SIASAH |
Apa jaminan biometrik bebas manipulasi? Posted: 25 Jul 2011 07:07 AM PDT Oleh IBNU AHMAD Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, akhirnya bersuara menyatakan akan mengimplementasikan sistem biometrik untuk perjalanan proses pilihan raya di Malaysia. Sistem biometrik ini, sekalipun belum diperincikan, tentunya kedengaran menarik dan mengujakan rakyat Malaysia secara amnya. Sebelum kita pergi lebih jauh menerobosi kebarangkalian kejayaan yang bakal dicapai melalui sistem yang mengujakan ini, eloklah kiranya kita menahan gejolak nafsu kita yang sangat teruja dengan kita menggariskan beberapa perkara yang seharusnya menjadi pokok perbincangan, iaitu, masalah semasa yang dihadapi, gerak kerja inisiatif sendiri oleh parti-parti bertanding, matlamat yang ingin dicapai, dan cara atau sistem yang bakal digunakan. Masalah semasa yang dihadapi Salah satu masalah utama yang menghantui parti-parti politik di Malaysia, terutamanya parti-parti di luar koalisi Barisan Nasional adalah kewujudan pengundi hantu (phantom voters, dengan izin) yang berada dalam proses pilihan raya di Malaysia ini. Dalam membincangkan masalah ini, adalah wajib untuk memahami bentuk kewujudan pengundi hantu yang disebut-sebut ini. Pengundi hantu wujud dalam beberapa keadaan, sama ada dalam keadaan yang disengajakan ataupun tidak: 1. Pengklonan data pemilih Seseorang pemilih didaftarkan secara lebih daripada sekali sama ada melalui pertukaran alamat, pertukaran aksara-aksara tertentu dalam rekod pengenalan ataupun sekadar dengan meletakkan rekod individu yang sama di kawasan-kawasan pengundian yang berbeza. 2. Pengekalan kewujudan pemilih yang hilang kelayakan Pemilih boleh hilang kelayakan melalui pelbagai cara. Salah satunya akibat kematian dan penghijrahan ke luar negara yang membatalkan kewarganegaraan seseorang pemilih. Sungguhpun demikian, terdapat keadaan-keadaan yang menunjukkan rekod pemilih yang hilang kelayakan ini kekal berada dalam daftar pemilih semasa yang digunapakai pada hari pengundian dan "diwakili" oleh pemililh yang lain. 3. Pemindahan pengundi ke kawasan-kawasan pemilihan yang lain Wujud juga keadaan pemilih dipindahkan dari satu pusat pemilihan ke satu pusat pemilihan yang lain. Wujud dakwaan bahawa pemindahan ini dilakukan oleh semua parti yang bertanding dengan tujuan untuk menguatkan pengaruh dan mempengaruhi keputusan pemilihan. Nah, isu pengundi hantu bukan sekadar pengundi yang tidak tinggal di kawasan pengundian tertentu, dan hanya pulang pada hari pengundian seperti yang dinyatakan oleh pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini malahan juga akibat daripada manipulasi ke atas daftar pemilih dengan cara-cara yang tidak hanya terhad kepada yang di atas. Tindakan SPR menyatakan bahawa pengundi hantu adalah sekadar pengundi yang tidak menghuni di kawasan pengundian yang telah didaftarkan namanya hanyalah merupakan helah yang dibuat supaya fokus sebenar dapat dilarikan daripada isu duplikasi dan pengklonan yang telah dilakukan (dengan sengaja) ini. Perlu difahami, bahawa kewujudan pengundi hantu dalam keadaan 1 dan 2 adalah sangat jahat dan merupakan satu bentuk pengkhianatan yang ketara kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini kerana, dalam keadaan 1 dan 2, hak untuk memilih ditambahkan daripada satu kepada beberapa hak, berbanding dengan keadaan 3 di mana hak pemilihan kekal kepada satu hak sahaja. Seandainya anda beranggapan satu undi daripada seorang pemilih yang tidak seharusnya berada di dalam lokaliti tertentu itu satu pengkhianatan, maka anda perlu setuju bahawa penambahan hak pengundian kepada seseorang pemilih adalah merupakan pengkhianatan yang lebih dahsyat. Inisiatif sendiri oleh parti-parti bertanding Sebilangan parti politik yang bertanding ada menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mengesan kewujudan pengundi hantu dalam kawasan pemilihan masing-masing. Proses yang selalunya dinamakan "culaan" ini selalunya merupakan proses "2 dalam 1" dengan pola pengundian diramalkan berdasarkan pemerhatian oleh pegawai-pegawai parti yang dilatih. Selain itu, proses culaan ini secara langsung akan mendedahkan jumlah pengundi di satu-satu alamat dalam sebuah lokaliti dan bahagian pemilihan. Sungguhpun begitu, perlu diakui bahawa proses culaan ini merupakan suatu proses yang jerih dan memenatkan selain memerlukan tenaga kerja yang banyak dalam melatih dan menyusun gerak kerja proses culaan ini. Kemajuan teknologi maklumat juga telah digunakan membantu kerja-kerja culaan, namun "physical check" masih juga diperlukan untuk memastikan ketepatan data melalui teknologi maklumat. Matlamat yang ingin dicapai Perkara paling utama yang ingin dicapai menerusi pendedahan dan perbincangan ini adalah untuk menghapuskan kemungkinan penambahan hak pengundian dalam proses pilhan raya di negara ini. Maka, ia bukan sekadar mengawal, memantau, mengurangkan atau menghapuskan pengundi hantu yang hanya ditakrifkan dalam keadaan 3 di atas. Nah, sekarang jelas kelihatan bahawa SPR tidak membei tumpuan pada menghapuskan kecacatan dalam senario 1 dan 2, tetapi mengalihkan fokus kepada perkara yang kurang memberikan impak iaitu senario 3. Sungguhpun mereka mengatakan bahawa matlamat sistem biometrik yang ingin diimplementasikan adalah menghapuskan pengundi hantu, tetapi ramai yang terperangkap bahawa tafsiran pengundi hantu mereka hanya sekadar senario 3, dan sekadar memejamkan mata kepada senario 1 dan 2 yang lebih memberi impak. Perlu diingat, senario 1 dan 2 juga adalah merupakan tafsiran pengundi hantu yang wajib diberi perhatian. Pra-penilaian ke atas sistem yang bakal digunakan Maka, sekarang masanya untuk menilai kemungkinan kejayaan program "penambahbaikan" yang dicadangkan oleh SPR ini. Seandainya sistem biometrik digunapakai, mampukah ia diharapkan untuk mencapai matlamat tersebut? Sebelum kita menjawabnya, ada baiknya kita bincang dahulu tentang sistem ini. Sistem biometrik, seperti namanya memang amat mengujakan. Ditambah pula dengan kejayaan beberapa sistem kurang kritikal (jika dilihat dalam skop sebuah negara) seperti yang diamalkan oleh beberapa syarikat swasta dan juga agensi kerajaan, maka harapan yang diletakkan adalah teramat tinggi untuk menghapuskan masalah yang dibincangkan tadi. Sistem biometrik secara amnya akan menggunakan jalur-jalur maklumat biologi seperti cap jari, cap tapak tangan, suara, bentuk tulang wajah, bentuk iris mata, geometri tangan, DNA, dan sebagainya akan digunakan sebagai medium pemadanan. Seandainya berlaku pemadanan terhadap salah satu atau gabungan daripada jalur-jalur maklumat ini, maka pemilih akan diberi lampu hijau untuk mengundi. Seandainya pemadanannya gagal, maka pemilih akan dihalang daripada meneruskan hasrat untuk mengundi. Nah, jika demikian sekali potensi kejayaan sistem biometrik ini, mengapa harus ia dibangkang dan ditentang? Tidakkah tindakan membantah dan menentang ini menunjukkan jumudnya pemikiran pihak-pihak ini dan merupakan langkah ke belakang menolak kemajuan sistem teknologi maklumat berasaskan jalur bioloogi ini? Kuno sungguh pemikiran mereka! Saya tidak berhasrat untuk menyentuh soal kos sebagai asas utama penolakan ini. Seandainya ia adalah benar-benar untuk kebaikan Malaysia, kos bukan satu alasan yang harus dipertimbangkan jika ada kemampuan. Kalau bukan soal kos, apa masalahnya? Izinkan saya menjelaskan asas penentangan perlaksanaan sistem ini. Perlu difahami, sistem biometrik ini bergantung kepada jalur maklumat yang diperlukan, akan memerlukan satu proses "pendaftaran." Dalam proses pendaftaran ini, setiap seorang dari pemilih yahg layak perlu "didaftarkan" jalur maklumat biologinya ke dalam satu pangkalan data. Contohnya, Encik Ahmad bin Abu seorang pemegang kad pengenalan Malaysia yang sah bernombor 721230-XX-XXXX yang mengundi di lokaliti 252/78/49/053. Encik Ahmad bin Abu perlu hadir ke pejabat pengurusan pangkalan data untuk direkodkan segala jalur maklumat biologinya. Di sana, rekod cap jari, cap tapak tangan, suara, bentuk tulang wajah, bentuk iris mata, geometri tangan, DNA, dan sebagainya akan direkodkan. Berapa masa yang diperlukan untuk merekodkan seorang pemilih? Berapa juta pemilih yang layak untuk kekal berada di daftar pemilih seluruh Malaysia? Mungkin ada yang mengatakan pula, seandainya kos bukan menjadi perhitungan, maka masa juga tidak harus diperhitungkan demi kebaikan negara. Baik, saya setuju dengan pendapat itu. Di sini masalah utamanya. Sepanjang melalui proses "pendaftaran" itu, ada kemungkinan wujud kesilapan manusia dalam menjalankan proses tersebut. Apa jaminan bahawa proses "pendaftaran" itu tidak akan silap? Mungkin pula ada yang akan menjawab, kita akan wujudkan proses semakan dan pengesahan sebelum Encik Ahmad bin Abu melangkah keluar dari pejabat pengurusan pangkalan data tersebut. Baik, itu adalah semakan dan pengesahan untuk pendaftaran yang sah, apa pula jaminan bahawa sistem jalur maklumat Encik Ahmad bin Abu ini tidak digunakan juga untuk Encik Rostam bin Khalid yang sebenarnya tidak wujud dan diberikan kad pengenalan yang luarannya (kecuali gambar) milik Encik Rostam bin Khalid, tetapi padanan di dalamnya sama seperti padanan untuk kad pengenalan bernombor 721230-XX-XXXX dan diberikan kepada Encik Ahmad bin Abu? Maka, Encik Ahmad bin Abu akan mempunyai dua hak memilih, satu di bawah nama yang sah Ahmad bin Abu dan satu lagi dibawah nama fiksyen Rostam bin Khalid. Itu sekadar kemungkinan yang berlaku di dalam proses "pendaftaran." Bagaimana pula keadaannya pada hari pengundian? Encik Baba bin Alang Jaafar pemegang kad pengenalan bernombor 810513-XX-XXXX mungkin tidak mendapat padanan yang baik akibat kegagalan pengesahan sewaktu proses "pendaftaran" tempoh hari. Beliau juga berdepan dengan risiko gagal mendapat padanan akibat cap jari yang sudah rosak, iris mata yang berubah akibat pembedahan, suara yang berlainan padanan akibat batuk teruk yang berlanjutan, maka akan perlu wujud suatu keadaan manual override akan diperlukan. Bagaimana pula manual override ini akan dilakukan? Bagaimana pemantauan ke atasnya? Siapa yang mempunyai autoriti untuk menjalankannya? Apa jaminan manual override ini tidak dimanipulasi dan disalahguna? Mari kita lihat bagaimana pula keadaannya seandainya dakwat kekal yang digunapakai. Dalam penggunaan dakwat kekal, seseorang pengundi yang ingin melepasi satu peringkat pemeriksaan kelayakan akan ditandakan dengan sejenis dakwat yang sukar dihilangkan kecuali selepas beberapa hari. Maka, seandainya agen tempat mengundi (polling agent) melihat seseorang yang telah ditandai jarinya mencuba untuk mengundi lagi, maka ia akan dihentikan dan pengundi tersebut akan dinafikan hak mengundi kali kedua yang sememangnya tidak sah. Penutup Dakwat kekal tidak perlu kepada proses "pendaftaran" jalur biologi dan tidak terdedah kepada manipulasi pangkalan data tetapi secara mudahnya mampu menangani masalah yang timbul akibat usaha jahat tersebut. Nilaikanlah. Dengan kos yang begitu minimal, kita juga berpotensi mencapai matlamat yang dibincangkan. Tidak perlu berbelanja besar berbillion-billion yang terdedah kepada kesilapan dan manipulasi yang hanya berpotensi untuk menggagalkan senario 3 dan membiarkan senario 1 dan 2 terus berjalan dan memberikan kelebihan kepada pihak tertentu. Ibnu Ahmad ialah aktivis PAS Selangor, dan terlibat dalam kerja-kerja pilihan raya umum. |
Saifuddin Abdullah gesa kerajaan ambil berat tuntutan Bersih Posted: 24 Jul 2011 06:31 PM PDT Saifuddin Abdullah, timbalan menteri Pengajian Tinggi terus menunjukkan pendirian politik yang kontroversi dalam kalangan parti pemerintah apabila menggesa tuntutan Bersih 2.0 diambil berat oleh kerajaan. Beliau yang menulis dalam akhbar Sinar Harian hari ini menegaskan demikian dalam tulisannya bertajuk Pandangan Alam Politik yang Bijaksana. Dalam tulisannya yang positif terhadap perubahan yang sering dinilai sebagai politik baru itu, Saifuddin menjelaskan transformasi politik perlu berlaku selepas 9 Julai, tarikh protes besar-besaran Bersih 2.0. "Apa selepas 9 Julai? Jawabnya ialah transformasi politik - mengandungi pandangan alam politik yang bijaksana, inovasi demokrasi, pemikiran politik progresif dan komunikasi politik terbaik," tulis Saifuddin. Ahli Parlimen Temerloh itu ialah penulis buku Politik Baru: Mematangkan Demokrasi Malaysia, yang membawa fahaman politik yang lebih terbuka inklusif. Karyanya itu menerima ulasan positif pihak yang menyokong perubahan dan politik yang lebih liberal, terutama dalam kalangan penyokong pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan. Beliau juga dilihat sebagai menteri Umno yang bijak hasil wacananya yang diterbitkan, termasuk di pelbagai media. Beliau dikenali sebagai mempunyai ide-ide yang agak bebas dalam kalangan pemimpin-pemimpin Umno, sehingga mencetuskan kritikan dari dalam parti, yang paling jelas melalui beberapa blog pro-Umno yang popular. Saifuddin dilihat mempunyai hubungan baik dengan ketua PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengekalkan hubungan itu walaupun kini memegang jawatan tinggi dalam kerajaan Barisan Nasional. Akhbar Sinar Harian, yang sering menerbitkan pandangan-pandangan bertentangan dengan pemerintah turut menjadi sasaran penyokong kerajaan kebelakangan ini. Syarikat penerbit akhbar tersebut sering mengadakan program forum mengetengahkan tokoh pembangkang seperti Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan, Datuk Ambiga Sreenevasan dan agamawan yang mempunyai pandangan kritikal terhadap pentadbiran Najib, Dr Asri Zainul Abidin. Saifuddin juga pernah dikritik sebagai "kuda trojan PKR" dalam Umno, mengaitkan hubungannya sejak di sekolah menengah dengan Anwar dan beberapa personaliti media yang didakwa propembangkang. Beliau juga mencetuskan rasa kurang senang dalam parti ekoran kenyataannya di Tweeter menjelang 9 Julai yang dibaca sebagai menunjukkan sokongan kepada perhimpunan itu, yang diharamkan pihak berkuasa. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan