Rabu, 10 Ogos 2011

Addin

Addin


Pertandingan Unik, Real Madrid Lawan 109 Anak Sekolah Di China

Posted: 10 Aug 2011 09:09 AM PDT

Sebagai sebahagian dari tour keliling Asia, pasukan bolasepak Real Madrid bermain bersama 109 anak sekolah di China dalam 1 pertandingan. Pertandingan ini berlangsung di sebuah stadium di kota Guangzhou. Meskipun memiliki pemain yang ramai, para pemain anak-anak tidak mampu untuk menjaringkan gol selagi para pemain Real Madrid menguasai bola. Alasan untuk memilih anak sejumlah 109 orang adalah kerana ulang tahun Real Madrid yang ke-109 tahun. Pada akhirnya, pasukan Real Madrid memenangkan pertandingan.



Bekas Pegawai Polis Dakwa Di Diskriminasi

Posted: 10 Aug 2011 07:54 AM PDT

Saya, Bernard Fung Fon Chen, berumur 70, dilahirkan di tanah jajahan British Borneo Utara. Saya bermastautin di Kota Kinabalu Sabah. Saya berhenti dari perhidmatan Pasukan Polis Diraja Malaysia pada tahun 1980 selepas berkhidmat negara selama hampir 20 tahun. Saya mula-mula menyertai Pasukan Polis Borneo Utara pada tahun 1960 sebagai konstabel. Selepas Malaysia telah ditubuhkan, saya memilih untuk menyertai polis Malaysia dan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan kesetiaan.

Saya telah dihantar untuk berlatih di Kolej Polis Kuala Kubu Baru di Selangor dan lulus. Setelah lulus peperiksaan yang diperlukan, saya telah dinaikkan pangkat ke jawatan Inspektor pada tahun 1966 disahkan sebagai Inspektor pada tahun 1968.Selepas berkhidmat sebagai Inspektor selama 13 tahun dan dengan pasukan polis Malaysia selama 19 tahun, 6 bulan, saya meletak jawatan pada tahun 1980 kerana saya kecewa dan berputus asa.

Walaupun saya berkelayakan, dedikasi dan kerja keras, saya tidak diperdulikan secara konsisten dalam soal kenaikan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi iaitu jawatan ASP. Saya bersedia dan sanggup pada bila-bila masa untuk bertugas di mana-mana tempat di Malaysia.

Walaupun kekosongan timbul dari semasa ke semasa di Sabah dan bahagian-bahagian lain di Malaysia, kekosongan itu telahpun diperuntukkan bagi pegawai-pegawai dari Semenajung Malaysia sahaja walaupun pada hakikat bahawa terdapat ramai yang berkelayakan seperti saya dan lain-lain dari Sabah yang bersedia mengisi kekosongan tersebut.

Hari ini saya amat berbangga kerana sebagai warganegara dari pra-Malaysia lagi, barulah saya berpeluang untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah kerana gagal memenuhi janji-janji, aku-janji dan jaminan yang dibuat kepada Sabah pada tahun 1962 dan 1963 oleh pemimpin-pemimpin Malaya dan penjajah British yang bersedia meninggalkan Sabah untuk melaksanakan Borneonisasi sebagai perkara dasar dan keperluan ketat perlembagaan.

Saya merujuk kepada Perjanjian Malaysia bertarikh 7 Julai 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa antara Kerajaan bertarikh 27 Februari 1963, Memorandum Dua Puluh Perkara dan Memorandum Jawatankuasa Perundingan Malaysia bertarikh 3 Februari 1962, yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Cobbold dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Saya amat gembira kerana bersama saya seorang lagi plaintif muda yang menjanjikan potensi besar sebagai rakyat Malaysia di Sabah, Nazib Maidan Dally. Tindakan beliau hari ini bersama saya memberikan saya harapan bahawa kita masih boleh berjuang untuk hak-hak dan kepentingan dan autonomi Sabah seperti yang dihasratkan dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Tindakan undang-undang saya hari ini adalah untuk generasi muda dan masa depan rakyat Malaysia di Sabah. Semoga kita mendapat sokongan rakyat dalam perjalanan panjang kita untuk mewujudkan sebuah negara aman dan harmoni untuk Sabah seperti yang dijanjikan oleh pengasas kita pada tahun 1963.

Bersama dengan Nazib, kita memohon dari Mahkamah satu perisytiharan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah gagal atau cuai untuk melaksanakan Borneonisasi perkhidmatan awam persekutuan di Sabah.

Di samping itu, kami memohon pengisytiharan bahawa Kerajaan Persekutuan telah gagal untuk menasihati Yang Di Pertuan Agung di bawah Perkara 153 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan supaya bilangan jawatan-jawatan dalam perkhidmatan persekutuan di Sabah diperuntukan khas untuk anak-anak Sabah.

Kami juga ingin mendapatkan suatu perisytiharan bahawa pindaan kepada perlembagaan persekutuan dengan pemansuhan Perkara 161A (3) pada tahun 1971 adalah ultra vires Perkara 161E (2) (d) perlembagaan persekutuan kerana pindaan pada tahun 1971 tidak menerima persetujuan Pertua Negeri Yang Di Sabah.

Kami percaya bahawa pindaan 1971 menghapuskan keperluan mandatori bagi kerajaan persekutuan untuk berunding dengan Ketua Menteri Sabah sebelum kerajaan persekutuan menasihati Yang Di Pertuan Agung.

Akhir sekali, kami memohon pengisytiharan bahawa Sabah dan Bumiputera di Sabah mempunyai harapan yang sah (legitimate expectation) bahawa proses Borneonisasi perkhidmatan persekutuan di Sabah dilaksanakan secara sepenuhnya dan cepat.

Saya berharap rakyat Sabah yang lain yang telah sama-sama terkilan hendaklah tampil ke hadapan untuk menyertai kami dalam tindakan ini undang-undang untuk faedah generasi muda kita./sabahkini

Hanya Diktator Upah Jutaan Ringgit Untuk Pulihkan Imej

Posted: 10 Aug 2011 04:34 AM PDT

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud membeli slot rancangan di televisyen antarabangsa untuk memperbaiki imej, tidak ubah seperti diktator. Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ramai diktator dunia berbuat demikian kerana takut pada kebebasan media, termasuk bekas Perdana Menteri Mesir, Hosni Mubarak.


"Biasanya mereka yang diktator yang akan beli slot-slot sebegini kerana kalau ada laporan bebas, mereka akan dapat laporan yang kurang baik," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu. 
Blog Sarawak Report sebelum ini mendedahkan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak melantik firma penerbitan TV dan komunikasi strategik Britain, FBC Media untuk menerbitkan program TV berat sebelah untuk ditayangkan syarikat penyiaran antarabangsa seperti CNBC, CNN dan BBC.

Kerajaan Sarawak dilaporkan membelanjakan RM15 juta setahun untuk tujuan itu. Sementara Kerajaan Persekutuan pula membayar RM57.68 juta kepada FBC Media antara tahun 2008 dan 2009.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata amalan sedemikian juga sebenarnya tidak berdasarkan etika penyiaran media antarabangsa kerana ia tidak menyampaikan mesej yang objektif kepada penonton. "Amalan ini tidak dibenarkan di peringkat antarabangsa sebab sifatnya tidak lebih daripada iklan. Sepatutnya orang tonton dengan anggapan ia rancangan yang objektif," katanya.

Pada masa yang sama, Nik Nazmi berkata Najib perlu melakukan trasnformasi yang sebenar di dalam negara jika mahu nama beliau harum di peringkat antarabangsa dan bukan melakukan kempen perhubungan awam sebegini.

"Najib nampaknya lebih berminat baiki imej di peringkat antarabangsa sedangkan 'public relations exercise' atau 'media spin' begini tak akan dapat baiki perkara yang dah busuk. "Najib sendiri sebenarnya tidak perlu berbelanja besar untuk memperbaiki imej beliau di peringkat antarabangsa.

"Lebih baik jika kerajaan lakukan transformasi sebenar dalam negara dan dengan sendiri imej beliau akan jadi lebih baik di peringkat antarabangsa," katanya./kd


Addin :

Gelagat kedua pemipin hampir mirip diktator.. namun bersembunyi di sebalik demokrasi yang tempang..


Blog Pro Umno Dedah Kontrak Israel Dengan PDRM

Posted: 10 Aug 2011 03:10 AM PDT

Ketua Angkatan Muda (KEADILAN), Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memberi penjelasan mengenai hubungan polis dengan Israel. Shamsul berkata, isu itu berhubung pendedahan beberapa blog pro Umno mengenai penglibatan Israel dalam kontrak PDRM, sekaligus mengukuhkan dakwaan Pakatan Rakyat sebelum ini. Siri pendedahan pertama hubungan dengan Israel itu mula didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat April tahun lepas, sehingga beliau digantung dari menghadiri persidangan di Parlimen.

"Saya desak KDN tampil jelaskan perkara ini kerana semakin hari ada sahaja pendedahan terbaru hubungan dengan Israel. "Hishamuddin tidak boleh berdiam diri, beliau mesti jelaskan perkara sebenar kerana melibatkan perkara serius, jangan pula kita digelar sebagai agen Yahudi," kata Shamsul.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan semula serangan polis semasa perhimpunan aman, Bersih pada 9 Julai lalu yang didakwa menggunakan kanister yang sama diguna Israel terhadap rakyat Palestin. "Isu kanister ini boleh dijadikan bahan bukti kerana ianya digunakan pihak Israel terhadap Palestin," katanya.

Minggu lalu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak agar siasatan dijalankan ke atas dakwaan berhubung penyelewengan dan penglibatan pihak Israel dalam kontrak PDRM. Dalam laporan polisnya, ketua pemuda pertubuhan itu, Irwan Fahmi Ideris berkata siasatan perlu dijalankan ke atas dakwaan pengagihan dan pemberian projek melibatkan polis Bukit Aman.

Namun, tindakan Perkasa itu dilihat terlalu lambat memandangkan isu itu mula ditimbulkan Pakatan Rakyat sejak lebih setahun lalu. Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April tahun lalu mendedahkan kewujudan perisik Israel dalam pasukan polis yang telah disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.

Anwar berkata penglibatan syarikat berkenaan adalah melalui subkontrak daripada sebuah syarikat tempatan untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital./kd

Mahathir Dakwa Ada Usaha Hancurkan Umno

Posted: 09 Aug 2011 08:11 PM PDT

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa ada usaha sedang dibuat untuk melemah dan menghancurkan Umno dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13. "Kononnya saya di belakang gerakan untuk menaikkan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) mengganti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," kata beliau. Dr Mahathir berkata demikian dalam artikel bertajuk 'Menghancurkan Umno' di dalam blognya, chedet.cc/blog sebagai ulasan terhadap laporan FMT minggu lalu.

"Strategi pihak tertentu ini ialah dengan membuat tuduhan bahawa perjumpaan NGO ini sebenarnya bertujuan untuk menjatuhkan Najib, dan saya dan Muhyiddin adalah dalang yang bertanggungjawab. 
"Tentulah Najib akan mempunyai syak wasangka terhadap kami berdua dan NGO berkenaan," kata mantan perdana menteri itu merujuk kepada Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar) yang dilaporkan mahu Najib meletak jawatan.

Kedudukan Najib tergugat

Menurut laporan tersebut, kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Umno tergugat. Sumber dalaman Umno mendakwa bahawa sokongan ahli parti diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan restu daripada Mahathir.

Mengulas lanjut laporan ini, Dr Mahathir berkata bahawa laporan tersebut akan melemahkan Umno dalam persediaan menghadapi PRU 13. "Kesan dari laporan ini tentulah kecurigaan Najib terhadap timbalannya. Apabila Najib mempunyai sangkaan buruk terhadap Muhyiddin maka ahli-ahli UMNO pun akan berpecah dan memihak kepada Presiden atau Timbalan Presiden.

Dr Mahathir berkata dakwaan itu sekaligus menakutkan Penawar dan NGO lain kerana akan disyaki oleh Najib untuk menjatuhkannya. "Mereka juga akan terdedah kepada tuduhan yang mereka adalah orang Mahathir dan Mahathir ingin menjatuhkan Najib," katanya, menambah laporan sebegitu juga akan menyebabkan orang Melayu takut berpolitik.

Alasan yang diberi beliau: "Mereka akan terdedah kepada dakyah parti lawan yang memang pun ingin melihat mereka berpecah dan menjadi lebih lemah serta tidak dapat mempertahankan kepentingan orang Melayu sama sekali.

"Pergolakan akan berlaku secara serius dalam Umno dan ia akan menjadi lebih lemah untuk menghadapi PRU 13." Beliau secara sinis mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak berkenaan yang "begitu cekap mengguna psikologi untuk menghancurkan Umno dengan menimbulkan keraguan dan syak wasangka antara pemimpin-pemimpin Umno serta ahli-ahlinya sesama sendiri dan terhadap kepimpinan Umno sekarang./fmt

Tiada ulasan: