Kerabu Bersuara ® |
- Anugerah Ibrahim Ali: 'Saya mangsa cemburu'
- Dr Jeyakumar lancar mogok lapar hingga semua tahanan EO dibebas
- SPR Tidak Puas Hati
- Mesej dari penjara: EO-6 bersemangat walau ditekan.
- Polis tanya soalan tidak masuk akal pada Surendran
- Nik Aziz harap Malaysia menang
- Isu Wahabi: Kusut pada metodologi, bukan pada hati
- BERSIH 2.0: Di Antara Menghempuk dan Menjentik
- Antara Fahaman Wahabi Dan Fahaman Sekular Umno
- Selepas Bersih, Pemuda Umno-Pakatan ganding tuntut reformasi pilihan raya
- Gambar Najib Terkedu Apabila Jumpa Rakyat Baju Kuning
- Kita semua jadi mangsa Umno BN
Anugerah Ibrahim Ali: 'Saya mangsa cemburu' Posted: 28 Jul 2011 02:56 AM PDT Kuek Ser Kuang Keng Dengan menegas rekod 'bersih' dalam kegiatan aktivismenya sejak 30 tahun lalu, Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali mendakwa semua bantahan terhadap cadangannya mewujudkan satu anugerah tajaannya, lahir daripada sikap cemburu terhadap pencapaiannya. "Sebab saya terlalu aktif menganjurkan banyak program, kadang-kadang dalam skop yang besar, terdapat sesetengah orang yang cemburu terhadap saya. "Itu sahaja, mereka cemburu dengan saya," katanya dalam wawancara eksklusif dengan stesen TV internet - eTV - minggu lalu. Mempertahankan cadangannya untuk memperkenalkan Anugerah Kepimpinan Ibrahim Ali di Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau menganggap kritikan itu sebagai "memalukan" dan "tak ada kelas". "Apa yang mereka membebel ni? Anugerah ini adalah dari saya. Saya derma duit saya untuk diberikan kepada mana-mana pelajar yang berwibawa, jadi apa masalahnya? "Sekiranya mereka tidak suka, mereka buat anugerah sendirilah. Kerana semua ini adalah disebabkan cemburu. Awak boleh lihat, semua (kritikan) ini adalah dari PAS dan pembangkang dan (mereka ini) memalukan, tak ada kelas," katanya dengan berang. Ahli parlimen bebas Pasir Mas itu berkata beliau terlibat dengan kegiatan aktivisme dan politik sejak 1970 semasa menuntut di ITM (sekarang UiTM) dan rekod pencapaiannya itu menjadikannya musuh kepada pihak lain. "Bila saya berada dalam Umno, bila saya bekerjasama dengan PAS, ke mana saya pergi, bukan sahaja parti pembangkang, rakan-rakan Umno pun cemburu terhadap saya. "Saya tidak mahu jadi popular tetapi itulah yang terjadi, maka saya jadi mangsa cemburu," katanya sambil menambah bahawa beliau selama ini tidak pernah didakwa atas tuduhan rasuah, skandal seks dan moral. Anugerah itu - yang dicadang diperkenalkan untuk menghargai mahasiswa yang terbukti "bersih dan konsisten" dengan prinsip memperkasa Melayu - telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk BN dan Pakatan Rakyat. Sekalipun Naib Canselor UiTM Prof Sahol Hamid Abu Bakar telah mengeluarkan surat meminta pencalonan untuk anugerah itu pada awal bulan lalu, beliau kemudiannya menjelaskan ia adalah satu "kaji-selidik" untuk mendapat maklumbalas dari pensyarah, kerana ia belum diluluskan lagi oleh pihak Univesiti. Senat univeristi itu akan membuat keputusan muktamad berhubung cadangan anugerah tersebut dalam mesyuaratnya esok. |
Dr Jeyakumar lancar mogok lapar hingga semua tahanan EO dibebas Posted: 28 Jul 2011 01:01 AM PDT KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), hari ini melancarkan mogok lapar ketika dalam tahanan. Perkara itu dimaklumkan oleh isteri beliau, Mohanarani Rasiah ketika menemui suaminya itu kira-kira jam 11 pagi, semalam. Menurut Moharani, suaminya itu sangat hampa dan kecewa dengan pendirian polis dan kerajaan terhadapnya dan lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah EO sejak 2 Julai lalu. "Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga kesemua PSM 6 dibebaskan atau dituduh di mahkamah. "Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar," kata Mohanarani dalam satu kenyataan hari ini. Kata Monaharani, Dr Jeyakumar berkata walaupun sudah berkali menafikan kaitan PSM dengan Parti Komunis Malaysia (PKM) dan fahaman komunis tetapi pihak berkuasa itu tetap memaksa dengan tuduhan palsu. Tuduhan menghidupkan komunisme itu katanya, hanya berdasarkan beberapa penemuan T-shirt. Malah kebelakangan ini Dr Jeyakumar memberitahu polis berusaha mereka tuduhan baru, berdasarkan lawatan pemimpin PSM ke luar negara atas jemputan parti sosialis lain di dunia. Ia termasuk dakwaan PSM ada hubungan rahsia dengan PKM di Thailand. "Dr. Jeyakumar menafikan semua tuduhan palsu ini, semua soalan polis menjurus untuk mengeluarkan satu cerita karut untuk melanjutkan tempoh tahanan," Kata Mahanarani. |
Posted: 28 Jul 2011 12:58 AM PDT SPR dakwa objektif wacana gagal, tapi Wan Ahmad-Ambiga muncul lagi esok KUALA LUMPUR, 28 Julai — Timbalan Pengerusi Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menyifatkan wacana Apa Selepas 9 Julai kelmarin, yang dihadirinya bersama Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S. Ambiga, tidak tercapai seperti yang beliau harapkan ekoran "tindakan" pihak tertentu. Kata beliau, matlamat wacana anjuran Kumpulan Media Karangkraf itu telah terjejas ekoran kedatangan mereka yang tidak begitu faham tentang maksud wacana. Seorang lagi ahli panel wacana itu ialah Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin. Susulan kemunculan kelmarin, Wan Ahmad dan Ambiga akan berada di pentas yang sama disediakan oleh Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia di bawah tajuk "Undang-undang Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pembaharuan Pilihan Raya" di Dream Centre, 2 Jalan 13/1, Seksyen 13, Petaling Jaya, petang esok. Ia disahkan oleh ahli jawatankuasa Proham Datuk Dr Denison Jayasooria ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini. Seorang lagi anggota panel esok ialah Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang merupakan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Asean. ". . . ia dirosakkan dengan kedatangan golongan yang tidak begitu faham tentang maksud wacana yang beranggapan dengan turun padang untuk menunjukkan kekuatan politik . . . kebanyakannya penyokong 'Bersih'," kata Wan Ahmad dalam satu rencana dikeluarkan oleh Utusan Malaysia hari ini. Rencana itu mendakwa "sebetulnya Wan Ahmad tidak diberi peluang langsung untuk meluahkan pemikiran SPR. Semuanya 'dikunci' oleh hadirin. Kalau tidak secocok, mereka terus menghalang penjelasan suruhanjaya itu." Malah rencana itu mendakwa "sampaikan ada kalangan mereka seolah-olah tidak pernah mendengar apa yang pernah diperjelaskan SPR tentang segala dasar SPR termasuk isu pengundi hantu." "Datang ke majlis itu dengan ilmu pengetahuan sifar dan cetek tentang apa yang telah dilaksanakan SPR." Tambah rencana itu, cuma kelebihan Wan Ahmad ialah keupayaannya menerangkan tentang sistem biometrik yang berkaitan hujahnya tentang cap jari. Tulisan itu menambah, kalau untuk kerja pembersihan daftar pemilih, biometrik adalah jawapannya yang boleh mengesan dua atau tiga nombor kad pengenalan yang bertindih. Dalam hujahnya pada wacana itu, yang pertama bertemukan antara Wan Ahmad selaku wakil SPR dan Ambiga di pentas yang sama, beliau berkata, agensi itu mahu Bersih 2.0 mengemukakan usul lapan tuntutan transformasi pilihan raya kepada Putrajaya, bukannya kepada agensi itu. Ini kerana jelas Wan Ahmad, lapan tuntutan itu boleh dilaksanakan di bawah kuasa kerajaan memerintah. Jelas beliau, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan itu kerana ia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Mengikut laporan media Selasa lalu, Wan Ahmad juga dikatakan dicemuh dengan hebat oleh orang ramai kerana kecewa dengan jawapan yang diberikan. Bagaimanapun cemuhan yang dilemparkan terhadap Wan Ahmad ditenangkan moderator Wan Saiful Wan Jan. Pada 9 Julai lalu Bersih 2.0 telah mengadakan perhimpunan bagi menuntut SPR melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan. Bersih 2.0 yang terdiri daripada 62 badan bukan kerajaan turut disokong Pakatan Rakyat. Ribuan rakyat telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 yang menyaksikan lebih 1,600 orang telah ditahan. |
Mesej dari penjara: EO-6 bersemangat walau ditekan. Posted: 27 Jul 2011 09:30 PM PDT KUALA LUMPUR: Walaupun masih berada di dalam tahanan namun enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat (EO), tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan mereka. Mesej diberikan kepada keluarga masing-masing dengan menyatakan mereka berada dalam keadaan baik dan tidak gentar dengan tekanan yang dikenakan kerajaan ke atas mereka. Mesej itu disampaikan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada keluarga enam aktivis itu, iaitu Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Michael Jeyakumar, Timbalan Pengerusi PSM, M Saraswathy, Ahli Jawatankuasa Pusat Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Setiausaha PSM Bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan Ketua Pemudanya, Sarat Babu. Antara mesej yang dikirim Jeyakumar ialah "Saya telah berbincang kerana tiada keperluan untuk menahan kami lagi disini. Polis ternyata tidak bersandarkan fakta. Jelas lagi nyata PSM telah terbukti bergerak secara aman dalam 13 tahun. M Saraswathy juga berkata "Perjuangan perlu diteruskan, Tindakan Polis adalah pengecut kerana menahan kami tanpa bukti. "Kenapa hukum kami tanpa ada bukti ? Undang-undang zalim perlu mansuh dan undang-undang ini tidak akan memberhentikan perjuangan kami.Kami lebih kuat dari sebelumnya" Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat Choo Chon Kai juga berkata beliau bersedia menghadapi apa jua keadaan dan berterima kasih dengan sokongan orang ramai. Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Michael Jeyakumar bersama lima anggota sebelum ini ditangkap mengikut (EO) sebaik mereka dibebaskan bersama lima lagi individu lain pada 2 Julai lalu. Sebelum itu, mereka bersama 24 yang lain ditahan di Tangkak Johor semasa program 'Udah lah..bersaralah', menjelang himpunan Bersih pada 9 Julai lalu. |
Polis tanya soalan tidak masuk akal pada Surendran Posted: 27 Jul 2011 09:00 PM PDT KUALA LUMPUR: Polis mengemukakan soalan tidak masuk akal kepada peguam, N Surendran termasuk bertanya samada beliau merupakan seorang pakar gas pemedih mata dalam soalannya. Soalan itu ditanya pihak berkuasa itu ketika mengambil keterangan Surendran di balai polis Jalan Travers, petang semalam. Lebih melucukan adalah soalan bertanyakan sama ada lima plat titanium yang dimasukkan ke rahang pengawal peribadi Anwar, Fayyadh Al-Bakri dilakukan oleh manusia, kata peguam Latheefa Koya. "Memang tak masuk akal. Apa relevannya soalan ini? Apakah kita perlu menjadi pakar gas pemedih mata untuk membuat laporan polis? Kenapa menyoal peguam sedangkan tugas sebenar mereka ialah membuat siasatan?," soal Latheefa. Surendran, yang juga Naib Presiden KEADILAN dipanggil memberi keterangan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Acara Jenayah berdasarkan satu laporan yang dibuat berhubung kenyataannya kepada media yang didakwa 'mengancam ketenteraman awam' Ia difailkan seorang anggota polis yang tidak dinamakan pada hari yang sama Fayyadh membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, 20 Julai lalu. Keterangannya dirakamkan oleh ASP Sabri Yanteng, di balai polis Jalan Travers. Menganggap proses itu sebagai gangguan, Surendran yang ketika itu sedang menemani anak guamnya Fayyadh Al-Bakri, namun terpaksa pula ditemani Latheefa untuk memberi keterangan. "Begitu juga soalan – 'apakah kamu tahu apa itu Bersih, 'siapakah MP Khalid Samad seperti yang dimaksudkan' dan 'apakah itu kanister? Memang tak masuk akal. Mereka sepatutnya menyiasat laporan yang dibuat Fayyadh," tegas Latheefa. Surendran dalam reaksinya menuntut pentadbiran tertinggi Polis dan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein menjawab tindakan ganas ketika menyuraikan peserta himpunan Bersih 2.0. "Ini sikap dan mentaliti apabila polis membiarkan institusi mereka diperkudakan kerajaan. Mereka tak membuat siasatan, tetapi menyiasat orang yang membuat laporan. "Saya bertegas dengan kenyataan sebelum ini bahawa tindakan berbahaya yang dilakukan polis, iaitu mengacu dan mengarahkan muncung senapang gas pemedih mata ke arah peserta himpunan Bersih di KL Sentral adalah salah kerana ia akan menyebabkan kecederaan serius. "Jangan berdalih atau cuba mengalih isu. Kami takkan berhenti untuk mendesak siasatan supaya keadilan dapat ditegakkan," kata Surendran. |
Nik Aziz harap Malaysia menang Posted: 27 Jul 2011 08:30 PM PDT Harakahdaily KUALA LUMPUR, 28 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap pasukan bola sepak negara memenangi perlawanan menentang Singapura, malam ini. "Saya berharap agar Malaysia dapat memenangi perlawanan bola sepak menentang Singapura pada hari ini. Semoga dapat melakar sejarah," ujarnya di laman Twitter. Secara peribadi, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berharap penjaga gol anak negeri itu, Khairul Fahmi dapat diturunkan untuk mengawal gawang pasukan negara. Namun, kata beliau segalanya terpulang kepada percaturan pihak berkenaan. "Selamat mencipta rekod baru untuk bolasepak Malaysia!" ujarnya. Pertemuan skuad Harimau Malaysia dengan Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 malam ini dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, Kallang, Singapura 23 Julai lalu, pasukan negara tewas 3-5. |
Isu Wahabi: Kusut pada metodologi, bukan pada hati Posted: 27 Jul 2011 08:00 PM PDT Shamsul Muda Isu 'fahaman Wahabi mempunyai perkaitan dengan terorisme dan mengancam keselamatan negara', tercetus hasil peranan beberapa agamawan tertentu. Peranan yang mereka mainkan menyebabkan pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan, akhirnya menerima fahaman Wahabi boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara. Inilah susur galur kemunculan isu ini. Ringkasnya, ia muncul bukan disebabkan percaturan politik untuk kepentingan pihak tertentu. Ia juga tidak membabitkan mana-mana parti politik, seperti yang didakwa sesetengah pihak. Salah seorang individu yang dilabel sebagai pengikut Wahabi, yang juga seorang ahli sebuah parti politik, turut menafikan penglibatan partinya itu dalam isu ini. Hakikat ini perlu dimaklumi bagi sesiapa juga yang berusaha menangani isu ini atau cuba memahaminya. Isu utama berhubung perkara ini ialah punca fahaman Wahabi didakwa berpotensi mendorong pengikutnya berfikiran radikal, dan seterusnya menjurus mereka ke arah terorisme. Punca ini perlu dikenal pasti kerana jika tidak, perbuatan melabel orang lain sebagai Wahabi, akan terus berlaku. Puncanya bukan disebabkan kemahuan sesetengah pihak mencantas individu tertentu dari terus menganggotai parti politik tertentu. Ini kerana, tidak semua individu yang dilabel sebagai Wahabi, adalah ahli parti politik terbabit. Mencantas Malahan, ramai dari kalangan yang dilabel Wahabi, dilabel sedemikian sebelum mereka menganggotai parti politik lagi. Lebih dari itu, individu yang menjadi rakyat sebuah negara di utara tanah air, turut dilabel sebagai Wahabi. Soal mencatas disebabkan perkiraan politik, jelasnya tidak timbul. Ia bukan juga disebabkan niat jahat agamawan-agamawan 'tertentu' tadi untuk mengenakan fahaman Wahabi dan pengikutnya. Ini adalah berdasarkan pengamatan penulis terhadap tulisan-tulisan dan aktiviti agamawan-agamawan 'tertentu' tadi. Di samping persahabatan penulis dengan agamawan yang lantang 'berjihad' menentang Wahabi. Punca isu ini-secara asasnya-ialah kepincangan metodologi yang digunakan agamawan-agamawan 'tertentu' tadi dalam mengamati fahaman Wahabi. Metododolgi yang pincang ini, menemukan mereka dengan satu rumusan yang tersasar, iaitu 'fahaman Wahabi boleh membawa pengamal dan pengikutnya ke arah pemikiran radikal, dan kemudian ke arah terorisme'. Metodologi yang mereka gunakan ialah menjadikan 'sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman Wahabi berhubung beberapa perkara', sebagai hujjah untuk mendakwa fahaman itu berpotensi membentuk pemikiran radikal, dan seterusnya terorisme. Sikap keras dan tidak bertolak ansur Wahabi itu ialah tindakan mereka menghukumkan beberapa pengamalan majoriti umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, sebagai bid'ah, sesat dan syirik yang menjadikan seseorang itu murtad. Bid'ah Sebagai contoh, amalan menyambut Maulud Nabi dan peristiwa Israk Mi'raj. Aliran Wahabi menghukumkannya sebagai bid'ah. Bid'ah pula adalah sesuatu yang sesat. Manakala setiap yang sesat, tempatnya di neraka. Demikian juga amalan kenduri arwah dan tahlil. Juga dipandang bid'ah oleh aliran Wahabi. Lebih daripada itu, mereka memutuskan, amalan bertawassul dengan orang yang telah mati, adalah perbuatan syirik yang menjadikan seseorang itu murtad. Masalah timbul apabila kesemua contoh pengamalan tadi (kecuali kenduri arwah) difatwakan harus oleh majoriti ulama sejak dahulu hingga sekarang. Ekoran itu, ia diamalkan oleh majoriti umat Islam, khususnya di Malaysia sejak zaman berzaman. Satu lagi isu besar berkaitan Wahabi ialah penolakan mereka terhadap mazhab majoriti umat Islam, termasuk Malaysia dalam bidang akidah, iaitu mazhab Asya'irah. Sesetengah agamawan 'tertentu' tadi mendakwa, fahaman Wahabi menghukumkan mazhab Asya'irah ini sebagai sesat. Pada titik ini, para agamawan 'tertentu' tadi akan membuat kesimpulan dan rumusan mereka sendiri. Rumusan mereka ialah 'fahaman Wahabi berpotensi membentuk pemikiran radikal dan seterusnya terorisme di kalangan pengikutnya'. Asas kepada rumusan ini ialah pandangan aliran Wahabi-dalam konteks Malaysia- terhadap majoriti umat Islam di Malaysia. Iaitu mereka sesat, mengamalkan bid'ah dan kafir disebabkan mereka melakukan sambutan maulud Nabi, berpegang kepada akidah berasaskan mazhab Asya'irah dan bertawassul dengan orang yang telah mati. Bertindak ganas Sesuatu fahaman yang melihat umat Islam yang lain sebagai sesat, ahli bid'ah dan kafir, akan terdorong untuk bertindak ganas terhadap mereka yang dipandang sedemikian. Ia juga boleh mendorong pengikut fahaman sebegini, melakukan kekerasan dan keganasan bagi mencegah dan menghapuskan kesesatan, kekufuran dan bid'ah yang berlaku. Demikianlah rumusan yang disimpulkan agamawan-agamawan 'tertentu' itu tadi. 'Sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman Wahabi' inilah yang dimaksudkan sesetengah agamawan 'tertentu' tadi, sebagai bukti-bukti yang menunjukkan fahaman Wahabi boleh membawa kepada pemikiran radikal dan terorisme. Pada titik ini, tercetus satu persoalan asas dan utama berhubung isu ini. Apakah pewartaan beberapa amalan yang dilakukan majoriti umat Islam sebagai bid'ah, sesat atau syirik oleh fahaman Wahabi, boleh mendorong mereka bertindak ganas? Jika jawapannya 'ya', maka kita akan berhadapan dengan masalah besar. Sebab dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW sendiri, banyak pengisytiharan berkenaan status banyak perkara sebagai sesat, kafir, jahiliyyah dan lain-lain. Seperti contoh, al-Quran menyifatkan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah selaku pencipta mereka, sebagai lebih sesat daripada binatang ternakan. Mereka juga disifatkan memiliki akidah yang najis. Manakala pemerintah Islam yang tidak melaksanakan hukum Allah pula disifatkan sama ada zalim, fasik atau kafir. Begitu juga dengan hadis-hadis Nabi. Ia melaknat peminum arak dan semua pihak yang terbabit dalam industri arak. Demikian juga pemberi dan penerima rasuah. Juga dilaknat oleh hadis Nabi. Hadis Nabi juga menghukumkan seseorang yang meninggalkan solat secara sengaja, menjadi murtad seperti pandangan mazhab Hambali. Zalim, fasik, sesat? Apakah boleh disimpulkan bahawa al-Quran dan Sunnah mengandungi pemikiran yang boleh membawa kepada terorisme, disebabkan ketegasannya memutuskan perkara-perkara ini sebagai zalim, fasik, sesat, kafir atau laknat? Tentu sekali tidak. Ini kerana al-Quran dan Sunnah juga, dalam masa yang sama, menjelaskan pendekatan yang wajib digunakan dalam menyebarkan ajarannya. Ringkasnya, sikap keras dan tidak bertolak ansur aliran Wahabi seperti yang dinyatakan, tidak boleh dijadikan hujjah bahawa fahaman itu boleh membawa pengikutnya kepada terorisme. Ini kepincangan pertama metodologi agamawan-agamawan 'tertentu' tadi dalam menangani isu fahaman Wahabi ini. Kepincangan kedua ialah mereka tidak melihat secara keseluruhan fahaman Wahabi. Mereka hanya melihat 'sikap keras dan tidak bertolak ansur Wahabi berhubung beberapa perkara' yang dinyatakan, kemudian terus membuat rumusan bahawa aliran ini boleh membawa pengikutnya kepada pemikiran radikal dan terorisme. Malangnya, mereka 'terlupa' untuk turut melihat pendekatan yang dipegang oleh fahaman Wahabi dalam menyebarkan fahaman mereka. Meskipun fahaman ini bersikap tegas secara berlebihan dan tidak bertolak ansur dalam soal-soal yang dinyatakan, namun pendekatan mereka tidak sedemikian. Sesiapa juga-termasuk agamawan-agamawan 'tertentu' tadi-mengetahui bahawa fahaman Wahabi ialah satu "manhaj (metod) yang memfokuskan kepada aspek tasfiah dan tarbiah". Definisi tentang fahaman Wahabi ini bersumberkan kenyataan Syaikh Albani, tokoh Salafi besar di zaman moden, yang memfokuskan gerak kerja beliau kepada aspek tasfiah dan tarbiah. Pembersihan akidah Tasfiah bermaksud pembersihan. Yang dimaksudkan di sini ialah pembersihan akidah dari segala khurafat dan ibadat dari segala bid'ah. Manakala 'tarbiah' bermaksud pendidikan. Iaitu mendidik umat Islam dengan didikan al-Quran dan Sunnah. Bertitik tolak dari sini, fahaman Wahabi menolak pendekatan jihad atau pendekatan politik dalam menyebarkan fahaman mereka tentang Islam. Syaikh Albani secara terang-terangan menggesa umat Islam menjauhi politik. Sebab itulah, dalam persekitaran fahaman Wahabi, masyhur kata-kata yang berbunyi "sebahagian daripada politik itu, ialah meninggalkan politik". Penolakan mereka terhadap pendekatan politik juga disebabkan oleh konsep ketaatan kepada pemerintah yang agak berlebihan yang menjadi pegangan mereka. Mereka menyeru masyarakat mentaati pemerintah biarpun "pemerintah menyebat belakang mereka dan mengambil harta mereka", selama mana pemerintah itu mengizinkan rakyat mendirikan solat. Pemikiran dan sikap aliran Wahabi secara umum, boleh dilihat melalui slogan mereka yang berbunyi "La Nukran Wala Hajran Wala Khuruj" (Tiada pengingkaran, pemulauan dan pemberontakan). Rentetan daripada konsep ketaatan yang berlebihan ini juga, mereka mengharamkan penubuhan parti-parti politik dalam Negara Islam. Demikian juga demonstrasi membantah atau menuntut sesuatu dari pihak pemerintah. Ia juga haram. Menurut fahaman Wahabi, satu-satunya aktiviti politik yang boleh dipraktikkan oleh rakyat ialah menasihati pemimpin. Itupun secara tertutup dengan cara menarik tangan pemimpin ke tempat tertutup untuk memberi nasihat. Inilah pemikiran aliran Wahabi berhubung pendekatan dakwah. Andainya para agamawan 'tertentu' tadi mengambil kira pendekatan aliran Wahabi yang lunak ini, tentu rumusan dan kesimpulan mereka tentang aliran ini tidak seperti yang ada sekarang. Jadi pengganas Justeru, adalah sesuatu yang tidak terlintas di fikiran bahawa aliran ini boleh dilabel sebagai berpotensi menjadikan pengikutnya pengganas. Dalam masa sama, ia suatu yang agak melucukan. Tepat sekali catatan dalam satu portal, bahawa gerombolan ulama muda yang berpegang kepada semua pendekatan dakwah aliran Wahabi yang dinyatakan tadi, langsung tidak berpotensi dan berbakat untuk menjadi pengganas! Malangnya, agamawan-agamawan 'tertentu' tadi tidak mengambil kira pendekatan dakwah aliran Wahabi yang dinyatakan ini dalam menentukan sikap mereka terhadap aliran ini. Yang mereka lihat dan jadikan asas ialah 'sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman Wahabi' berhubung persoalan-persoalan yang dinyatakan sebelum ini, mengakibatkan rumusan mereka tentang Wahabi tersasar. Ironinya, metodologi yang pincang akan menatijahkan rumusan dan dapatan yang 'tempang'. Saya menyeru agar semua pihak berlaku adil terhadap kawan dan lawan, sesuai dengan semangat al-Quran yang menegah kita bersikap tidak adil disebabkan kebencian kita terhadap sesuatu pihak. Adalah sesuatu yang sangat malang bagi umat Islam di Malaysia, jika kerana metodologi yang tempang ini, menyebabkan banyak pihak dilabel sebagai berpotensi menjadi pengganas. Lebih malang lagi, jika disebabkan metodologi yang tempang ini, beberapa orang saudara seagama dari Tanah Arab dan Bumi Afrika, telah diusir keluar kerana menganut fahaman Wahabi yang dihukumkan sebagai boleh membawa kepada keganasan berdasarkan metodologi yang tempang tadi. Kepada semua pihak, ikutilah metodologi yang betul dan bertaqwalah kepada Allah dalam membuat sesuatu keputusan. Penulis adalah lepasan kuliah Syariah & Pengajian Islam dari Universiti Mu'tah, Jordan |
BERSIH 2.0: Di Antara Menghempuk dan Menjentik Posted: 27 Jul 2011 07:30 PM PDT DS Najib Abd Razak, selaku Perdana Menteri telah ditanya pemberita di London mengenai tindakan keras pihak Polis terhadap Perhimpunan Bersih tempoh hari. Beliau menjawab ianya tindakan yang 'ringan' yang bertujuan menjaga keselamatan Negara. Mereka yang ditahan, jelas beliau lagi, dibebaskan malam itu juga dan tiada yang ditahan lebih dari 12 jam. Membaca jawapan beliau seperti di atas, ramai yang terus menuduh bahawa Najib adalah Perdana Menteri penipu. Hakikatnya kata mereka dan saya bersetuju dengan kenyataan ini, tindakan polis jauh lebih keras dari apa yang diperlukan. Kalau dalam Bahasa Inggeris ianya boleh dikatakan sebagai 'disproportionate use of force'. Namun demikian, walaupun saya bersetuju bahawa kenyataan Najib adalah tidak benar, secara peribadi saya merasakan bahawa yakin bahawa Najib tidak 'menipu'. Baiklah, sebelum tuan-tuan semua marahkan saya, biar saya jelaskan. Untuk dikatakan menipu, ianya membawa erti bahawa beliau mengetahui dan memahami bahawa tindakan yang diambil sebenarnya adalah terlalu ganas dan lebih keras dari apa yang diperlukan. Beliau juga perlu memahami bahawa pihak polis, yang bertindak di bawah arahannya dan sepupunya, Hishamuddin, telah melakukan satu kesalahan kerana peranan polis adalah untuk menjaga dan bukannya memukul rakyat. Malangnya, saya merasa yakin Najib dan sepupunya tidak memahami perkara ini. Apabila perkara asas sebegini tidak difahami dan kerajaan dianggap berhak untuk 'menghempuk rakyat' maka arahan supaya polis hanya 'menjentik rakyat' dianggap mereka sebagai satu arahan yang patut dihargai. Dan inilah apa yang ingin disampaikan kepada pemberita di London. Najib pasti hairan mengapa pihak pemberita tidak memahami dan menyanjung tindakan beliau. Bagi dirinya, tindakan yang diambil amat berkasihan-belas dan penyayang sifatnya! Oleh itu, secara teknikalnya, beliau tidak 'menipu'. Dan inilah masalahnya. Satu masalah yang jauh lebih besar apabila dibandingkan dengan masalah sekiranya sekadar menipu. Iaitu, beliau tidak faham bahawa sesebuah kerajaan bertanggungjawab untuk membela hak dan nasib rakyat, bukan menindasnya; bahawa rakyat mempunyai hak dan hak ini perlu dihormati; bahawa polis ditugaskan untuk menjaga hak rakyat, bukan memijak kepala rakyat. Perkara inilah yang tidak dapat difahami olehnya. Sekiranya Najib faham apa yang dilakukan adalah salah, beliau akan merasa malu dan berusaha menutup kesalahan dirinya. Maka ada sedikit harapan bahawa beliau akan kesal dan berusaha untuk tidak melakukannya lagi. Tetapi, apabila beliau tidak faham bahawa apa yang dilakukan adalah salah, maka tindakan ini akan diteruskan lagi, malahan ditingkatkan lagi, sampai ke tahap yang dianggap beliau berhak bertindak, iaitu menghempuk rakyat, bukan sekadar menjentik. Maka itulah sebabnya Najib, Hishamuddin dan keseluruhan kerajaan BN perlu ditukar. SEMUA MENIPU KECUALI NAJIB? Apabila berbincang berhubung isu menipu, selepas peristiwa BERSIH 2.0, amat jelas bahawa pihak media dan polis ingin menuduh semua yang terlibat dan cedera sebagai penipu. DS Anwar Ibrahim menipu apabila beliau dimasukkan ke hospital dan dipakaikan sokongan di lehernya serta terlentang di atas katil dan siap dipasang alat penafasan. Mungkin media dan polis menganggap semua berlakon termasuk para doktor dan jururawat di Hospital Pantai. Mungkin juga semua di situ adalah pelakon dan hospital Pantai adalah sebuah cawangan institusi Yahudi Nasrani tajaan bersama Hindu sedunia yang mendapat sokongan pertubuhan Komunis untuk menjatuhkan BN! Begitu juga dengan saudara Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS. Beliau menipu juga! Dan Hospital KPJ di Seksyen 20 Shah Alam juga sarang pelakon dan penipu di mana mereka berpura-pura membedah lutut Mat Sabu dan menghasilkan X-Ray palsu yang menunjukkan skru sepanjang 2 ½ inci dilututnya! Mungkin hospital tersebut juga merupakan sarang Yahudi Nasrani, Hindu dan Komunis antarabangsa yang mendapat pembiayaan dari pihak Amerika yang bersekongkol dengan golongan Wahabi! Seorang lagi yang menipu semestinya saudara Fayat, pengawal peribadi DS Anwar Ibrahim yang remuk tulang pipinya dan retak batang hidungnya sehingga terpaksa dibedah dan diletakkan kepingan Titanium di pipinya. Di sini juga sudah pasti mereka akan berkata, Hospital telah dibayar pihak Yahudi Nasrani, Hindu serta Komunis sedunia dan mereka telah berkomplot untuk menjatuhkan BN! Jangan lupa pula kepada saudara Sharwadi yang telah kejang dan sesak nafas sehingga terpitam serta pemuda yang sawan, patah kaki dan lain-lain yang kesemuanya pelakon tambahan upahan Yahudi Nasrani, Hindu dan Komunis! Maka bertanya pula kita mengapakan Yahudi Nasrani, Hindu dan Komunis sedunia ingin menjatuhkan Najib? BN akan menjawab bahawa ianya adalah kerana beliau merupakan seorang pejuang Islam yang sejati! Sambil si Rosmah mengemaskan sanggulnya serta memasangkan gelang dan cincinnya setiap pagi dengan niat yang tulus ikhlas untuk memperjuangkan ummat Islam dan rakyat jelata, ulas mereka lagi! Adakah mereka anggap rakyat bodoh? BN boleh terus berusaha memperbodohkan rakyat tetapi saya yakin rakyat tidak bodoh! Dan harinya semakin pantas menjelang tiba apabila kebijaksanaan rakyat Malaysia akan jelas terbukti! GUGURNYA BAHARUDDIN SEBAGAI SEORANG SYUHADA INSYAALLAH Kalau boleh, Al-Marhum Baharuddin pun BN ingin tuduh berlakon! Semuanya satu sandiwara pakatan pembangkang menurut mereka lagi. Sehingga hari ini tiada ucapan Takziyyah atau kekesalan dari pihak Polis atau BN. Mereka mahu letakkan kesilapan atas semua pihak kecuali mereka sendiri, tetapi rakyat tahu siapa yang bertanggungjawab diatas gugurnya allahyarham. Yang paling tinggi daya imiginasi ialah tuduhan bahawa tulang rusuk Al-Marhum dipatahkan doktor yang melakukan CPR. Bibirnya berdarah dan giginya patah juga mungkin kesalahan doktor! Semua tidak pandai buat kerja, termasuk doktor. Lain kali kalau ada yang tenat dan memerlukan CPR, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk jangan hantar ke doktor, hantar sahaja ke pihak polis! Adakah mereka ingat rakyat benar-benar banggang? RAHSIA KEGANASAN POLIS Hakikatnya mereka semua yang di atas menjadi mangsa kezaliman politik BN. WALAUPUN POLIS YANG BERTINDAK SEDEMIKIAN, perlu diingat Polis telah diapi-apikan sehingga membenci rakyat yang turun secara damai dengan tuduhan pengkhianat, penderhaka dan perusuh. Tukang adu domba, tidak lain dan tidak bukan, adalah BN. Sekiranya polis diberitahu, "rakyat ingin turun secara aman untuk berhimpun, menuntut sesuatu yang merupakan hak mereka iaitu pilihan raya bersih, sila jaga keselamatan mereka", sudah pasti berbeza kesudahannya. Sudah pasti polis akan menjaga supaya semua berjalan dengan aman dan teratur dan tidak mengucar-kacirkan suasana dengan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia. Malangnya BN adalah batu api, tukang adu-domba yang ingin memperkudakan polis untuk kepentingan mereka. Maka apa yang terjadi telah pun terjadi. Ada yang mengatakan, dalam perlembagaan, hak berhimpun secara aman dan tanpa senjata dijamin TETAPI Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan ke atas hak tersebut. Dari ayat ini jelas bahawa sekatan tidak bertujuan untuk menghapuskan atau menafikan hak berhimpun. Hanya boleh dikenakan sekatan-sekatan tertentu melalui undang-undang seperti kena ikut arahan polis semasa berhimpun, ikut jalan ini dan itu, pada waktu ini hingga waktu itu dan sebagainya. Bukan menafikannya sama sekali! Lagipun sekatan undang-undang adalah untuk bertujuan untuk menjaga ketenteraman awam, keselamatan Persekutuan dan mana-mana bahagiannya, BUKAN ketenteraman dan keselamatan BN! Tiada makna diberi hak yang dijamin Perlembagaan tetapi boleh dinafikan kembali sewenang-wenangnya oleh kerajaan yang memerintah. Apa yang jelas BN dalam ketakutan. Dan orang yang takut akan melakukan kesilapan. Kesilapan akan menjadikan apa yang mereka takutkan menjadi satu kenyataan, insyaAllah. WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD |
Antara Fahaman Wahabi Dan Fahaman Sekular Umno Posted: 27 Jul 2011 07:07 PM PDT Wahabi: Perlis pelawa pendakwah bebas Uthman jelas isu 'kesesatan' Saudi Oleh G Manimaran KUALA LUMPUR, 28 Julai — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mengambil langkah susulan berhubung idea agar berdialog mengenai polemik Wahabi dengan mempelawa pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady agar bertandang ke Perlis semasa Ramadan bagi menjernihkan isu "kesesatan Saudi." Juanda berkata Jabatan Mufti Perlis menghantar surat hari ini mempelawa Uthman, yang dijemput memberi taklimat pada satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin lalu, agar memberikan penjelasan mengenai isu tersebut khususnya kepada warga Perlis. "Sebenarnya kami hendak menjemput beliau datang secepat mungkin, tetapi oleh kerana kita sudah menghampiri bulan Ramadan, jadi lebih elok dialog diadakan ketika bulan puasa. "Lagipun bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, kita boleh membincangkan isu ini dalam suasana jernih dan terbuka mengenai apa yang beliau (Uthman) mendakwa sebagai wujudnya kesesatan Saudi (dalam isu Wahabi)," kata beliau. Juanda menegaskan, apa yang didakwa diperkatakan oleh Uthman kononnya wujud "kesesatan" berkenaan isu fahaman Wahabi adalah tidak betul. "Apabila kenyataan beliau mengaitkan dengan Arab Saudi, ia menimbulkan kekeliruan, sebab ramai rakyat negara ini pergi ke Saudi dan bersolat di masjid-masjid di negara itu," katanya. "Malah kita juga menjemput imam-imam dari Arab Saudi datang ke negara, jadi apabila isu ini dibangkitkan, ia menjadi satu isu . . . jadi saya berharap beliau dapat datang ke Perlis dan menjelaskan kepada kami tentang isu sebenarnya," kata Juanda lagi. The Malaysian Insider difahamkan Uthman, yang kini merupakan Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa telah dijemput untuk memberikan taklimat mengenai isu Wahabi di Putrajaya, Isnin lalu. Dalam laporan terdahulu hari ini, The Malaysian Insider memetik Juanda sebagai berkata, beliau mempelawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan Perlis termasuk mereka di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar berdialog berhubung isu fahaman Wahabi yang terus hangat diperkatakan. Laporan terbaru mengatakan bahawa amalan fahaman Wahabi boleh membawa kepada pemikiran radikal dan aktiviti pengganas. "Kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan Perlis, kami sedia untuk berdialog... kami sedia berdialog dengan mana-mana pihak," kata beliau. "Mereka boleh berdialog dengan jawatankuasa fatwa negeri dan juga rakyat Perlis yang memang mencintakan keamanan dan kestabilan negara," kata tokoh agama ini mengulas perkembangan terbaru berkaitan dengan isu Wahabi, yang dilaporkan menjadi fokus perbincangan dalam satu mesyuarat MKN Isnin lalu. Juanda berpendapat bahawa dialog yang dimaksudkan penting memandangkan Perlis sentiasa dikaitkan dengan amalan fahaman Wahabi. Isu itu sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform "kerajaan dengan kerajaan." Selain Juanda dan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Zainul Abidin turut disenaraikan sebagai pihak yang harus dipantau oleh agensi agama ialah sekitar 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu juga disebutkan dalam senarai "dikehendaki" pihak berkuasa. Ulama-ulama muda itu juga mahu mengadakan pertemuan dengan MKN bagi mendapatkan penjelasan. Mengulas lanjut, Juanda berkata sementara isu semasa mendapat penjelasan daripada pihak berkuasa termasuk Uthman sendiri, beliau menasihatkan agar Muslim negara ini tidak menjemput imam-imam dari Arab Saudi datang ke Malaysia. "Kalau benar dakwaan yang dibuat oleh Uthman, kita nak menasihatkan agar pihak-pihak yang hendak menjemput imam-imam dari Saudi pada bulan Ramadan ini, untuk menjadi imam tarawih agar menangguhkan jemputan itu . . . pada kebiasaan, yang menjemput adalah parti-parti politik seperti Umno, PKR, PAS, dermawan-dermawan," katanya lagi. Tambah beliau, setiap tahun puluhan ribu jemaah haji dan jutaan jemaah umrah dari Malaysia pergi ke tanah suci, dan "kalaulah benar kenyataan beliau tentang kesesatan kerajaan Saudi, kita ingin mempertimbangkan satu fatwa untuk menasihati umat Islam menangguhkan sementara pemergian mereka untuk menunaikan haji dan umrah sehingga isu kesesatan Saudi ini selesai." |
Selepas Bersih, Pemuda Umno-Pakatan ganding tuntut reformasi pilihan raya Posted: 27 Jul 2011 07:05 PM PDT Oleh Shazwan Mustafa Kamal PUTRAJAYA, 28 Julai — Tiga minggu selepas Himpunan Bersih 2.0, Pemuda Umno menyeru Pakatan Rakyat agar bekerjasama mendesak pembaharuan sistem pilihan raya dengan mengatakan kedua-dua parti perikatan itu mahu melihat transformasi sistem itu. Datuk Zaki Zahid, yang merupakan Ketua Pemuda Umno Putrajaya, memberitahu malam tadi semasa dialog umum dengan pemimpin PKR Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Umno juga mahukan pembaharuan sistem pilihan raya dilakukan dengan betul tetapi menegaskan, ia bolah dibuat melalui dialog awam dan debat bukan "demonstrasi jalanan." "Pemuda Umno juga mahukan daftar pemilih dibersihkan, kami bersetuju bahawa sistem dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dikaji, tapi kita boleh lakukan tanpa demonstrasi jalanan. "Kita ada persamaan . . . mari bekerjasama, kita dalam satu haluan," katanya. Sementara itu Nik Nazmi yang merupakan Pengarah Komunikasi PKR membalas dengan menekankan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mewakili 62 badan bukan kerajaan (NGO) tidak mempunyai niat menjatuhkan pentadbiran Najib, cuma mahukan transformasi sistem pilihan raya dilaksanakan. Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia ini berkata, Bersih 2.0 telah menemui kerajaan dan SPR "banyak kali" sebelum 9 Julai, namun tiada usaha proaktif yang diambil. "Saya rasa itu yang menyebabkan Bersih 2.0 turun ke jalanan, untuk meneruskan tekanan agar transformasi pilihan raya dilakukan," katanya. Beliau menambah, tindakan kerajaan menggunakan polis untuk menahan peserta Himpunan Bersih 2.0 serta menapis laporan media arus perdana — tidak memberi Barisan Nasional (BN) imej yang baik di peringkat tempatan dan antarabangsa. "Sebuah kerajaan yang kuat adalah kerajaan yang tidak takut kepada demokrasi. "Saya rasa kebimbangannya di sini adalah di mana anda mempunyai dua pasukan dalam satu padang tetapi tiada persaingan yang sama dan anda meragui pengadil (ketelusan)," katanya. Zaki bagaimanapun menegaskan Umno tidak gentar untuk bersaing dalam pilihan raya yang adil. "Umno tidak pernah takut dengan pilihan raya dan kami boleh menerima keputusan pilihan raya dengan hati yang terbuka," katanya. Zaki dan Nik Nazmi juga bersetuju supaya lebih banyak forum dan dialog terbuka diadakan untuk memberikan penjelasan kepada rakyat. BN dilihat terpaksa bersikap mempertahankan diri mengenai Himpunan Bersih 2.0 sejak seminggu lalu kerana masyarakat antarabangsa dari Singapura dan United Kingdom mengkritik cara kerajaan menangani perkara itu. Bersih 2.0 mendakwa 50,000 rakyat telah menyertai perhimpunan pada 9 Julai walaupun dihalang polis yang hanya menganggarkan 6,000 orang yang berada di ibu negara. Perhimpunan yang turut disokong Pakatan Rakyat itu menjadi huru-hara apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air terhadap ribuan peserta yang menyaksikan hampir 1,700 ditahan, ramai yang cedera dan satu kematian — Baharuddin Ahmad, seorang ahli PAS. Kerajaan telah berjanji akan menyiasat tuduhan tentang keganasan polis manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia juga akan mengadakan satu siasatan awam bulan depan. |
Gambar Najib Terkedu Apabila Jumpa Rakyat Baju Kuning Posted: 27 Jul 2011 05:00 PM PDT cakap kat pemimpin Pakatan bukan main katanya penakut la, dayus la, pondan la, lembik la dan macam-macam lagi la. korang tengok la najib punya pulak, nak bagi memorandum pun macam nak halau binatang. pppuuiihhhhh... tunggu masa la der ko akan jadi pembangkang di Malaysia. Amin |
Kita semua jadi mangsa Umno BN Posted: 27 Jul 2011 09:00 AM PDT Suhaizan Kaiat Sudah dua kali hak saya sebagai warganegara Malaysia dihalang untuk bebas bergerak dan bersuara. Pertama pada 9hb Julai 2011 saya dihalang untuk berada di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan semalam saya pula dihalang untuk mengajukan soalan kepada Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Bin Wan Omar kononnya atas arahan orang atasan. Walaubagaimana pun saya mengucapkan tahniah kepada Sinar yang telah menganjurkan "Dialog Apa selepas 9 Julai?" dengan mempertemukan Bersih 2.0 dan SPR. Bersih 2.0 telah dianggap sebuah pertubuhan haram oleh Menteri Dalam Negeri. Secara tidak langsung Sinar sudah berani menyangah pandangan Menteri Dalam Negeri dan lebih mirip kepada pandangan Timbalan Menteri Pendidikan YB Saifuddin Abdullah yang menggangap Bersih 2.0 bukan sejenis pertubuhan tetapi sejenis aktiviti NGO yang berdaftar. Sebenarnya saya mahu mengajukan beberapa soalan kepada Datuk Wan Ahmad iaitu berkaitan dengan Double Voting, Daftar Pemilih, Pengundi Pos dan Advance Voting. Pada 7hb Oktober 2009 telah diadakan pertemuan antara SPR dan pemimpin PAS yang dianggotai oleh Dato Mustafa Ali , Dato Abdul Halim Abd Rahman, Tuan Hj Mohzit bin Mohid dan saya sendiri. Pemuda PAS telah mengemukakan senarai 253 pengundi pos yang bertindan. Mereka mempunyai nama sebagai pengundi pos di Bagan Pinang tetapi mempunyai nama yang sama di tempat lain. Pertindanan ini telah berlaku dalam pilihanraya umum 2008. Dalam perbincangan itu SPR telah berjanji untuk menghapuskan pertindanan ini. Malangnya pertindanan ini masih lagi berlaku pada tahun 2011. Pertindanan ini bertentangan dengan perkara 119 Perlembagaan Malaysia. Saya mempunyai terlalu banyak bukti pertindanan ini. Dalam kenyataan Dato Wan Ahmad kepada The Star pada 24hb Julai 2011, bahawa beliau bersetuju bahawa terhadap kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR yang sah. Secara tidak lansung juga SPR telah mendaftarkan pengundi yang tidak sah. Itulah yang dinamakan pengundi hantu. Persoalannya mengapa SPR menafikan pengundi hantu? Walaupun saya tidak dapat mengajukan soalan tetapi soalan ini dapat disampaikan oleh Tuan Hj Mohzit Bin Mohid. Malangnya Dato Wan Ahmad menjawab bahawa soalan itu hanya sesuai untuk kerani sahaja bukan ahli suruhanjaya diraja sepertinya. Beliau hanya bertanggungjawab terhadap dasar-dasar dalam SPR bukan membuat kerja kerani. Sepatutnya Dato Wan Ahmad tidak memberi jawapan seperti itu. Terbukti jawapanya telah di "boo" oleh penonton. Persoalannya apakah dasar yang dipakai oleh SPR jika masih terdapat pertindaan pengundi walaupun telah ditegur pada tahun 2009? Apakah dasar SPR membenarkan nombor kad pengenalan yang diklon dibenarkan masuk dalam daftar pemilih SPR yang sah? Saya berpendapat bahawa SPR sebenarnya terperangkap dalam kerangka politik sempit Umno, Barisan Nasional. Pembaharuan yang mahu dibuat oleh mereka tidak mendapat sokongan pemerintah. Contohnya apabila SPR memperkenalkan pengunaan dakwat kekal pada tahun 2008 maka Pengerusi SPR di ajukan dengan persoalan keselamatan negara yang tidak masuk akal. Inilah bukti bahawa SPR sebenarnya bukan badan bebas untuk melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil. Sampai bilakah SPR mampu melepaskan ikatan daripada pemerintah yang zalim? Yang menjadi mangsa adalah kakitangan SPR seperti Dato Wan Ahmad yang terpaksa menjawab segala persoalan yang tidak mempunyai jawapan. Beliau sendiri pun tidak boleh menerima jawapan yang beliau sendiri berikan. Itulah hakikat kerajaan zalim Umno Barisan Nasional yang wajib ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang. Bantahan saya kepada SPR selama ini adalah umpama pukul anak sindir menantu sahaja. Kita semua rakyat Malaysia menjadi mangsa kepada kezaliman kerajaan Umno Barisan Nasional. SUHAIZAN BIN KAIAT, PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI DAN MOBILISASI, PEMUDA PAS MALAYSIA KETUA PEMUDA PAS NEGERI JOHOR |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan