Isnin, 15 Ogos 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Najib Masih Takut Panggil Pilihanraya Walaupun Merdeka Center Semacam Bagi Greenlight

Posted: 15 Aug 2011 12:44 AM PDT

Merdeka Center: Najib 'lebih terampil' dari Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat lebih berketerampilan sebagai pemimpin di mata masyarakat umum berbanding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini menurut Ibrahim Suffian dari pusat bancian Merdeka Centre adalah kerana keberkesanan penggunaan media arus perdana untuk menaikkan imej Najib.

Malah katanya, jumlah rakyat yang berpuas hati dengan kepimpinan perdana menteri, kukuh pada paras 69 peratus pada Disember lalu.

"Jika anda bertanya kepada saya - siapa yang rakyat fikirkan boleh melakukan kerja dengan lebih baik,- mereka berkemungkinan akan memilih Najib. Terdapat banyak berita mengenai Najib melakukan pelbagai perkara dan sebahagian besar berita itu sangat positif.

"Jadi mereka mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap Najib berbanding Anwar. (Persepsi Anwar) dalam media arus perdana diselubungi tindakan undang-undang yang bersilih ganti. Hampir setiap hari, ada sahaja orang yang menuduh beliau dengan pelbagai dakwaan."

Jelas Ibrahim, walaupun komuniti siber di Internet - seperti laman Facebook anti-Najib - yang sebahagian besar menentang perdana menteri itu, tetapi pada hakikatnya bahawa sebilangan besar daripada rakyat tidak terdedah dengan sumber maklumat alternatif.

"Saya fikir orang ramai tidak mempunyai maklumat yang cukup mengenai apa yang dilakukan oleh Anwar untuk mempengaruhi keputusan. (Ini adalah) kerana hanya kira-kira 40 peratus daripada rakyat negara ini yang mempunyai akses kepada berita alternatif, jauh lebih rendah daripada akses internet.

"Tidak semua orang yang melayari Internet akan melawat portal dan membaca berita. Oleh itu, terdapat ketidakseimbangan bagaimana orang ramai boleh menilai seseorang pemimpin. "

Walau bagaimanapun, Suffian juga mengakui bahawa penilaian kelulusan seseorang pemimpin juga tidak semestinya diterjemahkan kepada undi.

"Ia hanya mencerminkan hakikat bahawa ramai orang, sekurang-kurangnya dua pertiga, bersetuju dengan apa yang perdana menteri sedang memperkatakan atau cuba untuk berbuat," kata Ibrahim lagi.

Ulasan GB

Kajian Merdeka Center semacam sudah memberikan lampu hijau untuk Najib mengadakan pilihanraya. Najib pasti kembang dengan kenyataan Merdeka Center tersebut.

TETAPI apakah Najib berani untuk memangil pilihanraya dalam waktu terdekat ini?

Belum lagi.... mimpi ngeri beliau dikejar BERSIH masih menyebabkan tidurnya masih belum lena lagi.

Pendakwa Gagal Sediakan 6 Saksi, Kes Anwar Ditangguh Minggu Depan

Posted: 14 Aug 2011 11:56 PM PDT

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan 22 Ogos depan untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan dalam kes fitnah liwat II ke atas dirinya.

Kegagalan pihak pendakwaan menyediakan enam lagi saksi berpotensi yang disenaraikan menyebabkan perbicaraan itu yang ditangguhkan pada hari ini, terpaksa ditunda ke minggu hadapan.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selain mengarahkan pendakwaraya menyediakan baki enam saksi yang masih belum ditemubual peguambela Anwar sebelum mahkamah bersambung pada Isnin.

"Apa-apa sahaja hasil (daripada temubual) itu, Isnin awak (peguam bela) perlu mula," kata Zabidin di kamar Mahkamah Jalan Duta pagi tadi.

Perbicaraan ini yang memasuki peringkat pembelaan sepatutnya sudah bermula 8 Ogos lalu namun ia ditangguhkan atas permintaan pendakwaraya yang gagal menyediakan 25 saksi yang ditawarkan kepada peguam bela.

Kegagalan menyediakan saksi itu menyebabkan peguam Anwar terpaksa memohon perintah mahkamah untuk memanggil saksi-saksi berkenaan.

Peguam Anwar, Ram Karpal Singh menegaskan pendakwaraya bertanggungjawab menyediakan semua saksi yang diminta sebelum perbicaraan bersambung Isnin depan.

"Menjadi tanggungjaawab dan tugas pendakwaraya sediakan saksi untuk ditemubual kami. Bukan perkara yang rumit. Mahkamah sudah beri arahan sebelum ini," kata beliau kepada media di lobi Mahkamah.

Peguam pembelaan yang diketuai oleh Karpal Singh telah menemubual 19 saksi berpotensi yang mungkin diminta tampil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Mereka yang dipanggil itu termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang hadir pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun kedua-dua Najib dan Rosmah enggan ditemubual dan berkata mereka tidak mahu menjadi saksi pembela kepada Anwar.

Hari ini, pihak pembelaan akan menemubual ibu kepada bekas tunang pengadu kes ini - Mohd Saiful Bukhari Azlan - iaitu Sharehah Md Salim.

Sementara Musa kini berada di luar negara dan dijangka akan kembali minggu depan.

Enam yang masih belum ditemubual termasuk Musa, dua bekas pembantu rumah Indonesia,Suliati dan Faria Dipan-yang sebelum ini bertugas dengan pemilik kondominium Hasanuddin Abdul Hamid dan jururawat Hospital Pusrawi, Yazihan Jusoh, serta pengawal peribadi Anwar, Mohd Rasid Mohd Rosdi.

Difahamkan pembantu rumah berkenaan telah pulang ke Indonesia dan polis dijangka memaklumkan perkembangan mereka mengesan kedua-dua wanita itu.

Pada 16 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah seorang saksi berwibawa.

Manakala pada 8 Ogos lalu, beliau membenarkan pihak pembelaan menemubual saksi-saksi yang disenaraikan oleh pihak pendakwaan termasuk Najib dan Rosmah.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.



Ulasan GB

Puak UMNO dan puak pencacai UMNO seperti GAPS bising-bising kerana perbicaraan Anwar dikatakan lewat, sering ditunda dan sebagainya.

Sekarang siapa yang bersalah di dalam penundaan kes ini?

Anwarkah atau Pendakwakah yang telah gagal meneyediakan saksi-saksi?

Serbu Gereja: JAIS Sudah Kemukakan Laporan Awal Kepada MB

Posted: 14 Aug 2011 10:27 PM PDT

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan telah menyerahkan laporan awal berhubung tindakannya ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada awal bulan ini kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Laporan itu mengandungi maklumat mengenai bagaimana pemeriksaan, menurut Jais, telah dilakukan dan butiran mereka yang berada dalam gereja tersebut.

Gereja Methodist Damansara Utama masih mempertahankan dakwaan bahawa premis itu diserbu Jais.

Akhbar Mingguan Malaysia semalam melaporkan laporan itu diserahkan kepada Tan Sri Khalid minggu lalu.

'Laporan yang dihantar kepada Menteri Besar hanya laporan awal dan laporan lengkap sedang disiapkan. Selepas siap kita akan hantar laporan itu kepada pihak berkenaan,' kata sumber itu, seperti yang dipetik akhbar tersebut.

Rabu lalu, Tan Sri Khalid berkata kerajaan negeri masih menunggu laporan lengkap Jais berhubung kontroversi serbuan ke atas sebuah gereja minggu lalu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, pihaknya telah meminta Jais menyediakan satu laporan lengkap dan terperinci mengenai serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Beliau menambah, laporan terperinci itu termasuk hasil siasatan ke atas kesemua 12 individu beragama Islam yang dilapor ada di gereja ketika serbuan.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa Jais mengalami kesulitan mendapatkan keterangan 12 individu itu yang tidak hadir membantu siasatan 'kerana beberapa undang-undang yang telah diketengahkan oleh peguam-peguam mereka'.

'Malah pejabat Menteri Besar juga telah menerima surat daripada firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 daripada 12 orang Islam yang terlibat,' kata beliau sambil menambah akan menyerahkan perkara itu kepada pakar undang-undan Jais bagi memberikan khidmat nasihat. -Agensi


14 Terbunuh 23 Cedera Di Sambutan Hari Kemerdekaan Pakistan

Posted: 14 Aug 2011 09:25 PM PDT

Quetta: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 23 yang lain cedera, apabila letupan bom meranapkan sebuah bangunan hotel dan restoran dua tingkat di bandar Dera Allah, 300 kilometer ke timur Quetta, ibu negeri wilayah Baluchistani barat daya Pakistan semalam.

Gambar: ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa yang terkorban dalam serangan bom di Dera Allah, Pakistan, semalam. - Foto Reuters

Di wilayah lain, empat orang menjadi mangsa serangan dan tembakan ketika Pakistan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-64 semalam.

Pegawai kanan polis di Dera Allah Javed Gharsheen berkata, bom terbabit disembunyikan di satu sudut hotel dan ia meletup ketika sekumpulan penghuni berada di dalam dewan. Saksi berkata bangunan hotel itu musnah sama sekali.

Beliau berkata angka kematian dijangka meningkat kerana ramai lagi dipercayai masih terperangkap di celah runtuhan bangunan itu.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab setakat ini, tetapi pihak berkuasa mengesyaki ia dilakukan kumpulan pemisah Baluch yang sejak sekian lama menuntut hak autonomi dan kuasa ke atas sumber asli di wilayah itu.

Di bandar Khuzdar, 300 kilometer ke selatan Quetta, kumpulan lelaki yang menunggang motosikal menembak mati wartawan agensi berita Online, Munir Noor ketika beliau dalam perjalanan pulang daripada membeli-belah di sebuah pasar berhampiran kediamannya.
"Beliau ditembak dari jarak dekat. Punca serangan masih disiasat," kata ketua polis Khuzdar Abdul Qadir Sheikh.

Di Miranshah, wilayah barat laut Pakistan, sekurang-kurangnya tiga tentera paramilitari terbunuh manakala 25 lagi cedera apabila militan melepaskan bedilan roket ke arah kem mereka.

Seorang pegawai berkata, empat roket dibedil ke arah kem di bandar utama di Wiziristan Utara itu ketika pasukan askar membuat persediaan untuk mengadakan perhimpunan bagi menyambut Hari Kemerdekaan.

"Tiga anggota paramilitari terbunuh, 25 lagi cedera, lima daripada mereka parah," kata pegawai perisikan di tempat kejadian.

Sementara itu di CHARIKAR, Afghanistan, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 40 lagi cedera dalam satu serangan bunuh diri di kediaman dan pejabat Gabenor Wilayah Parwan, Abdul Basir Salangi semalam.

Abdul Basir ketika memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan berkata enam pengebom bunuh diri menyerbu kawasan kediaman dan pejabatnya sebelum meletupkan bom dan melepaskan tembakan.

"Saya berada di dalam bangunan pejabat ketika serangan dilakukan. Seramai 14 orang awam dan lima anggota polis terbunuh, manakala 40 lagi cedera," katanya.

Seorang pegawai berkata, lima letupan besar berlaku di kompleks pejabat dan kediaman itu dengan tiga daripadanya meletup di bahagian dalam bangunan, hanya 15 meter dari pejabat gabenor.

Sekurang-kurangnya dua pegawai tentera Amerika juga berada di tempat kejadian tetapi mereka terselamat. – AFP

FELCRA Diarah Bayar Gantirugi Kepada Waris Kerana "Menceroboh"

Posted: 14 Aug 2011 07:30 PM PDT

Seorang waris kepada peserta Felcra di Tapah, Mohamad Ramly Sanji menang dalam samannya terhadap Felcra Berhad yang didakwa menceroboh tanah milik ibunya.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Hassan Abd Rahman yang memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif sebelum ini tidak sah.

Sehubungan itu pihak Felcra diarah membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Selain itu Hakim juga mengeluarkan perintah injuksi yang menetapkan bahawa pihak Felcra perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung pihak Felcra.

Plaintif menfailkan saman berkenaan pada 2008 selepas mendapati pihak defenden iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar dijalan Kacu Tapah, yang dibangunkan atas tujuan tanaman kelapa sawit.

Kes beliau antara yang mendapat bantuan dan sokongan Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), iaitu sebuah NGO yang memperjuangkan nasib peserta Felcra.

Kemenangan rakyat

Sementara itu, menurut pengerusi Bapa yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perak, Tuan Haji Razman, beliau menganggap kemenangan tersebut sebagai kemenangan rakyat.

Beliau menyatakan, kes itu menjadi penyuntik semangat kepada NGO itu untuk terus memberi kesedaran serta membantu peserta-peserta mendapatkan semula hak-hak mereka yang selama ini tidak diendahkan oleh pihak pengurusan Felcra. -HD



Bukan PAS/PR, Tapi PERKASA Yang Bakar The Star

Posted: 14 Aug 2011 06:15 PM PDT

Star anti-Islam, kata PERKASA

Pertubuhan Hak Melayu, PERKASA, hari ini mengecam akhbar The Star sebagai musuh Islam, kerana menyiarkan artikel dan gambar masakan daging babi dalam sisipan juadah berbuka puasa.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali menegaskan beliau tidak menerima penjelasan bahawa ia adalah satu kesilapan.

"Kita semua tahu siapa editor the Star," katanya sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai menguji had toleransi orang Islam.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PERKASA di Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur, Ibrahim bertegas kesilapan The Star adalah "cabaran terang-terangan" terhadap Islam.

Beliau yang juga ahli parlimen Pasir Mas menuduhkan akhbar harian berbahasa Inggeris itu secara "konsisten menyerang Islam".

Oleh itu, tegas Ibrahim, adalah perlu bagi PERKASA "menuntut semula peranan sebagai pembela Islam", dengan menuduh PAS telah gagal memainkan peranan tersebut.

Ahli parlimen bebas itu juga mendakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri tidak lagi mengambil berat tentang Islam dan kini lebih tertarik dengan undi dan akan berkompromi terhadap apa saja.

Dalam satu majlis kecil selepas itu, Pemuda PERKASA membakar nashkah akhbar the Star. -mk


Perkasa bakar akhbar Star

Akhbar itu menyiarkan iklan juadah Ramadan mengandungi daging babi.

KUALA LUMPUR: Perkasa membakar akhbar The Star sebagai memprotes akhbar itu menyiarkan iklan hidangan Ramadan baru-baru ini.

Akhbar itu menyiarkan iklan juadah Ramadan mengandungi daging babi.

Pembakaran itu diketuai oleh Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Idris.

Dalam ucapannya, Irwan berkata. Penyiaran iklan oleh akhbar The Star itu menghina orang Islam.

"Perkasa meminta akhbar The Star meminta maaf secara terbuka kepada orang Islam," katanya.

Dalam ucapannyqa, Irwan juga menyelar MCA dan MIC yang dianggapnya suka menjaga hal ehwal orang Melayu.

"Kamu kerjalah untuk kaum kamu sendiri kerana dalam pilihan raya tidak mendapat sokongan.

"Tolong hormati kaum majoriti," katanya. -FMT

Ulasan GB

Bukan PAS, bukan PKR apatah lagi DAP yang bakar akhbar The Star. Tetapi PERKASA. Rakan karib UMNO yang selama ini dijulang oleh media arus perdana termasuk The Star/Mstar sendiri.

Isunya kerana The Star menyiarkan artikel dan gambar masakan daging babi dalam sisipan juadah berbuka puasa. Ia memang menghinakan umat Islam.

Tetapi PAS/ Pakatan Rakyat tidak mengambil tindakan melulu. Kita tahu bahawa tidak mungkin The Star boleh melakukan penghinaan keterlaluan sedemikian rupa terhadap umat Islam, tetapi kita juga tahu bahawa berkemungkinan ia dilakukan tanpa sengaja, atau kerana kejahilan atau kerana kecuaian, atau tanpa niat untuk menghina. Maka itu PAS/PR tidak mudah mengambil tindakan melulu... mengenepikan emosi/sentimen tetapi menunggu jawapan sebenar dan peryataan mohon maaf secara terbuka oleh The STAR.

Buka mata, Melayu yang mana bersentimen dan beremosi dan yang suka runs amuk?

Sekarang The Star sudah sepatutnya dapat menilai sendiri. Kebenaran telah bersuara dengan jelas di depan mata. Terpulang. Masih nak menghentam PAS/PR dan nak membela UMNO BN lagikah?

Jika ya, teruskan, kami akan terus juga memohon agar Tuhan dedahkan lagi kecelaruan "barisan" kamu yang sebenarnya sedang berada di jurang keruntuhan.

Mat Sabu: Di London Rakyat Mengamuk. Di Malaysia Polis Yang Mengamuk

Posted: 14 Aug 2011 03:40 PM PDT

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyelar tindakan beberapa pihak yang cuba menyamakan antara Himpunan aman Bersih 2.0 9 Julai lalu dan rusuhan yang berlaku di United Kingdom.

Mohamad merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata perhimpunan Bersih 2.0 mungkin menyebabkan rusuhan seperti apa yang berlaku di Kota London sekarang.

Menurut Mohamad, rusuhan di UK berbeza dengan gerakan menuntut perubahan secara aman di Malaysia dan diakui sendiri oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron bahawa rusuhan London tidak berkaitan politik.

"Saya tak tahu Timbalan KPN ini. Di London rakyat mengamuk. Di Malaysia polis mengamuk.

"PM Britain sendiri kata rusuhan tidak kena mengena dengan politik," kata Mohamad ketika ditanya Tv Selangor pada sidang media di Ibu Pejabat PAS semalam.

4 Ogos lalu, ribuan rakyat memprotes kematian seorang lelaki akibat tembakan polis di Tottenham, utara London.

Keesokan harinya, beberapa pemuda bertopeng memulakan rusuhan, merosak dan membakar kedai.

Kejadian itu merebak ke bahagian lain di London seperti Croydon dan Bayswater sebelum merebak ke arah Utara England dengan kejadian sama dilapor di Birmingham, Liverpool dan beberapa tempat lain.

Dalam posting di laman web Facebooknya beberapa hari lalu, Khalid berkata rusuhan berterusan di London yang kini merebak ke beberapa bandar utama di Britain adalah bukti bahawa mimpi ngeri seumpama itu boleh dielakkan dengan menghalang protes jalanan.

Menurut Mohamad situasi ini amat berbeza dengan demonstrasi di negara ini.

Beliau mengakui polis boleh menggunakan kekerasan mereka dalam rusuhan tetapi bukannya dalam himpunan aman.

"Saya sendiri berulang kali sebut jangan terbalikkan walau satu pasu bunga pun.

"Di sini tidak ada langsung berlaku kebakaran, terbalikkan kereta, pecah kereta atau (rosak) harta awam. Patutnya polis hadapi himpunan aman secara aman," tegas beliau lagi.

Dalam pada itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim semalam mendakwa ada peserta himpunan Bersih 2.0 yang diupah RM50 untuk memakai baju berwarna kuning.

Merujuk kepada tragedi di London, beliau berkata, polis di negara luar tidak teragak-agak melakukan kekerasan demi menegakkan undang-undang sebaliknya di Malaysia, meskipun berdepan ejekan peserta Bersih, mereka masih mampu bersabar.

"Lihat dengan apa yang kita alami di Malaysia, dan ini kita harus ambil sebagai satu perbandingan untuk keinsafan kita, yang mana betapa tertibnya Polis Diraja Malaysia mengawal keadaan berbanding dengan apa yang berlaku di luar negara," beliau dipetik sebagai berkata.

Terdahulu DAP turut membidas kegagalan pemimpin Umno-BN dalam menyamakan rusuhan dan sebuah perhimpunan aman.

Menurut setiausaha organisasi DAP, Teresa Kok, Bersih 2.0 adalah sebuah perhimpunan aman yang jelas matlamatnya dan bukanlah seperti yang didakwa pemerintah selama ini.

"Yang mengganas di London adalah perusuh, sebaliknya yang bertindak ganas di Malaysia sewaktu perhimpunan aman Bersih 2.0 adalah pihak polis.

"Di Kuala Lumpur, perhimpunan aman Bersih 2.0 mempunyai matlamat yang jelas dan telah dianjurkan secara terancang.

"Agenda, tarikh dan waktu bersurai telah dinyatakan secara terus-terang buat pengetahuan pihak kerajaan, polis, media dan orang awam dari awal-awal lagi," katanya dalam satu kenyataan media.





TGNA Sokong Larangan Bacaan Al-Quran Guna Pembesar Suara, Selari Dgn Syarak

Posted: 14 Aug 2011 08:35 AM PDT

Larang guna pembesar suara selaras syarak

KOTA BHARU, 14 Ogos: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak membenar masjid menggunakan pembesar suara menyiar bacaan al-Quran sebelum Subuh selari dengan syarak.

Menteri Besar berkata, Islam tidak menggalakkan bacaan al-Quran diperdengar dengan kuat terutamanya menggunakan pembesar suara kecuali azan.

"Hanya azan sahaja yang perlu dikuatkan dengan tujuan untuk menyeru umat Islam menunaikan solat dan meninggalkan sementara urusan dunia," katanya selepas merasmikan pelancaran Koperasi Rakyat Kelantan Berhad di KTC hari ini.

Beliau diminta mengulas larangan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang menggunakan pembesar suara di masjid sebelum solat Subuh kerana ia dianggap mengganggu ketenteraman masyarakat berbilang kaum.

Sebelum ini media melaporkan JHEAIPP mengarahkan semua masjid dan surau menghentikan bacaan al Quran menggunakan pembesar suara sebelum Subuh kerana bercanggah dengan hukum syarak.

Arahan tersebut juga selaras dengan keputusan masyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri berkenaan pada 7 April lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, umat Islam jangan begitu seronok membaca al-Quran dengan menggunakan pembesar suara kerana ia tidak elok dan boleh mengganggu ketenteraman orang ramai terutama kanak-kanak sedang tidur.

"Di Kelantan mungkin tak apa, sebab sudah menjadi perkara biasa, namun sesetengah tempat mungkin tidak boleh dan keputusan itu perlu dihormati," ujarnya.

Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, suasana masyarakat berbilang kaum perlu diambil kira apabila memperdengarkan bacaan al Quran secara kuat sebelum Subuh.

Katanya, bagi penduduk tinggal di negara yang majoritinya orang Islam perkara seperti itu tidak berbangkit kerana orang ramai sudah faham.

"Apa yang diputus di Pulau Pinang itu selaras dengan kehendak syarak kerana suasana persekitarannya bukan hanya didiami orang Islam sahaja.

"Syarak hanya membolehkan azan dilaungkan dengan kuat bagi menyedarkan orang yang tidur supaya bangun menunaikan solat," ujarnya di sini.

Tindakan JHEAIPP turut disokong pensyarah USM, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang memberi contoh Rasulullah saw pernah melarang orang membaca al-Quran secara kuat dalam masjid kerana boleh mengganggu jemaah lain. -HD


Larang Pembesar Suara : Perlis Sokong Pulau Pinang

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

"Amalan pasang mikrofon kuat waktu sebelum subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur. Perbuatan mengganggu ini adalah haram dan berdosa," kata beliau dipetik dari portal Malaysiakini.

Sehubungan itu, Dr Juanda berkata pihaknya menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.

"Kami sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuat-kuasakan larangan itu di masjid dan surau, walaupun kadang-kadang ada (pihak) yang larang.

"Mikrofon (di) masjid hanya boleh laungkan azan waktu subuh sebanyak dua kali sahaja iaitu azan pertama 30 minit sebelum subuh dan kemudian azan subuh.

"Ini adalah amalan yang menepati kehendak Sunnah Nabi SAW yang sepatutnya dipatuhi oleh semua umat Islam yang cintakan Sunnah Nabi SAW yang sahih," katanya.

Mengulas perkara yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik Bernama berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang itu.

"Kami menghormati keputusan itu kerana ia adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lepas dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu," katanya selepas menghadiri majlis Iftar Perdana Bersama Asnaf dan penyampaian bantuan Ramadan di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur malam semalam.

Berita Harian semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan larangan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri itu kerana amalan berkenaan dikatakan bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Akhbar milik Umno itu juga memetik pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Abd Shukor Husin, berkata larangan itu ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini.

Sebaliknya, kata beliau, larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.

"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.

"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan," katanya dipetik Berita Harian.




Mahfuz Sanggah Kenyataan Rais Yatim Yang Anggap Semua Orang Sama Macam UMNO

Posted: 14 Aug 2011 05:22 AM PDT

Kenyataan dangkal Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berhubung upah RM50 kepada peserta himpunan Bersih 2.0 diselar ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Sambil menyifatkan Rais sudah kehabisan modal dalam menyatakan pendiriannya, Mahfuz turut memberi amaran kepada Rais agar tidak menyamakan peserta himpunan Bersih 2.0 dengan mereka-mereka yang perlu disogok untuk melakukan sesuatu.

"Dia (Rais) anggap semua orang sama macam dalam Umno, nak buat sesuatu itu mesti dengan bayaran, nak pergi mana pun dengan bayaran. Jadi inilah budaya dalam Umno selama ini bahawa majlis keraian, menyambut pimpinan mereka boleh ramai kerana diberikan duit, diangkut dengan bas.

"Rais tak boleh berfikir luar daripada kotak pemikiran Umno. Kalau Umno berjaya menghimpunkan orang dengan duit, jadi orang lain pun hanya akan buat dengan duit
,kata Mahfuz kepada Tv Selangor.

Rais semalam mendakwa ada peserta himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu diupah RM50 setiap seorang untuk memakai baju kuning, malah mendakwa mereka juga diberi makanan untuk berbuat demikian.

Rais juga membuat kesimpulannya sendiri dengan menyatakan bahawa sebilangan rakyat yang menyertai himpunan itu bukan bertujuan untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi bermatlamat politik.

Malah beliau turut mengaitkan himpunan aman di negara ini dengan rusuhan di London.

"Adakah mereka (Umno) nak katakan bahawa kalau (rakyat) Malaysia yang keluar Bersih itu dibayar dengan duit, (jadi) adakah mereka nak katakan mereka yang keluar buat rusuhan (London) dibayar dengan duit?

"Hampir 100,000 orang yang hadir di Kuala Lumpur tapi tidak ada rusuhan, sebaliknya yang merusuh adalah pihak polis. Pihak keselamatan yang merusuh peserta perhimpunan, yang datang dengan penuh kesopanan," sanggah Mahfuz terhadap pendirian Rais.

Tambah Mahfuz, Rais dan parti pemerintah hakikatnya harus akur bahawa punca kebangkitan rakyat adalah rentetan pelbagai masalah yang dihadapi mereka termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat dan tidak setara dengan gaji mereka.

"Apapun dia (Rais) mengatakan punca demonstrasi tu menunjukkan bahawa dia perlu mengakui bahawa rakyat negara kita ini berhadapan dengan masalah yang besar. Kalau dia kata tekanan hidup, bermakna rakyat tertekan dengan kos hidup kerana ketidakadilan dalam pelaksanaan pemerintah negara kita ini,"katanya.

Pada 9 Julai lalu ribuan rakyat Malaysia menongkah ledakan gas pemedih mata dan pancutan air kimia demi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Dalam perhimpunan itu hampir 1,700 orang ditahan termasuk kepimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat.

Ia nyata sekali berbeza dengan apa yang berlaku di London pada 4 Ogos lalu apabila ribuan rakyatnya memprotes kematian seorang lelaki akibat tembakan polis di Tottenham, utara London.

Keesokan harinya, beberapa pemuda bertopeng memulakan rusuhan, merosak dan membakar kedai.

Kejadian itu merebak ke bahagian lain di London seperti Croydon dan Bayswater sebelum merebak ke arah Utara England dengan kejadian sama dilapor di Birmingham, Liverpool dan beberapa tempat lain.



Ibu Terkejut Anak 14 Tahun Hamil Dikerjakan Suaminya

Posted: 14 Aug 2011 03:55 AM PDT

Seorang ibu yang curiga melihat anak gadisnya berusia 14 tahun gemar memakan benda masam selain perubahan saiz tubuhnya hampir pitam apabila dimaklumkan anaknya disahkan mengandung dua bulan selepas pemeriksaan di klinik kesihatan, di sini, kelmarin. Gambar fail

Lebih mengejutkan, gadis terbabit mendakwa kandungannya adalah hasil benih bapa tiri, yang juga suami ibunya.

Difahamkan, remaja terbabit menjadi mangsa rogol lelaki terbabit setiap kali ibu dan kakaknya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Difahamkan, ibu mangsa mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku berikutan perubahan tubuh mangsa, terutama perutnya yang semakin membesar, selain gemar memakan asam.

Curiga dengan perubahan itu, ibu mangsa membawa anaknya menjalani pemeriksaan di klinik dan doktor mengesahkan gadis terbabit berbadan dua.

Terkejut dengan perkara itu, ibu mangsa mendesak anaknya menceritakan apa berlaku sebelum mangsa mengaku dirogol bapa tirinya sebanyak dua kali pada Jun dan Julai lalu.

Mangsa juga mendakwa diugut supaya merahsiakan kejadian itu daripada ahli keluarga lain.

Ibu mangsa yang berang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Kampung Kepayan Lama, Jalan Apin-Apin, sekitar Jun lalu.

"Mangsa dipaksa bapa tirinya melakukan hubungan seks ketika isteri dan kakak mangsa tiada di rumah.

"Mangsa juga diugut akan dicederakan jika menceritakan perkara itu kepada orang lain,"
katanya ketika dihubungi, semalam.

Zahari berkata, berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, polis menjalankan gerakan memburu dan suspek berjaya ditahan di rumahnya.

"Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

Zahari berkata, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. -hm

Rais Berdusta Di Bulan Puasa

Posted: 14 Aug 2011 01:20 AM PDT

Rais dakwa peserta BERSIH 2.0 diupah RM50

Ada peserta diupah RM50 seorang untuk memakai baju kuning dan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu, dakwa Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.

Beliau berkata selain itu, mereka juga diberi makan dan perkara tersebut didedahkan dalam satu laporan yang dikeluarkan kementerian berkenaan.

"Ini jelas membuktikan upah politik itu berlaku dalam tindakan dan tindak-tanduk pemakai baju kuning atau pemimpin-pemimpin mereka," katanya pada majlis berbuka puasa di Felda Lui Timur semalam.

Rais berkata bukan semua peserta perhimpunan itu mempunyai matlamat yang jelas, kecuali sebahagian dengan matlamat politik sendiri.

Merujuk situasi di London, beliau berkata polis di luar negara tidak teragak-agak menggunakan kekerasan bagi menegakkan undang-undang, sebaliknya di Malaysia, meskipun berdepan ejekan peserta Bersih, mereka masih mampu bersabar.

"Lihat dengan apa yang kita alami di Malaysia, dan ini kita harus ambil sebagai satu perbandingan untuk keinsafan kita, yang mana betapa tertibnya Polis Diraja Malaysia mengawal keadaan berbanding dengan apa yang berlaku di luar negara," katanya.

Beliau juga berkata demontrasi di negara maju berlaku ekoran masalah tekanan hidup, dan bukan disebabkan perkara remeh-temeh seperti memperjuangkan agenda politik tokoh pemimpin pembangkang. - Bernama

Ulasan GB

Demikian tahap akhlak seorang menteri UMNO BN yang sanggup berdusta di bulan puasa ini.

Dia ingat kita serupa macam dia, serupa macam UMNO BN yang kerap mengupah orang untuk berdemo dan melaksanakan kerja-kerja untuk mereka.

Ya Allah, Kau dedahkanlah kebenaran itu kebenaran....

Tiada ulasan: