Ahad, 24 Julai 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Salinan Report Polis Mat Sabu

Posted: 24 Jul 2011 06:52 AM PDT

https://lh6.googleusercontent.com/-od6A5e3C4Pw/TivMHVVhPFI/AAAAAAAAVT0/-3VcTlrf6lA/s800/Repot%252520Bang%252520Mat.jpg

Bersih 2.0 :Drama kejar mengejar aku, Mat Sabu, polis

Posted: 24 Jul 2011 05:02 AM PDT

Oleh Mohamed Hanipa Maidin

Kali ini aku ingin ber­kongsi cerita pra, semasa dan pasca himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Kita mulakan dengan fasa pra perhimpunan. Aku dan Mat Sabu berada di luar negara kerana bererehat sebentar dek terlalu banyak kes Mahkamah yang melibatkanku (peguam) dan Mohamad Sabu atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu (anakguam) yang juga Timbalan Presiden PAS.

Di luar negara kami berbincang adakah Mat Sabu perlu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 Julai iaitu sehari sebelum Himpunan Bersih. Mat Sabu agak risau dicekup pada 8 Julai di Pulau Pinang maka ter­lepas untuk menyertai himpunan Bersih. Aku katakan pada Mat Sabu bahawa kami perlu hadir pada 8 Julai di mahkamah.

Maka pada hari tersebut, kami berdua berlepas ke Pulau Pinang dari Lapangan Terbang Subang pada jam 6.55 pagi. Di Pulau Pinang aku dan Mat Sabu hadir di Mahkamah Tinggi bagi rayuan kes oleh Pendakwaraya ke atas keputusan Mahkamah Majistret di Jawi yang membebaskan Mat Sabu dan sembilan yang lain. Tapi jahatnya pihak pendakwaraya, mereka hanya merayu kes Mat Sabu sahaja.

Alhamdulillah di Pulau Pinang Mat Sabu tidak ditangkap. Ramai yang menyapa Mat Sabu tanpa mengira bangsa di Pulau Pinang dan semua bersemangat bercerita tentang Bersih dan tindakan polis yang mereka kata agak kururang siuman. Jam 6.30 petang, kami sampai di Subang. Kenderaan dan petugas keselamatan PAS menanti kami. Di Lapangan Terbang Bayan Lepas, kami membeli baju warna kuning yang bakal dipakai di perhimpunan Bersih 2.0 keesokan harinya.

Pemandu yang membawa kami beritahu banyak sekatan jalan polis dan jika naik kereta tidak selamat. Dua buah motosikal disediakan untuk kami. Sampai di sebuah stesen minyak, Mat Sabu membonceng motosikal untuk dibawa ke sebuah hotel di ibu kota dan aku pula dibawa ke rumah. Kami berjanji akan jumpa malam itu di hotel.

Sebaik sahaja sampai di rumah, aku membersihkan diri dan jam 12 malam berjumpa Mat Sabu di sebuah hotel di ibu kota.

Pagi 9 Julai, aku tinggalkan Mat Sabu di bilik hotel dan turun minum. Aku hanya berseluar jeans hitam dan ber­baju T merah (tapi bukan Patriot). Aku minum di gerai mamak tidak jauh dari hotel. Ramai ahli PAS turut minum dan menyapaku. Kepala aku hanya memikir satu perkara; bagaimana nak melepasi banyak sekatan jalan polis? Aku dan Mat Sabu saling ber­hubungan melalui SMS (khidmat pesanan ringkas).

Tiba-tiba aku terima SMS dari sahabat PAS Johor yang secara kebetulan dapat maklumat daripada seorang kawan lain yang berada di hotel penginapan Mat Sabu. SMS itu berbunyi; "Beritahu akhie Hanipa jangan balik ke hotel kerana polis sedang cari dia."

Aku forwardkan SMS itu kepada Mat Sabu. Aku minta kawan yang minum bersama aku untuk lihat keadaan di hotel. Kawan aku pergi ke hotel dan beritahu ramai polis berkeliaran. Aku menelefon Dr Mohd Hatta Ramli dan beliau minta aku dan Mat Sabu ke Masjid Negara jika boleh lepas dari kepungan polis. Aku beritahu Mat Sabu apa yang Dr Hatta beritahu. Mat Sabu kata kita ke sana untuk solat Zohor. Maka petugas keselamatan menyediakan dua motor dengan dua penunggang. Aku naik satu motor dan Mat Sabu naik satu motor yang lain.

Sebaik sahaja Mat Sabu berjaya turun ke bawah (polis tidak menyedari Mat Sabu sudah terlepas), kedua-dua motor memecut deras membawa kami. Aku amat gayat membonceng motor yang dipandu laju. Tiba-tiba motor yang membawa Mat Sabu berhenti kerana dalam jarak 100 meter ada sekatan jalan polis. Kami cuba masuk ke kawasan perumahan dan tidak semena-mena kenderaan pacuan empat roda polis dan dua kereta peronda meluru laju dan membrek di hadapan motor kami.

Kami cuba berpatah balik tetapi dikepung dan pacuan empat roda polis dengan sengaja melanggar motosikal yang dinaiki Mat Sabu. Aku nampak bahagian depan jip Pajero itu melanggar kaki Mat Sabu.

Kedua-dua motosikal yang kami naiki jatuh dan beberapa anggota polis bertindak ala gangster menerpa kami sambil berteriak. Aku dijatuhkan dan muka aku ditekan oleh polis sehingga ter­kena roda motosikal. Aku lihat Mat Sabu dalam kesakitan dan memberitahu polis bahawa dia tidak boleh berjalan.

Tanganku digari ke belakang dan dimasukkan ke dalam kereta peronda. Aku protes tangkapan tersebut dan memberitahu polis yang aku seorang peguam. Namaku juga tiada dalam perintah mahkamah. ACP Fairuz (yang juga aku kenal kerana akulah peguam yang menyoal balas beliau dalam kes himpunan Protes) hanya mengatakan beliau "ikut arahan". Jawapan standard polis.

Kami berempat dibawa ke Balai Polis Jinjang. Dari sana Mat Sabu kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. Di Jinjang aku dikenali oleh beberapa anggota polis yang bekerja di mahkamah dan mereka agak terkejut kerana aku ditangkap. Apabila merereka kata pada aku "maaf tuan' polis yang lain pula terkejut. Aku bersyarah panjang pada polis tentang hak orang yang ditangkap dan sedikit sebanyak mereka akur.

Aku dimasukkan ke dalam sel bersama-sama dua pemandu motosikal yang membawa kami. Di dalam sel, rupanya sudah ada merereka yang ditangkap kerana perhimpunan Bersih. Apabila aku ingin bersolat Zohor, polis arahkan aku berpindah sel. Aku dibawa ke sel baru dan di situ aku terserempak dengan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam sel seorang diri. Aku juga melihat seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar juga dalam sel seorang diri. Aku diletakkan dalam sel bersebelahan Mahfuz. Kami bertiga dikurung di sel berasingan seorang diri (solitary confinement).

Tidak lama kemudian Tian Chua pula dimasukkan ke dalam sel di sebelah aku. Selepas itu Mat Sabu pula dimasukkan ke dalam sel di depan sel kami. Beliau hanya berkain pelekat dan kaki berbalut.

Mat Sabu berjalan terdencot-dencot. Tidak lama lepas itu Sivarasa Rasiah pula dimasukkan dalam sel di sebelah sel Mat Sabu. Maka kami ber­bual (sahut-menyahut) dengan nada ria antara satu sama lain.

Nampaknya, polis boleh menahan kami tetapi tidak boleh mencabut kegembiraan kami menentang kezaliman polis dan BN.

PRU-13: Tinggal beberapa bulan sahaja lagi, kata Muhyiddin

Posted: 24 Jul 2011 04:46 AM PDT

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua parti komponen dan anggota gabungan Barisan Nasional (BN) merapatkan barisan menjadi satu pasukan BN mulai sekarang bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata perpaduan di kalangan parti komponen dan anggota gabungan ialah pra-syarat utama yang mesti diberi tumpuan utama ia boleh memberi kesan kepada PRU.

"Kita tidak mempunyai banyak masa. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan kita mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa kita mempunyai pasukan yang mantap untuk berdepan pilihan raya umum.

"Kalau sebelum ini kita mempunyai Team 1, Team 2 dan sebagainya, saya mahu mulai sekarang, kita hanya mempunyai satu team sahaja iaitu Team BN," katanya ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan ke-19 parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) ke-19 di Seri Kembangan di sini hari ini.

IPF yang diasaskan mendiang Tan Sri M.G Pandithan pada tahun 1991 telah diterima sebagai anggota gabungan BN pada awal tahun ini. Ini juga merupakan kali pertama persidangan tahunan parti itu dirasmikan oleh pemimpin tertinggi negara.

Dipetik Bernama Online, Muhyiddin berkata dasar kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat adalah pra-syarat kedua yang perlu diberi perhatian.

Sehubungan itu beliau menegaskan, semua anggota parti komponen BN harus terus mendukung perjuangan kerajaan dalam mendahulukan rakyat dalam setiap aspek sosial dan ekonomi.

Ini merupakan teras penubuhan parti-parti komponen BN yang mahu memperjuang dan membela nasib rakyat, kata Muhyiddin.

"Seperti juga IPF, perjuangannya bukan untuk mendiang Pandithan, tetapi untuk membela nasib rakyat jelata supaya menjadi lebih baik dan usaha ini perlu diteruskan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan bahawa perpaduan nasional negara ini perlu dipertahankan dan mana-mana anasir jahat harus ditentang.

Mengambil contoh serangan berkembar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Oslo, Norway yang kini telah mengorbankan lebih 90 nyawa, Muhyiddin berkata perkara sedemikian tidak harus dibenarkan berlaku di sini.

"Kalau ada pihak yang mahu memporak-perandakan kita dengan politik sempit, kita harus menentang mereka," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya kepada hampir 2,000 anggota IPF, Timbalan Perdana Menteri mengiktiraf sokongan dan peranan IPF kepada BN selama ini walaupun hasratnya untuk menjadi parti komponen BN belum tercapai.

Beliau mencadangkan supaya Presiden IPF M. Sambathan menyediakan dan mengemukakan kepada beliau projek yang mahu dilaksanakan oleh parti itu dalam membantu rakyat.

"Saya juga berjanji akan memberi peruntukan untuk pelaksanaan operasi...aktiviti-aktiviti boleh dijalankan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Sultan Kelantan Dianugerahkan Darjah Kerabat Perak

Posted: 23 Jul 2011 10:13 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada Ahad berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati (DK) kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Penganugerahan darjah itu diterima oleh Sultan Muhammad V daripada Sultan Azlan Shah dalam satu istiadat di Bilik Menghadap Merah, Istana Perak, Bukit Persekutuan pada 11.15 pagi.

Sultan Muhammad V kemudian berkenan menyembahkan cenderahati kepada Sultan Azlan Shah.

Turut hadir Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.- BERNAMA

kami rakyat kelantan merafak sembah buat Sultan Kelantan. Allahukhbar!

Jawapan Kepada Isu Penyingkiran Datin Sabariah Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) Yayasan Selangor

Posted: 23 Jul 2011 07:21 PM PDT

Oleh Yayasan Selangor

1. Isu yang disiarkan oleh Malaysia Today pada 22 Julai 2011 berkenaan PENYINGKIRAN TIMBALAN PENGURUS BESAR (PENDIDIKAN) YAYASAN SELANGOR adalah isu lama yang sedang dalam proses penyiasatan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Negeri Selangor.

2. Penyiaran kisah ini bolehlah dianggap sebagai usaha beliau atau pihak-pihak yang menyokong beliau untuk meraih simpati dan berniat jahat dengan memberikan gambaran buruk terhadap pengurusan Yayasan Selangor.

3. Beliau sebenarnya "bernasib baik" kerana diterima bekerja di Yayasan Selangor sejak tahun 1998 dan "survive" walaupun Laporan Siasatan Audit Dalam Yayasan Selangor yang bertarikh 18 Mei 1999 dengan jelas mengesyorkan supaya perkhidmatan beliau ditamatkan.

4. Ini kerana penemuan audit itu mendapati bahawa beliau telah memalsukan nama jawatan dan gaji akhir beliau semasa bekerja di Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd., iaitu kononnya beliau bertugas sebagai akuantan dengan gaji sebanyak RM5,500.00 sebulan, sedangkan pihak pengurusan hotel itu mengesahkan bahawa beliau hanyalah seorang Pegawai Akaun dengan gaji sebanyak RM3,500.00.

5. Hal ini mendorong pihak pengurusan Yayasan Selangor pada tahun 1998 menawarkannya jawatan tetap selaku Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Gred N1 (setara dengan Gred 54 kini) dengan gaji sebanyak RM5,859.00.

6. Laporan Audit Dalam itu "lenyap" begitu sahaja apabila beliau berkahwin dengan Dato' Zolkarnain Abd. Rahman, Pengurus Besar Yayasan Selangor yang menyandang jawatan itu pada tahun 1999 hingga 2001.

7. Seperti staf yang lain, beliau dinilai mengikut prestasi semasa dan beberapa kali ditukarkan ke jawatan lain atas keperluan organisasi.

8. Beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) pada 1 Ogos 2010 melalui surat bertarikh 12 Julai 2010 rujukan no. (91)dlm.YS/SM/03/037 dengan Gred Utama C (VU7).

9. Perlantikan itu dengan jelas menyebut perkara 2.8 Pengesahan Jawatan dan Tempoh Percubaan yang berbunyi:

"Pengesahan jawatan puan adalah tertakluk kepada prestasi kerja puan di sepanjang tempoh percubaan iaitu selama enam (6) bulan. Puan boleh dikembalikan ke jawatan asal oleh Yayasan Selangor dengan gred dan tanggagaji yang asal sekiranya prestasi kerja puan dalam tempoh tersebut tidak memuaskan."

10. En. Ilham Marzuki selaku Pengurus Besar Yayasan Selangor mendapati prestasi Datin Sabariah Ahmad selaku Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) adalah tidak memuaskan, dan pada 10 November 2010, Pengurus Besar telah memaklumkan hal ini kepada YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor.

11. Beliau turut memaklumkan bahawa Datin Sabariah Ahmad telah dikembalikan ke jawatan asalnya selaku Pengurus Kanan Hal Ehwal Pelajar (mulai 1 November 2010), iaitu jawatan yang disandangnya mulai 3 Mei 2010 (sehingga dilantik sebagai Pemangku Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) pada 1 Julai 2010 dan seteruskan dinaikkan sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan).

12. Oleh sebab beliau membuat aduan kepada Dato' Menteri Besar Selangor yang kononnya beliau dianiaya dan arahan supaya beliau diletakkan semula (reinstated) ke jawatan asalnya, maka pada 3 Disember 2010, beliau telah dikembalikan ke jawatan Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan).

13. Pada 8 Disember 2010, semua gaji dan elaun tertunggak telah dibayar kepada beliau. Ini bermakna beliau telah menerima hak beliau sebagaimana yang dikehendaki.

14. Mengikut laporan Bahagian Sumber Manusia, beliau tidak hadir ke pejabat pada 1 - 3 Disember 2010, tetapi pihak Sumber Manusia ketika itu tidak mengambil apa-apa tindakan, walaupun Skim Perkhidmatan Yayasan Selangor menyatakan bahawa sesiapa yang tidak hadir 2 hari berturut-turut menurut fasal 4.6.1:

"... seseorang kakitangan yang tidak hadir bertugas selama 2 hari berturut-turut tanpa mendapat cuti yang sah atau tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada ketua bahagian atau tanpa sebab-sebab yang munasabah adalah satu kesalahan dan disifatkan telah menamatkan perkhidmatannya secara sukarela dengan Yayasan Selangor."

15. Beliau kemudian mendapat cuti sakit secara bersambung-sambung pada 4 hingga 17 Disember 2010.

16. Sayugia dicatatkan bahawa sepanjang tahun 2008, beliau pernah mengambil cuti sakit (klinik biasa) selama 63 hari dan cuti sakit kerana dimasukkan ke hospital selama 150 hari.

17. Manakala pada tahun 2009, beliau telah mengambil cuti sakit (klinik biasa) sebanyak 22 hari dan cuti sakit kerana dimasukkan ke hospital sebanyak 60 hari.

18. Beliau sebenarnya sekali lagi bernasib baik kerana Bahagian Sumber Manusia ketika itu patut merujuk kes kesihatan beliau kepada Panel Perubatan untuk diberi pertimbangan khas.

19. Berdasarkan perkara 12 dan 13 di atas, kes beliau sepatutnya sudah selesai dan tiada lagi kes berbangkit.

20. Bagaimanapun, pada 21 Disember 2010, beliau telah menulis surat yang kononnya beliau telah diberhentikan kerja secara terancang (constructive dismissal) hanya atas alasan pejabat beliau dipindahkan ke Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur.

21. Sesungguhnya perpindahan beliau ke tempat tersebut adalah supaya beliau memberikan tumpuan kepada permasalahan kemerosotan pencapaian pelajar yang merupakan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab beliau di Bahagian Pendidikan.

22. En. Ilham Marzuki selaku Pengurus Besar Yayasan Selangor tidak sama sekali berniat jahat terhadap beliau kerana sepanjang perkhidmatan Datin Sabariah di bawah pengurusannya, beliau telah tiga kali dinaikkan pangkat, iaitu sebagai Pengurus Kanan pada 3 Mei 2010 dan sebagai Pemangku Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) pada 1 Julai 2010, dan seterusnya sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) pada 1 Ogos 2010.

23. Sekiranya beliau ditempatkan di ibu pejabat di Petaling Jaya, seperti amalan sebelum ini, keberkesanan tugasan beliau tidak dapat diukur. Oleh itu, dengan keberadaan beliau di lokasi khusus pelajar, beliau sepatutnya diharapkan dapat memahami dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar.

24. Apa yang didakwa sebagai constructive dismissal hanyalah "persepsi" beliau bagi menutup kelemahan prestasi beliau dan masalah cuti sakit yang berpanjangan.

25. Perlu dingatkan bahawa jawatan sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) yang beliau sandang itu masih dalam tempoh percubaan (1 Ogos 2010 hingga 30 Januari 2011). Adalah menjadi hak Pengurus Besar untuk menilai dan membuat keputusan mengenai prestasi beliau sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan).

26. Oleh kerana beliau telah membuat aduan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Negeri Selangor, kes beliau kini masih di peringkat awal dan tiada sebarang keputusan dicapai setakat ini. Oleh itu, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang rumusan demi keadilan kedua-dua pihak.

27. Yayasan Selangor bersedia mematuhi sebarang keputusan yang berasaskan undang-undang dan tidak berniat untuk berlaku tidak adil kepada beliau dan sesiapa sahaja, asalkan kepentingan majikan dan pekerja terpelihara.

28. Adalah ditegaskan bahawa kedudukan staf sebagai sebahagian daripada pasukan pengurusan Yayasan Selangor tertakluk kepada Skim Perkhidmatan, kepentingan organisasi dan rakyat Negeri Selangor. Prestasi kakitangan sentiasa dipantau supaya kehadiran mereka berbaloi dan setimpal dengan gaji, elaun dan kemudahan yang diterima.

Disediakan oleh:

Bahagian Sumber Manusia
Yayasan Selangor.
23 Julai 2011.


TERDAHULU BERKAITAN ISU


Penyingkiran Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) Yayasan Selangor


Ilham telah mengarahkan supaya surat perpindahan Datin Sabariah dikeluarkan dengan segera. Ilham juga mengarahkan supaya semua aset milik Yayasan Selangor yang ada pada Datin Sabariah diambil semula. Datin Sabariah telah menyerahkan semua aset pada hari yang sama, 29 Oktober 2010.


Datin Sabariah Ahmad merupakan seorang kakitangan tetap Yayasan Selangor dan akan bersara wajib bila mencapai umur 55 tahun pada penghujung 2011.

Beliau merupakan isteri kepada mantan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Dato' Zurkarnain A. Rahman (1998-2000).

Datin Sabariah dinaikkan jawatan sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) dengan tempoh percubaan selama enam bulan yang bermula dari 1 hb. Ogos 2010.

Pada hari Jumaat 29 Oktober 2010, Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki telah berjumpa semua kakitangan di surau Menara Yayasan Selangor.

Ilham membaca surat layang yang dihantar kepada ketua isteri beliau. Isteri Ilham bekerja di Jabatan Perancangan Ekonomi (EPU) di Putrajaya.

Ilham mengesahkan KEBENARAN bahwa (a) dia, Ilham Marzuki adalah ahli PAS yang suka menyebut kata-kata lucah seperti pundek, pukimak, kongkek, babi dan (b) Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Mohd Saifulruddin bin Sulaiman adalah seorang samseng setinggan yang memiliki banyak kereta.

Di akhir perjumpaan itu, Ilham memberitahu kakitangan yang hadir bahwa penulis surat tersebut dilahirkan di Melaka dan dibesarkan di Johor. Orang-orang lama Yayasan membuat kesimpulan bahawa Datin Sabariah, Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) adalah orang dimaksudkan oleh Ilham.

Selesai perjumpaan itu, Ilham telah mengarahkan supaya surat perpindahan Datin Sabariah dikeluarkan dengan segera. Ilham juga mengarahkan supaya semua aset milik Yayasan Selangor yang ada pada Datin Sabariah diambil semula. Datin Sabariah telah menyerahkan semua aset pada hari yang sama, 29 Oktober 2010.

Surat perpindahan menyebut bahawa Datin Sabariah ditukar ke Bahagian Sumber Manusia SUK pada 1 November 2010.

Pejabat SUK mempersoalkan perpindahan mendadak Datin Sabariah kerana lazimnya sebarang proses penempatan pegawai dari anak syarikat hendaklah dimulakan dengan permohonan rasmi dari Pengurus Besar anak syarikat kepada Pejabat SUK/Menteri Besar.

Alasan yang diberikan oleh Ilham ialah Datin Sabariah tidak mampu menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) dengan memuaskan. Datin Sabariah telah diturunkan pangkat dan gaji dan elaun-elaun sebagai Timbalan Pengurus Besar telahpun ditarik balik.

Semasa ditempatkan di Bhg Sumber Manusia SUK, Datin Sabariah telah cuba untuk mendapatkan bantuan Setiausaha Politik MB, Puan Faekah dan MB sendiri untuk dipindahkan balik ke pejabat beliau di Yayasan Selangor, Petaling Jaya. Malangnya beliau tidak mendapat layanan yang sewajarnya.

Pada 1 Disember 2010 Datin Sabariah telah menulis surat kepada MB Selangor menyatakan ketidakpuasaan hati beliau terhadap tindakan memindahkan beliau ke SUK tanpa sebarang alasan yang munasabah. Di dalam surat berkenaan Datin Sabariah telah memberi tempoh kepada MB untuk memindahkan beliau kembali ke jawatan Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) atau bersedia untuk menghadapi tindakan perundangan.

Datin Sabariah diarah pulang ke Yayasan Selangor tetap tidak dibenarkan kembali ke Pejabat Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) di Menara Yayasan Selangor, PJ. Sebaliknya beliau ditempatkan di Asrama Yayasan Selangor, Kuala Lumpur.

Datin Sabariah telah meletakkan jawatan pada pertengahan Disember 2010 dan membuat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Negeri Selangor. Kes beliau telah didengar pada bulan Mac 2011. Sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan muktamad dicapai.

Serangan di Norway, Islam jadi mangsa

Posted: 23 Jul 2011 07:16 PM PDT

Serangan di Norway yang telah mengorbankan lebih 90 nyawa terus mencetuskan debat panjang berhubung Islam dan terorisme, walaupun serangan itu tidak melibatkan Muslim.

Di sejumlah media Barat, hakikat bahawa penyerang, Anders Behring Breivik ialah pelampau Kristian berhaluan kanan dan bukan individu atau kumpulan ekstemis Muslim kini mendatangkan satu beban berkaitan nilai kewartawanan mereka.

Banyak media Barat kini terpaksa berdepan bukti bahawa Islam tidak mempunyai kaitan dengan serangan itu.

Akhbar-akhbar berpengaruh seperti New York Times, Washington Post, Financial Times dan Telegraph terjerumus dalam perangkap Islamofobia mereka sendiri apabila sejak awal mengaitkan kejadian itu dengan kumpulan Muslim, tanpa sebarang bukti atau petunjuk yang jelas.

Satu contoh jelas ialah kolumnis Washington Post, Jennifer Rubin yang dengan yakin mengaitkan serangan itu dengan kumpulan Muslim, dan mengambil kesempatan mengkritik usaha mengawal peningkatan peruntukan pertahanan Amerika Syarikat.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sendiri dilaporkan memasukkan kejadian itu ke dalam tajuk besar "perang menentang terorisme" yang dipimpin AS.

Akhbar seperti Telegraph, walaupun tidak menyatakan dengan jelas, merujuk kepada laporan bahawa ada kumpulan Muslim yang mengaku bertanggungjawab, seolah-olah memberi petunjuk awal tentang siapa yang bertanggungjawab.

Selain prejudis yang telah terbina sejak lama dan tidak dapat dikawal, perkembangan ini mendedahkan satu kelemahan besar dalam wacana di media Barat yang mudah menerima perspektif tertentu untuk membentuk segala sudut pandang mereka.

Jelas sekali serangan itu dilihat dari perspektif "perang menentang terorisme" dalam dunia "pasca-911" yang cenderung simplistik. Perspektif ini memudahkan kaitan dengan al-Qaeda atau Islam, ekoran pemahaman yang telah lama terbina.

Seperti yang pernah dilihat sebelum ini, teroris itu kini cuba diasingkan dengan menyifatkannya sebagai seorang yang bertindak sendiri, atau seorang yang gila, tidak seperti dalam kes serangan melibatkan Muslim yang dengan mudah dikaitkan dengan agama Islam.

Kes ini menjadi satu lagi contoh pandangan menyeleweng yang dibina oleh satu wacana yang berjalan atas asas-asas yang salah, sesuatu yang wajar diberi perhatian oleh semua termasuk warga Malaysia yang kini berdepan satu tempoh yang mencabar.

Pemahaman menyeleweng terhadap Muslim dan agama Islam kini turut memberi kesan kepada sesetengah pihak di negara kita, menjadikan pandangan mereka selari dengan pemahaman yang dibina atas asas yang salah itu.

Kumpulan-kumpulan tertentu, termasuk dalam gabungan parti pembangkang sendiri juga masih kuat dipengaruhi perspektif seperti itu, sehingga mengaburkan pandangan mereka dalam menilai Islam.

Kejadian di Norway semalam, dan respons segera terhadap tragedi itu kini dapat dinilai untuk dijadikan pengajaran, untuk berdepan cabaran suasana politik yang menguji pada masa ini.

http://siasahdaily.blogspot.com/2011/07/serangan-di-norway-islam-jadi-mangsa.html

Tiada ulasan: