Sabtu, 30 Julai 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Perutusan Ramadhan YAB TG Nik Aziz : Ramadhan Bulan Hidayah

Posted: 30 Jul 2011 06:00 AM PDT

Firman Allah SWT :

ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.." – Al-Baqarah, ayat 183

Alhamdulillah, sekali lagi tetamu mulia bernama Ramadhan menjenguk ke dalam ruang hidup kita. Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah SWT, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.

Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.

Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Dan hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah SWT. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.

Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.

Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah SWT. Di dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT :

اهدنا الصراط المستقيم

Yang bermaksud : "Tunjukilah kami jalan yang lurus.." – Surah al-Fatihah, ayat 6

Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah SWT berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah SWT. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar. Firman Allah SWT :

صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين

Yang bermaksud : (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. – Surah al-Fatihah, ayat 7

Dan siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah SWT :

مَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ

Yang bermaksud : "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya.." – Surah an-Nisa', ayat 69

Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya. Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah SWT untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah SWT dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah SWT. Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya. Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah SWT. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah SWT kelak.

Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup. Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union,ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam. Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah. Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.

Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.

Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.

Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibubapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.

Akhir kata, selamat menyambut Ramadhan. Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 27 Julai 2011

Bantu Diri Sendiri Dulu La Shahrizat

Posted: 30 Jul 2011 05:30 AM PDT

Shahrizat sedih tak sempat bantu Ashraf

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan rasa sedih tidak sempat memberi bimbingan kepada Mohd Ashraf Abdul Aziz yang ingin menukar namanya kepada Aleesha Farhana apabila pemuda itu meninggal dunia awal pagi tadi. Mohd Ashraf meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, pukul 5 pagi tadi setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Shahrizat berkata kementerian itu sudah sejak awal menawarkan bimbingan kepada Ashraf kerana berasa prihatin dengan kedudukan pemuda berusia 25 tahun itu, bagaimanapun takdir Allah mendahului segala-galanya.

"Kita dari mula lagi kita amat rasa perihatin kerana kedudukan beliau. Pendekatan kami di kementerian buat ialah pendekatan kebajikan dan tidak menghukumkan orang," katanya dipetik Bernama Online. "Kita sebaliknya cuba memahami dan membimbing sesiapa juga yang memerlukan bimbingan, terutamanya kepada mereka yang terjebak dalam keadaan terdesak seperti kes Ashraf ini tetapi apakan daya ajalnya sudah tiba," tambahnya. Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka dapat bersabar dan menerima takdir itu dengan hati yang terbuka.

"Kita harap keluarganya menerima takdir ini dengan hati terbuka dan jika keluarganya memerlukan bantuan, diharapkan dapat menghubungi saya (Shahrizat) atau pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat secepat mungkin," katanya.

Menurut beliau, ajal yang telah ditentukan Allah tidak memungkinkan pihaknya yang menawarkan bantuan bimbingan kepada Mohd Ashraf dapat ditunaikan kerana pemergian mengejutkan itu.

Allahyarham yang sebelum ini membibitkan kontroversi selepas memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar namanya, menghembuskan nafas terakhir selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu akibat masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Pada 18 Julai lalu, permohonan Mohd Ashraf untuk menukarkan nama dalam Mykadnya kepada nama wanita iaitu Aleesha ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Lelaki itu membuat permohonan berkenaan 25 Mei lepas dan telah menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009 setelah disahkan layak dari seri psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai.

Permohonan dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

Polis: Saya tidak sembunyi, sedia kerjasama – Shuhardi

Posted: 30 Jul 2011 05:06 AM PDT

KUALA LUMPUR: Individu yang dikatakan menyamar sebagai Allahyarham Baharudin Ahmad, peserta Bersih yang meninggal dunia pada 9 Julai lalu, hari ini tampil menafikan beliau bersembunyi dan enggan bekerjasama dengan polis.

Shuhardi Md. Isa, berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang surat rasmi memintanya menghadirkan diri bagi membantu siasatan dari mana-mana balai polis.

"Saya tidak bersembunyi, datanglah ke rumah saya dengan tertib. Saya akan bekerjasama dengan mereka (polis).

"Saya masih hidup… yang meninggal Allahyarham Baharudin. Blogger-blogger meminta maaf dan mengeluarkan gambar saya, saya ingat sudah selesai," katanya.

Katanya, tindakan untuk menampilkan dirinya di sidang media hari ini ekoran kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang mendakwa beliau menyembunyikan diri.

"Tapi semalam bila saya lihat komen Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata saya dipercayai menyembunyikan diri, saya terpaksa mendedahkan perkara ini.

"Saya yakin pihak polis mampu membuat siasatan berdasarkan maklumat dalam internet tanpa perlu melibatkan saya. Saya rasa sepatutnya saya yang menyaman mereka (blogger) yang salah dengan mengaitkan nama saya itu," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) memberitahu bahawa beliau tidak bersubahat dengan mana-mana pihak dan tidak pernah mengenali Allahyarham Baharudin.

"Saya tidak kenal dengan mana-mana wartawan atau jurugambar yang datang buat liputan.Saya bukanlah "desperate" untuk dapatkan sogokan yang tidak bermaruah kerana Alhamdulillah saya hidup mewah," ujarnya.

Suhardi berkata beliau bersedia memberikan kerjasama dengan pihak polis dan boleh dihubungi di talian 012-3900740.

Ibu: ‘Aleesha’ tak sempat pakai baju kurung Pahang baru

Posted: 30 Jul 2011 05:01 AM PDT

KUALA TERENGGANU, 30 Julai — Ibu Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz atau lebih mesra dipanggil "Aleesha", yang meninggal dunia awal pagi ini terkilan anaknya itu tidak sempat mencuba baju kurung baru yang ditempah untuk dipakai pada sambutan Aidilfitri nanti.

"Arwah tempah baju kurung itu dengan sepupunya dan minta sepupunya menjahit baju kurung Pahang dalam masa satu hari, dan baju itu sempat disiapkan dalam masa ditetapkan.

"Namun, dia tidak sempat untuk melakukan perincian labuci di baju tersebut dan memakai baju kurung warna merah hati itu," katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Yah, 51, ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Mohd Ashraf Hafiz, 26, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, 5 pagi tadi.

Allahyarham yang mengalami kemurungan dikejarkan anggota keluarga ke hospital pada 3 pagi kelmarin setelah mengalami muntah teruk. Dia disahkan mengalami masalah serangan jantung yang tidak stabil atau "unstable angina with cardiogenic shock" dan tekanan darah rendah.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, menimbulkan kontroversi apabila mengemukakan permohonan untuk menukar nama di dalam MyKad kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

Bagaimanapun, pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak permohonan itu setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Menurut ibunya lagi, sebelum meninggal arwah anaknya selalu menyebut perkataan "tidak sempat".

"Arwah selalu menyebut perkataan tidak sempat nak berjumpa ahli keluarga, tak sempat nak raya, tidak sempat nak perbaharui lesen memandu dan tidak sempat memakai baju kurung yang baru ditempahnya," katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Sementara itu ayah Mohd Ashraf Hafiz, Abdul Aziz Ahmad, 60, berkata dia reda dengan pemergian anak ketiganya itu dan menganggap mungkin itu yang terbaik untuk Allahyarham.

"Dia seorang anak yang baik, manja dan rapat dengan semua ahli keluarga. Semasa menghembuskan nafas terakhir, saya, ibunya dan dua adiknya ada di sisi," katanya.

Katanya bedah siasat di hospital itu mengambil masa kira-kira sejam setengah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Takir 4.30 petang tadi dengan dihadiri sanak saudara dan rakan-rakannya.

Sebelum itu, solat jenazah diadakan di surau hospital HSNZ dan sekali lagi di Surau Haji Wan Muda, Seberang Takir.

Ashraf gagal tukar nama jadi wanita meninggal dunia

Posted: 29 Jul 2011 11:07 PM PDT

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana selepas menjalani pembedahan jantina, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu awal pagi ini.

Dia dilaporkan berhadapan dengan masalah jantung dan tekanan darah yang rendah.

Mahkamah menolak permohonan dia pada 18 Julai lalu.

Dalam satu temu bual dengan media keluaran 20 Julai lalu, Ashraf mengakui tertekan dengan pandangan negatif masyarakat terhadapnya dan sanggup dibunuh.

Bagaimanapun kata Ashraf, 25, ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan hasratnya itu.

Sambil menyatakan mahu membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, dalam sebak Ashraf yang lebih mesra dipanggil "Aleesha" berkata, jika masyarakat tidak dapat menerima keadaannya berdasarkan pelbagai kutukan dan hinaan yang diterima termasuk menerusi laman sosial Facebook, dia rela dibunuh jika itu penyelesaian terbaik.

"Suka atau tidak, perjuangan perlu diteruskan sehingga semua wadah perundangan tiada lagi. "Ramai mahu saya berdiam diri daripada masalah ini, tetapi saya mahu kehidupan yang aman," katanya.

Ashraf membuat permohonan menukar jantina di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu 25 Mei lalu bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran, selain kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelakinya.

Dia membuat pendedahan menukar jantina di Thailand pada 2009.

Dalam pada itu, Bernama Online memetik bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, berkata jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Dia dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah. Aziz berkata beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.

Katanya Ashraf sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak.

Najib nafi restu projek saluran paip gas RM300b

Posted: 29 Jul 2011 04:00 PM PDT

Oleh Shannon Teoh


KUALA LUMPUR, 29 Julai — Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau telah memberi lampu hijau kepada sebuah syarikat tempatan untuk membangunkan projek saluran paip gas serantau sejauh 8,000 kilometer menghubungkan negara-negara Asean termasuk Malaysia dengan China.

Perdana Menteri kelihatan bingung apabila ditanya oleh pemberita hari ini berhubung kenyataan PanelPoint Sdn Bhd semalam bahawa Najib telah memberikan restu ke atas projek mereka yang bernilai AS$100 bilion (RM300 bilion).

"Tidak, tiada perkara sedemikian. Ia tidak pernah dibincangkan," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.

Syarikat tempatan yang hanya dikenali PanelPoint semalam mengumumkan usahanya membentuk sebuah konsortium bagi membangunkan saluran paip gas 8,000 kilometer melibatkan pelaburan AS$100 bilion (RM300 bilion).

Bagaimanapun semalam, wartawan yang skeptikal tidak memperoleh banyak maklumat mengenai usaha sama itu, yang bakal membangunkan projek dikenali sebagai saluran paip Trans-Asian Oil and Gas (TOAG).

Syarikat itu berkata ia telah menerima restu secara hitam putih daripada perdana menteri.

Bagaimanapun ia tidak mempamerkan sebarang dokumen yang berkaitan.

"Bercakap mengenai aspek kewangan, kami cuba dan tidak menghebahkan secara besar-besaran kerana kami tidak mahu mendedahkan terlalu banyak butiran," kata Presiden dan Ketua Eksekutif PanelPoint Che Nordin Ismail.

TOAG, rangkaian paip gas semula jadi serantau yang pertama, akan menghubungkan Mersing dengan Jakarta, utara Kepulauan Natuna, Ho Chi Minh City, Hanoi, Guangzhou dan Hong Kong.

Gas, yang kebanyakannya dari Indonesia, akan disalurkan melalui saluran 8,000 kilometer kepada pembeli-pembeli di China sebaik sahaja ia selesai dalam 10 tahun.

Syarikat dalam konsortium terdiri daripada Hubei Weiguang Municipal Gas Investment and Development Co Ltd, PWS Manufacturing Sdn Bhd, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Asia Bolts and Nuts Group, Lotus Action Sdn Bhd dan Techknow Industrial Sdn Bhd.

Tiada ulasan: