DIALOG RAKYAT |
- Ku Li ajak rakyat bersama Amanah lawan penyelewengan
- Isu Teoh: Tsu Koon harap tindakan tegas atas tiga pegawai SPRM
- Bekas menteri: Najib perlu pastikan pilihan raya bersih, Bersih 2.0 ada asas
- Bersih 2.0: Mat Sabu arah peguam fail saman PDRM
- Tun Faisal Exco Pemuda UMNO Malaysia belasah PAPA GOMO penipu dalam blognya
- Kerjasama DAP-PAS semakin kukuh
- Anugerah Ibrahim Ali atau anugerah untuk Ibrahim Ali?
- Muzium propaganda Utusan?
- Waran tangkap 13 individu, termasuk Anwar tidak sah tanpa notis- Surendran
- Video: Gas pemedih mata dilepaskan tepat ke arah peserta Bersih
- Tembak kanister gas, Khalid Samad pertimbang saman polis
- ‘Paksa hingga bunuh diri sama dengan membunuh’ – Lim Kit Siang
- Himpunan Bersih: Polis, media boleh disapina- Suhakam
- Wiliam Bourdon dihantar pulang tanpa sebab ke Perancis
- Polis bohong, saya dirempuh Proton Waja, bukan Pajero- Mat Sabu
- Bongkar Scorpene, peguam Perancis ditahan di KLIA
- Asrama Pekerja Asing : Umno Dan MCA Tidak Tahu Fakta
- Bersih : Keluarga Baharudin Mahu Tonton Video Polis
- Norman Nikah 24 September, Persalinan Memey RM7.2 Juta
- Laporan RCI Serlah Kepincangan SPRM
- TBH : Peguam Mahu Teliti Laporan Suruhanjaya Di- Raja
- Keluarga dan rakan Beng Hock tolak keputusan RCI
- SUHAKAM: Rundingan telus dan terbuka dengan orang asli sebelum pembangunan
- Sultan Azlan: Rakyat alih sokongan jika k'jaan gagal
Ku Li ajak rakyat bersama Amanah lawan penyelewengan Posted: 22 Jul 2011 06:45 AM PDT KUALA LUMPUR — Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Tengku Razaleigh Hamzah berkata sudah tiba masanya untuk rakyat negara ini bangkit menentang segala penyelewengan yang berlaku termasuk rasuah, kronisme, sikap pelampau dan pembaziran. Tegas beliau, rakyat jangan membiarkan perbuatan memanipulasikan politik digunakan untuk memecahkan perpaduan rakyat melalui dasar dan keputusan yang memihak kepada pihak yang berkepentingan. "Kita jangan membiarkan perbuatan manipulasi politik apa pun dan dari mana-mana pihak pun untuk memecahkan rakyat majoriti melalui dasar dan keputusan yang secara sengaja dibuat untuk kepentingan golongan-golongan minoriti yang berkepentingan. "Saya memerhatikan dengan hati yang gusar melihat keadaan yang amat merunsingkan iaitu keadaan perhubungan antara kaum dan antara agama yang kian memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan jika keadaan ini saya tambahkan lagi dengan perbuatan sesetengah pihak dan orang perseorangan yang secara terang-terangan sengaja merosakkan institusi-institusi perpaduan negara untuk kepentingan mereka," katanya pada perasmian Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini. Tegas Tengku Razaleigh (gambar) yang lebih dikenali sebagai "Ku Li", masa untuk melihat segala penyelewengan yang berlaku sudah tamat dan sekarang untuk bangkit menyatakan pendirian masing-masing. "Inilah masanya golongan majoriti yang menyepi selama ini mendengarkan suara mereka, inilah masanya ayah yang selama ini senyap untuk bersuara bersama alunan dan jeritan suara yang lain dan bertanya 'kami mahukan kebenaran, tidak paparan palsu dan penipuan'. "Inilah masanya suri rumah tangga yang selama ini berdiam diri dan tidak bersuara berkata 'saya mahukan masa depan anak-anak saya yang bebas daripada segala macam masalah yang dicetuskan oleh pelbagai pihak dan individu politik, ekonomi dan kumpulan sosial yang berkepentingan sendiri'. "Ini masanya untuk orang muda dan dewasa yang bekerja berkata 'kami mahu tahu ke manakah arah tuju negara kita dan kami mahu tahu bahawa keputusan dan pilihan yang dibuat adalah yang terbaik dan benar'," katanya. Ahli Parlimen dan Ketua Umno Gua Musang ini berkata, Amanah yang dianggotai beberapa tokoh pemimpin bukan untuk menentang kerajaan tapi adalah untuk hak rakyat. "Suara ini adalah suara perpaduan, suara solidariti, suara kebenaran dan kita akan berdiri teguh menentang wabak rasuah, kronisme, perkauman, sikap pelampau dan pembaziran. "Kita akan berkata dahulukan kepentingan kebangsaan yakni kepentingan negara dan kepentingan rakyat, ini matlamat kita," katanya. Amanah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibarisi beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden. Sementara naib presiden pula dibarisi Wan Saiful Wan Jan, Dr Patau Rubis, Ong Hock Siew, Datuk Mohd Azmi Razak, Ragunath Kesavan, Tan Sri Simon Sipaun dan Mohd Lukhman Ghani. Amanah dilancarkan dengan enam tujuan utama iaitu mengembalikan legasi, janji-janji dan ideal Bapa Malaysia dan pengasas-pengasas negara ini agar kesemua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai satu komuniti yang adil, progresif, bersatu dan gembira. "Saya berdoa moga-moga kita tidak lagi lepas tangan dan berdiam diri menjadi pemerhati dan tidak terlibat, melihat perkembangan dan berlalu di depan kita, mengharapkan orang lain akan melakukannya. "Jika kita bersikap demikian bererti kita berada dalam dunia ilusi dan impian dan kita akan menghadapi padahnya apabila padah itu berlaku nanti, kita perlu melakukan sesuatu yang berlain," tambah Tengku Razaleigh. |
Isu Teoh: Tsu Koon harap tindakan tegas atas tiga pegawai SPRM Posted: 22 Jul 2011 06:44 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER ALOR SETAR – Tiga daripada lima jawatankuasa bebas yang memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti laporan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock bagi memperbaiki kelemahan dan kecacatan SPRM. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata tiga jawatankuasa terlibat adalah panel untuk mengkaji semula proses operasi SPRM, Jawatankuasa Pengaduan Komuniti serta Jawatankuasa Khas, yang terdiri daripada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang. "Jawatankuasa ini akan meneliti laporan itu dari semua aspek bagi memastikan semua kelemahan yang ada pada SPRM dapat diperbetulkan agar dua kes kematian, Teoh Beng Hock dan pegawai kastam Ahmad Sarbini Mohamad tidak berulang. "Saya harap kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap tiga pegawai SPRM terbabit yang melanggar prosedur soal siasat sehingga menyebabkan kematian mendiang Teoh Beng Hock," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) negeri Kedah di Dewan Perhimpunan Cina, Tanjung Bendahara hari ini. Dipetik Bernama Online, Koh yang juga Presiden Gerakan berkata, jawatankuasa bebas berkenaan perlu bermesyuarat segera dan mengkaji laporan itu bagi membolehkan institusi kerajaan tersebut melaksanakan tugas dengan cekap, selain mendapat kepercayaan rakyat. Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata tindakan DAP mempertikaikan ketelusan laporan itu sengaja dilakukan dengan tujuan mempolitikkan isu berkenaan demi kepentingan parti pembangkang berkenaan. "Mereka sudah rancang dalam siri ceramah mereka dan sebagainya untuk mempertikaikan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja, yang kononnya SPRM masih menyimpan beberapa bukti penting untuk dimuatkan dalam laporan itu. "Saya harap rakyat jangan percaya dengan mainan politik oleh parti DAP, dan Gerakan sedia untuk menangkis segala tohmahan yang dibuat DAP," katanya. Koh juga berkata jika ada perkara yang disembunyikan SPRM, DAP perlu mengemukakan bukti sahih berhubung perkara itu agar siasatan dapat dijalankan semula. |
Bekas menteri: Najib perlu pastikan pilihan raya bersih, Bersih 2.0 ada asas Posted: 22 Jul 2011 06:42 AM PDT KUALA LUMPUR— Seorang bekas menteri kerajaan pusat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengingatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar melaksanakan sistem pilihan raya yang telus. Abdul Kadir yang juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) berkata sistem pilihan raya yang telus adalah asas kepada sesebuah negara yang mempunyai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. "Negara kita selama ini telah memuncak begitu lama, negara yang cukup berjaya sebab rakyat berpegang teguh pada semangat kemerdekaan tetapi malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini (prestasi) kita sudah mula menurun dan secara terang-terangan melakukan perkara-perkara yang pelik," kata beliau. "Kadang-kadang kita begitu yakin dan sombong, boleh buat benda salah di tempat yang terang, kami rasakan sudah tiba masanya kita berubah dan kembali ke pangkal jalan," kata Abdul Kadir (gambar) sambil menambah, "merdeka bermakna kuasa diserahkan kepada rakyat." "Negara ini kepunyaan rakyat... negara ini hak rakyat dan ini asas yang kita perlu ingat, negara ini bukan bapa saya yang punya, bukan Umno yang punya, bukan PAS yang punya, ini rakyat yang punya," kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini. Bekas wakil rakyat dari Kedah ini pernah mengetuai Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan. Tegas Abdul Kadir, rakyat tidak akan bangkit menentang kerajaan sekiranya pilihan raya yang dijalankan dibuat secara telus dan adil. Selain itu jelas beliau, tuntutan yang dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ada asasnya. "Bila sudah merdeka rakyat perlu pilih kerajaan, kita adakan pilihan raya sebab rakyat ramai, rakyat buat keputusan siapa yang mereka mahu (jadi kerajaan)," katanya. Kata beliau, "sejak akhir-akhir ini kita dengar macam-macam tentang pilihan raya bersih dan adil itu adalah asas sistem pilihan raya." "Kalau tidak telus macam mana rakyat nak pilih... kerajaan kata pilihan raya (sekarang) sudah bebas, itu pandangan dia tapi pandangan lain (termasuk) Bersih 2.0 kata pilihan raya tidak telus," katanya. Beliau juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan agar wakil pembangkang diletakkan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan ketelusan sistem yang ada sekarang. "Ada cadangan minta wakil pembangkang duduk dalam SPR, saya setuju... kalau kerajaan kata pilihan raya bersih buatlah, apa nak takut, selesai masalah. "Kerajaan tahu pilihan raya itu bersih atau tidak, rakyat pun tahu, kita pun tahu... biarlah bersih betul supaya rakyat dapat pilih kerajaan yang mereka kehendaki," katanya. Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat membanjiri ibu negara untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil yang turut disertai Pakatan Rakyat. Amanah diketuai Tengku Razaleigh Hamzah. Ia juga membariskan beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden. |
Bersih 2.0: Mat Sabu arah peguam fail saman PDRM Posted: 22 Jul 2011 06:40 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER KUALA LUMPUR — Mohamad Sabu telah mengarahkan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin agar menghantar surat saman kepada Polis Diraja Malaysia kononnya beliau berbohong berhubung isu kemalangan motosikal dinaikinya ketika perhimpunan 9 Julai. Mengikut laporan HarakahDaily, Hanipa berkata, Timbalan Presiden PAS telah menghubunginya pagi ini dan mengarahkan beliau menghantar notis kepada pihak berkenaan ekoran dakwaan semalam. Semalam, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid dalam sidang medianya berkata, tidak ada kebenaran bahawa kenderaan milik polis melanggar motosikal pemimpin PAS itu. "Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar 'fender' Pajero," katanya. Video berkenaan menunjuk sebuah kenderaan polis mengejar dua motosikal, satu yang dibonceng oleh Mat Sabu (gambar). Namun visual berkenaan tidak jelas menunjukkan apa yang berlaku kerana beberapa sudut pandangan tidak dapat dirakamkan. "Saya harap akan dapat menghantar notis kepada Bukit Aman minggu depan meminta mereka menarik balik dakwaan Mohamad Sabu menipu," kata Hanipa kepada Harakahdaily. Hanipa yang juga timbalan pengerusi Lajnah Undang-undang PAS memberitahu, Mohamad menegaskan bahawa jika polis tidak teragak-agak menyamannya kerana mendakwa dia menipu, pihak beliau juga tidak teragak-agak untuk menyaman polis atas dakwaan memfitnahnya. Sebelum ini Mohamad mendakwa motosikal yang dinaikinya semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lepas telah dirempuh sebuah kenderaan polis dan menyebabkan beliau terjatuh dan lututnya cedera. Akibatnya, Mohamad terpaksa menjalani pembedahan lutut dan 2½ skru telah dimasukkan ke dalam lututnya untuk mengukuhkan ligamennya yang koyak. Namun begitu, Umno dan penyokong mereka mendakwa, Mohamad dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim pura-pura cedera untuk meraih simpati. Dua hari lepas, pengawal peribadi Anwar membuat laporan polis ekoran kecederaan yang dihadapinya selepas ditambak dengan gas pemedih mata secara yang tidak betul sehingga menyebabkan tulang pipinya patah terkena balang berisi gas pemedih mata yang ditembak ke arahnya. Sementara itu, Keadilandaily melaporkan, Mohamad Sabu berkata beliau dirempuh kereta Proton Waja polis, dan bukan kenderaan Pajero seperti yang didakwa pasukan keselamatan itu. Katanya, perkara itu turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat beliau pada 14 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi. "Saya minta tarik balik pembohongan, kalau tidak kita akan saman polis dan Datuk Salleh Mat Rashid kerana melakukan fitnah," katanya kepada Keadilandaily. Berdasarkan rakaman CCTV yang ditayangkan polis, katanya, rakaman itu juga menunjukkan sebuah kereta Proton Waja mengekori Pajero terbabit ketika sedang mengejar motosikal yang diboncengnya ketika itu. "Dalam video polis, yang tidak ditunjuk adalah kereta Waja yang di belakang kereta Pajero yang melanggar motosikal itu. "Kereta Waja yang 'cross' itu (yang melanggar)," kata beliau. Ketika ditanya laporan media 11 Julai lalu yang mengatakan beliau dilanggar Pajero polis, Mohamad berkata terdapat pelbagai pandangan pada masa itu. "Tetapi selepas bertanya kepada penunggang saya, kereta Waja itu yang melanggar," katanya. |
Posted: 22 Jul 2011 06:30 AM PDT Izam E.Y.E pulak ikut langkah Bob LokmanIzam kini selesa mengenakan pakaian serban dan jubah Siapa sangka, vokalis kumpulan EYE, Izam atau nama sebenarnya, Mohd Izam Arshad yang dulunya cukup terkenal sebagai rocker, kini lebih selesa mengenakan jubah dan serban. Walaupun hampir sepuluh tahun melakukan penghijrahan itu, Izam tidak pernah mendabik dada, sebaliknya menganggap dirinya masih banyak kelemahan dan perlu mendalami ilmu agama. Jika rakan seangkatannya, Bob Loqman dan Azmeer Mustapha, memilih untuk terus meninggalkan dunia seni, namun berbeza pula dengan pendirian Izam. Akui selesa dan lebih tenang selepas penghijrahan itu, Izam, bagaimanapun tidak pernah melupakan dunia seni. Demi minat yang mendalam, Izam masih terus aktif menyanyi dan menerima undangan persembahan di seluruh negeri. Bukan bergerak secara solo, tapi masih bersama EYE, dengan konsep muzik ketuhanan. "Saya sayangkan rakan-rakan artis saya. Mana mungkin saya boleh meninggalkan mereka. Mereka akan tetap bersama saya. Sampai sekarang, kami masih menerima tawaran persembahan dan kami akan bersatu apabila diperlukan. "Nyanyian sudah sebati dalam hidup saya, malah ia juga sebahagian daripada punca pendapatan saya menyara keluarga. Tentang imej sekarang, ia tidak menghalang saya untuk terus menyanyi. Kalau ada persembahan, saya akan mengenakan gaya kasual yang dilihat lebih sesuai dengan keadaan dan bukanlah berjubah setiap masa. Malah, perubahan saya diterima baik oleh ahli EYE lain," katanya yang lebih suka mengamalkan konsep kesederhanaan dalam Islam. Bercerita lebih lanjut tentang penghijrahan dirinya, Izam berkata, ia bermula pada 2001. Ketika itu, dia didatangi sekumpulan tabligh yang berdakwah dari rumah ke rumah untuk menyampaikan dakwah Allah. Secara tidak langsung, kecekalan golongan itu berdakwah sedikit sebanyak menarik minatnya untuk terus mengenali Islam dengan lebih dekat. "Saya akui, sebelum ini, saya lalai dan gagal menunaikan suruhan Allah iaitu sembahyang lima waktu. "Saya kagum dengan tabligh itu dan saya berusaha untuk mengenali kehidupan mereka. Sejak itu bermulalah haluan saya untuk menjadi ahli masjid. "Untuk percubaan pertama, saya bermalam di masjid itu selama tiga hari dan latihan pertama saya ialah mendirikan solat lima kali sehari," katanya yang kini aktif berceramah sekitar Melaka, Johor, Parit Buntar dan Kuala Kangsar. Menurut Izam, rasa ingin tahu dan belajar terus membuak-buak dalam dirinya apabila mendengar hadis yang dibacakan ahli-ahli tabligh. Izam akui, bukan mudah untuk mendalaminya dan ia memerlukan masa untuknya menuju ke arah itu. "Saya tak sedar di sebalik penubuhan EYE, yang melambangkan 'mata' itu ada makna lain yang lebih besar iaitu, 'Engkau Yang Esa'. Walaupun saya mengambil masa lama untuk mendekati Allah, tapi saya bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk mengenali dan beramal kepada-Nya," kata Izam sambil tidak putus-putus meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. |
Tun Faisal Exco Pemuda UMNO Malaysia belasah PAPA GOMO penipu dalam blognya Posted: 22 Jul 2011 06:25 AM PDT PASPB Ada beberapa blogger yang saya kenali sebagai penipu. Salah seorang daripadanya adalah Papagomo. Cuma sebelum ini saya fikir penipuannya bertempat, namun nampaknya penipuannya memang melampaui batas. Dulu Papagomo tidak ego dan bongkak seperti hari ini. Ada yang bercerita, kabarnya dulu Papagomo adalah seorang anggota polis yang menghadapi tindakan kes disiplin. Benar atau tidak saya tidak mahu mengambil tahu sangat sebab ianya tidak penting kepada saya ketika itu. Cuma saya dimaklumkan bahawa Papagomo hanya berpendidikan menengah dan terpaksa menyara hidup dengan berniaga di uptown menjual barangan tiruan. Ketika itu Papagomo tidak seperti Papagomo yang sekarang yang bongkak dan penuh penipuan. Penipuan yang nyata ialah apabila saya minta dia menjelaskan tentang kandungan sms saya - sama ada ada disebut di dalam sms itu tentang hendak membawa dia ke Lembaga Disiplin parti, dia gagal menjawab Ya atau TIDAK. Dia tahu dia berbohong. Sebab itu saya mintakan pula dia tunjukkan sms itu kepada rakan-rakan twitter yang lain, itu pun dia tidak berani lakukan sebab pasti pembohongannya akan terbongkar. Papagomo juga tidak beretika. Ketika dia menyerang saya menggunakan blog selepas PRK Kerdau, saya telah mengambil masa untuk menjelaskan pelbagai perkara melalui BBM. Saya fikir ia akan berakhir di BBM sahaja, tetapi sikap tidak beretika Papagomo amat ketara apabila dia bertindak memburuk-burukkan saya dan UMB melalui tambahan dua lagi posting di blognya. Dalam kes terbaru, Papagomo merasa tidak puas hati apabila saya melaporkan tweetnya berkaitan Menteri Dalam Negeri dan KDN kepada Setiausaha Politik. Ini adalah rutin biasa seorang pagawai dan saya telah mencadangkan kepada Setiausaha Politik untuk menegur Papagomo melalui saluran parti, iaitu melalui Ketua UMNO Bahagian Wangsamaju memandangkan Papagomo adalah ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Wangsamaju. Dalam hal ini hanya empat pihak sahaja yang perlu tahu. Saya, Setiausaha Politik, Ketua UMNO Bahagian Wangsamaju dan Papagomo. Sama ada dia setuju atau tidak dengan teguran itu, respon terhadap teguran itu boleh dibuat melalui saluran yang sama tanpa perlu menghebahkannya kepada sesiapa. Tetapi, oleh kerana Papagomo ini tidak memahami kaedah parti, dia telah menjadikannya sesuatu isu yang besar menggunakan media online. Soalan saya - Apakah Papagomo terlalu besar, lebih besar daripada Perdana Menteri sehingga tidak boleh ditegur secara politik? Bongkaknya seorang blogger dan ahli parti jika berfikiran sebegini. Bagi saya Papagomo sudah terlalu bongkak dan merasakan dia sentiasa betul, tetapi penakut dan bacul. Nasihat saya kepada Papagomo, jangan berlagak pondan. Masalah Papagomo hanyalah dengan saya. It's between you and me. Jangan jadi bacul dengan menggunakan nama blogger-blogger lain, seolah-olah hendak bersembunyi di belakang mereka. Selepas Kerdau dan PRN Sarawak telah timbul banyak prasangka di antara blogger dengan UMB disebabkan oleh perbuatan dan hasutan Papagomo. Saya terpaksa mengambil begitu banyak masa untuk memperbetulkan hubungan yang rosak akibat tohmahan Papagomo. Malah tuduhan bahawa blogger-blogger dilacurkan adalah penipuan kerana saya tidak pernah menggunakan nama sebarang blogger yang tidak mahu bersama UMB untuk memohon sebarang peruntukan. Jika Papagomo berani, tidak perlu gunakan nama blogger lain, sebaliknya hanya berdepan dengan saya sendiri. Apa yang hendak ditakutkan? Papagomo berjuang tanpa dibayar? Sangat kelakar bila dia mengatakan perkara ini. Sukar sebenarnya hendak memberi tugasan kepada Papagomo semasa PRK kerana dia tidak boleh mematuhi disiplin tertentu. Misalnya, dia akan sibuk menghurungi VIP sebab jika dia pergi menghurungi VIP, dia tahu dia akan mendapat sesuatu daripada mereka. Fokus akan hilang sebab yang penting bukan psy-war PRK lagi tetapi coverage VIP tertentu. Dalam PRN Sarawak, apa sahaja posting Papagomo? Paling kelakar semasa orang sibuk menyerang pembangkang dan mempertahankan BN, Papagomo khayal dangan kisah dia ditahan polis. Seolah-olah dia pula selebriti; mengalahkan PM dan menteri-menteri lain la pulak. Mujurlah ada video seks yang menyelamatkan mengangkat `martabat' Papagomo. Dalam PRN Sarawak sebenarnya ada lebih ramai blogger yang benar-benar menghasilkan posting yang secara tepat menjawab isu dan menyerang pembangkang dengan jauh lebih baik semasa PRN Sarawak berbanding Papagomo. Papagomo tidak ada peruntukan semasa di Sarawak? Satu lagi cerita kelakar... (Saya dah menulis sini tentang soal Papagomo dan bayaran, tetapi tidak mengapa saya simpan dulu untuk masa akan datang) Bagus. Papagomo telah berjaya meningkatkan taraf hidup. Bersyukurlah sebab masih ramai blogger termasuk yang selalu mengikuti program UMB yang belum ada pendapatan tetap dan berdepan dengan pelbagai masalah kewangan. Mereka ini tidak mengecapi apa yang telah dinikmati oleh Papagomo hari ini, tetapi mereka tetap berjuang untuk parti tanpa perlu menyerang sesama sendiri di dalam parti. Cukup-cukuplah menyalahkan UMB. UMB tidak ada masalah bekerja dalam serba kekurangan dan jika diberi penghak upayaan hanya semasa PRK dan PRN. Jika kita gagal semasa PRK dan PRN, UMB sebagai jentera parti akan memikul tanggung jawab itu. Tetapi jangan memfitnah UMB kononnya UMB mendapat begitu banyak peruntukan, sedangkan Papagomo sendiri menerima keistimewaan yang lebih banyak berbanding dari rakan-rakan tertentu di dalam UMB. Nasihat saya, jika telah menerima peruntukan, tetapi masih gagal melaksanakan tugas dengan baik semasa Perhimpunan Haram Bersih, walaupun dilengkapi dengan peralatan yang begitu canggih, Papagomo kena jadi berani dan tampil ke depan untuk memikul tanggung jawab. Jangan yang baik-baik saja claim credit, peruntukan sudah diambil tetapi tidak berani menanggung kelemahan. Bila sudah gagal, memfitnah dan menunding jari ke arah UMB sedangkan UMB tidak menerima keistimewaan seperti yang Papagomo terima. Papagomo, anda blogger sepenuh masa dan berbayar, buatlah tugas sebaik-baiknya. Alhamdulillah, walaupun tidak diberikan peruntukan seperti kumpulan tertentu, UMB telah berusaha melaksanakan tugas sebaik-baiknya. Latihan perang siber telah dilaksanakan secara berterusan agar lebih ramai pejuang siber di dalam parti dapat terlibat dalam kaedah yang lebih bersistematik dalam peperangan siber. Jika ada peruntukan, insya-Allah lebih cepat dan lebih banyak lagi program ini dibuat di seluruh negara. Jika tiada, tugas anggota UMB akan dijalankan seperti biasa. Saya sudah cukup bersabar dengan kerenah Papagomo yang suka berbohong dan memfitnah. Jika berterusan saya terpaksa mendedahkan lebih banyak kebenaran. Saya masih mahu berpegang kepada etika dan kerahsiaan, tetapi Papagomo - cukup, cukuplah..... |
Kerjasama DAP-PAS semakin kukuh Posted: 22 Jul 2011 06:22 AM PDT Oleh Amaluddin Zhafir KUALA LUMPUR– Hubungan akrab di antara DAP dan PAS, walau pun sesekali berdepan dengan masalah remeh, bukan sahaja berkembang di peringkat pimpinan tetapi juga semakin rapat di peringkat akar umbi. Sejak mula bekerjasama secara serius bagi menghadapi pilihan raya umum 1999, dan kemudian menyusuri masalah perbezaan ideologi pada awal 2000-an, hubungan yang agak keruh telah dipulihkan kembali menjelang PRU 2008. Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Liew Chin Tong berkata walau pun ramai yang berpendapat DAP dan PAS berbeza dari sudut ideologi, kedua-dua parti sebenarnya banyak persamaan dalam memperjuangkan hak-hak utama rakyat Malaysia. "Jika Pakatan Rakyat diberi amanah untuk memegang kuasa, DAP-PAS selesa sama satu lain dan berkongsi pandangan berkenaan agenda 'pendemokrasian' (democratisation) seperti menghapuskan akta-akta zalim, memberi ruang bersuara lebih luas, reformasi Parlimen, reformasi polis, reformasi media dan lain-lain. "DAP-PAS juga berkongsi agenda ekonomi yang sama, seperti konsep Negara Berkebajikan yang menumpukan dasar-dasar kerajaan untuk membantu 60 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan, yang mana kebanyakan mereka adalah orang Melayu" katanya kepada Roketkini. Beliau menambah kerjasama DAP-PAS di peringkat akar umbi juga terserlah bukan sahaja melalui kempen-kempen PRU dan PRK tetapi juga apabila program-program diadakan di peringkat cawangan dan bahagian. Liew yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera mengakui wujudnya perbezaan mengenai isu kebudayaan dan agama, tetapi beliau yakin bahawa pimpinan kedua-dua parti matang dan punya azam untuk memastikan isu tersebut diselesaikan dalam konteks permuafakatan Pakatan Rakyat. Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib yang dipetik sebagai berkata kepada Utusan Malaysia bahawa: "PAS dan DAP bukan 'satu hubungan yang kuat,' maknanya belum jadi satu parti." Timbalan Presiden PAS Muhammad Sabu ketika dihubungi Roketkini menjelaskan bahawa kerjasama DAP-PAS sedang dalam proses untuk diperkukuhkan lagi demi perpaduan Pakatan Rakyat. "Soal berbeza pandangan atau ideologi, itu perkara biasa dan memang setiap parti ada pendiriannya," katanya. Beliau menambah bahawa perbezaan kedua-dua parti bukan penghalang kerana kekuatan dalam Pakatan sentiasa kukuh dan setiap keputusan ditangani dan ditandatangani bersama. Mohamad turut memberi contoh sifat kerjasama itu seperti sebulat suara bersetuju dengan lapan tuntutan Bersih 2.0, selain menguatkan lagi dasar-dasar bersama Pakatan melalui Buku Jingga. Ketua Pemuda DAP Anthony Loke turut bersependapat bahawa DAP-PAS mempunyai kekekuatan yang tersendiri dan sememangnya berbeza dari sudut wadah perjuangan. Beliau menambah, kerjasama rapat yang sedia ada antara PAS dan DAP ini sudah cukup memberi ancaman kepada UMNO-BN, walau pun kerjasama ini belum betul-betul kukuh. "Cabaran yang paling penting buat DAP ialah meyakinkan orang bukan Melayu untuk menyokong PAS, dan cabaran bagi PAS pula ialah meyakinkan Melayu-Muslim menyokong DAP. Kdua-dua parti ini pula bersama dengan PKR bagi membulatkan tekad dan usaha Pakatan Rakyat," katanya. Beliau tidak menafikan kerjasama erat itu, terutamanya di kalangan golongan muda, sudah membuahkan sedikit hasil dengan memberi contoh perhimpunan aman Bersih 2.0 baru-baru ini yang mana berjaya memecah tabu kaum, agama, dan budaya. |
Anugerah Ibrahim Ali atau anugerah untuk Ibrahim Ali? Posted: 22 Jul 2011 06:21 AM PDT Oleh Muhammad Zir Jika ada pengiktirafan untuk mahasiswa yang dinamakan Anugerah Pak Sako, Anugerah Usman Awang atau Anugerah Pendita Za'aba bagi mana-mana kolej atau universiti di Malaysia, pasti ibu bapa atau diri si penerima itu akan merasa bangga, kembang berbunga dan mekar mewangi. Kerana apa? Kerana ikon-ikon itu sememangnya diperakui kehebatan pemikiran, sumbangan idea dan karya mereka yang telah terbukti menjadi suatu tinta mata air ilmu pengetahuah buat anak-anak bangsa. Begitu juga kisahnya dengan Rural Industrial Development Authority (RIDA) yang ditubuhkan 1950.Ia adalah cetusan idea Dato' Onn Jaafar untuk membantu meningkatkan taraf hidup orang Melayu. Menjelang Merdeka, RIDA telah menubuhkan Dewan Latihan RIDA yang menawarkan kursus-kursus perniagaan, perakaunan dan kesetiausahaan. Kemudian, Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama pada 1965 telah mencapai rumusan untuk menukar nama RIDA kepada Majlis Amanah Rakyat atau MARA, dan dengan itu Dewan Latihan RIDA juga bertukar wajah menjadi Maktab MARA. Pada akhir 1960-an, ia sekali lagi bertukar nama menjadi Institut Teknologi MARA, yang lebih dikenali dengan gelaran 'Institut Tolong Melayu'. Sejak tahun 2000, ia telah dinaikkan taraf menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM). Hasrat asal penubuhan RIDA tidak lain dan tidak bukan untuk manfaat anak-anak bangsa yang datang dari kaum Bumiputera bagi mendapat latihan secara professional demi membangunkan taraf hidup orang-orang Melayu. Itu hakikat penubuhan dan perjuangannya. Dato' Onn sendiri, kita ketahui sebagai seorang nasionalis yang amat mengambil berat tentang tahap pendidikan kaum Melayu zaman itu. Justeru, penubuhan RIDA yang kini dikenali sebagai MARA telah mewujudkan ITM dan UiTM yang merupakan sebahagian dari hasrat murni beliau. Kini, zaman telah berubah. Niat asal untuk membantu meningkatkan taraf hidup Melayu dan Bumiputera telah bertukar menjadi institusi untuk satu kaum sahaja tanpa mengira paras kemiskinan, kemampuan dan keperluan. Walau pun UiTM dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui hasil sumber negara dan wang cukai rakyat pelbagai kaum, institusi untuk membantu pelajar Bumiputera dari keluarga berpendapatan rendah telah menjadi medan untuk kumpulan-kumpulan ultra kaum menyebarkan dakyah mereka. Dengan itu, datang cadangan untuk memberi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar yang "memperjuangkan bangsa". Pemberian anugerah pada zaman ini, rata-ratanya sekadar untuk syok sendiri. Dengan kata lain, untuk memuaskan nafsu dan publisiti politik. Tidak ada kewajaran dalam hujah ilmiah. Namun tidak mengapa, kerana itu adalah hak mutlak universiti terbabit, sama ada anugerah murahan seperti itu akan menjatuhkan imej institusi terlibat, ia terpulang kepada mereka yang bertanggungjawab meluluskannya. Mungkin dari satu sudut, Anugerah Ibrahim Ali ini sudah kena pada masa dan tempatnya kerana pemimpin Perkasa itu sememangnya seorang tokoh besar dalam politik Malaysia pada masa kini. Beliau antara ahli politik paling banyak melompat parti dan paling kerap mengubah prinsip perjuangan. Penerima anugerah itu pasti bangga dikaitkan dengan Ibrahim Ali yang mampu membuktikan kepada masyarakat Melayu bahawa politik melompat ke sana dan ke mari mengikut selera peribadi serta menyemai rasa benci dengan kaum-kaum lain adalah sesuatu yang hebat dan patut menjadi teladan. Sepatutnya UiTM sudah lama mewujudkan anugerah seprestij ini; mungkin perlu diperkenalkan sewaktu Ibrahim Ali meninggalkan UMNO untuk menyertai Semangat 46, atau selepas meninggalkan Semangat 46 untuk kembali bersama UMNO, atau meninggalkan UMNO sekali lagi untuk menziarahi dan mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan dari penjara. Atau mungkin, selepas Ibrahim Ali menang pilihan raya umum 2008 atas tiket PAS, dan kemudian mengecam dan mengutuk PAS yang kini bersama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Begitu hebat sekali anugerah ini sehingga dapat kita samakan dengan Hadiah Nobel versi Ketuanan Melayu. Dan jangan kita lupa bahawa UiTM sememangnya sebuah institusi pengajian tinggi yang paling tepat untuk mengadakan anugerah sebegini. Secara tidak langsung, dengan adanya anugerah ini, Universiti Malaya atau Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya akan semakin jauh ketinggalan dalam arus popular pemberian anugerah. Mungkin dengan adanya Anugerah Ibrahim Ali ini, rating UiTM akan naik mendadak di kalangan universiti-universiti terkemuka di dunia. Mahasiswa yang menerima anugerah ini pasti menggegarkan dunia dengan semangat anti-demokrasi, anti-kebebasan, anti-meritokrasi, anti-pilihan raya bebas, adil dan bersih, serta menjadi pendukung Ketuanan Melayu. Dan secara tidak langsung, UiTM yang lahirnya dari RIDA dan MARA akan menjadi penyumbang kepada penghasilan insan-insan yang akan menjadi ahli dan pewaris Perkasa yang suatu masa nanti bakal mencabar UMNO. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan Ibrahim Ali yang memperkudakan institusi seperti UiTM, demi mencapai cita-cita politiknya. Mungkin pemimpin Perkasa itu sedar bahawa dengan sekadar, jika ada, Piala Ibrahim Ali bagi pertandingan futsal di peringkat daerah, ia adalah terlalu kecil berbanding dengan kebesaran, ketokohan dan ego kepimpinannya. Jika Dato' Onn masih hidup, pasti berlinangan air matanya. |
Posted: 22 Jul 2011 05:28 AM PDT Oleh Amaluddin Zhafir Penubuhan muzium berita yang dicadangkan di bangunan pengarang Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur itu sangat penting bagi suara UMNO itu kerana bakal menyimpan segala laporan berita untuk tatapan semua jenis manusia, sama ada yang betul bendul atau multi-bendul. Di dalam Utusan Malaysia ruangan Rencana semalam yang bertajuk "Utusan perlu pelopori newseum" sungguh jelas membawa erti nyata kepada keseluruhan rakyat Malaysia bahawa cadangan penulis rencana tersebut memang mahukan Utusan memonopoli muzium akhbar, itu pun jika dibaca oleh 205,561 orang (dari laman Facebook 100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation sehingga pagi ini) yang menuntut Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan. Penulis rencana Utusan itu yang melawat Newseum di Washington D.C. baru-baru ini telah memuji-muji newseum tersebut sehinggalah beliau tertarik kepada satu bahagian di dalam muzium tersebut yang menyenaraikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan akhbar. Mengenai kebebasan akhbar di Malaysia, bukan sahaja Amerika Syarikat yang tahu, malah seluruh dunia dan yang paling penting, rakyat Malaysia sendiri lama sudah sedar mengenai kekangan melampau kerajaan terhadap media. Bagaimana pun, sebaliknya penulis tersebut mengatakan bahawa "kita tidak perlu terasa hati sangat tentangnya". Malah, beliau berpendapat supaya newseum yang beliau lawati itu boleh dijadikan insiprasi kepada penubuhan newseum yang patut digerakkan oleh Kumpulan Utusan sahaja. Dan tidak ada salahnya jika newseum untuk Utusan Malaysia sahaja; malah sangat dialu-alukan supaya diwujudkan segera memandangkan jangka hayat UMNO-BN sejak perhimpunan aman Bersih 2.0 lalu seumpama telur di hujung tanduk. Manakan tidak terumbang-ambing, mengikut Alexa.com, laman-laman web alternatif yang mana dianggap sebagai "pembangkang" oleh kerajaan UMNO-BN mendahului jauh laman web Utusan Online, selain Google Trends menunjukkan Bersih 2.0 lebih popular dari Perdana Menteri Malaysia. Kemandulan Utusan bermula sejak kematian tradisi kewartawanan pada 1961, akibat campur tangan UMNO-BN. Utusan Melayu (sekarang Utusan Malaysia) kini menjadi sebuah akhbar "pemangkin fikiran rakyat" yang sangat berkesan sehingga kebanyakan rakyat sudah terpelanting jauh dari pangkin yang didodoi UMNO-BN selama ini. Penubuhan newseum itu sememangnya akan menjadi sebuah muzium sejati yang bakal menyimpan segala karenah UMNO-BN sepanjang 40 tahun selepas kudeta yang menyingkirkan tokoh wartawan Said Zahari dari jawatan Ketua Pengarang kerana beliau hanya mahukan keadilan dan kebebasan akhbar. Cumanya, jika sekadar hanya untuk sebuah akhbar sahaja yang memonopoli muzium tersebut – jauh sama sekali dengan newseum di Amerika Syarikat yang mana semua jenis akhbar turut menyumbangkan arkib mereka, mungkin akhbar-akhbar kawalan UMNO-BN yang lain seperti Berita Harian, The Star dan New Straits Times akan terasa hati pula. Bagaimana pun, jika newseum itu dipelopori oleh Kumpulan Utusan sahaja, mudah bagi UMNO untuk memastikan generasi akan datang hanya akan memahami pergolakan sosial dan politik dari satu dimensi sahaja. Sepatutnya Utusan tidak menubuhkan newseum tetapi ia perlu mewujudkan propaseum atau muzium propaganda yang dapat menjadi bahan rujukan antarabangsa bagaimana UMNO menguasai negara sejak lebih setengah abad melalui propaganda. Agak memalukan dunia jika Utusan mahu menubuhkan newseum yang kononnya dari inspirasi Newseum di Amerika kerana di sana matlamatnya ialah memperjuang kebebasan bersuara dari merata sudut global sejak 500 tahun lalu sedangkan di sini ia sekadar penyambung fitnah UMNO. Lebih jujur kiranya Utusan menubuhkan muzium propaganda supaya para intetek dan pengkaji dari seluruh dunia dapat menggunakan kemudahan tersebut untuk kajian perbandingan mereka bagi membezakan di antara kewartawanan dan propaganda, di antara kebebasan akhbar dan kongkongan media. |
Waran tangkap 13 individu, termasuk Anwar tidak sah tanpa notis- Surendran Posted: 22 Jul 2011 05:27 AM PDT Oleh: Norutul Ilham KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran berkata, waran tangkap yang dikeluarkan kepada 13 individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sah kerana mereka tidak pernah menerima sebarang notis sebelum ini. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata pihak berkuasa itu mengeluarkan waran tangkap ke atas individu penting tersebut kerana pembabitan mereka dalam perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu. Ismail berkata waran itu dikeluar ekoran mereka gagal memberi keterangan pada 11 Julai lalu selepas diarah berbuat demikian bagi membantu siasatan polis. Namun Surendran mempersoalkan mengapa waran itu dikeluarkan tanpa sebarang pemberian notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah. "Kita dapat tahu tidak seorang pun antara mereka diberitahu atau mendapat mana-mana notis daripada polis," "Kita tidak faham kenapa waran tangkap boleh dikeluarkan walaupun tiada notis. Walaupun kita tahu polis berat sebelah, tetapi jika dipanggil beri keterangan (dengan notis), kami tetap hadir," kata Surendran, yang juga seorang peguam kepada Keadilandaily. Justeru itu katanya, beliau menuntut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar supaya bukan sahaja memberikan penjelasan berhubung perkara itu, malah meminta maaf kepada semua individu tersebut. "Ketua Polis Negara perlu beri penjelasan dan meminta maaf kepada 13 individu tersebut. "Ini salah dari segi undang-undang, langsung tidak ada sebab untuk mereka hadir (beri keterangan)," katanya sambil menyifatkan polis mempunyai niat jahat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan Bersih 2.0. Berita Harian hari ini melaporkan polis akan mendapatkan waran tangkap ke atas 13 individu, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung penganjuran himpunan Bersih yang lalu. Selain Anwar, mereka yang lain adalah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar, aktivis Bersih 2.0 Wong Chin Huat, pengendali blog Haris Ibrahim, peguam Latheefa Koya dan aktivis Badrul Hisham Shaharin. Sementara anggota parlimen Pakatan Rakyat pula yang termasuk dalam senarai itu R Sivarasa (Subang), Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai). Husam Musa dan Dr Hatta dalam laporan Malaysiakini hari ini menyatakan mereka tidak dihubungi oleh polis berhubung perkara itu. |
Video: Gas pemedih mata dilepaskan tepat ke arah peserta Bersih Posted: 22 Jul 2011 05:21 AM PDT KEADILAN DAILY (Oleh: Ahmad Fadli)
KUALA LUMPUR: Meskipun berulangkali menafikan, terdapat bukti jelas menunjukkan Polis di Raja Malaysia melepaskan tembakan gas pemedih mata secara tepat ke arah peserta Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu. Tembakan tersebut yang dilakukan secara mendatar ke arah orang ramai, menyalahi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibenarkan. Beberapa rakaman yang disiarkan di internet terutama menerusi laman Youtube membuktikan perkara itu. Salah satunya rakaman video oleh sebuah portal berita. Video berdurasi kira-kira 14 minit itu menunjukkan tembakan dilepaskan di dua tempat berasingan bermula di KL Sentral dan Dataran Merdeka. Bermula minit ke 7:48, rakaman itu menunjukkan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), menghalakan penembak gas tepat ke arah peserta yang berkumpul antara jarak 20 hingga 30 meter di KL Sentral. Mengikut pemerhatian dalam rakaman berkenaan, polis tidak mensasarkan tembakan pada paras 45 darjah ke udara seperti sepatutnya dilakukan, sebaliknya disasarkan pada paras hidung. Sekurang-kurangnya tiga das pertama tembakan dilepaskan ke arah peserta himpunan dengan muncung senapang dihalakan terus ke arah mereka. Bermula minit ke-8 pula, tujuh lagi das tembakan dilepaskan mengakibatkan orang ramai terperangkap di laluan bawah KL Sentral. Keadilandaily difahamkan dua arah laluan berkenaan pada masa itu telah pun dikepung pasukan FRU. Visual polis menembak terus ke arah ratusan peserta himpunan berhampiran Dataran Merdeka pula ditunjukkan bermula pada minit ke-12. Polis tanpa teragak-agak turut melepaskan tembakan kanister termasuk ke arah seorang orang kelainan upaya (OKU) bertongkat yang turut sama berhimpun di situ. Cara polis melepaskan tembakan gas pemedih mata sebelum ini menjadi isu kerana kanister yang dilepaskan secara mendatar menyebabkan kecederaan teruk kepada orang awam. Ia bertentangan sekali dengan arahan atau kaedah penggunaan yang tertera pada Kanister gas tersebut yang menyebut 'Do Not Fire Directly At Persons' atau 'Jangan tembak ke arah orang ramai'. Kanister yang bergerak pada halaju tinggi itu juga menyebabkan kecederaan parah pengawal peribadi Anwar, Fayyadh Al-Bakqry menyebabkan pipinya remuk dan terpaksa menjalani pembedahan. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menerima enam jahitan di kepalanya akibat terkena tembakan kanister gas pemedih mata itu. KeadilanDaily sebelum ini mendedahkan kanister yang digunakan polis adalah dari jenis sama yang digunakan tentera Israel dalam memerangi rakyat Palestin. Video tembakan itu boleh didapati di sini (http://www.youtube.com/watch?v=nYPlTFwQfUY) |
Tembak kanister gas, Khalid Samad pertimbang saman polis Posted: 22 Jul 2011 05:20 AM PDT Oleh: Nabihah Hamid KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam , Khalid Samad yang menerima enam jahitan di kepala akibat ditembak kanister gas pemedih mata 9 Julai lalu, mempertimbangkan untuk mengemukakan saman terhadap polis. Ia berikutan tindakan polis melepaskan gas pemedih mata secara tepat ke arah peserta himpunan Bersih dan menjadikan beliau antara sasaran keganasan tersebut. "Kita akan tunggu dan saya akan mendapatkan nasihat pihak peguam dan saya akan mempertimbangkan untuk menyaman pihak polis di mahkamah" katanya ketika dihubungi Keadilandaily. Beliau pada masa sama menyifatkan pihak polis cuba menegakkan benang yang basah apabila menuduh pimpinan Pakatan Rakyat berbohong dan berlakon tentang keganasan yang dilakukan polis dan FRU. Pada 9 Julai lalu, Khalid Samad mengalami kecederaan teruk di kepala selepas terkena kanister gas pemedih mata FRU di laluan bawah KL Sentral, semasa himpunan aman Bersih 2.0. Kanister tersebut- juga dipercayai digunakan tentera Israel- turut menyebabkan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Al-Bakqry mengalami kecederaan parah, menyebabkan tulang pipinya remuk dan terpaksa menjalani pembedahan. Fayyadh pada masa itu cuba melindungi Anwar dari terkena serangan kanister gas itu. Sekurang-kurangnya 12 tembakan mendatar dilepaskan ketika peserta himpunan itu terperangkap di laluan bawah KL Sentral, dengan tembakan tidak disasarkan 45 darjah ke udara seperti sepatutnya. Ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kelmarin, peguam yang mewakili Fayyadh, N Surendran berkata, tembakan gas itu diarahkan oleh Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid. N Surendran berpendapat tindakan itu merupakan satu usaha serius untuk mendatangkan kecederaan, malah membunuh orang ramai. |
‘Paksa hingga bunuh diri sama dengan membunuh’ – Lim Kit Siang Posted: 22 Jul 2011 05:18 AM PDT KEADILAN DAILY KUALA LUMPUR : DAP menyifatkan tindakan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memaksa secara agresif sehingga menyebabkan Teoh Beng Hock membunuh diri adalah sama dengan tindakan membunuh. Sehubungan itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menuntut SPRM bertanggungjawab ke atas kejadian itu. "Paksa sehingga bunuh diri turut mirip tindakan membunuh, oleh itu, SPRM bertanggungjawab berhadapan dengan kesannya," kata Lim Kit Siang. "Anda tidak boleh ada satu situasi ia bukan (kes) dibunuh tetapi (sebaliknya) (tekanan) paksaan (ke arah) membunuh diri," kata beliau, lapor Harakahdaily. Teoh Beng Hock dilaporkan membunuh diri ekoran taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan oleh tiga pegawai SPRM seperti mana diberitahu Suruhanjaya Diraja Menyiasat kematian mendiang. Media semalam melaporkan ibu kepada mendiang Beng Hock menolak hasil siasatan dan keputusan yang menyatakan kematian anaknya berpunca bunuh diri. Teng Huw Hoi, 58, berkata beliau tetap yakin bahawa Teoh tidak membunuh diri atas alasan anaknya itu seorang yang baik. "Saya seorang ibu, saya tidak boleh terima anak saya mati bunuh diri," katanya kepada pemberita. Enggan mengulas lanjut, Teng sebaliknya menyerahkan kepada pihak peguam untuk mengeluarkan kenyataan. Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan. |
Himpunan Bersih: Polis, media boleh disapina- Suhakam Posted: 22 Jul 2011 05:16 AM PDT KEADILAN DAILY KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta orang awam menyerahkan bukti dan maklumat berhubung kekerasan yang melampau oleh polis, sebelum dan semasa perhimpunan Bersih pada 9 Julai. Menurutnya kenyataan yang dikeluarkan hari ini, suruhanjaya itu menyatakan ia mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sapina kepada saksi-saksi berkaitan termasuk orang awam, media dan pihak polis. Kuasa itu dinyatakan di bawah Seksyen 14 (1) (a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Ia ekoran suruhanjaya itu akan mengadakan siasatan awam berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia ketika perhimpunan aman Bersih 2.0. Siasatan dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen. Suhakam berkata orang awam boleh memberi maklumat, dokumen serta bukti, termasuk rakaman video/gambar, dengan menghubungi suruhanjaya itu segera. "Kuasa ini adalah menurut seksyen 14 (1) (a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk mendapat dan menerima segala keterangan, bertulis atau lisan, dan untuk memeriksa semua orang sebagai saksi sebagaimana yang Suruhanjaya merasa perlu atau patut diperoleh atau diperiksa," katanya. Untuk pertanyaan dan penyerahan awam, orang awam boleh menghubungi Ameer Izyanif Hamzah atau Encik Shahizad Sulaiman di Suhakam, Aras 13, Menara TH Perdana, 50250 Jalan Sultan Ismail sebelum 2 Ogos 2011. Turut dinyatakan Nombor telefon untuk dihubungi di talian 03 2612 5669 /5623; Faks: 03 2612 5620 / 5694 dan Emel: complaints@suhakam.org.my/humanrights@suhakam.org.m |
Wiliam Bourdon dihantar pulang tanpa sebab ke Perancis Posted: 22 Jul 2011 05:13 AM PDT KEADILAN DAILY KUALA LUMPUR: Peguam Perancis, Wiliam Bourdon, dihantar pulang ke negara asalnya selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh pegawai imigresen tengahari tadi. Beliau sepatutnya hadir untuk berucap dalam majlis makan malam anjuran Suara Rakyat Malaysia di Petaling Jaya malam ini, bagi mendedahkan skandal pembelian kapal selam Scorpene melibatkan komisen RM540 juta. Bourdon semalam berada di Bayan Baru, Pulau Pinang bagi membongkarkan kes berprofil tinggi itu kepada umum, sebelum berlepas ke KLIA pagi tadi. Namun beliau bersama isterinya ditahan oleh Pegawai imigresen di dalam pesawat yang dinaikinya sebaik sahaja mendarat di KLIA. Peguam itu ditahan lebih lima jam di pusat tanahan imigresen KLIA tanpa dibenarkan mendapatkan akses peguam, serta diarahkan untuk pulang semula ke negaranya. Beliau dijangka dihantar semula ke Paris pada pukul 11.30 malam ini dengan membeli tiket menggunakan wang sendiri. Dalam satu kenyataan bertulis, Bourdon berkata beliau tidak faham situasi itu kerana tiada penjelasan diberikan pihak berkuasa Malaysia. "Saya di sini mengisytiharkan yang saya bertindak sebagai peguam kepada NGO Suaram dalam menjalankan tugas saya dan saya menjalankan tugas dan mematuhi peraturan Malaysia dan antarabangsa. "Saya menganggap penghantaran pulang ini sebagai pencabulan kepada hak saya untuk menjalankan tugas saya sebagai seorang peguam secara bebas," ujarnya. Bourdon berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan – Sherpa – dan mengkhusus dalam membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan. Beliau merupakan peguam yang dilantik Suaram bagi mengendalikan kes dakwaan rasuah membabitkan pembelian Scorpene yang kini difailkan di mahkamah terbuka Perancis. Beliau dijangka mendedahkan pembelian kapal selam negara dengan firma pertahanan Perancis DCNS dalam tiga majlis anjuran Suaram di Bayan Baru, Petaling Jaya dan Ipoh. Kapal selam Scorpene buatan Perancis itu dicemari dengan kontroversi komisyen RM540 juta dan turut dikaitkan dengan pembunuhan kejam wanita Monggolia, Altantuya Shaariibu. |
Polis bohong, saya dirempuh Proton Waja, bukan Pajero- Mat Sabu Posted: 22 Jul 2011 05:08 AM PDT Oleh: Rusnizam Mahat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menggesa pihak polis menarik semula kenyataan bahawa beliau membuat tuduhan palsu dilanggar kenderaaan polis pada 9 Julai lalu, atau berdepan tindakan saman. Ketika dihubungi Keadilandaily, Mohamad berkata beliau dirempuh kereta Proton Waja polis, dan bukan kenderaan Pajero seperti yang didakwa pasukan keselamatan itu. Katanya, perkara itu turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat beliau pada 14 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi. "Saya minta tarik balik pembohongan, kalau tidak kita akan saman polis dan Datuk Salleh Mat Rashid (Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman) kerana melakukan fitnah," katanya kepada Keadilandaily. Berdasarkan rakaman CCTV yang ditayangkan polis, katanya, rakaman itu juga menunjukkan sebuah kereta Proton Waja mengekori Pajero terbabit ketika sedang mengejar motosikal yang diboncengnya ketika itu. "Dalam video polis, yang tidak ditunjuk adalah kereta Waja yang di belakang kereta Pajero yang melanggar motosikal itu," "Kereta Waja yang cross itu (yang melanggar)," kata beliau. Ketika ditanya laporan media 11 Julai lalu yang mengatakan beliau dilanggar Pajero polis, Mat Sabu berkata terdapat berbagai pandangan pada masa itu. " Tetapi selepas bertanya kepada penunggang saya, kereta Waja itu yang melanggar," katanya. olis semalam dilapor tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ke atas Mat Sabu kerana didakwa membuat tuduhan palsu bahawa kenderaan polis merempuh motosikal yang dinaikinya. Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman,Datuk Salleh Mat Rashid, berkata dakwaan itu tidak mempunyai kebenaran. Malah polis juga tampil dengan rakaman CCTV menunjukkan Mat Sabu terjatuh dari kenderaan selepas terlanggar 'fender' Pajero. Namun, rakaman CCTV itu juga menunjukkan sebuah proton Waja mengekori rapat di belakang Pajero berkenaan, sebelum dikatakan merempuh motosikal dinaiki Mat Sabu. Pada masa itu motosikal yang diboncengnya, sudah terbabas ke tengah jalan ketika Pajero itu melepasi mereka. Namun bahagian rakaman di mana Proton Waja itu dikatakan melanggar Mohamad, tidak ditunjukkan oleh pihak polis. |
Bongkar Scorpene, peguam Perancis ditahan di KLIA Posted: 21 Jul 2011 09:53 PM PDT KEADILAN DAILY KUALA LUMPUR: Peguam dari Perancis, Wiliam Bourdon yang mendedahkan skandal pembelian kapal selam Scorpene, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Perkara itu dinyatakan Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya dan peguam Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri di laman Twitter. Menurut Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel, pegawai imigresen masuk ke dalam pesawat untuk menahan Bourdon sebaik sahaja beliau mendarat di KLIA. Bourdon merupakan peguam yang dilantik Suara Rakyat Malaysia (Suaram), tiba ke negara ini bagi membongkar skandal pembelian kapal selam Scorpene dan misteri kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu. Beliau hadir bagi memberi ucap utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram), yang diadakan di Bayan Baru, Petaling Jaya dan Ipoh. Majlis makan malam itu juga bertujuan mengumpul dana untuk membiayai kos guaman terhadap kes pembelian Scorpene yang difailkan di mahkamah terbuka Perancis. Pesawat yang membawanya dari KLIA dilapor tiba pada jam 10.25 pagi di Bayan Baru semalam. Beliau sepatutnya dijadual berucap pada majlis makan malam di Dewan Sivik MBPJ, malam ini selepas berucap pada majlis anjuran yang sama di Bayan Baru. |
Asrama Pekerja Asing : Umno Dan MCA Tidak Tahu Fakta Posted: 21 Jul 2011 09:49 PM PDT Ditulis oleh Mohd Ezli Mashut SHAH ALAM : Cadangan kerajaan negeri untuk membangunkan asrama bagi pekerja-pekerja asing di Petaling Jaya adalah untuk memastikan ianya diurus dengan lebih baik mudah di samping menyediakan kemudahan selesa dengan kawalan keselamatan ketat, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin. Menurut Faekah, asrama pekerja asing ini juga berupaya membanteras kewujudan koloni setingan asing. Malah asrama ini boleh dijadikan pusat latihan sekali gus membuka peluang perniagaan baru kepada usahawan tempatan. "Kajian ke atas pekerja asing menunjukkan bahawa penubuhan penempatan berpusat seperti asrama berpontensi mengurangkan penderaan oleh majikan yang tidak bertanggungjawab dan mengelak berlaku rasuah di kalangan agensi penguatkuasaan. Dari sudut kesihatan pula, pusat penempatan ini dapat membantu mengawal penyebaran penyakit dengan adanya persekitaran yang selesa dan sihat berbanding rumah-rumah kongsi yang banyak terdapat di negara ini," katanya dalam kenyataan media. Faekah berkata, Asrama ini dicadang berikutan komitmen pelabur antarabangsa untuk meneruskan perniagaan di Selangor dan mengelak pelabur memindahkan operasi ke negara lain. Penduduk tempatan diberi keutamaan untuk mengisi jawatan kosong dan kerajaan negeri berusaha untuk memastikan penduduk tempatan tidak menganggur. Bagaimanapun, penduduk tempatan kurang berminat bekerja di sektor peindustrian yang menawarkan lebih 60,000 kekosongan dan ini menyebabkan permintaan terhadap tenaga kerja asing terus meningkat. "Kita perhatikan berlaku percanggahan pendirian antara pemimpin UMNO dan MCA dalam isu ini. Mereka mendakwa cadangan asrama ini akan menyebabkan kekurangan rumah untuk rakyat tempatan dan satu pihak lagi mendakwa banyak bilik sewa akan kosong di kawasan Sungei Way. Dakwaan ini tidak logik dan membuktikan pemikiran rendah pemimpin UMNO dan MCA. Ini sekali lagi menunjukkan politik kotor yang dimainkan UMNO dan MCA yang jahil tentang isu sebenar," ujar Faekah. |
Bersih : Keluarga Baharudin Mahu Tonton Video Polis Posted: 21 Jul 2011 09:48 PM PDT Ditulis oleh Naeem Raffi SHAH ALAM : Keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad, mahu menonton video yang disiarkan oleh polis hari ini bagi mensabitkan dakwaan kononnya kematian Allahyarham tidak berkait dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu. Peguam keluarga mangsa, Ahmad Zuflis Faiza menjelaskan pihaknya juga ingin mengetahui sumber video itu dan hanya akan memberikan reaksi setelah menonton rakaman berkenaan. "Saya tidak boleh beri sebarang komen kerana saya sendiri belum melihat video itu, dimana tempat kejadian dan sebagainya," kata beliau. Polis hari ini menunjukkan rakaman CCTV menunjukkan detik-detik cemas Baharuddin berlari ke pusat membeli-belah Avenue K sebelum rebah. Beliau dipercayai mencari perlindungan di pusat membeli belah itu untuk melepaskan diri daripada asakan polis yang melepaskan pancutan air berkimia di KLCC. Rakaman itu tidak menunjukkan anggota polis mengejar beliau namun kawasan KLCC yang berdekatan ketika itu menjadi sasaran polis untuk menyuraikan peserta Bersih. Polis menolak dakwaan bahawa Allahyarham menjadi mangsa asakan polis dan bertegas bahawa kematiannya tidak ada kena mengena dengan tindakan pihak berkuasa. Polis menyatakan Baharudin meninggal dunia akibat penyakit jantung namun sehingga ini keluarga Allahyarham masih belum diberikan laporan hasil bedah siasat berkenaan. |
Norman Nikah 24 September, Persalinan Memey RM7.2 Juta Posted: 21 Jul 2011 09:42 PM PDT Ditulis oleh zeanaaima KUALA LUMPUR : Pelakon Memey Suhaiza yang akan mendirikan rumah tangga dengan Norman Hakim, akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut — yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta — pada majlis persandingan di Crowne Plaza Mutiara di sini, 28 September ini. Menurut laporan media, Memey, 23, akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 tajaan Rafflesia untuk majlis persandingan dan acara memotong kek. Norman adalah bekas suami pelakon Abby Abadi dan mereka mempunyai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danish Hakim. Mereka bernikah pada 8 Januari 2002. Bill Bora selaku wakil Rafflesia memberitahu, sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pernah mengenakan gaun bertatah mutiara bernilai RM400,000 pada hari persandingannya. Selain dua persalinan itu yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk dipadankan dengan pakaian tersebut. "Sejak minggu lepas, borang penyertaan untuk rekaan pakaian perkahwinan Memey sudah dibuka kepada semua pereka fesyen yang berminat. "Pakaian itu kelak akan dipadankan dengan anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara. Terpulang kepada pereka untuk menghasilkan pakaian itu, namun kedua-duanya perlu dihiasi mutiara," katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini. Selain itu, Memey juga akan mengenakan dua pasang kasut rekaan khas Datuk Jimmy Choo, kata beliau. Menurut Bill, Memey amat beruntung kerana pereka kasut ternama itu sudi menghasilkan kasut khas bertatah mutiara untuk majlis perkahwinannya yang dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang. "Persandingan mereka boleh dianggap sebagai wedding of the year kerana mendapat sentuhan orang ternama," katanya. Kata Bill, Memey dan Norman dipilih kerana sebagai pasangan selebriti, kedua-duanya sentiasa menjadi perhatian ramai dan dinanti-nantikan penampilan mereka. |
Laporan RCI Serlah Kepincangan SPRM Posted: 21 Jul 2011 09:40 PM PDT Ditulis oleh Radzi Razak KUALA LUMPUR : Keluarga Teoh Beng Hock tidak dapat menerima keputusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bahawa beliau meninggal dunia akibat membunuh diri. Dalam sidang media penuh emosi di Pejabat peguam Karpal Singh hari ini, adik mendiang, Teoh Lee Lan menyatakan bahawa keluarganya tidak dapat menerima motif Beng Hock membunuh diri. "Beng Hock dibunuh. Apa yang dibuktikan RCI? Ia memberitahu kita betapa teruknya prosedur SPRM tapi tak beritahu kita apa yang berlaku kepada Beng Hock," kata beliau dengan sebak. Beng Hock 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan. Lee Lan menyatakan bahawa beliau dan keluarga akan terus berjuang memastikan kematian Beng Hock terbela. "Apakah suruhanjaya diraja ini sudah menjalankan tugasnya? Kami akan meneruskan perjuangan untuk keadilan. (Keputusan) ini bukan jawapan kepada kami," kata Lee Lan lagi. Justeru Teoh Lee Lan berkata pihak keluarga akan membuat semakan kehakiman ke atas pendedahan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz. Suruhanjaya tersebut memutuskan tindakan bunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menurut peguam keluarga Beng Hock, Karpal Singh, beliau akan melakukan penyelidikan terperinci terhadap laporan tersebut dan akan memfailkannya di Mahkamah tinggi pada minggu hadapan. "Kami mahu membuat semakan hakiman terhadap keputusan suruhanjaya diraja ini di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat. Ini kerana suruhanjaya diraja merupakan tribunal yang bertaraf lebih rendah (inferior) berbanding semakan kehakiman Mahkamah Tinggi," kata Karpal dalam sidang media di pejabatnya hari ini. Merujuk pada penemuan suruhanjaya diraja tersebut bahawa memang terbukti siasatan SPRM bersifat zalim, Karpal turut menyatakan beliau akan membuat apa yang boleh dilakukan undang-undang dalam memastikan kematian Beng Hock terbela. Beliau juga menolak permohonan maaf atau kompensasi dari pihak SPRM atau kerajaan. "Maaf tidak cukup. Apa yang kita cari ialah Keadilan. "Lihat menteri (Nazri) ketika umumkan keputusan RCI hari ini. Dia tersenyum (bangga). Ini ialah perkara yang serius," katanya lagi. |
TBH : Peguam Mahu Teliti Laporan Suruhanjaya Di- Raja Posted: 21 Jul 2011 09:37 PM PDT Ditulis oleh Fauzan Uda Ahmad SHAH ALAM : Peguam yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock memberi jaminan, tetap akan memperjuang nasib bekas pembantu Exco Selangor itu, walaupun Suruhanjaya Siasatan Di- Raja mendakwa mendiang mati bunuh diri. Bagaimanapun Gobind Singh Deo berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu kandungan laporan Suruhanjaya yang dikeluarkan semalam, sebelum mengambil sebarang tindakan. Beliau ketika dihubungi Tv Selangor berkata, pihaknya memerlukan masa bagi meneliti hasil laporan tersebut memandangkan ianya melibatkan kajian bersifat teori dan teknikal. "Kita dalam proses meneliti laporan tersebut dan kita akan memberitahu tindakan selanjutnya dalam masa terdekat. "Biar kita ambil masa , kita baca, kita teliti dan bila kita sudah ada keputusan, kita akan memberi tahu media." kata Gobind. Hasil laporan setebal 124 muka surat yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, ditolak keluarga mendiang. Nazri berkata, suruhanjaya tersebut memutuskan tindakan bunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Laporan suruhanjaya itu menyebut bahawa tindakan yang dilakukan ketiga-tiga pegawai berkenaan iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus, berkemungkinan besar berbentuk soal siasat secara intensif sekali lagi ke atas Teoh untuk memaksanya membuat pernyataan bahawa Yong yang mengarahkannya untuk melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dalam mengendalikan peruntukan tersebut. Laporan itu menyebut sesi itu pastinya membebankan Teoh dari segi fizikal dan mental memandangkan dia telah dinafikan tidur sepanjang malam dan pagi dan perlu menanggung soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar. Suruhanjaya itu dalam laporannya berpendapat soal siasat keempat telah menjadi faktor pencetus yang membawa kepada kejadian berkenaan. Beng Hock, 30, bekas setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan. |
Keluarga dan rakan Beng Hock tolak keputusan RCI Posted: 21 Jul 2011 05:16 PM PDT "Hasil siasatan Suruhanjaya mendapati bahawa Teoh Beng Hock BUKAN DIBUNUH tetapi beliau yang merasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan, disokong dengan perwatakan beliau yang lemah telah menyebabkan beliau membunuh diri." "Laporan hanya bertanggungjawab kepada prosedur, bukan nyawa manusia" Dalam satu sidang media di pejabat peguam keluarga mendiang Teoh Beng Hock, iaitu pejabat peguam Karpal Singh, adik mendiang Teoh, Lee Lan berkata, "Kami gagal menerima (keputusan siasatan RCI bahawa Beng Hock) bunuh diri. Bukan keluarga kami sahaja, seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa beliau tidak membunuh diri, tetapi dianiayai mereka." Kenyataan SPRM Sementara itu, dalam satu kenyataannya tadi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata pihaknya akan meneliti secara keseluruhan laporan Suruhanjaya Diraja dan mengambil tindakan sewajarnya atas sebarang cadangan dan syor yang dibuat. Yang berikut adalah teks penuhnya: SPRM ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini belum menerima sebarang laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock. |
SUHAKAM: Rundingan telus dan terbuka dengan orang asli sebelum pembangunan Posted: 21 Jul 2011 05:14 PM PDT Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah mengadakan sesi konsultasi selama dua hari bersama masyarakat orang asli di Dewan Jubli, Kuala Betis, Gua Musang. Seramai lebih 600 orang peserta yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli Kelantan, wakil-wakil dari jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat serta badan-badan bukan Kerajaan yang telah hadir ke sesi ini. |
Sultan Azlan: Rakyat alih sokongan jika k'jaan gagal Posted: 21 Jul 2011 05:04 PM PDT MALAYSIA KINI Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah kerajaan yang peka dan berjaya memenuhi tanggungjawab sosial kepada rakyat akan terus dihormati dan mendapat kepercayaan, di sebaliknya rakyat secara natural mengalihkan sokongan jika tanggungjawab itu gagal disempurnakan. Baginda bertitah kerajaan yang dipilih dan diberikan amanah oleh rakyat untuk mengurus tadbir negara hendaklah sentiasa berjiwa rakyat dengan memberi perhatian kepada keperluan rakyat. "Menyediakan peruntukan kewangan, prasarana fizikal dan kakitangan adalah komponen perkakasan dalam hasrat kerajaan memenuhi tanggungjawab sosial di bidang kesihatan. "Faktor perisian daripada segi kualiti perkhidmatan, layanan mesra lagi berbudi bahasa kepada pesakit adalah lebih penting diberikan perhatian agar kemudahan prasarana dan perkhidmatan yang disediakan benar-benar dihargai dan mendapat apresiasi pelanggan," titah baginda ketika merasmikan Klinik Kesihatan di Buntong di Ipoh, hari ini. Baginda bertitah dalam aspek perkhidmatan kesihatan, jika bilangan kakitangan tidak dirancang selaras dengan penambahan bilangan pesakit, dikhuatiri kualiti perkhidmatan akan turun dan akibatnya akan tercetus rasa tidak puas hati rakyat, lantas memberi tempias negatif kepada kerajaan. Sultan Azlan bertitah satu elemen penting yang berlaku secara natural tetapi dilepas pandang dalam perkhidmatan kesihatan adalah elemen kemanusiaan yang merentasi batas sosial, kaum dan agama. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan