Sabtu, 30 Julai 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Khairy: Ketelusan maklumat OK tapi jangan dedah bidang pertahanan

Posted: 30 Jul 2011 05:38 AM PDT


KUALA LUMPUR — Khairy Jamaluddin melahirkan sokongan agar kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat tetapi menegaskan, ada beberapa perkara yang berkait rapat dengan kepentingan negara seperti pemerolehan pertahanan tidak boleh didedahkan.

Ketua Pemuda Umno ini berkata, "tiada negara yang akan mendedahkan secara terperinci" tentang hal ketenteraan kerana mahu mengambil kira aspek keselamatan negara.

"Berapa banyak kereta kebal, apa bentuk sistem dan peluru yang kita gunakan tidak boleh dibincangkan di Parlimen dan dirakamkan secara bertulis," kata Ahli Parlimen Rembau pada forum Akta Kebebasan Informasi di Majlis Peguam.

Isu perjanjian ketenteraan mucul apabila pihak berkuasa mengusir seorang peguam dari Perancis yang meneruskan siasatan berhubung kontroversi RM7 bilion dalam pembelian kapal selam Scorpene di mahkamah Perancis.

Walaupun tanpa kehadiran beliau, wakil rakyat Pakatan Rakyat menuduh pentadbiran Najib mahu menyembunyikan fakta dalam pembelian dua kapal selam dari sebuah firma pertahanan Perancis DCNS dan jumlah perjanjian itu meningkat RM16 bilion dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun Khairy (gambar) bersama Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, jawatankuasa komuniti perkhidmatan ketenteraan perlu diwujudkan dengan dibarisi wakil rakyat dan pasukan bersenjata untuk mendapatkan maklumat daripada pakar-pakar lapangan sebelum dibincangkan secara rahsia.

Ketika ditanya jika keputusan itu masih boleh dibuat secara rahsia, beliau berkata, "bukan semua perkara boleh didedahkan tapi sekurang-kurangnya ahli Parlimen, wakil orang ramai mempunyai maklumat."

Pembelian dua kapal selam dari firma pertahanan Perancis DCNS dibuat pada 2002 di mana ketika itu Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan dan syarikat milik Abdul Razak Baginda, dikatakan membantu perdana menteri itu mendapatkan komisen lebih daripada RM500 juta.

Kumpulan hak asasi manusia dan parti pembangkang turut mengaitkan isu pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006. Suara Rakyat Malaysia (Suaram) memfailkan aduan di mahkamah Perancis meminta akses kepada maklumat mengenai perjanjian kerajaan yang ditandatangani Abdul Razak Perimekar Sdn Bhd dan maklumat lain yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di Malaysia.

Mahkamah Perancis menerima aduan itu untuk menyiasat dakwaan rasuah berjumlah RM500 juta dari DCNS kepada Perimekar. Peguam Perancis Willian Bourdon tiba di Kuala Lumpur pada 23 Julai lalu di Pulau Pinang di mana beliau bercakap pada satu majlis amal yang dianjurkan Suaram mengenai perjanjian pembelian kapal selam Scorpene namun dihalang menyertai program selanjutnya di ibu negara apabila ditahan pegawai imigresen yang memasuki kapal terbang sebelum mengusirnya.

Sementara itu, Santiago berkata Malaysia bergerak dengan lebih jauh daripada membentuk sebuah jawatankuasa meneliti pemerolehan pertahanan seperti jurnal-jurnal dan penerbitan "yang memberitahu anda tentang maklumat itu."

"Jika anda membeli peluru, banyak pakar boleh memberitahu anda mengapa. Jadi tiada apa yang perlu disembunyikan.

Jika anda cari di Google, anda akan menemui apa yang kerajaan Malaysia ada. "Dasar pemerolehan perlu dibuat dengan jelas. Budaya rahsia ini perlu dihentikan," katanya.

Bersih 2.0: Dua naib presiden PAS saman polis, KDN minggu depan

Posted: 30 Jul 2011 05:37 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Dua naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar masing-masing telah mengambil keputusan untuk menyaman polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan pusat berhubung tindakan menahan mereka 9 Julai lalu dan ia akan difailkan minggu depan.

Tindakan saman tersebut akan diuruskan menerusi syarikat peguam Faiz Fadzil & Co dan akan dikendalikan bersama peguam Zulhazmi Sharif, lapor HarakahDaily hari ini.

Zulhazmi menjelaskan, tindakan saman akan difailkan minggu depan.

Selain Salahuddin (gambar) dan Mahfuz, jelasnya, tindakan saman ke atas ketiga-tiga pihak berkenaan berhubung penahanan pada 9 Julai juga akan dilakukan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Salahuddin berkata, tindakan tersebut diambil memandangkan penahanan mereka ketika perhimpunan Bersih 2.0 adalah tidak sah.

Katanya, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau dan Mahfuz itu adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.

"Saya dan Datuk Mahfuz ditangkap oleh pihak polis pada pukul 11.50 pagi 9 Julai di sekitar KL Sentral. Kemudian saya ditahan di lokap polis di Balai Polis Jinjang dan dibebaskan pada pukul 9.30 malam 9 Julai.

"Sepanjang berada dalam tahanan, pihak polis pun tak ambil apa-apa keterangan daripada kami. Kami juga tak diberitahu sebab-sebab penahanan kami itu," kata wakil rakyat ini.

"Tindakan pihak polis terhadap kami itu adalah tindakan yang tidak wajar dan ia ternyata satu penahanan yang tidak sah sebab itulah saya mahu mengambil tindakan sivil terhadap pihak polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan BN," katanya.

Ekoran tindakan di luar undang-undang yang dilakukan oleh pihak polis ke atas beliau dan Mahfuz itu, beliau telah membuat laporan polis pada 11 Julai lalu.

Sepanjang ditahan, beliau tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.

Muhyiddin: Kerajaan kaji kaedah atasi kenaikan harga barang

Posted: 30 Jul 2011 05:30 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


PAGOH — Kerajaan akan mengkaji langkah baru untuk menangani kenaikan harga barang bagi mengurangkan bebanan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata antara langkah berkenaan ialah membantu petani, penguatkuasaan undang-undang, imbuhan khas kepada rakyat dan menambah subsidi untuk rakyat selain subsidi minyak.

Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi mengkaji langkah berkenaan dan merumuskan formula untuk mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan kos harga barang-barang, kata Muhyiddin yang juga pengerusi jawatankuasa itu.

Langkah itu nanti akan menidakkan dakwaan bahawa kerajaan tidak ambil kisah mengenai beban yang ditanggung rakyat berikutan kenaikan harga barang-barang keperluan, katanya dipetik Bernama Online.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menambah satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu yang berkaitan usaha untuk memerangi kos kehidupan yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga barang-barangan terutamanya makanan, yang dilihat sebagai fenomena global dan membebankan rakyat.

Jais tahan ‘Tok Belagak’, 11 pengikut

Posted: 30 Jul 2011 05:25 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM— Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menyerbu sebuah premis di Kota Kemuning di sini, yang dipercayai menganjurkan kursus berkaitan agama Islam tanpa tauliah.

Dalam serbuan 12.15 tengah hari itu Jais menahan seorang lelaki dikenali "Tok Belagak", 46, isterinya dan 11 pengikut.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jais Zaaba Zakaria berkata kesemuan mereka dibawa ke pejabat Jais untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan lisan.

Laporan Bernama Online menyebut, ketika serbuan, kira-kira 50 orang ada di premis dan Tok Belagak sedang menganjurkan kursus asas rawatan Islam Darul Saka yang disertai 36 peserta.

Beliau berkata semua peserta kursus itu telah diarah hadir ke pejabat Jais untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) iaitu mengajar agama Islam atau perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.

Katanya serbuan itu dibuat hasil aduan orang ramai mengenai kegiatan ceramah di kawasan tersebut.

Tok Belagak dipercayai mengajar kaedah perubatan Islam untuk merawat pesakit saka, sihir dan juga penyakit dalaman menggunakan ayat al-Quran, katanya.

Zaaba berkata kegiatan itu dipercayai telah dijalankan sejak dua tahun lepas yang mana setiap peserta dikenakan bayaran RM250 sehari.

Katanya Jais juga akan menyiasat sama ada kegiatan itu ada kaitan dengan ajaran sesat.

Najib: MIC dapat menteri penuh ke-2, Palanivel sertai Kabinet

Posted: 30 Jul 2011 05:24 AM PDT


PUTRAJAYA — Datuk Seri Najib Razak mengumumkan MIC, parti komponen BN itu, akan menerima satu lagi jawatan menteri penuh — amalan yang dipraktikkan ketika pentadbiran bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak.

Dengan keputusan itu kata Najib, Presiden MIC Senator Datuk G. Palanivel (gambar) akan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi membuktikan komitmen pentadbirannya ke atas masyarakat India.

Perkembangan itu dilihat satu lagi strategi Najib memikat sokongan masyarakat India menjelang pilihan raya umum ke-13 selepas merosot teruk tiga tahun lalu.

Permintaan agar BN memperuntukkan jawatan menteri penuh kedua telah dibuat sejak era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya hendak kembali ke era Tun Razak apabila ada (wakil) India Malaysia dalam Kabinetnya," kata beliau ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MIC di sini petang ini.

Najib berkata Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan atas keputusannya dan Palanivel, kini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Perusahaan dan Komoditi, akan mengangkat sumpah dalam waktu terdekat.

Palanivel dilantik sebagai senator pertengahan tahun lalu. Beliau tewas dalam pilihan raya umum Mac 2008 dan gagal menjadi calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April 2010.

Sebagai kompromi beliau dilantik menjadi anggota Dewan Negara dan dijadikan timbalan menteri.
Beliau menggantikan Datuk Seri S Samy Vellu sebagai Presiden MIC pertengahan Disember lalu.

Ini perhimpunan agung pertama baginya selaku ketua MIC.

Umno nafi Ku Li dipelawa ketuai Pakatan Rakyat

Posted: 30 Jul 2011 05:22 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Umno menafikan dakwaan bahawa pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah telah dipelawa menjadi ketua pembangkang jika Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan dalam kes liwat yang dihadapinya ketika ini.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, selaku Ketua Umno Gua Musang dan juga Ahli Parlimen kawasan itu yang dimenangi atas tiket Barisan Nasional, Tengku Razaleigh tidak boleh berbuat demikian.

Sebaliknya dipetik Bernama Online, Ahmad menyindir orang yang paling layak menggantikan Anwar di Parlimen ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Ahmad terdahulu menghadiri sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Selangor di Hulu Selangor hari ini.

Laporan media baru-baru ini memetik Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa parti pembangkang telah mempelawa Tengku Razaleigh untuk dilantik sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Anwar.

Zahrain berkata tindakan terdesak memilih Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu juga sebagai persiapan parti pembangkang itu untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Berhubung isu Felda, Ahmad meminta para peneroka Felda agar merujuk kepada jawatankuasa timbang tara bagi mengatasi sebarang masalah dengan agensi itu dan bukan membawanya ke mahkamah sebagaimana disaksikan sejak kebelakangan ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu tindakan itu juga selaras dengan Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang memperuntukkan peneroka menyelesaikan pertikaian dengan Felda menerusi timbang tara.

"Jawatankuasa berkenaan sudah lama wujud tetapi kerana ia tidak dihebahkan secara berkala, ramai yang lupa atau tidak tahu mengenainya," katanya.

Katanya jawatankuasa itu yang dipengerusikannya akan mencari penyelesaian terbaik bagi menghasilkan situasi menang-menang antara peneroka dan Felda.

Kata beliau, peneroka berdepan kerugian jika membawa kes ke mahkamah seperti yang berlaku kepada peneroka Felda Kemahang 1 dan 2 di Kelantan, yang hanya menerima antara RM9,000 dan RM11,500, berbanding RM17,000 dan RM23,000 yang dibayar Felda jika tuntutan dibuat menerusi timbang tara.

Peneroka terbabit menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu memberikan nilai rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga merugikan mereka.

Mengulas perkara lain, Ahmad menggesa kerajaan Selangor meluluskan segera permohonan tapak kawasan yang terletak di Felda Soeharto di sini, untuk projek perumahan warga Felda Gugusan Felda Sungai Dusun.

Projek perumahan di kawasan seluas 14 hektar itu akan melibatkan pembinaan 250 unit rumah dan berkonsep mampu milik yang terdiri daripada rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang mempunyai tiga bilik, katanya.

Wahabi: Mufti Perlis lega penjelasan tapi mahu Putrajaya terus siasat

Posted: 29 Jul 2011 09:19 AM PDT


KUALA LUMPUR— Mufti Perlis Dr Juanda Jaya hari ini melahirkan rasa lega kerana Putrajaya tampil dengan penjelasan mengenai isu Wahabi termasuk penegasan bahawa Arab Saudi tidak mempelopori keganasan dan ajaran sesat di negara .ini menerusi fahaman itu.

Juanda (gambar), salah seorang personaliti yang dilaporkan disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau berkata, beliau berharap isu yang muncul semula sejak seminggu lalu dapat diselesaikan.

"Saya gembira dengan penjelasan Datuk Seri Jamil Khir, yang saya berharap dapat memperjelaskan kedudukan sebenar mengenai ajaran sesat dan keganasan yang dikaitkan dengan kerajaan Arab Saudi," kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sehubungan itu kata Juanda, beliau berharap kerajaan akan menyiasat pihak-pihak yang cuba untuk mencetuskan perbalahan antara Malaysia dengan beberapa negara terutama Arab Saudi sehingga menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam negara ini.

"Kita bimbang dengan keadaan, kita berharap kerajaan akan menyiasat mengenai pihak yang hendak mencetuskan perbalahan," kata beliau lagi.

Selain Juanda, turut disenaraikan ialah bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan sekumpulan ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

The Malaysian Insider membawa laporan tengah hari tadi, memetika bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Putrajaya telah memaklumkan satu mesyuarat penting bahawa sememangnya tidak wujud ancaman keselamatan didakwa dibawa oleh Wahabi.

Nama Shahidan pernah dikaitkan dengan amalan Wahabi di negara ini tahun lalu.

Shahidan berkata, berdasarkan pada maklumat yang beliau peroleh, Jamil Khir ada memaklumkan bahawa "tiada perkara sedemikian" di negara ini.

Bagaimanapun Shahidan enggan menyebut bila dan lokasi menteri itu menyatakan pendirian tersebut.

"Mengikut keterangan Datuk Seri Jamil Khir, beliau cuma tidak mahu menyatakan perkara ini secara terbuka setakat ini, tetapi menjelaskan bahawa tiada perkara sedemikian.

"Menurut beliau, pendapat mengatakan Wahabi menjadi ancaman dan menjurus ke arah aktiviti pengganas... ini adalah pendapat individu sahaja, ia telah dibuat di tempat yang tidak sepatutnya dibuat iaitu MKN (Majlis Keselamatan Negara)," kata Shahidan.

Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa pasukan keselamatan memutuskan amalan Wahabi memang wujud di negara ini, tetapi dakwaan bahawa ia menjadi ancaman ke atas keselamatan negara bukan sesuatu yang membimbangkan buat masa sekarang.

"Memang ada amalan Wahabi, tetapi ia bukan di peringkat yang amat membimbangkan," kata sumber itu yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Malah katanya, maklumat yang digunakan dalam pembincangan Isnin lalu adalah berdasarkan pada perkembangan setakat Februari lalu.

Isu mengenai amalan Wahabi pernah muncul di media massa April lalu dengan memfokus kepada kerajaan negeri Perlis.

Bagaimanapun sumber itu mengakui tindakan mengaitkan isu itu dengan Arab Saudi ada membawa kesan ke atas hubungan kedua-dua negara.

Tiada ulasan: