Kelab Greenboc |
- Kes Scorpene Di Perancis Dapat Perhatian Selepas Peguamnya Diusir
- BERS✔H 3.0 Meyusul Jika Najib Gagal Bersihkan Daftar Pemilih
- SUHAKAM Akan Siasat Keganasan Polis Pada Himpunan BERS✔H 2.0
- Peserta Bersih Saman Kerajaan Secara Berperingkat
- Kes Kematian Dr. Rohani: Jiran Ditahan
- Ibu Terkejut Anak Gadis 'Bersahur' Dengan Lelaki Warga Indonesia
- PAS S'gor Desak Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat JPN
- Iklan Ketiak & Sahur: Ulama Gesa Media Prima Minta Maaf Secara Terbuka
- Kerakyatan Sedang Digadai, PAS Selangor Buat Laporan Polis
Kes Scorpene Di Perancis Dapat Perhatian Selepas Peguamnya Diusir Posted: 06 Aug 2011 01:00 AM PDT Pengusiran peguam Perancis, William Bourdon oleh kerajaan Malaysia, mencetuskan minat lebih besar rakyat Perancis terhadap skandal pembelian kapal selam Scorpene. Menurut Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel, pengusiran tersebut mendapat liputan meluas media Perancis ekoran reputasi cemerlang Bourdon sebagai peguam hak asasi manusia. "Orang Perancis tidak tahu yang beliau mengendalikan (kes ini) di Malaysia, dan ia membangkitkan minat yang besar di kalangan orang ramai," katanya seperti dilapor Malaysiakini. Bourdon "terkenal" kerana antara lainnya, mewakili pihak yang membuat tuntutan terhadap pemerintahan diktator Pinochet dan kes-kes pembunuhan beramai-ramai Rwanda dan pengusirannya telah memburukkan prestasi Malaysia. Beliau diusir ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 Julai lalu, ketika mahu menghadiri program makan malam anjuran Suaram yang turut diadakan di Petaling Jaya dan Ipoh. Beliau hanya sempat hadir program majlis makan malam yang diadakan di Bayan baru Pulau Pinang, sehari sebelumnya. Pengusiran beliau menggambarkan ketakutan kerajaan pimpinan Najib kerana beliau sepatutnya dijadual memberikan ucapan mengenai skandal pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia yang dibicarakan di Perancis. Kes melibatkan pembayaran komisen berjumlah 114 juta Euro atau bersamaan RM540 juta, membabitkan syarikat Perimekar Sdn Bhd dan firma pertahanan Perancis, DCNS, selain dua lagi komisen yang akan dibongkar di mahkamah negara itu. Perimekar dimiliki sepenuhnya Ombak Laut, syarikat milik penuh Abdul Razak Baginda iaitu teman rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terlepas hukuman mati kerana membunuh Altantuya. -tvsnews |
BERS✔H 3.0 Meyusul Jika Najib Gagal Bersihkan Daftar Pemilih Posted: 06 Aug 2011 12:00 AM PDT Sambil menegaskan pihaknya tidak meletakkan sebarang keyakinan ke atas pentadbiran Najib bahawa akan menyelesaikan kemelut pengurusan pilihan raya, Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri memikul tanggungjawab bagi memastikan daftar pemilih benar-benar bersih. Jika tidak, kata Pakatan Rakyat gelombang Bersih 3.0 akan menyusul. Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) menegaskan, Najib perlu bertindak segera lalu menyelesaikan semua penyelewengan dan konspirasi yang didakwa wujud demi memenangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 termasuk terbaru dakwaan pemberian kad pengenalan MyKad kepada warganegara asing. Bagaimana beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk Najib menyelesaikan masalah yang berlaku termasuk isu pertukaran status kewarganegaraan pemastautin tetap. "Apa lagi yang kita boleh harapkan pada perdana menteri, Himpunan Bersih 2.0 pun beliau tak boleh nak tangani, macam mana dengan isu yang terbaru ini (pertukaran status kewarganegaraan pemastautin tetap). "Tapi sebagai pemerintah, beliau perlu bertindak segera... tuntutan Bersih 2.0 juga perlu dilaksanakan malah isu yang baru ini diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13," kata Salahuddin. Isu daftar pemilih menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai pertukaran status kewarganeraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan hebat daripada kepimpinan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergembar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia. Selain itu Pakatan Rakyat juga mendakwa BN mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi "MyDaftar." Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13. Tegas Salahuddin, Najib harus bertanggungjawab terhadap semua penyelewengan yang berlaku dalam sistem pilihan raya selain memberi penjelasan tentang langkah JPN membenarkan pemastautin tetap ditukar status menjadi warga negara Malaysia. "Walau macam mana pun beliau (Najib) harus bertanggungjawab, beliau perlu tampil menyelesaikan semua kemelut yang berlaku ini...beliau mesti bertindak segera dan bertanggungjawab. "Kita tahu apa yang dilakukan ini adalah usaha-usaha untuk membantu BN menang, selagi Najib sebagai perdana menteri beliau perlu tampil menyelesaikan perkara ini kerana ia akan mengancam keselamatan negara," katanya. Ahli Parlimen Kubang Kerian ini turut mengingatkan pentadbiran Najib agar melakukan segera transformasi pilihan raya sekiranya tidak mahu berdepan dengan Himpunan Bersih 3.0. "Sekiranya masih tiada perubahan sebelum pilihan raya umum ke-13 besar kemungkinan Himpunan Bersih 3.0 akan mengambil tempat. "Kalau perlu kita akan lakukan, apa lagi yang kita boleh harapkan dengan sistem (pilihan raya) sekarang? Kalau SPR kata daftar pemilih bersih dan nafikan lagi, kita ada bukti... kita boleh buktikan, adakah kita mahu terus berdiam diri?," katanya sambil menambah cadangan Himpunan Bersih 3.0 masih belum dibincangkan secara serius. Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Ditanya apa langkah akan diambil PAS selepas ini, Salahuddin berkata pihaknya telah menyediakan beberapa pelan tindakan untuk mendesak Putrajaya. "Saya rasa kita ada pelan tindakan...kita mempunyai beberapa siri pelan tindakan yang harus dilaksanakan dan buat masa ini tempat terbaik untuk mendedahkan semua konspirasi peringkat tertinggi ini adalah di Parlimen sebab itu kita mahu sidang tergempar Parlimen. "Kita juga akan desak kerajaan menubuhkan inkuiri awam untuk kita kenal pasti siapa yang terlibat sehingga ke akar umbi," katanya. Tegas beliau, sekiranya semua pelan tindakan itu tidak dipedulikan Putrajaya, pihaknya terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong sebagai langkah terakhir bagi memastikan sistem pilihan raya diadakan secara bersih dan adil. Ditanya sama ada mempercayai daftar pemilih SPR, Salahuddin bagaimana pun menegaskan "sebab itu kita mahu satu pembersihan dilakukan yang mana ia merupakan perjuangan kita selama ini." -TMI |
SUHAKAM Akan Siasat Keganasan Polis Pada Himpunan BERS✔H 2.0 Posted: 05 Aug 2011 10:32 PM PDT Panel Inkuiri Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan menemubual anggota polis yang terlibat dalam himpunan aman Bersih 2.0 yang berlangsung pada 9 Julai lalu. Pesuruhjaya SUHAKAM, James Nayagam mendedahkan hal ini ketika menerima penyerahan aduan mengenai tindakaan Polis pada himpunan tersebut dan berjanji bahawa panel ini akan bertindak tanpa berpihak dan adil. "Panel inkuiri kita akan melihat untuk menemubual semua polis yang bertugas ketika hari itu. "Panel kita bebas dan kita akan siasat segenap aspek dalam hal ini," kata beliau ketika menerima testimoni dan keterangan mengenai keganasan polis hari ini. Panel Inkuiri Awam Suhakam ini dianggotai Naib Pengerusi, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan akan dibantu Professor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan peguam Detta Samen. Mereka dijangka akan memulakan temubual itu selepas Ramadhan ini. Wakil Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menyampaikan 17 video, 15 testimoni dari orang ramai serta 17 lagi testimoni spesifik mengenai kejadian di Hospital Tung Shin. Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menyatakan keperluan untuk Suhakan menyiasat tindakan polis bukan sahaja pada hari tersebut, tetapi sebelum dan selepas himpunan itu. "Sekurang-kurangnya lima Kementerian mengutuk dan menuduh bahawa Bersih menyebabkan keganasan dan sebagainya. "Media arus Perdana turut memainkan cerita bahawa kami merupakan organissi yang ditaja oleh Kristian, Yahudi dab sebagainya," kata Maria. Beliau turut memberi contoh mengenai acara berkaitan Bersih 2.0 seperti 'road show' dan termasuk penahanan ahli PSM berkaitan Bersih serta pengharaman 91 individu dari ke pusat bandar pada 9 Julai sebagai usaha dan tindakan berlebihan. Selain Maria, mereka yang turut hadir ialah Pengerusi Tenaganita Irene Fernandez, wakil Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri selain Ahli Parlimen Batu Tian Chua. Tian Chua menceritakan kisah mengenai tembakan polis ke arah terowong di KL Sentral yang mengakibatkan kecederaan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Khalid Samad. Pengawal Peribadi Anwar Fayadh Afique Albaqri turut mendapat kecederaan parah kerana melindungi Ketua Pembangkang itu dari kanister gas pemedih mata yang didakwa dihalakan tepat kepada peserta himpunan oleh polis. Peguam Fayadh, Fadiah menyatakan tindakan menembak kanister terus ke arah orang ramai boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. "Beliau (Fayyadh) lihat polis mengacukan senjata ke arah Anwar, lalu Fayadh menarik Anwar ke tepi..tulang pipi beliau pecah dan rahangnya senget. "Polis yang menebual doktor yang merawat Fayadh turut terkejut dengan kecederaan yang dialamai beliau," terang Fadiah sambil menambah kanister Fayyadh masih berehat memulihkan kecederaannya. Seorang lagi demonstran, Brian Yap pula menceritakan mengenai peristiwa beliau ditangkap dengan ganas oleh Polis di perkarangan Hospital Tung Shin. |
Peserta Bersih Saman Kerajaan Secara Berperingkat Posted: 05 Aug 2011 08:30 PM PDT PAS akan mengambil tindakan undang-undang atau saman secara berperingkat-peringkat terhadap Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia, berhubung tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta himpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu. Setelah langkah pertama dari segi perundangan dilakukan dengan tindakan saman pertama difailkan di Mahkamah Tinggi di sini sekitar jam 11.30 pagi semalam, Lajnah Undang-Undang PAS Pusat akan menyusuli dengan saman kedua minggu depan yang melibatkan tangkapan terhadap rakyat negeri Perak. Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi menjelaskan, tindakan saman terhadap Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang akan difailkan oleh PAS melibatkan ratusan kes, sejajar dengan jumlah tangkapan besar yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta himpunan itu. Menurut beliau, disebabkan jumlahnya agak banyak, Lajnah Undang-Undang PAS Pusat terpaksa mengambil langkah bijak dengan membahagikannya dengan beberapa pihak lain dalam mengendalikan kes-kes itu. Katanya, kes yang membabitkan kepimpinan tertinggi PAS yang akan dikendalikan pihaknya melibatkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga merupakan kes pertama yang difailkan oleh pihaknya semalam. "Selain Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, dalam PAS turut terdapat satu lagi agensi penting melibatkan undang-undang iaitu Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) yang berada di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat. "Untuk memudahkan penyelarasan, pengendalian dan melancarkan perjalanan urusan, kes-kes tersebut terpaksa dibahagi-bahagikan oleh Lajnah Undang-Undang PAS Pusat dan Juham untuk dikendalikan," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini. Isu tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta himpunan aman Bersih 2.0, menurut beliau, sememangnya diberikan perhatian serius oleh pihaknya dan Juham. Untuk melancarkan urusan, katanya, kes-kes tersebut akan difailkan secara berperingkat-peringkat, dengan kesemua kes akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejajar dengan tangkapan pihak polis terhadap para peserta himpunan itu yang dilakukan di Kuala Lumpur. "Setelah langkah pertama dimulakan dengan difailkan kes plaintif Razman Zakaria, pihak kami akan menyusuli pula dengan kes kedua minggu depan. Selepas itu akan disusuli pula dengan kes ketiga, keempat, kelima dan kes-kes seterusnya," katanya. Kesemua kes berhubung tangkapan itu yang dikendalikan oleh pihaknya akan menamakan Ketua Polis Negara sebagai defendan pertama, manakala Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua. Untuk memudahkan urusan, menurut beliau, pihaknya hanya akan mengendalikan kes-kes yang melibatkan tangkapan terhadap rakyat negeri Perak sahaja, manakala kes-kes melibatkan penduduk Kuala Lumpur, Selangor dan negeri-negeri lain akan dikendalikan oleh Juham. "Jumlah kes yang akan dikendalikan oleh Lajnah Undang-Undang PAS Pusat atau pihak kami berjumlah sekitar 50 kes semuanya," jelasnya. Kes yang membabitkan 2 orang Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, katanya, dijangka akan difailkan oleh pihak Juham pada Isnin ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pengendalian kes yang membabitkan kedua-dua Naib Presiden PAS itu yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dan Ahli Parlimen Kubang Kerian akan dilakukan bersama oleh peguam Zulhazmi Shariff. "Kes membabitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, akan dikendalikan oleh peguam Hanipa Maidin. Buat masa ini, saya sendiri tidak pasti bila kes membabitkan Mohamad Sabu itu akan difailkan sama ada minggu depan atau bila, tetapi saya yakin ia akan turut difailkan dalam masa terdekat," katanya. -HD |
Kes Kematian Dr. Rohani: Jiran Ditahan Posted: 05 Aug 2011 06:30 PM PDT Penjenayah kejam yang mencerobohi rumah Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, sebelum mencekik mangsa hingga mati dipercayai tinggal di tingkat sama dengan rumah mangsa di Pangsapuri Permai Lake View Tambun. Menurut penghuni pangsapuri berkenaan yang juga jiran mangsa, terdapat empat lelaki tinggal di rumah bertentangan dengan kediaman mangsa di tingkat satu. Dia yang enggan identitinya disiarkan berkata, mangsa tinggal di unit F-1-09, manakala empat lelaki terbabit iaitu tiga berbangsa Melayu dan seorang seperti berdarah kacukan India-Cina mendiami unit F-1-02. Keempat-empat lelaki terbabit sering dilihat melepak di tangga berhampiran kediaman mereka dan beberapa rakan juga pernah menduduki unit yang didiami mangsa. "Mereka kemudian berpindah sebelum arwah menyewanya. Saya percaya mereka terbabit dalam pembunuhan mangsa kerana saya dan beberapa jiran lain melihat dua daripada empat lelaki itu ditahan polis tidak lama selepas mayat Rohani," katanya. Dia bertambah yakin keempat-empat suspek adalah penghuni unit F-1-02 kerana pengawal keselamatan turut melihat dua daripada mereka melarikan diri pada hari kejadian. Allahyarham Rohani yang baru dinaikkan pangkat memegang jawatan kini berkuat kuasa 1 Julai lalu ditemui mati kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin, dipercayai dicekik sehingga mati sebelum pembunuh membalut mayatnya sebelum mengusungnya keluar dari rumah mangsa. Suspek disyaki mahu membuang mayat mangsa di lokasi lain bagi mengelakkan jenayah itu dikesan. Bagaimanapun, cubaan itu terbantut selepas tindakan mereka mengusung cadar berisi mayat mangsa disedari pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan yang melakukan rondaan rutin. Menurut sumber, pengawal yang memeriksa tilam di lantai tangga Pangsapuri Permai Lake View Tambun, dekat sini, menemui mangsa sudah tidak bernyawa dalam keadaan tangan dan kaki terikat sebelum menghubungi polis. Arwah pernah menyuarakan kebimbangan keselamatannya tinggal di pangsapuri berkenaan kepada ahli keluarga kerana pernah kerugian hampir RM15,000 apabila barang kemasnya dilarikan penjenayah yang memecah masuk kediaman itu pada minggu kedua mendiaminya. Mangsa yang juga anak ketujuh daripada 10 beradik, sebelum ini bertugas sebagai pendaftar di Kolej Pertanian Sintok, Kedah sebelum berpindah ke Ipoh. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, posmen dan tentera antara empat suspek yang ditahan di tiga lokasi berasingan sekitar negeri ini. Katanya, dengan penahanan itu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh kurang 24 jam. "Siasatan mendapati motif dipercayai samun berikutan penemuan beberapa barang kes seperti telefon bimbit dan barang kemas bersama suspek. "Tangkapan pertama terhadap dua lelaki masing-masing berumur 26 tahun di sekitar kawasan kejadian pada jam 4 pagi. Dua lagi suspek masing-masing berusia 20 dan 22 tahun ditahan di Tanjung Malim pada jam 4.30 petang dan di Slim River jam 10.25 malam tadi (kelmarin)," katanya. Menurutnya, seorang daripada suspek berada dalam senarai individu dikehendaki polis bagi kes rogol di Slim River manakala seorang lagi askar yang lari daripada tugas. "Dua daripada suspek direman selama empat hari manakala dua lagi suspek direman tujuh hari bermula semalam dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.-hm |
Ibu Terkejut Anak Gadis 'Bersahur' Dengan Lelaki Warga Indonesia Posted: 05 Aug 2011 04:45 PM PDT Kajang: Seorang ibu yang mahu mengejutkan anaknya untuk bersahur tergamam sejurus mendapati seorang lelaki tidur nyenyak bersama anak gadisnya dalam kejadian di Batu 18, Hulu Langat, kelmarin. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika ibu mangsa masuk ke dalam bilik tidur anaknya yang berusia 14 tahun untuk mengejutkannya. "Sebaik masuk, ibu mangsa terkejut apabila mendapati mangsa tidur bersama seorang lelaki warga Indonesia berusia 21 tahun yang dipercayai teman lelakinya. "Lelaki terbabit yang terkejut dengan kehadiran ibu mangsa bingkas bangun lalu memohon maaf selain mengaku hanya tidur dan tidak melakukan apa-apa bersama mangsa," katanya. Katanya, ibu mangsa yang tidak berpuas hati dengan pengakuan lelaki itu mendesaknya untuk mengetahui apa yang berlaku. "Atas desakan berterusan ibu mangsa, lelaki itu mengaku sudah melakukan hubungan seks dengan mangsa ketika ahli keluarga lain sedang tidur. "Lelaki itu juga mahu bertanggungjawab atas perbuatannya. "Ibu mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu yang melarikan diri membuat laporan di Balai Polis Batu 18, Hulu Langat," katanya. -HM Ulasan GB Apa mau jadi ni.. sudah sampai tahap begini... |
PAS S'gor Desak Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat JPN Posted: 05 Aug 2011 07:45 AM PDT Semakin banyak pembongkaran salah laku data daftar pengundi dikesan muktahir ini terutamanya yang melibatkan warganegara asing menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung tidak lama lagi. Dakwaan pemberian status kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu kini mencuri tempat selepas gabungan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat menggerakkan jentera mengumpul segala bukti bagi mengukuhkan dakwaan tersebut. Sehubungan itu, Pas Selangor hari ini mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salahgunakuasa oleh JPN yang dianggap menguggat kedaulatan negara. "Saya yakin selepas insiden ini rakyat merasa sangat keliru dan bimbang dimana keselamatan pengeluaran kad pengenalan kita," kata Setiausaha Pas selangor Mohd Khairuddin Othman pada sidang media tadi. Menurut Mohd Khairudin, pihaknya telah mengadakan sebanyak 1,860 bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku ke 2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu. Antara perkara yang disuarakan termasuk SPR sengaja tidak menyertakan alamat lengkap pengundi selain dakwaan terdapat pihak tertentu yang membawa masuk pengundi-pengundi yang tidak berkelayakan ke negeri Selangor. Ini termasuk dakwaan bahawa SPR gagal memasukkan seramai 240 nama pengundi Cina yang telah didafarkan sebagai individu layak memilih. "Melebihi 240 nama yang kita daftarkan tapi tidak keluar dalam rang daftar pemilih untuk suku kedua," katanya. Dalam perkembangan lain, Khairudin berkata pihaknya baru-baru ini berjaya mengesan kelibat mengedar kad pengenalan biru kepada warga Indonesia dan Kemboja di DUN Paya Jaras. Dalam dua kejadian yang berasingan itu Khairuddin berkata, seorang individu tempatan dipercayai menjadi agen pengedaran kad pengenalan dan borang permohonan warganegara kepada yang lain. Kata beliau, setelah kad pengenalan biru tersebut dimasukkan ke dalam pengimbas cip, nama yang tertera adalah betul namun perkara yang mengejutkan apabila pihaknya menyemak dilaman web JPN, kesemua nama tersebut berstatus Penduduk Tetap (Merah). "Yang peliknya apabila kita ambil kad pengenalan ini dan dimasukkan dalam pembaca kad, ianya dapat dibaca. Tapi bila kita semak dalam laman web JPN, kad pengenalan merah," kata beliau. Pas sebelum ini telah menyenaraikan 610 nama yang dikesan memiliki kad pengenalan berwarna merah di dalam senarai layak mengundi SPR. Berdasarkan pecahan, DUN Semenyeh mendahului dengan 261 pengundi diikuti DUN Paya Jaras 225 pengundi, DUN Kajang 140 pengundi dan DUN Dusun Tua 49 pengundi. Kejadian pada 2 Julai lalu turut disentuh Mohd Khairuddin apabila berjaya mengesan rekod kerakyatan Penduduk Tetap bagi 610 orang warganegara asing bertukar kepada warganegara dalam masa 24 jam setelah Pas mendedahkan perkara tersebut kepada media. Walhal menurutnya, proses menukar status kad pengenalan memerlukan kehadiran secara fizikal individu tersebut untuk diimbas menerusi sistem biometrik. "Tan Sri SPR menyebut bahawa JPN tidak kemaskini data. Kalau data tidak dikemaskini, kenapa nama-nama ini boleh ada dalam Rang Daftar Pemilih yang disebut telah disaring dan diproses?" ujar beliau. Justeru, Pas menyatakan kebimbangan berdasarkan jumlah individu layak mengundi yang memegang kad pengenalan merah kian bertambah saban hari akibat tindakan meragukan oleh JPN dan SPR. Oleh yang demikian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein digesa untuk tampil memberi penjelasan kerana ianya melibatkan isu keselamatan negara yang semakin membimbangkan. Sejurus sidang media itu tadi, Pas membuat laporan polis terhadap JPN untuk menyiasat dalam disebalik konsporasi yang dipercayai menjaga kepentingan kerajaan. |
Iklan Ketiak & Sahur: Ulama Gesa Media Prima Minta Maaf Secara Terbuka Posted: 05 Aug 2011 07:03 AM PDT Jangan Pandang Rendah Impak Iklan - Ghani Shamsudin SHAH ALAM 5 OGOS : Meskipun durasi setiap iklan dipeti televisyan hanyalah sekitar seminit hingga dua minit sahaja, namun ianya mampu menyampaikan mesej dengan jelas dan seterusnya meninggalkan impak yang mendalam terhadap pemikiran penonton. Justeru, kandungan setiap iklan atau pesanan khidmat masyarakat (PSA) perlu dipantau dan diperhalusi agar tiada unsur- unsur sensitif yang menyentuh sensitiviti dan menaikkan kemarahan umat Islam. Pengerusi Sekretariat Ulamak Asia, Ustaz Ghani Shamsudin berkata demikian mengulas tindakan dua stesen TV dibawah Media Prima yang bertindak menyiarkan iklan berbaur perkauman dan salah tanggapan terhadap ibadah Sahur. Beliau menegaskan sebelum apa jua paparan tidak kira iklan, PSA atau program TV mestilah diteliti terlebih dahulu sebelum diluluskan untuk tayangan umum. Ini kerana apa juga gambaran- gambaran buruk atau ikan- iklan yang mendedahkan aurat, membayangkan golongan muda- mudi yang bergaul dengan bebas atau bentuk kelakuan- kelakuan seks yang menjolok mata dan sebagainya ini sudah pasti akan memberi kesan kepada anak- anak kepada penonton dan juga orang ramai,"tegasnya. Pemuda PAS Selangor sebelum ini mendakwa iklan berkaitan ibadah sahur di TV9 secara terang- terangan menghina dan terpesong daripada maksud sebenar ibadah di dalam agama Islam. Iklan berkenaan mengisahkan dua orang yang berjiran, seorang lelaki dan seorang perempuan, telah bersaing secara bersungguh-sungguh memasak makanan untuk persediaan sahur. Pada penghujung iklan itu memaparkan bahawa si lelaki yang juga DJ Hot fm, AG tidak sempat bersahur kerana azan subuh telah berkumandang. Manakala jiran perempuan itu pula sedang membasuh pinggan dan berasa gembira kerana yakin si lelaki itu tidak sempat bersahur. Pemuda PAS menambah, mesej yang akan diterima oleh penonton adalah bagaimana jiran tetangga bersaing kepada perkara yang tidak sepatutnya dan gembira dengan ketidaksempatan jirannya menunaikan ibadah Sahur. Sementara itu, iklan di stesen TV8 juga mengundang pelbagai kritikan apabila cuba menyampaikan mesej agar penonton tidak berpakaian ketat dan mendedahkan terutama pada bulan yang sangat dimuliakan umat Islam. Iklan itu memaparkan seorang wanita Cina yang memakai baju tanpa lengan yang ketat dikaburkan dibahagian ketiaknya, apabila dia mengunjungi bazaar Ramadhan sambil mendakwa dirinyan menjadi tumpuan. Mengulas lanjut isu tersebut, Ghani yang juga bekas Presiden Persatuan Ulamak Malaysia menegaskan adalah menjadi keperluan pembikin program TV merujuk kepada ilmuan agama terlebih dahulu sebelum ditayangkan, lebih- lebih lagi jika ia melibatkan elemen- elemen agama. "Sudah jelas bahawa dalam Islam apa jua perkara yang hendak disebarkan kita mesti merujuk kepada tuntutan Al- Quran dan hadis. Allah S.W.T melarang umat Islam menyebar luaskan keburukan, kejahatan dengan sewenang- wenangnya, ada syarat- syaratnya dan sebagainya," katanya. Justeru, Ghani mendesak pihak stesen TV8 dan TV9 agar memberhentikan segera siaran iklan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai. Ini bukan kali pertama Media Prima terlepas pandang dan bertindak menyiarkan iklan yang mengundang kontroversi. Sebelum ini, Media Prima menyiarkan iklan Hari Raya yang terselit unsur agama Kristian dan Budha. Dihujani pelbagai kritikan dan tomahan, iklan itu akhirnya ditarik balik meskipun ia baru sahaja ditayangkan dalam tempoh 24 jam. -tvsnews\ |
Kerakyatan Sedang Digadai, PAS Selangor Buat Laporan Polis Posted: 05 Aug 2011 04:23 AM PDT Lebih 1,000 PR didakwa jadi warga, PAS S'gor lapor polis PAS Selangor hari ini membuat laporan polis ekoran dakwaan pertukaran rekod lebih 1,000 penduduk tetap (PR) menjadi warganegara dalam masa satu hari sahaja. Setiausaha jabatan pilihan raya PAS negeri Mohamad Asri Sapar berkata, selepas memfailkan bantahan rasmi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 Ogos, maklumat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertukar keesokan harinya. Katanya, berdasarkan maklumat yang diterimanya, beliau terkejut kerana rekod 1,108 penama itu bertukar menjadi warganegara. "Saya khuatiri ada pihak-pihak tertentu sedang berusaha untuk memasukkan bukan warganegara sebagai pengundi," laporan polisnya itu dipetik. Beliau ditemani Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman ketika membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam petang ini. Dalam aduannya, Mohamad Asri, 37, berkata beliau khuatir terdapat unsur subahat di kalangan SPR dan JPN untuk menjayakan "usaha haram" itu. "Adalah amat membimbangkan sekali bahawa usaha haram ini bukan sahaja akan menjejaskan proses pilihan raya di negara ini malah turut menjejaskan integriti kad pengenalan serta kepentingan dan keselamatan negara," katanya. Mohamad Asri juga menyerahkan senarai 1,108 nama terlibat untuk membantu siasatan pihak polis. -mk
|
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan