Sabtu, 16 Julai 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


BERS✔H 2.0: Menteri KDN Perlu Dedahkan Berapa Kos Operasi Halang Himpunan

Posted: 16 Jul 2011 01:10 AM PDT

Khalid Samad gesa Hisham dedah kos operasi himpunan 9 Julai

PAS Selangor mahu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan perbelanjaan yang ditanggung kementerian itu dalam operasi membanteras perhimpunan yang diadakan pada 9 Julai lalu.

Timbalan Pesuruhjayanya Khalid Samad berkata, beliau mendapat maklumat perbelanjaan itu mencecah jutaan ringgit.

"Hishammuddin perlu dedahkan berapa perbelanjaan yang digunakan Kementerian Dalam Negeri sepanjang operasi itu berjalan. Kita nak tahu sejak dari mula operasi sampai habis.

"Sebab kalau kita lihat berapa banyak anggota keselamatan digunakan sepanjang operasi itu termasuk pada 9 Julai, ia juga termasuk perbelanjaan makan dan minum kerana saya difahamkan perbelanjaan itu mencecah jutaan ringgit," katanya pada sidang media selepas memfailkan saman pemula terhadap empat individu termasuk Hishammuddin berhubung tangkapan yang dilakukan ke atas ahli parti Islam itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.

Sebelum perhimpunan 9 Julai berlangsung - yang melibatkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pemuda Umno, polis telah mengerahkan anggotanya untuk mengambil tindakan dan menahan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0, Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, beliau berharap Kementerian Dalam Negeri menarik balik semua pengisytiharan pengharam terhadap Bersih 2.0 termasuk kemeja-T.

Semalam Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob berkata pihaknya akan mengambil tindakan termasuk merampas barangan dan menangkap individu yang menjual barangan yang mempunyai logo perhimpunan haram pada Sabtu lalu kerana ia menyalahi undang-undang.

Beliau berkata sebarang penjualan barangan termasuk pakaian seperti kemeja-T atau tali leher yang mempunyai logo penganjur perhimpunan haram itu adalah tidak dibenarkan sama sekali. -TMI

Exco Melaka Terjatuh Dalam Sungai.

Posted: 15 Jul 2011 11:40 PM PDT

Exco Melaka Terjatuh Dalam Sungai

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri Melaka, Datuk R.Perumal (kanan) melepaskan benih anak ikan Lampam ke dalam Sungai Tehel, di sini, semalam.

Turut serta Anggota Dewan Undangan Negeri Bemban Chua Kheng Hua (kiri). TERJATUH...

Beberapa petugas Jabatan Perikanan Melaka membantu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri Melaka, Datuk R.Perumal (dua kanan) naik ke tebing selepas terjatuh ke dalam sungai bersama beberapa jemputan ketika melepaskan benih anak ikan Lampam ke dalam Sungai Tehel, di sini, hari ini.

Sebanyak 20, 000 ekor benih ikan dilepaskan pada program tersebut.

Pihak Bernama teleh menerima arahan berikut "ARAHAN KETUA PENGARAH PERIKANAN MALAYSIA DAN PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DESA DAN PERTANIAN NEGERI MELAKA SUPAYA TIDAK MENGGUNAKAN GAMBAR INI". -pulakdah

Cukup Malang Malaysia BerPMkan Najib

Posted: 15 Jul 2011 09:45 PM PDT

Rakyat Malaysia cukup malang mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak memandang berat nasib yang menimpa rakyat dan beranggapan menzalimi rakyat pada himpunan aman 9 Julai lalu adalah satu perkara biasa.

Paling teruk apabila seorang daripada peserta himpunan itu meninggal dunia ketika melarikan diri dari asakan polis dan ia disifatkan Najib Razak sebagai tindakan ringan yang harus dikenakan ke atas rakyat kerana berhimpun menuntut sebuah pilihan raya adil dan bebas.

Mengulas hal itu lagi, seorang mangsa keganasan polis pada hari kejadian , ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Najib cuba menafikan perkara yang sudah terbukti dan rakyat mampu menilainya.

"Saya rasa banyak gambar-gambar yang jelas menunjukkan keadaan yang sebaliknya.. Keadaan macam saya ini tidaklah seteruk macam Mat Sabu yang sampai dirempuh oleh polis.

" Lepas itu ada yang dalam video tu kita nampak kena pukul, yang berdarah-darah teruk,"kata Khalid yang mengimbas kembali kezaliman polis ketika menyuraikan himpunan aman di ibu negara 9 Julai lalu.

Najib dalam satu temu bual dengan CNN berkata, polis menggunakan tindakan sewajarnya dalam usaha menyuraikan himpunan aman di ibu negara 9 Julai lalu.

"Ia (tahap tindakan polis) agak ringan sebab meskipun ia dikenakan, mereka (yang ditahan) telah dibebaskan selepas lapan jam dan mereka dilayan dengan baik," kata Najib dalam temu bual itu.

"Tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum," tambah beliau lagi.

Namun Khalid berpendapat, kenyataan Najib itu langsung tidak menggambarkan jawapan seorang pemimpin sebuah negara yang menuju status negara maju.

" Saya rasa kalau di negara-negara yang lain kenyataan yang bodoh macam itu, rakyat sudah hukum dia,"kata Khalid lagi.

"Dia menunjukkan satu sikap yang tak ambil endah hak rakyat... hak rakyat dia tahan, dia halang, menyusahkan orang dan sebagainya. Walaupun dia lepaskan selepas sejam atau dua jam, ia tetap merupakan satu ketidakadilan terhadap rakyat yang tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana yang dianggap sebagai kesalahan adalah berhimpun (secara aman) dan memang terbukti aman. (Mereka) berjalan dengan lancar dan aman sehinggalah bila bertemu dengan polis,"kata Khalid lagi.

Dalam asakan polis ketika menyuraikan himpunan aman itu, kepala Khalid turut tercedera akibat tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis.

Puluhan mengalami kecederaan dan 1,667 ditahan polis.

Kerajaan pimpinan Najib sebelum ini dikritik media asing malah dibantah keras oleh masyarakat antarabangsa ekoran keganasan polis pada hari kejadian namun pentadbiran Najib menyokong tindakan polis berbuat demikian.

"Reaksi dari peringkat antarabangsapun semakin jelas menunjukkan bahawa tndakan Najib terhadap rakyat ini pun tidak boleh diterima oleh mana-mana masyarakat atau negara yang bertamadun,"ujar beliau.

Khalid juga menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang kebudak-budakkan dan tidak matang dalam berpolitik lantaran tindakannya memperlekeh-lekehkan kecederaan yang dialami Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagi dia sendiri (yang) tak pernah menghadapi kesusahan, tak pernah kena jentik, dia (pula) nak gelakkan Anwar kata Anwar buat lebih-lebih... itu saya rasa menunjukkan satu sikap yang kurang matang. Nampak cara dia buat itu buat orang naik meluat tengok dia,"tambah beliau lagi. -tvsnews




BERS✔H 2.0: Tindakan K'jaan & Polis Burukkan Imej Negara Di Mata Dunia - Marina

Posted: 15 Jul 2011 07:55 PM PDT

Kegagalan menangani dengan baik perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai lalu memberikan imej yang buruk kepada kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Marina, anak sulung bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu berkata, berbeza dengan kerajaan, "dunia" tidak mempunyai tanggapan yang buruk terhadap rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan tersebut kerana mereka berjuang menegakkan hak mereka - menuntut pilihan raya yang adil dan bebas.

"Ada juga orang yang mendakwa bahawa dunia kini memberikan tanggapan yang buruk kepada Malaysia kerana media asing (dan juga media tempatan) melaporkan hanya mengenai tindakan menembak gas pemedih mata dan meriam air," kata Marina dalam blognya pada 10 Julai lalu. "Saya rasa orang keliru di antara kerajaan dengan rakyat.

"Ya, memang dunia mempunyai tanggapan yang buruk terhadap kerajaan Malaysia kerana gagal menangani dengan baik keseluruhan isu ini. Mereka mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap rakyat Malaysia yang memperjuangkan hak mereka."

Marina, seorang aktivis sosial merupakan salah seorang daripada ribuan orang yang berada di kota raya Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, berhadapan dengan polis pencegah rusuhan, mempertahankan penyokong-penyokong Bersih dengan mengatakan bahawa mereka berhimpun secara aman dan tidak mencederakan sesiapa atau melakukan sebarang keganasan.

"Apa jua yang difikirkan mengenai isu yang diperjuangkan oleh Bersih, kita semua seharusnya berbangga dengan rakyat Malaysia yang tidak bersikap seperti orang liar, merosakkan harta benda dan mencederakan satu sama lain seperti yang diramalkan.

"Memang terdapat mereka yang cedera dan seorang mati tetapi ia bukanlah disebabkan oleh peserta yang menyertai perhimpunan tersebut. Restoren-restoren dan kedai-kedai di sekitar kawasan terbabit mendapat sambutan hangat kerana orang ramai haus dan lapar,
" tambah beliau.

Marina berkata, perhimpunan Bersih yang berlangsung Sabtu lepas membuktikan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, usia dan agama boleh berhimpun bersama atas satu tujuan.

Lebih seribu orang ditangkap pada hari tersebut, dan kekecohan berlaku pada waktu tengah hari apabila polis pencegah rusuhan menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan.- warta-utara

Dr. Asri: Golongan Bodek Memenuhi Pentadbiran Najib

Posted: 15 Jul 2011 05:00 PM PDT

Pentadbiran Najib Dipenuhi "Golongan Pengampu"-Dr Asri

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan terlalu ramai "golongan pengampu" dalam pentadbiran Umno-Barisan Nasional sehingga menyebabkan parti itu mungkin kehilangan sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

"Dalam pemerintah sekarang semua orang nak tunjuk kononnya dia setia (kepada pemerintah) walaupun kenyataan yang dikeluarkan adalah bodoh, tapi dia rasa tidak mengapa yang penting perdana menteri tahu.

"Dalam Umno bila ada pemimpin bagi kritikan, dia ini dianggap musuh walaupun idea yang diberikan adalah baik, namun ia dianggap bahaya kerana unsur feudal tidak ditinggalkan," katanya dalam satu program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di ibu negara malam tadi.

Program itu yang banyak menyentuh mengenai Himpunan Bersih 2.0 , menyaksikan Dr Asri membidas pemikiran feudal yang diamalkan Umno-Barisan Nasional dalam sistem pentadbiran negara pada hari ini yang perlu dikikis jika masih mahu mengekalkan kuasa.

Menurut Dr Asri, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memilih pimpinan yang boleh membantu menguruskan negara dan bukannya pemimpin yang hanya tahu membodek pimpinan tertinggi.

"Kalau perlu cari pemimpin yang boleh bantu kerajaan bukan kaki pengampu, ramai rakyat sekarang tidak tahu mahu mengundi siapa sebab mereka masih melihat keadaan dan kumpulan 'third force' ini jumlahnya lebih besar.

"Ramai yang nak masuk politik supaya dapat bodek pemimpin dan dapat hasil, namun kesannya nanti ia akan meroboh institusi yang ada, sebagai contoh khutbah Jumaat... institusi agama digunakan apa dalil agama yang mengharamkan perhimpunan, dalil agama digunakan untuk memburukkan orang lain.," katanya.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Program yang dihadiri para intelek itu juga diberitahu oleh Dr Asri bahawa pentadbiran Perdana Menteri pada hari ini umpama "seorang bapa yang menakutkan anak agar tidak ke tempat gelap kerana ada hantu."

Kata beliau, strategi sedemikian sudah tidak berguna kerana rakyat yang sudah matang dan informasi boleh diperoleh melalui pelbagai cara.

"Saya menggambarkan kerajaan sebagai seorang bapa kepada seorang anak yang menakutkan anaknya agar jangan pergi ke tempat gelap kerana ada hantu, pada waktu kecil anak akan terima tapi bila anak sudah besar dan belajar di universiti ia sudah tidak berguna.

"Kerajaan dan pemimpin sudah terlupa bahawa sekarang bukan lagi zaman 70-an kerana kerajaan sudah tidak lagi boleh menghalang maklumat... dulu memang orang baca Utusan Malaysia tapi sekarang orang sudah tidak baca dan tidak percaya," katanya.

Malah beliau turut melahirkan kekecewaanya di atas tindakan rakus Putrajaya dalam usaha menyuraikan himpunan pada 9 Julai lalu sehingga mengakibatkan puluhan mengalami kecederaan dan seorang meninggal dunia.

"Itu hak mereka untuk berkumpul, saya bukan menyokong mana-mana pihak tapi ia menyebabkan kita tidak boleh untuk melangkah ke hadapan.

"Saya percaya kalau perdana menteri benarkan, polis benarkan, malah turut membantu melancarkannya saya rasa kerajaan akan dapat kredit... dan saya sangat dukacita cara kerajaan menangani perkara ini," katanya. -tvsnews



Kisah Benar BERS✔H 2.0: Melayu Jerit, "Bagi Cina Keluar Dulu", Mengharukan Saya

Posted: 15 Jul 2011 04:25 PM PDT

Adegan yang terharu buat 1Malaysia: "Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti"

Pada 9 Julai 2011, saya menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0. Saya dibasahi hujan, dua hari keletihan dan saya merehatkan diri selama dua hari, sekarang barulah ada mood untuk mencatatkan perasaan saya. Ramai warga internet telah menulis kisah 709 masing-masing, maka saya cuma nak mencatatkan adegan-adegan yang memahat hati sahaja.

1. Saya berkenalan dengan kawan Melayu baru. Seorang ahli PAS yang berpengalaman dalam demonstrasi sebelumnya memegang tangan saya, "Terima kasih kerana sokongan kamu (orang Cina)". Saya menjawab, "Ini usaha yang saya patut lakukan. Ini negara saya juga."
(Rupa-rupanya dari pandangan mereka, orang Cina hanya mengaut keuntungan dan mengutamakan keuntungan sahaja. Jadi mereka amat gembira apabila ternampak dua tiga wajah orang Cina.)

2. Seorang uncle Cina membawa isterinya dan dua orang anak yang usianya kira-kira 20 tahun. Tinggi, kurus dan kelihatan lemah. Beliau memesan anaknya, "Cepat, cepat ikut mereka (kelompok orang). Apa takut? Bukan suruh kita pergi mati pun? Jangan takut, kita bukan orang besar. Sekarang bilangan orang yang diperlukan (perhimpunan), kita mesti sokong!"
(Kebanyakan ibu bapa akan memarahi anak mereka, agar tidak terlibat dalam perhimpunan. Mengapa pula keluarga ini "terbalik" keadaannya?)

3. Seorang Melayu yang agak lanjut usianya berkata kepada beberapa orang pemuda Cina, "Kita mahu tunjuk perasaan , bukan kemarahan."
(EQ pemuda Melayu lebih tinggi daripada orang Cina kali ini, memang cukup kelayakannya untuk berkata sedemikian.)

4. Sepasang suami isteri membawa dua orang anak, yang usianya kira-kira 8 hingga 10 tahun, mengambil makanan ringan di atas tangga. Hati saya berfikir, "Berkelah ke?" Wanita Melayu itu menatap saya, seolah-olah memahami apa yang bermain dalam fikiran saya. Maka beliau senyum dan berkata, "Kami nak mereka tahu, dari kecil lagi, malah belajar bagaimana memperjuangkan demokrasi."
(Lantas saya mengangguk-angguk kepala saya, agak malu dengan diri saya yang memandang rendah orang tadi.)

5. Sepasang suami isteri Melayu yang lanjut usianya, mengeluarkan topeng yang kelihatan seolah-olah alat mainan dari beg plastiknya, dengan tangan yang bergetar. Mereka dengan ghairah berkata kepada saya, "Kami ada buat persediaan, kamu ada?"
(Hati saya berfikir, memang kamu perlukannya, sebab kamu tak dapat lari dengan cepat!)

6. Sepasang suami isteri Cina yang muda, bukan sahaja turun ke jalan raya, malah membawa kereta bayinya. Mereka memakai baju hujan semasa air hujan mencurah dari langit. Malah, kereta bayinya sudah disediakan dengan kain kalis air. Dengan cepat saya menutup kereta bayinya, kemudian bersama dibasahi hujan di situ.
(Bayi pun turut serta dalam perhimpunan, comel juga bayi tu!)

(Selepas saya balik, saya menceritakan kisah ini kepada jiran saya. Makcik-makcik itu mencelah, "Aiyoh, buat apa pergi demo? Apa kena-mengena dengan kita? Memang tak ada otak langsung. Bawa bayi pulak? Mengapa tidak kamu marahnya?" Saya berbisik dalam hati, "Aunty, saya terasa nak marah kamu...")


7. Seorang Mat Salleh nampak saya mengejar untuk merakamkan gambar bagaimana FRU menyuraikan orang ramai. Beliau berlari mengikut saya, malah berulang-kali berkata kepada saya, "You must put it in the media."
(Brother, kamu terlebih memandang tinggi teknik sayalah. Saya bukannya pro (profesional) sangat...)

8. Kawan Melayu saya memberitahu saya, dirinya mempunyai pengalaman yang banyak untuk berdemonstrasi - bagaimana beliau tidak gentar dengan kuasa, bagaimana bertahan sehingga akhir, malah beliau berjanji untuk menjaga saya. Ketika gas pemedih mata ditembak untuk pusingan pertama, beliau menarik saya dan berlari. Dalam hati saya tertanya-tanya, "Bukankah kamu kata nak bertahan sampai ke akhir?"

Selepas kami keluar dari kelompok manusia, beliau menunjuk ke satu arah, "Kamu jalan dari sini. Tunggu kami di Stadium Merdeka. Kami akan berjumpa kamu di sana. Hubungi kawan yang lain. Bilangan yang menyertai perhimpunan dah mencukupi sekarang. Saya percaya polis akan lebihkan serangannya. Kamu tak boleh singgah di sini."

Saya bertanya, "Macam mana kamu pula?" Dia jawab, "Saya nak ke baris depan, bersama kawan saya." Seterusnya, beliau memaling dan melangkah menuju ke kepulan asap gas pemedih...

Akhirnya, saya berhimpun dengan kawan saya di tempat yang berhampiran dengan stadium, dan menyertai perarakan terakhir yang menuju ke Stadium Merdeka. Polis mengejar dan menangkap. Saya tidak lagi menemui kawan Melayu saya itu lagi. Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa beliau telah ditangkap, bagaimanapun dibebaskan juga akhirnya.

Nota akhir:

Saya membaca pengalaman ramai peserta, termasuk cerita Aunty Anne yang membuatkan saya terharu. Tetapi saya tidak menitiskan air mata, sehingga saya terbaca catatan seorang warga internet,

"Adegan yang paling memahat ingatan saya sepanjang perhimpunan itu adalah, ketika kami sekumpulan orang melarikan diri dari tangkapan polis melalui pagar di belakang Hospital Tung Shin, orang Melayu menendang pagar itu dengan kakinya, dan berkata 'Bagi Cina semua keluar dulu, kita jalan nanti'. Kata-kata ini terus menusuk hati saya, saya amat kagum! Kini barulah saya menghayati apa makna sebenarnya 'saling menolong tanpa mengira kaum dan budaya dalam Satu Malaysia', dan bukannya '1 Bumi, 1 Malaysia' yang didukung Barisan Nasional'. "

Tiba-tiba saya sebak. Saya tahu apa yang dikatakannya adalah kisah benar, ini kerana kawan Melayu saya juga menjaga saya. Lebih-lebih lagi, kawan saya dalam Facebook rata-ratanya menceritakan pengalaman bagaimana sahabat Melayu menjaga orang Cina kali ini. Mungkin mereka menganggap orang Cina jarang menyertai perhimpunan, tiada pengalaman.

Mengapa saya tersentuh dengan hal yang remeh sebegini? Kerana saya amat memahami, orang Cina adalah kaum minoriti di Malaysia. Seandainya minda perkauman ini tidak dipecahkan, orang Cina akan tetap ditindas dan tidak dilayan dengan adil. Namun, kerajaan kita bersikap perkauman, ditambah pula PERKASA yang melaga-lagakan, hal ini sukar diselesaikan!

Perhimpunan ini melakar gambaran masa depan untuk saya, malah mengubah persepsi saya terhadap kaum Melayu secara menyeluruh. Seandainya dikatakan negara ini musnah kerana politikus dari kaum ini, maka negara ini juga akan bangkit kerana kaum ini! Saya masih menaruh harapan dan keyakinan terhadap kaum ini dan negara ini.

Kawan-kawan Cina saya, perhimpunan aman tidak menakutkan. Jom turun untuk sokong lain kali! -MR

RM25 Sekepala Jamuan Tahanan BERS✔H? Siasat Salahguna Dana Awam Oleh Polis

Posted: 15 Jul 2011 06:15 AM PDT

Polis akui salah guna dana awam?

"Mereka yang ditahan memberitahu bahawa mereka makan ayam goreng, sayur, sambal dan nasi kosong beserta dengan air manis. Hah! adakah ini harganya RM25 seorang?"

PETALING JAYA: Benarkah polis membelanjakan sebanyak RM25 seorang untuk menyediakan makan dan minum kepada peserta Himpunan Bersih 2.0 yang ditahan pada 9 Julai lalu?

"Jika benar, ini bermakna pihak polis sudah menyalah guna dana awam ketika menyediakan makan minum peserta yang ditahan," ujar

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, dipetik dari blognya hari ini.

Beliau, yang dikenali sebagai CheguBard, merujuk laporan media yang memetik kenyataan polis yang cuba membela diri kononya semua peserta Himpunan Bersih diberikan layanan sempurna.

"Bila ditanya kepada mereka yang ditahan, rata-rata memberitahu bahawa mereka makan ayam goreng, sayur, sambal dan nasi kosong beserta dengan air manis. Hah! adakah ini harganya RM25 satu orang?" soal beliau.

"Pergilah ke mana-mana pembekal makanan memasak, tanyakan harga menu tersebut untuk lebih dari 1,000 orang makan secara buffet…..rata-rata akan mengatakan RM6 satu kepala malah ada yang akan menawarkan semurah RM4 sahaja jika cara pembayaran dipermudahkan," jelasnya.

Katanya, ini bermakna, polis mengeluarkan belanjawan RM25 untuk seorang daripada wang rakyat. Mana pergi lagi RM20? Ini melibatkan salah guna kuasa.

Justeru itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melaksanakan tugasnya untuk menyiasat perkara ini.

CheguBard berkata, perkara seperti ini sememangnya sudah lama berlaku…… makanan dalam lokap siapa pernah periksa berapa harga diperuntukkan dan bagaimana mutu makanan disajikan dan siapa yang meraih keuntungan 'rasuah' tersebut?

"Satu lagi teori menurut mereka yang ditahan, jumlah peserta demonstrasi Bersih sebenarnya menjangkau lebih 3,500 orang tetapi sebaliknya yang diisytiharkan ditahan hanya lebih 1,000 orang," katanya.

Beliau mahu pihak polis memberi penjelasan mengenai adakah benar sebanyak RM25 dibelanjakan untuk seorang peserta dan adakah jumlah yang ditahan melebihi dari jumlah yang diisytiharkan. -FMT

[Bergambar] BERS✔H 2.0: Lagi Banyak Kuning Sambut Najib Di London

Posted: 15 Jul 2011 05:24 AM PDT

Sambutan 'kuning' untuk Najib di United Kingdom

Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ke United Kingdom hari ini diberi sambutan 'hangat' oleh penunjuk perasaan yang berpakain serba kuning.

Mereka membidas tindakan kerajaan yang menekan ribuan peserta perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara.

Puluhan penunjuk perasaan yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga asing berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Najib yang dijadual mengakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain.

Sambil membawa kain rentang dan sepanduk, penunjuk perasaan juga mendesak Najib supaya membebaskan segera enam tahanan Parti Sosialis (PSM).

Mereka yang dinamakan sebagai "EO6" yang ditahan mengikut Ordinan Darurat. Di bawah akta itu, seseorang boleh ditahan untuk tempoh 60 hari dan dinafikan hak untuk dibicarakan.

Diiringi Rosmah

Menurut portal Sarawak Report, konvoi Najib sempat melambai kepada penunjuk perasaan yang berlangsung dengan aman. Kehadiran polis adalah minimum dan mereka juga agak mesra.

Najib kini dalam lawatan rasmi lima hari ke London atas jemputan rasmi rakan sejawatannya.

Semalam, beliau dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor juga sempat menghadap Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri David Cameron di No 10, Downing Street.

Turut mengiringi mereka adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. -mk


Gelombang kuning 'kejar' Najib di UK

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Biarpun dilihat seolah-olah lari dari isu Bersih 2.0 sehingga ke luar negara, kehadiran Datuk Seri Najib Razak di United Kingdom hari ini bagaimanapun tetap 'dikejar' gelombang kuning.

Puluhan penunjuk perasaan yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga asing berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Perdana Menteri Malaysia itu yang dijadual mengadakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain.

Mereka memakai baju kuning, dan membawa poster serta sepanduk mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menangani peserta himpunan Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai lalu yang berhimpun secara aman menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Dalam tulisan yang terpapar pada sepanduk yang dibawa itu, mereka juga mendesak Najib supaya membebaskan segera enam tahanan Parti Sosialis (PSM) yang dinamakan sebagai "EO6" yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Daripada gambar-gambar yang disebar di internet, Najib dilihat sempat menoleh ke arah kumpulan penunjuk perasaan itu yang hanya berjarak kira-kira 50 meter dari tempat turun kereta yang dinaikinya.

Sebuah van dan dua anggota polis juga dilihat berkawal di hadapan peserta himpunan itu.

Semalam, Ratu Elizabeth memakai baju kurung berwarna kuning ketika menerima mengadap Najib dan Rosmah di Istana Buckingham, London.

Setiausaha Pengangkutan Negeri, Philip Hammond bertali leher kuning ketika mengiringi Najib melawat Stesyen Kereta Api London.

Amnesty International sebelum ini mendesak Kerajaan UK agar memberi signal protes terhadap layanan zalim Kerajaan Malaysia kepada peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. -hd








BERS✔H 2.0 Juga Bergema Di Amerika

Posted: 15 Jul 2011 04:10 AM PDT


Solidariti antarabangsa menyokong himpunan BERSIH 2.0 berterusan dengan rakyat negara ini di Amerika Syarikat menghantar memorandum dan tandatangan kepada Kedutaan Malaysia di Washington DC.

Dokumen menyokong tuntutan BERSIH 2.0 yang mahukan pembaharuan pilihan raya dikemukan oleh Phebie Thum dan diterima oleh Setiausaha Ketiga (Pentadbiran dan Kewangan) Khair Bahari Ahmad yang mewakili Duta Malaysia ke Amerika Datuk Jamaludin Jarjis yang tidak hadir.

Sabtu lalu, selain Kuala Lumpur, perhimpunan BERSIH 2.0 turut diadakan di Washington DC, New York City, Los Angeles, San Francisco, Chicago dan Portland.

Sekitar 350 rakyat Malaysia berkumpul bagi meluahkan sokongan kepada rakan-rakan BERSIH 2.0 di Malaysia manakala 270 menandatangani memorandum itu.

Selain menyokong tuntutan lapan perkara BERSIH 2.0 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, mereka juga mahu semua aktivis BERSIH, termasuk enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan mengikut Ordinan Darurat dibebaskan.

Rakyat Malaysia juga mahu SPR membenarkan mereka yang bekerja di luar negara mengundi secara pos.

Tiga ahli parlimen Pakatan - Johari Abdul (Sungai Petani ), Jeff Ooi (Jelutong) dan S Manikavasagam (Kapar) - serta ADUN Perak Chang Lih Kang (Teja) hadir bersama. -mk

Ulasan GB

Di mana-mana penjuru dunia nampaknya BERS✔H sudah dilaungkan.

Samada kerajaan UMNO BN dan para pemimpinnya suka atau tidak suka, pembersihan WAJIB dulakukan terhadap sistem pilihanraya kendalian SPR.

BERSIH kali ini lebih berjaya dari BERSIH 1.0 kerana BERSIH 2.0 disertai lebih meluas dan merentasi pelbagai kaum.

Momentum itu akan lebih besar selepas ini JIKA kerajaan masih terus memekakkan telinganya dan SEBENARNYA.... itulah bunga-bungan kejatuhan UMNO BN.

BERS✔H 2.0: Buat Aduan Segera Terhadap Keganasan Polis

Posted: 15 Jul 2011 01:50 AM PDT

Pemuda PAS lancar Aduan Keganasan Polis 9/7

Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) telah melancarkan Aduan Keganasan Polis 9/7.

Pengarah Juham Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi (gambar) berkata, usaha ini adalah susulan daripada aduan rasmi Juham kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kelmarin.

"Juham telah menyenaraikan tindakan-tindakan ganas pihak polis yang menumbuk, menendang, memijak, menembak gas pemedih mata secara dekat dan membuta-tuli.

"Ini termasuk aduan mengenai segala bentuk kekerasan yang sangat tidak munasabah serta tidak berperikemanusiaan terhadap peserta himpunan Bersih 2.0 yang hadir secara aman dan tidak bersenjata pada hari Sabtu, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Himpunan Bersih berlangsung pada 9 Julai di ibu kota Kuala Lumpur di mana lebih 50,000 pendemonstrasi cuba berarak ke Stadium Merdeka.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagaimanapun mengharamkan Bersih sebelum himpunan itu dan mengarahkan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya.

Polis menerusi Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah menghalang perarakan oleh peserta himpunan dengan memancut air asid biru dan menembak gas pemedih mata. Lebih 1,600 peserta Bersih ditahan.

Ekoran itu, Juham mahu mendapatkan kerjasama daripada anggota masyarakat untuk mengumpulkan maklumat berkenaan pencabulan hak asasi oleh pihak polis.
Aduan, bukti bergambar, rakaman video, laporan perubatan dan sebagainya boleh disalurkan melalui talian Hotline 016-3126463, 016- 3126473 dan 014-6451753.

Juham juga boleh dihubungi menerusi emel juhampusat@gmail.com dan laman peminat di laman web sosial Facebook 'Jabatan Undang -undang dan Hak Asasi Manusia'.

"Rakyat harus diberi kesedaran tentang hak mereka di sisi undang-undang dan pihak berkuasa pula tidak boleh sewenang-wenang membelasah rakyat yang hanya melaksanakan hak mereka yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," kata Ahmad. -FMT


Pemuda PAS seru mangsa, saksi adu keganasan polis

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru semua mangsa dan saksi keganasan polis pada himpunan Bersih 9 Julai lalu tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Dalam satu kenyataan hari ini ketuanya, Nasruddin Hassan (gambar) berkata dewan itu menyokong penuh keputusan Suhakam mengadakan siasatan awam terhadap dakwaan keganasan polis itu.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong pendirian yang dikeluarkan oleh pihak Suhakam dalam menentang keganasan yang dilakukan ke atas sebilangan rakyat Malaysia.

"Dewan Pemuda PAS juga meminta untuk sekalian mangsa dan saksi keganasan polis pada 9 Julai baru-baru ini untuk kita tampil bersama memberikan keterangan kepada pihak Suhakam," katanya.

Ianya juga selaras dengan seruan pesuruhjaya Mohd Sha'ani Abdullah yang mahu semua mangsa yang dizalimi polis pada hari kejadian tampil ke depan bagi mengemukakan aduan secara terus supaya Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS (Juham).

Mohd Sha'ani sebelum ini juga mendakwa penangkapan yang dilakukan ke atas peserta himpunan aman dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) adalah satu bentuk pencabulan.

Beliau juga dilapor berkata, tindakan yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan Bersih 2.0 juga adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab malah ia merupakan tindakan penyalahgunaan kuasa dan ia jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

"Rakyat perlu bersuara apabila berlaku pencabulan ke atas hak asasi mereka. Keganasan dan ketidak adilan yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa perlu dibongkarkan supaya masyarakat lain dapat melihat realiti demokrasi yang ada di dalam negara kita," kata Nasrudin. -HD


Tiada ulasan: