Sabtu, 13 Ogos 2011

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Yang mengganas di London ialah perusuh, yang mengganas di Malaysia ialah polis!

Posted: 12 Aug 2011 11:54 PM PDT



Percubaan pemimpin BN dan Umno termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan sepupunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menyamakan rusuhan di United Kingdom dengan himpunan aman BERSIH 2.0 di Malaysia tidak masuk akal, kata setiausaha organisasi DAP Teresa Kok.

"Yang mengganas di London adalah perusuh, sebaliknya yang bertindak ganas di Malaysia sewaktu perhimpunan aman BERSIH 2.0 adalah pihak polis.

"Di Kuala Lumpur, perhimpunan aman BERSIH 2.0 mempunyai matlamat yang jelas dan telah dianjurkan secara terancang.

"Agenda, tarikh dan waktu bersurai telah dinyatakan secara terus-terang buat pengetahuan pihak kerajaan, polis, media dan orang awam dari awal-awal lagi.," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sebaliknya, menurut Kok rusuhan di London itu berlaku secara rambang tanpa sebarang agenda yang jelas atau spesifik melainkan menimbulkan kekacauan dan keganasan.

"Oleh itu kenyataan Hishammudin bahawa rakyat Malaysia harus bersyukur dan berterima kasih kepada pihak polis kerana perhimpunan aman BERSIH 2.0 tidak menjurus ke situasi rusuhan di UK adalah tidak munasabah.

"Ia menunjukkan bahawa beliau tidak dapat membezakan di antara perhimpunan aman BERSIH yang bermatlamat murni mencapai pilihan raya bersih dan adil berbanding rusuhan bakar dan samun yang berlaku di UK," kata Kok yang juga ahli parlimen Seputeh.

Pekakkan telinga

Katanya, beliau kesal dengan sikap Menteri Dalam Negeri itu yang masih cuba menafikan hakikat di sebalik beratus-ratusan rakaman video membuktikan polis menggunakan kekerasan keterlaluan telah dimuatnaikkan ke internet untuk tontonan ramai.

"Hishammuddin masih memekakkan telinganya terhadap kutukan keras oleh warga Malaysia dan komuniti antarabangsa dan masih menyokong tindakan polis.

"Sehingga hari ini, sebulan telah pun berlalu, Hishammuddin dan polis masih gagal membentangkan laporan keganasan polis kepada orang ramai.

"Apakah ini menunjukkan ketidakcekapan dan kelalaian Kementerian Dalam Negeri dan polis segi siasatan terhadap anggota polis sendiri?" soalnya.

Sehubungan itu, Kok meminta Hishammuddin supaya mengambil iktibar daripada cara kerajaan dan polis UK mengendalikan keadaaan rusuhan yang sebenar.

Perbezaan di UK dan KL

Kok kemudiannya menggariskan perbezaan ketara di antara rusuhan di London dan perhimpunan aman di Kuala Lumpur.

* Di UK, perniagaan dan orang awam telah disamun oleh perusuh dengan kehilangan harta-benda dianggarkan bernilai berjuta-juta sterling pound;

* Di KL, tidak ada satu pun laporan tentang kedai disamun oleh penyokong BERSIH 2.0, sebaliknya, kedai-kedai yang membuka perniagaan pada 9 Julai lalu memperolehi keuntungan berikutan kehadiran ribuan rakyat di ibu kota;

* Di UK, kereta dan bangunan telah dibakar dan dirosakkan oleh perusuh sehingga membahayakan keselamatan awam di samping kepulan asap yang menyesakkan nafas;

* Di KL, asap yang berkepul adalah daripada tembakan gas pemedih api oleh pihak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ke atas penyokong BERSIH 2.0 yang berhimpun secara aman. Gas pemedih mata dan meriam air juga ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin;

* Di UK, perusuh membawa senjata seperti pisau, batu dan "molotov cocktail" untuk mencederakan orang awam;

* Di KL, penyokong BERSIH 2.0 hanya memakai t-shirt kuning yang diharamkan oleh Hishammuddin, dan ada antara orang ramai cedera kerana gas pemedih mata;

* Di UK, perusuh secara aktif dan sengaja menyerang dan mencederakan anggota polis;

* Di KL, polis didakwa secara aktif dan sengaja telah menembak gas pemedih mata dan meriam air terhadap peserta BERSIH 2.0 yang berjalan secara aman, dan tidak pula bertindak balas apa-apa terhadap pihak polis yang bersikap agresif itu.

* Di UK, polis hanya menahan 1,000 orang walau pun rusuhan ganas telah berlanjutan selama lima hari.

* Di KL, polis Malaysia menahan lebih daripada 1,600 orang dalam tempoh tak sampai sehari hanya kerana cuba berhimpun secara aman.- malaysiakini


Lebih baik salahkan diri kita sendiri

Posted: 12 Aug 2011 11:43 PM PDT


Janganlah kita jadi gelojoh sangat mahu menuduh semborono bahawa yang membantu itu ada udang disebalik batu.Tetapi tanyalah diri kita sendiri, sanggupkah kita membantu mereka?

Tidak ada gunanya mendabik dada kononnya sanggup bertumpah darah , menyerah nyawa demi menjaga iman sesama saudara seagama sedangkan kita sendiri belum di uji atau berhadapan dengan realiti masyarakat Islam yang serba kacau ini. Antara cabaran mengendalikan rumah HIV, stigma masyarakat memang tinggi. Kita tak boleh nak salahkan masyarakat juga kerana kempen kesedaran amat kurang.

Saya bercakap tentang nasib malang pengidap HIV muslim yang disingkir oleh keluarga sendiri dan oleh masyarakat Islamnya. Mereka tidak ada tempat untuk mengadu nasib dan membawa diri berkelana. Kemana harus mereka habiskan sisa hidup yang sedang mereka lalui dalam serba serbi melarat. Adakah kita mahu menyalahkan mereka apabila mereka terpaksa menerima tawaran perlindungan dari sebuah gereja; sedangkan JAIS yang dipertanggungjawabkan tidak menghiraukan golongan seperti mereka ini.

Namun apa yang perlu kita insafi ialah bagaimana beberapa insan yang bernasib malang ini boleh diterima baik dan diberikan bantuan kemanusiaan oleh sebuah gereja . Apakah institusi agama kita tidak boleh berperanan untuk mengatasi masalah sosial seperti ini?

Hakikatnya, agama kristian juga percaya sebagaimana agama Islam bahawa setiap perbuatan yang baik itu akan dibalas dengan kebaikan juga. Dan sudah pastinya, seperti mana agama-agama lain , mereka tidak akan menghalang jika ada yang tertarik dengan sikap baik tersebut lalu mahu menganut fahaman anutan mereka.

Atas rasa kesedaran dan usaha gigih seorang ustaz yang pernah dijemput untuk menyampaikan tazkirah kepada pengidap HIV di gereja itu; pada pertengahan 2009 rumah perlindungan HIV Muslim telah berjaya ditubuhkan. Bangunannya masih dalam pembinaan dan masih memerlukan bantuan dana untuk menjayakannya.LIhat gambar atas.

Tidak ada ribut-ribut atau kekecuhan berlaku sebagaimana JAIS menyerbu gereja baru-baru ini; tetapi tindakan tersebut sangat berjaya dalam menyelamatkan aqidah beberapa orang pengidap HIV. Kepada JAIS, pertanyaan saya ialah, kalau kita sendiri yang lokek, kenapa nak marahkan mereka yang pemurah?

Kepada beberapa pihak NGO yang begitu lantang menyokong tindakan JAIS, harap mengambil tindakan pro-aktif membantu rumah perlindungan HIV ini yang masih menghadapi banyak masalah yang perlu diatasi seperti disini.

Kini telah setahun lebih penubuhannya yang mulanya adalah untuk membawa mereka keluar dari gereja.Rumah perlindungan ini menempatkan seramai 63 orang , menerima rawatan dan penjagaan. Ada yang sihat, ada yang meninggal dan ada yang masih lagi bersama.

Pada 1 Disember 2010, Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah mula mempunyai rumah untuk wanita dan penghuni wanita telah mula memenuhi rumah ini. Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, silla hubungi pengurus Darul Ukhwah, ustaz Azmi di talian 012-345 6339.

Tiada ulasan: