SIASAH |
Pemuda PAS kempen di padang bola Posted: 21 Jul 2011 07:36 PM PDT Bola sepak dan sukan sentiasa menjadi salah satu medan permainan simbol politik, mempertemukan kumpulan dan negara yang datang bersama sentimen masing-masing. Di kedua-dua belah pemerintah dan pembangkang, sentimen yang dapat dilahirkan melalui aktiviti sukan menjadi satu bahagian kempen yang ingin dimanfaatkan. Politik Malaysia kini menyaksikan bola sepak semakin menampakkan sisi politiknya, dengan penglibatan aktif Pemuda PAS melalui pelbagai program dan kenyataan. Bola sepak sentiasa menjadi salah satu medan yang diberi perhatian oleh sayap pemuda parti Islam itu, menganjurkan pelbagai program termasuk perlawanan persahabatan dengan penggiat seni. Di bawah ketua Nasrudin Hassan, elemen politik ini diteruskan dengan program-program dan kenyataan menyatakan sokongan kepada skuad kebangsaan. Nasrudin menjadi ahli politik pertama menyampaikan ucapan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang menjuarai Piala Suzuki selepas menewaskan Indonesia tahun lalu. Beliau malah turut serta dalam aktiviti sukan bola sepak yang dijalankan pemuda, dan mengetuai kempen antijudi bola sepak yang diluluskan oleh kerajaan BN tahun lalu, sehingga pemerintah akhir mengumumkan pembatalan kelulusan itu. Perkembangan politik terkini yang dibayangi warna kuning meningkatkan lagi permainan simbol ini. Naib ketua Pemuda PAS, Dr Raja Ahmad al-Hiss dalam satu kenyataan 16 Julai lalu mengajak rakyat menyokong pasukan bola sepak Malaysia, dan menggesa "kuningkan Bukit Jalil," merujuk kepada warna dominan jersi utama pasukan kebangsaan. Warna kuning kini mengundang reaksi politik ekoran warna ini menjadi warna rasmi gerakan menuntut reformasi pilihan raya Bersih, yang mengadakan perhimpunan di ibu negara 9 Julai lalu. Jersi kuning skuad bola sepak Malaysia kini menjadi salah satu pilihan dalam kempen menunjukkan solidariti dalam menyampaikan mesej politik pembangkang, tanpa mengaitkannya dengan jelas kepada Bersih. Jersi kuning itu kini membolehkan penyokong pembangkang menunjukkan sokongan kepada Harimau Malaya, menyampaikan mesej sokongan politik dan pada masa sama menunjukkan kritikan atau penentangan terhadap kerajaan. Raja Ahmad dalam kenyataannya menggesa rakyat Malaysia mempertahankan jati diri dengan menunjukkan sokongan kepada pasukan negara, walaupun meminati kelab-kelab liga Eropah yang popular. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan