Kerabu Bersuara ® |
- Dr Atory jadi pengampu kelas pertama
- Raja Petra Dedahkan Sarbaini Ditolak Sampai Jatuh
- Tiga saman kerajaan Kelantan haramkan judi
- Muzium propaganda Utusan? – oleh Amaluddin Zhafir
- Pimpinan BERSIH Dan SPR Akan Berdepat Minggu Depan. Blogger Umno Tak Puas Hati
- Anugerah Ibrahim Ali atau anugerah untuk Ibrahim Ali?
- Tukar jantina: Ashraf ‘rela dibunuh jika itu penyelesaian terbaik’
- Hot! Iklan Untuk Anugerah Ibrahim Ali Uitm Telah Dipadamkan!
Dr Atory jadi pengampu kelas pertama Posted: 20 Jul 2011 03:22 PM PDT Harakahdaily KUALA LUMPUR, 20 Julai: Hairan bin ajaib, bagaimana seorang yang bergelar profesor, tiba-tiba menyuruh kerajaan mengambil tindakan kepada portal berita The Malaysian Insider kononnya pemberitaannya memberi kesan buruk kepada keselamatan dan keamanan negara. AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata cadangan Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain ditertawakan oleh mereka yang belajar di sekolah atap. "Sebenarnya yang tergugat ialah kerajaan BN, bukannya keamanan negara," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Soalnya, mengapa perlu takut dengan media baru kerana bukankah Umno memiliki media gergasi yang dapat dipancar ke setiap pelosok kampung. Katanya, memang sahlah parti yang didukung Ahmad Atory sudah hendak menghembus nafas terakhir, sehingga takut keburukan parti Umno diketahui oleh rakyat. Menurutnya, Atory merupakan pensyarah Universiti Sains Malaysia yang memang terkenal sebagai penyokong Umno tegar telah mencadangkan perkara tersebut, kerana resah dengan maklumat yang diberikan oleh The Malaysian Insider dan media alternatif lain. Beliau berkata, jika benar laporan media alternatif itu bahaya dan menyalahi etika media, kerajaan boleh bertindak melalui Akta Hasutan bukannya menerima cadangan Atory. Idris menambah, sepatutnya yang perlu takut kepada media alternatif ialah Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah, bukannya Atory. Soalnya, tidak cukup lagikah dengan gaji sebagai seorang profesor sehingga sanggup menjadi pengampu kelas pertama. "Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kualiti graduan yang beliau ajar jika beliau yang berfikiran sempit dan tidak memahami bahawa sekarang langit sudah terbuka. Inilah nasib seorang Profesor jika taksub dengan Umno sehingga hilang rasional apabila memberi pandangan," ujarnya lagi. |
Raja Petra Dedahkan Sarbaini Ditolak Sampai Jatuh Posted: 20 Jul 2011 04:53 AM PDT Kes Sarbaini: Peguam mahu buat laporan polis, dakwa tulisan Raja Petra ada asas Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 20 Julai – Peguam keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed menegaskan pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan baru dibuat editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu 6 April lalu. Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Awtar Singh berkata, pendedahan yang dibuat Raja Petra itu ada asasnya kerana mustahil untuk Sarbaini membunuh diri seperti yang didakwa. Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian di kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini. Mahkamah koroner yang diketuai Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu. "Kita akan buat satu laporan polis yang baru berhubung pendedahan dalam blog Raja Petra Kamaruddin, mana mungkin Ahmad Sarbaini bunuh diri... mungkin dia ditolak dari tingkap. "Mungkin pada inkues nanti kita akan minta untuk sekali lagi ke bangunan (SPRM) untuk kaji dan lakukan semula tentang apa yang berlaku... kita memang sudah jangka Ahmad Sarbaini tidak mungkin bunuh diri. "Kita akan buat laporan polis dengan segera, kita mahu polis siasat semula perkara ini sebab mustahil Ahmad Sarbaini boleh jatuh sendiri, saya tidak kata dia dibunuh tapi mungkin berlaku kecuaian," kata Awtar. Inkues Sarbaini telah bermula pada 4 Julai lalu dan ramai saksi termasuk ahli keluarga Sarbaini telah dipanggil untuk memberikan keterangan. Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela bagi menukar pengakuannya. Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu. Tegas Awtar, pihaknya telah mengesyaki dua individu yang didakwa beliau terlibat dalam kematian Sarbaini.. "Kita juga sejak dari awal sudah mengesyaki dua suspek yang terlibat dalam perkara ini (kematian Sarbaini). "Sebab, kalau dari segi kecederaan yang dialami (Sarbaini) seperti ada sesuatu yang berlaku, apa sahaja boleh berlaku," tambah Awtar. Raja Petra dalam entri terbaru dalam blognya berkata Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu. "Di sana, Sarbaini telah 'didera' secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri). "Mohd Fauzi juga mengatakan 'orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain', terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi. "Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia," dakwa beliau. Sarbaini sebelum ini dilaporkan membuat pengakuan menerima rasuah, namun bertindak mengubah keterangan yang diberikan itu. Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh. Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian, Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya. Ini adalah pendedahan RPK dalam blognya Nervously, Ahmad Sarbaini climbed onto the windowsill as ordered by Mohd Fauzi who continued taunting and abusing him with insults. Sheikh Niza merely looked on. In that split second, Ahmad Sarbaini's belt got stuck on the outer part of the window and he lost his balance and his life. And, horror of horrors, what happened to Teoh Beng Hock happened to Ahmad Sarbaini when he fell to his death onto the badminton court below. NO HOLDS BARRED Raja Petra Kamarudin THE TIME HAS COME TO EXPOSE THE KILLERS OF AHMAD SARBAINI MOHAMED D Day: 6th April On the morning of 6th April 2011, Ahmad Sarbaini went to the Subang mosque for his dawn (Subuh) prayers. There, he met his good friend, Azman, and told him that he would be amending his earlier statement given to the MACC. In retrospect, he thought that would not be a problem because he had come to regard Sheikh Niza as a friend. seterusnya http://malaysia-today.net/mtcolumns/no-holds-barred/42155-ahmad-sarbanis-death-the-lies-and-deceptions-by-the-macc-part-7 |
Tiga saman kerajaan Kelantan haramkan judi Posted: 20 Jul 2011 02:46 AM PDT KUALA LUMPUR, 20 Julai ─ Dua ahli perniagaan dan seorang individu menyaman kerajaan PAS Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) berhubung pengharaman aktiviti perjudian di negeri itu yang berkuat kuasa Februari lalu. Saman pemula itu difailkan oleh Wong Meng Yit, 47, dan Lee Khim Haw@Lee Khim Hwa, 58, kedua-duanya ahli perniagaan serta Gan Han Chuan, 44, di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Jun lepas. Menurut laporan Bernama Online, ketiga-tiga plaintif diwakili peguam Lee Kien Han dan peguam Rueben Mathiavaranam manakala kerajaan negeri Kelantan diwakili Penasihat Undang-undang Negeri dan MPKB diwakili oleh sebuah firma guaman. Dalam saman pemula itu, ketiga-tiga plaintif memohon satu deklarasi bahawa kerajaan negeri Kelantan, tidak berkuasa untuk mengeluarkan arahan atau polisi bagi meluluskan atau menggubal apa-apa enakmen yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri di negeri itu. Mereka juga memohon satu deklarasi bahawa perkara-perkara mengenai perjudian dan loteri adalah dalam bidang kuasa eksklusif Parlimen yang mengecualikan badan perundangan negeri Kelantan. Plaintif turut memohon satu deklarasi bahawa defendan tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak berkuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan atau menggubal apa-apa undang-undang serta undang-undang kecil, peraturan, arahan atau polisi yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri. Mereka menuntut ganti rugi am, kos bagi tindakan dan perintah lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah. Lee, yang ditemui pemberita di lobi Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini berkata bahawa mahkamah telah menetapkan 17 Ogos ini untuk pengurusan kes berkenaan. Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim di Mahkamah Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas 1 di sini, katanya. |
Muzium propaganda Utusan? – oleh Amaluddin Zhafir Posted: 19 Jul 2011 10:00 PM PDT 20 JULAI – Penubuhan muzium berita yang dicadangkan di bangunan pengarang Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur itu sangat penting bagi suara UMNO itu kerana bakal menyimpan segala laporan berita untuk tatapan semua jenis manusia, sama ada yang betul bendul atau multi-bendul. Di dalam Utusan Malaysia ruangan Rencana semalam yang bertajuk "Utusan perlu pelopori newseum" sungguh jelas membawa erti nyata kepada keseluruhan rakyat Malaysia bahawa cadangan penulis rencana tersebut memang mahukan Utusan memonopoli muzium akhbar, itu pun jika dibaca oleh 205,561 orang (dari laman Facebook 100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation sehingga pagi ini) yang menuntut Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan. Penulis rencana Utusan itu yang melawat Newseum di Washington D.C. baru-baru ini telah memuji-muji newseum tersebut sehinggalah beliau tertarik kepada satu bahagian di dalam muzium tersebut yang menyenaraikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan akhbar. Mengenai kebebasan akhbar di Malaysia, bukan sahaja Amerika Syarikat yang tahu, malah seluruh dunia dan yang paling penting, rakyat Malaysia sendiri lama sudah sedar mengenai kekangan melampau kerajaan terhadap media. Bagaimana pun, sebaliknya penulis tersebut mengatakan bahawa "kita tidak perlu terasa hati sangat tentangnya". Malah, beliau berpendapat supaya newseum yang beliau lawati itu boleh dijadikan insiprasi kepada penubuhan newseum yang patut digerakkan oleh Kumpulan Utusan sahaja. Dan tidak ada salahnya jika newseum untuk Utusan Malaysia sahaja; malah sangat dialu-alukan supaya diwujudkan segera memandangkan jangka hayat UMNO-BN sejak perhimpunan aman Bersih 2.0 lalu seumpama telur di hujung tanduk. Manakan tidak terumbang-ambing, mengikut Alexa.com, laman-laman web alternatif yang mana dianggap sebagai "pembangkang" oleh kerajaan UMNO-BN mendahului jauh laman web Utusan Online, selain Google Trends menunjukkan Bersih 2.0 lebih popular dari Perdana Menteri Malaysia. Kemandulan Utusan bermula sejak kematian tradisi kewartawanan pada 1961, akibat campur tangan UMNO-BN. Utusan Melayu (sekarang Utusan Malaysia) kini menjadi sebuah akhbar "pemangkin fikiran rakyat" yang sangat berkesan sehingga kebanyakan rakyat sudah terpelanting jauh dari pangkin yang didodoi UMNO-BN selama ini. Penubuhan newseum itu sememangnya akan menjadi sebuah muzium sejati yang bakal menyimpan segala karenah UMNO-BN sepanjang 40 tahun selepas kudeta yang menyingkirkan tokoh wartawan Said Zahari dari jawatan Ketua Pengarang kerana beliau hanya mahukan keadilan dan kebebasan akhbar. Cumanya, jika sekadar hanya untuk sebuah akhbar sahaja yang memonopoli muzium tersebut – jauh sama sekali dengan newseum di Amerika Syarikat yang mana semua jenis akhbar turut menyumbangkan arkib mereka, mungkin akhbar-akhbar kawalan UMNO-BN yang lain seperti Berita Harian, The Star dan New Straits Times akan terasa hati pula. Bagaimana pun, jika newseum itu dipelopori oleh Kumpulan Utusan sahaja, mudah bagi UMNO untuk memastikan generasi akan datang hanya akan memahami pergolakan sosial dan politik dari satu dimensi sahaja. Sepatutnya Utusan tidak menubuhkan newseum tetapi ia perlu mewujudkan propaseum atau muzium propaganda yang dapat menjadi bahan rujukan antarabangsa bagaimana UMNO menguasai negara sejak lebih setengah abad melalui propaganda. Agak memalukan dunia jika Utusan mahu menubuhkan newseum yang kononnya dari inspirasi Newseum di Amerika kerana di sana matlamatnya ialah memperjuang kebebasan bersuara dari merata sudut global sejak 500 tahun lalu sedangkan di sini ia sekadar penyambung fitnah UMNO. Lebih jujur kiranya Utusan menubuhkan muzium propaganda supaya para intetek dan pengkaji dari seluruh dunia dapat menggunakan kemudahan tersebut untuk kajian perbandingan mereka bagi membezakan di antara kewartawanan dan propaganda, di antara kebebasan akhbar dan kongkongan media. – Roketkini.com |
Pimpinan BERSIH Dan SPR Akan Berdepat Minggu Depan. Blogger Umno Tak Puas Hati Posted: 19 Jul 2011 09:14 PM PDT SPR — Ambiga muncul pentas sama, personaliti bukan isu kata Wan Ahmad Oleh G Manimaran KUALA LUMPUR, 20 Julai — Kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bersih 2.0 akan bertemu di pentas yang sama minggu depan sementara Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata isunya bukan personaliti, tetapi peluang menerangkan kepada rakyat isu yang menjadi fokus sekarang. "Kita akan hadir, saya akan hadir pada forum itu," kata timbalan pengerusi SPR itu ketika dihubungi The Malaysian Insider. "Ini bukan soal... SPR merasakan rakyat perlu diberikan penjelasan, ini bukan soal personaliti atau soal organisasi, kami merasakan rakyat perlu diberikan penjelasan," kata beliau ketika ditanya pendirian suruhanjaya mengenai platform yang sama akan digunakan Selasa depan. Wan Ahmad bersama Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga akan muncul pada wacana "Apa Selepas 9 Julai?" anjuran akhbar Kumpulan Media Karangkraf, penerbit akhbar Sinar Harian, di Shah Alam Selasa depan. Pertemuan kepimpinan SPR dan Bersih 2.0 itu merupakan kali pertama selepas perhimpunan 9 Julai yang memfokus kepada lapan tuntutan berkaitan pembaharuan pilihan raya. Turut menyertai mereka ialah Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Wacana itu dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan. Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai perkara menyentuh pilihan raya negara ini. "Kami sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan di mana-mana forum sahaja... kalau diberi ruang kami akan gunakan untuk memberi penjelasan... itulah ruang yang diberikan, dan kami akan menggunakan ruang itu," kata beliau lagi. Penganjuran wacana ini dilihat mendapat reaksi berbelah bahagi. Penasihat Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Abdul Jalil Ali ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu, pihaknya memilih isu tuntutan Bersih 2.0 sebagai tajuk kerana ia masih menjadi bahan perbincangan walaupun dua minggu sudah berlalu. "Kami menyediakan ruang perbincangan secara intelek kepada orang ramai, membincangkan isu ini secara terbuka... khalayak boleh tanya soalan kepada panel," kata beliau. "Ya, ini kali pertama kedua-dua kepimpinan SPR dan Bersih bertemu secara rasmi selepas perhimpunan 9 Julai, peluang bagi mengetahui isu ini secara mendalam," kata Abdul Jalil yang turut mengesahkan kesemua ahli panel sudah pun mengesahkan kehadiran mereka. Menurut Abdul Jalil, wacana merupakan program bulanan pihaknya membincangkan isu-isu semasa. "Sebelum ini, wacana kami menyentuh isu rasuah, isu fitnah dan kali ini kami merasakan isu tuntutan pembaharuan pilihan raya... ini bukan soal politik, tetapi lebih kepada perbincangan akademik, secara intelek... kita menyediakan peluang kepada tokoh-tokoh dan juga orang ramai berbincang dengan waras dan intelek," kata beliau. Beliau juga mengakui ada pihak yang tidak berpuas hati dengan wacana kali ini membincangkan isu perhimpunan 9 Julai. "Tentu ada pihak yang menentang, mereka yang tidak berpuas hati tetapi kita tidak terikat... kita hanya buka medan perbincangan," kata Abdul Jalil. Beberapa tulisan blog pro-Umno didakwa mengecam penganjuran wacana ini yang menemukan SPR dan kepimpinan Ambiga. Usaha mendapatkan Ambiga belum berhasil dan difahamkan berada di luar negara. Bersih 2.0, yang menurut Putrahaya telah diharamkan sejak 1 Julai lalu, mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 9 Julai, dengan mendakwa disertai sekitar 50,000 orang, di sebalik sekatan ketat pihak polis. Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu mengemukakan lapan tuntutan iaitu mrminta SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. |
Anugerah Ibrahim Ali atau anugerah untuk Ibrahim Ali? Posted: 19 Jul 2011 08:00 PM PDT Oleh Muhammad Zir Jika ada pengiktirafan untuk mahasiswa yang dinamakan Anugerah Pak Sako, Anugerah Usman Awang atau Anugerah Pendita Za'aba bagi mana-mana kolej atau universiti di Malaysia, pasti ibu bapa atau diri si penerima itu akan merasa bangga, kembang berbunga dan mekar mewangi. Kerana apa? Kerana ikon-ikon itu sememangnya diperakui kehebatan pemikiran, sumbangan idea dan karya mereka yang telah terbukti menjadi suatu tinta mata air ilmu pengetahuah buat anak-anak bangsa. Begitu juga kisahnya dengan Rural Industrial Development Authority (RIDA) yang ditubuhkan 1950.Ia adalah cetusan idea Dato' Onn Jaafar untuk membantu meningkatkan taraf hidup orang Melayu. Menjelang Merdeka, RIDA telah menubuhkan Dewan Latihan RIDA yang menawarkan kursus-kursus perniagaan, perakaunan dan kesetiausahaan. Kemudian, Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama pada 1965 telah mencapai rumusan untuk menukar nama RIDA kepada Majlis Amanah Rakyat atau MARA, dan dengan itu Dewan Latihan RIDA juga bertukar wajah menjadi Maktab MARA. Pada akhir 1960-an, ia sekali lagi bertukar nama menjadi Institut Teknologi MARA, yang lebih dikenali dengan gelaran 'Institut Tolong Melayu'. Sejak tahun 2000, ia telah dinaikkan taraf menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM). Hasrat asal penubuhan RIDA tidak lain dan tidak bukan untuk manfaat anak-anak bangsa yang datang dari kaum Bumiputera bagi mendapat latihan secara professional demi membangunkan taraf hidup orang-orang Melayu. Itu hakikat penubuhan dan perjuangannya. Dato' Onn sendiri, kita ketahui sebagai seorang nasionalis yang amat mengambil berat tentang tahap pendidikan kaum Melayu zaman itu. Justeru, penubuhan RIDA yang kini dikenali sebagai MARA telah mewujudkan ITM dan UiTM yang merupakan sebahagian dari hasrat murni beliau. Kini, zaman telah berubah. Niat asal untuk membantu meningkatkan taraf hidup Melayu dan Bumiputera telah bertukar menjadi institusi untuk satu kaum sahaja tanpa mengira paras kemiskinan, kemampuan dan keperluan. Walau pun UiTM dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui hasil sumber negara dan wang cukai rakyat pelbagai kaum, institusi untuk membantu pelajar Bumiputera dari keluarga berpendapatan rendah telah menjadi medan untuk kumpulan-kumpulan ultra kaum menyebarkan dakyah mereka. Dengan itu, datang cadangan untuk memberi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar yang "memperjuangkan bangsa". Pemberian anugerah pada zaman ini, rata-ratanya sekadar untuk syok sendiri. Dengan kata lain, untuk memuaskan nafsu dan publisiti politik. Tidak ada kewajaran dalam hujah ilmiah. Namun tidak mengapa, kerana itu adalah hak mutlak universiti terbabit, sama ada anugerah murahan seperti itu akan menjatuhkan imej institusi terlibat, ia terpulang kepada mereka yang bertanggungjawab meluluskannya. Mungkin dari satu sudut, Anugerah Ibrahim Ali ini sudah kena pada masa dan tempatnya kerana pemimpin Perkasa itu sememangnya seorang tokoh besar dalam politik Malaysia pada masa kini. Beliau antara ahli politik paling banyak melompat parti dan paling kerap mengubah prinsip perjuangan. Penerima anugerah itu pasti bangga dikaitkan dengan Ibrahim Ali yang mampu membuktikan kepada masyarakat Melayu bahawa politik melompat ke sana dan ke mari mengikut selera peribadi serta menyemai rasa benci dengan kaum-kaum lain adalah sesuatu yang hebat dan patut menjadi teladan. Sepatutnya UiTM sudah lama mewujudkan anugerah seprestij ini; mungkin perlu diperkenalkan sewaktu Ibrahim Ali meninggalkan UMNO untuk menyertai Semangat 46, atau selepas meninggalkan Semangat 46 untuk kembali bersama UMNO, atau meninggalkan UMNO sekali lagi untuk menziarahi dan mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan dari penjara. Atau mungkin, selepas Ibrahim Ali menang pilihan raya umum 2008 atas tiket PAS, dan kemudian mengecam dan mengutuk PAS yang kini bersama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Begitu hebat sekali anugerah ini sehingga dapat kita samakan dengan Hadiah Nobel versi Ketuanan Melayu. Dan jangan kita lupa bahawa UiTM sememangnya sebuah institusi pengajian tinggi yang paling tepat untuk mengadakan anugerah sebegini. Secara tidak langsung, dengan adanya anugerah ini, Universiti Malaya atau Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya akan semakin jauh ketinggalan dalam arus popular pemberian anugerah. Mungkin dengan adanya Anugerah Ibrahim Ali ini, rating UiTM akan naik mendadak di kalangan universiti-universiti terkemuka di dunia. Mahasiswa yang menerima anugerah ini pasti menggegarkan dunia dengan semangat anti-demokrasi, anti-kebebasan, anti-meritokrasi, anti-pilihan raya bebas, adil dan bersih, serta menjadi pendukung Ketuanan Melayu. Dan secara tidak langsung, UiTM yang lahirnya dari RIDA dan MARA akan menjadi penyumbang kepada penghasilan insan-insan yang akan menjadi ahli dan pewaris Perkasa yang suatu masa nanti bakal mencabar UMNO. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan Ibrahim Ali yang memperkudakan institusi seperti UiTM, demi mencapai cita-cita politiknya. Mungkin pemimpin Perkasa itu sedar bahawa dengan sekadar, jika ada, Piala Ibrahim Ali bagi pertandingan futsal di peringkat daerah, ia adalah terlalu kecil berbanding dengan kebesaran, ketokohan dan ego kepimpinannya. Jika Dato' Onn masih hidup, pasti berlinangan air matanya. – R/Kini |
Tukar jantina: Ashraf ‘rela dibunuh jika itu penyelesaian terbaik’ Posted: 19 Jul 2011 06:20 PM PDT KUALA LUMPUR, 20 Julai — Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz yang gagal menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana selepas ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengakui tertekan dengan pandangan negatif masyarakat terhadapnya. Bagaimanapun kata Ashraf, 25, ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan hasratnya itu. Sambil menyatakan mahu membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, dalam sebak, Ashraf yang lebih mesra dipanggil "Aleesha" berkata, jika masyarakat tidak dapat menerima keadaannya berdasarkan pelbagai kutukan dan hinaan yang diterima termasuk menerusi laman sosial Facebook, dia rela dibunuh jika itu penyelesaian terbaik. "Suka atau tidak, perjuangan perlu diteruskan sehingga semua wadah perundangan tiada lagi. "Ramai mahu saya berdiam diri daripada masalah ini, tetapi saya mahu kehidupan yang aman," katanya dipetik Berita Harian hari ini. Ashraf, yang ditemui di Kuala Terengganu, membuat permohonan menukar jantina di Mahkamah Tinggi 25 Mei lalu bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran, selain kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelakinya. Menceritakan punca permohonannya ditolak, dia mengakui tidak mendapat bantuan perundangan yang kukuh ketika mengemukakan permohonan. Malah katanya, ketika peguam Horley Isaacs menawarkan diri membantu, pendengaran kes itu sudah sampai penghujung. Berkongsi kesedihan ditanggung anaknya itu, menurut laporan Berita Harian juga, ibu Ashraf yang mahu dikenali sebagai Mak Yah berkata masyarakat mudah melemparkan cacian kepada keluarganya tanpa memahami perasaan mereka. Mak Yah dari Kampung Telaga Daing di sini, berkata sejak kes anaknya dilaporkan media, dia dan suami, Abdul Aziz mendapat kritikan dan cemuhan masyarakat yang melabelkan mereka ibu bapa tidak bertanggungjawab. "Hinaan itu sangat pedih, seolah-olah kami membelakangkan Allah dengan menyokong keputusan Ashraf membuat pembedahan menukar jantina," katanya sambil mengesat air mata dengan kain tudungnya. Mak Yah berkata, walaupun ciri kewanitaan Ashraf dikesan sejak bayi, mereka tetap terkejut apabila mengetahui anak lelaki sulungnya itu membuat pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009. "Ketika pembedahan itu, kami menunaikan haji di Mekah. Dia tidak pernah memberitahu ujian perubatan dan penilaian paras hormon yang dibuatnya di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur dua tahun sebelum itu. "Disebabkan marah dan sedih dengan perbuatannya itu, kami menghalaunya dari rumah dan membakar semua baju perempuan, tetapi kami tahu dia yang bertukar menjadi perempuan selalu pulang ke rumah dan hanya tidur dalam kereta," katanya. Sementara itu, Abdul Aziz yang juga bekas anggota tentera berkata, beliau selalu menekankan aspek disiplin kepada anaknya, tetapi buntu mencari jawapan masalah dihadapi Ashraf. "Akhirnya, kami sekeluarga menerima hakikat dialami Ashraf dan tidak lagi hidup dalam penafian, tetapi kami disisihkan masyarakat," kata Abdul Aziz. "Mungkin masalah itu tidak serumit sekarang jika dari awal kami mendapatkan pandangan pakar berhubung keadaan Ashraf. "Jika cara didikan dikatakan punca dia begini, kenapa dua anak angkat kami dan dua adik kandungnya tidak sedemikian," katanya. |
Hot! Iklan Untuk Anugerah Ibrahim Ali Uitm Telah Dipadamkan! Posted: 19 Jul 2011 04:14 PM PDT ni versi asal iklan Tindakan UiTM membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar universiti itu yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu dibidas pelbagai pihak. Penubuhan anugerah itu datang daripada Datuk Ibrahim Ali sendiri dan hadiahnya juga ditaja oleh presiden kumpulan pendesak Melayu, PERKASA itu. Ia dianjurkan oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) Ahli parlimen Pasir Mas itu juga adalah bekas pelajar UiTM dan menuntut dari tahun 1971 hingga 1974. Korang klik link kat bawah, tengok apa yang ada hehehe.. Kahkahkahkahkah. Lu lawak la Ibrahim wei! |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan