Kelab Greenboc |
- Selangor Sedia Geran Untuk Pilihan Raya Adil, Bersih
- Kes Ahmad Sarbani: Siapa Hapuskan Rakaman CCTV?
- [Video] Selepas Isu 8TV, TV9 Pula Paparkan Iklan Hina Ibadah Sahur
- Disimbah Asid Sebelum Tarawih
- Isu Iklan Ketiak: 8TV Berfalsampah
- Najib Mungkin Lebih Malang Dari Pak Lah
- Alasan Kesilapan Teknikal SPR Tak Masuk Akal & Cuba Perbodohkan Rakyat [updated]
- PR Kepada Najib: Panggil Sidang Tergempar Parlimen Segera!
Selangor Sedia Geran Untuk Pilihan Raya Adil, Bersih Posted: 04 Aug 2011 01:00 AM PDT Shah Alam 4 OGOS : Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju menubuhkan satu geran untuk membiayai usaha-usaha memfailkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap senarai daftar pengundi baharu yang meragukan. Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim , Kerajaan Negeri memandang serius aduan-aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi yang sedia ada dan senarai daftar pengundi baharu. "Aduan dan tuduhan termasuk rakyat negara jiran yang mendapat taraf permaustatin tetap dan disenarai sebagai pengundi amat merungsingkan dan perlu diselesaikan dengan segera. "Kerajaan Selangor berpandangan bahawa rakyat mempunyai hak untuk menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka jalan kepada satu pilihan raya yang bersih dan adil," kata Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat exco semalam. Tambah beliau, geran ini terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan parti politik. Oleh kerana dana kerajaan negeri digunakan, bantahan ini hanya melibatkan kawasan di Selangor sahaja. "Pilihan raya bersih dan adil adalah tiang utama kepada demokrasi tulen. Pilihan raya bukan sahaja perlu bersih dan adil tetapi juga perlu kelihatan bersih dan adil di mata semua. "Setiap usaha mesti diambil demi memastikan kredibiliti pilihan raya dijaga dan pilihan sebenar rakyat dihormati," katanya. -tvsnews |
Kes Ahmad Sarbani: Siapa Hapuskan Rakaman CCTV? Posted: 04 Aug 2011 12:06 AM PDT Pelakon lagak ngeri: Sukar untuk keluar tingkap Pelakon lagak ngeri, Mohd Haslin Azriff Ramley memberitahu inkues kematian pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamad bahawa agak sukar untuk keluar dari tingkap - tempat mangsa didakwa jatuh - dan beliau mengambil masa tiga hingga empat minit untuk berbuat demikian. Saksi ke-31 inkues itu menjelaskan walaupun mempunyai pengalaman dalam melakonkan adegan lagak ngeri, namun perasaan gementar dan takut tetap ada ketika cuba keluar dari tingkap berkenaan. Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April. Sementara itu, pakar patologi Prof Dr Shahrom Abd Wahid dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berkata, Ahmad Sarbaini terjatuh dari aras tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan itu dengan tidak disengajakan. Dr Shahrom, 54, yang juga saksi ke-32 inkues berkata daripada hasil penemuan yang dibuat selepas melawat tempat kejadian, didapati Ahmad Sarbaini (mangsa) keluar dari tingkap di bilik pantri di aras tiga bangunan itu untuk menuju ke bumbung berhampiran yang mengelilingi gelanggang badminton. "Ini adalah kerana jika berdiri berhampiran tingkap, kelihatan bumbung yang terletak di sebelah kiri tingkap itu nampak dekat tetapi apabila mangsa berjaya keluar dari tingkap, didapati bumbung berada dalam kedudukan yang jauh," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas. Dr Shahrom berkata Ahmad Sarbaini kemudiannya cuba meniti di atas tebing tingkap ke arah kanan untuk mencapai bumbung berhampiran sambil tangannya berpaut pada bingkai tingkap, namun tidak berjaya. Saksi itu berkata mangsa kemudiannya cuba memanjat semula tingkap untuk masuk ke bilik pantri tetapi beliau tidak dapat mengimbangi badannya lalu tergelincir dan jatuh ke aras satu bangunan itu. Katanya perlakuan itu dibuat dengan berhati-hati dan tidak terburu-buru kerana jika seseorang cuba melarikan diri dengan cara terburu-buru akan terdapat kecederaan dan tanda lebam pada badan disebabkan keadaan tingkap yang agak menyukarkan seseorang untuk keluar dengan cara sedemikian. Beliau berkata kesimpulan yang dibuat juga berdasarkan kepada lakonan lagak ngeri yang dilakonkan semula oleh pelakon lagak ngeri, Mohd Haslin Azriff Ramley. Saksi itu menjelaskan lakonan dibuat berdasarkan penemuan kesan calar pada cat dinding di bilik pantri, tapak kasut, kepala tali pinggang, kedudukan mayat yang berada selaras dengan tingkap di aras tiga berkenaan dan juga kesan pada tapak tangan mangsa. "Terdapat kesan putih pada tapak kasut di sebelah kiri mangsa tetapi kesan itu tidak berapa jelas kerana terkena pada belakang seluar kanan mangsa semasa dia terjatuh dan juga terdapat kesan geseran pada kepala tali pinggang ketika mangsa dipercayai cuba masuk kembali ke dalam bilik pantri melalui tingkap," katanya. Dr Shahrom berkata lakonan semula oleh pelakon lagak ngeri itu menunjukkan kemungkinan mangsa telah jatuh ke belakang apabila kaki kanannya tergelincir dari tebing tingkap dan jatuhan itu menyebabkan kecederaan teruk pada kepala dan keretakan pada tengkorak dan patah tulang di bahagian lutut. Selain itu tiada tanda lain yang mencurigakan selain daripada disebabkan oleh kejatuhan dan tiada tanda-tanda mangsa dipaksa keluar dari tingkap itu. "Jika mangsa dipaksa keluar dari tingkap, pasti akan terdapat kecederaan pada tubuh mangsa kerana dia akan melawan kembali serangan daripada seseorang dan akan ditemui kesan pergelutan di tempat kejadian," katanya. -mk Ulasan GB GB melihat isu ini sama seperti isu kematian Teoh Beng Hock - bahawa - Ahmad Sarbani adalah mangsa kepada pegawai-pgawai SPRM yang salahguna kuasa, angkuh dan sentiasa berdusta apabila memberi keterangan. Kita masih tertanya-tanya: Siapa padamkan rakaman CCTV sewaktu Ahmad Sarbani disoalsiasat? Itu perlu diberikan penekanan di peringkat awal siasatan. MUSTAHIL samasekali CCTV terhenti atau tidak berfunsi di dalam keadaan itu sedangkan CCTV dapat merakam ketibaan Ahmad Sarbani di pejabat SPRM dengan menaiki motorsikal sebelumnya. Ini bererti pihak orang dalam SPRM atau PDRM yang menyiasat TELAH menghapuskan rakaman CCTV berkenaan. Selagi persoalan itu tidak dileraikan keseluruhan episod inkues adalah justifikasi yang direka-reka untuk menunjukkan kononnya Ahmad Sarbani membunuh diri. p/s Jangan nanti ada pula nota kecil "SELAMAT TINGGAL" ditemui dalam beg atau di motorsikal atau saranan Peguam SPRM yang menyatakan Ahmad Sarbani membunuh diri secara terhormat kerana cuba menyelamatkan maruah bossnya seperti kes TBH! |
[Video] Selepas Isu 8TV, TV9 Pula Paparkan Iklan Hina Ibadah Sahur Posted: 03 Aug 2011 10:00 PM PDT Pemuda PAS desak TV9 tarik balik iklan sahur KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) sangat berasa kesal kerana mutakhir ini banyak pihak yang cuba untuk menonjolkan kebaikan ibadah di dalam Islam secara buah fikiran mereka sendiri dengan tidak merujuk kepada orang yang arif dan alim dalam agama Islam. Sehubungan itu, ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, DPPNS mengecam tindakan TV9 menyiarkan iklan berkaitan ibadah sahur yang secara terang-terangan menghina dan terpesong daripada maksud sebenar ibadah di dalam agama Islam. Dalam iklan tersebut telah mengisahkan dua orang yang berjiran, seoarang lelaki dan seorang perempuan, telah bersaing secara bersungguh-sungguh memasak makanan untuk persediaan sahur di mana penghujung iklan tersebut memaparkan bahawa si lelaki tidak sempat bersahur kerana telah berkumandang azan Subuh manakala si perempuan jirannya pula sedang membasuh pinggan dan berasa gembira kerana berasa pasti si lelaki jirannya tidak sempat bersahur. "Hasilnya menyebabkan iklan tersebut tidak menepati maksud sebenar ibadah di dalam Islam dan menjadi bahan tertawa masyarakat," ujar Hasbullah kepada Harakahdaily. Beliau menjelaskan, ibadah bersahur itu sendiri disebut oleh Rasulullah s.a.w. terdapat keberkatan di dalamnya dan menjadi pembeza kepada amalan berpuasa penganut agama lain. Menurutnya, sikap yang ditonjolkan di dalam iklan tersebut juga sangat biadap apabila menunjukkan bahawa jiran tetangga bersaing kepada perkara yang tidak sepatutnya dan seronok apabila jiran tetangganya tidak dapat menunaikan ibadah. Katanya, sedangkan dalam Islam jiran tetangga mempunyai hak untuk dihormati dan tidak boleh disakiti walaupun mereka bukan Islam. Sehubungan itu, DPPNS mendesak supaya TV9 menarik balik tayangan iklan tersebut dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di dalam negara ini. "Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menasihatkan kepada pembikin-pembikin filem, iklan dan sebagainya merujuk dahulu kepada orang-orang yang alim dan pakar berkenaan dengan hukum Islam sebelum membuat sesebuah filem, iklan dan sebagainya," ujarnya. -HD |
Posted: 03 Aug 2011 08:20 PM PDT Kota Bharu – "Ketika itu saya sedang membelek senaskhah akhbar di kedai runcit sebelum tiba-tiba bahagian kanan muka dan belakang badan saya terasa panas." KECEDERAAN yang dialami Faizal Halim selepas disimbah cecair percayai asid ketika mendapatkan rawatan di HRPZ II di Kota Bharu semalam. Demikian cerita Faizal Halim Rustam, 37, yang mengalami cedera parah selepas disimbah sejenis cecair dipercayai asid dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa, dekat sini malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat tarawih sebelum singgah di kedai runcit tersebut untuk membeli minuman. Menurutnya, selepas membeli minuman, dia membelek-belek senaskhah akhbar seketika sebelum tiba-tiba muka dan badannya terasa panas dan pedih seolah-olah terbakar. "Muka dan badan saya terasa seperti terbakar dan saya terus berlari ke sebuah klinik yang terletak kira-kira 30 meter dari kedai runcit tersebut untuk mendapatkan rawatan. "Sebaik sampai ke klinik tersebut, kakitangannya kemudian menyapukan krim ke seluruh anggota badan serta muka saya. "Memandangkan kecederaan dianggap serius, saya kemudian dihantar ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC)," katanya ketika ditemui semalam. Tambahnya, berikutan kecederaan pada bahagian mata yang agak serius setelah diperiksa oleh doktor di KBMC, beliau kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapat rawatan lanjut. Ketika ditanya mengenai punca kejadian tersebut, Faizal berkata, ia mungkin disebabkan oleh dengki namun, beliau enggan mengulas lanjut. "Saya tidak nampak dan tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu. "Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan menangkap suspek yang melakukan perbuatan ini kerana ketika kejadian, saya pasti terdapat beberapa orang lain yang menyaksikannya di kedai tersebut," ujarnya. Berikutan kejadian itu, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Kota Bharu semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu. "Sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut diharap tampil untuk membantu siasatan," katanya. -kosmo |
Isu Iklan Ketiak: 8TV Berfalsampah Posted: 03 Aug 2011 06:07 PM PDT 8TV: Iklan 'ketiak' disalahtafsir Stesen televisyen 8TV hari ini memohon maaf berhubung iklan Ramadan yang di-keudarakan seketika sebelum ditarik-balik berikutan bidasan pelbagai pihak bahawa ia berbaur perkauman dan membuat stereotaip berdasarkan bangsa. Sambil memetik ahli falsafah Austria Karl Popper, 8TV cuba berfalsah menjelaskan iklan berbentuk pengumuman perkhidmatan masyarakat (PSA) Ramadan yang disiarkannya itu. "Seperti ahli falsafah terkenal Austria Karl Popper pernah berkata, "Adalah mustahil bagi bercakap dalam cara yang anda tidak akan disalah-tafsir" - dan ini situasi malang yang berlaku akibat iklan PSA Ramadan 8TV. "Dengan kesal terdapat salah tafsiran PSA itu yang hanya bertujuan menyampaikan mesej bagi menghormati bulan Ramadan. "Mesej itu bukan bertujuan menyinggung mana-mana bangsa atau keturunan dalam apa cara sekalipun. Ini adalah kesilapan jujur membabitkan sedikit jenaka yang disalahtafsir dan menjadi kebimbangan sesetengah pihak. "Sehubungan itu, 8TV menarik balik PSA berkenaan dan memohon maaf atas sebarang ketidak-selesaan atau kesulitan akibat daripada penyiarannya itu," kata stesen tv berkenaan dalam satu kenyataan. Pada satu daripada tiga iklan itu, ketiak seorang wanita Cina yang memakai baju tanpa lengan yang ketat dikaburkan apabila dia mengunjungi bazaar Ramadan sambil mendakwa dirinya menjadi tumpuan. Iklan itu kemudiannya menasihatkan penonton agar tidak berpakaian ketat dan mendedahkan. Mereka juga diingatkan supaya tidak terbawa-bawa dan memahami serta menghormati signifikan Ramadan. Dalam reaksi terhadap kemarahan orang ramai, CEO 8TV Ahmad Izham Omar dalam tweet meminta penonton supaya 'chill' dan tidak "terlalu banyak berfikir". "Chill guys. Don't overthink the ads. It's written, produced and directed by a multi-racial team. If you overanalyse, anything will be bad," tulisnya. Ulasan GB Iklan tersebut sebenarnya menggambarkan tahap mentaliti dan IQ rendah keseluruhan warga kerja 8TV. Mereka kini berfalsafah mempertahankan diri sedangkan keseluruhan episod iklan tersebut lansung tidak menampakkan unsur didaktik tetapi lebih kepada humor yang tidak menjadi malah dilihat over-acting dan keterlaluan di dalam cuba menyampaikan mesej yang simple. Di dalam senario kehidupan pelbagai bangsa, apabila sensitiviti sesutau kaum tidak diambil kira, maka porak perandalah jadinya. Inilah yang berlaku ekoran iklan tersebut. Minta kaum lain menghormati bulan Ramadhan, tetapi dengan perlakuan-perlakuan yang berlebih-lebihan yang tidak pun dilakukan di dunia realiti, menjadikan mutu iklan tersebut terlalu rendah. Malah di dalam banyak hal bangsa sendiri yang banyak melanggar batas akhlak di bulan Ramadhan. Dan yang terlebih utama Media Prema sendiri yang perlu menyemak rancangan-rancangan yang mereka tayangkan selama ini samada ia bertepatan dengan akhlak Islamiah, begitu juga dengan siaran berita-berita mereka samada ianya bersih dari fitnah dan propaganda yang ternyata ianya melanggar terus bukan sahaja akhlak Islamiah malah disiplin dan etika pemberitaan itu sendiri. |
Najib Mungkin Lebih Malang Dari Pak Lah Posted: 03 Aug 2011 04:57 PM PDT PRU 13 awal atau lewat, Najib tetap didesak berundur? Melihat kepada lautan manusia pada 9 Julai 2011, ramai menjangka Perdana Menteri Najib Razak tidak berani untuk membubarkan parlimen pada tahun ini. Igauan bagaimana perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007 mencetuskan tsunami politik pada 8 Mac 2008 masih menghantui Barisan Nasional. Seandainya PRU ke-13 diadakan pada tahun ini, Najib berkemungkinan besar mengulangi nasib mantan PM, Abdullah Ahmad Badawi. Lebih-lebih lagi, cara dan pendekatan kerajaan Najib Razak mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 telah mencungkil ketidakpuasan ramai, dari Sasterawan Negara yang menjadi ikon budaya, hinggalah bekas mufti yang berpengaruh dalam bidang agama; dari mereka yang berada di atas pagar, hinggalah pewaris tokoh UMNO sendiri - Marina Mahathir. Mengikut perhitungan biasa, kerajaan Najib dijangka memerlukan tempoh dalam setahun untuk memperbaiki keadaaan, atau sekurang-kurangnya meredakan ketidakpuasan ini. Dengan kata lain, PRU 13 paling mungkin diadakan pada tahun 2012 selepas Jun, malah tidak mustahil diheret sehingga awal tahun 2013. Semakin lama PRU ditunda.... Namun demikian, perkiraan UMNO mungkin tidak mengikut logik biasa. Semakin lama PRU ke-13 ditunda, bermakna semakin berat bebannya. Pertama, UMNO-BN tidak mempunyai alasan untuk menundakan reformasi sistem pilihan raya. Perlu diingatkan bagaimana impak "BERSIH 1.0" memuncak apabila SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal empat hari sebelum hari pengundian PRU 12. Kerajaan Najib sama ada kehilangan undi berikutan "ketidaksempatan" melakukan reformasi sistem pilihan raya, ataupun tumbang kerana sistem pilihan raya yang bersih, adil dan bebas. Dari segi ekonominya, semakin lama PRU 13 ditunda, maka kerajaan BN perlu bergelut dalam situasi inflasi yang semakin melonjak. Harga minyak semestinya akan meningkat, selain tarif elektrik yang telah dijanjikan akan dikaji setiap enam bulan. Keadaannya akan lebih parah dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, malah dijangka "meleset" pada tahun 2012. Pengurangan subsidi hampir pasti berlaku. Meskipun dibuat juga peruntukan bajet (gula) untuk meraih undi, persoalan yang melantun-lantun adalah, dari mana datangnya wang itu? Dari segi politiknya pula seandainya PRU 13 dijalankan pada 2012 mahupun 2013, pengundi Sarawak akan tertanya-tanya, bilakah Ketua Menteri Taib Mahmud bersara? Meskipun menang dalam pertarungan sengit PRN Sarawak pada April 2011, namun BN sedar bahawa angin perubahan semakin kencang. Seandainya Taib Mahmud dikekalkan, maka ia menghulurkan senjata kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang dirinya. Sebaliknya, jikalau Taib Mahmud digugurkan, maka pertentangan kepentingan akan berlaku, antara Taib Mahmud yang sudah 30 tahun berkuasa di bumi kenyalang, dengan kepentingan kerajaan persekutuan. Seandainya BN gagal menyelesaikan konflik ini, maka angin perubahan dijangka bertiup ke Sabah, dua negeri yang melanjutkan denyutan jantung BN di Putrajaya. Perlu diambil kira juga negeri Johor, yang mana sebelum ini Menteri Besar Abdul Ghani sendiri menjangkakan angin perubahan yang lebih kencang berbanding 8 Mac 2008. MCA menyumbang tujuh daripada 26 kerusi parlimen di Johor, dan tujuh ini berpotensi jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Melihat kepada senario terkini, persoalan yang lebih merunsingkan Najib/BN adalah, daripada 15 kerusi parlimen yang dipegang MCA sekarang, berapa yang mampu dipertahankan? Kegagalan Najib menarik sokongan Najib bermula dari mana Abdullah Ahmad Badawi terjatuh. Jelas, slogan 1Malaysia-nya menyasarkan pengundi yang berada di "pertengahan", yang mual dengan politik perkauman. Sementara itu, Program Transformasi Ekonomi (ETP)-nya pula menyasarkan pengundi bandar, yang menaruh harapan agar sistem dan struktur ekonomi diperbetulkan. Golongan ini tidak menunjukkan kecenderungan politik parti yang tegar, mereka dijangka kembali ke pangkuan BN seandainya kehidupan harian dan keadaan negara diperbaiki. Akhirnya kesemua daripada mereka dihampakan. Sama ada PERKASA diwujudkan atas restu Najib kerana "politik talam dua muka", mahupun sabotaj dalaman parti - sudah tidak penting. Politik itu persepsi. Persepsi umum adalah PERKASA berjaya menggagalkan 1Malaysia dan ETP yang digagaskan Najib, dan Najib selaku seorang PM gagal mengawal keadaan sehingga PERKASA dibiarkan bermaharajarela. Najib semakin tersepit Bukan sahaja golongan yang berada di "tengah-tengah" ini dikecewakan, malah ikon-ikon tertentu yang berpengaruh turut mengasingkan diri dari regim ini, bahkan melontarkan kritikan terhadapnya. Ikon budaya, Sasterawan Negara A.Samad Said dalam wawancara bersama Malaysiakini terus mengecam bahawa "Najib memang kejam". Perlu diingatkan bahawa A.Samad Said disokong sekumpulan seniman apabila polis menyoal-siasat beliau di bawah Akta Hasutan. Baru-baru ini, bekas mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) dikaitkan pula dengan fahaman Wahabi, dan aktiviti terrorisme. Meskipun sesetengah pandangan beliau dianggap kritikal terhadap kerajaan, namun Dr. MAZA tidak semestinya berpihak kepada PR. Misalnya, beliau pernah dikecam keras apabila mencadangkan agar Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim berundur. Maknanya, terdapat ruang untuk BN "engage" pemimpin yang berpengaruh seperti ini. Namun, mengaitkan MAZA dengan pengganas adalah sesuatu yang sukar dipertahankan, walaupun Utusan Malaysia, kerana MAZA pernah menulis kolum untuk akhbar tersebut. Pendekatan Najib mengendali BERSIH 2.0 seolah-olah menggali kubur untuk dirinya. Titik pusingannya berlaku apabila Najib berdolak-dalik dalam isu "stadium", yang menyebabkan ramai beralih untuk bersimpati terhadap BERSIH 2.0. Dan apabila gas pemedih mata dilepaskan bertalu-talu ke dalam lautan manusia yang merangkumi warga emas, budak kecil... yang melangkaui batas kaum dan agama, imej Najib ranap dalam sekelip mata. Pergelutan dalam UMNO Kini Najib berdepan dengan tekanan dalam partinya. Dari perkiraan sesetengah pemimpin UMNO, BN tetap mampu mempertahankan kerajaan persekutuan pada PRU 13, meskipun mungkin gagal mengembalikan majoriti dua pertiga, dan beberapa kerajaan negeri, malah mungkin kehilangan Negeri Sembilan! Apapun berlaku, senario ini tidak memihak kepada Najib. Najib tetap akan digulingkan dalam UMNO seandainya,- Pertama, gagal mengembalikan majoriti dua pertiga dalam parlimen; Kedua, gagal mengembalikan kuasa beberapa kerajaan negeri, misalnya Selangor. Ketiga, gagal meraih sokongan bukan Melayu. Dari kaca mata sesetengah pimpinan UMNO, UMNO-BN akan hilang kuasa jikalau semakin lama PRU 13 ditunda. Maka tidak mustahil seandainya Najib didesak untuk mengadakan PRU 13 pada Oktober tahun ini. Sama ada PRU 13 diadakan pada tahun ini mahupun tahun 2012, malah 2013, Najib perlu bersedia untuk menyusuri jejak Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah gagal apabila menghampakan pengundi yang mahu melihat perubahan yang dijanjikannya. Nasib yang sama akan menimpa Najib. Cuma, nasib Najib mungkin lebih malang daripada Abdullah, kerana beliau mempunyai kes Scorpene yang bakal berlangsung perbicaraannya di Perancis! -MR *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia |
Alasan Kesilapan Teknikal SPR Tak Masuk Akal & Cuba Perbodohkan Rakyat [updated] Posted: 03 Aug 2011 07:57 AM PDT Pakatan: Jawapan SPR tak masuk akal Anggota parlimen Pakatan Rakyat menolak penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa isu pendaftaran penduduk tetap (PR) sebagai pengundi mungkin hanya masalah kemaskini. "Ini tidak masuk akal," kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (kiri) yang mewakili wakil rakyat Pakatan dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu, sebaliknya menyerahkan kepada Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman untuk membuat perjelasan kerana baru sahaja mengadakan pertemuan dengan pihak SPR negeri semalam. SPR malam tadi menafikan terdapat penduduk tetap didaftarkan sebagai pengundi kerana hanya rakyat Malaysia boleh memohon bagi tujuan itu. Sebaliknya, kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof, kesilapan itu mungkin berpunca akibat kecuaian teknikal Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Katanya, beliau fikir senarai nama PR di laman web JPN adalah senarai lama yang belum dikemaski. Khairuddin (kanan) berkata, Abdul Aziz tidak dapat diterima kerana ia masih tidak menjawab persoalan bagaimana status penduduk tetap bertukar dalam tempoh beberapa jam. Selain itu, tambahanya, timbul juga persoalan kenapa sistem dalam talian itu tidak dikemaskini secara automatik sejurus selepas maklumat baru diperoleh. "Kalau tidak kemaskini, SPR kena kaji sistem itu," kata Khairuddin yang juga seorang pengamal undang-undang. Sementara itu, beliau juga mendakwa mengenalpasti seramai 243 pengundi Cina di Paya Jaras namanya masih tercicir dalam daftar pemilih. -mk
Ulasan GB Salah tetap salah. Mana mungkin anda boleh menjadikan "kesilapan teknikal" sebagai alasan untuk kesalahan yang terlalu ketara? Ternyata ia alasan yang direka-reka. Ia alasan untuk memperbodohkan orangramai. Mereka ini perlu disiasat dan dikenakan tindakan. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR berserta dengan Jabatan Pendaftaran Negara perlu sangat dipenjarakan di atas konspirasi yang tidak bermaruah ini. |
PR Kepada Najib: Panggil Sidang Tergempar Parlimen Segera! Posted: 03 Aug 2011 04:57 AM PDT Pakatan tuntut PM panggil sidang tergempar Parlimen Anggota parlimen Pakatan Rakyat hari ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang tergempar Parlimen untuk membincangkang isu pertukaran status penduduk tetap (PR) kepada warganegara dengan sekelip mata. Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahudin Ayub berkata mereka akan menghantar surat dalam masa terdekat kerana mendakwa perkara "khianat" itu "mengancam keselamatan dan kedaulatan negara". "Kami beri masa seminggu kepada perdana menteri untuk menjawabnya," katanya dalam sidang akhbar ahli parlimen Pakatan di di ibupejabat pakatan di Petaling Jaya hari ini. Menurut Salahuddin, sidang itu mestilah diadakan dalam bulan Ramadan ini juga. Turut hadir Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), setiausaha biro antarabangsa DAP Liew Chin Tong (Bukit Bendera), Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS Dr Hatta Ramli (Kuala Krau), dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Dr Mariah Mahmud (Kota Raja). Semalam, Malaysiakini melaporkan, status seorang penduduk tetap yang berjaya didaftar sebagai pengundi bertukar kepada warganegara dalam tempoh empat jam sahaja selepas didedahkan. Laporan itu mengundang kritikan pelbagai pihak, terutamanya oleh Pemuda PAS yang mendakwa memiliki banyak lagi bukti kes sebegitu berlaku. Fokus Wilayah, Selangor, Johor Ditanya tindakan lanjut Pakatan sekiranya desakan itu tidak diendahkan Najib, Salahuddin berkata: "Kami mempunyai beberapa siri tindakan. Tunggu saja." "Kita akan dedahkan siapa taukenya nanti. Kita ada dokumen (bukti) yang cukup," katanya. Salahuddin yang juga naib presiden PAS mendedahkan semakan mereka mendapati sehingga kini sejumlah 1,597 kes berhubung perkara itu dikesan di seluruh negara. "Ia nampaknya terfokus di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor," dakwanya. Dalam data yang diedarkannya, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,108 kes, diikuti Johor sebanyak 380 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 52 kes. Salahuddin juga menunjukkan buku tebal kira-kira 2 inci mempunyai pelbagai maklumat berhubung kesalahan pilihan raya yang masih diselidiknya melalui satu pasukan khas PAS. Mengulas prosedur permohonan warganegara, Salahuddin berkata, mengikut prosedur biasa, ia mengambil masa sehingga lebih 10 tahun. "Tetapi ini berlaku sekelip masa atas konspirasi pemimpin Umno dan BN," katanya sambil mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dipergunakan bagi tujuan itu. Pendaftaran biometrik pekerja asing Sementara itu, Nurul Izzah berkata, kegagalan Najib mengambil tindakan akan menggambarkan bahawa beliau sebagai perdana menteri yang tidak berkuasa terhadap beberapa agensi kerajaan berkaitan. "Sekarang tiada dolak dalih lagi. Najib wajib panggil sidang tergempar (di parlimen)," katanya Nurul Izzah (kiri) lagi. Sementara Liew pula berkata perdana menteri harus memberikan respons dengan "segera dan serta-merta" terhadap kes itu dan tuntutan Pakatan bagi membuktikan komitmennya terhadap pilihan raya yang bersih dan adil. "Jika tidak, tiada gunanya kita adakan pilihan raya dengan sistem ini," katanya. Sementara itu, Dr Hatta pula mengesyaki apa yang berlaku mempunyai kaitan dengan program pemutihan pendatang asing yang sedang berlangsung di seluruh negara yang bermula sejak sebulan lalu. "Mereka daftar pekerja asing dengan biometrik. Adakah ini mempunyai kaitan? Adakah ini sebabnya data bertukar dalam beberapa jam sahaja," katanya. Sejak dilaksanakan 13 Julai lepas, dilaporkan 390,404 pekerja asing daripada 26,894 majikan telah mendaftar bawah Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang Sah, manakala pendaftaran pekerja asing tidak sah pula bermula kelmarin. -mk Ulasan GB GB mencadangkan jika Najib enggan untuk memanggil sidang tergempar parlimen, maka usul tidak percaya perlu dikemukakan kepada beliau, itu pun jika ada sidang parlimen lagi (kerana PRU13 dijangka diadakan tidak lama lagi). Atau alternatif yang ada ialah gerakkan perhimpunan BERSIH 3.0 untuk rakyat merafak sembah kepada Yang Dipertuan Agong mengadukan salahlaku Perdana Menteri Malaysia yang bernama Mohd Najib bin Abdul Razak bersama-sama SPR & JPN. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan