Kelab Greenboc |
- Pasangan Kekasih Yang Malang, Perempuannya Dirogol, Lelakinya Pula Dipukul
- Sikap Ketua Pengarah JPN Yang Tidak Bertanggungjawab
- Kamera Dalam Tandas Perempuan Sekolah; PAS Gesa Siasatan Rapi
- Siapa Yang Bakal Terkena Suweh Penyapu?
- BERS✔H 2.0: Tindakan Polis Jadikan Kami Terkenal
- Isu Gereja & Murtad Dedahkan Hipokrisi UMNO
- Mahathir Seperti Mengakui Dakwaan Bahawa PENAWAR Hendak Jatuhkan Najib
- 20 Orang Bertopeng & Berpenyapu Tunjuk Perasaan Di SUK Selangor
- MAFREL: Bersihkan Daftar Pemilih Sebelum Terjadi Sebarang Hal Buruk Ketika PRU13
Pasangan Kekasih Yang Malang, Perempuannya Dirogol, Lelakinya Pula Dipukul Posted: 11 Aug 2011 01:15 AM PDT Pasangan kekasih malang REMBAU – Perselisihan faham antara sepasang kekasih berakhir dengan tragedi apabila teman wanitanya dirogol, manakala teman lelakinya pula dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Chembong, dekat sini, 6 Ogos lalu. Sinar Harian difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sepasang kekasih berkenaan yang menaiki sebuah motosikal ketika itu dalam perjalanan dari Kota sebelum memberhentikan kenderaan berdekatan lokasi kejadian. Gambar fail Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, dipercayai ketika pasangan berkenaan bertengkar, mereka didatangi sekumpulan lelaki seramai kira-kira empat ke lima orang berusia lingkungan 17 tahun hingga awal 20-an. "Dipercayai teman wanita atau mangsa wanita mengenali salah seorang daripada kumpulan berkenaan. Bagaimanapun, tanpa diduga salah seorang dari kumpulan berkenaan menarik tangan mangsa wanita dan membawanya ke dalam ladang berdekatan, lalu merogol mangsa. "Teman lelakinya yang ketika itu cuba menyelamatkan mangsa tidak berjaya kerana dibelasah oleh kumpulan lelaki berkenaan," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. Difahamkan, pasangan berkenaan juga dipercayai disamun apabila dompet milik salah seorang mangsa hilang termasuk wang tunai berjumlah RM20 turut dikebas kumpulan berkenaan. Mizan berkata, mangsa wanita akhirnya berjaya melarikan diri dan meminta bantuan di sebuah rumah berhampiran ladang berkenaan. "Mangsa dibawa ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis. Pihak polis kini sedang mempergiatkan lagi gerakan memburu suspek utama yang dipercayai melarikan diri. "Bagaimanapun, tiga individu telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes ini akan disiasat mengikut seksyen 376 dan 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan samun," katanya. -SH Ulasan GB mereka didatangi sekumpulan lelaki seramai kira-kira empat ke lima orang berusia lingkungan 17 tahun hingga awal 20-an muda-muda lagi tu dah jadi samseng & perogol... |
Sikap Ketua Pengarah JPN Yang Tidak Bertanggungjawab Posted: 10 Aug 2011 11:16 PM PDT Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terus mengambil sikap berdiam diri berhubung isu kad pengenalan Mismah yang bertukar status daripada penduduk tetap (PR) kepada warganegara yang didakwa pembangkang diperolehi dalam tempoh singkat. Sinar Harian menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung dakwaan itu kerana kakitangan JPN yang dihubungi memberitahu hanya Ketua Pengarah Datin Jariah Mohd Said boleh mengeluarkan kenyataan, tetapi beliau bercuti. Sinar Harian juga ingin mendapatkan penjelasan beberapa perkara lain. Ia termasuk mengenai laporan sebuah portal berita me-ngenai wujudnya nombor kad pengenalan lama 1479323 yang dimasukkan ke dalam sistem SPR yang menunjukkan dua kemasukan di bawah nama Sa'ad bin Samsudin tetapi dengan dua nombor MyKad yang berbeza iaitu 380913105681 dan 510913105553. Juga terdapat nama Mohd Rashid bin Ismail (IC lama: 6397062) yang mempunyai dua pendaftaran di kawasan Parlimen Taiping (MyKad: 620108086991) dan kerusi Parlimen Bukit Gantang (MyKad: 620108086713). Apabila kedua-dua nombor MyKad dimasukkan dalam sistem online JPN, keputusannya menunjukkan kad pertama telah diambil, manakala kad kedua sedia untuk diserahkan ke pejabat JPN Kuala Lumpur. -SH Ulasan GB Ini sikap tidak beretika dan tidak bertanggungjawab seorang Ketua Pengarah perkhidmatan awam yang senang-senang mengambil cuti untuk mengelak dari berhadapan dengan pertanyaan orang awam mengenai salah laku jabatannya. Tidak mengapa. Pakatan Rakyat bila rampas Putrajaya akan cari beliau ke lubang cacing sekalipun. |
Kamera Dalam Tandas Perempuan Sekolah; PAS Gesa Siasatan Rapi Posted: 10 Aug 2011 09:05 PM PDT Polis digesa melakukan siasatan secara telus dan terperinci bagi mengesan dan menangkap suspek yang memasang kamera tersembunyi dalam tandas perempuan di sebuah sekolah menengah terkemuka di bandar Chukai dekat sini. [Gambar kanan - Haji Hanafiah menunjukkan berita 'kamera dalam tandas sekolah' yang telah disiarkan oleh akhbar-akhbar Cina beberapa hari lalu. Paling kiri adalah pelajar yang telah menjumpai kamera tersebut] Penolong Setiausaha PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata ia adalah penting bagi memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat sekaligus bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi. "Kita harap polis dapat siasat secara 'detail' dan telus, tidak kira siapa yang terlibat, tak kira bangsa, tak kira agama, "polis perlu siasat dan tahan sesiapa yang terlibat, bagi memastikan ia tidak berulang,"ujarnya ketika di temui. Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai menyifatkan, ia adalah satu bala yang memalukan menimpa sistem pendidikan, kerajaan Terengganu dan kerajaan Pusat khususnya Umno dan Barisan Nasional (BN). Katanya, Menteri Besar selalu berbangga diri dengan keputusan-keputusan yang cemerlang kononnya setiap tahun, namun jelas akhlak dan moral pelajar semakin meleset. "Ia jelas satu malapetaka kepada sistem pendidikan dan kerajaan Umno/BN yang gagal membentuk akhlak serta moral pelajar, cukup mengaibkan, "Menteri Besar Ahmad Said selalu berbangga-bangga kononnya pencapaian hebat pendidikan Terengganu, tapi inilah dia natijahnya,"jelas Haji Hanafiah. Menurutnya, nilai moral pelajar ketika ini semakin rapuh disebabkan pelajar dan remaja hari ini banyak disogokkan dengan hiburan yang melalaikan yang hanya mendidik golongan muda dengan keseronokan semata-mata. [Gambar - kamera berbentuk penyangkut baju, sebagaimana yang digambarkan] Beliau menyarankan dasar dan falsafah pendidikan sekarang dikaji dan dirombak memandangkan kes-kes yang melanda sekolah dan sistem pendidikanmasa kini. "sudah tiba masanya, dasar dan falsafah pendidikan negara sekarang ini perlu diubah agar ia lebih menitik beratkan kerohanian agar pelajar yang dilahirkan juga cemerlang dalam aspek ketuhanan. "saya juga cadangkan pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi perlua mendapat A bagi subjek Pendidikan Islam sebagaimana mereka perlu mendapat cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan subjek lain,"kata Hanafiah. Menurutnya, bila diberi penekanan soal agama, akhlak dan moral, barulah dapat dilahirkan pelajar yang bertakwa yang gerun untuk melakukan perbuatan mungkar. "Sekarang hukuman rotan atau penjara orang sudah tidak takut sebab itulah sekarang dalam penjara penuh dengan pesalah,"tambahnya Pada 31 Julai lalu, sebuah kamera tersembunyi telah dijumpai terpasang dalam tandas pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail 2. Seorang pelajar, Hee Sin Yee, 17, merasa pelik melihat 'penyangkut baju' dilekatkan di kedudukan rendah di pintu tandas lalu mencabutnya. Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat Salat berkata, polis percaya suspek yang memasang kamera berbentuk 'penyangkut baju' itu adalah terdiri dalam kalangan pelajar sekolah itu sendiri. Menurutnya, kad memori kamera itu telah pun dihantar untuk dianalisis di makmal forensik polis di Cheras, Kuala Lumpur pada minggu lalu dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh sebulan. "Siasatan awal yang kita jalankan turut dapati di dalam kad memori itu terdapat gambar pelajar perempuan, justeru kita percaya kamera berbentuk penyangkut baju itu telah merakam beberapa gambar sebelah ia dijumpai," katanya Bagaimanapun, katanya, sehingga kini sebarang tangkapan masih belum dibuat dan polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci. -buletinonline |
Siapa Yang Bakal Terkena Suweh Penyapu? Posted: 10 Aug 2011 06:56 PM PDT MB Selangor dapat hadiah penyapu lidi PENUNJUK perasaan memakai topeng Abdul Khalid (kiri) dan Hasan sambil memegang penyapu dan sepanduk dalam demonstrasi di hadapan bangunan Setiausha Kerajaan Negeri di Shah Alam semalam. SHAH ALAM - Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiahkan penyapu kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas kegagalan mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist di Damansara Utama dekat sini, 3 Ogos lalu. Selain penyapu, kedua-dua NGO itu, Permuafakatan Warisan Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak) membawa mangkuk tandas, pencuci tandas, penyapu lidi dan batang mop ketika bantahan diadakan di sini semalam. Kira-kira 30 orang yang berhimpun di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri mulai pukul 10 pagi itu sambil ada yang memakai topeng wajah Exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Ali sebagai tanda sokongan. Segelintir daripada mereka yang marah dengan sikap Abdul Khalid dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Khalid Abdul Samad pula memakai topeng tanduk berwajah kedua-dua individu itu. Bagaimanapun kesemua peralatan membersih tersebut akhirnya terpaksa dibawa pulang selepas tiada wakil daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu muncul untuk mengambilnya. Setiausaha Warisan, Zulkifli Shariff berkata, pihaknya memuji tindakan berani JAIS yang melakukan pemeriksaan ke atas gereja berkenaan selepas mendapat laporan berhubung ada usaha untuk memesongkan akidah umat Islam. -kosmo Ulasan GB Kumpulan UMNO yang dahulunya ber"kepala lembu" kini "bertopeng dan berpenyapu". Penyapu dikatakan sebagai sesuatu simbol yang tidak baik. Di dalam adat bangsa Melayu yang dipercayai sebilangan besar ahli UMNO sendiri, ia pembawa suweh... maka dibawalah penyapu ke hari demonstrasi semalam. Jangan lupa Khir Toyo yang dahulu menghadiahkan penyapu kepada PBT, tiba-tiba beliau yang ditimpa suweh sehingga sekarang tak habis-habis lagi. Kerana apa? Mentaliti orang Melayu dah anggap penyapu itu pembawa suweh. "Kamu ialah apa yang kamu fikirkan"! Maka yang akan ditimpa suweh nanti nampaknya bukan Khalid Ibrahim tetapi kepada penghadiah penyapu itu iaitu UMNO Selangor yang berselindung di sebalik nama NGO yang dikenali sebagai GEMPAK dan WARISAN. Kalau geng kepala lembu sudah menerima habuannya, tak lama lagi geng penyapu dan mangkuk tandas ini bakal menerima apa yang mereka lakukan bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali namanya. Allah itu Maha Melihat dan Allah itu Maha Berkuasa. Sebenarnya Allah yang akan mengurniakan habuan pembalasan itu, bukan kerana suwehnya penyapu. Dia juga yang akan menunjukkan siapa sebenarnya yang bertanduk. MB Selangor & Khalid Samadkah atau geng songkok tinggi bersama UG. Di dalam Islam, yang jahat akan terkena balik kejahatan yang mereka lakukan. Di dalam konteks demonstrasi semalam nampaknya UMNO Selangor yang diwakil oleh geng bersongkok tinggi bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali & kumpulan UG bakal terkena "suweh penyapu" itu disertai dengan wartawan-wartawan & akhbar-akhbar yang menjulang tinggi tindakan mereka itu. InsyaAllah, pemerhatian GB ini tidak silap. p/s Bagi sesiapa yang disebut tadi nak elak terkena suweh penyapu tu, kenalah hubungi GB, jangan lupa siapkan pengeras sekali. Kalau tak tanggung jer nanti... hehehe |
BERS✔H 2.0: Tindakan Polis Jadikan Kami Terkenal Posted: 10 Aug 2011 03:30 PM PDT Terharu melihat sokongan ramai: Chon Kai rasa penahanannya "berbaloi" Di luar dugaan, rakyat jelata tanpa rasa takut tampil untuk menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan, sepanjang tempoh penahanan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) - sehingga mereka dibebaskan. Sokongan yang melambak ini amat terharu buat Choo Chon Kai (gambar), antara enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat (EO6), sehingga menganggap penahanan terhadap dirinya adalah "berbaloi"! Choo Chon Kai agak terkilan apabila diberitahu oleh peguamnya pada 7 Julai, bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 akan diadakan di dalam stadium. Beliau bimbang keputusan ini bakal menggagalkan perhimpunan BERSIH 2.0, lantas memberi tamparan terhadap gerakan demokrasi di Malaysia. Beliau yang diputuskan dari semua saluran maklumat sungguhpun resah dengan apa yang berlaku pada 9 Julai, namun tetap enggan bertanya pegawai polis ataupun SB (anggota cawangan khas) mengenai perhimpunan tersebut. "Kerana saya sedar, mereka tidak akan memberitahu apa yang berlaku sebenarnya. Ada yang berkata kepada saya, hanya 20 orang ditangkap, dan Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS) terjatuh dari motorsikal," katanya. Sehinggalah Setiausaha Agung PSM, Arutchelvan dibenarkan untuk mengunjunginya pada 15 Julai, membawakannya khabar yang cukup memberangsangkan Chon Kai, meskipun masih berada dalam tahanan. 50 ribu peserta menembusi sekatan polis dalam bandar, malah Marina Mahathir, anak mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad juga turun ke jalan raya. "Saya teruja dengan khabar itu. Dengan tiba-tiba, bersemangat semula..." katanya ketika diminta untuk menyifatkan perasaannya pada ketika itu, dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, pada 7 Ogos 2011. Petugas bank sanggup menunggu Bagaimanapun, kejayaan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 tidak membebaskan EO6 serta-merta, malah ada suara yang mempertikaikan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan kerana tidak mensyaratkan agar EO6 dibebaskan sebelum bersetuju untuk berhimpun di stadium. Ambiga menghadiri candle light vigil menuntut pembebasan EO6 hampir setiap malam, malah mendakwa BERSIH 2.0 hanya akan menyambut kejayaannya setelah EO6 dibebaskan. Apakah mereka yang masih ditahan itu "tersinggung" apabila pembebasan mereka tidak dijanjikan terlebih dahulu, sebelum BERSIH 2.0 mengangguk kepada perhimpunan dalam stadium? "Itu tidak mustahak," jawab Chon Kai secara terus-terang, malah beberapa kali menegaskan, "Yang penting, perhimpunan BERSIH 2.0 berjaya diadakan!" Meskipun sedikit "ralat" kerana gagal turut serta dalam perhimpunan BERSIH 2.0, namun segala-galanya terubat apabila Chon Kai diceritakan oleh rakan seperjuangannya, bagaimana masyarakat umum menghulurkan tangan dan menyuarakan sokongan mereka sepanjang penahanan EO6. "Saya terperanjat dengan apa yang telah dilakukan dalam tempoh sebulan itu. Bayangkan, lebih 600 laporan polis dibuat untuk membantah penahanan EO6 dalam masa satu hari. Sebelum ini ada pihak juga membuat laporan polis untuk membantah perhimpunan BERSIH, jadi mereka sedar betapa susahnya nak mengerah tenaga untuk melakukan kerja-kerja itu. Namun, parti yang kecil seperti kami mampu melakukannya. Pengadu bertindak atas inisiatif sendiri, bukan kerana menerima wang..." sindirnya secara berlapik. Apa yang lebih terharu buat Chon Kai, dan juga rakan-rakan seperjuanganya adalah, sokongan daripada rakyat jelata terhadap parti politik yang namanya mungkin tidak dikenali sebelum ini. Chon Kai diceritakan bagaimana PSM perlu mengumpul RM192 ribu dalam masa dua jam, untuk mengikat jamin 24 tahanan (RM8,000 setiap orang) pada 4 Julai 2011, di Mahkamah Majistret/Seksyen Butterworth. "Mereka sengaja melengah-lengahkan sehingga kira-kira jam 4.30 petang. Maknanya, seandainya wang gagal dikumpulkan sebelum bank tutup pada jam 5 petang, maka 24 orang tahanan tersebut perlu meringkuk satu malam lagi di lokap. Namun, kami diberitahu petugas bank, 'Jangan risau, kami sanggup menunggu, kerana kami sokong kamu semua!'" "Dan petugas bank itu terdiri daripada pelbagai kaum..." katanya, yang masih terharu dengan adegan itu. Choo Chon Kai mengisahkan semula cerita-cerita ini kepada MerdekaReview. "Mereka sokong dengan tindakan mereka. Peguam kami, Edmund Bon, lampu pejabatnya masih menyala, dan ramai stafnya masih bekerja untuk permohonan habeas corpus kami, pada awal pagi, ketika Arul pergi untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan." Ini belum termasuk kira-kira 5,000 orang doktor swasta di seluruh negara yang tampil menuntut pembebasan ahli parlimen Sungai Siput Jeyakumar Deveraj; Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga membuat kenyataan... semua ini berlaku buat kali pertama, kata Chon Kai. "Candle light vigil hampir setiap malam, kenyataan bersama, petisyen dan sebagainya... Tekanan yang begitu besar ke atas kerajaan. Malah, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga melalui twitternya membantah penahanan Jeyakumar Deveraj!" Mengapa tidak dibebaskan serta-merta selepas 709? Jika itulah tekanannya, mengapa EO6 tidak dibebaskan serta-merta selepas 709? Menurut analisa Choo Chon Kai, banyak faktor, terutamanya "arus yang menderas di bawah permukaan" menjurus kepada keadaan sebegitu. Beliau berkata, polis dan kerajaan BN menerima tamparan sengit pada 709, kerana dengan segala sekatan yang dilakukan, mereka gagal menghalang kemaraan rakyat. Justeru itu, seandainya mereka terus dibebaskan sehari selepas 709, maka ia satu tamparan lagi untuk polis. Chon Kai meramalkan arahan penangkapan terhadap aktivis PSM itu datang dari pimpinan atasan. Dua bas, dengan satu dari Utara dan satu dari Selatan, ditahan dengan alasan yang sama, iaitu disyaki memiliki senjata. Padahal, mereka telah menerima satu sms, mendakwa PSM akan mencetuskan huru-hara, malah maklumat nombor plat bas mereka turut dinyatakan dalam sms tersebut. "Kedua-dua bas kami ditahan dengan tuduhan yang amat berat, mustahil ia berlaku secara 'kebetulan'. Kemungkinan besar arahan untuk menahan kami datang dari pimpinan atasan," kata Chon Kai. Beliau selanjutnya berkata, siasatan dimulakan dengan Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong. Mengikut logik, polis seharusnya menggeledah rumah dan pejabat tahanan, kerana ia tuduhan yang serius, katanya. "Namun ia tidak berlaku dalam tujuh hari pertama selepas kami ditahan. Ini bermakna polis sendiri tidak percaya tuduhan sebegitu!" katanya sambil ketawa. Beliau mengulas kemudian, bahawa tuduhan yang berat itu dikenakan untuk menakut-nakutkan orang ramai, supaya tidak berani tampil menyokong tahanan. Mengapa pula PSM dijadikan sasaran? "Kerana PSM sebuah parti yang kecil. Seandainya PAS disasarkan, mungkin ia mengundang kesan sebaliknya, kerana ramai yang akan bangkit menyatakan bantahan. Mungkin kerajaan menganggap dengan parti yang kecil sebegitu, ditambah pula tuduhan yang berat, mereka berjaya menghalang penyertaan rakyat, dengan ketakutan yang cuba disemaikan." Chon Kai meneruskan, "Tapi kesemua ini tidak berlaku! Rakyat tetap menyertai candle light vigil, malah perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan dengan kehadiran yang begitu memberangsangkan!" Satu ujian terhadap anutan politiknya Chon Kai menjangkakan dirinya bersama rakan seperjuangannya yang lain akan ditahan lebih lama. "Mereka menyemak rekod kami ke luar negeri. Asalkan kami pernah melawat selatan Thai, kami akan dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Untuk regim ini, mereka sanggup mencari pelbagai alasan untuk menghalalkan penahanan ke atas kami. Masakan T-shirt pun boleh dijadikan senjata, apa lagi yang tidak boleh?" Chon Kai menekankan, penangkapan mereka sebermulanya, dan pembebasan mereka di penghujungnya - kesemuanya adalah keputusan politik! Untuk dirinya, penahanan ini adalah satu ujian - sejauh manakah dirinya yakin dengan anutan politiknya. Chon Kai yang kini semakin yakin dengan perjuangannya berkata, "Melihat kepada kesedaran dan kebangkitan rakyat, penahanan ke atas diri saya selama 30 hari itu, berbaloilah!" *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia |
Isu Gereja & Murtad Dedahkan Hipokrisi UMNO Posted: 10 Aug 2011 08:13 AM PDT Murtad: Umno tolak mentah-mentah usul PAS KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Lakonan Umno kononnya mahukan akta mencegah murtad langsung tidak boleh dipercayai kerana inisiatif mengenai perkara itu berkali-kali ditolak, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. "Saya bercakap mengenai pengalaman peribadi kerana dalam sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, saya mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad. "Rang undang-undang itu bukan sahaja tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen Umno malah ditolak mentah-mentah," katanya. Selepas itu, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sekali lagi beliau mengemukakan usul yang juga meminta Dewan Rakyat mewujudkan undang-undang mencegah murtad seperti meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peruntukan yang jelas menghalang individu Islam daripada secara bebas mengisytiharkan diri keluar daripada agama Islam. "Usul itu juga tidak dipedulikan oleh kerajaan dan ahli-ahli Parlimen Umno," katanya Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi dilapor mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini. Menurut Salahuddin, usaha yang dibawa oleh pihak PAS mengenai perkara itu dibuat berkali-kali selepas Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang mengemukakan usul dan rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad. Pada 25 Mac 1988, Tuan Guru telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak. Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad. "Penolakan usul dan rang undang-undang persendirian mengenai murtad yang berlaku berkali-kali itu membuktikan Umno langsung tidak berminat untuk mencegah jenayah syariah paling serius itu. "Sebab itulah umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan gelagat gerombolan kuda tunggangan Umno yang kini nampak benar menunjuk-nunjuk kononnya mereka mahu mencegah murtad," tegas Salahuddin. Beliau juga berharap rakyat menolak lakonan dan permainan gerombolan kuda tunggangan Umno itu kerana mereka adalah hipokrit sebenar. "Amat hipokrit apabila bercakap hendak menentang gejala murtad tetapi pada masa yang sama menjadi kuda tunggangan Umno yang berkali-kali menolak usaha untuk mencegah murtad. "Menolak inisiatif dan usaha untuk menentang murtad melalui peruntukan undang-undang dan perlembagaan hakikatnya menentang dan memusuhi usaha mencegah jenayah syariah paling serius itu," kata Salahuddin. Beliau juga mempersoalkan di mana suara Umno ketika umat Islam bangkit menentang kes-kes murtad seperti kes Aishah Bukhari, Hartina Kamaruddin dan Lina Joy. "Malah Umno juga berdiam diri ketika umat Islam bertindak menentang pindaaan 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan ketika 10 menteri dari Barisan Nasional bertindak mempertikaikan perkara 121 (1A) itu dengan tujuan untuk membunuh kuasa mahkamah Syariah serta membolehkan mahkamah sivil memansuhkan keputusan mahkamah Syariah," katanya. Dengan sejarah sedemikian, Salahuddin sekali lagi meminta umat Islam menolak hipokrit yang cuba berlagak hero yang kononnya memperjuangkan Islam dan kepentingan umat Islam. -HD
Ulasan GB Di dalam petikan yang kedua, Khairy Jamaluddin bukan hendak perjuangkan isu murtad tetapi sebenarnya hendak menyerang MB Selangor. Malah keseluruhan episod "isu gereja" yang cuba di manipulasikan UMNO hanya memaparkan perwatakan UMNO yang hipokrit bersandarkan kepada berita yang pertama di atas. GB sangat tertarik dengan komen dari seorang pengunjung terhadap entri Isu Gereja: Tindakan JAIS Tidak Perlu, Islam Agama Hujjah - GB Sokong Dr. Asri Petikan:
Begitulah jugalah Khairy. Khairy patut keluarkan semua hartanya yang berjuta yang diperolehi semasa rejim bapa mertuanya sebagai PM untuk diagihkan kepada 12 orang yang terpaksa ke gereja memohon bantuan. Itu jika ada keikhlasan untuk memerangi gejala murtad yang heboh beliau perkatakan. |
Mahathir Seperti Mengakui Dakwaan Bahawa PENAWAR Hendak Jatuhkan Najib Posted: 10 Aug 2011 05:50 AM PDT Petaling Jaya: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa ada usaha sedang dibuat untuk melemah dan menghancurkan Umno dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13. "Kononnya saya di belakang gerakan untuk menaikkan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) mengganti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," kata beliau. Dr Mahathir berkata demikian dalam artikel bertajuk 'Menghancurkan Umno' di dalam blognya, chedet.cc/blog sebagai ulasan terhadap laporan FMT minggu lalu. "Strategi pihak tertentu ini ialah dengan membuat tuduhan bahawa perjumpaan NGO ini sebenarnya bertujuan untuk menjatuhkan Najib, dan saya dan Muhyiddin adalah dalang yang bertanggungjawab. "Tentulah Najib akan mempunyai syak wasangka terhadap kami berdua dan NGO berkenaan," kata mantan perdana menteri itu merujuk kepada Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar) yang dilaporkan mahu Najib meletak jawatan. Kedudukan Najib tergugat Menurut laporan tersebut, kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Umno tergugat. Sumber dalaman Umno mendakwa bahawa sokongan ahli parti diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan restu daripada Mahathir. Mengulas lanjut laporan ini, Dr Mahathir berkata bahawa laporan tersebut akan melemahkan Umno dalam persediaan menghadapi PRU 13. "Kesan dari laporan ini tentulah kecurigaan Najib terhadap timbalannya. Apabila Najib mempunyai sangkaan buruk terhadap Muhyiddin maka ahli-ahli UMNO pun akan berpecah dan memihak kepada Presiden atau Timbalan Presiden. Dr Mahathir berkata dakwaan itu sekaligus menakutkan Penawar dan NGO lain kerana akan disyaki oleh Najib untuk menjatuhkannya. "Mereka juga akan terdedah kepada tuduhan yang mereka adalah orang Mahathir dan Mahathir ingin menjatuhkan Najib," katanya, menambah laporan sebegitu juga akan menyebabkan orang Melayu takut berpolitik. Alasan yang diberi beliau: "Mereka akan terdedah kepada dakyah parti lawan yang memang pun ingin melihat mereka berpecah dan menjadi lebih lemah serta tidak dapat mempertahankan kepentingan orang Melayu sama sekali. "Pergolakan akan berlaku secara serius dalam Umno dan ia akan menjadi lebih lemah untuk menghadapi PRU 13." Beliau secara sinis mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak berkenaan yang "begitu cekap mengguna psikologi untuk menghancurkan Umno dengan menimbulkan keraguan dan syak wasangka antara pemimpin-pemimpin Umno serta ahli-ahlinya sesama sendiri dan terhadap kepimpinan Umno sekarang. -FMT |
20 Orang Bertopeng & Berpenyapu Tunjuk Perasaan Di SUK Selangor Posted: 10 Aug 2011 04:20 AM PDT PAS: 'Serbu gereja' bagi tenggelamkan 'masalah' SPR Kira-kira 20 orang yang mendakwa mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi di depan pagar Bangunan SUK di Shah Alam, pagi ini. Kumpulan itu menggelarkan diri mereka Pemuafakatan Waris Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak). Sambil memakai topeng Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kerajaan negeri, Datuk Hasan Ali dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mereka membawa mangkuk tandas, penyapu lidi, berus pencuci tandas dan pencuci lantai. Demonstrasi itu diadakan sebagai sokongan kepada tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu selepas mendakwa terdapat gerakan bagi memurtadkan umat Islam di negeri itu. Menurut Bernama, setiausaha Warisan, Zulkifli Shariff, mendakwa mereka tersinggung dan terhina dengan telatah "kebudak-budakan" Abdul Khalid yang tanpa menunggu penjelasan dari JAIS memohon maaf atas serbuan itu. Kumpulan kecil itu menunjuk perasaan dari pukul 10 pagi dan bersurai kira-kira 20 minit kemudian setelah diarah pihak polis yang bertugas mengawal keadaan. Sementara itu, PAS mendakwa isu berkenaan sengaja ditimbulkan bagi menenggelamkan isu yang cukup berbahaya kepada negara iaitu kontroversi MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR. Menurut ahli jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad, setakat ini jawapan yang diberikan oleh SPR "diketawakan oleh orang pekak dan buta" manakala media perdana milik Umno dan BN cuba menimbus isu pendaftaran ini. "Pemimpin Umno dan NGO Umno macam dilanda histeria mengenai isu ini (serbuan JAIS ke atas gereja). Kononnya merekalah pembela agama. PAS istiqamah dan konsisten menentang isu murtad di negara ini. "Di mana suara Umno dan Utusan ketika isu Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin dan lain lagi? Sejarah telah mencatatkan berlaku penangkapan ISA terhadap pemimpin pemuda PAS dalam operasi lalang 1987 kerana isu Kristianisasi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Menurutnya, PAS juga telah membuat keputusan untuk bertemu secara langsung dengan pihak JAIS dan juga gereja untuk mendapat gambaran sebenar. Negara kita ada undang-undang, siapa yang bersalah akan dihukum. Media bukan gelanggang untuk menyelesaikan perkara ini," katanya. Dalam nada menyindir Idris berkata beliau berharap pemimpin dan media Umno menyedari bahayanya murtad dan tidak menjadikannya isu politik. "Tahniahlah kepada pemimpin Umno dan media Umno kerana baru sedar bahayanya murtad. Kita harapkan janganlah kerana politik semata-mata. "Samalah ketika isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam Umno menjadi juara. Tetapi dalam masa yang sama menentang hukum Allah dan menyekat ajaran Allah diajar di dalam surau dan masjid. Pelik juga Umno, nama Allah dipertahan, hukum Allah dia lawan.," katanya. idris juga mempersoalkan mengapa Umno diam membisu apabila MCA merancang untuk menyaman kerajaan Kelantan pimpinan PAS kerana mengharamkan perjudian di negeri itu. "Sepatutnya kalau Umno pejuang Islam kena nasihatlah rakan sejawat mereka. Sudah 54 tahun berkawan pun Umno tidak boleh dakwah, bahawa judi itu bahaya pada masyarakat," kata Idris lagi. -MK
|
MAFREL: Bersihkan Daftar Pemilih Sebelum Terjadi Sebarang Hal Buruk Ketika PRU13 Posted: 10 Aug 2011 02:12 AM PDT Mafrel mahu SPR bersih daftar pemilih elak implikasi ketika PRU-13 KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih yang didakwa turut melibatkan kehadiran "pemastautin tetap" yang diragui bagi mengelakkan implikasi besar ketika pilihan raya umum ke-13. Mengikut perkembangan semasa pilihan raya umum ke-13 dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat. Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh berkata, SPR perlu melihat secara serius pendedahan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat berhubung isu status kewarganegaraan yang diberikan kepada pemastautin tetap, sekali membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya. Tegas beliau, SPR perlu menjalankan siasatan itu dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membersihkan daftar pemilih. "Saya rasa kalau pendedahan itu benar, SPR perlu melakukan siasatan segera mengenai apa yang berlaku, apa yang boleh SPR lakukan ialah siasat latar belakang pengundi itu, adakah mereka betul-betul (warganegara), sebab kini terdapat banyak keraguan yang mana pemastautin tetap bertukar ke warganegara dalam tempoh yang singkat. "Kini lebih banyak keraguan, kita rasa ragu-ragu (tentang daftar pemilih), untuk menghilangkan keraguan ini SPR perlu mengambil tindakan segera dan menyiasat perkara ini dengan kerjasama JPN," katanya kepada The Malaysian Insider. Bagaimanapun Syed Ibrahim percaya SPR akan memberi alasan tidak mempunyai kuasa, namun beliau menegaskan pembersihan daftar pemilih adalah di bawah bidang kuasa badan pengurusan pilihan raya itu. "Memang daftar pemilih terletak di bawah bidang kuasa SPR, tidak boleh (kata) tiada kuasa kerana sebagai badan pengurusan pilihan raya SPR mempunyai kuasa itu. "Sudah menjadi faktor utama yang mana daftar pemilih dan pembersihannya adalah kuasa SPR, kes ini sangat jelas... ini kes faktor yang mana ia jelas bagaimana pemilik kad pengenalan merah memperoleh kad pengenalan biru dalam tempoh singkat, untuk itu, SPR perlu siasat dengan serius," katanya. Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh JPN dan SPR. Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi di kalangan warga asing yang diberikan taraf kewarganegaraan. Tambah Syed Ibrahim, kegagalan SPR membersihkan daftar pemilih akan memberi implikasi yang besar dalam sistem pilihan raya negara. "Implikasinya sangat besar, sekiranya warga asing dibenarkan mengundi keputusan itu boleh dicabar, kalau ada parti yang tidak berpuas hati... sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku. "Sebab itu saya minta SPR mengambil tindakan segera dengan kerjasama JPN, siasat dengan serius kerana SPR adalah badan bebas," katanya. Sebelum ini Pakatan Rakyat juga mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi "MyDaftar". Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13. -TMI |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan