Isnin, 22 Ogos 2011

sesemut emas ™

sesemut emas ™


Perbanyakkan Amalan, Perkasakan Diri Di Dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak

Posted: 22 Aug 2011 12:40 AM PDT

RAMADHAN adalah antara bulan yang mulia, kerana terdapat di dalamnya beberapa pengajaran yang perlu diperhatikan oleh setiap muslim bagi mempertingkat hubungan dan memperkasa diri sebagai muslim sejati di sisi Allah S.W.T seperti berlakunya perang Badar Kubra yang terjadi pada bulan Ramadhan.

Ini membuktikan bahawa bulan Ramadhan khususnya dari pelaksanaan ibadah puasa bukan penghalang untuk mencapai matlamat kejayaan dari apa yang dirancang oleh mereka yang mahukan kejayaan.


Ramadhan juga memberi peluang kepada hamba-hamba Allah untuk mendapatkan sebanyak mungkin koleksi pahala yang tidak ada pada bulan-bulan lain.


Justeru, setiap kali menjalani Ramadhan, amat malang jika kita tidak merebut peluang untuk menambahkan ketaqwaan, kerana matlamat berpuasa adalah untuk menjadi golongan hamba yang bertaqwa.


Apa sebenar definisi taqwa? Perkara ini telah dihurai oleh Saidina Ali Bin Abi Talib K.W. Taqwa itu ialah takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan al-Quran, redha dengan sedikit yang ada pada diri dan bersiap untuk bertemu dengan Allah S.W.T.


Motivasi Nabi S.A.W menjelang Ramadhan

Salman al-Farisi berkata, bahawa baginda Rasulullah S.A.W berkhutbah di akhir bulan Sya'aban, sabda Baginda S.A.W:

"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardhu pada siang hari, amalan sunnat pada malam-malamnya.

Sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan daripada amal-amal kebajikan dan kebaikan, seolah-olah dia telah melakukan satu perkara fardhu, sementara yang melakukan satu perkara fardhu (pada bulan Ramadhan), seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardhu."

Ramadhan adalah bulan kesabaran, dan pahala sabar itu akan membawa ke syurga. Ia juga bulan bertolak ansur, berkasih sayang, bulan yang menambahkan rezeki golongan mu'min.

Sesiapa yang memberi dan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, baginya keampunan seluruh dosa-dosa yang pernah dilakukannya serta pelepasan dari api neraka. Baginya juga pahala yang tidak berkurangan dari orang yang berpuasa.

Para sahabat bertanya: "Sebenarnya kami tidak ada apa yang boleh dijadikan juadah berbuka puasa untuk yang berpuasa, bagaimana kami boleh meraih pahala?"

Baginda S.A.W menjawab: "Allah tetap akan memberi pahala menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar, atau seteguk air atau setitis susu untuk orang berpuasa."

Ini kerana sabda Baginda S.A.W, pada 10 pertama Ramadhan adalah rahmat, 10 pertengahan Ramadhan disediakan keampunan dan 10 akhir Ramadhan adalah pelepasan daripada api neraka.

Justeru, tegas Baginda S.A.W, perbanyakkan pada bulan Ramadhan dengan empat perkara:

"Dua perkara daripadanya adalah untuk mendapatkan keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi tidak boleh tidak, kamu mesti melakukannya.

Dua perkara untuk mendapatkan Tuhan kamu itu adalah dengan mengucap syahadat La Ilaha Illallah (tiada Tuhan melainkan Allah) dan memperbanyak Istighfar.

Sementara dua perkara yang mesti kamu lakukan adalah memohon kepada Allah untuk memasuki syurga-Nya dan minta dijauhkan daripada memasuki neraka-Nya.

Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberi minum kepadanya dari telagaku, di mana dia tidak akan merasa dahaga selepas meminumnya hingga dimasukkan dalam syurga." - Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam kitab sahihnya, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban.

Renung-renungkanlah. Selamat beramal..

-ibnumustafa-

Puasa Kembalikan Manusia Ke Alam Fitrah

Posted: 21 Aug 2011 02:15 AM PDT

Antara sedar dengan tidak kita telah memasuki fasa ke tiga berpuasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan kemerdekaan ini. Sesungguhnya pada bulan Ramadhan inilah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semulajadi jika kita puasa mengikut acuan sunnah Rasulullah S.A.W.

Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam / awal pagi dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.

Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.

Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali.

"Sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam."

Di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.

Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.

Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.

Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.

Kemudian kita tunaikan solat Maghrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sepuluh malam barulah makan yang berat sedikit.

Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.

Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.

Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan di siang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Solat Fardhu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardhu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.

Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunat rawatib.

Solat Tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kita berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat tarawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.

Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadhan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.

Mengaji / Bertadarus Al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadhan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadhan.

Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.

Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.

Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.

Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.

Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini. Gambarkan keadaan suasana puasa, buka, sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam - alangkah indahnya suasana ini.

Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah.

-ibnumustafa-

Tiada ulasan: