Isnin, 25 Julai 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


DBKL batal saman penduduk diputus 11 Ogos

Posted: 25 Jul 2011 05:13 PM PDT

BERNAMA


Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Ogos ini untuk memutuskan permohonan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membatalkan saman penduduk Ladang Bukit Jalil berhubung notis pengusiran dan merobohkan rumah mereka.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas mengadakan perjumpaan dengan peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor, yang mewakili 41 penduduk yang merupakan bekas pekerja ladang dan Ashmadi Othman yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur.

NONEAshmadi memberitahu media bahawa beliau telah mengemukakan hujahan bertulis kepada hakim hari ini manakala Muhammad Afiq akan berbuat demikian sebelum 10 Ogos ini.

Pada 14 Mac lepas, penduduk ladang berkenaan memfailkan saman terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka mempunyai hak eksklusif dan ekuiti terhadap tanah itu, mereka juga memfailkan permohonan injunksi sementara untuk menghalang DBKL daripada merobohkan rumah mereka.

Pada 10 Mei lepas, Hakim Zabariah menolak permohonan mereka untuk injunksi sementara bagi menghalang DBKL daripada merobohkan rumah mereka.

Bagaimanapun, mereka berjaya memperoleh injunksi sementara daripada Mahkamah Rayuan sementara menunggu rayuan mereka didengar berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Rayuan akan mendengar kes itu pada 10 Ogos ini.

Ladang Bukit Jalil, sebelum ini berkeluasan 7,200 hektar berkurangan kepada 10.4 hektar selepas pembangunan pesat di kawasan itu.

Pada perbicaraan untuk mendengar permohonan injunksi 27 April lepas, mahkamah diberitahu DBKL menyerahkan tanah (10.4 hektar) itu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk dijadikan kawasan perkuburan Islam.

Peguam Ragunanth Kesavan yang mewakili penduduk berhujah penduduk berkenaan bukan setinggan kerana mereka tidak menceroboh kawasan berkenaan dan tinggal di situ selepas tanah itu dijual kepada pemaju swasta.

Ashmadi berhujah bahawa Datuk Bandar hanya menjalankan tugasnya dengan mengeluarkan notis pengusiran itu dan saman terhadap Datuk Bandar adalah tidak wajar.

Bekas pegawai SPRM dihukum enam bulan penjara

Posted: 25 Jul 2011 05:11 PM PDT

BERNAMA


Seorang bekas penolong penguasa Badan Pencegah Rasuah (BPR) dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap bekas exco Selangor, Datuk Saidin Tamby.

Hakim Datuk Su Geok Yiam memerintahkan Rahiman Selamat, 52, menjalani hukuman itu mula hari ini selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen membebas dan melepaskan Rahiman pada 2001 atas tuduhan menerima jam tangan Rolex Oyster Perpetual bernilai RM3,000 daripada orang tengah, yang juga peniaga kereta terpakai, Razif Kamaruddinas sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap Saidin.

Hakim juga menolak permohonan peguam tertuduh, Mohd Firuz Jaffril, untuk menangguhkan hukuman.

Rahiman didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 April 1998 di Syarikat Golden Time, Lot 3.03, Tingkat Tiga, The Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur.

Dalam prosiding hari ini, SPRM diwakili timbalan pendakwa raya Kevin Morais dan Wong Poi Yoke.

Pada 1999, Rahiman dan timbalan pendakwa raya dari BPR (kini SPRM), Mohd Razib Othman didakwa bersama menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak mendakwa Saidin.

Bagaimanapun, Mohd Razib didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen dan dihukum penjara dua tahun dan denda RM80,000 kerana menerima jam tangan jenama Philip Charriol bernilai RM4,215 melalu Razif pada 19 Mei 1998.

Pada 12 Februari tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen terhadap Mohd Razib.


Hisham kata siasatan belum selesai

Posted: 25 Jul 2011 05:07 PM PDT

BERNAMA


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata siasatan polis berhubung perhimpunan 9 Julai lepas belum selesai.

Beliau berkata sebarang tindakan susulan berhubung kes berkenaan bergantung kepada hasil siasatan penuh kejadian itu yang dilakukan enam jawatankuasa khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Siasatan belum selesai.

"Yang salah tetap akan didakwa tapi pendakwaan bergantung kepada Peguam Negara selepas meneliti bukti dan siasatan PDRM termasuk klip video (mengenai perhimpunan itu)," katanya dalam khidmat SMS kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada polis telah melengkapkan siasatan kes itu dengan penayangan video mengenai perhimpunan haram terbabit baru-baru ini.

Hishammuddin berkata penayangan video itu kepada media dan orang awam hanyalah sebahagian daripada siasatan dan ada lagi yang akan didedahkan.

Baru-baru ini polis menyiarkan rakaman video kepada media dan orang awam yang antara lain menunjukkan tindakan polis dalam menyuraikan perhimpunan haram itu.

Sementara itu, ditanya mengenai penghantaran pulang peguam rakyat Perancis, William Bourdon ketika peguam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat lepas, Hishammuddin berkata: "Dia melanggar syarat tourist visanya.

"Itu sahaja sebab kenapa dia dihantar balik dan tiada kaitan dengan isu politik".

Bourdon dilapor berada di Pulau Pinang Khamis lepas untuk majlis penerangan mengenai pembelian kapal selam Scorpene antara kerajaan Malaysia dengan firma pertahanan DCNS yang berpangkalan di Perancis.

Peguam terbabit ditahan Jabatan Imigresen di KLIA pada Jumaat dan dihantar pulang ke Paris pada hari yang sama.

Ditanya sama ada kehadiran peguam itu di negara ini mengancam keselamatan negara, Hishammuddin enggan mengulas.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad ketika ditemui Bernama pada satu majlis di bandar raya ini berkata: "Ia ada kaitan dengan masalah visanya".


Gigi, rusuk patah: Keluarga tetap tunggu laporan HKL

Posted: 25 Jul 2011 05:02 PM PDT

Salhan K Ahmad

Keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad masih tertanya-tanya bagaimanakah polis mendapat fakta berhubung sebab kematian lelaki yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 di KLCC, Kuala Lumpur dua minggu lalu.

Sedangkan, pihak keluarga sendiri masih belum menerima laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah Allahyarham pada malam 9 Julai lalu, kata seorang anak mangsa berkenaan, Mohd Nasrul.

"Saya tertanya-tanya, kenapa kami belum dapat lagi (laporan bedah siasat), tapi polis dah keluar kenyataan," kata Mohd Nasrul, 22, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau juga enggan memberikan komen lanjut berhubung kecederaan yang dialami mangsa berkenaan memandangkan keluarganya masih belum menerima laporan tersebut walau telah berkali-kali mendesak hospital berkenaan.

Namun, polis telahpun menafikan dakwaan bahawa pasukan berkenaan telah melakukan keganasan ke atas Allahyarham Baharudin manakala kecederaan dialami mangsa itu pula berpunca daripada rawatan yang diberikan ke atasnya.

Seorang pegawai kanan Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid pada Jumaat lalu dilaporkan sebagai berkata, tulang rusuk mangsa yang patah itu juga "mungkin" disebabkan oleh rawatan kecemasan yang diberikan ke atasnya.

Gigi lelaki berusia 58 tahun itu pula "mungkin" patah disebabkan tiub yang dimasukkan ke dalam mulut lelaki berkenaan bagi tujuan "menyedarkannya semula."

Salleh turut mendakwa, tiada gas pemedih mata dilepaskan di lokasi KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Baharudin meninggal dunia.

Ketika ditanya, anak mangsa berkenaan bagaimanapun pantas menjawab, beliau tidak akan memberikan komen selagi belum melihat laporan bedah siasat berkenaan.

"Kami pun tak dapat laporan bedah siasat, sebab kematian pun tak tahu. Jadi tunggu keputusan bedah siasat dahulu baru kami boleh komen," kata Mohd Nasrul lagi.

Tambahnya, pihak Hospital Kuala Lumpur memberitahu beliau bahawa keluarga mangsa tersebut hanya akan menerima keputusan berkenaan dalam tempoh "empat hingga enam minggu lagi."

Anggota keluarga Allahyarham sebelum ini mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan juga kepada Ketua Polis Negara, mendakwa kecederaan yang dialami mangsa itu mungkin berpunca daripada keganasan polis.

Portal berita tak termasuk dalam majlis media k'jaan

Posted: 25 Jul 2011 04:58 PM PDT

Aidilla Razak


Portal berita tidak akan dimasukkan dalam majlis perundingan media, yang dicadang dipengerusikan bersama oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ini menurut cadangan yang dihantar kepada ahli-ahli terpilih berserta jemputan untuk menghadiri mesyuarat pertama mengenai perkara itu, yang dijadualkan di ibunegara pada jam 4.30 petang ini.

Portal berita seperti Malaysiakini, Malaysian Insider, Free Malaysia Today dan Merdeka Review, tidak termasuk, tetapi sebaliknya cadangan itu memasukkan persatuan penulis blog - Blog House - sebagai wakil "media baru".

NONEAntara ahli jawatankuasa Blog House ialah wartawan veteran Datuk Ahiruddin Atan dan bekas perdana menteri yang kini penulis blog, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penaungnya.

Anggota kanan kerajaan yang dicadang menganggotai majlis tersebut termasuk ketua setiausaha Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Kamaruddin Siaraf dan ketua setiausaha KDN, Datuk Mahmood Adam sebagai timbalan pengerusi bersama.

Turut disenaraikan ialah penasihat perdana menteri, setiausaha akhbar, setiausaha Majlis Keselamatan Negara, dan 20 pegawai kanan dari dua kementerian berkenaan, termasuk dari Jabatan Halehwal Khas (JASA).

MKN kaitkan Asri, ulama Umno dengan Wahabi

Posted: 25 Jul 2011 04:53 PM PDT

Jimadie Shah Othman


Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini menimbulkan kebimbangannya terhadap beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme.

NONEMenurut sumber, dalam taklimat tertutupnya yang antaranya disertai mufti dan wakil majlis agama Islam negeri di Putrajaya hari ini, seramai 40 ulama muda Umno turut dikaitkan sama.

"Kerajaan Arab Saudi didakwa menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku. Saudi dikatakan di belakang tokoh-tokoh ini," dakwa sumber itu.

Usaha Malaysiakini menghubungi pihak MKN - majlis bawah Jabatan Perdana Menteri - di Putrajaya untuk mengesahkan dakwaan tersebut setakat ini belum berhasil.

Menurut sumber, dalam taklimat lebih tiga jam bermula 9.30 pagi tadi, tokoh-tokoh yang disebutkan itu dikatakan 'dinaungi' kerajaan Arab Saudi dan beberapa lagi negara teluk seperti Kuwait dan Bahrain.

"Saudi juga dikatakan penyumbang kepada faktor kejatuhan kerajaan (empayar Islam Turki) Uthmaniyah (1299-1923)," dakwa sumber-sumber.

Dr Asri: Hati-hari sokong parti kerajaan

Seorang tokoh agama Selatan Thailand Ismail Lutfi juga dikaitkan dengan jaringan itu, tambah sumber.

Penceramah popular Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dikatakan antara tokoh terlibat membuat pembentangan dalam majlis tertutup itu.

Tidak seperti ulama muda Umno, Dr Asri sebelum ini sudah pernah dikaitkan dengan aktiviti "terorisme agama" dalam taklimat anti-keganasan anjuran pihak polis.

young ulama join umno 250610 02Sementara itu, Dr Asri ketika dihubungi Malaysiakini secara sinis berkata tidak terkejut dengan dakwaan itu kerana sekarang ini "orang yang memakai baju kuning pun boleh dianggap komunis".

Bagaimanapun, tambahnya, beliau agak pelik tentang kedudukan ulama muda Umno - antara yang didakwa berhempas pulas mempertahankan kerajaan - juga boleh disenaraikan.

"Jadi, saya minta golongan ulama berhati-hatilah hendak berjasa dengan parti kerajaan," sindirnya yang pernah diurakan-urakan akan menyertai Umno bersama kumpulan itu sebelum ini.

'Tolak juga fahaman tak demokratik'

Dr Asri juga mempersoalkan kewajaran mengaitkannya dengan terorisme sedangkan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (kiri) sendiri didakwa tidak keberatan memohon bantuan daripadanya dalam sesuatu isu.

NONE"Seminggu sebelum perhimpunan BERSIH2.0, ketua polis negara sendiri telefon saya untuk bantu tenteramkan masyarakat (yang hendak berhimpun). Takkanlah ketua polis negara menghubungi teroris?

"Semalam bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menziarahi rumah saya di sini (Pulau Pinang), takkan sebesar ini jaringan teroris," katanya yang terkenal dengan kelantangan dan sifat sinikal itu.

Mengulas tentang kerajaan Arab Saudi yang dilibatkan sama, Dr Asri menyuarakan kebimbangannya terhadap kemungkinan terjejasnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang baik ketika ini.

Berhubung fahaman Wahabi, Dr Asri berkata, beliau berpendirian, aliran itu - merujuk kepada tafsiran menolak kepelbagai pandangan dalam agama - hendaklah ditolak seluruh umat Islam.

"Dalam masa yang sama, (kena) tolak juga fahaman yang tidak demokratik, yang anti hak rakyat, anti hak bersuara dan hak berkumpul rakyat.

"Ulama mesti fikir, fahaman tidak demokratik juga ancaman kepada negara pelbagai kaum seperti Malaysia," kata pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Mesyuarat sulung majlis media 'gagal'

Posted: 25 Jul 2011 04:50 PM PDT

Salhan K Ahmad


Wakil media arus perdana menyuarakan bantahan keras ke atas cadangan kerajaan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Media (MPM) dalam mesyuarat rundingan pertama yang diadakan hari ini.

Seorang daripadanya, Datuk Nuraina Samad berkata beliau serta beberapa orang pengarang lain membantah cadangan berkenaan kerana ia dilihat sebagai satu lagi bentuk kawalan ke atas akhbar.

"Mereka kata ianya majlis perundingan tapi sebenarnya majlis ini hanyalah satu lagi bentuk kawalan," kata editor pengurusan dan penulis blog itu.

azlanSedangkan media hari ini sudah bergelut dengan dengan soal kredibiliti dan undang-undang sedia ada seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas mesyuarat tersebut.

Beliau turut mempertikaikan mengapa pegawai kanan perdana menteri perlu hadir di majlis berkenaan sedangkan wakil media dalam talian tidak hadir.

Turut disuarakan dalam mesyuarat berkenaan ialah kegelisahan pengarang akhbar yang bimbang sekiranya cadangan penubuhan majlis berkenaan akan terus menjejaskan persepsi pembaca, katanya.

"Bagaimana majlis ini akan dapat membantu jualan akhbar?" soalnya.

Mesyuarat sulung itu dihadiri antara lainnya pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Meor Kamarul Shahid serta wakil pengarang dari akhbar berbahasa Cina - Kumpulan Sin Chew.

Lapor balik pada kerajaan

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf itu sepatutnya membariskan sekurang-kurangnya 80 orang pengarang kanan daripada organisasi media cetak dan elektronik, mengikut kertas cadangan yang dikemukakan kepada wakil media sebelum ini.

Kamaruddin juga mengakui, pertemuan yang diadakan hari ini merupakan satu "kegagalan" namun beliau gembira kerana pengarang berkenaan tetap menyuarakan pendapat mereka.

azlanJelasnya, kerajaan bercadang untuk menjalankan perbincangan secara berperingkat-peringkat dan mesyuarat hari ini melibatkan sebahagian besar pengamal media cetak.

"Selepas ini baru kita panggil media baru, tapi dengan media cetak pun sudah gagal... Saya lapor balik kepada kerajaanlah.

"Ini hanya untuk dapatkan maklum balas tapi saya mahu yakinkan bahawa majlis ini bukan untuk mengawal tapi hanya majlis rundingan. Ia tiada kuasa eksekutif," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini di majlis sama.

Jelasnya, idea untuk menubuhkan majlis media telah dibincangkan sejak tahun 1970-an namun sehingga kini tidak berhasil.

"Sebab itulah kita berharap dengan adanya mesyuarat ini, ia akan membuka jalan kepada penubuhan satu majlis media. Kita cuma mahu menolong, lain tak ada.

"Apa yang kita mahu, supaya (media) ada badan pengawal sendiri... Tapi buat masa ini ianya agak sukar. Tiada orang yang mengambil langkah pemula, jadi kita mahu ada perbincangan dahulu," katanya lagi.

Pertandingan video Bersih 2.0 dilanjut ke 15 Ogos

Posted: 25 Jul 2011 04:48 PM PDT

Herman Samsudeen


Sukacita dimaklumkan bahawa, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melanjutkan tempoh penyertaan Pertandingan Mencipta Video Bersih 2.0 dan Tarikh tutup yang baru bagi pertandingan ini adalah pada 15 Ogos 2011.

Tempoh ini dipanjangkan bagi memberikan ruang kepada lebih banyak penyertaan untuk pasca himpunan serta meneruskan mesej promosi Bersih sebagai satu himpunan aman rakyat. Sehubungan dengan itu, Keputusan mengenai 3 video terbaik akan diumumkan pada 19 Julai 2011 melalui Blog DPPWP di (http://dppwp.wordpress.com) dan juga email kepada pemenang.

Kriteria Video Yang Dikehendaki :

1. Minimum durasi video adalah 2 minit dan maksimum 5 minit

2. Memaparkan gambar atau rakam video berkaitan rakyat dan pilihanraya yang kotor

3. Memaparkan gambar atau rakam video himpunan Bersih

4. Memasukkan maklumat tarikh dan tempat Himpunan Bersih 2011

5. Memasukan maklumat 8 tuntutan Bersih, iaitu:


-Bersihkan senarai undi
-Mereformasikan undi pos
-Gunakan dakwat kekal
-Akses media bebas & adil
-Masa berkempen minima 21 hari
-Kukuhkan institusi awam
-Hentikan rasuah
-Hentikan politik kotor


6. Muzik atau petikan suara atau ucapan sebagai latar digalakan (Keutamaan kepada ucapan pemimpin PAS)

7. Penggunaan ayat Al-Quran @ Hadis digalakan

8. Setiap video dikehendaki meletakan nama pencipta dan nama "Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan" sebagai penerbit

9. Video yang dicipta hendaklah tidak menyentuh sensitiviti atau menghina mana-mana kaum, agama, individu atau parti.

Penilaian :

1. Penilaian akan dibuat berdasarkan:

a. Pematuhan kepada kriteria yang ditetapkan
b. Mesej video klip
c. Susunan plot dan jalan cerita video klip
d. Kualiti gambar dan pembikinan video klip
e. Komen dan jumlah penonton dalam Youtube

...keutamaan kepada peserta yang berjaya memberikan jalan cerita, mesej dan video yang paling berkualiti.

Maklumat lain:

1. Peserta boleh menghantar seberapa banyak video yang dikehendaki.

2. Video klip peserta akan turut dipaparkan dalam laman Blog DPPWP di (http://dppwp.wordpress.com) dan dibenarkan untuk dikongsi atau digunakan untuk tujuan promosi Bersih disemua jaringan sosial.

3. Peserta digalakan mempromosikan video mereka bagi mendapatkan rating penonton yang tinggi.

Penghantaran dan Tarikh Tutup:

1. Video yang telah siap hendaklah di muatnaik (upload) ke laman web Youtube mengunakan akaun peserta.

2. Peserta yang telah memuatnaik (upload) video mereka hendaklah menghantar link video berkenaan di Youtube ke email berikut - hermansamsudeen@gmail dengan tajuk "Pertandingan Video" dan menyertakan:

a. Nama Peserta
b. No. Kad Pengenalan
c. No. Telefon Bimbit
d. link video di Youtube

Hadiah ;

Tempat Pertama - RM 500
Tempat Kedua - RM 200
Tempat Ketiga - RM 100

Pertanyaan:

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila email kepada hermansamsudeen@gmail.com atau hubungi 019-216 8557 (Herman) / 012-698 4302 (Nurul Islam).

Sekian. Terima kasih.


Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Hiburan: Ali Rustam membisu bantahan rakyat

Posted: 25 Jul 2011 04:47 PM PDT

Ahmad Danial


AYER KEROH: Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Melaka, Yusof Wahab melahirkan kekesalan di atas sikap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang membisu dengan bantahan rakyat terhadap keputusan kerajaan negeri yang memberikan kelulusan untuk pusat hiburan melanjutkan masa operasi sehingga jam 3.00 pagi.

Yusof berkata, Mohd Ali sepatutnya tampil memberikan maklum balas kepada rakyat Melaka sama ada bersedia untuk menghadkan masa operasi pusat hiburan atau meneruskan keputusan kerajaan negeri baru-baru ini.

"Kita kesal kerana di saat umat Islam akan menyambut Ramadhan, kita dikejutkan dengan tindakan kerajaan negeri Melaka meluluskan perlanjutan operasi pusat hiburan sehingga pukul 3.00 pagi, baru-baru ini.

"Kita hairan bagaimana pemimpin yang mengaku Islam tetapi tidak tahu halal haram dan tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia," tegas Yusof yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Bukit Katil.

Beliau berkata sepatutnya kerajaan negeri Melaka kalaupun tidak mampu untuk menutup pusat hiburan itu sekurang-kurangnya mereka menghadkan masa operasinya dan juga menetapkan supaya orang-orang Islam diharamkan dari memasukinya seperti yang dijalankan di Kedah.

"Jangan hendak hadkan masa operasi dan hadkan orang Islam jangan masuk sebaliknya kerajaan negeri Melaka dengan biadap melanjutkan lagi operasi pusat hiburan ini seolah-olah mencabar Allah yang menyuruh kita memperbanyakkan ibadat di bulan Ramadhan.

"Tidakkah kerajaan negeri rasa bertanggungjawab kepada rakyat dengan menggalakkan mereka beribadat bukannya memberikan ruang yang luas untuk berhibur di pusat-pusat maksiat ini?" soalnya.

Yusof sekali lagi menggesa kerajaan negeri menarik balik keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri baru-baru di samping membuat keputusan supaya orang Islam di larang memasuki pusat-pusat maksiat tersebut.

Minggu lalu, kira-kira 200 orang umat Islam dan ahli PAS Melaka mengadakan himpunan aman membantah perkara tersebut di hadapan Masjid Bukit Katil.

Komisen Scorpene, individu ketiga didedah semasa perbicaraan

Posted: 25 Jul 2011 04:45 PM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR- Komisen ketiga pembelian kapal selam Scorpene yang dibayar 'pegawai peringkat tinggi' kerajaan Malaysia akan didedahkan ketika perbicaraan rasuah itu di mahkamah Perancis, September ini.

Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel sebelum ini mendedahkan bukti baru bahawa komisyen ketiga itu dibayar lebih besar daripada sebelumnya kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, yang berjumlah RM540 juta, lapor KeadilanDaily.

Perimekar dimiliki sepenuhnya Ombak Laut, syarikat Abdul Razak Baginda iaitu kenalan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terlepas dari hukuman gantung kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Penyiasat persendirian yang pernah bertugas dengan Abdul Razak, P Balasubramanian pernah mendedahkan dalam akuan bersumpahnya yang Najib mempunyai hubungan dan turut terlibat dengan pembunuhan itu.

Cynthia ketika dihubungi berkata, perbicaraan di mahkamah Perancis itu juga dijangka mendedahkan individu ketiga yang menaiki penerbangan ke Macau pada 2002.

Individu 'misteri' itu bersama Abdul Razak dan Altantuya dikesan menaiki pesawat ke pulau itu bagi urusan pembelian kapal selam berkenaan.

"Melalui mahkamah kita dibenarkan untuk akses kepada dokumen syarikat yang menjalankan urusniaga," kata Cynthia kepada Keadilandaily.

Menurutnya, Mahkamah Perancis semakin 'meunjukkan minat' dalam kes itu ekoran pentadbiran Najib menghantar pulang peguam Wiliam Bourdon yang mengendalikan kes rasuah berkenaan.

"Seperti rakyat Perancis yang terkejut dengan penghantaran pulang William Bourdon, kini mahkamah di negara itu semakin berminat dengan kes ini. Kecenderungan ini sama ditunjukkan oleh mahkamah Perancis seperti kes di Pakistan," kata Cynthia.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan 11 jurutera Perancis mati dalam serangan bom di Karachi pada 2002. Kejadian tersebut didakwa berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class.

"Jelas ada perkara sulit yang sangat-sangat ingin disembunyikan Najib sampai sanggup 'menendang keluar peguam hak asasi William Bourdon.

"Suaram juga sedang memikirkan tindakan lanjut akibat keputusan kerajaan tempoh hari," sambung Cynthia.

Dalam pada itu, beliau tidak pasti sama ada penghantaran pulang William merangkumi arahan sebagai 'persona non-grata' iaitu individu yang dihalang dari memasuki Malaysia, atau pun larangan kemasukan bersifat sementara.

"Itu kena tanya Hishamuddin (Menteri Dalam Negeri). Mereka menghalau William tanpa asas yang jelas. Namun, kami akan undang lagi beliau ke Malaysia.

"Apa yang menjadi isu ialah imej Malaysia tercemar teruk. Penduduk di Eropah terkejut dengan tindakan kerajaan dan semakin tertarik untuk terus mengikuti kes ini," katanya.

Justeru, Cynthia mengalu-alukan sumbangan berterusan rakyat Malaysia kepada Suaram untuk membiayai kes perbicaraan di mahkamah Perancis yang bakal bermula September ini.

15 tahun warga emas tunggu pampasan Perkeso

Posted: 25 Jul 2011 04:42 PM PDT

Khairil Abdul Rahim


TEMERLOH: Seorang bekas pekerja kilang papan kesal dengan menteri, agensi kerajaan dan wakil rakyat yang gagal menyelesaikan masalah wang pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang tertangguh sejak 15 tahun lalu meskipun semua dokumen sudah lengkap.

Warga emas Mohan Mariappan, 59, yang mengalami kemalangan di tempat kerja di kilang T. S. Gan Timber Trading dekat sini pada tahun 1995 lalu sehingga tidak boleh bekerja lagi dan disahkan pegawai perubatan layak menerima pencen ilat dan bantuan ilat.

Malangnya setelah enam tahun barulah beliau mendapat wang sebanyak RM315.55 iaitu pada Ogos 2002, tetapi bantuan bulanan langsung tidak ada dalam tempoh selama itu dan mendakwa wang pampasan terkumpul miliknya sudah lebih RM40,000.

"Saya bekerja di kilang papan berkenaan dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan sehinggalah pada 13 Mei 1995 mengalami kemalangan dengan tangan sebelah kanan saya termasuk dalam mesin gergaji sehingga mengakibatkan tidak boleh bekerja berat lagi untuk selamanya.

"Doktor yang merawat kemudian mengesahkan saya hilang upaya kekal dan layak mendapat 35% daripada gaji iaitu RM520. Semua dokumen telah dihantar kepada Perkeso Temerloh, tetapi hanya enam tahun kemudian saya baru menerima RM315.55. Itupun setelah tersiar cerita dalam akhbar Tamil.

"Pegawai Perkeso ada berjanji dengan saya wang selebihnya akan dibayar pada setiap bulan. Namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang bayaran yang dimaksudkan," katanya ketika menemui Harakahdaily di sini.

Sejak itu Mohan telah beberapa kali menemui pengarah Perkeso, menteri, pemimpin tertinggi MIC, wakil rakyat Umno dan Menteri Besar Pahang namun semuanya hanya janji tinggal janji.

"Kalau tidak silap, sudah enam kali saya bertemu Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam untuk mengadu hal dan minta selesai masalah, kali akhir tahun lalu. Begitu juga dengan Senator T. Murugiah dan semua pemimpin MIC, tapi tetap tiada penyelesaian.

"Jumpa dengan Ketua Umno Bahagian Temerloh yang juga Exco Kerajan Negeri Pahang janji nak selesai terus senyap. Juga jumpa MIC Mentakab, pun hanya tinggal janji.

"Setelah mengetengahkan kes ini kepada media, barulah pada bulan Januari 2009 saya dibayar RM70 sebulan, mula bulan September tahun itu dibayar RM140. Sehinggalah bulan September tahun lalu saya dibayar RM250. Tetapi masih jauh daripada jumlah sebenar (RM520)," katanya dengan nada sayu.

Soal Mohan, jika sudah 15 tahun seorang menteri tidak boleh selesaikan satu kes seperti beliau, macam mana menteri mahu selesaikan rakyat dan orang ramai? Beliau hairan bagaimana kesnya menjadi rumit sangat hingga tertangguh lama sedangkan semua dokumen ada dan mereka akui.

Mohan yang juga menghadapi masalah jantung dan akan membuat pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) berpendapat, masalahnya kesnya ini tidak diambil berat kerana beliau 'orang kecil'.

"Sepatutnya menteri atau wakil rakyat tahu bahawa RM250 sekarang ini tidak cukup untuk menampung kos hidup yang tinggi sekarang. Saya masih ada isteri dan seorang anak yang sedang bersekolah dalam tanggungan. Saya juga masih perlukan duit untuk rawatan dan ubat-ubatan," rayunya.

Justeru beliau yang tinggal di Taman Bukit Bendera, Mentakab merayu pihak berkuasa segera menyelesaikan kesnya sementara usianya masih ada.

TBH: DAP dakwa RCI bercanggah dengan SPRM

Posted: 25 Jul 2011 04:40 PM PDT

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: DAP hari mendakwa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kematian Teoh Beng Hock bercanggah dengan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beliau.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah yang kecewa dengan laporan RCI yang merumuskan Teoh mati kerana membunuh diri itu berkata, laporan itu ternyata tidak konsisten dan hanya untuk memburukkan reputasi DAP.

"Saya tidak dapat menerima laporan RCI yang mengatakan Teoh mengalami konflik emosi yang keterlaluan, rasa bersalah yang mendalam, putus harapan dan mengalah kepada kekecewaan kerana laporan SPRM tidak menunjukkan ada unsur rasuah dan salah guna kuasa di antara saya dan Teoh," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, dekat sini hari ini.

Adun Seri Kembangan itu membangkitkan percanggahan laporan RCI yang menyifatkan bekas pembantunya itu menghadapi perubahan minda sehingga bertindak membunuh diri yang disifatkan tidak berdasarkan fakta dan bukti.

Sedangkan katanya keterangan saksi IO Ahmad Shafik Abdul Rahman jelas menunjukkan tiada sebarang bayaran pendahuluan dibuat oleh DAP Serdang Aman untuk membiayai projek kecil di kawasan beliau.

Sebaliknya DAP Serdang Aman hanya bertindak sebagai pembantu pengurusan pada ketika itu.

Namun katanya, RCI tidak mengambil kira maklumat tersebut sebaliknya mengluarkan laporan yang berbeza daripada apa yang dikatakan saksi SPRM.

"Kalau lihat testimoni bertulis oleh IO Shafiq ketika pendengaran RCI adalah senario yang bertentangan. IO Syafik memberitahu RCI bahawa siasatan menunjukkan resit adalah sama dan projek tersebut dijalankan," jelasnya.

Tambahnya, RCI tidak mencari pnca kematian sebaliknya meninggalkan lebih banyak persoalan berhubung kematian Teoh.

Sehubungan itu, naib presiden DAP, Tan Kok Wai berkata, DAP akan terus komited untuk mendapatkan keadilan untuk Beng Hock dan keuarganya dengan menganjurkan pelbagai program penerangan bermula dengan forum bertajuk "laporan siasatan suruhanjaya Teoh Beng Hock-di manakah kebenaran?" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam esok.

"DAP komited untuk mendapatkan keadilan untuk Beng Hock dan keluarganya bukan sebab dia merupakan ahli DAP tapi sebab kita mahu tuntut keadilan yang dijanjikan," kata beliau yang juga ahli Parlimen Cheras.

Keputusan Suruhanjaya Diraja yang diumumkan pada Khamis lalu merumuskan Teoh membunuh diri kerana menghadapi sesi soal siasat agresif dan berlarutan oleh pegawai SPRM pada Julai 2009.

Walaupun beliau hanya saksi dalam sebuah kes yang hanya membabitkan cuma RM2,400, pegawai SPRM cuba mendapatkan pengakuan daripada beliau sepanjang malam dengan membuat pelbagai ugutan dan memberikannya maklumat palsu.

Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat prosiding suruhanjaya diraja menyiasat kematiannya yang didedahkan kepada umum Khamis lalu.

Pemuda PAS serah memo, sokong tindakan Kedah

Posted: 25 Jul 2011 04:39 PM PDT

Harakahdaily

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak bagi menyokong tindakan kerajaan negeri itu berhubung larangan hiburan di bulan Ramadhan.

Penyerahan dibuat Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar yang juga ahli parlimen Jerai dan diterima Setiusaha Akhbar menteri besar Kedah, Mohd Helmi Khalid di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman di sini.

Turut serta pada penyerahan itu Adun Bukit Lada Ahmad Izzat bin Shauki dan Ahli Parlimen PKR Kuala Kedah, Ahmad Kassim.

Kandungan memorandum itu antara lain memuji tindakan kerajaan negeri Kedah yang disifatkan sebagai "langkah bijak" dalam usaha mengekang umat Islam melakukan maksiat lebih-lebih lagi dibulan Ramadhan.

"Rakyat negeri Kedah akan lebih terdidik dengan program Ihya' Ramadhan sambil ruang-ruang mungkar ditutup.

"Dengan suasana yang ada sekarang ini yang lebih membawa kearah gejala sosial, negeri Kedah menggunakan undang-undang sediakan ada bagi membendung kegiatan yang menjurus kearah maksiat.

"Sememangnya tindakan kerajaan negeri Kedah amat bertepatan dengan waktunya walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak namun sikap tegas yang ditunjukkan oleh YAB Dato' Seri (Ustaz Azizan) amat kami hargai," kata Firdaus.

Awal Mei lalu, kerajaan negeri Kedah mengumumkan untuk menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepanjang Ramadhan ini.

Dengan pelaksanaan enakmen itu, pusat hiburan di Kedah akan beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadhan namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Pengendali pusat hiburan juga perlu memastikan tiada orang Islam mengunjungi premis mereka atau berdepan tindakan pembatalan lesen.

Tindakan tersebut dibuat bertujuan mencegah orang bukan Islam melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan.

Mengulas lanjut, Firdaus yang dihubungi Harakahdaily selepas itu berkata, tindakan kerajaan Kedah itu membuktikan bahawa kerajaan PAS telah berusaha menjalankan amal maaruf nahi mungkar di negeri itu.

"Ini juga memperkukhkan keyakinan kami bahawa betapa pentingnya memilih pemimpin yang bukan sekadar menjaga hal-hal berkaitan dunia namun ianya harus dikaitkan dengan akhirat dengan ertikata lain dunia dan akhirat 'berjalan' seiring bagi membentuk jati diri rakyat yang lebih mantap dan seterusnya menjadi insan yang berguna kepada agama,bangsa dan negara," katanya lagi.

Bagaimanapun pada masa yang sama, beliau turut menyeru pihak pengurusan masjid dan surau di negeri itu memainkan peranan memperbanyakkan program hiburan Islam dan Ihya' Ramadhan bagi menarik gologan muda dari terjebak dengan gejala tidak sihat.

Biometrik: Bersih perlu sokong, kotor kena tolak

Posted: 25 Jul 2011 04:38 PM PDT

Rizal Tahir


KOTA BHARU: PAS hanya akan membuat keputusan menyokong atau sebaliknya berhubung biometrik selepas diberi penerangan berhubung perlaksanaan perkara itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, walaupun tidak menafikan hanya akan menyokong sekiranya perkara itu baik, namun penerangan berhubung perkara itu perlu dilakukan terlebih dahulu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung sistem biometrik yang bakal dilaksanakan oleh SPR dalam pilihan raya umum selepas merasmikan pelan halatuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, di sini petang tadi.

Turut hadir pada majlis itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, selepas mendengar taklimat perbincangan pula perlu diadakan sama ada ianya perlu menyokong atau sebaliknya.

"Perkara bersih perlu disokong, perkara yang kotor kita kena tolak. Mana-mana perkara yang rosak atau meragukan kita kena tentang," ujarnya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, untuk membentuk kerajaan yang adil, ianya perlu diadakan melalui pilihan raya yang bersih dan adil.

Tambahnya, sama ada untuk mentadbir sebuah keluarga, diri, jiran tetangga, negeri atau negara perlu diadakan dengan cara bersih.

Terdahulu Pengerusi Multimedia Development Corporation (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali, ketika berucap di majlis pelancaran itu berkata, portal rasmi kerajaan Kelantan menduduki tempat keenam daripada 1,145 laman web yang dinilai di peringkat kebangsaan.

Menurutnya lagi, selain itu portal rasmi kerajaan negeri juga berjaya melonjak pencapaian lima bitang di bawah program Penilaian Portal dan Laman Web kerajaan 2010.

"Saya begitu kagum dengan pencapaian ini termasuk portal kerajaan negeri turut berada di tempat ketiga dalam kategori negeri dengan 15 laman web kerajaan dan agensi negeri berjaya memperolehi status lima bintang," ujarnya.

Kes Sosilawati: Pekerja ladang dipenjara tak kenal Pathmanabhan

Posted: 25 Jul 2011 04:33 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER




SHAH ALAM — Seorang pekerja ladang yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengenali N. Pathmanabhan yang merupakan tertuduh pertama dalam kes bunuh itu.

Saksi ke-29 pendakwaan, U. Suresh, 27, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Udang, Melaka, juga memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak pernah melihat bekas peguam tersebut.

Ketika ditanya sekali lagi sama ada dia pasti tidak mengenali Pathmanabhan, Suresh menjawab: "Tidak tahu."

Menurut laporan Bernama Online, saksi itu bagaimanapun mengenali tertuduh kedua, ketiga dan keempat iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan, dua bulan sebelum kesemua mereka ditangkap pihak polis di sebuah ladang di Banting pada 9 September 2010.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff mengapa dia dipenjarakan di Penjara Sungai Udang, saksi itu menjawab: "Saya berada di sana kerana polis arah saya beri keterangan palsu."

"Masa awak di penjara Sungai Udang ada polis ambil statement (keterangan) daripada awak?" soal Ishak dan Suresh menjawab ada dan dia turut mengakui ada menurunkan tandatangan pada rakaman percakapan itu.

Bagaimanapun ketika diminta mengenal pasti tandatangan di atas dokumen tersebut, saksi itu berkata tandatangan di atas dokumen itu berbeza dengan tandatangannya.

Suresh, yang hadir di mahkamah memakai pakaian banduan berwarna merah memberi keterangan pada hari ke-10 perbicaraan kes Pathmanabhan dan Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan, ketiga-tiganya pekerja ladang yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjong Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 21 Februari lepas, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas Suresh dan seorang lagi pekerja ladang, K.Sarawanan atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan keempat-empat mangsa.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki, dalam melaksanakan kuasanya di bawah Kanun Acara Jenayah untuk menyemak keputusan mahkamah rendah, meningkatkan hukuman penjara itu daripada tempoh asal tujuh tahun yang sebelum itu diputuskan oleh Majistret Telok Datok, Banting, selepas mereka mengaku bersalah ke atas keempat-empat tuduhan tersebut.

Menyambung keterangannya, Suresh berkata dia bekerja sebagai pemandu lori di ladang tersebut dan juga memberi makanan kepada haiwan-haiwan di ladang itu seperti ayam, kambing, angsa, merak dan anjing.

Malah mengikut laporan Bernama Online, ditanya siapa yang membayar gajinya, Suresh berkata tertuduh keempat, Kathavarayan yang membayar gajinya secara tunai iaitu sebanyak RM1,000.

Ishak: "Siapa ketua di ladang itu?"

Suresh: "Selama saya bekerja di situ Ravi (tertuduh keempat) yang in-charge. Matan dan Thilaiyalagan juga bekerja di ladang yang sama".

Ketika ditanya sama ada terdapat zink di ladang itu, Suresh menjawab: "Ada banyak zink dan ia digunakan untuk buat atap rumah di ladang."

Ketika dirujuk dan diminta mengenal pasti enam keping zink yang merupakan eksibit di mahkamah, saksi itu berkata kesemua zink tersebut tiada di ladang itu.

Ishak: "Pada 30 Ogos 2010, kira-kira pukul 7 petang di mana awak berada?"

Suresh: "Saya pergi ke rumah pakcik di Cheras, pakcik saya buat perniagaan kanopi dan dia minta sewa lori, jadi saya bawa lori bernombor pendaftaran BHM 5010 milik Kathavarayan."

Ishak: "Pernah lihat kereta bernombor pendaftaran WTL 11?"

Suresh: "Tidak".

Dalam keterangan sebelum ini, kereta jenis BMW X5 itu telah digunakan oleh Sosilawati dan Kamaruddin pada hari mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos 2010 dan kereta tersebut ditemui ditinggalkan di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di USJ, Subang Jaya pada 6 September 2010.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin kemudian mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 145 Akta Keterangan 1950 untuk menyoal balas kebolehpercayaan Suresh kerana mendakwa keterangan saksi itu di mahkamah bercanggah dengan rakaman percakapannya kepada pihak polis.

Peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, Thilaiyalagan, bagaimanapun membantah permohonan pihak pendakwaan atas alasan Suresh menafikan bahawa dia memberi kenyataan kepada pihak polis dan menafikan bahawa tandatangan pada rakaman percakapan itu adalah miliknya.

Peguam Ravi Nekoo yang mewakili tertuduh keempat, Kathavarayan, juga membantah permohonan itu atas alasan Seksyen 145 hanya terpakai semasa saksi sedang disoal balas dan bukan semasa di peringkat pemeriksaan utama.

Saiful Edris kemudian berkata sekiranya Hakim Datuk Akhtar Tahir yang mendengar kes itu bersetuju dengan bantahan peguam, pihaknya ingin merujuk Seksyen 154 Akta Keterangan sebagai alternatif kepada Seksyen 145.

Peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan pula membantah dengan alasan seksyen itu hanya terpakai ketika saksi ditanya dengan satu soalan yang khusus.

Manjeet Singh dalam pada itu berkata beliau turut dimaklumkan bahawa Ishak dan seorang pegawai polis yang akan memberi keterangan di mahkamah telah pergi ke penjara untuk menemui Suresh pada minggu lepas.

Ishak kemudian menjelaskan bahawa beliau telah pun menghubungi peguambela Suresh, A.S. Dhaliwal memaklumkan mengenai perkara itu dan Dhaliwal berkata beliau (Ishak) mempunyai hak untuk berjumpa dengan Suresh memandangkan anak guamnya itu adalah saksi pihak pendakwaan.

Dhaliwal berkata beliau tidak boleh menghalang Ishak berjumpa dengan anak guamnya tetapi mengingatkan Timbalan Pendakwa Raya itu sekiranya Suresh diganggu beliau akan membuat laporan polis.

"Saya tidak boleh salahkan DPP (Ishak) sepenuhnya kerana beliau telah beritahu kamu. Kamu sepatutnya pergi bersama DPP jika kamu bimbang Suresh akan diganggu. Beritahu anak guam kamu bahawa dia ada hak untuk jumpa atau menolak berjumpa dengan sesiapa," kata Akhtar.

Hakim itu kemudian menetapkan esok untuk kedua-dua pihak berhujah lanjut mengenai permohonan pihak pendakwaan sebelum beliau membuat keputusan.

Lagi pemimpin Umno tak setuju kaitkan Wahabi dengan terorisme

Posted: 25 Jul 2011 04:28 PM PDT




KUALA LUMPUR— Tindakan melabel kumpulan atau individu tertentu termasuk bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang didakwa mengamalkan Wahabi, dengan aktiviti terorisme hanya akan memecahbelahkan umat Islam negara ini, kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Justeru tegas ahli Majilis Tertinggi Umno ini, beliau (gambar) tidak bersetuju dengan tindakan melabelkan orang tertentu sebagai pengamal Wahabi dan kemudian merumuskan mereka sebagai pengganas.

"Saya tidak setuju langkah melabelkan orang tertentu sebagai Wahabi selanjutnya menyebabkan dia dilabelkan sebagai teroris (pengganas).

"Langkah melabelkan ini hanya memecahkanbelahkan umat Islam...dalam Islam ada adab berbeza pendapat, tapi janganlah kerana berbeza pendapat sehingga terbawa-bawa dengan melabelkan seseorang itu sebagai Wahabi atau teroris," kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi kepada The Malaysian Insider.

Ia dilihat sebagai pandangan susulan mempertahankan Asri daripada label sedemikian.

Dalam pandangan yang disiarkan menerusi blognya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin melahirkan pendirian agar Asri dan mana-mana pihak yang dikaitkan dengan amalan Wahabi atau pengganas diberi peluang membela diri bagi menjelaskan kedudukan mereka.

Khairy menegaskan sebarang maklumat yang telah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hendaklah diteliti dan dihalusi secara adil dan amatlah tidak wajar sekiranya pihak yang berkenaan bersifat melulu dengan terus menjatuhkan ketetapan atau hukum tanpa usul periksa dan tidak memberikan peluang membela diri.

"Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa daripada pengamatan serta pengalaman saya bertukar pendapat dengan beliau, saya dapati Dr Asri adalah seorang tokoh cendiakawan Islam yang begitu menonjol dengan pemikiran beliau yang bukan sahaja terbuka, moderat bahkan progresif di dalam usaha memajukan ummah serta usaha-usaha dakwah," kata Khairy.

Laporan media menyebut pihak berkuasa telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme semalam.

Difahamkan mesyuarat yang dihadiri para mufti dan agensi agama telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin popular negara termasuk tokoh agama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Antara nama itu ialah Asri, yang pernah dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.

Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya juga muncul.

Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.

Tambah Saifuddin, beliau berharap mana-mana pihak tidak lagi mengaitkan individu tertentu dengan fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme kerana ia adalah strategi Barat untuk menentang Islam.

"Kita perlu faham bahawa Wahabi adalah fahaman agama yang diamalkan di Mekah dan Madinah. Adakah bermakna umat Islam Malaysia tidak boleh menunaikan Haji?

"Strategi mengaitkan Islam dengan terorisme adalah strategi Barat, kita menentang terorisme tapi kita tidak perlu menggunakan strategi seperti Barat," katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Isu Wahabi sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform "kerajaan dengan kerajaan."

Saifuddin dalam satu jawapan di Dewan Rakyat pada Jun 2010 pernah menyebut bahawa "saya tidak fikir kita sesuai untuk melabelkan organisasi atau individu tertentu dengan Wahabi dan kerana itu dia ada kaitan dengan terrorism."

"Ini dengan izin, 'over stretching the argument'. Oleh sebab itu, saya melihat tidak ada alasan kukuh untuk melibatkan empat orang itu sebagai Wahabi kah, atau terorisme kah," kata beliau merujuk kepada Asri, Hadi, Juanda dan Shahidan.

Isu Wahabi: Khairy pertahan Asri, mahu diberi peluang bela diri

Posted: 25 Jul 2011 04:25 PM PDT




KUALA LUMPUR — Khairy Jamaluddin mahu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mana-mana pihak yang dikaitkan dengan amalan Wahabi atau pengganas diberi peluang membela diri bagi menjelaskan kedudukan mereka.

Ketua Pemuda Umno ini menegaskan sebarang maklumat yang telah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hendaklah diteliti dan dihalusi secara adil dan amatlah tidak wajar sekiranya pihak yang berkenaan bersifat melulu dengan terus menjatuhkan ketetapan atau hukum tanpa usul periksa dan tidak memberikan peluang membela diri.

"Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa daripada pengamatan serta pengalaman saya bertukar pendapat dengan beliau, saya dapati Dr Asri adalah seorang tokoh cendiakawan Islam yang begitu menonjol dengan pemikiran beliau yang bukan sahaja terbuka, moderat bahkan progresif di dalam usaha memajukan ummah serta usaha-usaha dakwah," kata Khairy dalam kenyataan menerusi blognya malam ini.

Khairy (gambar) berkata beliau sungguh terkejut dengan laporan media bahawa kononnya MKN, semasa mesyuaratnya yang telah diadakan pagi tadi, telah mengenal pasti Asri dan beberapa pemimpin agama Islam yang lain sebagai pendokong gerakan Wahabi serta pengganas dan merasakan ia sebagai suatu yang sangat keterlaluan sekiranya laporan ini betul.

Laporan itu dibawa oleh beberapa media petang tadi.

Ini bukan kali pertama dakwaan sedemikian dikenakan ke atas Asri dan telah dibincangkan pada mesyuarat peringkat tertinggi.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menambah, beliau tidak nampak langsung sebarang tindakan atau usaha subversif daripada Asri yang melayakkan beliau untuk dilabel sebagai pengganas.

"Pada pendapat saya, sebarang langkah melulu terutama di dalam melabel serta menjatuhkan hukum kepada pihak-pihak tertentu tanpa penelitian yang mendalam serta memberikan mereka peluang untuk memberi penjelasan adalah suatu yang tidak boleh diterima apatah lagi apabila tuduhan atau label tersebut menyabitkan seseorang atau kelompok tertentu sebagai pengganas," katanya.

Oleh itu tegas Khairy, beliau mahu MKN memberi penjelasan berhubung laporan media yang berkenaan dan sekiranya benar memberi Asri dan mana-mana tokoh agama Islam yang telah disenaraikan sebagai pendokong gerakan Wahabi atau pengganas peluang untuk tampil memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan.

Mens rea TBH: Nazri diminta rujuk kes Altantuya

Posted: 25 Jul 2011 05:24 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz agar merujuk dimana 'mens ria' (motif) pembunuhan Altantuya Shaariibuu sebelum mempertikaikan 'mens rea' pembunuhan Teoh Beng Hock (TBH).

Kit Siang menjawab dakwaan Nazri kononnya beliau gagal membukti motif pembunuhan TBH kerana gagal menyebut motif pembunuhan itu apabila mendakwa 'menyebabkan terbunuh' sama saja dengan 'membunuh'.

Nazri baru-baru ini mempertikaikan kenyataan Kit Siang dengan mendakwa dakwaan Kit Siang terlalu remote dan tidak boleh dipegang.

"Tengok apa yang Lim Kit Siang kata – paksa bunuh diri sama juga dengan membunuh… mana dia belajar undang-undang ini, ia terlalu remote," selar Nazri. "Untuk membukti pembunuhan, ia mesti mempunyai mens rea (motif) dan actus reas (tindakan)… dalam kes Teoh, di mana mens rea?" soal beliau.

Lim berkata, perkataan 'mens rea' menyebabkan beliau teringat kes pembunuhan Altantuya di mana dua pegawai Unit Kawalan Keselamatan Pejabat Perdana Menteri, Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar telah didapati bersalah menggunakan bom C4 untuk membunuh model Mongolia tersebut pada bulan Oktober 2006 dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

"Rakyat Malaysia yang berfikir masih bertanya apa motif pembunuhan Altantuya oleh Azilah dan Sirul...ia membangkitkan banyak persoalan khasnya siapa sebenarnya dalang dalam pembunuhan tersebut dan mengapa dalang tersebut masih bebas?" bidas beliau.

Bagi Kit Siang, dengan mengambil kira benda-benda ngeri termasuk soal siasat SPRM yang kejam dan dipenuhi dengan penyalahangunaan kuasa yang mendorong Teoh untuk membunuh diri seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI), rakyat yang berfikiran waras akan terus menjawab ia adalah satu pembunuhan.

Dalam kenyataannya, Kit Siang juga meminta Nazri mempertahankan kenyataannya yang menyatakan bahawa laporan RCI telah membersihkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawainya.

"Ia nampak seperti Nazri tidak membaca dan menelaah laporan RCI James Foong dengan teliti kerana di dalam laporan itu tidak ada penyataan yang membersihkan SPRM dan pegawainya dalam kematian Beng Hock di pejabat SPRM Shah Alam, 16 Julai 2009.

"Bolehkah Nazri memetik laporan RCI untuk menunjukkan bahawa ia telah membersihkan SPRM daripada sebarang tanggungjawab terhadap kematian Beng Hock?" soal Lim dalam satu kenyataannya hari ini.

Sebaliknya, Lim berkata beliau boleh memetik dua perenggan daripada laporan RCI yang menyatakan bahawa pegawai SPRM perlu bertanggungjawab terhadap kematian Teoh.

Pada perenggan 198, Lim berkata RCI menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap keterangan saksi pegawai SPRM Raymod Nion anak John Timban yang memberitahu RCI bahawa beliau nampak Teoh sedang berehat di atas sofa pada 6am 16 Julai 2009 di luar bilik Nadzri.

"Pada pandangan kami, beliau bukanlah seorang saksi yang berwibawa dan digunakan oleh pihak bertanggungjawab dalam kematian TBH untuk menjauhkan diri dengan memberikan tanggapan bahawa TBH bukan sahaja masih hidup pada 6am pada 16hb tetapi juga tengah berehat secara selesa dan tenang di kerusi sofa luar bilik Nadzri," tulis laporan tersebut.

Di perenggan 201 satu pula, Lim berkata laporan RCI menyatakan bukti yang dikemukakan Raymond seolah-olah dibuat untuk disesuaikan dengan objektif tertentu yang dalam kes ini untuk menyelamatkan pegawai SPRM yang bertanggungjawab terhadap kematian Teoh.

RCI telah menolak bukti beliau sebagai tidak berwibawa dalam aspek bahawa beliau telah melihat TBH pada 6am 16hb.

"Jadi bagaimana Nazri boleh buat kesimpulan bahawa RCI telah membersihkan SPRM daripada tanggungjawab dalam kematian Beng Hock di mana perenggan 198 dan 201 telah menunjukkan bahawa pegawai SPRM bertanggungjawab terhadap kematian beliau," soal Lim, sambil menambah bahawa Nazri perlu membaca laporan RCI itu dengan teliti.

Lim turut menjawab tohmahan bahawa DAP telah mempolitikkan isu kematian Teoh.

"Saya hanya perlu rujuk Nazri kepada laporan RCI TBH yang menyebut bahawa 'kematian dalam tahanan barangkali merupakan jenayah paling teruk dalam dalam masyarakat yang bertamadun yang ditadbir oleh kedaulatan undang-undang"," kata Lim.

Beliau juga menyeru Nazri agar tidak memandang remeh kematian dalam tahanan sama ada kes Teoh, Ahmad Sarbaini Mohamad yang turut didapati tiba-tiba mati di dalam tahanan SPRM dan juga A.Kugan.

Dalam satu temubual dengan Mingguan Utusan, Nazri dilaporkan sebagai berkata bahawa walaupun SPRM perlu membaiki dirinya, namun RCI telah membersihkan daripada tuduhan membunuh dan ini tidak perlu dipersoalkan lagi.

Nazri turut menuduh bahawa pemimpin DAP telah mempolitikkan isu kematian Teoh sehingga mereka tidak dapat menerima keputusan RCI.

Lim turut menjemput Nazri untuk menghadirkan diri pada forum "RCI Teoh Beng Hock – Di mana kebenaran yang dijanjikan?" yang dijadual besok malam di Kuala Lumpur-Selangor Chinese Assembly Hall untuk mempertahankan dan memberikan justifikasi terhadap kenyataan beliau.

Biometrik: Bukan langkah selamat malah sia-sia

Posted: 25 Jul 2011 05:21 AM PDT

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Penggunaan sistem biometrik dalam pilihanraya, terutama bagi proses pengesahan pegundi, bukanlah satu langkah yang baik, tepat dan selamat, malah merupakan usaha yang sia-sia dan membazir.

Untuk membolehkankan pilihanraya di negara ini dilaksanakan dengan bersih dan adil, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) tidak sepatutnya memperkenalkan sistem itu, tetapi menimbang 8 cadangan jawatankuasa Bersih 2.0 yang dikemukakan kepada pihak SPR dan kerajaan baru-baru ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, hanya dengan menerima cadangan itu, semoga imej dan integriti pemerintah dan SPR di mata dan hati rakyat Malaysia dapat dipulihkan.

Menurut beliau, setiap sistem teknologi maklumat yang memerlukan pengesahan aplikasi sistem akan merujuk kepada pengkalan data.

Katanya, SPR telah diketahui umum telah lama menggunakan aplikasi teknologi maklumat untuk menyimpan maklumat pengundi di dalam pengkalan data.

"Malah maklumat daftar pengundi boleh dicapai oleh setiap pengundi secara 'online' dengan menggunakan kekunci unik seperti nombor kad pengenalan untuk aplikasi sistem SPR itu mengarahkan capaian maklumat pengundi daripada pengkalan data SPR.

"Rakyat tahu masalah utama aplikasi sistem teknologi maklumat SPR bukanlah pada aplikasi itu, tetapi data atau maklumat yang berada di dalam pengkalan data SPR," katanya ketika dihubungi hari ini bagi mengulas cadangan SPR untuk memperkenalkan sistem biometrik dalam pilihanraya.

Menurut beliau, dalam konteks SPR, hanya SPR sahaja yang tahu siapa yang bertanggungjawab untuk memasukkan dan mengemaskinikan data atau maklumat tersebut di dalam pengkalan data.

Data atau maklumat di dalam pengkalan data, katanya, tidak boleh berubah dengan sendirinya. Sebaliknya, ia hanya boleh berubah dengan tindakan manusia yang menggunakannya.

"Siapa yang menggunakannya? Anda tahu siapa? Kalau SPR tahu bahawa masalah utama adalah integriti data atau maklumat bukanlah kerana aplikasi capaian teknologi maklumat atau sistem maklumat itu, kenapa sistem biometrik dicadangkan?

"Sistem biometrik juga adalah sebuah aplikasi teknologi maklumat atau sistem maklumat seperti aplikasi yang digunakan sekarang, cuma perbezaannya adalah cadangan baru itu menggunakan 'hardware' atau perkakasan serta perisian dan bukan 'software' atau perisian semata-mata untuk capaian data atau maklumat pengundi dari pengkalan data seperti yang digunakan hari ini," ujarnya.

Sebagai contoh, katanya, sistem biometrik yang menggunakan cap jari akan bertindak sebagai kunci unik seperti nombor kad pengenalan untuk capaian data atau maklumat daripada pengkalan data.

"Setiap rakyat Malaysia mempunyai nombor kad pengenalan unik dan boleh dipadankan dengan cap jari yang juga unik. Sepertimana maklumat nombor kad pengenalan yang perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan maklumat pengundi dicapai (nama penuh, alamat, tempat mengundi dan sebagainya), cap jari juga perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan capaian itu dilakukan.

"Sepertimana didapati terdapat nombor kad pengenalan yang sama tetapi mempunyai tempat mengundi yang berbeza (pelbagai lokasi), cap jari juga boleh dipadankan dengan tempat mengundi yang berbeza selagimana nombor kad pengenalan dan cap jari yang sama dimasukkan oleh SPR ke dalam beberapa rekod (tempat mengundi dan alamat) yang berbeza, keputusan daripada sistem biometrik juga akan menghasilkan senarai pengundi yang boleh mengundi di beberapa lokasi mengundi," kata Nasrudin (gambar).

Oleh itu, menurutnya, isu ketelusan dan pengundi hantu bukanlah kerana aplikasi capaian (perkakasan atau/dan perisian). Jadi, apa perlu ia ditukarkan jika prosesnya sama? Pertukaran lebih dilihat hanya dari aspek kosmetik luar.

"Jawapannya adalah tidak perlu. Siapakah lagi yang akan mendapat habuan dari kegawatan ini melalui cadangan sistem biometrik itu?

"Secanggih manapun aplikasi capaian teknologi maklumat atau sistem maklumat itu (perkakasan atau perisian, biometrik (cip/kad Id, suara, pengesahan ibu jari atau mata), jika data atau maklumat yang sedia ada di dalam pengkalan data tidak dibersihkan, tidak dikawal dan diurus selia secara bebas oleh badan yang bebas serta dipercayai rakyat akan ketelusan mereka, saya tidak melihat sumbangan sistem biometrik itu kepada 'ketelusan' itu khususnya penyelesaian kepada solusi isu pengundi hantu.

"Malah manipulasi sistem biometrik boleh dilakukan kepada pengkalan data. Biometrik boleh mencegah penipuan pilihanraya, Biometrik juga boleh digunakan untuk menipu pilihanraya," tegas beliau.

Niat jahat burukkan DAP terbongkar

Posted: 25 Jul 2011 05:15 AM PDT

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Tindakan seorang bekas ahli DAP yang menyertai pertubuhan perkauman Perkasa telah membuktikan niat jahat penyertaannya dalam DAP semata-mata untuk membuat fitnah terhadap parti yang memperjuangkan keadilan untuk semua kaum.

Mohamed Razali Abdul Rahman yang menyertai DAP daripada UMNO selepas pilihan raya umum 2008 telah mencetuskan kontroversi apabila beliau membuat laporan polis berkenaan isu hangat mainan Utusan Malaysia yang menuduh DAP cuba menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia.

Bagaimana pun, laporan polis beliau sehingga hari ini tidak ditunjukkan kepada umum walau pun menerima tekanan dari pelbagai pihak supaya menonjolkan "kebenaran" beliau berikutan berita palsu dan hasutan Utusan Malaysia.

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari berkata keputusan Mohamed Razali menyertai Perkasa tidak mengejutkan sama sekali kerana ia mendedahkan sikapnya yang perkauman serta suka lompat parti.

"Dahulu masuk UMNO, dan kemudian apabila hadapi masalah dengan UMNO, dia lari masuk DAP kerana ingat boleh dapat habuan apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang. Sekarang masuk Perkasa pula," katanya kepada Roketkini.

Utusan sebagai lidah rasmi UMNO dan Perkasa hari ini dengan gambar besar bertajuk "Bekas ahli DAP minta maaf, sertai Perkasa" menunjukkan Razali menyerahkan borang keahlian Perkasa.

Mohamed Razali dilaporkan berkata, penyertaannya ke dalam pertubuhan ultra Melayu itu bertujuan untuk membongkar "rahsia DAP" kepada orang Melayu.

Sehubungan itu, Zairil berkata, Mohamed Razali bebas untuk "membongkarkan" apa sahaja kerana DAP yakin dengan amalan cekap, akauntabel dan telus yang diterima ramai rakyat Malaysia.

"Bongkarkan sahaja. Apa yang bakal dibuatnya akan sekali lagi tidak berakal dan kelihatan sebagai fitnah semata-mata.

"Namun, tindakan menikam dari belakang melalui fitnah dan tohmahan ke atas DAP menunjukkan bahawa beliau hanya seorang yang sanggup menjual maruahnya kepada sesiapa yang sanggup membeli," katanya.

Beliau menambah DAP tidak rugi apa-apa dengan ahli yang opportunis dan perkauman.

"Ramai lagi ahli-ahli DAP di peringkat akar umbi termasuk dari kalangan orang Melayu yang jujur dan ikhlas. Mereka inilah tonggak perjuangan DAP, bukannya orang-orang yang rakus dan gila pangkat serta kedudukan," katanya.

Kesalahan yang sama, kesilapan yang berulang-ulang.

Posted: 25 Jul 2011 05:11 AM PDT

Oleh Kedambore


Beberapa isu tentang perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu masih terus diperkatakan, baik dari pihak penganjur, orang awam, polis atau kerajaan sendiri.

Antaranya kes kematian pejuang Bersih iaitu Allahyarham Baharudin Ahmad yang disahkan oleh doktor berpunca dari serangan jantung. Tetapi laporan lengkap hasil bedah siasat itu masih belum didedahkan.

Adalah pelik, sesudah punca kematian disahkan sebagai serangan jantung, mengapa hingga kini masih belum ada laporan bertulis mengenainya?

Kemudian timbul berita yang mengatakan bahawa Allahyarham tercedera dan tiga tulang rusuknya patah. Kenyataan dari pihak Kementerian Dalam Negeri pula dalam kenyataannya mendakwa bahawa mungkin ia berpunca dari rawatan cardiopulmonary resuscitation (CPR).

"Mungkin" dalam hal ini menunjukkan ia sesuatu yang belum pasti. Dan yang berhak memastikannya bukanlah polis, sebaliknya pihak doktor atau hospital, apatah lagi "mungkin" itu masih belum ada laporan lengkap dan rasmi. Maka di sini, polis sudah membuat spekulasi.

Soalannya, bagaimana polis boleh membuat spekulasi? Ini amat berbahaya kerana yang mengeluarkan kenyataan itu adalah seorang pegawai yang mewakili badan rasmi dan penting dalam negara kita.

Kegopohan pihak kerajaan membuat spekulasi sebegini amat tidak profesional dan ia menunjukkan bahawa mereka sangat terdesak hingga melupakan garis kuasa dan etika professionalismenya. Kredibiliti polis dan Kementerian Dalam Negeri terjejas dan buruk sekali.

Cuba bayangkan jika pemimpin Pakatan Rakyat yang membuat kenyataan "mungkin" seperti itu. Pasti mereka sudah dituduh mengada-adakan cerita yang belum disahkan. Malah pemimpin Pakatan Rakyat akan ditangkap dan diheret ke mahkamah. Dan beberapa orang sudah pun ditangkap polis atas tuduhan-tuduhan yang pelik dan ganjil serta tidak munasabah.

Inilah gaya polis dan kerajaan Malaysia. Mereka boleh berbuat apa saja yang mereka suka.

Gambar dan manipulasi

Tuduhan yang mengatakan Bersih memanipulasi gambar dan video di Youtube dengan niat memberi imej buruk terhadap pihak kerajaan dan polis juga tidak masuk akal, ia hanyalah "manipulasi" kerajaan.

Pertama, apa yang telah dirakam dan di siarkan itu adalah kebenaran yang dirakam secara spontan oleh peserta perhimpunan itu. Malah sebelum menyertai perhimpunan itu lagi pihak penganjur Bersih sudah menasihatkan agar sesiapa yang mempunyai kamera atau apa saja alat rakaman, mesti merakam kejadian itu.

Tujuannya bukan untuk manipulasi, sebaliknya ia penting sebagai bahan bukti. Bukankah polis memerlukan bahan bukti jika ada pertuduhan atau dakawaan? Jadi mengapa pula semua ini mereka tuduh sebagai memanipulasi rakaman audio visual?

Lihat bagaimana permainan kerajaan dalam isu "manipulasi" ini.

Kita semua tahu bahawa bukti rakaman itu bukan untuk memburuk-burukkan kerajaan atau polis, sebaliknya ia sebagai bahan bukti jika wujud sebarang kejadian salah guna kuasa atau keganasan oleh mana-mana pihak termasuk polis sendiri.

Tetapi apa yang berlaku amat pelik. Seolah-olah, apa saja yang kita buat, semuanya salah. Ada bukti salah, tak ada bukti pun salah.

Kedua, Berita Harian dalam edisi mingguan pada muka depan yang disiarkan pada sehari selepas perhimpunan Bersih, telah memaparkan gambar besar yang menggambarkan seorang peserta perhimpunan aman membawa senjata pisau.

Tetapi mujur, yang ampunya diri mendedahkan bahawa yang dikatakan pisau itu adalah bendera Malaysia, Jalur Gemilang, yang sedang dipegangnya. Pendedahan ini disertakan dengan bukti dan dokumentasi bagi menjelaskan apakah alat sebenar yang dikatakan senjata "pisau" itu

Berita Harian sebaliknya diam membisu dan langsung tidak meminta maaf kepada rakyat atas pembohongan itu.

Jadi dalam hal ini, siapakah yang sebenarnya memanipulasi gambar?

Sudah banyak terjadi di Malaysia, UMNO dan BN yang menuduh, mereka itulah yang buat.

Lihat saja kes tuduhan komunis dan cauvinis ke atas DAP, tetapi UMNO sendiri yang membuat hubungan rapat dengan parti komunis di China.

Tuduhan Anwar meliwat dan melakukan zina, tetapi hingga hari ini gagal dibuktikan. Tetapi semua tahu bahawa Rahim Thamby Chik dan beberapa orang pemimpin UMNO pernah 'kantoi'.

Tuduhan demi tuduhan

Kini muncul lagi berita yang menuduh para peserta perhimpunan Bersih sengaja berlakon, kononnya Mohamad Sabu yang patah kaki dihimpit kerea polis didakwa berlakon, Anwar Ibrahim yang jatuh dan dirawat di hospital bersama pengawal peribadinya yang dicederakan didakwa berlakon, Lim Kit Siang yang menjadi salah seorang mangsa pertama ditembak gas pemedih mata pun didakwa berlakon.

Skrip UMNO-BN semakin tak keruan. Ada yang kata Bersih itu revolusi Anwar, ada yang dakwa Bersih ditaja oleh Kristian, komunis, Yahudi dan entah macam-macam lagi. Silap-silap ada pula yang mungkin menuduh Bersih ditaja oleh syarikat pengutip sampah.

Semua gambaran tentang Bersih ini amat buruk dan jijik sekali. Yang menuduh pula mungkin menganggap diri mereka yang paling maksum dan baik.

Malah ada pula yang bijak mengatakan "jika FRU itu ganas, pasti ramai orang yang masuk hospital". Kenyataan ini bukan menunjukkan polis atau FRU itu baik, sebaliknya mengesahkan bahawa memang wujud keganasan, tidak kira kepada seorang, dua orang, atau sepuluh orang. Keganasan tetap satu keganasan.

Bertambah besar bohong ialah apabila selepas perhimpunan Bersih, polis dan menteri menafikan sekeras-kerasnya bahawa terdapat serangan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin walau pun beratus-ratus orang yang berada di tempat kejadian dan ramai pula yang menjadi mangsa gas itu adalah saksi-saksi.

Makna di sebalik tuduhan dan penafian

Melihat dari "persembahan" polis tentang Hospital Tung Shin ini, kita sebagai rakyat biasa, amat sukar untuk menerima penafian bagi kes-kes yang lain.

Jika polis dan kerajaan membenarkan perhimpunan aman Bersih ini berjalan sepertimana yang telah dirancang, dan disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong, pasti semua dakwaan, kematian dan kecederaan dapat dielakkan.

Malah kredibiliti pihak polis tidak akan terjejas, sebaliknya bertambah baik.

Keadaan ini menyamai dengan kes TBH, apa salahnya jika mendiang disiasat elok-elok dan berhati-hati mengikut peraturan dan budi bicara yang baik. Pasti Polis dan SPRM tidak akan melakukan kesilapan yang sama dan berulang-ulang.

Namun di negara di mana kerajaan menganggap minta maaf sebagai satu kelemahan, kesalahan yang dilakukan pihak berkuasa sering ditutup. Yang ada cuma menteri yang bernama Rais Yatim yang mahu menayang video polis yang telah disunting untuk menunjukkan "kebaikan" polis sahaja, secara berulang-ulang di kaca TV.

Rais nampaknya masih menyangka dunia ini dibahagikan oleh blok Komunis dan blok Barat sewaktu zaman Perang Dingin. Mungkin Rais tidak sedar bahawa sudah ada teknologi yang bernama internet, telefon bimbit dan sebagainya. – Roketkini.com

Komisyen Scorpene, individu ketiga didedah semasa perbicaraan

Posted: 25 Jul 2011 05:03 AM PDT

Oleh: Sidiqin Omar



KUALA LUMPUR: Komisyen ketiga pembelian kapal selam Scorpene yang dibayar 'pegawai peringkat tinggi' kerajaan Malaysia akan didedahkan ketika perbicaraan rasuah itu di mahkamah Perancis, September ini.

Pengarah Suara Rakyat Malaysia(Suaram), Cynthia Gabriel sebelum ini mendedahkan bukti baru bahawa komisyen ketiga itu dibayar lebih besar daripada sebelumnya kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, yang berjumlah RM540 juta.

Perimekar dimiliki sepenuhnya Ombak Laut, syarikat Abdul Razak Baginda iaitu kenalan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terlepas dari hukuman gantung kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Penyiasat persendirian yang pernah bertugas dengan Abdul Razak, P Balasubramanian pernah mendedahkan dalam akuan bersumpahnya yang Najib mempunyai hubungan dan turut terlibat dengan pembunuhan itu.

Cynthia ketika dihubungi berkata, perbicaraan di mahkamah Perancis itu juga dijangka mendedahkan individu ketiga yang menaiki penerbangan ke Macau pada 2002.

Individu 'misteri' itu bersama Abdul Razak dan Altantuya dikesan menaiki pesawat ke pulau itu bagi urusan pembelian kapal selam berkenaan.

"Melalui mahkamah kita dibenarkan untuk akses kepada dokumen syarikat yang menjalankan urusniaga," kata Cynthia kepada Keadilandaily.

Menurutnya, Mahkamah Perancis semakin 'meunjukkan minat' dalam kes itu ekoran pentadbiran Najib menghantar pulang peguam Wiliam Bourdon yang mengendalikan kes rasuah berkenaan.

"Seperti rakyat Perancis yang terkejut dengan penghantaran pulang William Bourdon, kini mahkamah di negara itu semakin berminat dengan kes ini. Kecenderungan ini sama ditunjukkan oleh mahkamah Perancis seperti kes di Pakistan," kata Cynthia.


Media antarabangsa sebelum ini melaporkan 11 jurutera Perancis mati dalam serangan bom di Karachi pada 2002. Kejadian tersebut didakwa berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class.

"Jelas ada perkara sulit yang sangat-sangat ingin disembunyikan Najib sampai sanggup 'menendang keluar peguam hak asasi William Bourdon.

"Suaram juga sedang memikirkan tindakan lanjut akibat keputusan kerajaan tempoh hari," sambung Cynthia.

Dalam pada itu, beliau tidak pasti sama ada penghantaran pulang William merangkumi arahan sebagai 'persona non-grata' iaitu individu yang dihalang dari memasuki Malaysia, atau pun larangan kemasukan bersifat sementara.

"Itu kena tanya Hishamuddin (Menteri Dalam Negeri). Mereka menghalau William tanpa asas yang jelas. Namun, kami akan undang lagi beliau ke Malaysia.

"Apa yang menjadi isu ialah imej Malaysia tercemar teruk. Penduduk di Eropah terkejut dengan tindakan kerajaan dan semakin tertarik untuk terus mengikuti kes ini," katanya.

Justeru, Cynthia mengalu-alukan sumbangan berterusan rakyat Malaysia kepada Suaram untuk membiayai kes perbicaraan di mahkamah Perancis yang bakal bermula September ini.

Biometrik: Penipuan besar, manipulasi SPR- Azmin

Posted: 25 Jul 2011 05:02 AM PDT

Oleh: Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali menegaskan Pakatan Rakyat menolak sistem biometrik kerana ia mendatangkan masalah besar dan terdedah kepada manipulasi ketika pilihan raya.


"Cadangan untuk melaksanakan sistem biometrik untuk pilihanraya ke-13 tidak menyelesaikan masalah pengundian berganda. Malah, ianya terdedah untuk dimanipulasi," kata Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pusat KEADILAN.

Menurutnya lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya bertindak secara bebas dalam menjamin pilihan raya bersih dan bukannya mengikut telunjuk kerajaan pimpinan Umno-BN.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan kehairanan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang beriya memberi peruntukan kepada SPR bagi melaksanakan sistem itu.

"Saya hairan, kenapa Perdana Menteri beriya-iya sangat memberikan peruntukan sistem yang tidak menjamin pilihan raya bersih ini"

"Melainkan ia menjurus kepada penipuan yang lebih besar, sebab itu disokong?," katanya ketika dihubungi keadilandaily.

Tambah beliau, peruntukkan kepada SPR itu sepatutnya disalurkan untuk perkara yang lebih efektif dalam menjamin pilihan raya telus seperti menambah kakitangan dan pegawai yang lebih bebas.

Ini kerana sebelum ini, petugas SPR terdiri di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan yang bukan merupakan individu bebas.

"Institusi SPR itu sendiri perlu dikukuhkan dan menambaikkan lagi sistem yang ada," ujar beliau yang sebelum ini pernah mendedahkan mengenai kewujudan pengundi hantu di rumah ibunya.

Dalam pada masa sama, Azmin turut ditanya berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi SPR,Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa SPR tidak dapat mengeluarkan nama pengundi hantu dari daftar pemilih, tanpa pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Jika dia boleh masukkan nama (dalam daftar pemilih) takkan dia tak boleh keluarkan? Adakah kemasukan pengundi (hantu) di rumah ibu saya sebelum ini mendapat pengesahan JPN? jika benar saya cabar Wan Ahmad agar buktikan," ujarnya.

PAS: Rais Yatim ketinggalan zaman

Posted: 25 Jul 2011 04:22 AM PDT

Idris Ahmad


Geli hati apabila membaca seruan Rais Yatim supaya rakyat hanya melihat video BERSIH 2.0 yang ditayang oleh Polis Diraja Malaysia. Selepas ini mungkin Menteri Penerangan ini akan mencadangkan rakyat Malaysia hanya membaca Utusan Malaysia sahaja, kerana akhbar lain semunya tidak benar.

Saranan beliau di zaman ini untuk memaksa rakyat hanya mempercayai apa yang disiarkan oleh PDRM dan media kerajaan, sama seperti pepatah Arab "kamu boleh paksa kuda pergi minum air, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda minum air".

Macam mana beliau yang memegang Kementerian ini tidak menyedari zaman revolusi maklumat.

Sekarang bukan zaman media yang wujud ketika beliau menjadi Timbalan Presiden Parti Semangat 46. Sekarang ialah zaman lebuhraya maklumat yang begitu pantas.

Tentu beliau masih ingat ketika isu tengkolok Tengku Razaleigh yang diputar belit oleh media mengatakan Tengku Razaleigh telah murtad kerana memakai lambang salib, sehingga pengundi Melayu telah menolak Parti Semangat 46 beberapa hari dalam pilihanraya tahun 1990.

Zaman penipuan media yang dimonopoli oleh kerajaan BN sudah berlalu. Kita mengharapkan Rais Yatim juga bergerak sealiran dengan zaman sesuai dengan kementerian yang beliau ketuai.

Jangan dikatakan orang menteri yang jaga mengenai komunikasi tidak bergerak mengikut peredaran zaman.

*Kenyataan media oleh Idris Ahmad (gambar kiri) selaku Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Tiket Malaysia temu Singapura dijual 9 pagi esok

Posted: 25 Jul 2011 04:21 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Tiket untuk perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 antara Malaysia dan Singapura akan dijual mulai pukul 9 pagi esok hingga hari perlawanan pada Khamis ini.

Perlawanan dijadual bermula pukul 8.45 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Menurut kenyataan laman web Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, tiket mulai dijual hingga 27 Julai dari 9 pagi hingga 7 malam di Pintu Utama, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pintu A, Stadium Shah Alam.

Sementara penjualan dan penebusan tiket dibeli secara dalam talian boleh dibuat di Pintu Kuning, Stadium Nasional Bukit Jalil hingga hari perlawanan, lapor Bernama Online.

Tiket terbahagi kepada tiga kategori iaitu RM50 untuk tempat duduk utama (grand stand), RM30 (terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Peminat-peminat yang ingin membeli tiket secara dalam talian boleh berbuat demikian melalui laman web www.tickethotline.com.my

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia sejak pertama kali beraksi dalam pusingan Kelayakan pada 1974 di Jerman.

Pusingan akhir Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil.

Tiada ulasan: