbuat baik kepada mereka dan menariknya secara halus.

Namun, segalanya berubah apabila dia masuk Ar-Arqam, niat untuk memurtadkan orang berubah apabila dia nampak keindahan di dalam Islam.

"Saya sering menimbulkan persoalan dengan ustaz sehingga menimbulkan kemarahan di hati mereka.

"Di Ar-Arqam kami makan di dalam dulang. Saya bertanya, kenapa makan seperti itik (dengan niat mahu memburukkan Islam), lalu Ustaz itu menjawab, Islam mengajar kita tidak membazir dan tidak perlu berebut pinggan yang membolehkan timbul pergaduhan kerana Islam tidak suka akan peperangan,"
katanya.

Pada malamnya, Arabi menunaikan solat berdoa dalam dua cara Islam dan Kristian, setelah itu merasakan ada 'kesejukan' ketika dia bersolat.

Sejak daripada malam itu, dia dengan rasminya, meninggalkan Kristian setalah empat tahun menganut dua agama.

Setelah keluar daripada Ar-Arqam dia terus mendalami Islam dan menjadi penceramah bebas. -SH


Ulasan GB

Berdasarkan kisah di atas, jelas menunjukkan bahawa "kemenangan" Islam ke atas agama lain ialah "hujjah". Bukan kerana tekanan, bukan disebabkan tunjuk perasaan bukan juga dengan undang-undang.

Di dalam Hikayat Munsyi Abdullah, dikisahkan bahawa Munssyi pernah diasuh untuk mempelajari BIBLE, malah beliau merupakan penterjemah Bible ke dalam Bahasa Melayu.

Sewaktu beliau diajak untuk memeluk ugama Kristian oleh padri yang menyayanginya ketika itu, beliau menjawab, "Cikgu membaca satu kitab iaitu Bible, saya membaca dua kitab iaitu Al-Quran dan Bible. Tentulah saya lebih tahu ugama mana yang betul dan yang perlu saya ikuti." Maka terdiamlah padri yang menjadi cikgunya pada ketika itu.

Beliau mengkisahkan bahawa beliau menterjemahkan Bible itu ke dalam Bahasa Melayu supaya kita dapat mengetahui ilmu Kristian dan kemudian mudah untuk berhujjah dan menjadi benteng keimanan kita sendiri. Sama seperti apabila kita mempunyai mengetahui "ilmu" musuh di dalam peperangan, maka mudahlah untuk kita memenangi peperangan itu.

Masalahnya kini, ialah umat Islam sendiri MALAS untuk membaca Al-Quran dan akhirnya menjadi "takut" dengan Bible. Malah pegangan agama Islam sendiri longlai dan layu, jauh sekali untuk dapat berhujjah dengan pegangan agama lain.

Malah memahami konsep ketuhanan Yang Maha Esa pun ramai umat Islam yang gagal, maka dengan sebab itu ramai umat Islam sendiri melakukan kerja syirik seperti menggunakan tangkal, menyembah keris, bertafakkur di tugu dan seumpamanya.

Ulamak-ulamak terdahulu dengan penuh jerih payah menghasilkan kitab-kitab peningkatan iman dengan cara mempertajamkan akal fikiran supaya mampu berhujjah - dengan lahirnya ilmu kalam - ilmu yang perlukan kepada berkata-kata dan berhujjah - tetapi kini berapa peratuskah umat Islam yang ada mempelajari dan memilikinya?

Pernah Rasulullah SAW bersabda bahawa bilangan umat Islam kita di akhir zaman amat ramai laksana buih di lautan. Apa ertinya buih? Ditiup terus hilang - tidak ada kekuatan. Kuantitinya banyak, kualitinya hancus....


2 Pelajar PMR Dicekup Bersama Pasangan Di Hotel Murah Waktu Sahur

Posted: 21 Aug 2011 11:20 PM PDT

Pasangan 'bersahur' kena cekup

ALOR SETAR: Empat remaja, termasuk dua daripadanya akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa bermalam di lokap selepas dicekup berkhalwat dalam sebuah bilik hotel murah di Kuah, Langkawi, awal pagi kelmarin.

Tindakan berani dua remaja lelaki berusia 15 tahun itu membawa pasangan mereka yang setahun lebih tua menyewa di hotel itu dengan alasan hanya untuk bersahur sebenarnya membongkar kegiatan maksiat mereka.

Dua remaja lelaki itu adalah pelajar sebuah sekolah menengah di Kuah, Langkawi, manakala pasangan mereka pula tidak bersekolah.

Pegawai Penyiasat Pejabat Agama Daerah Langkawi, Muhammad Hidayat Halim, berkata dalam serbuan jam 3.45 pagi kelmarin, sepasukan anggotanya membuat pemeriksaan di hotel itu selepas mendapat maklumat awam.

Katanya, pasangan remaja itu agak berani kerana sanggup menyewa hotel yang hanya bersebelahan dengan pejabat agama daerah.

Beliau berkata, ketika anggota penguat kuasa mengetuk pintu dan memberi salam berulang kali seorang remaja perempuan yang hanya memakai tuala dalam keadaan panik dan takut membuka pintu.

"Pemeriksaan menemui pasangannya yang hanya berseluar pendek dan pemeriksaan lanjut menemui seluar dalam mereka di tepi katil. Kedua-dua remaja itu mengaku baru selesai melakukan hubungan seks," katanya.

Muhammad Hidayat berkata, hasil pemeriksaan turut menemui sepasang lagi kekasih berpakaian lengkap dan dipercayai baru bangun tidur terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa berada di bilik berkenaan.

Ketika disoal siasat kedua-dua remaja perempuan itu mengaku bekerja di sebuah kafe di Langkawi dan baru berkenalan dengan pelajar lelaki terbabit.

"Mereka yang berasal dari Langkawi, mengaku menyewa hotel semata-mata untuk melakukan hubungan seks," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. -BH

Ulasan GB

Begitulah warna-warni kehidupan remaja masa kini.

Masih di bangku sekolah, yang perempuan pula yang menjadi pasangannya sudah bekerja da berumur etahun lebih tua, siap sewakan hotel murah untuk lakukan maksiat, di bulan Ramadhan.

Itu baru tingkatan 3. Yang tingakatan-tingkatan yang lebih tinggi daripadanya, 4, 5 & 6 dicampur pula pelajar-pelajar IPTA/IPTS?

GB telah katakan dahulu, aura seks semakin menebal di atmosfera negara hasil daripada sistem dan nilai kehidupan yang memilih untuk tidak menjadikan Islam sebagai norma kehidupan.

Akibatnya, kita kembali ke era jahiliah.


Anda Betul: Rakyat Tak Berahi Nak Kibarkan Bendera Walaupun Diberikan Percuma

Posted: 21 Aug 2011 09:20 PM PDT

Ramai tak kibar Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR: Masih ramai yang enggan memasang Jalur Gemilang sama ada di rumah, premis perniagaan ataupun kenderaan walaupun sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 bakal tiba.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Fuad Hassan, berkata walaupun pelbagai kempen diadakan termasuk memberi bendera secara percuma, ia kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat.

"Tidak tahu di mana silapnya, masih kurang kesedaran di kalangan masyarakat untuk menghargai kemerdekaan walaupun hanya memasang jalur gemilang sebagai tanda sokongan," katanya selepas melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia 2011. -hm

Ulasan GB

Sebelum ini GB sudah mengeluarkan satu entri bertajuk Rakyat Tak Ada Mood Nak Kibar Bendera Malaysia Selagi BN Yang Berkuasa.

Di dalam entri itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata:

"Kerajaan BN sepatutnya faham dengan reaksi rakyat itu dan patut bertindak bijak mengatasi masalah. Reaksi seperti itu sudah ditunjukkan oleh rakyat sejak beberapa tahun lalu.

"Antara kekecewaan rakyat dengan tindak tanduk Kerajaan BN termasuklah tindakan kerajaan yang amat mengecewakan dalam melaksanakan pilihanraya sehingga pilihanraya di negara kita tidak pernah bersih dan adil.

"Apabila rakyat memprotes dengan mengadakan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, Kerajaan BN mengarahkan pula pihak polis supaya berperang dengan rakyat yang berhimpun secara aman dan tanpa senjata yang menyertai perhimpunan itu."


Dan GB merumuskan dengan ringkas sahaja begini:

Apa yang GB dapat perhatikan ialah bendera Malaysia akan kembali berkibar megah di seluruh pelusuk negara apabila rejim BN ditumbangkan dan Putrajaya di perintah oleh Pakatan Rakyat.

Tak percaya? Tunggu detik keramat itu.


Shahnon Ahmad Turut Ziarah Jenazah Allahyarham Azizi

Posted: 21 Aug 2011 07:10 PM PDT

Novelis Azizi Abdullah Selamat Dikebumikan

KULIM: Jenazah novelis Azizi Abdullah yang meninggal dunia pada Ahad akibat komplikasi buah pinggang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamiul Makmur di sini selepas solat Zohor.

Gambar: Sasterawan Negara yang juga bekas Anggota Parlimen Sik Datuk Shahnon Ahmad (dua dari kiri) melawat jenazah Allayarham Azizi Abdullah di Taman Bersatu, hari ini.

Jenazah Allahyarham yang siap dimandi dan dikapan tiba dari Hospital Pulau Pinang ke rumahya di Taman Bersatu di sini kira-kira 11.30 pagi dan disambut oleh beratus-ratus orang jiran dan sahabat handai serta rakan-rakan penulis dari Kedah dan Pulau Pinang.

Antara yang menziarahi jenazahnya ialah Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad bersama keluarganya.

Allahyarham meninggal kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

Azizi, 69, dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang sejak 26 Mac lalu untuk menjalani pembedahan jantung.

Beliau turut menjalani rawatan buah pinggang di hospital yang sama dan berada di hospital selama enam bulan sebelum meninggal dunia.

Isterinya Zubaidah Yusuff, 64, berkata ketika melawat Allahyarham di hospital semalam, Azizi berada dalam keadaan sihat walaupun lebih suka berehat dan tidur.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Bukit Meriam, Kota Kuala Muda.

Beliau merupakan seorang pesara guru dan kemudiannya turut menjadi Ketua Editor Utusan Pengguna di Pulau Pinang.

Beliau meninggalkan dua orang anak perempuan iaitu Anita, 40 dan Azimah, 21.

Shahnon menyifatkan beliau telah kehilangan seorang sahabat karib yang banyak jasanya dalam dunia kesusasteraan negara di samping seorang penulis yang prolifik dan disegani di kalangan rakan-rakan.

Azizi juga pernah memenangi Anugerah SEA Write 1988. - BERNAMA

Masih Hidup Setelah Ditikam Lapan Kali Dan Dicampak Ke Hutan

Posted: 21 Aug 2011 05:30 PM PDT

Kuala Pilah – Berpantang maut sebelum ajal! Begitulah yang terjadi kepada seorang lelaki berusia 29 tahun yang masih bernyawa walaupun ditikam sebanyak lapan kali di badannya sebelum dicampak di dalam hutan di Jalan Bukit Putus di sini pada Khamis lalu.

Lebih mengejutkan apabila lelaki terbabit yang tersedar dari pengsan pada pagi Jumaat lalu itu masih berupaya berjalan sejauh beberapa kilometer sebelum diselamatkan oleh orang ramai di Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam.

Sumber berkata, lelaki dikenali sebagai Arman Shah itu diselamatkan oleh orang ramai yang menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan separuh sedar sebelum menghubungi ambulans.

"Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban dekat sini dan kakitangan di wad kecemasan terkejut selepas mendapati lelaki itu masih hidup walaupun terdapat lapan kesan tikaman pada badannya.

"Mangsa sempat menceritakan yang dia tidak sedarkan diri selepas diserang dua lelaki yang dikenalinya dengan menggunakan pisau pada petang Khamis lalu di Bahau, dekat sini," katanya di sini semalam. -kosmo


Merangkak keluar hutan

PARAH...mangsa dibawa ke unit kecemasan HTJS.


KUALA PILAH: Berpantang maut sebelum ajal perumpamaan sesuai bagi seorang lelaki apabila berjaya menyelamatkan diri selepas ditikam lapan kali di dada dan belakang badan dengan pisau sebelum dicampak ke dalam Hutan Lipur Ulu Bendul, Bukit Putus, di sini Khamis lalu.

Mangsa dikenali sebagai Arman Shah, 29, hanya tersedar setelah dua hari kejadian dan dalam kesakitan dan kehilangan banyak darah kerana kecederaan parah akibat tikaman di badannya itu berjaya merangkak keluar dari hutan itu.

Menurut sumber, selama sehari mangsa berusaha mencari jalan keluar dari hutan itu sebelum sampai ke jalan raya, tetapi malang kerana hasrat mendapatkan bantuan daripada orang ramai yang menggunakan jalan berkenaan tidak tercapai kerana tidak seorang pun mahu memberikan bantuan.

Difahamkan, berikutan itu Arman dalam keadaan lapar, dahaga dan lesu selain menahan kesakitan, terpaksa berjalan tiga kilometer ke sebuah stesen minyak di Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Menurut sumber, mangsa sampai di stesen minyak itu dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan meminta orang ramai menghubungi ambulans.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) bagi rawatan segera di wad kecemasan," katanya.

Menurut sumber itu, mangsa dipercayai ditikam menggunakan pisau oleh dua kenalannya di Bahau.

"Kami percaya dua rakannya itu berdendam dengan mangsa dan menyangka dia sudah mati lalu mencampak nya ke dalam hutan.

"Kita masih lagi menyiasat tempat kejadian dan mengenal pasti dua suspek utama yang melakukannya," katanya. Menurutnya, hasil siasatan setakat ini polis tidak menolak motif samun berikutan tiada barang atau wang mangsa yang hilang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi hotline rakan cops Negeri Sembilan di talian 06-7619999. Harian Metro difahamkan, mangsa kini dirawat dan menerima beberapa jahitan di badan serta enggan ditemubual. -hm

Pulau Pinang: Koh Tsu Koon Sedia "Berperang" Dengan Katak UMNO

Posted: 21 Aug 2011 03:15 PM PDT

Dr Koh sedia lawan pihak pertikai kepimpinannya

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bersedia untuk 'berperang' dengan pihak tertentu sekiranya mereka terus mempertikaikan kewibawaannya memimpin parti itu terutama di Pulau Pinang.

Beliau berkata pihak berkenaan di dalam dan luar parti itu yang membidas kepimpinannya adalah mereka yang tidak berpuas hati, sering membantah serta melakukan tindakan yang mencemarkan nama baiknya.

"Tunggulah kalau ada serangan lagi kita akan mempertimbangkan strategi (melawan semula) dan melaksanakan strategi itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan negeri Perak, di Ipoh hari ini.

Beliau mengulas sasaran beberapa pihak termasuk ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang mendakwa Koh sudah tidak lagi relevan untuk memimpin Gerakan di Pulau Pinang dan dilihat sebagai liabiliti kepada parti itu.

Mengenai dakwaan Gerakan kini semakin "karam" di bawah kepimpinannya, Koh berkata parti itu sedang dibina semula selepas tsunami politik pada 2008 dan proses pembinaan semula itu menuntut lebih banyak semangat, kesabaran dan masa.

Katanya parti itu mendapat semangat dan galakan apabila 27,000 ahli baru termasuk empat anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas telah menyertai parti itu di seluruh negara sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Ketika ditanya adakah beliau mendapat sokongan dalam parti dan Barisan Nasional (BN), Koh berkata sokongan itu hanya dapat diuji apabila pemilihan parti diadakan dan enggan membuat spekulasi.

Selain Zahrain, Koh juga menjadi sasaran bekas naib presiden Gerakan, Huan Cheng Guan dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang Tan Sri Tan Kok Ping, yang berpendapat kepimpinan parti itu perlu diganti jika mahu memastikan Pulau Pinang kembali semula ke tangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu itu, ketika berucap merasmikan persidangan itu, Koh berkata Gerakan kini menjadi sasaran untuk melemahkan dan "menguburkan" parti itu termasuk dirinya sendiri.

"Saya percaya, itu adalah agenda untuk melihat (perjuangan) Gerakan berakhir. Jika Gerakan tidak relevan mengapa serang Gerakan," katanya.

Beliau berkata semua anggota parti perlu meneruskan khidmat kepada rakyat dan tidak perlu pandai "bermain wayang".

Katanya Gerakan perlu mendedahkan janji kosong pembangkang selepas mengambilalih pemerintahan negeri dan pada masa sama BN perlu menunaikan janji semasa pilihan raya umum lalu jika tidak mahu 'dihukum' rakyat. - Bernama

BN Dah Lama Jadi Pembangkang Jika Pilihanraya Berjalan Telus & Adil

Posted: 21 Aug 2011 09:36 AM PDT

Jika p'raya telus, sudah lama BN pembangkang

BUTTERWORTH, 20 Ogos: Pembentukan Jawatankuasa Terpilih Parlimen seperti mana yang dilaung-laungkan oleh BN sejak awal lagi sudah menunjukkan ketidakadilan mereka dalam menangani isu pilihan raya.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (gambar) ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di perkarangan Masjid Mak Mandin, Butterworth petang semalam.

Menurut beliau lagi, dalam pembentukan jawatankuasa tersebut sudah melihat adanya kepincangan, jadi bagaimana untuk mengharapkan suatu keadilan tercapai secara telus.

"Mereka ingin bentuk jawatankuasa yang didominasi oleh mereka. Majoriti kuasa ada pada mereka. Suara juga banyak pada mereka. BN ada lima anggota dan PR hanya tiga. NGO yang dicadangkan juga tidak relevan pada mereka.

"Pembentukan (jawatankuasa) ini tidak akan membawa apa-apa erti sekiranya pada awal-awal lagi sudah adanya unsur-unsur tidak telus dalam menangani masalah pilihan raya yang tidak adil dan telus dalam negara.

"Selagi SPR diperkudakan oleh Umno dan BN, saya yakin, selagi itulah masalah yang sekian lama dipertikaikan seperti pengundi pos, pengundi hantu dan terkini isu pemilikan Mykad oleh warga asing sebagai pemilih sah," ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, Umno dan BN tidak akan berani untuk menghadapi pilihan raya secara telus dan adil.

Malah katanya, sekiranya pilihan raya dilaksanakan secara telus BN sudah lama menjadi pembangkang dalam politik negara apabila rakyat menolak mereka melalui keputusan pilihan raya yang bersih.

"Namun begitu, adalah sukar untuk merealisasikan pembersihan ini wujud, selagi SPR tidak melepaskan diri mereka dari belenggu parti pemerintah, " tambahnya lagi. -HD


Reformasi Pilihan Raya : Hanya Suruhanjaya Diraja Langkah Terbaik

Sayap kanan Parti Keadilan Rakyat yakin langkah terbaik untuk melakukan penambahbaikan dalam sistem pilihan raya di negara ini adalah melalui penubuhan suruhanjaya diraja.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar ketika dihubungi Tv Selangor berkata, sikap dolak-dalih yang ditunjukkan oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai reformasi pilihan raya, menunjukkan ia tidak lebih dari gimik politik semata-mata.

Oleh itu katanya, hanya melalui suruhanjaya diraja kecelaruan dalam sistem pilihan raya dapat diperbaiki.

"Soal PAS mencadangkan suruhanjaya diraja itu.. saya ingat ia adalah satu langkah yang baik, pengumuman Datuk Seri Najib sendiri dalam hal ini pun, kita nampak adalah satu gimik politik untuk menunjukkan kononnya bahawa beliau Perdana Menteri yang responsif pada hal yang berkaitan dengan pilihan raya.

"Walhal ini bukan sekadar pengumuman tetapi kita mahukan perubahan yang sebenarnya dari segi sistem dan beberapa keadah penipuan yang berjaya kita kesan,"kata beliau.

Ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub semalam berkata, sikap 'flip flop' yang ditunjukkan oleh Najib menyebabkan Parti Islam Se-Malaysia itu tawar hati untuk menyertai PSC.

Sebaliknya, PAS terus berpegang supaya ditubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.

Panel parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya akan ditubuhkan pada Oktober depan.

Bagaimanapun kelmarin Najib yang juga Presiden Umno berkata pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding PSC yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Malah Najib memberitahu oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan dilakukan terlebih dahulu.

Malaysiakini melaporkan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat Rabu depan untuk membuat keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Perdana Menteri dan BN untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya sebelum pilihan raya umum ke-13.

Laporan itu yang memetik kenyataan media oleh ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyatakan, PAS juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaannya.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, semua pihak harus menolak penubuhan PSC dan mendesak suruhanjaya diraja ditubuhkan demi membersihkan sistem pilihan raya negara ekoran ketidakseriusan Najib.

"Saya kira (PSC) wajar ditolak bukan sahaja oleh PAS, tetapi juga PR oleh NGO-NGO lain yang berminat apabila kita bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan.. tetapi dalam masa sama kerajaan tidak bersedia untuk mendengar, seperti pepatah Melayu mengatakan, anjing menyalak bukit, tidak memberi kesan yang signifikan terhadap perubahan sistem pilihan raya ini,"katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berharap Najib berpegang pada prinsipnya sebelum ini untuk memastikan keputusan-keputusan yang dibuat dalam PSC dilaksanakan sebelum PRU13 diadakan.

"Sekarang DAP dan Pakatan Rakyat akan memutuskan perkara ini. Memang pada awal, saya mengalu-alukan cadangan PSC (tetapi) kalau ada langkah yang serius dan bukan hanya satu skrip dan inilah asas penekanan kita.

"(Jadi) ini menimbulkan (tanda tanya) apa guna PSC (ditubuhkan) kalau usaha PSC itu akan sia-sia. Apa yang mustahak sekarang ialah untuk menentukan pilihan dalam penyiasatan sistem pilihan raya,"kata beliau kepada Tv Selangor.




Keretakan Dalam UMNO Semakin Terdedah

Posted: 21 Aug 2011 07:50 AM PDT

Perkembangan terbaru dalam arena politik negara membuktikan bahawa adanya keretakan dalam pentadbiran Perdana Menteri, Najib Razak dakwa Pakatan Rakyat.

Kenyataan Najib yang menyatakan pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa sahaja membuktikan ada pergolakan dalaman yang gagal disembunyikan gagasan itu.

Malah ia disusuli oleh perkembangan semasa terdapatnya halangan atau bantahan daripada pimpinan di bawah Najib ke atas inisiatif perdana menteri itu yang membabitkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai reformasi pilihan raya.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Pakatan katanya yakin, Najib akan melakukan lebih banyak pembaharuan dalam PSC yang akan dilewatkan pelaksanaannya memandangkan beliau perlu mendapatkan sokongan terlebih dahulu dan berusaha mengatasi bantahan dalam pentadbirannya sendiri.

Portal The Malaysian Insider yang memetik Mohamad melaporkan, beliau percaya tindakan Najib yang dilihat berundur ke belakang daripada inisiatifnya, menunjukkan beliau sedang "membeli masa" agar Perdana Menteri keenam itu boleh mendapatkan sokongan kakitangan kerajaan dan pengundi atas pagar menjelang pilihan raya umum.

"Saya tidak fikir Najib dan BN serius untuk membawa pembaharuan," kata beliau selepas melancarkan kempen antiharga barang naik, menggunakan nama Protes BN, di ibu negara semalam.

"Mereka hanya membuka injap untuk melepaskan tekanan tetapi tidak serius mengadakan pilihan raya bebas dan adil. Ya, mereka cuba beli masa," katanya lagi merujuk kepada kesan perhimpunan Bersih di ibu negara pada 9 Julai lalu, yang diadakan untuk menuntut pembaharuan pilihan raya.

Kelmarin, Najib berkata pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Jawatankuasa PSC itu akan dibentuk Oktober ini.

Bagaimanapun kelmarin, Perdana Menteri memberitahu oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan diadakan terlebih dahulu.

"Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa, tiada apa-apa kaitan dengan jawatankuasa pilihan khas parlimen. Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Namun menurut Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, tindakan Najib ini menyebabkan beberapa kumpulan dalam Umno tidak berpuas hati dengan pembaharuan Najib dan cuba mewujudkan kebangkitan ke atas kepimpinan beliau dan perikatan yang dipimpinnya.

Beliau menamakan pertubuhan bukan kerajaan seperti Penawar dan Amanah Merdeka yang diketuai oleh veteran-veteran Umno.

Oleh itu kata Mat Sabu, Najib cuba mendapatkan sokongan daripada tempat-tempat lain.

"Saya tidak fikir beliau cuba menyatukan sokongan veteran Umno tetapi membeli masa pegawai-pegawai kerajaan dan menjawab Buku Jingga (dikeluarkan Pakatan Rakyat)," kata beliau.

Sementara itu, ahli parlimen Ipoh Timur memberitahu, Najib kemungkinan cuba untuk mengadakan inisiatif baru susulan perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu tetapi gagal ekoran tentangan daripada Umno sendiri.

"Beliau tidak boleh keluar daripada bangkangan, kritikan jelas daripada pihak berpendirian keras seperti Muhyiddin," kata Lim merujuk kepada timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selasa lalu, Muhyiddin menegaskan sistem pilihan raya semasa adalah adil dan telus, dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan.

"Mereka tidak boleh gembira dengan idea itu apabila mereka selama ini mempertahankan bahawa tidak ada apa-apa kekurangan dalam sistem semasa," kata Kit Siang. -tvsnews




Kawasan Tol Senawang Makan Orang? Terbaru, Bayi Tercampak Keluar Dari Kereta

Posted: 21 Aug 2011 05:15 AM PDT

Seremban - Sepasang suami isteri meraung selepas melihat bayinya tidak lagi bernyawa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 252.8 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Plaza Tol Senawang, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, kereta jenis Toyota Camry dinaiki pasangan terbabit bersama bayi lelaki dan seorang lagi penumpang dalam perjalanan menuju ke utara, sebelum dikatakan terbabas akibat hujan lebat.

Dalam masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda turut terbabas ke tepi jalan dan merempuh kenderaan dinaiki keluarga berkenaan.

Akibat kemalangan itu, bayi berusia setahun itu yang dikenali sebagai Lin Isaac yang ketika itu dipercayai sedang dalam pangkuan ibunya, tercampak ke luar dan terhumban ke bawah kereta.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri dan pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku berikutan jalan licin akibat hujan lebat menyebabkan Toyota Camry dinaiki keluarga berkenaan terbabas.

Menurutnya, bayi berkenaan kemudian ditemui tersepit di bawah Toyota Camry dan sudah meninggal dunia.

"Bapa dan ibu mangsa serta seorang lagi penumpang dipercayai anggota keluarga pasangan berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, dua jentera bomba membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba Senawang dan Rembau tiba ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat mangsa.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri berkenaan mengelak daripada wartawan kerana masih terkejut dengan kejadian menimpanya dan ibu mangsa juga kelihatan meraung dan menangis ketika melihat bayinya yang sudah tidak bernyawa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari bawah kereta.

Mayat bayi kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat.

Ulasan GB

Berpuluh-puluh kejadian kemalangan berlaku di kawasan yang berdekatan dengan Tol Senawang.

GB cuba membuat carian di Google dengan menulis "kemalangan tol senawang", maka dipaparkan pautan kepada berpululoh-puloh laporan kemalangan, yang sebahagian besarnya kemalangan maut berlaku di jajaran 20KM-30KM di sepanjang Tol Senawang dan Tol Simpang Ampat.

Jangan lupa insiden pada tarikh 10.10.10 dimana seramai 12 orang maut dan lebih 40 lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di kawasan yang berhampiran di Kilometer 223.

Sebelumnya pada 27.09.10 lima sekeluarga menempuh detik ngeri apabila kereta dinaiki terbabas dan terbalik hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 254.5

Dan 6 sekeluarga, Pengarah Urusan Fadhilat Herb, Suhaimi Ghazali, isteri dan empat anak mereka disahkan rentung dalam kemalangan di Kilometer 252 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat Senawang pada bulan Februari 2010.

Pada 16.07.11, seorang wanita dan bayi lelakinya maut manakala suaminya cedera apabila lori yang mereka naiki terbabas dan terbalik di Km252.9

Ia menunjukkan kawasan lebuhraya di sepanjang 20KM-30KM Tol Senawang adalah kawasan kemalangan maut.

Kita ingin tahu samada pihak Lebuhraya PLUS sudah membuat kajian terperinci mengenai keadaan lebuhraya di situ dan sebab-sebab terlalu banyak kemalangan maut berlaku di tempat yang hampir sama.

Kepada pemandu, berwaspadalah tatkala melalui kawasan berkenaan.

PAS Tawar Hati Untuk Sertai J/K Khas Parlimen, Desak Tubuh Suruhanjaya Diraja

Posted: 21 Aug 2011 02:23 AM PDT

PAS mungkin tidak sertai JK Khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 20 Ogos: PAS mungkin tidak akan menyertai Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya berikutan sikap tidak ikhlas kerajaan yang semakin jelas, kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub (gambar).

Sebaliknya PAS, akan terus berpegang kepada pendirian supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini, katanya.

"Walaupun sebelum ini PAS amat berhati-hati untuk memberikan sebarang komitmen kepada Jawatankuasa Khas Parlimen yang dicadangkan oleh (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) itu, tetapi kenyataan terbaru Najib telah membunuh minat kami untuk memberikan perhatian kepada jawatankuasa tersebut," tegas beliau sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai bukti keangkuhan Najib dan Umno.

Menurut Perdana Menteri, pilih raya umum akan datang boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya itu.

"Kenyataan yang angkuh itu menguatkan keyakinan PAS bahawa Najib hanya melepaskan batuk di tangga apabila mengumumkan cadangan menubuhkan jawatankuasa itu dan hakikatnya beliau dan Umno tidak pernah serius dalam mendepani tuntutan reformasi pilihan raya negara ini," kata Salahuddin.

Mengenai usaha untuk menghubungi badan-badan di peringkat antarabangsa mengenai tuntutan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyatakan, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan, usaha itu adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai tunturan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih dalam negara ini.

"Kesedaran mengenai tuntutan itu perlu diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa," kata Salahuddin.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. -HD



PAS Tidak Mahu Sertai PSC, Kekal Desak Suruhanjaya Diraja

Kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebabkan PAS tawar hati untuk turut serta dalam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan pilihan raya yang bakal ditubuhkan Oktober depan, kata Salahuddin Ayub.

Sebaliknya ujar beliau, PAS akan terus berpegang supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.

"Walaupun sebelum ini PAS amat berhati-hati untuk memberikan sebarang komitmen kepada jawatankuasa khas parlimen yang dicadangkan oleh (Perdana Menteri, Datuk (Seri) Najib (Razak) itu, tetapi kenyataan terbaru Najib telah membunuh minat kami untuk memberikan perhatian kepada jawatankuasa tersebut,"
kata beliau dipetik dari portal Malaysiakini.

Najib sebelum ini berkata, pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa sahaja tanpa terikat dengan keputusan PSC.

"Kenyataan yang angkuh itu menguatkan keyakinan PAS bahawa Najib hanya melepaskan batuk di tangga apabila mengumumkan cadangan menubuhkan jawatankuasa itu dan hakikatnya beliau dan Umno tidak pernah serius dalam mendepani tuntutan reformasi pilihan raya negara ini," kata Salahuddin, semalam.

Mengenai usaha untuk menghubungi badan-badan di peringkat antarabangsa mengenai tuntutan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih, ahli parlimen Kubang Kerian itu menyatakan, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan, usaha itu adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai tunturan rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih dalam negara ini.

"Kesedaran mengenai tuntutan itu perlu diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa," kata Salahuddin.

Bersih 2.0 sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.







Tiada ulasan: