:: @ AL-BAKISTANI @ :: |
- NAK SOKONG JAIS ATAU TIDAK?
- SEBAB-SEBAB ORANG MENOLAK ISLAM
- SOKONG TINDAKAN JAIS BERMAKNA SOKONG USAHA BENCIKAN ISLAM?
- APA YANG KITA MAHU DARI NON MUSLIM?
Posted: 09 Aug 2011 11:10 AM PDT Penyakit HIV ini banyak terkena pada orang islam. Kebanyakkan mereka terlibat dengan dadah, kemudian menghidap penyakit yang membawa maut itu. Bukan tidak ada non muslim yang terlibat, tetapi bilangan muslim lebih ramai. Di saat mereka menunggu masa sahaja untuk meninggalkan dunia ini, golongan Islam memandang mereka seperti najis. Nasib mereka tidak terbela di pihak orang Islam. Pihak islam masih lagi mengungkap dosa-dosa lama mereka, sehingga mereka terabai. Memalukan, apabila pihak gereja memandang mereka itu dengan pandangan kasih sayang, dikala pihak umat Islam memandang mereka dengan pandangan najis. Pihak gereja menyediakan penginapan dan makan minum mereka. Sepatutnya, pihak Islam perlu kehadapan dalam perkara ini berbanding kristian. Ini kerana, Islam itu sendiri mengajar soal kebajikan yang perlu diberikan, waima terhadap orang yang pernah berdosa sekalipun. Tetapi, keadaan yang berlaku di Malaysia kini adalah sebaliknya. Maka itu adalah satu perkara yang wajib kita muhasabah sesame kita. Apabila pihak gereja mengadakan program makan malam dalam usaha mencari dana untuk menampung kewangan membiayai mereka, sudah pasti mereka yang terlibat dengan perkara ini akan turut hadir sama. Tidak ketinggalan dalam berusaha untuk ini adalah orang yang beragama Islam. Makanya, program makan malam mencari dana itu turut dihadiri oleh orang islam tersebut. Namun, sedang program di jalankan. Berlaku siasatan JAIS sehingga ia menjadi satu berita yang dibincangkan. Ia berlanjutan sehingga menjadi satu bahan yang dibincang dari sudut politik. SOKONG JAIS ATAU SEBALIKNYA? Dalam isu ini, lahir tiga golongan. Mereka adalah seperti berikut; Pertama : Golongan yang menyokong tindakan JAIS. alasan mereka, tindakan JAIS itu adalah tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada. Sebagai badan yang diberi amanah untuk menjaga aqidah umat Islam, maka tindakan JAIS itu adalah patut dan wajib disokong. Kedua : Ada dari pihak yang lain pula tidak bersetuju dengan tindakan JAIS itu. Pada mereka, sepatutnya JAIS perlu bertindak dengan tindakan yang lebih berhikmah supaya islam tidak berjaya dipropagandakan oleh kristian sebagai agama yang tidak menghormati hak non muslim dan sebagainya. Ketiga : Golongan ini adalah golongan yang tidak ambil port. Mereka mendiamkan diri, dan sekadar menunggu dan melihat apa yang bakal terjadi. PANDANGAN MEREKA Golongan Pertama : Antara hujjah yang digunakan oleh golongan yang pertama adalah seperti berikut; [1] Menjaga orang dari murtad adalah satu perkara yang wajib. Membiarkan orang murtad merupakan satu maksiat yang dosanya amat besar. Ini kerana, meredhai kemurtadan orang bermakna meredhai dengan maksiat. Makanya, apabila didapati bahawa ada orang yang hendak dimurtadkan oleh kristian, tindakan perlu dilakukan. Jadi, tindakan JAIS itu adalah bertepatan. [2] Dalam maqasid syariah, perkara utama adalah penjagaan bagi agama. Jadi tindakan JAIS itu menyelamatkan aqidah umat Islam, yang ia bersesuaian dengan maqasid syariah tersebut. Golongan kedua : Antara hujjah golongan kedua pula adalah seperti berikut; [1] Dalam Islam, dilarang melakukan serangan kepada rumah-rumah ibadat, hatta dalam peperangan sekalipun. Makanya, dalam keadaan aman, amatlah penting tidak melakukan serangan terhadap rumah ibadat non Muslim. [2] Dalam maqasid syariah, wujud penjagaan terhadap agama. Tetapi, maksud dengan penjagaan agama itu hendaklah dilihat dari sudut yang lebih luas. Ini kerana, penjagaan agama itu tidak cukup sekadar menyelamatkan orang dari murtad, tetapi menjaga imej Islam dari tercemar juga dibawah maksud penjagaan bagi agama. Dengan erti kata yang lain, tindakan JAIS itu, sedikit sebanyak telah melahirkan kecemaran pada imej agama Islam yang maha suci. Kerana, tindakan itu akan mempamerkan islam seperti agama agak ganas, walhal Islam sekali-kali tidak begitu. [3] Merujuk kepada kisah selepas sulh Al-Hudaibiyyah. Dalam perjanjian tersebut, dinyatakan bahawa orang makkah yang memeluk islam selepas perjanjian dimatrai, mereka tidak boleh masuk ke Madinah untuk berlindung dalam kerajaan tersebut. Sekiranya ada yang masuk ke Madinah juga, maka wajib kerajaan Islam menghantar balik orang itu kepada kerajaan Makkah. Selepas perjanjian Hudaibiyyah berlaku, ternyata ada seorang lelaki yang masuk islam selepas perjanjian termetrai, yang dia juga telah berada dalam kerajaan madinah. Lelaki tersebut dikenali sebagai Abu Bashir. Perkara ini diketahui oleh quraish, menyebabkan Quraish telah menghntar dua orang wakil bertemu dengan Rasulullah SAW untuk memaklumkan perkara itu. Dua lelaki tersebut adalah Al-Azhar dan Al-Akhnas bin Syuraiq As-Saqafi. Mengetahui tentang laporan dari dua wakil Quraish tersebut, Nabi SAW telah memanggil Abu Bashir dan meminta beliau pergi ke Makkah balik bersama dengan dua orang wakil Quraish tersebut. Pada peringkat awalnya, ramai dari kalangan sahabat tidak bersetuju sehingga ada sebilangan mereka menjangkakan bahawa Abu Bashir bakal dimurtadkan dan dibunuh. Memandangkan kerajaan islam telah melakukan perjanjian, maka bagi mengelak dari rosak imej islam, Nabi SAW tetap juga menyuruh Abu bashir pergi bersama dengan dua orang wakil Quraish itu pulang ke Makkah. Perkara itu terpaksa diakur oleh para sahabat dan diri Abu bashir sendiri, waima Abu Bashir sendiri dalam keadaan tidak berpuas hati. Dari sirah ini, ia membuktikan bahawa imej Islam perlu diutamakan. Ia dibawah maksud maqasid penjagaan bagi agama. [4] Golongan ini tidak menafikan bahawa memang undang-undang tidak menghalang tindakan JAIS tersebut. Tetapi, sebagai sebuah jabatan agama Islam, sudah pasti tindakan mereka perlu berhikmah. Ini kerana, jika mereka tidak berhikmah, ia akan melahirkan imej buruk pada islam itu sendiri pada mata-mata non Muslim. PENILAIAN KITA Dalam menilai perkara ini, kita timbulkan beberapa perkara. Iaitu seperti berikut; Pertama : Sekiranya kita menyokong tindakan JAIS tersebut, apakah orang yang bakal murtad (sekiranya ada), akan meyakini kembali dengan kebenaran Islam? Ataupun, mereka akan bertambah membenci Islam? Dan jika kita mengkriti tindakan JAIS itu, akan melahirkan orang yang bakal murtad itu merasakan bahawa islam adalah agama yang baik, seterusnya persepsi mereka bahawa kononnya islam ini agama buruk akan terhapus? Kedua : Sekiranya kita menyokong tindakan JAIS itu, apakah non Muslim akan merasakan betapa baiknya agama islam itu, atau mereka merasakan bahawa Islam adalah agama yang mementingkan hak mereka tanpa melihat kepada hak manusia yang tidak beragama Islam? Dan jika kita mengkritik tindakan JAIS itu pula, apakah ia menukar persepsi buruk mereka terhadap Islam kepada persepsi yang baik? KESIMPULAN Melihat kepada kedua-dua pendapat ini, agak sukar untuk kita menilai untuk kita menyokong. Jadi, secara peribadi, aku menyimpulkan adalah seperti berikut; Pertama : Pihak agama islam perlu memperkasakan badan zakat (kalau di Selangor : lembaga Zakat Selangor). Ia tidak perlu dipentingkan kepada kutipan sahaja, tetapi perkara yang paling penting adalah mencari golongan miskin untuk memberikan hak zakat itu kepada mereka. Kedua : Pihak lembaga zakat pula, kurangkan birokrasi untuk melayakkan orang yang layak menerima zakat. Ini kerana, membebankan orang yang terbeban bukan satu perkara yang terpuji dalam Islam. Ketiga: Sebagai Jabatan agama Islam, tindakan mereka perlu mempamirkan dakwah. Jika mereka bertindak yang boleh melahirkan gambaran atau imej buruk kepada Islam, ia merupakan satu perkara yang sangat bercanggah dengan kehendak Islam itu sendiri. Keempat : Kita tidak nafikan bahawa nasrani itu sememangnya termaktub dalam al-Quran. Tetapi, perlu diingat tidak semua orang masuk ke dalam agama kristian kerana mereka mahu kepada kristian. Ada sebilangan mereka yang masuk kristian, kerana mereka mahu mendapat habuan keuntungan wang. Ada sebilangan mereka masuk kerana mereka terpaksa disebabkan kesempitan hidup dan sebagainya. Dan lagi, jika kita bertindak dengan kasar sekalipun, ia sebenarnya tidak memberi keuntungan kepada Islam. Tetapi, ia akan melahirkan imej yang buruk kepada Islam itu sendiri. Kita tolak tepi dulu soal JAIS benar atau Gereja yang benar. Tetapi yang kita perlu fikirkan, apakah tindakan itu berjaya menarik balik orang murtad agar kembali kepada Islam semula? Juga, apakah tindakan itu berjaya menarik minat non Muslim untuk semakin mendekati islam atau sebaliknya? Sekian Wallahu 'Alam |
SEBAB-SEBAB ORANG MENOLAK ISLAM Posted: 09 Aug 2011 01:56 AM PDT Jika kita mengkaji secara menyeluruh kandungan al-Quran, kita akan dapati bahawa orang yang menolak Islam itu (sama ada kafir, atau munafiq) berpuncakan tiga sebab; Pertama : kepentingan diri Abu Talib bukan tidak akui kebenaran Nabi Muhammad SAW. Jika tidak, masakan dia pertahankan nabi Muhamad SAW sehingga saat kematiannya. Pun begitu, dia tidak memeluk islam (mengikut satu riwayat). Persoalannya, kenapa dia tidak memeluk Islam? Di saat kematiannya, Nabi Muhammad SAW ada menyuruh dia mengucap. Tetapi dia tidak mahu mengucap kerana bimbang orang ramai mengatakan bahawa dia yang merupakan ketua kerajaan Makkah pada masa itu ikut ajaran anak saudaranya. Kedua : degil Abu Jahal bukan tidak mengakui kebenaran Islam. Begitujuga Abu Lahab. Kita baca sirah, kita akan terbaca kisah bagaimana pada waktu malam, dalam diam-diam mereka ke rumah Nabi Muhammad SAW hendak mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca oleh Nabi SAW. Namun begitu, mereka tidak memeluk islam. Mengapa? Kerana kedegilannya dalam menerima Islam. Ketiga; jahil Raja Habshah pada awalnya tidak beragama Islam. Tetapi, setelah mendengar penerangan ikhlas tentang islam yang dilakukan oleh Jaafar bin Abi Talib, menyebabkan dia kenal Islam seterusnya memeluk islam. Dengan maksud, ada sebilangan orang yang tidak memeluk Islam itu kerana mereka tidak kenal Islam. Sikap kita terhadap mereka adalah berusaha menyampaikan islam. AHZAB Pada peperangan ahzab, kita dapat lihat bagaimana golongan yahudi yang asalnya duduk bawah pakatan bersama dengan Nabi SAW telah keluar. Mereka bergabung tenaga pula dengan Quraish untuk menyerang kerajaan Nabi Muhammad SAW. Kejadian itu menyebabkan peperangan itu dikenali sebagai Ahzab. Mereka menyerang Islam disebabkan kedegilan mereka terhadap Islam. Ini kerana, sejurus mereka putuskan hubungan dengan Nabi SAW, baginda telah menghantar seorang wakil untuk berjumpa dengan mereka untuk tidak memutuskan hubungan pakatan mereka dengan kerajaan Islam. Tetapi, kedegilan mereka mengatasi segala-galanya menyebabkan mereka bergabung tenaga dan melawan kerajaan Nabi SAW. Mereka melawan, maka mereka dicela, sehingga setiap kali solat hari raya, mereka akan dicela dengan kata kita dalam takbir hari raya; وهزم الأحزاب وحدة و لو كره الكافرون Adapun kepada orang kafir yang tidak tahu kebenaran, dan berbaik-baik dengan orang islam, maka Allah SWT menyuruh kita berlaku adil kepada mereka. Firman Allah; لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ Maksudnya; "Allah tidak halang kamu melakukan kebaikan dan keadilan kepada mereka (non Muslim) yang tidak menyerang kamu dalam agama, dan tidak mengeluarkan kamu dari Negara kamu. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang melaksanakan keadilan" (Al-Mumtahanah : 8) Sekian Wallahu 'Alam |
SOKONG TINDAKAN JAIS BERMAKNA SOKONG USAHA BENCIKAN ISLAM? Posted: 09 Aug 2011 01:05 AM PDT Aku tidak fikir, tindakan JAIS baru-baru ini menyebabkan non Muslim akan tertarik hati dengan Islam. Dan aku tidak fikir, jika benar ada orang yang mahu murtad itu akan bertambah kuat keimanan mereka kepada Islam balik. Malahan, aku merasakan tindakan JAIS itu, menyebabkan non Muslim semakin meluat dengan Islam. Juga muslim yang sedang longgar iman mereka semakin mahu meninggalkan Islam; semakin bertambah longgar lagi iman mereka. Mungkin hati mereka semakin kuat mahu meninggalkan Islam. Dalam Islam, ada istilah "muddah Istitabah", iaitu jangka masa tertentu untuk meminta orang yang murtad itu agar kembali kepada Islam. Caranya, dihantar cerdik pandai bercakap dan berhujjah berjumpa dengan orang yang hendak murtad itu agar menjawab dan memberi keyakinan kepadanya tentang Islam. Di zaman Ali bin Abi Talib, ketika berhadapan dengan Khawarij, Saidina Ali menghantar beberapa orang yang petah dan bijak berjumpa dengan golongan khawarij itu untuk menyampaikan hujjah dan menjawab segala keraguan mereka tentang Islam. Contoh tauladan Saidina Ali ini sepatutnya diambil oleh JAIS. bukannya mengikut kehendak hawa nafsu dengan merasakan "mentang-mentang berkuasa". Kadang-kadang dengan perasaan "mentang-mentang berkuasa" ini JAIS bertindak sesuka hati. Hinggakan, Dr Asri yang berceramah pun kena tangkap. Sebenarnya apa tugas JAIS? hendak menyebar luaskan islam, atau membantutkan penyebaran Islam? Hendak memberi kefahaman manusia kepada Islam atau menjadikan mereka benci dengan Islam? Aku kira, tindakan JAIS itu tidak wajar disokong. Menyokong juga, bermakna menyokong proses membencikan Islam; menyokong proses menjauhkan manusia dengan Islam. Sekian Wallahu 'Alam |
APA YANG KITA MAHU DARI NON MUSLIM? Posted: 09 Aug 2011 12:21 AM PDT Islam ini adalah agama rahmat. Perlantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, ia dinyatakan oleh Allah sebagai rahmat sekelian alam. Bukan untuk muslim sahaja, tetapi menjangkaui semua makhluk, sama ada manusia yang tidak muslim. juga terhadap tumbuh-tumbuhan, binatang dan seluruhnya. Firman Allah; وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ Maksudnya; "Kami tidak utuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali untuk member rahmat sekelian alam" (Al-Anbiya : 107) Memandangkan islam adalah agama rahmat, sudah pasti Islam akan diterima. Orang yang menolak Islam adalah orang yang tidak kenal Islam. Jika mereka sudah kenal islam, mereka akan menerima Islam. Jika mereka tidak memeluk agama Islam pun, mereka akan respek dengan agama Islam. Jika ada di kalangan mereka yang mengenali Islam dalam bentuk yang sebenar, lalu mereka menolak juga Islam. Itu adalah gambaran betapa degilnya hati mereka dalam menerima kebenaran. Mungkin kerana prejudis atau betapa gelapnya hati mereka dalam menerima sesuatu kebenaran. Di Malaysia, bilangan non Muslim hampir sama banyak dengan muslim. semenjak merdeka, muslim itu jauh majority berbanding non Muslim. tetapi, semakin lama bilangan non Muslim bertambah ramai, disamping muslim sendiri semakin ramai yang menolak islam. Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku? SALAH SIAPA? Jika mahu dilihat kepada amerika menyerang atau mempropagandakan islam, maka itu sudah menjadi perkara biasa. Ini kerana, kebencian amerika kepada Islam sudah menjadi lumrah sejak sekian lama. Memang jenis amerika itu yang benci dengan islam melakukan tindakan untuk memburukkan gambaran Islam. Tetapi, penolakan manusia (sama ada muslim atau non Muslim) terhadap islam tidak boleh disalahkan seratus peratus kepada amerika. Perlu juga disalahkan kepada golongan muslim juga. Seseorang yang berzina, tidak boleh semata-mata menyalahkan kepada syaitan yang memperdayainya agar berzina. Tetapi, tanpa menafikan kesalahan pada syaitan bahawa hampir 90 peratus itu hendaklah disalahkan pada diri orang yang berzina itu sendiri. Mengapa dia tidak berusaha hendak melawan kehendak syaitan yang memperdayainya agar berzina. Begitujuga penolakan manusia yang muslim dan tidak muslim terhadap Islam. Memang tidak boleh dinafikan factor propaganda musuh Islam, tetapi dalam masa yang sama lebih 60 peratus itu terletak kepada golongan muslim sendiri. APA YANG KITA MAHU? Kita mengharapkan non Muslim meninggalkan agama mereka, lalu menjadikan Islam sebagai agama pegangan mereka. Kita mahu non muslim itu menjadi saudara seagama dengan kita. Kita tidak mahu mereka menjadi manusia yang lain dengan kita jika dinisbahkan dari sudut hidup beragama. Kalau boleh, kita nak Ramasami dan Ah Chong bersama-sama dengan kita berpuasa dalam bulan Ramadhan; bersama-sama menunaikan solat tarawih; bersama-sama solat berjemaah dan sebagainya. Tetapi, apakah daya kita bahawa keimanan yang bersumberkan hidayah itu bukan hak kita, tetapi hak Allah SWT. Untuk berharap mereka menjadi saudara seagama dengan kita, mungkin ia adalah satu perkara yang terlalu besar. Makanya, mereka mengatakan agama Islam ini sebagai agama yang baik pun, ia sudah satu perkara yang kita banggakan. Masakan tidak, mereka yang tidak beragama Islam boleh mengiktiraf tentang agama Islam yang kita sayangi ini. Pun begitu, semua ini tertakluk dengan hidayah yang merupakan kuasanya terletak pada kemutlakan kuasa Allah SWT. Allah SWT berkuasa untuk memberikan hidayah atau tidak mahu memberi hidayah. Tetapi, berdasarkan kepada hukum adat, hidayah Allah itu bersebab dan berpunca. Tanpa sebab, hidayah tidak diberikan oleh Allah SWT. Inilah penilaian dari hukum adat yang merupakan ketentuan Allah SWT. APA DIA ASBAB HIDAYAH? Sebab hidayah itu banyak. Yang paling penting, Islam adalah agama keadilan, agama kasih sayang, agama yang menghormati hak manusia; sama ada sesame muslim atau dengan orang bukan islam. Kita membaca satu hadis yang menceritakan bagaimana Nabi SAW menyebut tentang seorang perempuan pelacur yang memberikan hak kepada seekor anjing pun, diberikan keampunan dosa oleh Allah SWT kepada perempuan tersebut. Ini menanndakan, hak dalam Islam ini cukup agong, hingga terhadap anjing pun wajib diberi. Dan memberinya itu menyebabkan mendapat keampunan dosa dari Allah SWT. Mungkin itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain pula, bagaimana dalam peperangan pun Islam melarang melakukan pengkhianatan kepada non Muslim. dilarang sama sekali mencincang mayat yang telah terbunuh dalam peperangan, dilarang menyerang rumah ibadat, dilarang bunuh kanak-kanak, dilarang bunuh ahli ibadat mereka, dilarang bunuh perempuan, orang tua dan sebagainya. Gambaran hebat ini berjaya dibuktikan di zaman Rasulullah, Abu Bakar dan Umar. Ekoran itu, tidak hairan pada kala itu, Islam semakin berkembang pesat. Islam semakin diterima dan diterima. Islam bukan lagi di benua arab dan jazirahnya, malahan sudah melebar sehingga satu pertiga dunia. Kejayaan ini yang kita idam-idamkan sebagai muslim. APA YANG KITA TELAH BUAT? Islam di zaman Rasulullah, Abu Bakar dan Umar tidak seperti di zaman kini. Non Muslim di zaman itu sanggup mempertahankan kerajaan Islam bermati-matian, kerana melihat hak mereka terbela dalam kerajaan Islam. Mereka mendapat hak kasih sayang dalam kerajaan islam berbanding kerajaan pemerintahan agama mereka. Mereka ibadat dengan aman dalam kerajaan islam berbanding kerajaan mereka. Ekoran itu, semakin lama mereka mendekatkan diri dengan Islam. Jika ada dari kalangan mereka yang tidak memeluk islam pun, mereka akui bahawa Islam adalah agama yang baik; yang mereka akan pertahankannya walaupun dengan darah mereka sekalipun. Keadaan itu tidak berlaku kini. Golongan Islam kini bertindak tidak beralasan wahyu. Mereka kira tindakan mereka sudah Islam, waima tindakan mereka itu menyebabkan non Muslim semakin meninggalkan Islam. Jika yang meninggalkan Islam itu dari kalangan non muslim yang prejudis dengan Islam, maka itu kita boleh terima. Tetapi, jika yang menolak islam itu adalah non Muslim yang rasional, maka itu adalah perkara yang perlu dimuhasabahkan oleh golongan Islam. Ya… memang kita tidak nafikan serangan dari musuh-musuh Islam juga perlu dipersalahkan. Tetapi, semata-mata menyalahkan mereka seratus peratus adalah satu perkara yang cukup salah. Mungkin kesalahan itu boleh diletak dalam 20 hingga 30 peratus sehaja, tetapi peratus yang berbaki itu wajar dilihat pada diri muslim dan golongan muslim itu sendiri. Sekian Wallahu 'Alam |
You are subscribed to email updates from :: @ AL-BAKISTANI @ :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan