DIALOG RAKYAT |
- MCA kecam cara Jakim tangani isu sijil halal
- Saifuddin: KPT serah Unisel selesai isu Naib Canselor
- Isu MyKad: Pakatan dakwa PM hilang kawalan, mahu sidang khas Parlimen
- Empat termasuk Najib dan isterinya enggan ditemu bual peguam Anwar
- Isu Dawama: Panel Parlimen pandang serius, mahu Ketua Audit siasat
- Dawama tarik balik arahan cuti, setuju bayar gaji minimum 12 hari
- Kes Sosilawati: Amah dengar wanita jerit, nampak ‘api besar’
- Mengapa seseorang mahu Altantuya dibunuh? Siapa yang mahu Bourdon dihantar pulang?
- Gadai keselamatan negara demi secebis kertas undi
- Pencuci longkang, penguatkuasa PP dapat elaun khas RM150 sebulan
- MCA mahu hapus hak kontraktor Melayu, India Muslim di Pulau Pinang?
- Permit teksi: Kalau Syed Hamid tak boleh buat, jangan bantah – Anwar
- Pakatan Rakyat kemuka Belanjawan 2012
- Pemandu teksi sambut baik hasrat Pakatan
- Peguam pohon sapina heret Najib, Rosmah ke mahkamah
- 1,100 penduduk tetap dalam daftar pemilih di Selangor
- Status PR: Pakatan desak sidang parlimen tergempar
- PR Jadi Pengundi : SPR Kata Kesilapan Teknikal
- MyPR-MyKad :PAS Tuntut Penjelasan SPR, JPN
- 25 Orang Ditangkap Tidak Berpuasa Di Sarawak Setakat Semalam
- PSM 6 Didakwa, Mohon Dibicarakan
- MB Cadang Pusat Contohi Pengurusan Ekonomi Selangor
- PR Tak Akan Contohi Umno-BN - Anwar
- Konspirasi Ke-2 : Keputusan Temubual 15 Saksi Diketahui 8 Ogos
- Surat terbuka kepada PM: Tidak bermoral kalau PRU diadakan sebelum reformasi p/raya dilaksana
MCA kecam cara Jakim tangani isu sijil halal Posted: 03 Aug 2011 03:37 PM PDT KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak wajar bersikap kertelaluan dalam menangani isu berkaitan sijil halal, sebaliknya harus menyediakan lebih banyak ruang untuk berkomunikasi khususnya membabitkan pengusaha bukan Islam, kata MCA. "Walaupun saya faham Jakim mahu mewujudkan standard antarabangsa, mereka perlu membenarkan ruang untuk komunikasi. Mereka tidak boleh bersikap keterlaluan dalam mengendalikan soal mengeluarkan sijil halal," tegas Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek (gambar) di sini hari ini. Dr Chua berkata demikian ekoran banyak aduan daripada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mengenai validasi pengesan DNA yang baru dilaksanakan untuk mengesan pencemaran komponen khinzir dan anjing. Seorang pengilang bebola ikan dari Johor Baru yang hanya mahu dikenali sebagai Ang berkata pegawai-pegawai Jakim telah mengambil sampel dari kilangnya Januari lalu dan telah membatalkan sijil halalnya dua bukan kemudian disebabkan kesan pencemaran khinzir. "Apabila meminta mereka menunjukkan laporan, mereka tidak sanggup. Tidak ada salinan yang diberikan. Mereka meminta saya merayu (untuk sijil yang baru)," kata Ang. Bagaimanapun ramai usahawan tidak berpuas hati kerana permohonan untuk mendapatkan sijil halal memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan dan keadaan itu "menjejaskan perniagaan." "Apabila syarikat-syarikat ini ditolak, mereka memerlukan enam bulan untuk memohon semula (untuk mendapatkan sijil halal). Sesetengah daripada mereka mengambil masa sehingga satu tahun. Ini adalah tidak adil. "Jakim perlu mendidik dan membimbing syarikat-syarikat ini, bukan menyusahkan mereka, "kata Dr Chua lagi. Wakil Persatuan SMI Malaysia berkata mesin DNA yang baru ini sangat sensitif dan mudah tercemar. Mereka menggesa agar prosedur ujian semasa dikaji semula. "Ini mungkin kes pencemaran balas. Selain itu, apabila pengesanan diambil, Jakim tidak seharusnya menggantung sijil kami selama enam bulan, tetapi membiarkan syarikat melaksanakan audit yang menyeluruh," kata seorang wakil. "Jakim harus membenarkan lebih ruang untuk berdialog, kami perlu tahu mengapa produk-produk kami telah ditolak, " katanya. Dr Chua juga berkata ketelusan tidak wujud dalam tindakan Jakim. "Mereka akan kata anda habis (dalam kes-kes macam ini). Tiada audit kedua. Kajian di makmal bebas juga tidak diterima. "Di Malaysia, semua pengilang mengimport bahan-bahan dari negara-negara lain. Bahan-bahan yang diimport ini disahkan halal di negara-negara import, tetapi Jakim kata ia ini tidak halal," katanya. "Apa sumber standard yang Jakim berdasarkan? Adakah ia diterima di peringkat antarabangsa?" soal Dr Chua. "Jakim telah bersikap keterlaluan dalam mengendalikan isu sijil halal. Saya akan membangkitkan isu ini dalam jawatankuasa ekonomi negara," kata Dr Chua lagi. |
Saifuddin: KPT serah Unisel selesai isu Naib Canselor Posted: 03 Aug 2011 03:35 PM PDT KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi tidak mahu mencampuri isu Datuk Dr Rosti Saruwono yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) dengan memberi notis 24 jam berkuat kuasa hari ini. Pun begitu, kata Kementerian Pengajian Tinggi, pihaknya berharap sebagai sebuah pusat pengajian tinggi swasta Unisel akan mengambil prosedur mengikut prinsip autonomi universiti. "Setakat ini, kami difahamkan beliau letak jawatan kerana tak bersetuju dengan arahan pihak atasan yang mahu dilucutkan jawatan tiga pegawai kanan. "Jika ini benar, maka saya hormati pendirian beliau yang berprinsip kerana universiti ada autonomi tersendiri. Walaupun pihak yang memiliki atau menguasai universiti ada hak atas perjalanan universiti, tapi mereka perlu ikut prosedur sedia ada. Prosedur itu pula perlu selaras dengan prinsip autonomi universiti iaitu prinsip sakral yg diamalkan secara universal," kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. Saifuddin mengulas perkembagan di Unisel yang menyaksikan Rosti meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini. Bagaimanapun Saifuddin, kementeriannya terkejut dengan berita itu dan sedang mendapatkan maklumat terperinci tentang apa sebenarnya yang berlaku. "Oleh kerana ia (Unisel) ialah IPTS, Kementerian Pengajian Tinggi tak terlibat dalam ehwal pengurusannya," kata beliau lagi. Saifuddin menambah, kementeriannya akan memantau perkembangan berhubung isu itu dan berharap ia dapat diselesaikan segera keran ia jawatan pengurusan tertinggi universiti. "Bimbang jika berlarutan, ia boleh mengganggu perjalanan dan menggugat prestasi," katanya lagi. Semalam, Rosti mengesahkan peletakan jawatannya sambil berkata "ada keputusan yang saya tak sanggup laksanakan iaitu untuk melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa proses sewajarnya." Difahamkan, Rosti telah diarahkan oleh kepimpinan Unisel untuk melucutkan jawatan tiga pegawai iaitu Pendaftar Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan Prof Dr Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Halid Hasbullah. Rosti pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan rektor pertama Universiti Teknologi Petronas sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac 2009. Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008. Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah menerima keputusan Rosti dan "tidak membantah keputusan beliau untuk meletak jawatan." Sehubungan itu kata Khalid, "bagi memastikan peletakan jawatan ini tidak mengganggu pembangunan Unisel dan usaha menjadikan universiti tersebut sebagai salah satu universiti terbaik Malaysia, kerajaan negeri telah memberi tugasan kepada sebuah jawatankuasa." Jawatankuasa itu terdiri daripada Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie, Datuk Dr Adnan Alias dan Datuk Dr Mohamed Ariffin Aton, yang kesemuanya merupakan ahli lembaga pengarah universiti itu. Khalid berkata jawatankuasa ini telah pun ditubuhkan dan berjalan bagi menyelesaikan masalah dalaman yang melibatkan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan Unisel. "Kami telah jangka masalah ini akan berlaku dan menubuhkan jawatankuasa agar dapat menolong menyelesaikan masalah ini," katanya. Mengenai dakwaan bahawa Rosti dipaksa memecat tiga orang pegawai Unisel, Menteri Besar berkata perkara itu telah dibincangkan lebih awal bersama Naib Canselor dan tiga Timbalan Naib Canselor. "Dr Rosti terlibat dalam perbincangan ini dan beliau tahu keputusan yang telah dibuat. Malah beliau juga telah menandatanganinya," katanya. |
Isu MyKad: Pakatan dakwa PM hilang kawalan, mahu sidang khas Parlimen Posted: 03 Aug 2011 03:33 PM PDT PETALING JAYA — Pakatan Rakyat mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah kehilangan kawalan ke atas institusi-institusi yang menguruskan pilihan raya selepas perikatan itu membangkitkan telah mengesan 1,600 nama rakyat asing diberikan hak untuk mengundi antara Mac dan Jun lalu. Wakil rakyat pembangkang menegaskan situasi itu mencetuskan kebimbangan mengenai program-program perlindungan seperti kempen mendaftar kedua-dua pekerja tanpa asing dan sah yang dilaksanakan sekarang. Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata Pakatan Rakyat akan mengemukakan permintaan akhir minggu ini agar diadakan satu sidang tergempar Parlimen, pada bulan Ramadan, bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia. "Beberapa hari lalu Perdana Menteri berkata beliau komited untuk melakukan pembaharuan pilihan raya dan tidak akan ada pengundi hantu," kata beliau. "Sekarang, beberapa hari kemudian, kita ada laporan media bahawa rakyat asing diberi kewarganegaraan. Jika Najib tidak setuju dengan sidang khas (Parlimen), maka bermakna beliau telah hilang kawalan ke atas institusi-institusi ini, yang telah mengambil alih kuasa daripada pentadbirannya," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai pada sidang media di sini hari ini. Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli pula berkata wujud komplot antara agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ahli Parlimen Kuala Krai ini berkata sementara program bagi mendaftar pekerja-pekerja asing yang sah dilanjutkan tanpa tarikh akhir berbanding 31 Julai 2011 yang ditetapkan sebelum ini, ia boleh disalah guna untuk menutup perubahan pada pangkalan data yang digunakan. "Kami meragui tujuan sebenar program pendaftaran memandangkan ia membenarkan data diubah begitu cepat," kata beliau lagi. Pakatan Rakyat mendakwa seramai 1,108 pemastautin tetap di Lembah Klang telah diberikan status kewarganegaraan penuh sehingga semalam dan adalah sesuatu yang mengarut jika 1,000 kad pengenalan dapat dikeluarkan dalam satu hari. Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub juga menunjukkan dokumen-dokumen yang mendakwa antara pukul 1.06 petang dan 2.30 petang semalam tiga pengundi yang memiliki taraf kewarganegaraan penuh berbanding pemastautin sebelum itu. "Maklumat ini dimuat turun dari laman web Jabatan Pendaftaran Negara sendiri dan kami ada sebanyak 1,597 kes di seluruh negara," kata beliau. |
Empat termasuk Najib dan isterinya enggan ditemu bual peguam Anwar Posted: 03 Aug 2011 03:28 PM PDT TERKINI KUALA LUMPUR— Empat daripada 25 saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mahu muncul di mahkamah untuk memberi keterangan jika sepina dikeluarkan ke atas mereka. Empat saksi itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar), isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof. "Mereka enggan datang ke mahkamah, untuk ditemu bual oleh (pasukan) pembela melainkan mereka diberikan sepina," kata Peguam Cara Kanan II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden hari ini. Temu bual biasanya akan diadakan untuk menentukan sama ada seseorang saksi boleh digunakan untuk memberi keterangan ketika perbicaraan. Juga difahamkan bahawa seorang lagi saksi, Hasanuddin Abdul Hamid berkata dia hanya bersetuju untuk ditemu bual jika peguamnya turut hadir bersama. "Kami menerima surat pemakluman mengenai keengganan mereka untuk ditemu bual dan mereka hanya akan muncul di mahkamah jika dikeluarkan sepina," kata peguam Anwar Sankara Nair. Mahkamah menetapkan 8 Ogos untuk membuat keputusan berhubung permohonan Anwar mahu menemu bual 15 saksi termasuk Najib. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh dan Mohamed Yusof selesai mengemukakan hujahan masing-masing. Anwar memohon mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan memastikan kehadiran semua saksi, yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan di akhir kes mereka, kepada mahkamah, untuk ditemu bual oleh pihak pembelaan. Anwar juga mahu menemu bual 10 saksi alibi sebelum beliau memberikan keterangan pada Isnin. Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan dijadualkan dari 8 hingga 26 Ogos. Pada akhir kes mereka, pihak pendakwaan menawarkan 71 saksi, di mana pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 saksi. Daripada 25 saksi itu, hanya lima saksi telah ditemu bual setakat ini iaitu bekas ratu pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar, Dr Mohd Osman Abd Hamid yang pernah bertugas di Pusrawi, adik perempuan bongsu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Dr Daniel dan Khairil Anaz Yusof, pegawai khas kepada Najib semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. |
Isu Dawama: Panel Parlimen pandang serius, mahu Ketua Audit siasat Posted: 03 Aug 2011 03:25 PM PDT KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen memandang serius krisis membabitkan Dawama Sdn Bhd, syarikat konsesi percetakan dan pemasaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diberi konsesi 12 tahun tetapi kini berhadapan dengan masalah kewangan dan didakwa gagal memenuhi perjanjian. Syarikat itu mempunyai konsesi sehingga September 2014. Justeru timbalan pengerusi panel itu, Dr Tan Seng Giaw juga mahu Ketua Audit Negara menyiasat perkara tersebut. Selain itu beliau juga mahu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan jumlah wang telah dibayar kepada Dawama sejak 2002. Konsesi dengan syarikat akan berakhir pada 2014. "Apakah sebenarnya berlaku dengan syarikat itu?" kata Ahli Parlimen Kepong ini sambil berkata, "syarikat yang mencetak dan memasar buku-buku teks merupakan satu misteri kepada saya." "Tiba-tiba (seramai) 400 kakitangan Dawama diberi cuti tanpa gaji. Berita yang dikeluarkan mengenai buku teks, Dewama dan DBP adalah termasuk kerajaan membayar RM100 juta kepada syarikat itu untuk tujuh tahun, syarikat itu terhutang banyak, Kementerian Pelajaran hendak mencari syarikat lain dan buku-buku teks untuk 2012 mungkin menimbulkan masalah," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. Sehubungan itu, Dr Tan menambah, rakyat mengharapkan semua pihak mempunyai integriti dan oleh syarikat konsesi mestilah benar-benar mampu mencetak dan memasarkan buku-buku cocok dengan amalan antarabangsa. "Kita tidak mengetahui hakikatnya. Kementerian Pelajaran melantik Dawama, membayar beratus juta ringgit kepadanya serta memantau prestasinya. "Mengapa tujuh tahun kemudian barulah hendak memberhentikan kontrak perjanjian dan melantik syarikat yang lain," katanya yang mendesak Muhyiddin mengumumkan hakikat mengenai kedudukan Dawama. Selain mencetak dan memasarkan buku dan buku teks, Dawama juga diberi tanggungjawab pencetakan dan pemasaran majalah bulanan DBP. Ekoran krisis DBP-Dawam, agensi itu gagal menggagalkan 10 majalan edisi Julai. Bagaimanapun DBP memberi jaminan buku teks akan dapat dibekalkan kepada sekolah sebelum sesi persekolahan 2012 bermula. Ia didakwa berkait rapat dengan masalah kewangan dialami oleh Dawama. Dawama mengarahkan sekitar 400 pekerjanya bercuti tanpa gaji bermula kelmarin. Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Dawama harus bertanggungjawab ke atas segala masalah dihadapi syarikat itu termasuk isu kewangan sehingga terpaksa mengarahkan pekerjanya bercuti tanpa gaji. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran juga menegaskan kerajaan ada membayar sejumlah wang kepada Dawama, dipercayai berjuta-juta ringgit dan kini tiada sebarang bayaran tertunggak. "Dawama harus bertanggungjawab (atas apa yang berlaku sekarang)," kata Wee. "Dawama mencetak buku teks dan Kementerian Pelajaran bayar, jualan terjamin tetapi masih tidak dapat membuat duit (untung). Siapa yang harus dipersalahkan?" kata beliau. Dalam laporan semalam, The Malaysian Insider membawa laporan memetik Gerakan Darurat Bahasa (GDB) yang menggesa agar kerajaan membatalkan penswastaan kerja-kerja mencetak dan memasarkan bahan terbitan DBP dan mengembalikan fungsi asal agensi Kementerian Pelajaran itu. |
Dawama tarik balik arahan cuti, setuju bayar gaji minimum 12 hari Posted: 03 Aug 2011 03:24 PM PDT TERKINI Menterinya Datuk Dr S Subramaniam berkata tindakan Dawama yang mengarahkan pekerjanya bercuti tanpa gaji adalah tidak sah di bawah Akta Kerja 1955. Wakil kesatuan telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Jabatan Tenaga Kerja di Putrajaya semalam. Tengah hari tadi mereka mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran. Sebelum ini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia menyifatkan tindakan Dawama sebagai tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang buruh dan wajar diberi kerja selama 12 hari dalam sebulan. Oleh itu kata menteri, Dawama dinasihatkan melakukan pemberhentian sementara dengan perlu membayar gaji minimum sebanyak 12 hari sebulan sementara melakukan penstrukturan semula syarikat itu. Pekerja yang terbabit pula boleh bekerja di tempat lain sehingga kemelut syarikat itu selesai kelak, kata Dr Subramaniam dipetik Bernama Online selepas mesyuarat pasca-Kabinet di Putrajaya hari ini. Kata beliau surat yang dikeluarkan Dawama semalam ditarik balik. "Buat sementara waktu nasihat kepada Dawama ialah supaya mereka boleh minta pemberhentian sementara kepada pekerja mereka dan mengadakan perbincangan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menstruktur semula untuk memulihkan pernigaan mereka," kata beliau. Katanya, "dalam perbincangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheik Mohd, Dawama bersetuju membayar gaji minimum sebanyak 12 hari bagi sebulan sehingga syarikat itu meneruskan perbincangan dengan DBP." Wakil Dawama tidak hadir dalam pertemuan semalam itu, kata Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Zainal Awit kepada The Malaysian Insider petang tadi. Dawama memberikan cuti tanpa gaji kepada sekitar 400 pekerjanya berkuat kuasa kelmarin kerana menghadapi krisis kewangan bagi membiayai operasi harian termasuk bayaran gaji kepada semua kakitangan yang didakwa berpunca daripada kemungkiran di bawah konsesi 2002 dengan DBP. Konsesi itu hanya akan berakhir pada 2014. Subramaniam berkata sekiranya Dawama gagal membayar gaji minimum atau memberhentikan pembayaran itu maka syarikat itu perlu membayar pampasan pemberhentian kerja kepada semua pekerja terbabit. "Sebenarnya Dawama merupakan satu syarikat yang diberi perniagaan eksklusif oleh DBP. Jadi mengapa mereka dalam keadaan ini, saya pun tak tahu lah. Ini satu perkara yang luar biasa," katanya. Dalam kenyataannya, Zainal berkata Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Jabatan Tenaga Kerja mendapati tindakan Dawama adalah salah dan tidak boleh membiarkan pekerja bercuti tanpa gaji buat selama-lamanya. "Jabatan berpendapat majikan mesti beri hari kerja berbayar minimum 12 hari," katanya. Dalam pertemuan hari ini dengan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi, Zainal berkata beliau telah memberi jaminan akan membawa isu mereka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri. "Kami meminta kerajaan menyelesaikan masalah ini memandangkan kami merupakan bekas kakitangan awam dan diberi peluang menyertai penswastaan fungsi DBP. "jadi kerajaan mesti menyelesaikan masalah kami. Itu janji mereka dulu bahawa jika ada masalah, ia akan diselesaikan," kata beliau yang turut berharap kerajaan akan membantu pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pencen bagi mereka yang sudah menghampiri usia persaraan. |
Kes Sosilawati: Amah dengar wanita jerit, nampak ‘api besar’ Posted: 03 Aug 2011 03:22 PM PDT THE MALAYSIAN INSIDER SHAH ALAM – Seorang pembantu rumah warga Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bahawa beliau mendengar dua kali jeritan wanita di kawasan ladang di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat. Saksi pendakwaan ke-33, Siti Hamidah Karnax, 18, berkata dia mendengar jeritan wanita itu kira-kira pukul 9 malam, 30 Ogos 2010 semasa sedang mengisar adunan tose, sejenis makanan kaum India, di dalam asrama pekerja di ladang itu. Laporan Bernama Online menyebut, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani apakah reaksi dia selepas mendengar jeritan itu, Siti Hamidah berkata, dia buat biasa sahaja manakala yang lain di dalam asrama itu sedang menonton televisyen dan menikmati tose. Ditanya bagaimana bunyi jeritan itu, beliau berkata: "Aaaaaaahh", "Aaaaaaah" dan jeritan itu didengar selang satu ke dua saat. Siti Hamidah berasal dari Sunda, Indonesia adalah bekas pembantu rumah kepada peguam N. Pathmanabhan, 42, dan pekerja ladang R. Khatavarayan, 31, yang sedang dibicarakan bersama R. Thilaiyalagan, 20, dan R.Matan, 21, atas dakwaan membunuh Sosilawati, 47 (gambar). Keempat-empat mereka juga dituduh membunuh pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Sosilawati, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsuddin, 44, di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor di antara pukul 8.30 malam hingga pukul 9.45 malam, 30 Ogos 2010. Siti Hamidah berkata kemudiannya kira-kira pukul 1 pagi dia diarahkan oleh Jacinta, isteri Khatavarayan, mengambil barang-barang dalam rumah karaoke di dalam ladang itu. Sebelum itu, katanya dia telah diarahkan oleh Jacinta untuk menyediakan dua helai kemeja-T – satu berlengan dan satu tidak berlengan, seluar panjang sukan, tuala, syampu, bedak, baldi dan kunyit dan diletakkan di pintu belakang asrama pekerja. Siti Hamidah berkata setibanya di rumah karaoke itu, dia melihat barang-barang itu dalam keadaan bersepah dan nampak Khatavarayan bersama empat orang pekerja tetapi tertuduh pertama, Patmanabhan tidak kelihatan. Kepada soalan Idham apa lagi yang dia nampak, Siti Hamidah berkata dia ternampak api besar dekat rumah yang diduduki Thilaiyalagan di dalam ladang itu. Ditanya sebesar mana api itu, katanya "setinggi pokok sawit" dan menurutnya dia pernah nampak api di ladang itu semasa seorang lelaki yang bernama Raja dari India datang ke sana dan kali kedua semasa seorang lelaki yang dikenali sebagai Syafik datang ke ladang berkenaan. Saksi itu juga memberitahu mahkamah, dia juga nampak tiga lelaki dan seorang wanita berambut panjang separas bahu berjaket biru berada di pondok rehat di ladang itu pada pukul 7 malam, 30 Ogos 2010. Dia berkata terdahulu sebelum pukul 5 petang, Jacinta telah mengarahkan dia dan beberapa pekerja ladang supaya menutup tingkap dan pintu asrama. Selepas itu, dia diarahkan oleh Jacinta mengambil parang dan dia mengambil dua parang dan satu pisau dari atas almari di dalam bilik Khatavarayan dan meletakkannya di belakang pintu dan nampak Khatavarayan meletakkan parang dan pisau itu ke dalam kenderaan pacuan empat roda, Isuzu D-Max berwarna kelabu. Katanya kemudian dia nampak Pathmanabhan datang dan berbincang dengan Khatavarayan di luar dan selepas itu Khatavarayan naik kereta dalam keadaan cemas. Semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, Siti Hamidah mengakui dia menipu umurnya 23 tahun di dalam pasportnya semasa memasuki Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Kelantan pada tahun 2008 sedangkan pada ketika itu beliau berumur 15 tahun. Katanya, dia melarikan diri dari majikannya di Kelantan kerana mendakwa dipukul majikannya sebelum pergi ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan Pathmanabhan pada Mac 2009 dan seterusnya dibawa ke ladang itu untuk bekerja dengan Khatavarayan pada Disember 2009. Dia juga mengakui pernah dipukul oleh isteri Pathmanabhan dengan pelepah kelapa sawit dan dipukul oleh Khatavarayan dan Jacinta dengan tangan serta rotan. Bagaimanapun, ketika disoal oleh Manjeet Singh mengapa dia tidak melarikan diri sebagaimana yang dilakukan semasa di Kelantan, Siti Hamidah berkata: "Orang yang lari kalau ditangkap akan dipukul dengan teruk." Dia juga menafikan dijanjikan oleh pihak polis hadiah selepas kes ini selesai. Ketika disoal balas oleh Ravi Nekko, peguam yang mewakili Khatavarayan, sama ada dia bersetuju bahawa pada 30 Ogos 2010, hari itu hujan, Siti Hamidah berkata: "tidak bersetuju." Saksi itu juga memberitahu bahawa Khatavarayan akan mandi kunyit jika ada "kebakaran." Bagaimanapun, Siti Hamidah tidak bersetuju dengan cadangan Ravi bahawa Khatavarayan mandi kunyit apabila dia balik lewat kerana ada bayi di dalam rumah itu iaitu anak Thilaiyalagan yang dibela Jacinta. Dia menafikan bahawa tindakannya memberi keterangan pada hari ini bermotifkan untuk membalas dendam dengan menegaskan bahawa ia bagi menyatakan kebenaran |
Mengapa seseorang mahu Altantuya dibunuh? Siapa yang mahu Bourdon dihantar pulang? Posted: 03 Aug 2011 12:47 AM PDT PASPB Antara yang paling hangat diperkatakan adalah sama ada 2 orang bekas pengawal peribadi beliau, Azilah Hadri dan Sirul Umar yang dijatuhkan hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh seorang penterjemah yang terlibat dalam rundingan pembelian kapal selam Scopene sedang dipenjarakan atau telahpun dibebaskan. Samada beliau suka atau tidak, tindakan Najib dilihat oleh ramai sebagai penyalahgunaan kuasa dalam menyembunyikan kesalahan yang mungkin beliau lakukan dari mata dunia. Ramai yang ditemubual berpendapat bahawa Najib sedang menikmati kebebasan hasil daripada penggunaan prinsip "tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah" dan atas dasar itu juga beliau digesa untuk berhadapan dengan Bourdon menggunakan prinsip yang sama. Bourdon berada di Malaysia atas urusan rasmi yang penting. Bourdon yang merupakan seorang aktivis hak civil telah dihantar pulang kerana menyalahi penggunaan pas lawatan sosial beliau. Disebabkan oleh perkembangan ini, timbul pula syak orang ramai terhadap Najib dan penglibatan beliau dengan skandal Scopene dan Altantuya. Bourdon yang mewakili NGO Malaysia Suaram dalam aduan yang dibuat terhadap pihak berkuasa Perancis mengenai vendor Scopene; DCN yang dikatakan telah membayar komisen kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan Najib sendiri semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan pada ketika itu dan dipertanggungjawabkan ke atas pembelian kapal selam tersebut yang benilai RM7.3 billion. Beliau berada di Penang untuk memberi taklimat mengenai kes tersebut. Najib telah menyangkal tuduhan salahlaku manakala Ahmad Zahid Hamidi yang kini memegang portfolio meneri pertahanan diberi amaran untuk tidak memberi sebarang kenyataan. Perincian mengenai pembelian kapal selam tersebut juga telah dibentangkan dalam parlimen. Najib digesa hormati undang-undang Malaysia dan antarabangsa Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen telah menuduh pentadbiran najib sebagai kejam dan ala diktator. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal memerintah. Salah satu daripada agenda penting beliau adalah untuk menutup mulut sesiapa sahaja yang ingin bersuara mengenai ketidakadilan dengan menahan, mengugut dan menakut-nakutkan mereka seperti yang dibuat ke atas pihak yang terlibat dalam perhimpunan Bersih. Chong menegaskan bahawa Bourdon masih boleh berkomunikasi dengan orang Malaysia menggunakan persidangan video dan banyak lagi kaedah canggih yang sudah ada pada zaman ini. Beliau berpendapat bahawa pentadbiran Najib mungkin tidak sedar bahawa banyak lagi cara lain selain berada secara fizikal di satu –satu tempat untuk menyampaikan maklumat dan berhubung. Chong berkata bahawa penghantaran pulang Bourdon jelas menunjukkan bahawa Najib sedang gelisah dan takut tetapi adalah sia-sia baginya untuk mengelak daripada undang-undang. Adalah lebih baik untuk beliau dan negara sekiranya beliau bersikap terbuka terhadap siasatan pihak perancis dan memberi kerjasama yang sepatutnya. Jika tidak, ramai yang akan merasakan bahawa beliau bersalah dan ini akan menjatuhkan imej Malaysia. "Biarkan perjalanan undang-undang tersebut dan sekiranya beliau tidak bersalah, tiada apa yang harus beliau takuti kerana mahkamah akan melindungi beliau." Beritahu Chong kepada Malaysia Chronicle. Najib boleh menangkis dakwaan dan memberitahu cerita dari pihak beliau di Perancis See Chee How, ketua penerangan PKR Sarawak telah mengecam tindakan Najib menghantar pulang Bourdon semata untuk menutup kesalahan beliau dalam pembelian kapal selam. "Kerjaan haruslah membenarkan Bourdon untuk mengatakan apa yang beliau hendak sampaikan. Sekiranya Najib merasakan bahawa Bourdon berbohong, dakwalah beliau atas alasan memfitnah. Kita ada undang-undang sepeti itu di Malaysia." Kata See kepada Malaysia Chronicle. Menurut See, penghantaran pulang Bourdon akan menghasilkan lebih banyak liputan negative terhadap Malaysia di arena antarabangsa dan ini akan memberi kesan buruk juga kepada pelaburan asing. Timbalan ketua wanita PKR juga memberi komen mengenai isu penghantaran pulang Bourdon. Kata beliau, ia menimbulkan syak wasangkan dalam persoalan siapakah pembunuh sebenar Altantuya. "Sekarang, orang asing juga menjadi sasaran dalam melindungi hal yang sebenar. Saya percaya, roh beliau juga mahukan keadilan dan akan terus menghantui orang Malaysia sehinggalah keadilan diperolehi. Walaupun kemarahan terhadap apa yang dilakukan terhadap Bersih masih belum reda, kerajaan terus terlibat dalam pelbagai skandal. Berapa banyak lagi yang harus diharungi rakyat? Benarkah orang yang sepatutnya dikenakan hukuman mati sudah bebas dan berada bersama kita? Menurut Voon, perbicaraan kes pembunuhan Altantuya telah menimbulkan lebih banyak tanda tanya berbanding jawapan. Dua orang bekas pengawal peribadi Najib telahpun dijatuhkan hukuman gantung setelah didapati membunuh Altantuya.Sepanjang perbicaraan, wajah mereka ditutup. Mengapa? Di mana mereka sekarang? Adakah benar mereka sedang menunggu hukuman mati atau mungkinkah mereka sudah berada bersama kita sekarang? Bukankah majoriti rakyat Malaysia tidak dapat melihat wajah mereka dan tidak dapat cam meraka. Bagi keluarga dan rakan, pembedahan plastik boleh dilakukan supaya mereka tidak dikenali lagi. Implikasi di sini; mereka melalui semua itu untuk melindungi pihak yang sebenarnya bertanggungjawab mengarah mereka membunuh Altantuya. Tidak seorang pun penagawal peribadi ini mengenali Altantuya dan tiada motif untuk membunuh beliau. Salah seorang daripada mereka telah membuat kenyataan bahawa dia dibayar RM100,000 untuk membunuh Altantuya. Buat masa ini, sepatutnya jangan terlalu emosi sehinggalah kes ini dibawa ke mahkamah baik di sini atau Perancis. Terdapat juga isu kesahan kes merentas sempadan kerana perbezaan sistem perundangan dan mahkamah yang berbeza dengan kita. Perlu diingtkan juga bahawa pihak imigresen mempunyai hak untuk menghalang kemasukkan mana-mana individu asing ke dalam negara tanpa memberi sebarang alasan. Tetapi seperti kes pembunuhan Altantuya, masih menjadi tanda tanya siapakan pembunuh sebenar Altantuya dan dalam kes penghataran pulang Bourdon, siapakah yang mengarahkan Pengarah Imigresen untuk menolak kemasukkan beliau ke negara ini? Dan seperti biasa, soalan paling menarik perhatian- Mengapa? Mengapa seseorang mahu Altantuya dibunuh? Siapa yang mahu Bourdon dihantar pulang? Daripada soalan-soalan ini, jelas ada satu persamaan!JALAN PULANG |
Gadai keselamatan negara demi secebis kertas undi Posted: 03 Aug 2011 12:41 AM PDT Roketkini.com PETALING JAYA – Keselamatan negara kita akan tergadai sekiranya rakyat asing boleh menjadi warganegara dalam masa beberapa jam sahaja, malah dibenarkan untuk mendaftar sebagai pengundi. Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, berdasarkan bukti-bukti tentang penipuan yang sedang berlaku dalam senarai pengundi, pilihan raya umum ke-13 akan datang bakal menjadi pilihan raya paling kotor dalam sejarah Malaysia. Katanya, penipuan terbaru terbongkar apabila Malaysiakini melaporkan bahawa pemastautin tetap (PR) rakyat asing telah dibenarkan mendaftar sebagai pengundi. "Malah yang lebih mengejutkan ialah dalam masa empat jam sahaja, status pengundi baru yang menimbulkan kecurigaan itu telah ditukar daripada pemastautin tetap kepada warganegara Malaysia, mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya di sini hari ini. Beliau mengulas laporan Malaysiakini petang semalam mengenai seorang individu bernama "Mismah" dengan kad pengenalan bernombor 640704-71-5238 yang mempunyai PR yang mendaftarkan diri sebagai pengundi. Dalam laporan yang dikemaskini kemudian, Malaysiakini melaporkan "Mismah" sudah menjadi warganegara, tidak sampai empat jam selepas laporan berita asal disiarkan. Pua mendakwa penipuan itu membuktikan wujudnya konspirasi keji di antara Barisan Nasional, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan JPN untuk menipu secara besar-besaran dalam PRU akan datang. Beliau menambah konspirasi penuh penipuan itu turut membuktikan bahawa cadangan sistem biometrik untuk pilihan raya sebagaimana yang dicadangkan oleh SPR untuk "membanteras pengundi hantu" jelas gagal sebelum dimulakan. "Jika sistem JPN kita boleh dimanipulasi begitu mudah, tidak ada sebarang jaminan kukuh bahawa kerajaan dapat memastikan sistem biometrik yang bernilai beratus juta ringgit itu akan menjamin pilihan raya yang bersih, telus dan selamat," tambah beliau. Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata penipuan demi penipuan dibongkarkan setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini menggesa BN untuk mencapai kemenangan dengan apa cara sekali pun. Beliau mengingatkan semua pihak bahawa "penganugerahan" kepada rakyat asing, terutamanya dari Indonesia, untuk menjadi warganegara pernah dilakukan melalui Projek IC atau Projek M di Sabah (sewaktu era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad) bagi mengurangkan kuasa politik Bumiputera di negeri itu. Sebagaimana yang diketahui umum, katanya, Sabah mengalami pertambahan penduduk yang luar biasa setelah ramai warga asing menjadi rakyat Malaysia dalam masa yang amat singkat. Pua berkata, BN juga menggunakan rasuah wang dalam pilihan raya, sebagaimana yang dibuktikan sewaktu pilihan raya negeri Sarawak April lalu, dan jika tekanan dan pembelian undi ditolak oleh rakyat, BN menggunakan apa sahaja cara untuk menipu dalam pilihan raya. Menurutnya, kerajaan BN yang turut menguasai media massa dan agensi keselamatan negara terus mengekang dan menekan rakyat termasuk memperlekeh serta menindas perhimpunan aman Bersih 2.0 yang hanya bertujuan membersihkan amalan pilihan raya di nehara ini. Justeru itu, tuntutan pertama Bersih 2.0 menekankan tentang pelaksanaan usaha membersihkan senarai undi, iaitu dengan menyingkirkan segera 'pengundi hantu' seperti orang yang telah meninggal dunia, yang berganda pendaftaran, yang bukan warganegara dan sebagainya. Sementara itu, Malaysiakini hari ini melaporkan bahawa Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof menafikan pemastautin tetap telah didaftarkan sebagai pengundi, dengan member alasan ia mungkin kesilapan teknikal oleh JPN. "Saya fikir senarai nama PR di laman web JPN adalah senarai lama yang belum dikemaskini," katanya. Penjelasan Abdul Aziz telah dibidas oleh Ahli Parlimen DAP Tanjung Chow Kon Yeow kerana tidak cukup maklumat serta tidak menerangkan bagaimana "kesilapan teknikal" itu boleh berlaku. Menurutnya, SPR tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan yang lekeh itu kerana tanggungjawabnya ialah memastikan kesahihan senarai pengundi. "Kejadian ini telah menggambarkan betapa seriusnya masalah penyelarasan antara agensi kerajaan yang pasti menjejaskan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya kita," katanya hari ini. Chow yang juga Exco kerajaan negeri Pulau Pinang mempersoalkan bagaimana rakyat negara asing boleh menjadi pengundi di Malaysia menjelang PRU ke-13 akan datang. Beliau meminta SPR dan JPN menyatakan secara terperinci jumlah rakyat asing yang telah menjadi warganegara Malaysia yang didaftarkan sebagai pengundi untuk tiga tahun sebelum ini. "Pengundi Malaysia berhak untuk tahu sama ada berlaku penyelewengan dalam trend senarai undi. Saya amat berharap institusi-institusi kerajaan kita tidak menjadikan rakyat asing sebagai pengundi semata-mata hanya kerana mahu mengekalkan rejim yang korup sebagai kerajaan," tambah beliau |
Pencuci longkang, penguatkuasa PP dapat elaun khas RM150 sebulan Posted: 03 Aug 2011 12:39 AM PDT Roketkini.com GEORGETOWN – Lebih 400 wira tak didendang di Pulau Pinang termasuk pencuci longkang mendapat elaun khas RM150 sebulan sebagai penghargaan kerajaan Pakatan Rakyat terhadap usaha gigih mereka menjaga keselamatan dan kebersihan negeri. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan bayaran elaun khas itu kepada 238 anggota penguatkuasa dan 178 pekerja awam Pasukan 3D yang membabitkan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM748,800 setahun. Pasukan 3D (dangerous, difficult and dirty – bahaya, sukar dan kotor) terdiri daripada pekerja-pekerja berpengalaman tanpa menggunakan peralatan canggih untuk membersihkan kawasan, khususnya mengeluar dan mengutip sampah yang terlekat di celah dan dalam longkang. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata elaun khas untuk tugas khas penguatkuasaan dan pencucian longkang itu diberikan untuk kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai. Katanya, kerajaan negeri sedar jasa besar pasukan 3D yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan longkang sehingga perlu memasuki lubang longkang bagi mengeluarkan sampah sarap dan sebagainya. Menurutnya, kerajaan negeri juga menghargai jasa anggota penguatkuasa yang melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan seperti perobohan, rampasan, mengapit roda dan menunda kenderaan serta lain-lain jenis penguatkuasaan adalah terdedah kepada bahaya serta ancaman fizikal. "Saya percaya dengan elaun khas ini tuan-tuan dan puan-puan akan berkhidmat dengan rajin, adil, penuh kesabaran dan mengikut lunas undang-undang dan berintegriti," katanya di majlis penyampaian cek elaun khas berkenaan di sini hari ini. Guan Eng mengingatkan kakitangan awam bahawa integriti bukan sahaja melibatkan rasuah tetapi turut menekankan aspek kebijaksanaan, amanah dan tanggungjawab. Beliau menambah, semangat berpasukan di kalangan warga MPPP dan MPSP akan menyakinkan orang awam untuk mematuhi undang-undang, baik dalam menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata, atau memandu dengan bersopan agar tidak menghalang lalu lintas serta menjadi mata dan telinga menghindari jenayah. Beliau juga menjelaskan mengenai Pelan Pengurusan Strategik MPPP yang memberi penekanan kepada bidang keberhasilan utama atau key result area (KRA) 3C dan 1R iaitu cleanliness, congestion, crime dan revenue – kebersihan, kesesakan, jenayah dan hasil negeri. Untuk mencapai matlamatnya, MPPP serta semua pihak yang bertanggungjawab perlu bekerjasama untuk: * Meningkatkan keceriaan, keindahan dan kebersihan bandar; * Menerapkan amalan budaya menyelenggara kemudahan awam dengan lebih berkesan; * Melaksanakan program bandar selamat; * Mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah-masalah pengurusan lalu lintas; * Memperkukuhkan kedudukan hasil Majlis; dan * Meningkatkan sistem penyampaian Majlis supaya perkhidmatan yang disediakan adalah yang terbaik kepada rakyat. Turut hadir di majlis itu ialah Ahli Exco Negeri Chow Kon Yeow dan Yang Dipertua MPPP Hajah Patahiyah Ismail. |
MCA mahu hapus hak kontraktor Melayu, India Muslim di Pulau Pinang? Posted: 03 Aug 2011 12:36 AM PDT Komentar Roketkini Sejak Pakatan Rakyat menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang, tender projek-projek kerajaan negeri yang tidak melebihi RM200,000 dikhaskan kepada kontraktor Kelas F melalui tender terbuka, di mana kesemuanya adalah kontraktor Bumiputera. Bagi projek-projek yang nilainya melebihi RM200,000, tawaran akan dilakukan melalui tender terbuka kepada semua warganegara Malaysia, termasuk Melayu, Cina dan India dan warga-warga negara yang layak. Justeru itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik membidas sikap Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang yang telah mempersoalkan mengenai 243 projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri yang ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor Kelas F di mana nilai projek-projek tersebut adalah kurang daripada RM200,000. MCA cadang kontraktor kelas F dimansuhkan? "Adakah Tan Cheng Liang bercadang supaya Kontraktor Kelas F (untuk Bumiputera) dimansuhkan? "Jikalau MCA berhasrat untuk berbuat demikian, beliau seharusnya mengemukakan cadangan tersebut melalui Presiden MCA atau Menteri-Menteri MCA yang berada dalam Kabinet. "Jangan lemparkan kritikan yang tidak berasas terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang melaksanakan tender terbuka serta menjaga kepentingan kontraktor-kontraktor Kelas F yang kurang kemampuan mereka dari segi modal berbayar," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Ng yang juga Adun Komtar turut mempersoalkan Tan dan MCA sama ada mereka mahu menentang UMNO dan menolak peruntukan undang-undang yang ada kerana mahu memansuhkan hak kontraktor-kontraktor kelas F demi membela kepentingan kontraktor-kontraktor bukan Bumiputera. Beliau menambah tuduhan MCA itu membuktikan lidah pemimpin-pemimpin BN bercabang dua. Tender tebuka untuk semua yang layak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menjelaskan buat kesekian kalinya bahawa hanya usahawan yang cekap, mahir dan layak sahaja akan mendapat kontrak melalui tender terbuka di negeri itu tanpa mengira kaum dan kabel politik mereka. Katanya, dalam keadaan di mana semua kontrator Bumupitera termasuk India Muslim mendapat kontrak, ia membuktikan mereka semuanya layak dan berkemampuan melaksanakan tugas. "Tidak ada orang Cina atau Melayu akan marah dengan kerajaan negeri kerana memberi pulang yang adil kepada semua kontraktor," tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Adun Air Putih. Menurutnya, dakwaan Tan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Wanita MCA kononnya DAP meminggirkan kaum Cina kerana memberi kontrak JPS kepada kontraktor Melayu dan India Muslim adalah tidak matang dan berfahaman sempit. Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata sikap MCA itu sama seperti cara politik UMNO yang menuduh kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang mengabaikan nasib orang Melayu di negeri itu. "Jika kerajaan negeri membantu masyarakat Melayu, MCA akan tuduh kita meminggirkan masyarakat bukan Melayu. Sekiranya kita bantu masyarakat bukan Melayu, UMNO pula dakwa kita meminggirkan masyarakat Melayu. "Sekiranya pemikiran dan sikap begini masih lagi menjadi ikutan dan amalan, maka pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang hidup harmoni, tanpa prejudis tidak akan tercapai," tambah beliau. Siapa anti-siapa? Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula berkata sepatutnya MCA dan UMNO sama-sama bertanya kepada diri mereka: "Siapa yang anti-siapa di Pulau Pinang?" "Jika MCA menuduh DAP anti-Cina, mengapa MCA berdiam diri apabila UMNO dan Perkasa menuduh Lim Guan Eng dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang anti-Melayu?" katanya yang juga Ahli Parlimen Tanjung dan Adun Padang Kota. Mengikut lojik tidak masuk akal UMNO-MCA itu, jika MCA menuduh DAP anti-Cina kerana kontrak dimenangi oleh Bumiputera untuk kelas kontraktor Bumiputera, MCA sepatutnya membuat tuduhan yang sama terhadap UMNO di peringkat nasional dan semua negeri yang diperintah oleh UMNO. Sebagaimana kata Ng, rakyat kini sudah bosan dengan tipu helah pemimpin-pemimpin BN yang lidah bercabang dua dan cakap tak serupa bikin. "Rakyat akan terus memberi sokongan yang padu terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang berjiwa rakyat serta adil dan telus dalam melaksanakan tender secara terbuka, dan bukannya MCA atau UMNO yang ketagih memainkan sentimen perkauman," tambah beliau. – Roketkini.com |
Permit teksi: Kalau Syed Hamid tak boleh buat, jangan bantah – Anwar Posted: 03 Aug 2011 12:33 AM PDT KEADILAN DAILY SHAH ALAM: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar yang meminta pemandu teksi tidak mengadukan masalah mereka kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya berjumpa terus dengan SPAD. Menurut Anwar, pemandu teksi di negara ini membantah pengeluaran permit untuk syarikat besar sejak puluhan tahun, tetapi permit baru tetap diberikan kepada kroni Umno. "Puluhan permit diluluskan kepada pemimpin dan bekas Menteri yang bersara. Jadi, mereka tidak ada jalan keluar melainkan meluahkan perasaan mereka kepada Pakatan Rakyat. "Jadi soal Syed Hamid nak membantah tak berbangkit. Kalau dia nak bantu, batalkan permit kepada taukeh-taukeh, kembalikan permit kepada pemandu teksi. "Kalau dia tak boleh buat, sepatutnya dia tak boleh bantah," kata Anwar ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini. Ahad lalu Anwar dalam satu majlis bersama pemandu teksi di Petaling Jaya menyatakan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk menamatkan pemberian permit teksi secara besar-besaran kepada syarikat teksi yang kebanyakannya dimiliki kroni Umno. Sebaliknya, permit teksi akan diberikan terus kepada pemandu teksi secara individu. Bercakap lebih lanjut, Anwar berkata, pemandu teksi mengambil sikap untuk mengadu kepada pimpinan Pakatan Rakyat kerana masalah mereka selama ini tidak pernah dipedulikan pimpinan Umno-BN. Sebaliknya, Anwar menegaskan Pakatan akan menyelesaikan masalah pemandu teksi dengan segera sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya. "Pakatan Rakyat bersetuju membuat penilaian semula dan pendekatan baru bukan sahaja daripada segi permit teksi kepada pemandu tetapi juga peluang pinjaman, pengurusan teksi, dan memastikan mutu kenderaan yang lebih baik," kata Anwar. |
Pakatan Rakyat kemuka Belanjawan 2012 Posted: 03 Aug 2011 12:20 AM PDT Oleh: Ahmad Fadli
KUALA LUMPUR: Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk mengemukakan Belanjawan 2012 yang dijangka dibentangkan Oktober nanti. Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, belanjawan itu untuk memberi peluang kepada rakyat dan sektor perniagaan menilai pendekatan ekonomi Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional. "Belanjawan 2011 oleh Pakatan Rakyat adalah satu lagi dokumen ekonomi yang memberi peluang kepada rakyat dan sektor niagawan menilai sendiri perbezaan pendekatan ekonomi yang akan diambil Pakatan Rakyat sekiranya ia berkuasa kelak," kata Anwar ketika sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Keputusan itu dicapai selepas Rundingan Ekonomi Buku Jingga yang pertama melibatkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, ahli ekonomi, penganalisa pasaran dari bank dan firma kewangan, pimpinan kesatuan sekerja dan juga wakil dari persatuan penguna. Turut hadir pada sidang media berkenaan, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz dan pimpinan Pakatan Rakyat. Menurut Anwar, pandangan semua pihak yang terlibat hari ini akan digarap dalam Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat nanti. Beliau turut membayangkan kemungkinan sistem permit dan dasar-dasar ekonomi Barisan Nasional yang ketinggalan zaman akan dikaji semula. "Pakatan Rakyat percaya bahawa kos sara hidup yang tinggi hari ini adalah akibat dasar-dasar Barisan Nasional yang mewujudkan monopoli dan ketinggalan zaman. "Ada keperluan mendesak agar sistem permit terutamanya yang bersabit import barang keperluan utama dikaji keseluruhannya kerana ia meningkatkan harga barangan yang menekan rakyat," kata Anwar. Pada masa yang sama, Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat itu akan turut menumpukan kepada usaha untuk menurunkan harga petrol dan diesel yang tinggi. "PR berpendapat harga petrol dan diesel yang tinggi di Malaysia adalah akibat perancangan guna tenaga yang lemah. "Malaysia dilaporkan masih menggunakan 70 peratus dari minyak mentahnya yang bergred tinggi dan mahal untuk diproses bagi kegunaan domestik. "Oleh kerana itu, PR yakin harga petrol dan diesel boleh diturunkan segera melalui perancangan guna tenaga munasabah," kata Anwar. |
Pemandu teksi sambut baik hasrat Pakatan Posted: 03 Aug 2011 12:10 AM PDT KEADILAN DAILY Oleh: Nabihah hamid
KUALA LUMPUR: Hasrat Pakatan Rakyat meluluskan sepuluh tuntutan bagi memperbaiki taraf hidup pemandu teksi, termasuk menghentikan pemberian permit kepada syarikat, disambut baik kalangan pemandu kenderaan komersil itu. Keadilandaily membuat tinjauan di sekitar Kuala Lumpur untuk mendapat reaksi mereka dan mendapati rata-ratanya mengharapkan nasib mereka terbela sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13 kelak. Saravanan A/L R.Sevaraju 43, ketika ditemui menyatakan ketidakpuasan hatinya dengan kadar sewa yang dikenakan sesebuah syarikat teksi sehingga mencapai RM50 sehari. Ia katanya lebih merumitkan apabila kadar sewa mingguan gagal dijelaskan, menyebabkan kereta mereka ditarik balik oleh syarikat. "Kalau dah kena tarik, lagi susah saya nak cari duit. Lagipun kalau keluar dari pukul 6 pagi sampai 8 malam belum tentu saya dapat RM 100 ". "Bawa teksi bukan dapat banyak untung kerana sekarang terlalu banyak persaingan dengan pengangkutan awam lagi, masa pun habis dalam jalan yang sesak," katanya meluahkan kekecewaan. Begitu juga dengan Nasarudin Mohd 50, menyokong baik tindakan Pakatan untuk menghentikan permit kepada syarikat bagi memperbaiki taraf hidup pemandu teksi. "Penindasan ini berlaku secara berleluasa jika permit terus diberi kepada syarikat. Lagipun untuk mendapatkan permit ianya sangat terhad. Tiga tahun sekali kadang-kadang baru dibuka," katanya. Manakala Kathirevan A/L M.Sinathamby 38, juga agak emosional apabila memperkatakan status sebagai pemandu teksi yang sukar membuat permohonan pinjaman bank. "Kita tiada penyata caruman kumpulan wang simpanan pekerja (EPF), sukar untuk kita mohon pembelian rumah dan kereta," katanya. Oleh itu beliau menyambut baik agar tuntutan untuk merangka skim insurans dan skim pinjaman perumahan persendirian khas bagi golongan pemandu teksi. Phoon Seet Wah yang telah lebih 10 tahun memandu teksi pula berkata masalah harga barang dan ekonomi yang tidak kukuh menyukarkannya untuk mencari rezeki. "Saya berharap jika Pakatan memerintah, ekonomi dapat dikukuhkan sepenuhnya, perkara yang membela nasib rakyat perlu dilaksanakan," katanya. "Konsep ekonomi yang diamalkan oleh UMNO iaitu mementingkan kroni dan kebajikan VIP tidak boleh dibiarkan berleluasa lagi," Beliau yang ketika ditemui wartawan berkata tidak akan memberikan kerjasama sekiranya dari Utusan Malaysia, sempat bergurau sewaktu jurugambar ingin merakam gambarnya. "Saya takkan kena ISA kan?" katanya dengan gelak kecil. |
Peguam pohon sapina heret Najib, Rosmah ke mahkamah Posted: 03 Aug 2011 12:09 AM PDT Oleh: Ahmad Fadli
KUALA LUMPUR: Pasukan peguam bela Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon mahkamah untuk mengeluarkan perintah sapina agar lima saksi penting hadir ke perbicaraan Fitnah II. Lima saksi itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, dan pemilik kondominium Desa Damansara, Haji Hasanuddin Abdul Hamid. Permohonan itu dibuat kerana empat daripada mereka, kecuali Hasanudin enggan hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dan hanya akan hadir jika disapina. Manakala Hasanudin pula berkata akan hadir jika ditemani peguam. Peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar berkata semua mereka perlu dipanggil ke mahkamah kerana mereka merupakan saksi penting perbicaraan kerana turut ditemubual oleh polis sewaktu siasatan kes Fitnah II berlangsung. "Mereka saksi yang penting. Apabila pendakwa raya mengemukakan mereka sebagai saksi, maka pendakwa raya perlu membawa saksi tersebut ke mahkamah untuk menjadi saksi perbicaraan. "Hakikat bahawa kenyataan ada diambil daripada mereka sewaktu siasatan, menunjukkan mereka saksi yang penting," kata Karpal di dalam mahkamah. Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan Isnin 8 Ogos sebagai tarikh untuk beliau memberikan keputusan samada kelima-lima individu itu disapina ke mahkamah. Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair yang ditemui di luar mahkamah pula berpendapat walaupun perintah sapina dikeluarkan, Najib dan Rosmah mungkin akan bertindak untuk mengenepikan perintah itu seperti dilakukan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam kes Fitnah pertama dahulu. "Mereka boleh mohon untuk mengenepikan sapina itu. Dalam kes dahulu, Tun Mahathir, (Bekas Menteri Kewangan) Tun Daim (Zainuddin), dan (bekas Menteri Dalam Negeri)(Tan Sri) Megat Junid (Megat Ayub), kesemua mereka memohon untuk mengenepikan perintah sapina itu. "Untuk Mahathir yang merupakan PM pada masa itu, Peguam Negara merayu (agar beliau tidak perlu ke mahkamah). Yang lain mereka ambil peguam sendiri. Mereka dakwa mereka bukan saksi penting jadi mahkamah perlu ketepikan perintah sapina itu," kata Sankara. Beliau turut membidas hujah Pendakwa Raya Datuk Mohd Yusoff Zainal Abiden yang berhujah saksi-saksi yang diminta itu tidak perlu hadir kerana mereka bukan saksi yang penting. Menurutnya, kes sekarang sudah memasuki peringkat pembelaan maka keputusan samada saksi yang perlu hadir atau tidak itu terletak di tangan peguam bela. "Bukan dia yang tentukan samada saksi-saksi itu penting atau pun tidak. Perdana Menteri dan isterinya saksi yang sangat penting. Mereka dah nyatakan tidak mahu hadir ke mahkamah kecuali mereka disapina. "Ada surat daripada polis bertarikh 18 Julai daripada polis. Ada empat orang menyatakan tidak akan hadir kecuali jika mereka disapina. Najib, Rosmah, Rodwan dan Musa. Hasanuddin pula berkata beliau akan hadir jika ditemani peguamnya," kata Sankara. |
1,100 penduduk tetap dalam daftar pemilih di Selangor Posted: 03 Aug 2011 12:06 AM PDT KEADILAN DAILY KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas mendakwa di Selangor sahaja, terdapat 1100 nama penduduk tetap (PR) yang dikesan telah dimasukkan ke dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan berkata demikian, susulan pendedahan Malaysiakini semalam yang berjaya mengesan kewujudan seorang penduduk tetap bernama Mismah yang didaftarkan sebagai pemilih berdaftar dalam laman web SPR. Bagaimanapun laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menukar status Mismah dari penduduk tetap kepada warganegara kira-kira dua jam selepas perkara itu didedahkan. "Di Selangor ada lebih kurang 1100 nama penduduk tetap (PR) ini sedang dibantah oleh pihak PAS Negeri dan PAS negeri-negeri lain juga diharapkan dapat meneruskan bantahan yang serupa," kata Mohd Sany. Pihaknya memberikan amaran supaya JPN menghentikan perbuatan memberikan taraf warganegara kepada penduduk tetap, sekaligus disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada negara. Katanya, pihaknya mengambil tindakan lebih tegas termasuk membuat laporan polis di seluruh negeri, menghantar memorandum kepada Suhakam, pihak Kementerian dan juga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Semalam, PAS Wilayah Persekutuan turut mendakwa mengesan 52 kes penduduk tetap yang disenarai sebagai pengundi ketika mengemukakan bantahan kepada SPR Wilayah Persekutuan. Sama seperti Malaysiakini, setiausaha PAS kawasan Titiwangsa, Hedzer Ibrahim berkata pada jam 3 petang, 52 penduduk tetap tersebut telah dikategorikan sebagai warganegara Malaysia. |
Status PR: Pakatan desak sidang parlimen tergempar Posted: 03 Aug 2011 12:02 AM PDT KEADILAN DAILY PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membincangkan isu berhubung sistem keselamatan negara. Ini kerana pendedahan media semalam mengenai pendaftaran pemegang kad pengenalan bertaraf penduduk tetap (PR) kepada warganegara dalam tempoh sehari. Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Pakatan Rakyat akan menghantar surat kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi membincangkan isu itu di parlimen, kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara. ""Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri dalam 2-3 hari ini.Kami mendapat bukti ini melalui laman web Jabatan Pendaftaran Negara sendiri. "Bagaimana seseorang itu boleh menjadi warganegara dalam masa dua jam?" katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini. Turut bersama Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli, dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong mewakili DAP. Berita Lanjut menyusul |
PR Jadi Pengundi : SPR Kata Kesilapan Teknikal Posted: 02 Aug 2011 11:55 PM PDT TVS NEWS KUALA LUMPUR : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof memberitahu berlakunya kesilapan akibat kecuaian teknikal Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga menyebabkan seorang penduduk tetap (PR) didaftarkan menjadi pengundi. Dalam Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Malaysiakini, Aziz menafikan bahawa ada PR yang diberi peluang mengundi pada pilihan raya akan datang. "Saya fikir senarai nama PR di laman web JPN adalah senarai lama yang belum dikemaskini," katanya. Menurut Aziz, hanya rakyat Malaysia yang boleh memohon untuk mendaftar sebagai pengundi. "PR tidak dibenarkan kecuali Kementerian Dalam Negeri meluluskan permohonan mereka sebagai rakyat Malaysia. Jika tidak permohonan mereka sebagai pengundi secara automatik akan ditolak oleh sistem saringan SPR selepas menyemak status mereka dengan sistem JPN - Agency Link Up System (Alis)," katanya. Namun, kata Aziz SPR akan mempamerkan daftar pemilih tambahan yang dikeluarkan setiap empat bulan untuk tatapan umum selama seminggu. "Pengundi di kawasan itu boleh membantah (jika mendapati ada penyelewengan)," katanya. Abdul Aziz mengulas kontroversi di mana terdapat dakwaan bahawa penduduk tetap didaftarkan sebagai pengundi dan nama mereka tersenarai pada daftar pemilih tambahan yang baru. Status penduduk tetap itu kemudiannya 'dinaik-taraf' sebagai warganegara dalam beberapa jam, mengikut sistem pengesahan online JPN. Semalam portal Malaysiakini melaporkan, seorang yang bernama Mismah yang pada asalnya mempunyai status PR dan memegang kad MyPR merah telah didaftarkan sebagai pengundi baru. Menurut portal itu, semakan pada sistem pengesahan dalam talian JPN sebanyak dua kali - pada jam 5.48 petang kelmarin dan 11.30 pagi semalam - menunjukkan nama Mismah adalah berstatus PR yang telah mengambil kad MyPRnya (No 640704715238), kad pengenalan bagi PR. Apabila nombor yang sama dimasukkan ke dalam sistem pengesahan dalam talian SPR, Mismah yang sama adalah pengundi berdaftar yang baru. Bagaimanapun, satu lagi semakan dengan sistem JPN pada jam 3 petang semalam menunjukkan hasil yang mengejutkan - Mismah telah menjadi warganegara dengan Mykad biru. Statusnya pada sistem pengesahan dalam talian SPR kekal sama pada jam 3 petang - pengundi yang baru berdaftar dalam senarai daftar tambahan pemilih yang dipamerkan oleh semakan umum. |
MyPR-MyKad :PAS Tuntut Penjelasan SPR, JPN Posted: 02 Aug 2011 11:51 PM PDT Ditulis oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz SHAH ALAM : PAS hari ini menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan penjelasan berhubung pendedahan pengenalan diri seorang bernama Mismah yang asalnya berstatus penduduk tetap (PR) namun berubah kepada warganegara dalam tempoh sehari. "JPN memang terlibat sekali dalam hal ini sebab itu kita menolak sekeras-kerasnya biometrik, JPN dan SPR memang memainkan peranan dan ia juga telah dibuat di Terengganu dulu,"tambah beliau lagi. |
25 Orang Ditangkap Tidak Berpuasa Di Sarawak Setakat Semalam Posted: 02 Aug 2011 11:50 PM PDT TVS NEWS KUCHING : Kerajaan negeri bersedia untuk meminda Seksyen 14 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada orang Islam yang ditangkap tidak berpuasa berikutan jumlah tangkapan yang meningkat setiap tahun. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji kemungkinan memperkenalkan hukuman khidmat masyarakat kepada pesalah atau meningkatkan lagi jumlah denda atau tempoh penjara, lapor Bernama Online. "Baru dua hari bulan Ramadan, sudah 25 orang ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS). Angka ini amat menakutkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Tabung Baitulmal Sarawak bernilai RM51,286 kepada 35 orang penerima di sini hari ini. Daud yang juga Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Waqaf Sarawak berkata buat masa ini salah satu tindakan yang bakal diambil ialah dengan mendedahkan identiti pesalah di media massa selepas mereka disabitkan kesalahan, sebagai kaedah untuk mendidik pesalah berkenaan. Di bawah Seksyen 14, umat Islam yang disabitkan bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua sekali dan jika disabitkan buat kali kedua boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali. |
PSM 6 Didakwa, Mohon Dibicarakan Posted: 02 Aug 2011 11:48 PM PDT TVS NEWS BUTTERWORTH : Enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dibebaskan daripada tahanan mengikut Ordinan Darurat minggu lalu telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki dokumen subversif. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan ataupun pertuduhan pilihan Seksyen 48 (1) akta yang sama. Aktivis yang dikenali sebagai 'PSM 6' itu juga menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 29(1) Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) kerana didakwa memiliki dokumen 'subversif'. Dalam penghakimannya, Kamal Hisham Mohd Tajuddin menetapkan denda RM8,000 setiap seorang sementara perbicaraan kes bermula 10 hingga 14 Oktober depan. Keenam-enam mereka adalah ahli parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj dan aktivis PSM yang lain iaitu Choo Chon Kai, Sarat Babu, M Sarasvathy, M Sukumaran, serta A Letchumanan. Mereka akan dibicarakan bersama 24 aktivis PSM lain yang telah didakwa sebelum ini. Menurut peruntukan Seksyen 48, mana-mana orang yang didapati bertindak bagi pihak ataupun mewakili sesebuah pertubuhan haram dengan membawa bersama mereka 600 salinan risalah boleh dihukum maksimun lima tahun penjara ataupun denda RM5,000, atau kedua-duanya. Sementara Seksyen 43 pula memperuntukkan seseorang yang menjadi ahli, menghadiri mesyuarat atau membantu sebuah pertubuhan haram boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau didenda RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Tuduhan yang sama juga dikenakan ke atas 24 aktivis lain yang dithana di Sungai Dua, Pulau Pinang ketika dalam perjalanan ke program jelajah 'Udah Bersaralah' pada 25 Jun lalu. Semua 30 aktivis itu pada mulanya dituduh cuba melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong tetapi ia kemudiannya digugurkan. Mereka didakwa pula menjadi ancaman kepada kenteteraman awam. Polis kemudian mendakwa keenam-enamnya ditahan kerana "peranan utama" mereka pada perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu. Semua mereka dibebaskan pada 29 Julai. |
MB Cadang Pusat Contohi Pengurusan Ekonomi Selangor Posted: 02 Aug 2011 11:43 PM PDT Ditulis oleh Hadri Yaziz SHAH ALAM : Pakatan Rakyat mencadangkan agar kerajaan persekutuan mencontohi pendekatan ekonomi yang dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang sekiranya berhasrat mengurangkan defisit belanjawan negara. Mengambil contoh negeri Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, negeri itu tidak mencatatkan sebarang defisit berikutan jumlah hutang yang berjaya dikurangkan selain membelanjakan keuntungan yang diperoleh daripada syarikat-syarikat kerajaan negeri untuk kebajikan rakyat. Khalid yang ditemui pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak telah mula mencontohi corak perbelanjaan yang digunapakai negeri Selangor. Namun beliau menasihati agar perbelanjaan diuruskan dengan cara lebih berhemah selain mengurangkan penggunaan wang pembayar cukai. Beliau mengulangi kejayaan negeri itu memungut semula keuntungan daripada operasi pasir yang mencatatkan keuntungan sehingga RM40 juta setahun. Manakala 25 peratus hasil tersebut menurut Khalid telah diperuntukkan pada satu program warga emas dengan harapan dapat memberi kelebihan dalam bentuk kewangan kepada golongan itu. "Saya lihat kerajaan persekutuan telah mula meniru sesuatu perkara yang sama. Tapi saya mahu minta kerajaan pusat jangan gunakan duit daripada pembayar cukai. Cari syarikat-syarikat yang untung dan buat program ini. "Jadi tidak perlu membebankan lagi sebab belanjawan kerajaan persekutuan sangat tinggi defisitnya," katanya selepas menghadiri rundingan ekonomi Buku Jingga bersama Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak turut mengungkapkan kejayaan negeri mencatat lebihan RM200 juta setahun berdasarkan tata kelola yang baik selain menguruskan perbelanjaan mengikut keperluan. Ini termasuk dana-dana yang dikutip daripada hutang tidak berbayar pemerintahan Umno-Barisan Nasional (B) terdahulu untuk disalurkan kepada skim-skim yang diperkenalkan. Katanya perkara tersebut secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat merasai sebahagian daripada keuntungan hasil negeri dalam bentuk fizikal. Kerajaan pimpinan Najib sebelum ini mensasarkan hasrat mengurangkan defisit belanjawan negara kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2015. Namun kontradik dengan hasrat itu Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat dalam kenyataannya sebelum ini membayangkan rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih daripada harga kos setiap jenis makanan jika dibandingkan dengan tahun 2005 pada akhir tahun ini. Unjuran tersebut dicongak berdasarkan lonjakan kadar harga makanan bagi empat bulan pertama tahun 2011 iaitu 4.9 peratus. Sedangkan menurut beliau purata kenaikan upah negara hanya mencecah 2.6 peratus dari tahun 2001 hingga 2010. Buat julung kalinya Pakatan Rakyat akan membentangkan cadangan Belanjawan 2012 pada Oktober nanti untuk memberi ruang kepada rakyat membandingkannya dengan pendekatan kerajaan Najib Razak. |
PR Tak Akan Contohi Umno-BN - Anwar Posted: 02 Aug 2011 11:42 PM PDT Ditulis oleh Hadri Yaziz SHAH ALAM : Pakatan Rakyat tidak berhasrat untuk mengambil pendekatan sama dengan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam cadangan Belanjawan 2012 yang bakal dibentangkan gagasan itu Oktober nanti. Ketua Umum yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin tawaran RM100 ribu kepada setiap ahli parlimen Umno-BN menjelang pilihan raya umum akan datang tidak akan mengubah pendirian rakyat dalam menuntut sistem yang lebih telus. "Setakat ini kita akan terus dengan kerja kita. Kita tidak akan terbawa-bawa dengan pendekatan Umno-BN. Mereka sudah belanja kepada ahli parlimen berjuta, RM100 ribu tidak akan mengubah sikap pengundi kerana mood sekarang adalah untuk merubah sistem yang rasuah," kata beliau selepas mempengerusikan rundingan ekonomi Buku Jingga di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, semalam. Mesyuarat yang turut disertai pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, penganalisis ekonomi dan akademik, sektor swasta, wakil kesatuan pekerja dan persatuan pengguna itu tadi memberi jaminan bahawa belanjawan yang dicadangkan itu nanti mampu meringankan beban rakyat. Antara lain jelas Anwar, belanjawan yang akan dibentangkan itu secara khusus akan meningkatkan keupayaan untuk mengasingkan diri dengan sistem monopoli oleh kerajaan Umno-BN. "Fokus kita lebih banyak kepada dasar nasional kerana ianya Belanjawan 2012 dan belanjawan negara. Secara spesifiknya kita memberitahu bagaimana kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada sistem monopoli yang ada sekarang," ujar beliau lagi. Malah beliau menyifatkan usaha tersebut mampu memberi ruang bagi rakyat untuk menilai keberkesanan pendekatan ekonomi yang akan diunjurkan Pakatan Rakyat berbanding kerajaan Umno-BN. Menyentuh isu subsidi, Anwar berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan menilai pemberian subsidi yang seharusnya diberikan secara langsung kepada rakyat dan bukan diberikan kepada syarikat-syarikat berkepentingan. Beliau mengambil contoh mekanisma yang disarankan di dalam Buku Jingga mengenai pemberian subsidi kepada konsesi lebuhraya yang dengan sendirinya akan mengurangkan kos pengguna jika ianya diselenggara dengan betul. |
Konspirasi Ke-2 : Keputusan Temubual 15 Saksi Diketahui 8 Ogos Posted: 02 Aug 2011 11:39 PM PDT Ditulis oleh ZeanaAima KUALA LUMPUR : Permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemubual 15 saksi bagi melengkapkan hujah pembelaannya sebelum memberikan keterangan membela diri, akan diketahui 8 Ogos depan. Semalam, Anwar mengemukakan permohonan untuk menambah senarai 10 nama saksi pembelaan yang difailkan pada 26 Julai lalu. Anwar dalam permohonan itu menyatakan bahawa mengikut undang- undang, adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk memastikan mereka mengemukakan kesemua saksi untuk ditemu bual pihak pembelaan dan semua kos ditanggung pihak pendakwaan. Notis permohonan itu menamakan beberapa individu berprofil tinggi untuk ditemubual termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Mohamad Ariff Abdul Kareem dan ketua pegawai operasi Bursa Saham Malaysia Omar Malek Ali Merican. Turut dinamakan dalam senarai notis itu adalah, pemilik unit kondominium dimana kejadian itu didakwa berlaku, Hasanuddin Abd Hamid, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof. Setakat ini, pihak pembelaan telah menemubual lima saksi terdiri bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, bekas pegawai perubatan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Mohd Osman Abdul Hamid, adik perempuan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur dikenali Dr Daniel, dan pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof. Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008 di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, No 99, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat. Pihak pembelaan sebelum ini memohon agar mahkamah mengguggurkan kes ini berikutan Saiful dikesan beberapa kali memberikan kenyataan bercanggah semasa soal balas berlangsung. Namun, Hakim Datuk Mahkamah Tinggi, Datuk Zabidin Mohd Diah berpandangan Saiful adalah saksi yang boleh dipercayai sekaligus menolak permohonan gugur kes tersebut. |
Surat terbuka kepada PM: Tidak bermoral kalau PRU diadakan sebelum reformasi p/raya dilaksana Posted: 02 Aug 2011 11:36 PM PDT Surat terbuka kepada,Perdana Menteri Malaysia, YAB Mohd Najib bin Abdul Razak |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan