Isnin, 4 Julai 2011

PERAKITE

PERAKITE


Sharshooter didapati bersalah terhadap Rais

Posted: 04 Jul 2011 04:51 AM PDT

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini memenangi saman fitnah beliau terhadap seorang penulis blog berhubung artikel yang memfitnahnya yang dipaparkan dalam satu blog.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan penulis blog Amizudin Ahmat, 42, didapati bersalah bagi memfitnah.

"Selepas mendengar keterangan dan hujahan daripada peguam yang mewakili plaintif dan defendan, saya tidak mempunyai pilihan selain mendapati defendan bersalah melakukan fitnah," katanya.


Hakim Zabariah menetapkan esok untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung nilai ganti rugi.

Pada 31 Januari, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, yang juga ahli jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), berhubung artikel yang diterbitkan dalam blog Amizudin, sharpshooterblogger.blogspot.com. beserta dengan gambar rais, pada atau sekitar 28 Disember tahun lalu.



Rais, 69, dalam pernyataan tuntutannya berkata seluruh artikel dalam bahasa Malaysia itu adalah berniat jahat dan memfitnahnya dan perkataan dalam artikel itu bermaksud dan/atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.

Rais, yang juga Ahli Parlimen Jelebu di Negeri Sembilan, menafikan tuduhan itu selepas penulis blog itu menamakannya. 

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia telah menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Selepas keputusan itu, Rais yang hadir bersama isterinya Datin Seri Masnah Rais, memberitahu pemberita bahawa beliau sentiasa mempunyai sepenuh keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.

Rais berkata beliau telah membawa kes itu ke mahkamah bagi membersihkan namanya, keluarganya dan juga reputasi kerajaan.Rais berkata pembelaan defendan (Amizudin) bahawa beliau menerbitkan artikel itu berdasarkan justifikasi adalah tidak berhasil dan ia mengandungi natijah-natijah politik semata-mata.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya dan keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya. 

Selepas Amizudin selesai memberikan keterangannya di mahkamah tengah hari tadi, Masnah dilihat memberikan ciuman di pipi Rais.

Pada prosiding hari ini, hanya Amizudin yang dipanggil sebagai saksi defendan manakala Rais tidak dipanggil memberi keterangan kerana pada prosiding yang lepas semasa pengurusan kes kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mempertikaikan bahawa artikel itu telah diterbitkan, bahawa perkataan itu adalah menfitnah Rais dan perkataan itu merujuk kepada Rais.


Oleh itu mahkamah meneruskan perbicaraan dengan mendengar pembelaan justifikasi oleh Amizudin.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais, Amizudin berkata sebelum menerbitkan artikel itu dalam blognya, beliau tidak membuat pengesahan tentang kebenaran artikel itu dengan Rais atau isterinya Masnah dan juga dengan bekas pembantu rumah Rais.

Muhammad Shafee : Sebagai penulis blog dan ahli politik yang bertanggungjawab, sebelum menerbitkan sebarang artikel yang menuduh orang lain melakukan sesuatu perkara, anda mesti siasat bukan.

Tapi dalam kes ini sebelum anda terbit artikel itu, anda langsung tidak siasat perkara itu sehingga ke akar umbi untuk pastikan perkara itu benar?

 Amizudin: Betul. Bagaimanapun, beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau telah pergi ke Jakarta, Indonesia pada 18, 19 dan 20 Mei untuk mencari saksi selepas lima bulan beliau disaman oleh Rais. 

Muhammad Shafee: Anda terbitkan artikel itu dahulu, baru nak buat siasatan? 

Amizudin : Ya, betul, saya pergi ke Jakarta selepas saya kena saman.

 Muhammad Shafee : Selepas anda kena saman baru pergi ke Jakarta, cari saksi. 

Amizudin :Ya.Kepada soalan Muhammad Shafee, bagaimana beliau boleh mengesahkan berita yang diterbitkan itu benar, Amizudin berkata beliau telah bertemu dengan Indah Utami, penulis laporan siasatan yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan Indonesia, Migrant Care, yang menjaga kebajikan pekerja Indonesia di luar negara, yang telah menemu bual pembantu rumah itu.

Bagaimanapun, beliau gagal bertemu dengan pembantu rumah itu kerana tidak berjumpa rumahnya. 

Katanya beliau pergi ke Jakarta bersama rakannya yang dikenali sebagai Cikgu Bad iaitu anggota PKR daerah Rembau atau nama penuhnya Badrulhisham Shaari dan seorang lagi yang beliau tidak ingat namanya.

Ditanya Muhammad Shafee adakah Cikgu Bad, boleh dikatakan sebagai musuh politik Rais, Amizudin berkata beliau tidak tahu, tetapi boleh dikatakan bukan kawan. 

Beliau memberitahu bahawa artikel itu yang diterbitkan dalam laman blognya adalah "copy and paste" daripada artikel yang disiarkan dalam Harakah Daily berdasarkan siaran akhbar yang dibuat oleh Migrant Care pada 1 Ogos 2007.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam yang mewakilinya, Puspawati Rosman, Amizudin berkata beliau percaya artikel yang diterbitkan itu benar kerana dalam laporan siasatan oleh Migrant Care, nama Rais disebut sebagai bekas majikan pembantu rumah itu.

Apabila ditanya adakah wakil Migrant Care dan mangsa akan hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan, beliau berkata bahawa mereka khuatir untuk datang ke negara ini untuk memberikan keterangan. - BERNAMA 

AMK pertahankan kerajaan negeri Pulau Pinang

Posted: 03 Jul 2011 11:21 PM PDT


Mansor gesa AMK pertahan 'Komtar' daripada diguling pembangkang
Dato' Mansor Othman menggesa sayap muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang daripada digulingkan oleh Umno  melalui demontrasi haram jalanan yang agresif lagi ganas, seperti yang berlaku Jumaat lepas.


Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang itu berkata demikian pada Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang 2011 kerana  demontrasi haram itu  adalah satu perbuatan yang boleh menggugat keharmonian hidup rakyat.
"Umno cuba mengulingkan kerajaan negeri melalui demonstrasi jalanan sambil mengecam Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai menzalimi rakyat, wal hal apa yang dilakukan kerajaan negeri masa ini adalah jauh lebih baik daripada semasa pemerintahan kerajaan BN selama lebih 50 tahun," kata beliau.


Apakah kerajaan negeri Pulau Pinang kini zalim kerana memberi pelbagai bantuan kebajikan kepada rakyat tidak sepertimana di bawah Umno-Bn sebelum ini? kata beliau.


"Apabila kita (kerajaan Pulau Pinang) tolong rakyat, memberi RM1,000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia, warga emas diberi saguhati RM100 setiap tahun, RM500 kepada anak-anak Pulau Pinang yang berjaya masuk IPTA; (maka) kerajaan negeri Pulau Pinang  dituduh zalim.


"Waktu mereka memerintah (kerajaan BN), semua bantuan ini tak pernah diberikan kepada rakyat, itu kerajaan yang adil dan bela Melayu konon-kononnya.


"Kita dituduh zalim, mereka (Umno) cuba nak guling kerajaan negeri secara demontrasi jalanan haram (tetapi) saya percaya anak muda keadilan (AMK) akan tetap pertahankan kerajaan negeri secara demokratik daripada dimusnahkan oleh mereka ini," ujarnya  di Hotel Pearl View, Chai Leng Park, Butterworth, Pulau Pinang.


,Naib Presiden PKR merangkap Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang mempertahan pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang telah banyak melaksanakan program dna dasar untuk membantu rakyat selaras dengan dasar negeri berkebajikan.


"Di bawah pentadbiran Lim Guan Eng, sebanyak RM1.75 juta diperuntukkan untuk memartabatkan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Ketua Audit Negara juga memuji urus tadbir kerajaan negeri yang berintegriti dan bersih kerana berjaya menjimatkan perbelanjaan sehingga RM77 juta tahun lepas (2010) dan RM88 juta tahun 2009.


"Kalau Lim Guan Eng ini anti-Islam dan pemecah belah umat, beliau tak akan membantu Sekolah Agama Rakyat. Takkan kerana Lim Guan Eng urus kerajaan negeri secara berintegriti, (maka) dia dituduh pemecahbelah umat Islam," tegasnya di depan 200 perwakilan AMK negeri.


Sebelum pada itu, tiga van Polis mula pantau Kongres AMK Pulau Pinang yang kononnya didakwa cuba menghasut rakyat menyertai perhimpunan aman di ibunegara yang dirancangkan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) pada 9 Julai depan.


Umno Pulau Pinang tak mengaku EZAM ahlinya?

Posted: 03 Jul 2011 10:50 PM PDT

Titah Khas Agong

Posted: 03 Jul 2011 04:17 PM PDT

Titah Khas Yang di-Pertuan Agong

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara. - Bernama.

Tiada ulasan: