Rabu, 10 Ogos 2011

.

.


Polimek Tengahari

Posted: 09 Aug 2011 10:00 PM PDT

Biara Buddha Pula Buat Majlis Berbuka Puasa

Seorang penjenguk blog Merah Tinta yang mengaku dirinya buta meminta pandangan berhubung dengan satu majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Biara Buddha Brickfields pada 20 Ogos ini.

Menurut OKU ini seramai 200 orang buta yang tinggal di asrama orang buta di Brickfields dijemput ke majlis berkenaan. Katanya mereka akan diangkut dengan sebuah bas.

Majlis itu selain dari tujuan kebajikan memberi umat Islam berbuka puasa ia adalah untuk kempen menderma mata. Penjenguk ini memberi tahu dia memperolehi berita ini dari gorup news, rangkaian berita yang diwujudkan oleh kalangan OKU lihat penglihatan.

Penjenguk ini menjadi sedikit sangsi ekoran apa yang berlaku di gereja Methodist di Damanarasa Utara itu yang menjadi hebuh ketika ini. Dilaporkan 12 orang Islam (Melayu) hadir pada majlis makan malam di gereja berkenaan.

Saya tidak mempunyai autoriti untuk menentukan apakah majlis di Biara Buddha ini harus atau haram dihadiri oleh pengnut agama Islam. Tetapi kalau dilihat kepada tujuan ialah untuk kepentingan orang buta - kempen derma mata, ia baik dan tidak menjadi masalah.

Lagi pun seperti dijelaskan makanan yang disajikan adalah halal.

Dalam pada itu adalah elok kalau umat Islam menjaga kehormatan diri mereka sebagai orang Islam. Walaupun hadir di rumah ibadat agama lain itu tidak menjadi kesalahan tetapi dalam konteks majlis itu dianjurkan ia mendatangkan sedikit rasa aib kepada agama Islam dan umatnya.

Nampak sedikit canggung apabila umat Islam melakukan ibadat agamanya (berbuka puasa) di rumah ibadat agama lain bukannya surau atau masjid. Adalah baik kalau aktiviti itu diadakan di surau atau masjid. Tidakkah dengan meninggalkan surau dan masjid dan pergi ke Biara Buddha itu kita boleh dianggap cuba menyepikan masjid.

Mungkin ada ustaz dan ulama khasnya dari Pas dan Umno untuk menjelaskan masalah dihadapi oleh saudara kita ini. Apa-apa panduan dan pandangan biarlah berasaskan dan bersendikan asas agama bukannya emosi dan politik. [ttdi.kl.1:12 t/hari 10/08/11]

Susupan Pagi

Posted: 09 Aug 2011 08:41 PM PDT

Najib, Rosmah Dan Musa
Tidak Akan Bertentangan Mata Dengan Anwar?

Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor serta bekas Ketua Polis Negara, Musa Hasan tidak mungkin akan bertentangan mata dengan Anwar Ibrahim di mahkamah. Walaupun mereka disenaraikan 15 saksi yang boleh digunakan untuk Anwar dalam membela dirinya namun ketiga individu ini tidak akan hadir.

Mereka akan menggunakan apa saja helah untuk tidak bertentangan dengan Anwar. Pertemuan di mahkamah bukan sama dengan pertemuan di lain-lain tempat termasuk di Parlimen atau pun di kediaman di antara mereka.

Musa Hasan pula yang akan berbuat tindakan yang sama. Walaupun pihak Anwar boleh mengemukakan spina tetapi mereka boleh untuk tidak akur kepada spina itu. Kuasa eksekutif sebagai PM yang dianggap sebagai tidak berlaku dalam mahkamah tetap akan berlaku.

Rosmah pula kalau suaminya tidak hadir beliau juga tidak akan hadir.

Hadir atau tidak itu urusan mereka bertiga. Tetapi Anwar sudah mendapat seidkit modal dengan ketidakanhadiran itu pihaknya akan menganggap perbicaraan itu tidak lengkap kerana mereka gagal mengemukakan saksi yang dipohon dari pihak penakwa. Jadi kalau Anwar didapati bersalah alasan antaranya kerana ketidakhadiran mereka bertiga.

Semalam soal jawab terhadap seorang saksi bekas Ketua Polis Melaka Ridhuan terganggu apabila pendakwa membantah kehadiran Anwar didalam sessi soal jawab berkenaan. Pihak pendakwa tidak mahu Anwar ada sama semasa soaljawab itu diadakan. Ridhuan adalah pegawai polis yang menjadi ketua penyiasatan dalam kes Anwar sebelum ini.

Bantahan itu menyebabkan soal jawab itu dibatalkan.

Bantahan oleh pihak pendakwa itu menyebabkan perbicaraan terganggu. Hari ini peguam pembela mendapat kebenaran Hakim yang membenarkan Anwar hadir dalam sessi soal jawab terhadap saksi-saksi yang disenaraikan.

Gangguan atau bantahan oleh pendakwa itu anihnya tidak pula dikritik oleh para pemakai loceng dileher dari pihak sebelah sana. Hari ini sudah masuk puasa hari ke-10. [ttdi.11:50 am 10/09/11]

Susupan Petang

Posted: 09 Aug 2011 03:17 AM PDT

Pas Tidak Perlu Jumpa Jais, Gereja

Parti Islam SeMalaysia (Pas) telah mengutus surat kepada Jais dan gereja Methodist Damansara Utama untuk berjumpa bagi mendapat penjelasan berhubung kejadian 'masuk tanpa diundang' oleh Jais ke gereja itu beberapa hari lalu. Surat untuk tujuan itu telah pun dihantar oleh Pas. Tarikh untuk bertemu dengan Jais ialah pada 15 Ogos manakala dengan gereja pada 16 Ogos.

Tujuan pertemuan itu menurut Setiausaha Agung Pas, Mustapa Ali ialah berhubung isu yang timbul sekarang ini. Pas nampaknya mengambil peranan untuk menjernihkan suasana. Peranan Pas itu memang pantas tetapi apakah dalam isu itu ia relevan?

Maaflah bagi saya rasanya tidak perlu untuk Pas mengambil peranan dan membuat pertemuan itu. Sebabnya mudah saja, isu itu sensitif dan ia bukan isu asal Pas walaupun ada kepentingan dengan umat dan negara ini. Pas pula gerakan politik Islam bukan gerakan Islam konvensional.

Kerana isu itu sudah 'dipolit' menjadi isu politik saya bimbang langkah Pas itu akan berbidas ke mukanya. Kata orang untung tak seberapa malu dan sakit pula yang diperolehi.

Sebelum ini sudah banyak pihak yang bercakap mengenai perkara itu baik atas nama peribadi sebagai seorang Islam, politician maupun penganut agama atau atas nama persatuan. Nadanya pro kontra dan menyebabkan ada ulasan dan komen itu berpihak dan ia mula menjadi polimek pula. Polimek itu bukan membawa kepada kekenduran tetapi menjadi lebih tegang.

Kerana telah timbul keadaan itulah saya bimbang bila Pas turut meminta penjelasannya akhirnya Pas terpaksa melakukan sesuatu yang boleh membebankan diri sendiri. Sebenarnya Pas tidak payah mendapat penjelasan baik dari Jais ataupun gereja. Bagi uruskan soal Jais, Pas serahkan kepada kepada Hasan Ali. Hasan adalah Exco dan dia adalah orang Pas. Pas boleh mendapat penjelasan daripada Hasan Ali dan mempercayai apa yang diperolehinya.

Saya sudah katakan isu itu bukan isu Pas. Ia isu semua orang khasnya isu Jais dan gereja berkenaan. Kalau benar dakwaan Jais ada aktiviti mengkristiankan Melayu, tanggungjawab membenterasnya bukan saja satu-satu pihak tetapi semua pihak. Saya tenguk dalam hal ini tidak semua memberi reaksi kepada isu berkenaan. Umno sebagai parti terbesar dan mengaku parti Islam nombor dua di dunia juga diam membisu. Begitu juga dengan rakan Pas dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP tidak bersuara dan mereka tidak sesrius Pas untuk memain peranan.

Jangan pula kesungguhan Pas itu untuk menunjukkan dia parti dinamik! Kalau terlebih aji no moto pula susah juga nanti.

Jadi usahlah Pas memandai-mandai untuk mencari masalah. Apa juga ulasan Pas setelah mendapat penjelasan itu ia akan dilihat serong baik oleh lawan maupun oleh Islam dan Kristian. Kalau Pas memberi simpati kepada gereja dan menganggap masuk tanpa izin itu salah, orang Melayu akan marah kepada Pas. Sebalik begitu juga kalau Pas memberi kenyataan memuji Jais orang Kristian akan berkecil hati.

Jalan sebaiknya Pas mendiamkan diri dan jangan ada apa-apa ulasan dan pandangan. Rasanya tidak berdosa kalau Pas tidak mengambil peranan itu, atas maslahat politik dan agama dan juga bangsa.

Peristiwa sebelum ini patut direnung oleh Pas. Bagaimana perasaan orang Melayu dan Islam bila mana Mursyidul Am dan Presiden Pas pergi ke gereja dan menghulurkan bantuan bila gereja dibakar? Pas mungkin ikhlas dan suci hati tetapi ingatlah keikhlasan itu kadang kala tidak ada nilai dalam politik sekular.

Niat itu baik sebagai sesama insan dan toleran beragama. Tetapi apa kesan. Iya Pas mendapat perhatian dan pujian dari penganut Kristian tetapi dalam masa sama Pas juga mendapat kejian dari sesetengah penganut Islam. Apa yang kena faham, apa juga bantuan, derama dan nawaitu bila ia dilakukan dalam baju politik ia akan disuluh dari mentol politik. Apa lagi sekarang ini bersepak macam kacang butir jatuh ke tanah para NGO yang semuanya mendabik dada memperjuangkan Islam dan Melayu.

NGO inilah nanti akan menjadi macam angsa terlihat biawak akan membuangkan suaranya menempikkan ke arah Pas.

Saya sudah memesan kepada seorang pemimpin tertinggi Pas supaya menjaga hal ini. Pas jangan begitu jauh terlagak dalam usaha untuk mendamaikan keadaan. Entah pemimpin berkenaan sampaikan atau tidak. Tetapi bila Pas telah mencadang untuk menemui Jais dan gereja itu mungkin pesanan itu tidak sampai, ataupun diabaikan.

Pada saya, orang tidak akan menuduh Pas tidak bertanggungjawab kalaupun Pas tidak mengambil peranan dalam isu berkenaan. Orang sudah faham dengan kedudukan Pas dan perjuangannya. Sebaliknya kalau tidak kena cara dan kaedah tindakan Pas itu akan memakan diri sendiri. Makanya sekali lagi dikatakan elok kalau Pas batalkan saja untuk bertemu dengan Jais dan gereja secara rasmi. Pas tunggu sajalah laporan Jais dan denganlah penjelasan Exco Selangor yang juga ahli Pas itu, Hasan Ali.

Cara itu lebih afdal dan lebih selamat buat Pas. [wm.kl.6:13 pm 09/08/11]

Tiada ulasan: